SEORANG pemancing terkejut apabila menemukan satu mayat tersangkut pada ranting pokok di tepi Sungai Kuala Selangor, Kuala Selangor, hari ini.
Kejadian pada pukul 9.20 pagi itu disedari pemancing yang mencari udang di sekitar kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.31 pagi.
“Sepasukan tujuh anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor dikerahkan ke lokasi kejadian dalam operasi mencari mangsa berusia lingkungan 40-an.
“Pemeriksaan mendapati mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti tersangkut di ranting pokok tepi sungai terbabit.
“Anggota bomba dengan bantuan polis dan bot nelayan tempatan berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada 1 petang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat,” katanya.
SEORANG penganggur merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dikenalinya di Selama, Lumut, Selasa lalu.
Difahamkan mangsa mula mengenali suspek yang juga penduduk tempatan di kawasan itu sejak setahun lalu menerusi aplikasi Instagram.
Kejadian itu bagaimanapun terbongkar apabila ibu mangsa terbaca mesej yang mencurigakan dalam telefon bimbit anaknya itu sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, suspek yang berusia 30-an itu ditangkap Selasa lalu dan merampas sebuah kereta yang digunakan dalam kejadian itu.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Isnin ini dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Siasatan kes ini sudah pun lengkap dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor, hari ini.
PERMINTAAN tinggi minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel menyebabkan ada pemborong dan syarikat pembungkus semula disyaki sanggup menjual minyak masak bersubsidi demi mengaut keuntungan mudah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata harga sekilogram minyak masak terpakai untuk pasaran biodiesel ialah kira-kira RM4.50.
“Harga minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram pula hanya RM2.50. Mereka dipercayai mendapat keuntungan yang banyak dengan tindakan tidak bertanggungjawab ini.
“Taktik baharu itu dikesan hasil siasatan pegawai kementerian yang turun padang susulan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi di beberapa negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan ketika ini.
“Siasatan terperinci sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Ajil yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia, di Kuala Berang, hari ini.
Beliau berkata kekurangan bekalan di negeri terbabit juga adalah disebabkan penyelewengan oleh segelintir pemborong atau pembungkus semula yang disyaki menjual minyak masak bersubsidi secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai makan.
“Kita masih siasat siapa sebenarnya yang lakukan kesalahan ini sama ada pemborong atau pembungkus semula kerana minyak masak bersubsidi dalam peket adalah untuk kegunaan isi rumah sahaja dan bukan untuk golongan peniaga.
“Perkara ini dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar dan KPDNHEP sedang menjalankan siasatan terperinci.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya sambil menambah sejak 2020, sebanyak 15 syarikat pemborong dan pembungkus semula minyak masak bersubsidi telah digantung lesennya manakala lesen lima lagi syarikat ditarik balik kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan.
Rosol berkata ketirisan bekalan stok minyak masak bersubsidi dalam peket juga berlaku kerana tindakan pemborong atau pembungkus semula memindahkannya ke dalam botol untuk dijual pada harga lebih mahal yang berjaya dibongkar melalui operasi selama ini.
“KPDNHEP memandang serius perkara ini dan ia sangat menyedihkan kerana menjejaskan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.
“Sepanjang siasatan dijalankan, pemborong atau pembungkus semula yang terlibat akan digantung sementara lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi akan diambil alih oleh syarikat lain bagi memastikan bekalan adalah stabil di pasaran,” katanya.- Bernama
SEEKOR lembu bunting terjatuh ke dalam lubang dan terperangkap dalam kejadian di Kampung Teloi Tua, Sik, Alor Setar, malam tadi.
Penduduk yang menyedari kejadian itu menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) selepas buntu untuk mengeluarkannya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd. Napiah berkata, anggota APM Sik dihubungi penduduk kampung pukul 8.50 pagi untuk menyelamatkan seekor lembu itu.
Menurutnya, sepasukan anggota Skuad Golf bergegas ke lokasi kejadian pukul 8.57 pagi bagi mengendalikan operasi mengeluarkan lembu tersebut.
“Lembu itu dikatakan terjatuh ke dalam lubang berkenaan dalam kejadian yang berlaku pada malam Jumaat oleh pemilik rumah, bagaimanapun pemilik lembu gagal dikenal pasti.
“Anggota APM bertindak mengeluarkan haiwan terperangkap itu menggunakan beberapa peralatan sambil dibantu penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau memberitahu, lembu bunting terbabit berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi kemudiannya ditamatkan pukul 10.44 pagi.
Seorang lelaki mengalami patah kaki dan tangan selepas terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan terbakar di Klang
SEORANG lelaki patah kaki dan tangan selepas nekad terjun dari tingkat tiga untuk menyelamatkan diri daripada sebuah premis sedang terbakar berhampiran Hotel Comfort di Jalan Meru, Taman Bunga Melor, Klang, hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.42 pagi itu, seramai 12 mangsa terdiri daripada lapan lelaki, dua wanita dan tiga kanak-kanak yang kesemuanya warga asing dilaporkan terperangkap dalam kebakaran bangunan kedai tiga tingkat tersebut.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, kebakaran melibatkan bangunan kedai tiga tingkat dan tingkat satu sahaja yang terbakar 80 peratus.
“12 orang mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lelaki telah terjun dari atas sebelum ketibaan bomba. Lelaki tersebut patah kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, jentera dan anggota dari balai bomba Sungai Pinang, Kapar, Kota Anggerik, Shah Alam serta Damansara tiba di lokasi sekitar jam 9.52 pagi selepas menerima panggilan kecemasan pukul 9.42 pagi.
Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
SIASATAN akan dilakukan terhadap anggota polis yang disyaki cuai membabitkan kejadian seorang orang kena tahan (OKT) cuba melarikan diri di hadapan Klinik Kesihatan Beranang, Semenyih, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan perlu dilakukan sebelum tindakan tatatertib diambil.
“Sebelum tindakan tatatertib diambil, kita kena siasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.
Media sebelum ini melaporkan seorang OKT cuba melarikan diri ketika menaiki lori polis di hadapan klinik berkenaan selepas melakukan ujian saringan Covid-19.
Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila OKT berkenaan berjaya ditahan semula pada jarak 50 meter dari lokasi kejadian.
Kejadian itu turut tular menerusi satu video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
DESAS-desus berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin kencang apabila beberapa pihak menjangkakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan selewat-lewatnya awal Februari ini iaitu selepas sambutan Tahun Baru Cina manakala hari pengundian pula dijangka pada awal Mac sebelum Perhimpunan Agung UMNO.
Beberapa sumber ketika dihubungi berkata, walaupun Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dilihat ‘cuba merahsiakan’ namun gerakan dan kenyataan oleh beberapa pemimpin membayangkan PRN Johor hampir pasti diadakan dalam masa terdekat.
Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk partinya menghadapi PRN Johor dilihat sebagai ‘isyarat’ bahawa parti itu sememangnya mahu pilihan raya itu diadakan atas alasan demi kestabilan pentadbiran kerajaan negeri.
Ia memandangkan Kerajaan negeri hari ini dipimpin oleh Hasni daripada UMNO dengan majoriti tipis satu kerusi sahaja.
Dan hari ini pula Naib Presiden UMNO yang berasal dari Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO melalui Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian bertanding secara bersendirian ketika spekulasi bertiup kencang berhubung pembubaran DUN Johor.
‘’Memang PRN Johor seperti sudah tidak dapat dielakkan, UMNO memang bersemangat dan yakin mereka boleh menang besar kalau ia diadakan, sebab itu mereka mahu PRN,’’ kata sumber tersebut mengulas kenyataan Ahmad Zahid dan Khaled.
Ditanya bagaimana respons rakyat, sumber itu berkata, mereka tidak teruja untuk menghadapi PRN kerana menganggap sekarang bukan waktu sesuai memandangkan negara masih bergelut dengan Covid-19 dan beberapa daerah di Johor baru sahaja dilanda banjir dan memerlukan masa untuk rakyat kembali hidup seperti biasa.
‘’Alasan satu kerusi hanya mewujudkan ketidakstabilan pun boleh dipersoalkan kerana sebelum ini Kerajaan Negeri Johor diuruskan dengan kelebihan dua kerusi sahaja. Lagipun hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi PRU-15 akan diadakan, kalau PRN dilaksanakan sudah pasti akan memakan belanja besar,’’ kata sumber itu.
Walaupun apa yang dikatakan oleh sumber itu ada benarnya, namun UMNO mempunyai perancangan dan strategi sendiri dan ia sudah dapat dibaca bukan sahaja oleh sekutunya dalam kerajaan negeri Johor seperti Bersatu tetap juga pemimpin Pakatan Harapan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau mendapat maklumat bahawa kerajaan negeri sedang bersedia ke arah pembubaran DUN khususnya selepas ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.
‘’Politik Johor ini, boleh saya anggap sekarang ini panas, Khabar angin semakin kuat untuk pilihan raya negeri diadakan ialah semua orang tau majoriti mereka tinggal satu sahaja selepas Allahyarham Osman meninggal dunia dan mana mungkin kerajaan dari segi kestabilan boleh hidup dengan hanya satu majoriti.
‘’Jadi saya membaca begitulah memang banyak info dalaman yang mengatakan semacam telah ada persediaan untuk DUN Johor ini diubarkan. Mungkin dalam tempoh terdekat ini (bubar) sebab mereka hanya menangguhkan (pembubaran DUN Johor) kerana takut rakyat menempelak mereka dalam kesibukan atau kesedihan akibat suasana banjir yang berlaku di seluruh negara dan minggu lepas berlaku di Johor,’ kata seperti dilapor Malaysiakini.
SELEPAS PRN JOHOR, DESAK PRU PULA?
Sementara itu, dua penganalisis politik berpendapat, PRN Johor lebih awal mungkin digunakan untuk mencetuskan pilihan raya umum (PRU) tahun ini.
Penganalisis politik Prof. Dr Azmi Hassan berkata mereka yang memihak kepada PRU lebih awal mungkin akan berusaha sedaya upaya untuk mendesak PRN Johor diadakan tidak lama lagi kerana Barisan Nasional (BN) mungkin memenangi lebih banyak kerusi di negeri itu.
‘’Mereka sedar bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, mungkin hanya mengadakan pilihan raya itu pada 2023, sementara beliau mengukuhkan kuasanya. Bagaimanapun, sokongan berbelah bahagi dan ketidakstabilan dalam UMNO mungkin menyaksikan gesaan untuk PRU semakin meningkat jika BN melakukan lebih baik di Johor,” katanya lapor Free Malaysia Today.
Azmi berkata kerajaan negeri boleh terus berfungsi walaupun hanya mempunyai majoriti satu kerusi tetapi ia akan berdepan tekanan untuk diadakan pilihan raya, atas alasan sukar untuk meneruskannya dengan margin tipis.
“Kemungkinan besar tujuannya adalah untuk mengadakan PRU pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi percaya bahawa Johor akan mengadakan PRN tidak lama lagi.
Menurutnya, Covid-19 tidak lagi menjadi faktor memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan lebih ketat ketika PRN Melaka dan Sarawak baru-baru ini.
Awang berkata, PRN Johor yang lebih awal akan membolehkan BN menggunakan jenteranya untuk memberi tumpuan terhadap kerusi Parlimen di Johor dan negeri lain.
Katanya, prestasi lebih baik dalam PRN akan meningkatkan persepsi terhadap BN untuk memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 dan memberi tekanan kepada Ismail untuk mengadakan pilihan raya itu pada tahun ini.
“Ia (pilihan raya umum) sepatutnya selesai menjelang Julai,” katanya.
Apapun seperti mana mana kata satu sumber, walaupun belum ada pengumuman rasmi namun PRN Johor seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi.
‘’Kita tunggu sahaja sebab dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO mereka sudah diminta bersiap sedia bagi menghadapi PRN itu,’’ katanya.
Sebenarnya ‘strategi menang di Johor’ kemudian mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 turut menjadi bualan.
‘’Jika UMNO menang selesa di negeri itu, Ismail Sabri akan berhadapan dengan desakan daripada UMNO untuk buat PRU, ‘’ kata satu lagi sumber kepada penulis.
Malah sumber itu tidak menafikan Perhimpunan Agung UMNO pada pertengahan Mac akan menjadi platform untuk perwakilan UMNO mendesak Ismail Sabri membubarkan Parlimen jika menang besar di Johor.
Apapun situasinya, ramai masih tertanya-tanya wajarkah PRN itu diadakan ketika rakyat masih berhadapan dengan pelbagai masalah kehidupan akibat serangan Covid-19 dan bencana banjir, tetapi seperti biasa ahli politik sentiasa sahaja ada alasan bagi mencapai agenda politik mereka.
Justeru sama ada PRN Johor baik untuk rakyat atau tidak, sama-samalah kita tunggu hasilnya nanti jika ia benar-benar diadakan.
PENANGGUHAN penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 beberapa kali sebelum ini mengakibatkan 240 atlet Johor menarik diri daripada menyertainya antaranya kerana faktor usia, melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
Pegawai Belia dan Sukan Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Mohammad Syafiq Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mendapatkan khidmat atlet di peringkat pembangunan bagi memikul tanggungjawab itu selepas mereka menarik diri.
“Kita sudah mempersiapkan kira-kira 600 atlet untuk bertanding di Sukma Johor yang sepatutnya dianjurkan di negeri ini dua tahun lalu.
“Namun setelah ditunda beberapa kali dan digantikan dengan Sukma di 2020 di Wilayah Persekutuan pada tahun ini, kira-kira 40 peratus iaitu 240 atlet daripada jumlah itu terpaksa menarik diri.
“Saya percaya perkara sama turut berlaku kepada kontinjen negeri lain dan kita tidak dapat menghalang keputusan yang diambil. Kita masih positif dalam keadaan sekarang dan akan menggunakan khidmat atlet pembangunan bagi mengisi tempat mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Majlis Kriket Johor dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Johor Cricket Academy & Oval di Johor Bahru.
Oktober lalu, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan penganjuran Sukma Johor ditangguhkan ke tahun 2024.
Dalam mesyuarat jawatankuasa itu juga, Jawatankuasa Tertinggi bersetuju supaya Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma 2020 dan Sukan PARA Sukma 2020 di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Mohammad Syafiq berkata, temasya Sukma 2020 ini akan dijadikan penanda aras kemampuan atlet di peringkat pembangunan bagi menimba pengalaman berguna.
Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Kriket Johor (JCC), Idris Abd Rahman berkata, pihaknya membangunkan pusat kecemerlangan kriket di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini di Johor Bahru bagi melahirkan lebih ramai atlet baharu yang berbakat besar.
Katanya, usaha itu juga bagi mengembalikan kegemilangan sukan kriket di Johor dan JCC menjadi persatuan kriket pertama mempunyai pusat kecemerlangan yang dipantau dan dikendalikan secara terus oleh persatuan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor.
“SMK Medini dengan berbesar hati menempatkan 20 pelajar iaitu 10 pelajar Lelaki dan 10 pelajar perempuan di pusat kecemerlangan itu dan akan menambah 10 pelajar lagi pada tahun berikutnya,” katanya.
LEBIH ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata ia berikutan kemerosotan berterusan simpanan persaraan ahli KWSP, kerana ketika ini hampir separuh ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55 peratus adalah bumiputera.
“Kalau dibenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan lebih ramai ahli perlu bersara di bawah paras garis kemiskinan, dan juga menyebabkan beban yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia di masa depan terutama jika kegawatan ekonomi berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian awam oleh Pemuda UMNO bahawa lebih 97 peratus ahli mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘sekali bayar’.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengimbangkan antara kepentingan rakyat untuk jangka pendek dan juga jangka masa panjang.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap peka dengan masalah rakyat, dan pelbagai pendekatan diusahakan untuk memelihara kebajikan rakyat termasuk kepada golongan B40 dan M40.
“Di bawah Bajet 2022 ini kalau kita lihat lebih RM31 bilion dikhususkan untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.
“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, (menerusi) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kerajaan juga memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, ini sebahagian kecil daripada pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.
KERTAS siasatan kes melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang ditahan di Pulau Pinang susulan positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat karaoke keluarga di Perai dijangka diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya minggu hadapan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, pihaknya ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
Jelas beliau, siasatan lanjut berhubung kes itu masih dijalankan dan pihaknya sedang menunggu laporan patologi untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu laporan patologi, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwaraya setelah siasatan dilengkapkan dan laporan patologi diperolehi pada minggu hadapan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mustafa Kamal Gani berkata, ADUN berusia 54 tahun itu juga sudah dibebaskan semalam selepas direman sehari.
Turut dibebaskan tambahnya, dua anggota polis masing-masing dari kontinjen Pulau Pinang dan Perak yang turut ditahan dalam serbuan sama.
Katanya, kesemua 36 yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB )1952.
Semalam, polis mengesahkan seorang ADUN Perak ditahan susulan positif dadah dalam serbuan di pusat hiburan keluarga di Perai, Pulau Pinang oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Seramai 48 individu ditahan dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala 12 lagi berkaitan kes jenayah.