Category: Semasa

  • Kejam! Anak tergamak penggal kepala ibu sendiri

    Kejam! Anak tergamak penggal kepala ibu sendiri

    MENGERIKAN! Seorang wanita mati akibat dipenggal kepala oleh anaknya sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor petang semalam.

    Memetik laporan BH, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai positif dadah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, polis menerima maklumat kira-kira pukul 5.45 petang berhubung kejadian seorang wanita berusia 56 tahun dicederakan oleh anaknya.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek dipercayai membunuh mangsa ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

    Ramli menambah,, suspek yang juga penganggur tinggal bersama mangsa dan suaminya, manakala anak mangsa yang lain pula menyewa di kawasan berhampiran.

    “Kejadian disedari seorang daripada anak mangsa yang gagal menghubunginya, sebelum pergi ke rumah. Sebaik tiba, anak mangsa melihat keadaan rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke belukar di belakang rumah.

    “Polis dengan bantuan penduduk berjaya menahan suspek yang bersembunyi dalam belukar itu dan siasatan lanjut sudah dijalankan oleh pasukan forensik,” katanya.

    Beliau memberitahu, polis turut merampas parang disyaki digunakan suspek untuk memenggal kepala ibunya yang ditemui dalam tandas rumah berkenaan.

    “Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    “Permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan suspek direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Hamzah tersentuh kisah Rohana hidup 22 tahun tanpa kewarganegaraan

    Hamzah tersentuh kisah Rohana hidup 22 tahun tanpa kewarganegaraan

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin tersentuh dengan kisah Rohana Abdullah yang ditinggalkan ibunya ketika berumur dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu.

    Beliau juga telah mengarakan pegawainya untuk menyiasat kesahihan maklumat dalam kes tersebut terlebih dahulu.

    “Saya berasa tersentuh apabila dimaklumkan berhubung perkara ini pada minggu lalu dan telah mengarahkan pegawai saya untuk menyiasat kesahihan maklumat yang diberikan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Rohana dibesarkan oleh seorang guru tadika, Chee Hoi Lan, 83, selepas ibunya pulang ke Indonesia pada 1999.

    Ibu Rohana yang berkahwin dengan seorang lelaki tempatan bekerja sebagai kakitangan pembersihaan di tadika berkenaan.

    Hoi Lan seterusnya membesarkan Rohana mengikut cara hidup Islam sejak 22 tahun lalu namun gadis itu masih belum beroleh dokumen untuk mengesahkan taraf kewarganegaraannya.

    Hoi Lan berkata, dia berusaha menyediakan segala keperluan Rohana seperti menghantarnya ke Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), mempelajari perkara asas Islam dan memastikan makanannya halal serta melakukan ibadat sebagai seorang Islam.

    Dia yang tidak berkahwin, meluahkan rasa kasihnya terhadap Rohana dan lega kerana dapat membesarkan gadis itu sebagai seorang Islam, namun dia berharap dapat melihat Rohana berkahwin sebelum ajalnya.

    Bagaimanapun, ekoran situasi dirinya, Rohana berdepan masalah mendapatkan status kewarganegaraan.

    Dia telah memohon taraf kewarganegaraan pada 2016 namun sehingga kini masih belum menerima maklum balas.

  • Program TVET KPLB perlu ditambah baik agar selari kehendak industri

    Program TVET KPLB perlu ditambah baik agar selari kehendak industri

    INSTITUSI pendidikan yang menawarkan kursus Teknikal dan Vokasional, TVET di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, perlu menyusun semula program kursus yang ditawarkan agar selari dengan perkembangan sektor industri.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program TVET yang ditawarkan juga perlu memastikan pelajar lulusannya mendapat jaminan pekerjaan.

    “Dalam TVET ni ada banyak bidang, ada tiga peringkat persijilan, diploma dan ijazah tetapi yang dia buat tu kena matching dengan industri yang ada, contohnya minyak dan gas ada dalam TVET UniKL, boleh ke tidak matching dengan industri.

    ‘’Bila kita cakap pasal automotif yang ada di dalam industri tu jenis mekanik yang macam mana yang diperlukan dalam industri automotif, kereta-kereta moden sekarang ini sudah guna hibrid, ada yang pakai separuh petrol separuh bateri dan akan datang ini adalah EV kereta-kereta elektrik,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan UMNO Padang Terap hari ini.

    Mahdzir menegaskan, walaupun kebolehpasaran lulusan TVET KPLB ketika ini pada tahap 88 peratus, angka itu boleh ditingkatkan jika semua program kursus yang ditawarkan memenuhi kehendak industri.

    “Sekarang kita sudah ada (kerjasama) dengan pemain industri, cumanya kalau kita ambil pelajar misalnya 40 orang pelajar, adakah pelajar itu mendapat kerja atau tidak.

    ‘’Kita tidak mahu mereka yang lulus diploma TVET misalnya tetapi tidak mendapat kerja kerana tidak selari dengan industri,’’ katanya.

    Tambah beliau, antara bidang kursus yang  perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan industri adalah bidang perkapalan, kejuruteraan rel keretapi, automotif, minyak dan gas serta fesyen.

    “Dalam Amanat (Tahun Baharu 2022 KPLB) semalam, saya sebut bahawa kita perlu duduk semula semua agensi (pendidikan TVET) untuk koordinasi.

    ‘’Kita tidak perlu buat benda yang sama, semua kolej buat benda yang sama, kursus yang sama di dalam KPLB,” jelas Mahdzir.

  • Terlibat kemalangan polis sahkan kematian anggota pengiring bermotosikal Istana Negara

    Terlibat kemalangan polis sahkan kematian anggota pengiring bermotosikal Istana Negara

    Polis mengesahkan kematian membabitkan seorang anggota polis pengiring bermotosikal cawangan Istana Negara setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tunku, Bukit Tunku, di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata mangsa yang berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.

    Siasatan awal mendapati dalam nahas pada pukul 6 petang itu motosikal Kawasaki GTR yang ditunggang mangsa melanggar sisi sebelah kanan sebuah Perodua Axia yang pada sama sedang membelok di tempat kejadian untuk masuk ke rumah dari arah yang sama.   

    Sarifudin memaklumkan pemandu kereta berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

    — BERNAMA

  • Buat PRN Johor, PH tarik balik MoU bersama kerajaan – Salahuddin

    Buat PRN Johor, PH tarik balik MoU bersama kerajaan – Salahuddin

    TIMBALAN  Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, Pakatan Harapan (PH) akan menarik balik memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan jika Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan di Johor.

    Bercakap kepada portal Free Malaysia Today, Salahuddin berkata, sejak memeterai MoU itu, PH secara jelas menyokong kerajaan bukan atas kepentingan parti, bahkan demi kebajikan rakyat bagi membuka ruang kepada usaha pemulihan ekonomi, termasuk kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

    Sehubungan itu beliau mencabar Parlimen dibubarkan serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekiranya UMNO yakin mampu mendapat mandat rakyat.

     “Kini, timbul khabar angin dia nak bubar (DUN) Johor. Selepas ini, mungkin Perak. Jadi, siapa yang bermain politik sekarang? Jadi, saya nak bertanya dia nak main-main dengan MoU atau nak jaga kepentingan politik sahaja?

    “Tapi dia ‘ding dong’ nak bubar Johor atau Perak dulu…negeri atau federal (pusat) dulu. Jika nak tarik, tariklah, dia tarik, kita akan tarik sokongan. Jika dia nak, buat sekali…bubar Parlimen. Sekiranya mahu amanat rakyat, rasa yakin sangat, bubar Parlimen sekarang,” katanya.

    Ditanya sama ada parti lain dalam PH juga sependapat dengannya, Salahuddin berkata: “Kami berkongsi semangat sama. Ketika kami menandatangani MoU, adalah jelas kami semua sepakat, rakyat diutamakan. Sekarang, saya yakin mereka juga berkongsi pandangan sama.”

    Ketika ini, katanya, negara berdepan krisis banjir, isu alam sekitar, pembalakan, pengairan dan saliran, menjadi antara perkara yang perlu diberi tumpuan.

    “Jadi, jangan main-main dengan sokongan yang kita berikan. Kami betul-betul ikhlas dan kami buat apa yang kami katakan. Sampai hari ini, kita tidak ada apa-apa main politik,” katanya.

    Spekulasi berhubung PRN Johor timbul susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas, Osman Sapian, daripada Bersatu pada 21 Disember lalu yang menyaksikan kerajaan negeri kini memerintah hanya dengan kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.

    DUN Johor mempunyai 56 kerusi terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing memiliki 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), Amanah (6) dan PKR (7).

  • Tiada pengumuman nama calon sebagai duta, usah panjang berita tular di media sosial

    Tiada pengumuman nama calon sebagai duta, usah panjang berita tular di media sosial

    MENTERI Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menasihatkan semua pihak supaya tidak memanjangkan nama atau isu berkaitan lantikan duta yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini kerana ia tidak membantu dari segi hubungan baik Malaysia dengan negara luar.

    Beliau juga berkata Wisma Putra tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan nama calon yang sedang dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ketua perwakilan Malaysia di luar negara.

    “Lazimnya, lantikan ini (ketua perwakilan Malaysia) dibuat melalui saluran diplomatik dan di Malaysia, kita hanya akan tahu apabila semuanya telah selesai dan diumumkan dengan cara yang baik dan mudah-mudahan menghasilkan hubungan bilateral yang baik,” katanya.

    Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Reflisia Timur Berhad di dewan KRT Cenderawasih di Kuantan hari ini.

    Tanpa menyebut mana-mana nama pada sidang media itu, Saifuddin berkata proses lantikan boleh mengambil masa antara tiga ke enam bulan dan pelantikan itu adalah rasmi apabila individu berkenaan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Mengulas mengenai lantikan ketua perwakilan Malaysia di luar negara, Saifuddin berkata terdapat dua kategori mereka yang boleh dilantik iaitu dalam kalangan pegawai perkhidmatan diplomatik dan bukan dalam kalangan pegawai diplomatik yang boleh meliputi bekas menteri, bekas pegawai kerajaan dan Ahli Parlimen yang masih berkhidmat.

    Ditanya mengenai kriteria yang membolehkan mereka bukan daripada pegawai perkhidmatan diplomatik mengisi jawatan itu, Saifuddin berkata ia melibatkan mereka yang difikirkan boleh mendatangkan hubungan baik antara kedua-dua negara selain pengalaman individu berkenaan.

    “Amalan ini berlaku di banyak negara dan apabila kita memilih seorang calon, ia harus melalui proses penilaian yang ketat dan telus yang mana setiap calon akan melalui tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

    “Setelah selesai tapisan, barulah nama calon itu akan dikemukakan ke negara penerima melalui saluran diplomatik, yang seterusnya (nama calon) akan menjalani proses kelulusan mengikut dasar dan polisi negara tersebut sebelum diperakui. Ini bermaksud ada dua tapisan perlu dilalui,” katanya.

    Di sesetengah negara termasuk Malaysia, nama calon yang diterima dari negara luar akan dikemukakan ke Kabinet oleh Menteri Luar untuk dipertimbangkan manakala terdapat negara yang menetapkan supaya perkara itu memerlukan kelulusan Parlimen.

    Saifuddin berkata di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, negara penerima mempunyai hak mutlak untuk mempertimbangkan calon tanpa memaklumkan sebab kepada negara penghantar jika mereka menolak cadangan nama calon berkenaan.

    “Dalam kebanyakan keadaan, penolakan sesebuah negara terhadap sebarang pencalonan adalah disebabkan oleh prinsip yang dipegang negara itu dan bukanlah disebabkan oleh calon tersebut dan bukan juga atas status hubungan diplomatik. Masing-masing negara ada kaedah dan kriteria tersendiri,” katanya.- Bernama

  • Pengganti Cheng Hoe dibincang selepas terima laporan badan siasatan bebas – Yusoff

    Pengganti Cheng Hoe dibincang selepas terima laporan badan siasatan bebas – Yusoff

    CALON bagi menggantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan dijangka diputuskan selepas menerima laporan daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya.

    Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, badan siasatan diketuai bekas pemain kebangsaan Datuk Dell Akbar Khan itu sedang giat melakukan siasatan mengenai punca kegagalan skuad kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lepas.

    Mohd Yusoff berkata, beliau selaku pengurus pasukan dan kapten Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak adalah antara individu diminta hadir untuk sesi memberi keterangan bagi melengkapkan laporan tersebut.

    “Jadi kita tunggu dulu apa maklum balas daripada laporan bedah siasat ini yang saya jangka selesai minggu depan, dari situ mungkin kita boleh tentukan calon sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis undian Liga M3 di Petaling Jaya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata pada masa ini, beberapa calon menunjukkan minat untuk jawatan tersebut, selain yakin Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin juga berada dalam proses mengenal pasti jurulatih sesuai.

    Beliau berkata, FAM akan meneliti segala kemungkinan susulan ada pihak berpendapat jurulatih tempatan lebih sesuai kerana waktu sangat singkat untuk hadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, manakala ada beranggapan jurulatih asing lebih baik bagi memastikan pelan jangka panjang lebih tersusun.

    “Semua cadangan ini akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada bulan ini yang dipengerusikan Datuk Hamidin sendiri. Selepas itu akan ‘diendorse’ (disokong) dalam Mesyuarat Exco untuk memastikan pilihan yang terbaik supaya perancangan kita ini akan dilaksanakan dengan lebih tersusun.

    “Memang saya ada dengar terdapat beberapa calon yang memohon, tetapi pada masa sama ada juga senarai jurulatih (yang tidak mohon) berada dalam radar FAM,” jelasnya.

    Ditanya mengenai nasib barisan kejurulatihan yang berkhidmat di bawah Cheng Hoe, Mohd. Yusoff berkata FAM akan memberi kebebasan untuk ketua jurulatih baharu untuk memutuskan sama ada terus menggunakan khidmat barisan sedia ada atau melantik pasukan kejurulatihannya sendiri.

    Malaysia gagal mara ke separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki perlawanan selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

    Berikutan itu, Cheng Hoe meletak jawatan dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukan Harimau Malaya.

    FAM kemudian melantik Dell Akbar yang juga bekas Setiausaha Agung badan induk itu dan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur untuk mengetuai badan siasatan bebas tersebut. – Bernama

  • Enggan beli rokok, makanan:Teman wanita dibelasah dengan topi keledar

    Enggan beli rokok, makanan:Teman wanita dibelasah dengan topi keledar

    HANYA kerana enggan membelikan makanan dan rokok, seorang wanita cedera dibelasah dengan topi keledar oleh teman lelakinya di Kampung Tanjung Che Lat, Tumpat, semalam.

    Selain itu mangsa yang 38 tahun turut disepak di peha kanan dan kiri serta dicakar pada muka termasuk luka pergelangan tangan.

    Kejadian berlaku pukul 2 petang apabila mangsa diminta datang ke rumah suspek sebelum berlaku perselisihan faham.

    Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, suspek berusia 30 tahun dikatakan bercinta dengan mangsa sejak dua tahun lalu.

    “Ketika mangsa berada di luar pagar rumah suspek, berlaku selisih faham antara mereka menyebabkan lelaki itu menyepak beberapa kali di bahagian peha kanan dan kiri teman wanitanya.

    “Mangsa juga mendakwa dipukul dengan menggunakan topi keledar di lengan kiri sebelum diheret dan turut dicakar di bahagian muka serta pergelangan tangan kanan untuk membawa wanita itu masuk ke halaman hadapan rumahnya.

    “Punca perselisihan faham berlaku adalah disebabkan mangsa enggan membeli makanan dan rokok seperti diminta suspek yang mengadu kelaparan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Mohd. Azmir berkata, mangsa mendakwa teman lelakinya seorang panas baran serta penagih dadah.

    Katanya, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Tumpat sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Tumpat pukul 4.15 petang semalam.

    “Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • Kilang fabrikasi logam dikompaun RM32,000 cemar longkang awam

    Kilang fabrikasi logam dikompaun RM32,000 cemar longkang awam

    JABATAN Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan kompaun sebanyak RM32,000 ke atas pemilik sebuah kilang fabrikasi logam di Kawasan Perindustrian Perai semalam selepas didapati mencemar longkang awam.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang itu didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan ke dalam longkang.

    Katanya, selain dikompaun pihaknya turut menahan operasi kelengkapan premis tersebut turut semasa siasatan dijalankan bertujuan menghentikan pencemaran perairan daratan daripada berterusan.

    kilang itu didapati membasuh buangan skrap logam yang dicemari minyak mineral terpakai (kod SW 422) dan membuang efluen tanpa rawatan ke dalam longkang

    “Pihak premis juga telah diarah untuk mengambil tindakan serta-merta bagi memastikan semua buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jelas Sharifah Zakiah, premis tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

    Dalam pada itu, beliau  turut mengingatkan semua pengeluar buangan terjadual di Pulau Pinang supaya sentiasa menguruskan buangan terjadual yang dihasilkan mengikut tatacara pengurusan yang betul sebagaimana yang ditetapkan Ketua Pengarah Alam Sekeliling.

  • ADUN DAP mengaku ditahan polis tapi nafi ambil dadah

    ADUN DAP mengaku ditahan polis tapi nafi ambil dadah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu menolak dakwaan beliau mengambil dadah di sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam Pulau Pinang.

    Sebagai wakil rakyat yang dipilih selama dua penggal, beliau amat menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin dengan salah satunya mematuhi undang-undang negara.

    Dalam kenyataan media yang dikongsi menerusi Facebook miliknya hari ini, wakil rakyat DAP itu turut menegaskan akan mempertahankan diri untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung insiden penahanannya itu.

    “Sepertimana dilaporkan media, sayalah ADUN yang ditahan polis itu. Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden ini bahawa saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.

    “Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang dan sebenarnya saya sendiri juga terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif kerana saya ini merokok pun tidak.

    “Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana. Jadi saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah,” katanya.

    Beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat untuk menyatakan bahawa dirinya berkemungkinan terdedah kepada anasir mencurigakan yang membawa kepada insiden itu.

    Katanya, ada saksi mendakwa terdapat seseorang telah datang ke mejanya dan mengisi gelas minuman miliknya yang disifatkan sebagai minuman ‘aneh’.

    “Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis. Berikutan itu, saya telah memohon polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai keadaan sebenar yang berlaku.

    “Saya diundang ke sana untuk perjumpaan dan makan Tahun Baharu Cina bersama rakan-rakan. Di sana saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit,” katanya.

    Dalam kenyataan itu, Terence Naidu, 54, turut menyatakan kesediaan untuk digantung keahlian dalam DAP demi menjaga nama baik parti agar tidak terheret sama dalam kes itu.

    Bagaimanapun jelasnya, tugas sebagai wakil rakyat akan terus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab selain tetap berpendirian bahawa dadah adalah masalah sosial yang harus ditentang.

    “Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan akan saya patuhi.

    “Buat penyokong yang mengenali saya secara peribadi terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya,” katanya.