Category: Semasa

  • Penumpang enggan pakai pelitup muka, pesawat ke London dari Miami terpaksa berpatah balik

    Penumpang enggan pakai pelitup muka, pesawat ke London dari Miami terpaksa berpatah balik

    SEBUAH pesawat American Airlines yang menghala ke London dari Miami terpaksa berpatah balik apabila seorang penumpang enggan memakai pelitup muka.

    American Airlines berkata pesawat tersebut bertindak demikian pada malam Rabu lalu, pesawat 38 American Airlines yang berlepas dari Miami (MIA) ke London (LHR) berpatah balik disebabkan seorang penumpang enggan mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka.

    Menurut portal Miami Herald, penerbangan tersebut sudah pun memulakan perjalanannya selama 90 minit dan terbang pada paras 34,000 kaki atas lautan Atlantik sebelum berpatah balik  ke lapangan terbang Miami.

    Syarikat penerbangan tersebut berkata mereka menghubungi pihak polis Miami dan pegawai-pegawai membawa wanita tersebut keluar daripada pesawat itu tanpa sebarang masalah.

    Jurucakap Balai polis Miami-Dade berkata, kakitangan American Airlines menguruskan masalah dengan penumpang tersebut dengan tenang. CNN berkata penerbangan tersebut dibatalkan selepas tiba di terminal.

    “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kami dan meminta maaf kepada pelanggan kami ke atas kesulitan ini,” kata American Airlines dalam satu kenyataan.

    Menurut peraturan yang diperkenalkan oleh Federal Aviation Administration (FAA), semua penumpang yang menaiki pesawat masuk atau keluar ke Amerika Syarikat wajib memakai pelitup muka di dalam pesawat untuk mengelak jangkitan Covid-19.

    FAA menyatakan terdapat peningkatan kes-kes penumpang yang tidak mengikut peraturan sejak permulaan pandemik.

  • Ops Tapis: Polis tahan 220 lelaki di Johor Bahru

    Ops Tapis: Polis tahan 220 lelaki di Johor Bahru

    POLIS menahan 220 lelaki termasuk tiga warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah menerusi Ops Tapis di sekitar Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru, hari ini.

    Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua mereka yang berumur 21 hingga 45 tahun, ditahan dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor bermula pukul 3 pagi tadi.

    Beliau berkata lokasi diserbu kerana ia merupakan satu daripada 12 kawasan tumpuan atau ‘hotspot’ bagi lokasi penjualan dan pengedaran dadah dalam kalangan penagih dadah sejak sekian lama.

    “Kesemua mereka yang ditahan hari ini melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dadah dan mereka kebanyakannya bekerja sebagai pengawal keselamatan, buruh, pekerja pasar borong serta penjual ikan dan sayur,” katanya pada sidang media di lokasi Op Tapis berkenaan hari ini.

    Katanya kesemua yang ditahan akan di siasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952, selain akan diserahkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan rawatan pemulihan.

    Sementara itu mengulas mengenai siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terhadap seorang wanita anggota sebuah parti politik, beliau berkata 11 individu dipanggil untuk dirakam percakapan.

    “Macam saya cakap sebelum ini, siasatan dijangka siap hujung minggu ini dan kita telah berbincang dengan bahagian perundingan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperkemaskan lagi siasatan,” katanya.

    Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi mengenai gangguan seksual melibatkan ADUN berkenaan.

     Bagaimanapun ADUN berkenaan telah menafikan dakwaan dan menyatakan ia satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai ahli politik. 

    — BERNAMA

  • Kim Pan Gon ganti Cheng Hoe kendali Harimau Malaya

    Kim Pan Gon ganti Cheng Hoe kendali Harimau Malaya

    PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea (KFA) Kim Pan Gon, sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe.

    Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata jurulatih berusia 52 tahun itu, akan melapor diri pada pertengahan Februari, dengan kontrak selama dua tahun dan pilihan tambahan dua tahun lagi.

    Beliau berkata Pan Gon yang menjadi pengendali pertama dari Korea Selatan dilantik ke jawatan itu sejak 1963, akan membawa empat staf kejurulatihan sendiri, terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan dan penjaga gol serta penganalisis.

    “Selepas menerima permohonan dari seluruh dunia, kita mendapati beliau (Pan Gon) merupakan calon terbaik, dan antara kriteria pemilihan adalah pemahamannya mengenai bola sepak Malaysia, pernah melatih pasukan kebangsaan, mempunyai rangkaian antarabangsa, tahu siapa musuh Malaysia, maksudnya kita bermain di ASEAN dan Asia, jangkaan kita.

    “Jika FAM berpuas hati dengan prestasinya untuk dua tahun ini, kita akan sambung (kontrak) untuk dua tahun lagi, tentunya nak layak ke Piala Asia,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Petaling Jaya, hari ini.

    Pan Gon yang pernah beraksi bersama kelab Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai Motors di Korea Selatan pada era 1990-an, memulakan karier kejurulatihan selaku penolong jurulatih Busan IPark FC (2005-2008), ketua jurulatih kebangsaan Hong Kong (2009-2010), penolong jurulatih Gyeongnam FC (2011) dan kembali ke Hong Kong (2012-2017).

    Beliau menggantikan Cheng Hoe yang melepaskan jawatannya pada 2 Jan lalu dengan mengambil tanggungjawab susulan prestasi hambar pasukan Harimau Malaya di Singapura, yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020.

    Hamidin bagaimanapun, menegaskan bahawa pelantikan jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah skuad Harimau Malaya secara keseluruhan.

    “Jadi kita mahu mengadakan perbincangan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memastikan kelab di Liga Malaysia menghasilkan pemain yang berkualiti,” katanya.

    Pada sidang media itu, Hamidin turut mengumumkan peletakan jawatan Datuk Mohd Yusoff Mahadi sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

    Mengenai desakan di media sosial agar Hamidin meletak jawatan berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2020,  Presiden FAM itu berkata beliau masih mempunyai banyak tanggungjawab untuk diselesaikan, selaku pemimpin badan induk bola sepak negara itu.

    — BERNAMA

  • 11 individu dipanggil beri keterangan kes gangguan seksual ADUN

    11 individu dipanggil beri keterangan kes gangguan seksual ADUN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 11 individu sudah dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kes gangguan seksual melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, baru-baru ini.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, siasatan berhubung kes itu masih lagi sedang dilengkapkan selain pihaknya akan menggunakan semua sumber bagi mendapatkan laporan siasatan yang lebih terperinci.

    “Kes ini masih dalam siasatan, memang kita maklum akan siap minggu ini tetapi maklumat masih dikumpul. Kita juga sedang berbincang dengan pihak perundangan untuk kemaskan lagi siasatan.

    “Buat masa ini kita telah memanggil seramai 11 individu untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media Op Tapis di Kampung Pandan, Johor Bahru, hari ini.

    Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora mengesahkan satu laporan polis telah dibuat seorang wanita berusia 26 tahun di Balai Polis Kota Tinggi.

    Laporan polis yang kemudiannya tular di laman sosial Facebook itu mendakwa wanita yang juga mangsa telah diganggu secara seksual berulang kali oleh ADUN berkenaan pada 2, 3 dan 12 Januari lalu.

    Kemudian, pada 18 Januari lalu, ADUN Sedili, Rasman Ithnain dalam satu kenyataan telah menafikan tuduhan melibatkan dirinya dengan kes gangguan seksual terhadap wanita berkenaan.

    Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar dan menyifatkannya sebagai konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi dirinya.

  • Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    Penganggur dihukum mati kerana bunuh anak kekasih

    SEORANG penganggur dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Kangar hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.

    Hakim Datuk Azmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Noraizuwan Hamali, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah selain terdapat keraguan dalam pembelaannya.

    Noraizuwan didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Jalan Arau, Lorong Chempaka, Kampung Jejawi, dekat sini antara jam 3.45 petang 18 April 2018 dan 12.10 tengah malam 19 April 2018.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Rafidi Mohamad.

    — BERNAMA

  • KPLB terima 356 laporan kerosakan jalan perhubungan desa akibat bencana banjir

    KPLB terima 356 laporan kerosakan jalan perhubungan desa akibat bencana banjir

    KMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB), menerima laporan kerosakan Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan kos pembaikan lebih RM37 juta akibat bencana banjir bulan lalu.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, KPLB juga menerima laporan kerosakan Ameniti Sosial bernilai RM35 juta untuk kerja-kerja pembaikan.

    “Setakat 9 Januari lepas, sebanyak 356 permohonan JPD diterima bagi kerja bina baharu, naik taraf serta membaik pulih kemudahan dan infrastruktur.

    Manakala 394 permohonan Program Ameniti Sosial (PAMS) iaitu termasuk di kawasan perkampungan orang asli yang dilanda banjir baru-baru ini.”

    Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Asas (BPBKA) kepada mangsa banjir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Parlimen Port Dickson di Dewan Majestic, Port Dickson hari ini.

    Menurut Mahdzir, jumlah kerosakan dan kos pembaikan tersebut dinilai setakat 9 Januari lalu dan dijangka meningkat sebaik penilaian menyeluruh siap dilaksanakan di seluruh negeri yang terkesan dengan bencana banjir bulan lalu itu.

    Kerja-kerja baik pulih katanya, akan dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga enam bulan.

    KPLB sebelum ini menyediakan peruntukan khas berjumlah RM150 juta bagi pembaikan dan pemulihan pasca bencana banjir.

    Ia membabitkan RM50 juta bagi membaik pulih dan bina baharu rumah di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

    Manakala bagi pembaikan JPD dan PAMS masing-masing diperuntukan sebanyak RM50 juta.

    Terdahulu Mahdzir menyampaikan bantuan tunai RM2,500 kepada 300 mangsa banjir di kawasan tersebut menerusi bantuan BPBKA dibawah kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

    Katanya secara keseluruhan kerajaan Persekutuan menerusi BPBKA memperuntukkan RM15.1 juta manakala RM4.63 juta melalui Bantuan Wang Ihsan berjumlah RM1,000 untuk mangsa banjir di negeri ini.

  • Pengguguran Khairuddin berkait masalah disiplin – Hadi

    Pengguguran Khairuddin berkait masalah disiplin – Hadi

    WALAUPUN tidak menyatakan dengan terperinci namun hari ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akhirnya ‘mendedahkan’ punca Datuk Mohd Khairuiddin Aman Razali digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas.

    Bercakap kepada wartawan selepas menyampaikan kuliha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, Abdul Hadi menjelaskan pengguguran Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkait dengan masalah disiplin dan perkara dalaman parti.

    “Itu disiplin perkara dalaman parti untuk ahli-ahli parti sahaja tidak perlu dan sehingga ini, saya mendapat maklumat daripada akar umbi 99.9 peratus berpuas hati itu adalah pandangan terpencil,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

    Ketika ditanya sama ada pengguguran itu berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN), Abdul Hadi menegaskan ia berkaitan dengan disiplin.

    “Tunggulah dan disiplin itu bukan semua … dia belum dipecat dan digugurkan sahaja sebelum ini, sudah ada nasihat, sudah ada tindakan awal dan kemudian gugur daripada AJK Pusat itu dan kita tengoklah susulannya kelak,” katanya.

    MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

    Abdul Hadi menegaskan, pengguguran Mohd Khairuddin juga tidak akan menjejaskan parti dan sehingga kini, Pas masih dapat berjalan seperti biasa.

    “Tiada perpecahan, tiada. Kita pernah mengalami lebih besar dari itu, krisis Pas pada 1979, menyaksikan ahli Pas beramai-ramai meletakkan jawatan. Pas, waktu itu tidak terjejas dan bangkit semula untuk menawan balik Kelantan,” katanya.

    Baca juga Khairuddin kekal Setiausaha Majlis Syura, dasar pertahan MN, perkasa PN tetap diperjuang- Hashim

    WartaRakyat hari ini melaporkan Mursyidul Am PAs, Datuk Hashiam Jasin berkata, kedudukan Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas sama sekali tidak terjejas biarpun bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu telah digugurkan daripada AJK Pas Pusat, baru-baru ini.

    Malah menurut beliau, isu mengenai jawatan disandang Mohd. Khairuddin dalam Majlis Syura Ulama itu juga langsung tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan Majlis Syura Ulama selepas beliau digugurkan daripada AJK Pas Pusat.

    “Mohd. Khairuddin masih kekal sebagai Setiausaha Majlis Syura kerana beliau hanya digugurkan sebagai AJK Pas Pusat. Itu tidak mengganggu tugasnya di Majlis Syura Ulama.

    “Kalau disingkir dari parti, waktu itu automatik beliau bukan lagi Setiausaha Majlis Syura Ulama. Dalam keadaan sekarang, beliau masih Setiausaha Majlis Syura Ulama malah kami juga tidak pernah membincangkan mengenai jawatan disandangnya itu,” katanya kepada Warta Rakyat ketika dihubungi, semalam.

  • Nak sambut raya tak boleh, tetapi pilihanraya boleh pula…

    Nak sambut raya tak boleh, tetapi pilihanraya boleh pula…

    DESAS-DESUS kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat semakin bertiup kencang. 

    Namun, ramai yang tidak bersetuju jika perancangan memilih semula Ahli Dewan Undangan (ADUN) itu tetap diteruskan.

    Antaranya termasuklah selebriti kelahiran Segamat, Johor,  Mohd. Nasir Haji Hamzah atau lebih popular dengan nama Achey Bocey. 

    Achey yang juga pelawak dan penyanyi, beranggapan rakyat masih berada dalam keadaan sukar selepas banjir dan kini bergelut untuk pulih dan situasi itu diakui bukannya mudah untuk ditangani. 

    “Carilah satu masa yang sesuai, sekarang dengan Covid-19 dengan varian Omicron lagi.

    “Nanti nak sambut raya tak boleh, tapi pilihanraya boleh pula,” katanya menerusi perkongsiannya di Instagram.

    Tambahnya, ketika ini lebih baik semua pihak memberi fokus kepada usaha mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan juga pembangunan semula selepas banjir.

    “Kalau nak dijalankan juga (PRN), saya pun tak boleh nak buat apa.

    “Pendapat saya ialah saya kurang bersetuju sebab peralihan kuasa ini boleh ‘relax’ dulu kot,” katanya.

    Mengulas lanjut, Achey sempat menegaskan sekali lagi bahawa dia bukannya tidak bersetuju dengan PRN, namun beliau kurang bersetuju sekiranya PRN tetap diadakan dalam keadaan sekarang. 

    Ketika ini kerajaan negeri Johor yang diterajui Datuk Hasni Mohammad agak goyang kerana hanya memiliki kelebihan satu kerusi dalam DUN Johor selepas kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian. 

    DUN Johor yang diterajui Barisan Nasional hanya mempunyai 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

  • PLUS buka semula lorong SmartTAG

    PLUS buka semula lorong SmartTAG

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenal pasti beberapa penambahbaikan sebagai respons kepada kesesakan yang berlaku di plaza tol semasa pelaksanaan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dari Juru, Pulau Pinang ke Skudai, Johor pada 15 Jan lepas.

    PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah meluahkan kebimbangan berikutan rungutan orang ramai berhubung pelaksanaan awal projek rintis RFID dan penutupan lorong SmartTAG di plaza tol tertentu.

    Susulan itu, PLUS komited untuk membuka semula lorong SmartTAG, meningkatkan prestasi sistem dan menempatkan petugas di plaza tol sebagai langkah menambah baik pengalaman pengguna lebuh rayanya.

    “Kami akan membuka semula 16 plaza tol dengan 19 lorong Touch ‘n Go sebagai lorong SmartTAG menjelang 25 Jan sebagai persediaan menghadapi perjalanan balik kampung sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

    “Sebanyak 18 plaza tol lagi akan turut berbuat demikian selepas perayaan itu sehingga 19 Feb,” menurut kenyataan itu.

    Menurut PLUS, halangan bagi lorong bertindih yang lebih pantas akan ditempatkan di plaza tol yang sesak bagi memastikan lalu lintas dapat diurus dan disuraikan dengan cepat.

    “Selain itu, zon pengesanan visual RFID akan dicat pada lorong terbabit bagi membantu pengguna memposisikan kenderaan mereka bagi pengesanan optimum. 

    “PLUS juga telah menugaskan pembantu perkhidmatan pelanggan di kesemua 158 lorong RFID di 74 plaza tol bagi membantu pengguna yang terperangkap dengan peranti pengesan mudah alih,” menurut kenyataan itu.

    RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch ‘n Go di kebanyakan rangkaian tol lebuh raya sejak 2018 untuk memberi perkhidmatan kepada lebih 1.5 juta pelanggan sedia ada.

    Pada 15 Jan lepas, PLUS memperkenal pelaksanaan RFID di sepanjang lebuh rayanya sebagai tambahan kepada pilihan pembayaran tol kepada mereka yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri.

    — BERNAMA

  • Perjalanan VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

    Perjalanan VTL Malaysia-Singapura dibuka semula hari ini

    PENJUALAN tiket bas dan udara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin Malaysia- Singapura (VTL) dibuka semula berkuat kuasa hari ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula hari ini akan dikurangkan kepada 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

    Keputusan itu katanya, selepas VTL udara dan darat digantung sementara sejak 23 Disember lepas,

    “Bagaimanapun bagi penumpang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini walaupun akan melebihi kuota yang ditetapkan garis masa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket akan bergantung kepada penilaian risiko.

    “Penilaian risiko akan dilakukan dari semasa ke semasa di kedua-dua negara,” katanya.

    Beliau berkata, selaras dengan pengumuman itu, pengembara diingatkan mengenai keperluan melaksanakan ujian pantas antigen kendiri (RTK-Ag) pada hari kedua dan keempat serta keenam selepas ketibaan.

    “Ujian RTK-Ag profesional turut perlu dilakukan pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan,” katanya.

    Khairy berkata, semua pengembara disaran agar bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain.

    “Ia juga bagi memastikan perjalanan rentas sempadan melibatkan skim VTL Malaysia-Singapura ini dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

    VTL darat dan udara dilaksana pada 29 November tahun lalu sebelum penggantungan penjualan tiket dibuat pada 23 Disember susulan Singapura melaporkan satu kes Omicron tempatan dikesan.