JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sik sedang mengesan waris dan ibu kandung seorang kanak-kanak lelaki yang dirujuk oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sik pada tahun 2018.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Shamrul Izrin Isahak, kanak-kanak yang dikenali sebagai Adam ini dianggarkan berusia enam tahun ketika menerima aduan orang awam.
“Adam ditinggalkan seorang diri di bawah pokok di Kampung Kuala Jeneri, di Sik dan tidak ditemui sebarang dokumen pada dirinya.
“Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak- kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Sik telah memerintahkan agar kanak-kanak terbabit diletakkan dalam jagaan JKM mengikut Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak Kanak 2001 Pindaan 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Shamrul Izrin, berkata tarikh sebutan yang akan datang di Mahkamah Bagi Kanak Kanak Daerah Sik adalah pada 11 November 2022.
Katanya, Adam sudah tiga tahun berada dibawah jagaan JKM dan kini sudah berusia sembilan tahun.
Justeru beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris dari Kampung Kuala Jeneri itu berhubung dengan Pegawai Pelindung, Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sik dengan kadar segera di talian 04-4690230.
SERAMAI enam lelaki berketurunan Rohingya kini diburu polis selepas memukul seorang lelaki yang juga suspek kes samun dalam kejadian Kampung Pauh Badang, Kota Bharu, Selasa lalu.
Pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa pada Jumaat lalu mendakwa anaknya berusia 30 tahun dipukul sekumpulan lelaki sebelum ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, ibu mangsa menyedari kejadian apabila melawat anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas direman selama tujuh hari bermula 19 sehingga 25 Januari ini untuk membantu siasatan.
“Berdasarkan laporan, mangsa dipukul oleh sekumpulan lelaki Rohingya di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Mangsa yang mengalami kecederaan patah tangan dan kaki kanan kemudian mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Shafien berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang menjejaki kumpulan lelaki Rohingya berkenaan.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan menyerahkan suspek jenayah yang ditangkap kepada polis tanpa melakukan sebarang tindakan yang mendahului pihak berkuasa.
PENDENGARAN permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya, ditangguhkan ke 3 Feb.
Penangguhan itu berikutan peguam utama yang mewakili isteri bekas perdana menteri itu disahkan positif COVID-19.
Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu selepas peguam Azrul Zulkifli Stork, bertindak bagi pihak Rosmah memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguam utama Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent telah disahkan positif COVID-19 pada 17 Jan lepas dan beliau diarahkan menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari sehingga 26 Jan ini.
Menurut Azrul, isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu turut menjalani kuarantin sehingga 25 Jan kerana merupakan kontak rapat kepada peguam utamanya itu.
“Turut menjadi kontak rapat kepaan Geethan ialah peguam bela Rosmah yang lain iaitu Datuk Firoz Hussein (Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin) yang sedang menjalani kuarantin kendiri di Kota Kinabalu, Sabah sehingga 25 Jan manakala peguam Reza Rahim dan P. B Rajivan Nambiar dikuarantin sehingga 24 Jan.
“Oleh itu, saya memohon kes hari ini ditangguhkan ke 3 Feb ini,” kata peguam itu pada prosiding hari ini.
Azrul berkata surat berhubung permohonan penangguhan kes berkenaan telah dihantar kepada mahkamah pada 20 Jan lepas.
Mengenai permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes pengubahan wang haram dihadapinya, Azrul berkata pihaknya akan memfailkan permohonan berkenaan esok.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata pihaknya telah menerima surat daripada pembelaaan berhubung penangguhan kes, namun memaklumkan pendakwaan bersedia untuk meneruskan prosiding hari ini.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya.
Ini adalah kali kedua Rosmah memfailkan permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA), selepas hakim itu yang turut mendengar kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid, telah menolak permohonan Rosmah pada 14 Dis.
Rosmah menfailkan permohonan pertama atas alasan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram dihadapinya kerana hakim sama turut mendengar kes solar dihadapi isteri bekas perdana menteri itu.
Dalam permohonan kedua, Rosmah antara lain mendakwa tindakan pihak pendakwaan untuk membawa masuk percakapan beramaran kes pengubahan wang haramnya di dalam perbicaraan kes solar semestinya akan mempengaruhi Mohamed Zaini apabila beliau mendengar perbicaraan kes AMLA.
Rosmah juga merayu terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertamanya dan rayuan berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 23 Mac ini.
Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018. – Bernama
SEORANG jurujual kereta meninggal dunia akibat dirempuh sebuah lori dalam kemalangan di KM 34 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, berhampiran Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.45 malam, mangsa, Mohd. Rozimi Daud, 40 meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di bahagian kepala.
Sementara itu, rakannya, Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 45, mengalami cedera ringan di bahagian pinggang.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata, mangsa dan rakannya menaiki kereta jenis Proton Preve manakala lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dan rakan berusia 21 tahun.
Katanya, sebelum kejadian mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kota Bharu.
“Sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba sebuah lori datang dari arah bertentangan, gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan kereta mangsa dan bertembung,” katanya hari ini.
Tambahnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat kecuaian pemandu lori yang masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
Katanya, pemandu lori hanya mengalami cedera ringan manakala rakannya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif .
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Anis,Pasir Puteh untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Terdahulu, Rozimi yang bekerja sebagai jurujual kereta di Kota Bharu sempat memuat naik gambar menikmati teh tarik buih di Facebook pada jam 10 pagi, kira-kira sembilan jam sebelum kejadian.
Gambar terakhir itu kini dibanjiri komen dan ucapan takziah daripada ahli keluarga, rakan sekerja dan kenalan arwah yang meninggalkan seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.
Menerusi perkongsianAshraf Proton di Facebook, dia menyatakan bahawa arwah selamat dikebumikan pada pukul 7:30 pagi tadi.
SEORANG wanita maut selepas digilis lori dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 57, Jalan Ipoh – Kuala Lumpur, Tapah, pada pukul 7.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian tersebut, M. Sarasa, 50, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dalam perjalanan menuju ke Ipoh.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjatuh di atas jalan.
“Sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 67 tahun dari arah sama tiba-tiba menggilis mangsa. Mangsa yang parah maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
SEORANG lelaki yang dipercayai telah memenggal kepala ibunya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu, pertengahan bulan ini.
Mohamed Azam Abdul Rasib, 29, yang merupakan penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman yang kemudiannya menetapkan 28 Mac untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat, kimia dan forensik.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mohamed Azam didakwa membunuh Hamidah Ismail, 56, di sebuah rumah di Pasir Penambang, Kuala Selangor antara 8.10 pagi hingga 6.08 petang pada 15 Jan lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kenneth Oon manakala tertuduh diwakili peguam Naim Mahmud.
Terdahulu, Naim memohon mahkamah membenarkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri di mana-mana hospital kerajaan.
Roslizi berkata, permohonan tersebut perlu dibuat di Mahkamah Tinggi apabila kes tersebut dipindahkan ke mahkamah itu.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang penganggur yang disyaki memenggal kepala ibunya di sebuah rumah dan polis turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan dalam insiden itu.
Laporan awal ujian air kencing suspek mendapati dia positif dadah jenis metamfetamina serta amfetamina. – BERNAMA
BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang memerintahkannya membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Ahmad Zahid, 69, berkata, secara peribadi beliau akur dengan perintah yang diputuskan mahkamah kerana itu adalah hak mutlak hakim.
“Pasukan guaman saya akan meneruskan guaman ini (kes ini) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tadi. Tarikh-tarikh (bicara bela diri) telah ditetapkan dan tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap pertuduhan yang dihadapinya, hari ini.
Sebahagian daripada penyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menunggu di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB). GAMBAR: Warta Rakyat
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini pada pukul 9.03 pagi dan beredar pada 10.45 pagi.
Hampir 100 penyokong Presiden UMNO itu dilihat berkumpul di pekarangan mahkamah sejak 7.30 pagi.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik yayasan itu, yang dimilikinya selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat saksi dan pendakwaan berpeluang menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Berikut adalah kronologi kes berkenaan.
19 Okt 2018 – Ahmad Zahid didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen di sini atas 10 pertuduhan pecah amanah dan lapan pertuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.
14 Dis 2018 – Ahmad Zahid didakwa buat kali kedua di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan iaitu pecah amanah wang berjumlah RM10 juta milik YAB.
20 Feb 2019 – Ahmad Zahid didakwa kali ketiga di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan tambahan pecah amanah wang berjumlah RM260,000 milik YAB.
28 Feb 2019 – Mahkamah Sesyen memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah berkenaan untuk dibicarakan.
22 Mac 2019 – Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai hingga 12 Sept 2019 untuk perbicaraan kes itu.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
3 Mei 2019 – Mahkamah Tinggi melapangkan perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 Sept 2019 untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga dua minggu pertama November 2019.
Mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 Nov dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Dis 2019 untuk perbicaraan kes Ahmad Zahid.3 Mei 2019 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah pada 9 Mei hingga 3 Jun 2019.
14 Mei 2019 dan 23 Mei 2019 – Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan masing-masing menolak rayuan Ahmad Zahid bagi mendapatkan pasport untuk umrah.
18 Nov 2019 – Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah bermula.
2 Mac 2020 – Pihak pendakwaan memohon untuk memulakan prosiding menghina mahkamah susulan penangguhan perbicaraan pada hari tersebut selepas peguam yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan anak guamnya perlu menghadiri satu mesyuarat berkaitan pembentukan Kabinet bersama Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan pada hari tersebut.
3 Mac 2020 – Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Ahmad Zahid selepas beliau mengemukakan permohonan maaf secara terbuka.
22 Feb 2021 – Pasukan pembelaan Ahmad Zahid diminta menasihati anak guam mereka agar tidak menghadiri sebarang mesyuarat dalam tempoh sekurang-kurangnya seminggu sebelum perbicaraan berlangsung selepas kes rasuah itu ditangguh beberapa kali kerana beliau menjalani kuarantin.
Anggota Polis berkawal dihadapan pintu masuk Mahkamah ketika Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar keputusan akhir bagi 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
19 Mac 2021 – Pendakwaan menutup kesnya selepas 53 hari perbicaraan dan mendengar keterangan 99 orang saksi.
24 Ogos 2021 – Mahkamah Tinggi menyapina seorang doktor pakar daripada sebuah hospital swasta untuk menjelaskan di mahkamah keadaan kesihatan Ahmad Zahid kerana tertuduh tidak hadir pada perbicaraan kesnya.
Ahmad Zahid dilaporkan dimasukkan ke hospital susulan kecederaan yang dialaminya selepas terjatuh.
25 Ogos 2021 – Doktor pakar sebuah hospital swasta memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa Ahmad Zahid ‘mungkin’ boleh menghadiri prosiding kes rasuahnya pada 6 Sept.
6 Sept 2021 – Hujahan di akhir kes pendakwaan bermula. Ahmad Zahid hadir di mahkamah dengan memakai penyangga leher.
8 Sept 2021 – Hakim Mahkamah Tinggi memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes tersebut.
Amaran itu dikeluarkan susulan pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.
7 Okt 2021 – Ahmad Zahid membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya yang mengalami sakit belakang dan leher ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.
11 Okt 2021 – Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk mengembalikan pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman.
6 Dis 2021 – Hakim Sequerah menetapkan 24 Jan 2022 untuk keputusan di akhir kes pendakwaan selepas mendengar hujahan pendakwaan dan pembelaan selama 24 hari. – BERNAMA
SEORANG penjenayah Kanibal Perancis terkenal yang membunuh seorang petani sebelum memasak lidah dan jantung mangsa itu dengan kacang putih ditahan semula selepas melarikan diri daripada sebuah hospital di Toulouse.
Bagaimanapun Jeremy Rimbaud, 34 yang pernah bertugas sebagai tentera di Afghanistan sempat menyerang seorang wanita di daerah itu pada Rabu lalu kira-kira pukul 10 malam sebelum ditangkap semula.
‘’Wanita itu benar-benar takut,’’ kata satu sumber penyiasatan.
Penyiasat itu berkata, “Wanita itu bersama anjiingnya berjalan-jalan berhampiran bandar ketika Rimbaud menyerang.’’
“Dia menumbuk wanita itu pada bahagian belakang kepala dan memukulnya dengan sebatang kayu sebelum melarikan diri selepas orang ramai campur tangan dan menghalaunya,’’ katanya.
Tidak lama kemudian, wanita itu mendapat tahu dia diserang oleh seorang kanibal.
Sikap ganas Rimbaud yang pulang dari Afghanistan pada Jun 2011 terdedah lima bulan kemudian apabila, pada 14 November 2011, dia membunuh dan mengerat mayat Leopold Pedebidau, 90 tahun – seorang petani di barat Toulouse. Rimbaud memberitahu detektif, dia mendengar suara yang memberitahu untuk membunuh lelaki tua.
Rimbaud ditahan selepas dia cuma membunuh seorang lagi petani dengan batang besi dan dia kemudiaannya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta disahkan mengidap Schizophrenia. Ia akibat kesan ketika bertugas di Afghanistan.
Dia dikatakan mengambil pil ketamine apabila bertugas di barisan hadapan bagi memberikannya keberanian bersama-sama tentera Perancis yang lain.Peguamnya Maitre Francoise Seles menyifatkan, Rimbaud adalah mangsa perang Afghanistan.
Sementara itu polis memaklumkan siasatan dijalankan bagai mengenalpasti bagaimana Rimbaud dapat melarikan diri dari hospital di mana dia ditahan Uni Psikiatri sejak tahun 2011.
ANAK saudara kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa dan bekas pekerjanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah untuk tidak melaporkan kemasukan pekerja asing kepada pihak imigresen, lima tahun lepas.
R Naveen Kularasa, 50, yang juga pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen itu dan Nico Kam Joo Hoe, 24, bekas pekerja Sivarasa masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama telah secara rasuah meminta wang tunai RM55,000 bagi diri mereka daripada warga Bangladesh, Mono Miah Siddikur Rahman sebagai dorongan kononnya untuk tidak melaporkan kepada pihak imigresen berkaitan Syarikat Dyna Maintainance Services Sdn Bhd milik individu itu yang dikatakan telah membawa masuk pekerja asing dengan menggunakan kelayakan profesional untuk kerja-kerja buruh.
Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, kedua-dua lelaki itu didakwa telah secara rasuah iaitu bersetuju untuk menerima bagi diri mereka wang tunai RM45,000 dan menerima wang tunai RM20,000 daripada pemilik syarikat sama melalui Kam (tertuduh kedua) berhubung perkara sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Cheras dan di sekitar Kuala Lumpur pada 1 petang hingga 10 malam, antara 17 hingga 21 Sept 2017.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat Rasyidah Azmi Kalai menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, namun Kam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia baru mendapat pekerjaan sebagai pemandu van, berpendapatan RM2,200 sebulan.
“Saya datang ke mahkamah hari ini dengan menggadai emas (barang kemas) milik ibu dan saya dapat RM1,500 sahaja. Ibu saya hadir ke mahkamah hari ini sebagai penjamin,” kata Kam yang turut memaklumkan dia memberi kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa semasa siasatan.
Peguam M. Puravalen mewakili Naveen tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung jaminan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Feb ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam bagi Kam. – BERNAMA
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Padang Besar merampas sembilan tan ikan selar sejuk beku dari Thailand dianggarkan bernilai RM9,000, Jumaat lepas.
MAQIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menahan sebuah lori sejuk beku yang membawa masuk ikan tersebut tanpa Permit Import sah di Unit Pemeriksaan Kargo MAQIS, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Padang Besar kira-kira 11 pagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama,” menurut kenyataan itu.
Menurut MAQIS, pihaknya dimaklumkan ikan selar sejuk beku tersebut mendapat permintaan tinggi di negara ini terutama di sekitar Selangor. Sehubungan itu, MAQIS meminta semua pemain industri supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh kerajaan atau akan berdepan tindakan undang-undang. – Bernama