Category: Semasa

  • Untitled post 79778

    Wanita lemas, suami dan anak hilang jatuh bot di Tumpat

    SEORANG wanita lemas selepas terjatuh daripada bot yang dikatakan terhenti secara tiba-tiba dalam kejadian di Sungai Kampung Kutan Hulu, Tumpat petang semalam. 

    Ketika kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, suami dan anak saudara mereka yang turut bersama masih hilang.

    Ketua Polis Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mangsa lemas dikenali sebagai Nor Awadah Sulong, 30.

    “Suami mangsa dikenali sebagai Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, serta anak saudaranya, Amrullah Fitri Afendi, 10. Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu, Wan Nur Ameena Wan Muhamad yang turut bersama selamat kerana dikatakan berpegang pada stereng bot,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau memberitahu, kesemua mangsa dikatakan bersiar-siar di sungai itu dengan menaiki bot Wan Muhamad Najmi sebelum enjin bot mati secara tiba-tiba dan mereka terjatuh ke dalam sungai.

    Tambah beliau, mangsa sudah dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Nazah Nafi, berkata, operasi selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) akan disambung semula pagi Sabtu.

    Katanya, operasi malam ini diteruskan dengan kerja-kerja menyelamat di kawasan permukaan sungai.

    Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turut hadir di lokasi itu untuk bertanya khabar dan menyantuni keluarga mangsa.

  • Hadi dirawat di hospital, anak mohon doa kesembuhan

    Hadi dirawat di hospital, anak mohon doa kesembuhan

    TAN Sri Abdul Hadi Awang kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut berikutan kesihatan Presiden Pas itu merosot sedikit sebelum Aidiladha lalu.

    Sehubungan itu anak beliau, Muhammad Khalil Abdul Hadi memohon doa dan solat hajat untuk kesembuhan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

    ‘’Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita sema,’’ katanya dałam kenyataan di Facebook beliau.

    Muhammad Khalil berkata Abdul Hadi sedang menjalani pemantauan lanjut oleh doktor.

    ‘’Kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihan raya DPPN (Dewan Pemuda Pas Negeri) Terengganu tempo har sudahpun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya,’’ katanya.

  • Menteri Pelancongan dakwa gejala rasuah kronik di KLIA 

    Menteri Pelancongan dakwa gejala rasuah kronik di KLIA 

    MENTERI Pelancongan, Seni, dan Budaya Tiong King Sing mendakwa “peristiwa yang memalukan negara” telah terbongkar, susulan laporan mengenai kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan warga China ditahan di balai ketibaan.

    Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang “kronik” di pintu masuk negara.

    “Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Terdahulu, portal Bebas News melaporkan seorang menteri membuat kecoh apabila masuk ke balai ketibaan untuk membantu seorang warga China yang ditahan daripada masuk ke negara ini.

    Menteri itu juga dilaporkan memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen ketika beliau cuba membantu wanita berkenaan.

    Tiong mengesahkan beliau individu dalam gambar kejadian yang ditularkan, dan berada di KLIA ketika itu selepas menerima aduan daripada pelancong.

    Beliau menafikan dakwaan dia melepaskan pelancong yang ditahan imigresen.

    “Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian.”

    Menurutnya, kejadian itu menimbulkan masalah komunikasi antara pelancong dan pegawai terbabit sehingga menyebabkan imigresen gagal mendapatkan dokumen yang diperlukan.

    “Timbul persoalan kenapa mereka menolak penterjemah yang disediakan oleh Malaysia Airports Holding Berhad?.” katanya.

    Menurut Tiong, bersamanya ketika itu pegawai siasatan dari unit integriti bawah kementerian.

    “Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal. Saya merasakan sudah tiba masanya SPRM masuk ke KLIA secara besar-besaran,” katanya.

    Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook hari ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

  • Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

    Imigresen buat siasatan serta-merta kekecohan libat menteri di KLIA

    JABATAN Imigresen Malaysia telah memulakan siasatan serta-merta berhubung insiden seorang menteri didakwa melakukan kekecohan supaya seorang pelawat dari China dibebaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menegaskan, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek berkaitan.

    Sehubungan itu, Ruslin meminta orang ramai supaya memberi ruang agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.

    Pada masa sama, beliau juga memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi yang boleh mengganggu siasatan.

    “Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan. Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh merangkumi semua aspek yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA kerana mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

    Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

    Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

    Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

  • 7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    7 buah kilang musnah dalam kebakaran 

    TUJUH kilang dan satu stor simpanan barangan musnah manakala dua  lagi rosak teruk dalam kebakaran di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu tidak melibatkan mangsa.

    “Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.15 pagi dan pasukan pertama sampai ke lokasi kejadian 23 minit kemudian.

    “Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya kebakaran bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.

    “Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar,” katanya.

    Wan Md Razali berkata lapan premis yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang membuat perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.

    Katanya api dapat dikawal pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

    — BERNAMA

  • Pemuda UMNO desak pecat menteri buat kecoh di KLIA

    Pemuda UMNO desak pecat menteri buat kecoh di KLIA

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengambil tindakan tegas termasuk memecat seorang menteri yang didakwa membuat kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, perbuatan menteri berkenaan tidak boleh diterima sama sekali oleh semua rakyat Malaysia.

    Menurut Muhamad Akmal, ia kerana tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang walau siapa dan apa juga jawatan yang disandangnya.

    “Tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang. Waima siapa dan apa sekali pun jawatan kamu. Saya mohon untuk YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri untuk mengambil tindakan terhadap kelakukan menteri yang tidak wajar ini. Seharusnya dilucutkan jawatan sebagai menteri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Mengulas lanjut, Muhamad Akmal menegaskan, tugas sebagai seorang menteri bukan bermakna individu itu boleh melakukan apa sahaja.

    “Menteri bukan bermakna kamu boleh melakukan apa sahaja, menteri bermakna kamu perlu bekerja dan melaksanakan amanah rakyat, bukan sebaliknya,” tegasnya.

    Semalam, seorang menteri didakwa telah melakukan ‘kekecohan’ di KLIA selepas mahu ‘menyelamatkan’ seorang pelawat China yang ditahan daripada masuk ke Malaysia.

    Menurut laporan Bebas News yang memetik sumber, menteri berkenaan dikatakan telah menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa tanpa memohon pas keselamatan.

    Menteri berkenaan kemudiannya menggunakan kuasanya dan memarahi Polis Bantuan KLIA serta pegawai Imigresen apabila tindakannya mahu ‘membebaskan’ pelawat warga China itu dihalang.

    Difahamkan, ini adalah kali ketiga menteri tersebut melakukan tindakan sedemikian membabitkan pelawat yang ditahan daripada memasuki negara.

  • Cuepacs desak kerajaan siasat isu menteri buat kecoh di KLIA

    Cuepacs desak kerajaan siasat isu menteri buat kecoh di KLIA

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendesak pihak berkuasa dan kerajaan melakukan siasatan terperinci berkenaan isu tular seorang menteri yang didakwa membuat ‘kecoh’ serta menceroboh dewan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku seperti yang didakwa kerana ia melibatkan pelanggaran protokol keselamatan negara serta mengganggu tugas penjawat awam.

    “Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar perkara tersebut dilakukan. Semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas. Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang telah ditetapkan,” katanya kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan suasana di balai ketibaan KLIA pada Khamis kecoh apabila seorang individu dipercayai menteri cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen pada Khamis.

    Menurut sumber, pelawat warga China itu ditahan oleh pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

    Tindakan menteri itu didakwa dilakukan hanya kerana mahu menyelamatkan pelancong asing yang ditahan ketika mahu memasuki negara.

    Adnan menegaskan, sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri berkenaan boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang.

    Justeru, katanya, Cuepacs berharap satu siasatan penuh dilakukan oleh pihak berkuasa dan kerajaan dalam memastikan tindakan sama tidak berulang pada masa akan datang.

    “Tiada individu yang lebih besar daripada undang-undang negara dan jika berlakunya pelanggaran undang-undang dalam hal ini, tindakan tegas wajar diambil oleh kerajaan bagi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Cuepacs tidak mahu tugas yang dilaksanakan oleh penjawat awam bagi menjaga kedaulatan negara diganggu hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu. Setiap tindakan yang dilakukan oleh penjawat awam sudah pasti berlandaskan undang-undang sedia ada,” ujarnya.

  • Ketua Pemuda MIC Selangor pula letak jawatan

    Ketua Pemuda MIC Selangor pula letak jawatan

    *Vigneswaran kata, Punithan mahu sertai Perikatan Nasional*

    KEMELUT dalaman MIC dilihat semakin ‘meruncing’ apabila dua pemimpin meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu. 

    Hari ini, Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

    Peletakan jawatan itu berlaku hanya tiga hari selepas bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraaj Chandran yang juga Ahli Dewan Negara keluar daripada parti tersebut.

    Dalam surat bertarikh 30 Jun 2023 kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Punithan turut memaklumkan untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai, Kuala Selangor, lapor ASTRO AWANI.

    Namun, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung tindakannya itu dalam surat berkenaan.

    “Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun termasuk pernah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan dan banyak lagi jawatan utama di sayap Pemuda peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC,”  katanya dalam surat tersebut.

    Dalam pada itu, Punithan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MIC di semua peringkat, khususnya sayap Pemuda MIC Selangor, yang bersama-sama beliau serta memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang karier politiknya ketika bersama parti terbesar kaum India itu.

    “Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi sepanjang 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC,” ujarnya lagi.

    Pada masa sama, beliau berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah Kerajaan Perpaduan.

    Punithan menyertai MIC pada 2008 sebelum diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli CWC bagi penggal 2018 hingga 2021.

    Beliau juga antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum kerusi itu diberikan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    SEMENTARA itu, Malaysiakini melaporkan, Vigneswaran berkata, tindakan Punithan itu disebabkan bekas Ketua Pemuda MIC Selangor tersebut dikatakan akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Presiden MIC SA Vigneswaran menjelaskan perkara itu ketika diminta mengulas keputusan Punithan yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (CWC) MIC itu.

    “Beliau (Punithan) datang jumpa saya dua hari yang lalu. Kami berbincang panjang lebar mengenai politik dan masa depan dia. Dalam perjumpaan itu, dia memberitahu hasratnya bahawa ingin keluar dari MIC dan meneruskan karier politik bersama PN. Saya menerima keputusan dia. Saya dengan ini mengucapkan selamat maju jaya kepada saudara Punithan bersama PN,” katanya.

  • Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng-geng kaya’

    Anwar dakwa terima ugutan daripada ‘geng-geng kaya’

    PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memberitahu kepada warga Permatang Pauh tentang ugutan yang beliau terima daripada ‘geng-geng kaya-raya’ ketika kerajaan berusaha ‘membersihkan’ negara.

    Bertemu penduduk dalam majlis kenduri Aidiladha di Kampung Guar Perahu, Anwar berkata kelompok tertentu itu berpakat ketika negara terbeban dengan hutang RM1.5 trilion dan rakyat kesusahan.

    “Keadaan susah jadi kita patut bersihkan negara ini daripada kerja rasuah dan penyelewengan. Macam-macam ugutan saya terima. Geng-geng kaya-raya ini dah berpakat,” katanya kepada ratusan hadirin di luar sebuah masjid di Guar Perahu, lapor FMT.

    Anwar turut membidas kelompok yang cuba memainkan sentimen Melayu dan sebagainya ketika ‘pembersihan’ itu. “Geng penyakau bilion-bilion pakat sekarang ini, nak buat ‘hidup Melayu’ dan sebagainya – hang buat tak (penyelewengan)?”

    “Saya lawan tetap lawan,” katanya, sambil menepis dakwaan beliau mengayakan keluarganya atau berdendam. Satu kepentingan keluarga saya tak pertahankan. Tidak ada sama sekali,” katanya.

    Anwar mewakili rakyat Parlimen Permatang Pauh dari 1986 hingga 1999, dan kemudian 2008 hingga 2015.

    Beliau kini Ahli Parlimen Tambun. Rakyat Permatang Pauh sekarang diwakili oleh Ahli Parlimen dari Pas.

    “Saya nak perbaharui silaturahim dan jumpa kawan-kawan lama. Saya tak pernah lupa jasa dan pengorbanan rakan-rakan di Permatang Pauh,” katanya.

    Anwar memberitahu warga Permatang Pauh bahawa usaha kerajaan meningkatkan Islam, melawan rasuah, dan membaiki tatakelola tidak pernah dibantah oleh mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan.

    “Yang saya dok dengar (dakwaan terhadap parti-parti dalam kerajaan) ini di luar – orang buat macam-macam tuduhan dan tohmahan,” katanya.

    Sementara itu BERNAMA melaporkan, dalam ucapan yang sama Anwar berkata, beliau bersedia memberi kerjasama termasuk disiasat mana-mana pihak berkuasa sekiranya beliau didapati terlibat dalam kes rasuah.

    Anwar berkata selama tujuh bulan diberikan amanah untuk mentadbir negara, tiada satu kepentingan pun diberikan kepada keluarganya.

    “Kalau kata saya terlibat kes rasuah, gunakan wang mengayakan Wan Azizah, Nurul Izzah dan anak-anak. Itu boleh bawa (lapor kepada pihak berkuasa),” katanya i.

    Pada masa yang sama, Anwar juga mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak pernah berdendam dengan sesiapa serta mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah ketika ini.

    “Sesiapa sahaja disiasat SPRM, itu kerja SPRM. Saya tidak arahkan kerana saya tidak mahu memfitnah. Saya sendiri melalui liku-liku hidup yang susah. Jadi apabila ada kuasa, takkan saya nak buat kerja sebegitu (politik dendam)…kalau lakukannya maknanya kita serupa sahaja (pimpinan dulu),” kata Anwar.

    Perdana Menteri menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri serta timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan mahupun bekas menteri sekiranya mereka terlibat dalam kes rasuah.

    Menurutnya, dalam perkara itu semua badan penguat kuasa seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Bank Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diarahkan menjalankan tanggungjawab dengan tegas dan berani dalam kes rasuah.

    Anwar berkata komitmennya untuk membanteras amalan rasuah diterima baik dan tidak pernah dibantah oleh setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan, ini termasuk segala perancangan untuk setiap pembangunan di negara ini.

  • Lelaki dituduh bunuh teman wanita

    Lelaki dituduh bunuh teman wanita

    SEORANG lelaki hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh teman wanitanya semasa bergaduh di sebuah rumah kedai, Sabtu lepas.

    Saini Irwandy Sofian Sani, 23, dituduh menyebabkan kematian Shahwani Abdullah, 24, antara pukul 5 petang dan 4.54 pagi pada 24 Jun lepas di Taman Song Choon Ipoh, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman mati.

    Tiada pengakuan direkodkan, dan Majistret Jesseca Daimis menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta forensik, selain lantikan peguam, lapor Bernama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. M Moganaraj Mithra.

    Media sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dibunuh teman lelakinya yang berada di bawah pengaruh dadah di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon Ipoh minggu lepas.