Category: Semasa

  • ‘’ Nak bincang apa lagi?’’ – Nur Jazlan bidas Pas Johor mahu jumpa MB

    ‘’ Nak bincang apa lagi?’’ – Nur Jazlan bidas Pas Johor mahu jumpa MB

    LANGKAH Pas Johor untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad bagi berbincang mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN)  dilihat sebagai usaha parti itu untuk menyelamatkan diri dan menjadi kerajaan melalui “pintu belakang”.

    Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk  Nur Jazlan Mohamed  berkata,  ini kerana Pas tahu bahawa parti itu tidak mempunyai sokongan yang kuat di negeri tersebut.

    “Jadi mereka nak runding untuk dapat kerusi dan supaya UMNO tolong mereka. Tapi buat apa kita nak tolong orang yang lemah? Pas sudah buktikan di Melaka, mereka tanding sendiri dan kalah semua kerusi.

    “UMNO pun dah tawarkan (ketika itu) untuk (Pas) tanding lima kerusi tapi mereka pilih nak tanding sendiri, sudahnya kalah semua. Keadaan sokongan Pas dekat Johor ini pun sama dengan Melaka, amat kurang.

    “Jadi, saya lihat ia sebagai cara Pas untuk masuk pintu belakang, konon-konon nak kerjasama dengan UMNO tapi tak ikhlas,” katanya lapor Malaysiakini.

    Semalam,  Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin berkata, pihaknya cuba bertemu dengan Hasni sehari selepas BN menyatakan hasrat gabungan itu untuk bergerak secara solo.

    Abdullah yang dipetik portal berita rasmi Pas, Harakahdaily berkata ia bagi berbincang mengenai PRN akan datang dalam semangat Muafakat Nasional (MN).

    Mengulas lanjut, Nur Jazlan secara peribadi berkata beliau tidak akan bertemu dengan pimpinan Pas kerana UMNO sudah lama memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN).

    “Saya tak akan jumpa (pimpinan Pas), sebab saya tak percaya orang Pas ini,” katanya.

    Nur Jazlan berkata terpulang kepada Hasni sama ada mahu mengadakan pertemuan itu atau pun tidak tetapi sebarang keputusan berhubung kerjasama tetap peru dibawa ke peringkat jawatankuasa UMNO negeri.

    “Kita tak macam Pas yang Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) boleh buat keputusan sendiri bagi orang bawah. Maknanya, jika Hasni mahu buat keputusan kerjasama pun dia kena bawa ke peringkat Jawatankuasa UMNO negeri dulu. Dia tidak boleh buat keputusan sendiri,” katanya lagi.

    Bagi Nur Jazlan, tiada apa lagi yang perlu dibincangkan dengan Pas memandangkan parti itu sudah menyatakan hasrat untuk kekal bekerjasama dengan PN.

    “Kita pun memang dah lama buat keputusan di peringkat pusat bahawa kita tidak mahu kerjasama dengan PN. Sekarang nak bincang apa lagi?” soalnya lagi.

  • Mahkamah Tinggi kenakan hukuman penjara 24 bulan terhadap bekas CEO Transmile

    Mahkamah Tinggi kenakan hukuman penjara 24 bulan terhadap bekas CEO Transmile

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menaikkan hukuman penjara terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Eksekutif Transmile Gan Boon Aun kepada 24 bulan, sekali gus membenarkan rayuan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap hukuman penjara satu hari yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

    Mahkamah Tinggi juga mengekalkan denda awal sebanyak RM2.5 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Ogos, 2020, kata SC dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

    Gan disabitkan kesalahan kerana memberi kenyataan yang mengelirukan dengan niat untuk menipu berkaitan pendapatan Transmile Group Bhd dalam Laporan Suku Tahun syarikat mengenai Keputusan Disatukan yang Belum Diaudit bagi Tahun Kewangan berakhir 31 Disember, 2006.

    Penyata mengelirukan mengenai jumlah pendapatan terdiri daripada lebih RM333 juta angka jualan yang direka. Sabitan Gan adalah di bawah seksyen 122B yang dibaca bersama seksyen 122(1) Akta Perindustrian Sekuriti 1983.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mengambil maklum usaha yang dilakukan oleh SC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Gan bahawa beliau telah mengelak daripada ditangkap, sekali gus gagal menghadiri perbicaraan rayuan.

    Gan masih bebas dan SC sedang mendapatkan maklumat daripada pihak awam untuk mengesannya.

    — BERNAMA

  • PN tanding semua 56 kerusi, tumpu tarik sokongan pengundi muda – Muhyiddin

    PN tanding semua 56 kerusi, tumpu tarik sokongan pengundi muda – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan bertanding di kesemua 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia adalah pendirian perikatan itu setakat ini selepas mengadakan perbincangan dengan rakan dalam parti gabungan termasuk Pas dan Gerakan.

    “Kalau setakat hari ini begitulah (tanding semua kerusi DUN Johor). Kita belum berjumpa PN secara semua tapi pandangan pimpinan parti gabungan begitulah,” katanya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, di Shah Alam, malam ini.

    Muhyiddin juga memaklumkan Pas setakat istiqomah untuk kekal bersama PN berhadapan pilihan raya itu.

    Mengenai cadangan supaya PN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) bagi berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), bekas Perdana Menteri itu menganggap ia hanya pandangan sahaja.

    “Itu hanya dakwaan mereka. Saya kata, kita belum ada mesyuarat apa-apa setakat ini. Pendirian kita hanya PN saja, kalau ada pihak tertentu katakan sesuatu, itu pendirian mereka. Kita setakat hari ini PN,” katanya.

    Namun begitu, beliau berkata, PN bersedia menerima pandangan pelbagai pihak mengenai konsep kerjasama politik melibatkan gabungan lain sama ada PH atau BN.

    “Setakat ini belum ada apa-apa lagi. Saya tak tahu apa tujuan mereka. Biasa sikap kita terbuka dengan pandangan orang. Kita tak mudah nak tolak,” katanya.

    Muhyiddin memberitahu, gerak kerja PN dalam PRN itu  adalah menarik sokongan pengundi baru yang berjumlah lebih 700,000 termasuk pengundi 18 tahun dan PN menggabungkan calon muka baru dengan senior.

    Bagi PRN Johor, jumlah pengundi muda dianggarkan 749,731 menjadikan jumlah pengundi di negeri itu yang akan mengundi pada PRN kali ini ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pada PRU-14.

  • Muhyiddin tidak pertahan kerusi DUN Gambir

    Muhyiddin tidak pertahan kerusi DUN Gambir

    TAN Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan beliau tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN)  itu berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu dalam PRN berkenaan.

    “Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

    “Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya.

    Beliau yang juga Presiden Bersatu berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat parti itu di Shah Alam, mala mini.

    Muhyiddin menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

  • Kes penyelewengan projek 6 kapal LCS:Dua Ketua Pegawai Eksekutif ditahan

    Kes penyelewengan projek 6 kapal LCS:Dua Ketua Pegawai Eksekutif ditahan

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dengan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif daripada syarikat yang terlibat.

    Menurut sumber, kedua-dua individu itu berusia 79 dan 49 tahun ditahan pada petang semalam di Ibu Pejabat SPRM ketika memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

    “Kedua-dua individu itu ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

    “Seorang lagi, disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek tersebut,” katanya.

    Katanya, siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

    Sebelum ini, SPRM menerima aduan berhubung projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

    Laporan yang dibuat kepada SPRM adalah bagi membuat siasatan ke atas pelaksanaan projek tersebut susulan kegagalan pihak berkenaan menyerahkan kapal itu mengikut tempoh ditetapkan.

    Mengikut kontrak asal yang ditandatangani pada 2014, LCS pertama sepatutnya diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada April 2019 dan bayaran sebanyak RM6 bilion juga telah dibuat.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu itu.

    “Ya, memang benar, ramai akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

  • Selepas viral laporan ular sawa, wartawan cilik buat laporan di pasar pula

    Selepas viral laporan ular sawa, wartawan cilik buat laporan di pasar pula

    SELEPAS tular video penemuan ular sawa, kini wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd Asyraf tampil dengan membuat laporan langsung di Pasar Bukit Selambau, Kedah. 

    Sekali lagi, kepetahan Haziq menarik perjatian ramai menerusi video berdurasi dua minit 20 saat yang tular di aplikasi Twitter. 

    Menerusi video tersebut, remaja berumur 12 tahun itu menemuramah beberapa peniaga di pasar tersebut dengan yakinnya dan dilihat seperti sudah terbiasa membuat liputan.

    Memetik laporan Astro Awani, ayahnya, Mohd Asyraf Ahmad, 37, yang berniaga di pasar berkenaan menyatakan bahawa dunia kewartawanan adalah antara cabang kerjaya yang diminati oleh anaknya selain menjadi chef tersohor yang merupakan cita-cita sebenarnya.

    Selain itu, Muhammad Haziq turut menyatakan bahawa kehidupannya mula berubah selepas videonya tular dan orang ramai yang menyedari kehadirannya mahu merakamkan foto kenangan terutama dalam kalangan guru sekolah dan pengunjung Pasar Pagi Bukit Selambau.

    Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memberi pujian terhadap kemahirannya yang mampu membuat liputan secara langsung dengan cara penceritaannya yang mudah menangkap perhatian penonton. 

    Terdahulu, tular sebuah video Muhammad Haziq yang petah berkata-kata dengan lenggok tidak ubah seperti seorang wartawan ketika ‘melaporkan’ kejadian penemuan seekor ular di Bukit Selambau.

    Menerusi video tersebut, Muhammad Haziq menyatakan air dalam longkang tersebut bertakung tinggi disebabkan terdapat seekor ular di dalamnya dan mencuba sehabis baik untuk tidak terlepas sebarang maklumat ketika melaporkan kejadian berkenaan biarpun dalam keadaan termengah-mengah

  • Penumpang samun, tikam pemandu e-hailing ditahan

    Penumpang samun, tikam pemandu e-hailing ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki menikam dan menyamun seorang pemandu e-hailing, dalam satu kejadian di Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi di Kota Damansara, Selangor selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 47 tahun itu mengambil suspek yang juga penumpang itu di Putrajaya, kira-kira 1 tengah hari.

    “Apabila tiba di lokasi kejadian, suspek meminta nombor akaun untuk membuat pembayaran namun ketika mangsa sedang mencari nombor tersebut, suspek bertindak menikam leher mangsa sebelum melarikan diri dengan kenderaan milik mangsa.

    “Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera dibantu orang awam dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beh berkata pihaknya berjaya menemui semula kereta Proton Saga milik mangsa dengan nombor pendaftaran telah dibuang dalam tong sampah, serta beberapa barangan peribadi milik mangsa.

    “Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Terdahulu, tiga video mengenai kejadian itu tular di media sosial, memaparkan tindakan seorang lelaki menarik keluar individu dipercayi pemandu e-hailing yang mempunyai kesan darah di bahagian lehernya, sebelum melarikan diri dengan kereta mangsa. – Bernama

  • Malaysia terima sejuta doa vaksin Sinopharm dari UAE

    Malaysia terima sejuta doa vaksin Sinopharm dari UAE

    MALAYSIA akan menerima sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 jenis Sinopharm dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kumpulan pertama 500,000 dos tiba hari ini.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata bantuan dari UAE itu akan melengkapkan usaha Malaysia dalam menangani pandemik COVID-19 selain menandakan hubungan diplomatik penting antara kedua-dua negara.

    “…kami ingin berterima kasih kepada kedutaan UAE dalam memudahkan dan menyelaras penghantaran sumbangan vaksin COVID-19 (Sinopharm).

    “Semoga hubungan sebagai dua negara bersaudara kekal kukuh untuk kerjasama masa hadapan dan manfaat ummah keseluruhannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur Nour Ibrahim Ali Rashed AlKuwaiti, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM) Harjeet Singh serta pegawai kanan dari Kementerian Luar dan KKM.

    Sementara itu, mengenai sumbangan vaksin, Nour berkata, baki 500,000 dos vaksin Sinopharm akan diserahkan kepada Malaysia dalam masa dua minggu.

    Beliau berkata sejak bermulanya pandemik, UAE sentiasa memandang Malaysia sebagai rakan karib dan sekutu selain memberi banyak sumbangan untuk menyokong negara dalam melawan virus COVID-19.

    “Dengan sumbangan ini, UAE berdoa agar pandemik ini segera berakhir dan berharap sumbangan ini akan terus menyokong Malaysia dalam memerangi virus COVID-19,” katanya.

    Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada vaksin Sinopharm akan diberi sebagai suntikan penggalak, Harjeet berkata Kumpulan Kerja Teknikal bagi Vaksinasi COVID-19 Kementerian Kesihatan akan memutuskan perkara itu.

    “Yang ini akan ditentukan oleh jawatankuasa teknikal di peringkat Kementerian (Kesihatan), tapi sementara kita dah dapat (vaksin Sinopharm) ini jadi jawatankuasa teknikal itu akan perakukan dahulu kepada pihak kementerian, jadi kita kena tunggu,” katanya.

    UAE sebelum ini telah memberi bantuan COVID-19 kepada Malaysia seperti menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR pada Mac 2020 dan tujuh tan pensanitasi tangan yang dibuat khusus untuk Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) Wisma Putra pada Mei 2020. – Bernama

  • Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    Tular Lelaki OKU curi pakaian dalam pelajar wanita ditahan

    SIKAP pelik seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang mencuri pakaian dalam pelajar wanita di sebuah universiti awam di Kuala Nerus, Terengganu terbongkar setelah kegiatannya itu disedari pelajar universiti berkenaan.

    Perbuatan suspek berusia 37 tahun itu diketahui selepas beberapa pelajar perempuan ternampak lelaki itu berlegar-legar di sekitar asrama tersebut sebelum menghubungi polis.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, lelaki berkenaan ditahan kira-kira pukul 7 petang hari yang sama di lokasi terbabit.

    “Suspek yang juga OKU pendengaran telah direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

    “Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mencuri dan menceroboh.

    Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi lapan saat yang memaparkan seorang lelaki berlegar di kawasan ampaian asrama wanita di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Nerus.

  • Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    Kertas siasatan ADUN positif dadah perlu tindakan susulan

    KERTAS siasatan berhubung penahanan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Perak, kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai pada 13 Jan lepas, telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, hari ini.

    Namun Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata kertas siasatan itu, telah dikembalikan kepada polis dengan beberapa tindakan yang perlu diambil oleh pihaknya.

    Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan tindakan atau maklumat yang perlu dikemas kini, seperti di minta oleh Pengarah Pendakwaan Negeri.

    “Hari ini polis telah serahkan kertas siasatan kes itu dan ia turut ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, atas permintaan beliau (Pengarah Pendakwaan Negeri) kertas siasatan tersebut dikembalikan dengan beberapa tindakan untuk diambil oleh pihak polis.

    “Polis akan lengkapkan tindakan yang diminta itu, dan kita jangka kertas siasatan tersebut akan diserahkan kembali dalam tempoh dua minggu lagi.

    “Kami juga masih menunggu laporan patologi berhubung sampel air kencing ADUN berusia 54 tahun berkenaan, bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam di sebuah pusat hiburan di Perai itu, seramai 48 individu ditahan, dengan 36 daripadanya berkaitan kes narkotik manakala, 12 lagi berkaitan kes jenayah.

    Mereka yang ditahan kerana positif dadah termasuk ADUN tersebut, dan dua anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Kontinjen Perak dan Pulau Pinang.

    ADUN Pasir Bedamar Terence Naidu yang ditahan itu, kemudiannya mendakwa ujian kedua air kencing yang dilakukan di sebuah klinik swasta – Klinik 02 di Pulau Pinang didapati negatif, dan meminta polis menjalankan siasatan segera. – Bernama