Category: Semasa

  • Nk Persekutuan dengar permohonan Rosmah rayu batal kes rasuah solarnya pada 29 November

    Nk Persekutuan dengar permohonan Rosmah rayu batal kes rasuah solarnya pada 29 November

    MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 29 November untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan beliau untuk membatalkan perbicaraan kes hibrid solarnya.

    Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tarikh itu.

    Tarikh pendengaran itu ditetapkan susulan pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Faezahnoor Hassan hari ini. 

    Pada 22 Julai lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah, 72, atas alasan rayuan beliau tidak mempunyai merit.

    Isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lepas bagi memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman.

    Beliau menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan (mendiang) Gopal Sri Ram sebagai responden. Sri Ram meninggal dunia pada 28 Januari lepas.

    Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 dan 21 Mei 2021 adalah menyalahi undang-undang. 

    Beliau turut memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung dari 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Pada 30 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah dan beliau telah membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan namun turut ditolak.

    Beliau kemudian memfailkan permohonan pada 5 Julai lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan. 

    Menerusi permohonan itu, Rosmah meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan lima persoalan undang-undang. 

    Pada 1 September 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. 

    Rosmah kemudian memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman dan kini bebas dengan jaminan RM2 juta.

  • PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

    PH-BN berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram

    PAKATAN Harapan (PH) berisiko kehilangan DUN Simpang Jeram pada PRK kali ini, kata penganalisis yang menjangkakan peralihan sokongan dalam komuniti Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

    Peralihan itu didorong oleh ketidakpuasan hati terhadap situasi ekonomi semasa, dan bukannya sokongan tulen terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas.

    Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan akan ada suatu bentuk penolakan dalam kalangan pengundi Melayu terhadap kerajaan perpaduan di kerusi yang dimenangi oleh Parti Amanah Negara (Amanah) sejak dua pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Simpang Jeram agak kritikal. PH tak mustahil hilang kerusi jika lihat perkembangan sekarang,” katanya kepada FMT, sambil menarik perhatian kepada kedudukan DUN itu yang berdekatan Parlimen Pagoh dan kubu kuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    DUN Simpang Jeram yang terletak dalam Parlimen mempunyai sekitar 55% pengundi Melayu. Pernah dimenangi Pas pada PRU12 dan PRU13, PH merampasnya pada PRU14 dengan majoriti 7,687 undi. Usaha mempertahankan kerusi itu pada PRN Johor 2022 menyaksikan kelebihan undi berkurangan, kepada 2,399 undi.

    Situasi lebih baik bagi PH di Parlimen Pulai, yang dijangka akan dapat mempertahankan kerusi itu namun dengan majoriti undi yang lebih kecil.

    Mazlan berkata, peratusan pengundi bukan Melayu mengatasi pengundi Melayu yang membentuk sekitar 44% pemilih akan memberi kelebihan kepada PH.

    “Sebahagian undi BN akan beralih kepada PN. Majoriti 33,000 mungkin berkurang,” katanya.

    “Jika lebih 80% pengundi bukan Melayu keluar mengundi, peluang PH pertahan tinggi.”

    Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU14 dengan kelebihan 28,924 undi.

    Pada PRU15, beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi.

    Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, trend sokongan pengundi kepada PN, dalam lingkungan usia 18 hingga 25 tahun seperti yang ditunjukkan pada PRU15 dan PRN enam negeri baru-baru ini, akan menjadi cabaran buat PH-BN.

    “Sebab penolakan kepada UMNO dan kerajaan perpaduan adalah kerana mereka masih angkat individu terkait rasuah sebagai pemimpin negara,” katanya kepada FMT, dan menambah mereka tidak nampak usaha perubahan berlaku dalam parti itu.

    Keduanya, kata ketua badan penyelidikan itu, kerajaan perpaduan tidak berusaha bersungguh-sungguh menawan hati kelompok usia itu.

    “Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui mahasiswa di kampus, selebihnya tak ketara.”

    Hisomuddin meramalkan PH akan hanya dapat mempertahankan Pulai sekiranya pengundi bukan Melayu keluar mengundi.

    “Di Simpang Jeram, PH terdedah kepada boleh hilang kerusi.”

  • Lelaki gelandangan ditemui mati dalam longkang

    Lelaki gelandangan ditemui mati dalam longkang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki gelandangan ditemui sudah meninggal dunia dalam longkang di Jalan Sultanah, bandar Batu Pahat pukul 5 petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam memaklumkan kepada anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berkenaan penemuan mayat tersebut.

    Susulan itu katanya, pihak polis dengan bantuan bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat kemudian mengeluarkan mangsa.

    “Hasil pemeriksaan fizikal pada tubuh mangsa, mendapati tiada sebarang kecederaan yang berunsur jenayah. Si mati dipercayai telah jatuh ke dalam longkang binaan batu konkrit di tempat kejadian dan lemas akibat pengaliran air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memberitahu, berdasarkan maklumat orang awam, mangsa merupakan seorang gelandangan yang sering kelihatan di kawasan tersebut.

    Katanya, siasatan lanjut BN dijalankan untuk mengetahui identiti mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Pihak polis meminta orang ramai atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan si mati supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak polis. Maklumat boleh juga disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat melalui talian 07-4363300.

  • Beri peruntukan sama rata kepada semua ADUN Selangor, saran Naib Pengerusi PKR

    Beri peruntukan sama rata kepada semua ADUN Selangor, saran Naib Pengerusi PKR

    NAIB Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyarankan supaya kerajaan perpaduan Selangor memberi peruntukan secara sama rata kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

    R. Sivarasa menggesa kerajaan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan pemberian sama rata itu dan langkah tersebut selaras prinsip Pakatan Harapan (PH).

    “Secara prinsip saya sokong bahawa hak peruntukan sama rata mesti diberi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang,” katanya memetik laporan FMT.

    Menurut Sivarasa, sewaktu beliau menjadi Ahli Parlimen selama dua penggal sejak 2008, isu peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat di peringkat Persekutuan seringkali dibangkitkan, namun belum dilaksanakan secara menyeluruh.

    “Perdirian ini saya utarakan lama, semasa jadi Ahli Parlimen lagi, tapi malangnya tidak dilakukan,” katanya.

    Seusai Pilihan Raya Umum ke-15 peringkat DUN Selangor, kedudukan di DUN menyaksikan kerusi pembangkang bertambah kepada 22 DUN.

    Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan baru-baru ini mengumumkan peruntukan sama rata akan diberikan kepada semua ADUN.

    Parti pemerintah di Kedah dan Perlis turut memberi jaminan ia akan berlaku adil kepada pembangkang.

  • Qari OKU Malaysia johan tilawah antarabangsa

    Qari OKU Malaysia johan tilawah antarabangsa

    QARI berstatus orang kurang upaya (OKU) dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25, dinobat johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M, malam ini.

    Qayyim yang cacat penglihatan berasal dari Kelantan memperoleh markah 94.96%.

    Menurut Utusan Malaysia, Sara Belmamoun dari Maghribi pula dinobatkan sebagai johan tilawah kategori qariah.

    Sementara itu, Omar Toure dari Guinea dan Tebani Cheyma Enfal dari Algeria dinobatkan sebagai johan bagi kategori hafazan lelaki dan wanita.

    Keempat-empat mereka membawa pulang hadiah emas sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), wang tunai, piala iringan, dan sijil.

    Hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

  • Pembantu penguat kuasa CIDB didakwa terima suapan RM2,000

    Pembantu penguat kuasa CIDB didakwa terima suapan RM2,000

    SEORANG pembantu operasi unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Selangor didakwa di Mahkmah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menerima suapan sebanyak RM2,000 pada Ogos, tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Razif Rosli, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, pagi ini, lapro Utusan TV.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen kepada CIDB iaitu pembantu operasi unit penguatkuasaan lembaga itu telah secara rasuah menerima suapan sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki berbangsa Cina berusia 37 tahun menerusi akaun bank milik tertuduh.

    Perbuatan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan mengeluarkan notis kompaun terhadap sebuah syarikat pembinaan yang memiliki lesen pendaftaran CIDB yang telah tamat tempoh.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2022.

    Justeru, Mohd. Razif didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan agar tertuduh dibenarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

    Bagaimanapun, peguam Mohd. Shahril Madisa memohon agar mahkamah mempertimbangkan cadangan jaminan pihak pendakwaan itu direndahkan kepada RM2,000 memandangkan tertuduh menanggung isteri dan anak yang masih bersekolah selain mempunyai bapa yang menghidap penyakit jantung.

    “Saya turut difahamkan bahawa tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak SPRM sepanjang proses siasatan dan menghadirkan diri ke mahkamah hari ini dengan rela hati,” kata peguam itu.

    Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 25 September depan bagi sebutan kes dan serahan dokumen.

  • Penagih dadah bakar rumah keluarga berang tidak dapat rokok

    Penagih dadah bakar rumah keluarga berang tidak dapat rokok

    BERANG tidak diberikan rokok, seorang penagih bertindak membakar rumah keluarganya dalam kejadian di Pokok Sena, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, suspek berusia 47 tahun yang baru keluar penjara didakwa mengamuk selepas adiknya enggan memberikan rokok kepadanya.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Assisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, adiknya yang tidak tahan dengan amukan suspek kemudiannya ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan.

    Bagaimanapun, tambah beliau, ketika dalam perjalanan ke balai polis, dia dihubungi jiran yang memaklumkan rumah dua tingkat didiami mereka terbakar.

    “Jirannya memberitahu suspek telah membakar rumah terbabit, malah berjaya ditangkap di lokasi kejadian.

    “Suspek tinggal di rumah itu bersama ibu serta adiknya, namun ketika kejadian, ibu mereka berada di Balik Pulau,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, rumah dua tingkat itu dilengkapi lima bilik, dua bilik air dan ruang tamu dengan bahagian atas rumah adalah kayu manakala bahagian bawah simen.

    Ujarnya, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan sebanyak 95 peratus termasuk empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

    “Kediaman jiran berhampiran turut disambar api dan terbakar di bahagian dinding dapur,” katanya.

    Mohd. Asri menambah, berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku membakar langsir rumah dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sendiri sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

    Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki 14 rekod kesalahan lampau.

    “Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • PN Pahang akan bertanding di PRK DUN Pelangai

    PN Pahang akan bertanding di PRK DUN Pelangai

    PERIKATAN Nasional (PN) Pahang mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kata Pengerusinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “PN sedang membincangkan calon yang paling sesuai (bagi PRK Pelangai),” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andasura Rabu berkata, pihaknya telah menyerahkan senarai calon kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan dan akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan gerak kerja PRK itu.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi kerusi DUN Pelangai pada 7 Oktoeber ini manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 23 September dan 3 Oktober ini.

    Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Pelangai mengandungi seramai 16,456 orang pemilih yang terdiri daripada 16, 417 pengundi biasa, 36 orang polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

    PRK DUN Pelangai perlu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lepas.

    Muhammad Sanusi mendakwa Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang suka melihat ke belakang tetapi bukan untuk membetulkan perkara yang salah tetapi semata-mata mahu mencari salah orang lain.

  • Awesome TV digugurkan daripada acara perarakan Hari Kebangsaan

    Awesome TV digugurkan daripada acara perarakan Hari Kebangsaan

    SALURAN televisyen tempatan, Awesome TV hari ini memaklumkan bahawa pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menggugurkan syarikat penyiaran itu daripada acara perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 tanpa sebarang alasan.

    Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata keputusan mengejut itu dimaklumkan menerusi surat bertarikh 23 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Muhammad Fauzi Md. Isa.

    “Menurut surat tersebut, pengguguran berkenaan selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bilangan 4/2023 yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sendiri pada 21 Ogos 2023,” katanya.

    Pada Februari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memanggil pihak pengurusan Awesome TV bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan berita yang mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.

    Fahmi berkata, beliau difahamkan Awesome TV melakukan enam pelanggaran berhubung menerbitkan bahan berita yang dilihat tidak mematuhi peraturan dan undang-undang.

    “Awesome TV ini melakukan pelanggaran sebanyak enam kali, termasuk semasa (pentadbiran kerajaan) sebelum ini sebanyak lima kali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 20 Februari lalu.

    Dalam pada itu pihak pengurusan Awesome TV berkata, keputusan ini jelas bertentangan dengan matlamat kerajaan Madani yang berusaha keras mempromosikan semangat perpaduan serta keharmonian di kalangan rakyat Malaysia.

    “Ia juga terang-terang berlawanan dengan janji kerajaan Madani untuk memperkasakan peranan media dalam pembangunan dan kesejahteraan negara,” katanya, lapor MalaysiaNow.

  • Hamzah sahkan akaun dibeku, serah surat tuntutan kepada SPRM

    Hamzah sahkan akaun dibeku, serah surat tuntutan kepada SPRM

    DATUK Seri Hamzah Zainudin mengesahkan akaun bank beliau dan isterinya dibekukan sejak semalam.

    Ketua pembangkang itu mendakwa, tindakan itu diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan pemimpin politik tertinggi dalam kerajaan di Putrajaya.

    “Pembekuan ini yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang semakin mendapat kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

    Bekas menteri dalam negeri itu mendakwa, ia taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap PN selepas gabungan tersebut menang 146 daripada 245 kerusi DUN pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu.

    Hamzah tidak menolak akan ada lebih banyak tindakan politik dikenakan terhadapnya dan pemimpin PN dalam masa terdekat termasuk menggunakan polis.

    “Kezaliman kerajaan PH-BN ini tidak akan menghentikan perjuangan saya. Demi masa depan negara dan rakyat saya akan terus melawan kerajaan zalim ini,” katanya.

    Katanya, pendakwaan politik terhadapnya sama seperti kes melibatkan Datuk Seri Muhyiddin Yassin, di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan bagi mencipta fitnah.

    Hamzah berkata, beliau juga sudah menyerahkan surat tuntutan kepada SPRM, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan kerajaan Malaysia.

    “Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan mahkamah terhadap SPRM, Ketua pesuruhjaya SPRM dan kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan akaun bank Hamzah dan ahli keluarganya dipercayai dibekukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Difahamkan, pembekuan itu dilakukan semalam, dan tindakan berkenaan dipercayai sebahagian daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap Hamzah berhubung kes rasuah RM15 juta.