Category: Semasa

  • Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Kapal tangki dari Panama ditahan bersauh secara haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WALAUPUN setiap minggu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor melakukan tangkapan terhadap kapal dagang asing yang mencoroboh perairan Johor timur di sini, tindakan itu seakan tidak memberi kesan.

    Terbaharu Maritim Johor menahan sebuah kapal tangki dari Panama yang disyaki bersauh secara haram pada kedudukan 11.6 batu nautika timur Tanjung Balau, Kota Tinggi, semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal tangki sepanjang 243 meter itu telah ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing.

    “Kapal tangki itu dikendalikan 24 kru termasuk nakhoda, terdiri dari warga Ukraine, India dan Rusia berumur di antara 21 tahun hingga 49 tahun, serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    Anggota maritim melakukan pemerisaan ke atas kapal tangki sepanjang 243 meter itu yang ditahan pada pukul 1 petang bersama-sama kru warga asing

    “Nakhoda didapati telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan turut memberikan alasan menunggu arahan perlayaran seterusnya dari pihak syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    Beliau menasihatkan syarikat perkapalan agar mengambil serius mengenai prosedur dan peraturan sebelum memasuki dan bersauh di mana-mana perairan di Malaysia.

  • Kereta bawa 38 tong petrol seludup kemalangan

    Kereta bawa 38 tong petrol seludup kemalangan

    CUBAAN sebuah kereta membawa 38 tong berisi minyak petrol seludup tidak berjaya apabila hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di hadapan sebuah pasar raya di Tendong, Pasir Mas, semalam.

    Kereta jenis Proton Wira Aeroback itu dipercayai turut melanggar seorang lelaki yang ditemui terbaring di lokasi kejadian.

    Pihak polis dimaklumkan kejadian itu sekitar pukul 11.10 pagi dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terus digerakkan ke lokasi.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, anggota bertugas yang tiba di lokasi pada pukul 11.20 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati kereta itu terbabas.

    “Pemeriksaan di tempat kejadian turut mendapati seorang lelaki ditemukan terbaring disyaki dilanggar kenderaan tersebut.

    Katanya, anggota bertugas kemudian memeriksa kereta itu dan menjumpai 38 tong plastik berisi cecair disyaki petrol.

    “Polis tidak menolak kemungkinan bahan api itu mahu diseludup ke negara jiran. Hasil maklumat daripada orang ramai, suspek dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

  • Dua keluarga hilang rumah di pagi Tahun Baharu Cina

    Dua keluarga hilang rumah di pagi Tahun Baharu Cina

    SAMBUTAN Tahun Baru Cina bagi dua keluarga di Taman Permai Jaya, Sibu menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran pukul 1 pagi tadi.

    Selain dua rumah itu, turut terjejas dua lagi unit kediaman di rumah teres dua tingkat bersebelahan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada mulanya bomba menerima panggilan berhubung kebakaran kenderaan di garaj salah sebuah rumah itu pada pukul1.13 pagi.

    “Seramai 28 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sentral Sibu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.

    “Sejurus tiba di lokasi, didapati api masih marak dan kebakaran kereta itu sudah merebak ke rumah pemiliknya serta dua lagi rumah bersebelahan.

    “Kebakaran itu turut merebak ke rumah keempat namun berjaya dikawal menyebabkan kerosakan rumah terbabit hanya dalam lingkungan lima peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, jiran pada mulanya berusaha memadam kebakaran kereta di garaj rumah teres itu menggunakan alat padam api jenis debu kering, namun usaha mereka gagal.

    “Api kemudian terus marak dan menyambar rumah itu sebelum merebak ke sebuah rumah di sebelah kanan dan kemudiannya melarat ke dua lagi rumah di sebelah kiri.

    “Dua rumah yang mengalami kerosakan teruk didiami penghuni berbangsa Cina dengan sebuah daripadanya musnah 70 peratus, sebuah lagi 30 peratus manakala dua lagi rumah yang didiami penghuni Melayu mengalami kerosakan 10 peratus dan lima peratus,” katanya.

    Menurutnya, semua 25 penghuni empat rumah terbabit berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kebakaran kenderaan itu yang kemudian merebak ke rumah,” katanya.

  • Suami isteri hilang 3 hari ditemui di tanah perkuburan

    Suami isteri hilang 3 hari ditemui di tanah perkuburan

    SEPASANG auami isteri yang dilaporkan hilang selepas meninjau tanah di Kampung Ulu Binsulok, Membakut, Beaufort, Sabtu lalu, ditemukan selamat, pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya, Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, ditemui orang awam di kawasan tanah perkuburan Kampung Pimping dalam keadaan selamat.

    “Jarak mangsa ditemui kira-kira 10 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Yusoff Zaki berkata, pasangan terbabit dipercayai tersesat ketika meninjau kawasan tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsulok.

    “Mereka kemudian dihantar ke Pondok Polis Komuniti (PPK) Binsulok untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Semalam, pasangan terbabit dilaporkan hilang apabila tidak kembali ke rumah selepas keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, 9 pagi, Sabtu lalu.

  • 98 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan

    98 peratus kebakaran tapak sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan

    SEBANYAK 98 peratus dari keseluruhan 11.3 hektar kawasan tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terbakar hampir tiga minggu lalu berjaya dipadamkan sehingga kini.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri.

    Tambahnya, berdasarkan perkembangan semasa dan untuk memastikan sumber yang ada diuruskan secara optimum, gerak kerja pengurusan bencana akan diteruskan dan diselaraskan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

    Jelasnya, gerak kerja agensi-agensi di lapangan juga masih diteruskan sehingga pengurusan bencana itu selesai.

    Ujarnya, jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JAS) Pulau Pinang juga akan meneruskan kerja-kerja pemantauan kualiti udara sehingga berpuas hati bacaan kualiti udara yang stabil diperolehi.

    Kejayaan operasi pemadaman itu adalah hasil usaha sama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dengan pelbagai agensi

    “Justeru, Pusat Media Bencana Kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berpusat di Dewan Serbaguna Jawi akan ditutup mulai 3 Februari 2022 (Khamis).

    “Namun, sekiranya terdapat perkembangan terkini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (JPBD) SPS akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu tambah kenyataan itu, penduduk di sekitar daerah SPS terus dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan kesihatan diri.

    Sekiranya bergejala seperti sesak nafas dan tidak sihat katanya, mereka dinasihatkan terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital berhampiran.

    Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu mula dikesan petang 12 Januari lalu sehingga mengeluarkan asap tebal dan hitam.

    Bencana itu juga menyebabkan 400 penduduk daripada kira-kira 90 buah keluarga yang tinggal di dua kawasan berhampiran tapak tersebut diarahkan berpindah dengan sebahagiannya ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

  • Polis buru suspek tumbuk isteri

    Polis buru suspek tumbuk isteri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 33 tahun selepas disyaki menyakiti isterinya dengan menumbuk belakang dan menarik rambut wanita itu di Tasik Bandar Darulaman pada Sabtu lalu.

    Video berdurasi 25 saat mengenai pergaduhan pasangan itu tular di Facebook sejak kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas wanita itu tidak mahu kembali bersama suspek selepas mereka tinggal berasingan sejak 8 November lalu selain dalam proses bercerai.

    “Semasa kejadian pada jam 7.30 petang Sabtu lalu, wanita yang berusia 22 tahun itu pergi ke kawasan tasik untuk mengambil anak perempuannya berusia enam tahun yang dijaga sementara oleh suspek.

    “Bagaimanapun suspek dipercayai memukul mangsa menyebabkan dia menjerit meminta tolong sebelum orang awam datang membantu dengan menghalang suspek daripada memukul mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

    Rodzi berkata, suspek kemudian berhenti memukul mangsa dan melarikan diri apabila orang ramai menggertak akan membuat laporan polis.

    Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di belakang pasar Changlun dekat sini kira-kira pukul 1 pagi kelmarin, namun premis itu berkunci serta tidak berpenghuni.

    “Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan sehingga kini.

    “Semakan rekod mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan,” tambah beliau.

    Beliau berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

    Katanya, pihak polis menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil untuk membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di sekitar daerah ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di nombor 04-9172222.

  • Kilang berasakan makanan didenda RM10,000 sebabkan fenomena sungai berwarna putih

    Kilang berasakan makanan didenda RM10,000 sebabkan fenomena sungai berwarna putih

    SEBUAH kilang berasaskan makanan di Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang dikompaun sebanyak RM10,000 semalam selepas didapati mencemarkan parit awam sehingga menyebabkan berlakunya fenomena air sungai berwarna putih.

    Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kilang terbabit disiasat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai terbabit.

    Jelasnya, sekumpulan pegawai kemudiannya menjalankan siasatan bagi menjejak punca pencemaran tersebut menggunakan dron di sekitar kawasan yang disyaki terlibat.

    Siasatan mendapati kilang itu gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam

    “Siasatan mendapati kilang itu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (efluen perindustrian) 2009 kerana gagal mengendalikan sistem pengolahan efluen perindustrian dengan baik sehingga mencemarkan parit awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Sharifah Zakiah, kilang itu juga didapati gagal mematuhi pengurusan buangan terjadual di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (buangan terjadual) (BT) 2005.

    Sehubungan itu tambahnya, pihaknya telah mengarahkan pemilik premis mengambil tindakan serta-merta memberhentikan sebarang pelepasan efluen tanpa dirawat dan menutup semua pintasan yang dipasang secara haram di dalam premis kilang untuk mengalirkan air sisa tanpa rawatan terus ke parit awam.

    Kilang terbabit disiasat selepas pihak JAS menerima aduan daripada orang awam berhubung keadaan sungai terbabit

    “Pihak kilang juga diarah menaik taraf sistem pengolahan efluen sedia ada dan buangan terjadual yang dihasilkan diuruskan mengikut perundangan berkaitan di bawah Peraturan Buangan Terjadual 2005,” katanya.

    Tambah beliau, JAS Pulau Pinang berterima kasih kepada orang awam yang membuat aduan dan membekalkan maklumat yang tepat dan cepat bagi memudahkan tindakan diambil pihaknya.

  • 10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    10 cedera, bot pelancong bertembung bot nelayan di Jertih

    SEPULUH orang termasuk dua kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun cedera apabila bot pelancong yang mereka naiki bertembung dengan bot nelayan di muara Sungai Besut di Jeti Pelancongan Kuala Besut di sini, petang tadi.

    Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata 21 lagi individu yang menaiki bot pelancong tersebut terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu.

    “Bot yang dinaiki pelancong tersebut berlepas dari Jeti Pulau Perhentian pada pukul 2.30 petang dan insiden itu berlaku setibanya mereka di Jeti Pelancongan Kuala Besut kira-kira satu jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata lima anggota Polis Diraja Malaysia, lapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia berserta orang awam terlibat dalam operasi menyelamat mangsa.

    Abdul Rozak berkata insiden tersebut telah dirujuk kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

    Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Besut Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid berkata difahamkan insiden berlaku ketika bot pelancong tersebut sedang memasuki kawasan jeti, manakala bot yang dinaiki tiga nelayan ingin keluar dari kawasan itu.

    “Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan menerima rawatan di Hospital Besut serta Klinik Kesihatan Kuala Besut,” katanya.

    — BERNAMA

  • Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    Wanita kena ‘scam’ bayar lebih RM100,000 beli 3 komputer riba

    HASRAT  seorang wanita mahu membeli tiga komputer riba bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut mendakwa kerugian RM109,200 yang dibayar kepada penjual melalui urusan secara dalam talian.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki menerusi nombor talian WhatsApp selepas melihat iklan penjualan barangan itu di laman sosial Instagram pada pertengahan Jan lepas.

    “Mangsa tertarik untuk mendapatkan komputer riba itu dan telah memasukkan wang deposit sebagai tanda persetujuan sebelum diarahkan untuk memindahkan lebih banyak wang secara dalam talian ke lima akaun berbeza yang diberikan suspek atas pelbagai alasan.

    “Antara alasan yang digunakan ialah kos penghantaran, urusan mengaktifkan kad jaminan, cukai kastam dan untuk melayakkan mangsa menyertai cabutan bertuah yang akhirnya tanpa sedar, mangsa telah membuat bayaran sebanyak 15 kali sehingga berjumlah RM109,200,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan.

    Wazir berkata, mangsa mula berasa curiga kerana belum menerima komputer riba itu selepas hampir dua minggu berurusan, selain tindakan suspek yang semakin kerap menghubunginya bagi meminta lebih banyak wang sejak beberapa hari lepas.

    Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Hasni tidak ucap terima kasih kepada Exco sebelum bubar DUN

    Hasni tidak ucap terima kasih kepada Exco sebelum bubar DUN

    SEORANG Exco Kerajaan Negeri Johor dari Perikatan Nasional (PN) Johor mendakwa Datuk Hasni Mohammad tidak menzahirkan ucapan penghargaan terhadap barisan kepimpinan negeri beberapa jam sebelum Menteri Besar itu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Mohd Solihan Badri yang ketika itu memegang portfolio Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur negeri berkata, semasa berlangsung mesyuarat khas Exco Johor selama sejam, Hasni tidak menzahirkan sebarang penghargaan sebelum menamatkan pertemuan itu.

    “Sebagai seorang Exco dan insan biasa, sikap Menteri Besar itu tidak manis kerana detik-detik akhir dalam kerajaan negeri wajar diakhiri dengan sesuatu yang boleh dijadikan kenangan manis.

    “Lagipun, kerajaan Johor dapat bertahan sebelum ini walaupun dengan majoriti satu kerusi kerana adanya persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan PN yang berkongsi kuasa selain persetujuan pembangkang untuk tidak menumbangkan kerajaan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau yang juga Ketua Penerangan PN Johor berkata, sepanjang mentadbir negeri, tiada mana-mana pihak mengkhianati persefahaman politik terutama PN dan pembangkang walaupun tidak pernah menandatangani sebarang dokumen bagi memegang janji tersebut.

    Solihan berkata, beliau kecewa kerana persefahaman itu dikhianati apabila UMNO tanpa persetujuan parti komponen PN yang berkongsi kuasa berjaya membubarkan DUN Johor pada 22 Jan lalu.

    “PN tidak pernah mengkhianati integriti politik dan kepercayaan diberikan UMNO kerana menyedari tindakan mencabul ikatan janji tersebut akan disifatkan sebagai pengkhianatan serta mementingkan diri sendiri.

    “Sokongan diberikan PN dan pembangkang terhadap Menteri Besar Johor kerana kita mementingkan soal rakyat Johor tetapi bila nak bubarkan DUN, UMNO tak pernah minta pandangan kita pun,” katanya.

    Beliau berkata, Menteri Besar menerajui kerajaan negeri pun sokongan padu wakil PN serta PH di DUN Johor dianggap tidak menghargai sokongan diberikan.

    Beliau berkata, sikap tersebut jelas menunjukkan sisi sebenar pemimpin UMNO dan perkara itu turut berlaku apabila UMNO menguasai semula tampuk kerajaan persekutuan.

    “Selepas itu pemimpin tertentu parti tersebut serta-merta melancarkan pelbagai tindakan dan fitnah untuk menolak PN termasuk memutuskan kerjasama sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan mengadakan PRN untuk menyingkirkan PN.

    “Sehubungan itu, Bersatu meminta rakyat menilai sikap negatif pemimpin UMNO itu yang dengan mudah mempermainkan kepercayaan dan mengkhianati perkongsian kuasa yang dipersetujui,” katanya.