Category: Semasa

  • Lelaki tikam perut sendiri lepas bunuh bekas isteri

    Lelaki tikam perut sendiri lepas bunuh bekas isteri

    SEORANG peniaga air balang maut selepas dipercayai ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di rumah sewanya di Taman Desa, Pasir Tumboh di Kota Bharu awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an itu meninggal dunia di lokasi kejadian manakala bekas suaminya parah pada bahagian perut selepas dipercayai menikam dirinya sendiri.

    Jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Husin, 34, berkata, dia terdengar bunyi muzik yang terlalu kuat dari rumah wanita terbabit kira-kira pukul 11 malam.

    Menurutnya, sebelum ini, rumah terbabit ada membuka muzik, namun keadaan pada malam tadi terlalu bising sehingga mengganggu jiran sekeliling.

    “Saya tahu, penghuni rumah itu gemar berkaraoke. Ada juga rakan-rakannya yang datang untuk menyanyi di situ.

    “Tetapi, bunyi muzik pada malam tadi amat kuat dan tidak pernah berlaku keadaan seperti itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di tempat kejadian.

    Menurut Husin, difahamkan, mangsa menyewa di rumah terbabit sejak dua bulan lalu selepas berpisah dengan bekas suaminya yang berusia dalam lingkungan 30-an.

    Katanya, ada beberapa individu lain termasuk saudara terdekatnya mendengar bunyi bising yang kedengaran dari rumah mangsa.

    Seorang lagi jiran mangsa yang dikenali Hani, 34, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas dihubungi oleh rakannya yang terdengar bunyi ambulans dan kenderaan polis di hadapan rumah.

    Menurutnya, dia bergegas ke pintu rumah dan mendapati ambulans dan trak polis sudah berada di hadapan rumahnya.

    “Beberapa jiran saya yang menyedari kejadian itu terkejut selepas mendapati ada seorang wanita mati ditikam manakala seorang lelaki cedera,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

  • Anggota polis maut dengan kesan tembakan di kepala

    Anggota polis maut dengan kesan tembakan di kepala

    SEORANG polis ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Rembau, Rembau pukul 6.30 petang semalam.

    Anggota berpangkat sarjan berusia 58 tahun berkenan dipercayai masuk ke salah sebuah bilik dan mengunci pintu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, anggota yang bertugas di BSJD Rembau itu ditemukan berlumuran darah dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

    “Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau menerima maklumat berkaitan seorang anggota polis yang ditemui maut berlumuran darah dengan kesan tembakan di kepala di 6.30 petang semalam.

    “Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ahmad Dzaffir berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    “Polis meminta orang ramai tidak mengeluar apa-apa kenyataan yang boleh mengganggu siasatan dan menghormati keluarga si mati,” katanya.

  • Keadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa

    Keadaan Abdul Hadi semakin baik, dipindah ke wad biasa

    KEADAAN kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin stabil hari ini, kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau memberitahu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu sudah dipindahkan ke wad biasa berbanding Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum ini.

    “Hari ini keadaan beliau semakin baik dan sudah dipindahkan ke wad biasa.

    “Beliau bagaimanapun masih lagi dalam rawatan dan pemerhatian doktor,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Menurut Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, tiada sebarang lawatan ziarah dilakukan kerana memberi ruang Abdul Hadi untuk pulih.

    “Semua tidak melawat, biarlah beliau rehat betul-betul dan kita doakan semoga beliau cepat sembuh,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

    Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa program membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan kesihatannya yang merosot sebelum Aidiladha lalu.

    Program terakhir dihadiri beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu ketika merasmikan jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda (DPP) Pas negeri yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Rabu lalu.

    Difahamkan pada program itu, Abdul Hadi sudah kelihatan kurang sihat dan uzur walaupun sempat berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya DPP negeri.

    Sebelum itu, anak sulung Abdul Hadi, Muhammad Khalil melalui laman Facebook memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada Khamis.

    Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, pernah dimasukkan ke Hospital Putrajaya dipercayai akibat sesak nafas pada Februari lalu sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.

    Muhammad Khalil bagaimanapun, tidak mendedahkan nama hospital lokasi Abdul Hadi kini menerima rawatan dipercayai mengelakkan lawatan orang ramai.

  • Pembantu menteri dakwa berbulan tak dibayar gaji

    Pembantu menteri dakwa berbulan tak dibayar gaji

    SETIAUSAHA akhbar beberapa menteri mengadu belum dibayar gaji, walaupun mereka bertugas sejak beberapa bulan lalu sejak kerajaan perpaduan mula berkuasa.

    Sesetengah daripadanya mendakwa, mereka langsung tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran itu.

    Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu FMT, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti.

    Seorang daripadanya berkata, dia teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi, tetapi tidak mahu meninggalkan menteri separuh jalan.

    Seorang lagi yang telah berkhidmat selama enam bulan berkata, ada pembantu yang tidak dibayar sesen pun tahun ini.

    “Saya hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar. Jika tidak, saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun. Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji.”

    Pembantu itu berkata, setiausaha akhbar dimaklumkan kelewatan pembayaran gaji itu disebabkan Perdana Menteri belum menandatangani surat pelantikan mereka.

    Pegawai kementerian menunjukkan kertas kerja untuk membuktikan mereka berusaha mendapatkan pembayaran gaji dan hanya menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani surat itu.

    “Saya tidak tahu kenapa berlaku kelewatan. Saya pun tidak tahu berapa banyak yang akan saya terima,” kata sumber itu sambil menambah menteri pun tidak tahu berapa banyak gaji mereka.

    Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka sudah menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui setiausaha sulit kanan menteri, tetapi belum mendapat maklum balas.

    FMT sedang mendapatkan komen Pejabat Perdana Menteri dan JPA.

    Menurut sumber itu, masalah tidak dibayar gaji bukan saja memberi kesan kepada setiausaha akhbar, malah pegawai lain di beberapa kementerian.

    Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka tidak dibayar gaji dan elaun khas sejak tahun lalu dan hanya menerima elaun perjalanan.

    Masalah pegawai kerajaan tidak dibayar gaji pernah diketengahkan pada 2018 apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada pegawai tidak dibayar gaji selama empat bulan.

  • Isu di Mina dapat perhatian Agong

    Isu di Mina dapat perhatian Agong

    ISU kebajikan jemaah haji Malaysia termasuk masalah kesesakan dan ruang sempit dalam khemah di Mina mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Seri Paduka Baginda mahu perkara itu diselesaikan dan titah berkenaan disampaikan melalui mesej kepadanya pada pagi Sabtu.

    “Susulan daripada itu, satu ijtihad (pandangan) baharu boleh dibawa oleh Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kepada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi mengatasi masalah ruang yang sempit dalam khemah penginapan di Mina,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Na’im berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraz Al Janadriyah di Makkah semalam.

    Turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Kelmarin, Syed Hamadah menjelaskan bahawa ruang dan saiz di dalam sebuah khemah Mina di luar kawalan TH kerana ia disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara.

    Katanya, sempadan kawasan Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jumlah jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

    Isu kesukaran jemaah haji di Mina ditimbulkan sebuah portal berbahasa Inggeris yang melaporkan mengenai rungutan jemaah haji yang terpaksa bersesak dalam khemah.

    Portal yang memetik sumber berkata, jemaah seramai 44 orang telah ditempatkan dalam khemah yang hanya boleh membuatkan 34 jemaah haji.

    Berwukuf di Arafah, berada di Mudzalifah dan bermabit di Mina adalah kemuncak ibadah haji bagi umat Islam yang menunaikan Rukun Islam kelima itu.

    Beliau berkata, tanpa usaha itu kemungkinan isu berkenaan akan terus berulang dan tidak boleh diselesaikan kerana keluasan Mina adalah sama dan tidak akan berubah.

    “Isu sempit dan kesukaran yang dialami jemaah kita ketika bermabit di Mina perlu dilihat semula, maka ia perlu dibincangkan secara teliti supaya satu penyelesaian terbaik boleh dicapai,” katanya.

    Mohd. Na’im berkata, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah membenarkan jemaah tinggal di luar kawasan Mina dan berulang-alik untuk bermabit di Mina seperti yang dilakukan jemaah haji negara lain.

    “Seingat saya Dr. Juanda Jaya (bekas Mufti Perlis) pernah memberi pandangan berkenaan perkara ini dalam usaha memastikan kebajikan jemaah haji terjaga.

    Pihaknya menyerahkan kepada Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji kerana jumlah jemaah haji terus bertambah dan kita mahukan jemaah kita dapat beribadah dalam keadaan selesa dan tidak menjejaskan ibadah mereka.

    Sementara itu, Mohd. Na’im berkata, bagi meraih haji yang mabrur jemaah haji akan melalui pelbagai suasana dan keadaan yang kadangkala memberi kesan kepada keselesaan mereka.

    “Setiap masa kita nasihatkan jemaah haji bahawa operasi Masyair ini banyak cabaran dan perlu dihadapi dengan penuh timbang rasa sebagaimana disebutkan oleh Imam An Nawawi di dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj.

    “Apa yang disebut Imam Nawawi ini saya rujuk sebagai peringatan supaya ada sifat toleransi, rahmah, kasih sayang, memahami antara satu sama lain,” katanya.

    Ujar Mohd. Na’im, terdapat sikap segelintir jemaah haji yang bertindak agresif di Mina kerana tidak mampu sabar dengan ujian yang diterima mereka.

    “Ada yang agresif dan maki petugas haji, ambil hak jemaah lain seperti tilam dan ini antara contoh yang boleh menghilangkan kemabruran haji.

    “Saya pun diuji dengan penyaman udara yang rosak tetapi kita kena sabar kerana untuk memasuki syurga Allah bukan senang dan memerlukan pengorbanan,” katanya.

    Mohd. Na’im bagaimana pun menghargai sebahagian besar jemaah haji Malaysia yang menunjukkan sikap yang baik hinggalah membolehkan operasi haji pada kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

  • Doa ‘ambil nyawa’ Hadi: Anwar mahu Zaki minta maaf segera

    Doa ‘ambil nyawa’ Hadi: Anwar mahu Zaki minta maaf segera

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan seorang pengguna media sosial yang dianggap dekat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar segera memohon maaf kerana bersikap biadab ke atas Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Individu terbabit perlu memohon maaf segera atas keterlanjurannya kepada presiden Pas berkenaan.

    “Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki Yamani dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tegas Anwar dalam ciapannya di Twitter.

    Terdahulu, pengguna Twitter berkenaan menciap sesuatu yang dianggap melampau.

    Ia berikutan laporan mengenai keadaan kesihatan Abdul Hadi yang dikatakan merosot dan sedang diberikan rawatan oleh pihak hospital.

    Selain Abdul Hadi, Zaki juga mengaitkan doanya itu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    “Doa: Ya Allah! Ambillah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukannya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu. P/S: Ambil sekali Mahathir,” ciapnya.

    Keadaan kesihatan bekas duta khas bertaraf menteri itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya Muhammad Khalil Abdul Hadi, menerusi catatan di Facebook pagi semalam.

    Menurut Muhammad Khalil, Abdul Hadi telah berada dalam keadaan uzur ketika majlis pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu pada 27 Jun lalu.

    Bagaimanapun katanya, Abdul Hadi tetap menggagahkan diri untuk hadir program berkenaan.

    Sementara itu, Bernama melaporkan Muhammad Khalil ketika dihubungi mengesahkan berada dalam keadaan stabil.

    Kali terakhir Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke hospital ialah pada Februari tahun lalu apabila mengalami sesak nafas, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

    Senada dengan Anwar, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali pula meminta pengguna Twitter terbabit agar segera bertaubat.

    “Sesiapa yang mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit kerana berbeza parti politik perlu bertaubat memohon ampun kepada Allah SWT dan juga perlu meminta maaf kepada empunya diri dan ahli keluarganya.

    “Politik kepartian tidak mewajarkan terputusnya persaudaraan Islam yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambah Khairuddin adalah tidak wajar untuk seseorang mendoakan keburukan dan kematian orang lain hanya kerana perbezaan politik kepartian.

    “Janganlah mendoakan keburukan ke atas seseorang yang berbeza pendirian dalam persaingan politik kepartian. Apatah lagi mendoakan kematian seseorang yang sedang sakit.

    “Sekiranya kita berbeza pendirian politik kepartian sekalipun, doakan hidayah dan kebaikan untuk dirinya dunia dan akhirat,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah

    DUA jemaah haji Malaysia yang koma, meninggal dunia di hospital Arab Saudi Jumaat lalu.

    Ini menjadikan empat jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Makkah tahun ini, selepas dua jemaah wanita menghembuskan nafas terakhir pada 4 dan 19 Jun lalu.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Na’im Mokhtar berkata, kematian ketiga membabitkan jemaah lelaki berusia 72 tahun akibat jangkitan kuman pada paru-paru, manakala seorang jemaah lelaki berumur 60 tahun meninggal dunia akibat serangan strok dan kegagalan jantung.

    “Kedua-dua jemaah Malaysia itu antara tiga pesakit yang tidak dibawa ke Arafah untuk berwukuf Selasa lalu kerana dalam keadaan koma di hospital Arab Saudi.

    “Saya dan pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) mengucapkan takziah kepada waris mangsa,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di Ibu Pejabat TH di Makkah.

    Na’im berkata, 95 jemaah negara masih dirawat di Pusat Rawatan TH Makkah dan 15 lagi di hospital Arab Saudi setakat ini.

    Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 31,600 jemaah Malaysia selesai menunaikan ibadah Rukun Islam kelima tahun ini.

    Mereka tidak termasuk dua jemaah yang meninggal dunia dan tiga lagi koma sebelum berwukuf.

    Beliau berkata, 13,219 jemaah melakukan Nafar Awal kelmarin dan 18,381 lagi melaksanakan Nafar Thani semalam.

    Katanya, jemaah haji Malaysia akan berangkat pulang mulai Rabu ini dan penerbangan terakhir pada 31 Julai ini, membabitkan 98 penerbangan.

  • Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    Imigresen buat laporan polis nafi gejala rasuah di KLIA

    SATU laporan polis telah dibuat bagi menangkis dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa wujud budaya rasuah dalam kalangan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu.

    Laporan yang dibuat Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil itu menafikan dakwaan anggota Imigresen meminta wang RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan wanita dari China yang dikenali sebagai Wang Xu.

    “Semasa soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang ke negara asal serta gagal menyatakan dengan jelas penginapan semasa berada di Malaysia. Soal siasat serta komunikasi dengan subjek juga agak terbatas kerana subjek hanya boleh berbahasa Cina dan sukar memahami soalan yang diajukan,” kata laporan.

    Dalam pada itu, seorang wanita yang berkomunikasi dengan pegawai penguat kuasa melalui telefon bimbit subjek serta memperkenalkan diri sebagai Emma memberitahu wanita itu datang dengan tujuan menjaga anaknya.

    Sementara itu, laporan memaklumkan kemasukan pelawat yang telah dikemas kini daftar penolakan masuk ke dalam sistem Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) hanya boleh dibatalkan dengan kelulusan pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Ketua Pengarah Imigresen sahaja.

    Dalam pada itu, Syahmi juga mendakwa pegawai bertugas juga tidak diberikan peluang untuk memberi penjelasan atau membela diri meskipun dituduh meminta wang berjumlah RM3,000 melalui ejen untuk dilepaskan.

    “Datuk Seri Tiong King Sing telah hadir ke pejabat operasi imigresen dan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan penolakan masuk ke atas subjek berkenaan. Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukan subjek dan mengatakan “you are the culprit” serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang sebanyak RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia.

    “Beliau juga mengugut akan “membuang pangkat” pegawai berkenaan dan pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu,” tulis laporan itu, lapor Astro Awani.

    Susulan kejadian tersebut, tindakan notis penolakan masuk telah dibatalkan selaras arahan ketua pengarah dan wanita itu dibenarkan masuk sekitar jam 3 petang keesokannya.

    Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk membebaskan wanita asing seperti yang didakwa, sebaliknya mendakwa pelancong dari China itu ditahan Jabatan Imigresen tanpa sebarang sebab.

    Mengulas lanjut, King Sing berkata beliau hadir di pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang kelmarin itu selepas menerima terlalu banyak aduan mengenai halangan untuk pelancong masuk ke negara ini.

    King Sing juga mendakwa wanita

  • PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PRN : PH dijangka tanding 20 kerusi, BN bertarung di 15 kerusi di Kedah

    PAKATAN  Harapan (PH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) bertanding 15 kerusi, menjelang PRN Kedah, kata Pengarah Pilihan Raya PKR negeri, Phahrolrazi Zawawi.

    Katanya, bagaimanapun satu lagi baki kerusi belum diputuskan.

    Beliau berkata, PKR kemungkinan bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain Amanah lapan kerusi dan DAP kekal dua kerusi.

    “Saya berharap PKR akan diberikan satu lagi kerusi tambahan kerana terdapat satu kerusi masih dalam rundingan antara PH dan BN. Pada PRU14 lalu, PKR bertanding 10 kerusi dan menang tujuh DUN. Ketika itu Bersatu pun banyak bertanding, jadi kerusi ditandingi Bersatu kebanyakannya ditawar kepada BN dalam PRN ini,” katanya lapor Sinar Harian.

    Menurut laporan itu yang memetik sumber, baki satu kerusi itu merujuk DUN Suka Menanti.

    Phahrolrazi berkata, secara keseluruhan kerusi ditandingi PH melebihi jumlah kerusi BN.

    “Agihan agak seimbang, kemungkinan PH letakkan calon di 20 kerusi dan BN 16 kerusi atau selepas rundingan dimuktamadkan, beranjak kepada PH sebanyak 21 kerusi dan BN (15),” katanya.

    Beliau yang sebelum ini bekas Adun Alor Mengkudu menyerahkan kepada parti sama ada PKR akan menamakannya sebagai calon.

    Phahrolrazi sebelum ini merupakan ketua Amanah Kedah, namun dipecat kerana didapati melanggar perlembagaan parti berhubung penamaan calon pada PRU15.

    “Saya tak berkecil hati (tidak menjadi calon), terserah pada parti. Saya tak bertanding pun tak ada masalah, sebab saya akan fokuskan perhatian kepada jentera parti ke setiap DUN Kedah (selaku pengarah pilihan raya) untuk menang lebih kerusi,” katanya.

    Sebelum ini, Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar memaklumkan, kerusi DUN Alor Mengkudu dimenangi Phahrolrazi pada PRU14 akan ditandingi parti itu berikutan ia kuota Amanah.

  • Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Tabung Haji sekali lagi terima anugerah Labbaittom daripada Kerajaan Arab Saudi

    Kerajaan Arab Saudi sekali lagi mengiktiraf Tabung Haji (TH) apabila menyampaikan Anugerah Labbaittom bagi kategori kepuasan tertinggi dalam perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.

    Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis kesyukuran yang dihadiri oleh pelbagai negara di sini pada Jumaat.

    Mohd Na’im dalam pada itu berkata, sistem dan kecekapan pengurusan jemaah haji Malaysia sentiasa diiktiraf sebagai model terbaik di dunia dan merupakan model pengurusan haji yang sering dicontohi oleh masyarakat antarabangsa, lapor wartawan Sinar Harian di Mekah.

    “Antara kriteria dan spesifikasi untuk anugerah ini adalah penerapan teknologi untuk menyelaraskan perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji, persediaan ibadat dan kursus-kursus haji.

    “Turut dinilai peratusan kadar kepuasan jemaah haji dengan perkhidmatan yang ditawarkan, penilaian perkhidmatan yang disediakan sepanjang musim haji serta penilaian persediaan urusan pra-musim haji,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

    Kata Mohd Na’im, ia dapat dilihat melalui kesiapsiagaan TH dalam aspek pengurusan haji di Tanah Suci bagi memberi perkhidmatan terbaik seperti penyediaan prasarana di bangunan penginapan jemaah haji.

    “Turut disediakan prasarana di pejabat perkhidmatan Maktab, pejabat perkhidmatan pelanggan, perkhidmatan kesihatan, penggunaan aplikasi THhujjaj untuk makluman perkembangan terkini di Tanah Suci dan perkhidmatan petugas haji dan pembimbing ibadat haji,” katanya.

    Pada Februari yang lalu, TH telah memenangi Anugerah Labbaittom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik dalam dunia Islam dari Kerajaan Arab Saudi.

    Turut hadir semasa penyampaian anugerah itu ialah Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta Pengurusan TH di Makkah.