Category: Semasa

  • Blok asrama SMK Seri Kenangan di Segamat terbakar

    Blok asrama SMK Seri Kenangan di Segamat terbakar

    SEBUAH blok bangunan asrama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan di Segamat terbakar pada awal pagi tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Segamat Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Aizad Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.58 pagi dan menjalankan operasi pemadaman dengan kekuatan 20 anggota.

    “Pasukan keluaran operasi bertindak membuat pemadaman menggunakan air tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran blok bangunan asrama setinggi dua tingkat itu.

    “Kebakaran tersebut memusnahkan 30 peratus daripada keseluruhan bangunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Operasi memadam kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada 4.03 pagi.

  • Pemuda MCA minta Pemuda UMNO lebih bertanggungjawab

    Pemuda MCA minta Pemuda UMNO lebih bertanggungjawab

    PEMUDA MCA mengingatkan Pemuda UMNO akan tanggungjawab mereka menangani isu salah guna kuasa, seperti dakwaan rasuah berkaitan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

    Sayap MCA itu juga memberi amaran kepada sekutu mereka dalam Barisan Nasional (BN) itu bahawa jika isu berkenaan dibiarkan terus berlaku, imej negara akan tercalar sekali gus pasti akan menjejaskan ekonomi.

    Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong berkata semua pemimpin politik, termasuk Pemuda UMNO, harus mendekati masalah seperti ini dengan perspektif terbuka dan memahami kemajuan sosial dan keadilan di negara ini.

    “Pemuda UMNO juga perlu memahami bahawa insiden sebegini berlaku lebih daripada sekali dan telah menjejaskan imej negara dengan teruk,” katanya, lapor MalaysiaKini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini yang menggesa tindakan diambil terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tiong King Sing.

    Tiong didakwa melanggar protokol keselamatan di KLIA dan menyalahgunakan kedudukannya apabila menceroboh kaunter imigresen untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong yang ditahan oleh pihak berkuasa.

    Menteri itu mendakwa tindakan tersebut demi ‘menyelamatkan’ pelancong terbabit dan mendedahkan rasuah di kalangan pegawai di KLIA dan warga China itu bukanlah orang pertama yang menerima layanan sedemikian apabila tiba di Malaysia.

    Menurut Pemuda MCA, walaupun menegakkan kedaulatan undang-undang penting, tidak kurang perlu diutamakan ialah menggunakan budi bicara dan bukannya menguatkuasakan undang-undang secara semberono dalam semua situasi.

    Katanya, potensi penyalahgunaan kuasa oleh pegawai yang dirujuk sebagai Little Napoleons boleh menyebabkan Malaysia dianggap sebagai ‘tidak mesra’ kepada pelancong.

    “Perlu ditegaskan bahawa semua unit penguatkuasaan undang-undang di Malaysia harus memberi lebih perhatian kepada kesan tindakan mereka terhadap persepsi awam dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Penguatkuasaan undang-undang harus merangkumi keadilan dan kemanusiaan, bukan hanya operasi prosedur.

    “Kami berharap kerajaan dapat memperbaiki latihan unit penguatkuasaan undang-undang yang berkaitan bagi meningkatkan keupayaan dan tahap pengendalian kecemasan.

    “Pada masa yang sama, kerajaan juga harus memberi tumpuan kepada komunikasi dengan orang ramai dan pelancong dalam menjelaskan dasar dan tindakan yang berkaitan untuk menghilangkan keraguan dan kebimbangan orang ramai,” katanya.

    Pemuda MCA juga memuji Tiong atas ‘keberanian’ Ahli Parlimen Bintulu tersebut dengan menganggapnya sebagai contoh dedikasi sebagai menteri dalam konteks pembangunan pelancongan.

    “Bagi meningkatkan potensi pembangunan pelancongan, dia tidak gentar untuk mendekati peringkat akar umbi untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai situasi itu.

    “Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa terhadap agensi penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga memberi impak positif kepada pembangunan industri pelancongan negara,” katanya.

  • Penarik kereta ditahan ugut isteri, tampar, tumbuk muka anak

    Penarik kereta ditahan ugut isteri, tampar, tumbuk muka anak

    SEORANG pekerja penunda kenderaan ditahan kerana disyaki memukul dua anak dan mengugut isterinya di sebuah rumah di Taman Cheras Indah di Ampang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada seorang suri rumah berusia 37 tahun, pada Rabu lalu.

    Beliau berkata, mangsa mendakwa berselisih faham dengan suaminya semasa berada di rumah pada pukul 11.45 pagi.

    “Wanita itu meminta pasport miliknya dan anak mereka daripada suami selain bertanya kasut milik siapa yang berada di pejabat suaminya itu.

    “Lelaki itu berang lalu terus menumbuk muka anak perempuan berusia 11 tahun sebanyak dua kali.

    “Sebelum kejadian itu, suaminya didakwa pernah menampar muka anak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggalkan kesan lebam, malah pengadu turut diugut kerana mahu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Azam berkata, sepasukan anggota polis telah menahan suspek di sebuah premis di Kampung Ampang Indah, Ampang pada 6.45 petang Jumaat.

    Katanya, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.

    Menurutnya, dua anak mangsa kini menerima rawatan di Hospital Ampang dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati anak perempuan mengalami kecederaan lebam di pipi kiri manakala anak lelaki mengalami kecederaan pada mata.

    “Suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kertas Enkuiri Polis dibuka berhubung kes kekecohan di KLIA

    Kertas Enkuiri Polis dibuka berhubung kes kekecohan di KLIA

    POLIS sedang menjalankan siasatan mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) berkaitan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan polis pada masa ini adalah untuk menentukan sah wujud sebarang kesalahan oleh mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden itu.

    Beliau berkata, pada masa ini, siasatan polis dijalankan mengikut KEP dan pihaknya mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

    “Pada peringkat ini, kita sedang mengenal pasti individu yang akan kita panggil untuk dirakam keterangan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Pihaknya kata Hussein, setakat ini hanya menerima satu laporan polis berhubung dakwaan ‘pencerobohan’ dilakukan King Sing.

    “Laporan itu dibuat orang awam,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada Khamis, tular laporan portal mendakwa kekecohan tercetus di KLIA apabila seorang menteri didakwa menceroboh balai ketibaan lapangan terbang untuk ‘menyelamatkan’ seorang pelancong dari China.

    King Sing kemudian tampil mempersoal siapa sebenarnya yang menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai Imigresen bertugas.

    Mengakui dirinya menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu sebaliknya bersyukur kehadirannya ke KLIA membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk masuk negara.

    Berikutan itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, dalam kenyataan kelmarin memaklumkan, Jabatan Imigresen menjalankan siasatan serta merta selepas insiden itu dilaporkan pihak media.

    Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Imigresen pula menunggu laporan penuh insiden kekecohan terbabit sebelum memutuskan langkah selanjutnya.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pula memaklumkan, agensi itu akan membuka siasatan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku di KLIA dan akan mendapatkan maklumat berhubung perkara itu dalam tempoh terdekat.

  • Permohonan bangunkan KXP ada rupanya, siapa yang berdalih?

    Permohonan bangunkan KXP ada rupanya, siapa yang berdalih?

    Oleh BADLISHAH MAT

    JAWAPAN oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pendirian mereka terhadap pelan pembangunan projek Kedah Aerotropolis dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) ibarat membuka tembelang Kerajaan Persekutuan dalam isu itu.

    Ini kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh MOT semalam menjawab sendiri kenyataan dikemukakan Anthony Loke Siew Fook pada 8 Mac lalu di Parlimen bahawa kononnya tiada permohonan dibuat untuk pembangunan projek itu.

    Justeru itu kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, isu ‘Kedah tidak pernah memohon untuk membangunkan KXP’ seperti disebut Anthony Loke sebelum ini tidak relevan dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

    Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya cakna dengan ketegasan Sultan Kedah yang dua kali menitahkan agar diberi pertimbangan wajar dan adil untuk menyegerakan kelulusan projek itu demi kepentingan rakyat selain tidak dipengaruhi kepentingan politik.
     
    “Masalah sebenar Perdana Menteri ialah beliau enggan beri ruang untuk dengar penjelasan kita mengenai perkembangan projek setelah tiga pucuk surat diutus untuk memohon pertemuan.

    “Dalam masa sama, beliau membuat kenyataan seolah-olah tahu segalanya. Alasan isu keselamatan negara yang dibangkitkan oleh beliau dua hari lalu juga ternyata kurang cermat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kata Muhammad Sanusi, alasan yang dijadikan faktor untuk mengelak kelulusan projek itu sudah ditangani melalui pelbagai sesi libat urus dan perundingan oleh Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity bersama agensi dan jabatan berkaitan.

    “Laporan berkaitan isu terbabit juga sudah beberapa kali dibentangkan oleh konsultan yang dilantik oleh KXP AirportCity dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.

    “Ia diketuai oleh Tan Sri Ir. Dr. Jamilus Husin, seorang tokoh yang mengetuai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Beliau amat memahami selok-belok serta kaedah yang diperlukan dalam mengendalikan projek membina lapangan terbang.

    “Bagaimana mungkin dengan pembabitan aktif seorang tokoh yang cukup mahir dan berpengalaman dalam projek Kedah Aerotropolis, perkara-perkara asas yang berkaitan dengan keselamatan negara tidak diberikan perhatian seperti yang dijadikan alasan oleh Perdana Menteri,” tegasnya.

    Malah Muhammad Sanusi berkata, Laporan penuh National Airports Strategic Plan (NASP) pula hanya akan siap hujung tahun ini. Justeru, apa yang disebut dalam kenyataan MOT berkaitan dapatan kajian itu hanya atas sifat semasa dan bukan muktamad.

    “Akan ada perkembangan dari masa ke semasa yang boleh mempengaruhi laporan akhir NASP. Saya ingin ingatkan MOT supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan dengan memanipulasi kajian yang diusahakan menggunakan wang rakyat itu semata-mata untuk kepentingan politik kepartian.

    “Kerajaan Kedah berharap perbincangan lanjut berhubung projek ini dapat diadakan segera bersama Perdana Menteri seiring titah Tuanku Sultan yang mahu momentum pertumbuhan ekonomi Kedah yang sedang berkembang pesat terus dikekalkan,” katanya.

  • Hadi Awang ucap terima kasih, kirim salam kepada semua

    Hadi Awang ucap terima kasih, kirim salam kepada semua

    KEADAAN kesihatan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin pulih.

    Perkara itu dikongsikan Setiausaha Politik beliau, Mohd Syahir Che Sulaiman menerusi akaun Instagram (Instastory) hari ini.

    “Alhamdulillah, keadaan Tok Guru makin baik, sudah pulih dan dalam pemantauan (doktor). Masa terluang (Tok Guru) diisi dengan membaca dan menulis. Beliau sedang menyiapkan dua artikel baharu selain turut berbincang hal-hal semasa,” katanya.

    Menurut Ahli Parlimen Bachok itu juga, Abdul Hadi turut mengirimkan salam kepada semua serta berterima kasih atas doa dan ingatan ke atasnya.

    Semalam, kesihatan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan merosot dan dimasukkan ke hospital di Kuala Terengganu bagi menerima rawatan.

    Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil menerusi hantaran di laman Facebooknya pagi semalam.

    Dalam hantaran sama, Muhammad Khalil turut memaklumkan ayahnya berada dalam keadaan uzur sejak hadir ke pelancaran jentera pilihan raya Pemuda Pas Terengganu di Marang pada 27 Jun lepas.

  • Jatuh bot di Sungai Kelantan, dua mangsa ditemui lemas

    Jatuh bot di Sungai Kelantan, dua mangsa ditemui lemas

    SEORANG kanak-kanak lelaki dan bapa saudaranya yang jatuh daripada bot dinaiki mereka di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hulu, di Tumpat, Jumaat lepas ditemukan lemas, pagi ini.

    Ketua Polis Tumpat ACP Amran Dolah berkata kedua-dua mangsa ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat.

    “Mangsa pertama iaitu Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemukan sekitar 8.15 pagi tadi di tebing sungai dalam jarak 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK), manakala, bapa saudaranya Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, pula ditemukan bawah jambatan Sultan Yahya Petra iaitu tengah-tengah kawasan sungai dan tidak jauh dari mangsa pertama dijumpai,” katanya kepada pemberita di Tumpat, hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat dan susulan penemuan itu operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

    Pada Jumaat, Wan Muhamad Najmi, isterinya Nor Awadah Sulong, 30, dan anak perempuan mereka, Wan Nur Ameena, 14 bulan serta Amrullah Fitri terpelanting dan terjatuh ke dalam sungai selepas enjin bot dinaiki mereka tiba-tiba mati.

    Nor Awadah meninggal dunia akibat kejadian itu manakala anak perempuannya selamat.

  • Poster ucapan takziah: ‘Adab harus dijaga’, pesan Amirudin

    Poster ucapan takziah: ‘Adab harus dijaga’, pesan Amirudin

    TINDAKAN pengguna Twitter yang memuat naik templat poster ucapan takziah tanpa gambar di media sosial boleh dianggap bertentangan dengan adab orang Melayu.

    Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengguna Twitter berkenaan sepatutnya memelihara adab dan mendoakan perkara yang baik walaupun berbeza pandangan dan politik.

    “Doakan yang baik, adab harus dipelihara walau berbeza pandangan dan politik,” ciap Menteri Besar di laman Twitternya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, pengguna Twitter itu memuat naik ucapan takziah di laman Twitternya dan meminta pengguna laman sosial itu mencadangkan gambar sesuai untuk diletakkan pada templat posternya itu.

    Berikutan itu, ciapan pengguna Twitter terbabit mendapat kecaman banyak pihak termasuk Amirudin.

    Ciapan itu turut muncul selepas media sosial itu dibanjiri dengan ciapan perkongsian berhubung keadaan kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merosot dan sedang dirawat di hospital.

  • Perlu siasat penjual, pembeli patung seks berupa kanak-kanak

    Perlu siasat penjual, pembeli patung seks berupa kanak-kanak

    MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa polis menyiasat pembeli anak patung seks menyerupai kanak-kanak di sebuah platform dalam talian.

    “Pihak berkuasa bukan saja perlu mengambil tindakan terhadap penjual anak patung itu, tetapi juga pembeli.

    “Polis perlu lihat siapa yang membeli alat mainan seks ini. Mereka bukan saja perlu bertindak terhadap penjual, tetapi juga pembeli,” katanya dalam sebuah majlis di Kuala Lumpur.

    Yeoh berkata, pembeli anak patung itu memerlukan kaunseling kerana ia ‘bukan tingkah laku biasa’, lapor FMT.

    Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai kerana membangkitkan perkara itu dan menjaga kebajikan kanak-kanak.

    Jumaat lalu, pengguna media sosial membangkitkan penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak di platform e-dagang Shopee.

    Seorang warganet berkongsi pautan penjualan anak patung seks menyerupai kanak-kanak itu oleh ‘sexymarina’ pada harga RM1,400 hingga RM1,500 setiap satu.

    Shopee kemudiannya berkata, ia akan mengambil tindakan susulan laporan anak patung itu dijual di platformnya.

    Jurucakap Shopee berkata, platform itu segera mengeluarkan produk itu daripada senarainya dan mengharamkan akaun penjual terbabit secara kekal, selain menyiasat penjual berkenaan.

  • Selesai isu laungan azan cara baik, tidak perlu panjangkan isu

    Selesai isu laungan azan cara baik, tidak perlu panjangkan isu

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berharap isu melibatkan laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth tidak dipanjangkan dan dapat diselesaikan dengan baik serta saling bertolak ansur antara semua pihak terlibat.

    Jelasnya, isu itu tidak sepatutnya timbul sekiranya semua pihak mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

    Ini kerana, menurut beliau, keputusan yang dibuat sejak 2010 itu melarang penggunaan pembesar suara luar masjid dan surau kecuali untuk azan dan iqamah.

    Ujarnya, beliau difahamkan pihak masjid Sungai Puyu terlupa menutup pembesar suara luar sewaktu mendirikan solat Subuh dan ketika kuliah disampaikan selepas itu.

    “Saya menasihati semua pihak di negeri ini sama ada masyarakat Islam atau bukan Islam supaya tidak mudah terperangkap dalam sentimen perkauman dan agama sehingga mengeruhkan keharmonian dalam hubungan sesama masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Wan Salim, beliau khuatir sekiranya ada pihak tertentu sengaja menimbulkan semula isu tersebut untuk meraih keuntungan politik murahan.

    “Kita perlu sentiasa ingat keamanan adalah lebih perlu dipelihara dan diutamakan daripada memperoleh kepentingan politik yang sementara,” katanya.

    Polis sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mensensasikan atau membuat provokasi berhubung isu laungan azan di masjid kawasan Sungai Puyu, Butterworth.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Superintenden Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan kemarahan hingga menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awan.

    Pada 28 Jun lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh individu berkaitan tindakan seorang lelaki warga tempatan yang tidak dikenali meminta untuk memperlahankan bunyi azan kerana mendakwa terlalu kuat hingga mengganggu penduduk sekitar.