Category: Semasa

  • Polis kesan lima kes sindiket godam akaun bank

    Polis kesan lima kes sindiket godam akaun bank

    SATU sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail ‘android package kit’ (APK) dikesan polis yang sehingga kini lima kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM58,844.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan pautan fail APK yang mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

    Menurut beliau, polis menerima tiga laporan di Johor, masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Sabah, lapor Sinar Harian.

    “Siasatan mendapati, sindiket menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen bertujuan menjerat mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK, Kuala Lumpur, hari ini.

    Tambah beliau, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan kemudian diberikan pautan fail APK sebelum diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar.

    Mohd. Kamarudin memberitahu, setelah selesai dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem mesej pesanan ringkas (SMS) sedia ada.

    “Mangsa akan diarahkan mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi tersebut.

    “Maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran itu adalah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian,” katanya.

    Menurutnya, setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar,namun paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

    “Hakikatnya, pemasangan aplikasi dan proses ‘pendaftaran’ yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudian akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa,” katanya.

    Kamarudin berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar ke telefon pintar daripada individu yang tidak dikenali atau sumber tidak sah.

    “Tindakan memasang aplikasi SMS dari sumber yang mencurigakan perlu dielakkan.

    “Orang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/ 0326101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

  • Jual sijil vaksin palsu: 25 individu ditahan

    Jual sijil vaksin palsu: 25 individu ditahan

    SERAMAI 25 individu ditahan membabitkan sembilan kes penipuan penjualan sijil vaksin palsu di seluruh negara sejak bulan lalu.

    Daripada jumlah itu, turut ditahan membabitkan tiga doktor, tiga jururawat, 11 orang awam, tujuh ejen dan seorang staf klinik.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din berkata, kebanyakan siasatan kes berkenaan sudah hampir selesai dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

    “Kes terbaharu yang dikesan pihaknya membabitkan sijil vaksin palsu dilaporkan di Kinarut, Sabah, pada minggu lalu.

    “Kita menerima laporan daripada seorang staf klinik pada 4 Februari lalu yang melaporkan seorang doktor melakukan aktiviti penjualan sijil vaksin palsu.

    “Suspek berkenaan yang juga seorang doktor berusia 37 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Februari lalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mohd. Kamarudin berkata, dalam kes berasingan, pihaknya menerima dua laporan di Selangor berhubung kes penipuan berkaitan tawaran penjualan kit ujian covid-19 yang tidak wujud melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM710,000.

    “Berdasarkan siasatan, kedua-dua mangsa yang juga ahli perniagaan telah mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat yang mendakwa boleh membantu dalam pembelian kit ujian pengesanan covid-19 dari syarikat pengeluar di China.

    “Setelah pembayaran dilunaskan, kit ujian yang dibeli tidak diterima. Mangsa seterusnya membuat semakan terus dengan syarikat pengeluar di China dan mendapati tiada sebarang pesanan diterima oleh pihak pengeluar,” katanya.

    Mohd. Kamarudin memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki didakwa bunuh isteri

    Lelaki didakwa bunuh isteri

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya, hujung bulan lalu.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ibrahim Abdullah, 51, berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja membunuh Fatimah Manikam Abdullah, 44, di Kampung Tawas, Ipoh antara 10 malam 26 Januari 2022 hingga 3.05 petang 27 Januari lalu.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Majistret Jesseca Daimis kemudian mentetapkan tarikh 13 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat dan laporan perubatan penuh.

  • Lelaki dikait 13 penipuan jual beli baucar penginapan

    Lelaki dikait 13 penipuan jual beli baucar penginapan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki terbabit dalam penipuan jual beli baucar penginapan sebuah hotel yang tidak wujud sehingga membabitkan kerugian RM24,440.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ke atas lelaki berumur 56 tahun itu di Ampang, Selangor pada 5 Februari lalu.

    “Turut dirampas ialah dua unit telefon bimbit dan sekeping kad ATM Maybank milik suspek. Hasil siasatan mendapati terdapat 13 laporan polis lain bersangkut dengan kes ini dan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM24,440,” katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, kertas siasatan telah diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

    Aibee berkata, lelaki tersebut aktif dalam sindiket penipuan itu sejak dua tahun lalu susulan laporan polis diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Nilai pada 21 Ogos 2020.

    Katanya, menurut laporan itu, seorang guru kerugian RM1,214 dalam urusan jual beli baucar penginapan Hotel Lexis Hibiscus selepas menyedari baucar diberikan tidak sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan modus operandi penjualan baucar penginapan hotel yang jauh lebih murah daripada harga asal dan masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu kepada agensi perhotelan atau agensi pelancongan sebelum membuat pembelian. – Bernama

  • Bekalan air 2 kilang dipotong sambung paip tidak sah

    Bekalan air 2 kilang dipotong sambung paip tidak sah

    UNIT Penguatkuasaan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertindak memotong bekalan air dua kilang memproses bahan plastik kitar semula di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, hari ini.

    Tindakan tersebut dilakukan selepas dikesan melakukan penyambungan paip tidak sah melalui operasi bersepadu..

    Air Selangor dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil tindakan itu selepas risikan dilakukan di premis berkenaan.

    SPAN dalam kenyataan menerusi Facebook memaklumkan, kedua-dua premis itu didapati melakukan penyambungan paip air secara terus dari tetiang tanpa meter Air Selangor menggunakan paip HDPE berukuran 25 milimeter disyaki bagi tujuan kegunaan harian premis kilang tersebut.

    “Tindakan pemotongan bekalan air yang diperoleh secara tidak sah telah diambil tindakan serta-merta dan pemilik premis bertanggungjawab dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Kenyataan itu turut menyebut, SPAN sentiasa menjalin kerjasama berterusan bersama-sama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

    Tambah kenyataan itu, penyambungan bekalan air dari sesalur utama awam boleh disiasat di bawah Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan akan berdepan denda tidak melebihi RM100,000 satu tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang para pengguna boleh menghubungi talian 03-8317 9333 atau e-mel kepada [email protected]

  • 26 kes jangkitan varian Omicron dikesan di Pahang

    26 kes jangkitan varian Omicron dikesan di Pahang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KES harian Covid-19 di Pahang meningkat secara mendadak kerana disebabkan berlakunya jangkitan varian Omicron di negeri itu.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, semalam sebanyak 26 kes jangkitan varian Omicron telah dikesan di negeri itu, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, jika sebelum ini Pahang hanya merekodkan kes harian kurang daripada 200 kes, namun angka yang direkodkan semalam melonjak kepada 739 kes.

    Beliau berkata, jangkitan Omicron tidak boleh dihentikan kerana ia sudah meluas berada dalam komuniti, namun mampu di perlahankan transmisinya supaya tidak terlalu parah.

    Bagaimanapun Katanya, membiarkan lonjakan kes berterusan tanpa sebarang tindakan, semata-mata mengharapkan natural imuniti tidak sepatutnya berlaku.

    Ini kerana katanya, masih ada kumpulan berisiko mendapat jangkitan yang teruk, khususnya warga emas dan mereka yang belum divaksin.

    “Walaupun majoriti kes berada dalam kategori satu dan dua, namun sekiranya berlaku lonjakan kes secara berterusan, kes kategori tiga hingga lima juga akan meningkat.

    “Jika ini berlaku sudah pasti penggunaan katil di hospital dan katil Unit Rawatan Rapi ( ICU ) akan bertambah. Selama mana perkhidmatan hospital mampu bertahan kerana kita sendiri tidak pasti sampai bila gelombang berlaku,” katanya dalam satu hantaran menerusi halaman Facebook JKNP, hari ini.

    Sehubungan itu ujar Dr. Nor Azimi, orang ramai tidak boleh mengharapkan keajaiban akan berlaku tanpa berbuat apa-apa sebaliknya perlu berikhtiar dan berusaha untuk menghalangnya.

    Tambah beliau, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah kaedah terbaik namun langkah itu kini seakan dipandang remeh.

    Menurut beliau, tidak ada kaedah terbaik untuk perlahankan transmisi ini melainkan pengambilan vaksin dan dos penggalak bagi mengurangkan risiko keterukan dan komplikasi seperti kematian.

    Katanya, kawalan kendiri juga penting termasuk membuat ujian bagi yang bergejala dan jangan ke mana-mana.

    “Malangnya, kita dapati ada individu bergejala masih pulang ke kampung dan melancong, apabila mereka didapati positif, ramai akan berisiko dijangkiti,” ujar beliau.

  • Sindiket penipuan guna nama Ketua Polis Pahang

    Sindiket penipuan guna nama Ketua Polis Pahang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    TAKTIK dan modus operandi sindiket penipuan kini semakin licik apabila dengan berani menggunakan nama Ketua Polis Pahang bagi memperdayakan mangsanya.

    Ini terbukti apabila dalam kejadian terbaharu yang dikesan sindiket tersebut didapati telah menggunakan nama jawatan tertinggi polis di negeri itu sebagai modus operandi mereka.

    Justeru, Polis Pahang menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan taktik dan modus operandi berkenaan.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, taktik itu dikesan selepas mendapat satu notis tangkapan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui telefon bimbitnya pada malam Rabu.

    Bagaimanapun katanya, polis tidak pernah mengeluarkan sebarang surat arahan berhubung perkara itu temasuk notis kehadiran suspek mahu pun memo dalaman yang ditandatanganinya.

    Beliau terkejut apabila mendapati notis itu (tangkapan) yang mengandungi nama dan tanda tangan beliau, sebelum beliau turut berkongsi kepada semua ketua polis negeri-negeri agar lebih berhati-hati.

    “Surat itu dipercayai dibawa oleh seseorang untuk diberikan kepada orang yang dikenali atau dikehendaki polis sebagai satu notis khas.

    “Saya yakin dan percaya perbuatan ini dilakukan individu yang menyamar sebagai polis untuk diberikan kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurut Ramli, notis palsu tersebut dijadikan sebagai dokumen sebenar bagi tujuan penipuan dan ugutan untuk mendapatkan wang.

    Ujarnya, notis palsu itu turut mengandungi butiran lengkap seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan, alamat, nombor fail kes serta perlu memperkenalkan diri daripada Ibu pejabat Polis kontijen Pahang.

    Menurutnya, beliau yakin dengan kaedah menyamar sebagai polis dan menggunakan notis membuat tangkapan mampu menakut-nakutkan mangsa yang kononnya mereka akan diberkas.

    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya merujuk kepada balai polis berdekatan, jika menerima sebarang notis penangkapan daripada polis.

  • Fahmi Reza dituduh buat hantaran jelik isu kuarantin menteri

    Fahmi Reza dituduh buat hantaran jelik isu kuarantin menteri

    SEORANG pereka grafik dan aktivis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Twitter miliknya membabitkan isu kuarantin terhadap menteri pulang dari lawatan rasmi di luar negara, tahun lepas.

    Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Mohd Fahmi didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Twitter menggunakan laman profil Twitter “Fahmi Reza” atau “@kuasasiswa” pada 3.02 petang, 10 Feb 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Presint 1, Putrajaya pada 4 petang, 11 Feb tahun sama.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000, namun peguam Raj Surian Pillai, yang mewakili Fahmi Reza memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

    “OKS juga tidak akan mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” kata Raj Surian.

    Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Fahmi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • Tidak diwajibkan pemeriksaan suhu di premis pendidikan KPM

    Tidak diwajibkan pemeriksaan suhu di premis pendidikan KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak akan mewajibkan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis institusi pendidikan di bawah kelolaan KKM mulai Jumaat ini.

    KPM dalam satu kenyataan memberitahu, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih lagi diwajibkan untuk mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera.

    “Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa penjaga dimohon untuk memastikan anak-anak jagaan berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah.

    “Murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif Covid-19 serta tinggal serumah adalah tidak dibenarkan untuk hadir ke sekolah.

    “Tahap kesihatan murid semasa berada di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya,” jelas KPM memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kementerian itu berkata, ketetapan itu disaran turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM.

    “KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

    Selasa lalu, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk ke mana-mana premis berkuat kuasa mulai 11 Februari.

  • Buruh maut digilis lori di tapak pembinaan

    Buruh maut digilis lori di tapak pembinaan

    SEORANG buruh warga asing maut selepas digilis sebuah lori di sebuah tapak pembinaan di Kuala Langat pukul 12.30 tengah hari semalam.

    Buruh kasar warga Bangladesh itu mengalami kesan parah di kepala semasa lori berkenaan sedang melakukan kerja-kerja mengangkut tanah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu lori sedang mengundurkan kenderaan itu untuk membuang tanah di kawasan pembinaan berkenaan.

    “Apabila selesai membuang tanah, pemandu terbabit keluar dari lori dipandunya untuk melihat tanah yang dibuang itu.

    “Semasa pemandu lori ke hadapan lori, dia nampak pekerja buruk kasar itu terbaring dalam keadaan parah di kepala dan anggota badan akibat digilis oleh tayar lori dipandunya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Ahmad Ridhwan berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berumur 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kasar di tapak pembinaan berkenaan.

    Katanya, saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

    “Mereka boleh juga menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” katanya.