Category: Semasa

  • Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

    Tragedi kepala air: Identiti lapan individu dikenal pasti

    IDENTITI lapan individu termasuk tujuh sekeluarga yang masih hilang dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih dekat Chukai semalam, dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tujuh sekeluarga itu ialah Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

    Seorang lagi individu yang hilang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

    Terdahulu, polis menerima maklumat mengenai penemuan dua mayat tragedi itu iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, daripada orang awam pada pukul 12.30 tengah hari.

    “Identiti dua beranak itu dikenal pasti selepas pengecaman dilakukan ahli keluarga di Bilik Forensik Hospital Kemaman, pada malam tadi.

    “Keluarga berkenaan berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang telah datang ke jeram berkenaan sejak 2 petang (Sabtu) untuk berkelah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di Chukai, malam tadi.

    Mayat Azizah ditemukan terapung oleh orang ramai, dihanyutkan arus kira-kira 24 kilometer (km) dari tempat kejadian, manakala Muhammad Zulqarnain Haikal tersangkut pada dahan pokok kira-kira 2km dari tempat kejadian.

    Beliau berkata, pihaknya percaya Karim yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih di Chukai, mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai.

    “Bagaimanapun, mereka mungkin tidak menyedari keadaan kepala air yang datang dengan deras secara tiba-tiba. Kalau tengok keadaan di lokasi tadi, paras air dipercayai meningkat sebanyak lima hingga 10 meter sekali gus, tidak sempat untuk melarikan diri ketika sedang mandi di situ,” katanya.

    Hanyan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan kekuatan 50 anggota daripada pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam telah dihentikan pada 6 petang semalam atas faktor cuaca dan akan disambung semula pada 8 pagi ini.

    “Setakat pukul 10 malam ini (Ahad), tiada sebarang penemuan baharu di lokasi kejadian. Radius kawasan pencarian kita pula seluas 24 km mengambil kira lokasi penemuan mayat pertama.

    “Esok (hari ini) kita akan mula pencarian di tebing kiri dan kanan jeram sejauh 8km. Polis percaya kemungkinan lokasi mangsa boleh berada jauh dari titik awal kejadian kerana dibawa arus kepala air yang deras,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan khidmat anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM, selain akan membuat permohonan menambah kekuatan anggota operasi SAR termasuk bantuan daripada orang luar.

    “Malah kalau ada orang awam yang nak bantu pencarian pun kita amat galakkan, bagaimanapun perlu lapor diri terlebih dahulu di Balai Polis Air Putih. Diingatkan agar tidak membuat kerja pencarian tanpa pengetahuan polis,” katanya.

    Beliau berkata, operasi SAR pada hari ini akan melibatkan tiga fasa kawasan pencarian mengikut kekuatan dan bantuan sedia ada operasi pasukan pencarian.

    Beliau bagaimanapun berkata, maklumat berhubung proses pencarian akan dimaklumkan pada Isnin dan operasi SAR itu bergantung sepenuhnya kepada faktor cuaca.

    Dalam pada itu, katanya mayat Azizah dan Muhammad Zulqarnain Haikal akan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hari ini untuk bedah siasat.

  • Dakwaan rasuah di KLIA: SPRM jumpa Tiong esok, kata Azam Baki

    Dakwaan rasuah di KLIA: SPRM jumpa Tiong esok, kata Azam Baki

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan pertemuan bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing esok susulan dakwaan rasuah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Beliau berkata, pelancong dari China yang dikatakan menjadi mangsa kepada perlakuan rasuah berkenaan juga akan turut serta dalam pertemuan itu.

    “Sudah pasti maklumat mendakwa terdapat perlakuan rasuah didedahkan menerusi laporan media, jadi SPRM perlu mendapatkan maklumat berkenaan untuk penelitian.

    “Kita akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua individu berkenaan kerana tidak mahu ada individu cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang tegang,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Dalam pada itu, Azam baki menyeru orang ramai bersabar kerana pihaknya akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang.

    Semalam, Azam berkata, pegawainya akan menyiasat dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di KLIA dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

    Jumaat lalu, Tiong mengakui beliau adalah menteri dilapor mencetuskan kekecohan di KLIA bagi membantu seorang wanita warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Katanya, wanita itu ada memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

    Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, turut mendakwa ada pegawai meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan, RM3,000 lagi jika ingin masuk semula, selain RM12,000 bagi kos memproses visa.

  • Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat, kata Azmin

    Tun M ajak Melayu bersatu lawan musuh ada agenda tersirat, kata Azmin

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak orang Melayu khususnya bersatu dalam menentang musuh yang mempunyai agenda tersembunyi.

    Perkara itu dinyatakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui hantaran di Instagram miliknya ketika beliau dan isteri, Datin Seri Shamsidar Taharin menziarahi Dr Mahathir dan isteri, Tun Siti Dr. Hasmah Mohamad Ali, petang tadi.

    “Pendapat ini disuarakan selepas membincangkan mengenai pelbagai isu semasa.

    “Tun turut memberi pandangan kepada saya mengenai situasi politik semasa di tanah air.

    “Selain isu ekonomi dan kos sara hidup, Tun secara tuntas mengajak umat Melayu untuk bersatu melawan musuh yang mempunyai agenda yang tersirat.

    “Lebih satu jam saya dan Shida dirai mesra dengan pelbagai juadah raya, ketupat, nasi impit, rendang ayam, rojak buah, bihun tauchu, pengat pisang dan minuman lai chi kang.

    “Alhamdulillah, minggu depan Tun akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-98 dan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke-97.

    “Syukur Allah SWT mengurniakan nikmat kesihatan kepada Tun berdua dan moga mereka akan terus dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

    Katanya, Dr. Mahathir hakikatnya mempunyai kewibaan yang tinggi di peringkat antarabangsa memandangkan beliau telah menerima pelbagai jemputan program di luar negara.

    Tambahnya, ia dibuktikan menerusi lawatan kerja bekas Ahli Parlimen Langkawi itu ke Bosnia, United Kingdom dan Turkiye.

    “Turkiye telah meminta nasihat Tun dan ingin bekerjasama dengan Tun untuk menjayakan Istanbul Summit berdasarkan pengalaman dan kejayaan memimpin KL Summit.

    “Sambutan yang hebat kepada Tun ketika lawatan ini membuktikan dunia masih menghormati pandangan beliau dalam pelbagai cabaran masyarakat dunia hari ini,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

    Terkejut, tak percaya keluarga kakak terlibat tragedi kepala air

    KELUARGA mangsa terkejut dan masih tidak percaya tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, hari ini yang menyebabkan 10 individu lemas.

    “Saya masih terkejut dan tak percaya dengan kejadian yang berlaku ini,” kata Syawalluddin Eiyi, 29, sebaik mengetahui kejadian menimpa keluarga kakaknya, Allahyarham Azizah Eiyi, 40, mangsa tragedi tersebut.

    Syawalluddin Eiyi bagaimanapun berharap ahli keluarganya yang masih hilang dalam kejadian terbabit ditemui selamat.

    Dia memberitahu, mengetahui kejadian tersebut setelah tular dalam media sosial selain usaha pihak polis mengesan keluarga mangsa.

    “Saya diberitahu polis datang ke rumah ibu dan ayah saya di Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan untuk mengesan ahli keluarga.

    “Kebetulan juga saya ternampak berita tular di Facebook berserta nombor plat kereta yang dinaiki kakak saya sekeluarga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Syawalluddin, tujuh anak saudaranya termasuk paling kecil berusia lima tahun turut terlibat dalam tragedi itu.

    “Kakak saya bersama suami pergi bermalam untuk berkelah ke situ bersama anak dan seorang lagi bakal menantu keluarga kami,” ujarnya.

    Syawalluddin yang kini berada di Melaka berkata, kali terakhir dia bertemu kakak dan abang iparnya pada Jumaat lalu.

    “Sebelum ini mereka memang pernah bermalam di kawasan itu memandangkan abang ipar saya bekerja di sana (Terengganu).

    “Tak sangka pula kali ini tragedi tak diingini berlaku kepada mereka sekeluarga. Saya berharap sangat dan berdoa agar masih ada yang terselamat,” luahnya.

    Difahamkan, usaha mencari dan menyelamat kini giat dijalankan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan.

    Terdahulu, penduduk di Kampung Laut, Pasir Gajah, di Kemaman dikejutkan dengan penemuan mayat yang hanyut di sungai di kampung berkenaan.

    Setakat ini lapan lagi mangsa dikhuatiri masih hilang dalam tragedi kepala air di Kampung Air Putih, di daerah berkenaan hari ini.

    Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki dan wanita ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, di Kuala Terengganu hari ini, sementara lapan lagi dikhuatiri masih hilang.

    Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

    Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Azizah dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

  • Bau busuk bongkar penemuan mayat dalam kebun getah

    Bau busuk bongkar penemuan mayat dalam kebun getah

    BAU busuk membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput dalam sebuah kebun getah di Kampung Pahit Dalam, Gerik hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, keadaan mangsa berusia 43 tahun itu disedari orang awam yang terhidu bau busuk sekitar pukul 9.40 pagi sebelum memaklumkan kepada polis.

    “Mayat mangsa hanya memakai seluar panjang berwarna hitam dan tidak berkasut.

    “Mangsa merupakan penduduk tempatan kampung tersebut dan dijumpai meninggal dunia dalam kawasan kebun di pondok milik mangsa sendiri,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata, siasatan polis di tempat kejadian tidak menemui apa-apa unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

    Katanya, buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat telah dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Menteri ugut ‘buang pangkat’, pegawai imigresen jelaskan kenapa warga China dihalang masuk

    Menteri ugut ‘buang pangkat’, pegawai imigresen jelaskan kenapa warga China dihalang masuk

    SEORANG penolong penguasa imigresen tampil menjelaskan lebih lanjut mengenai insiden yang berlaku baru-baru ini melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.

    Beliau mendakwa telah mengancam untuk ‘membuang pangkat’ seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kerana menolak kemasukan warga China yang tidak memenuhi syarat visa. 

    Syahmi Syafie Md Nazmil dalam laporan polis turut menafikan dakwaan Tiong mengenai amalan rasuah yang berleluasa di lapangan terbang itu sambil berkata, pelancong berkenaan yang merupakan seorang wanita warga China bernama Wang Xue, bukan sahaja gagal mengemukakan tiket pergi dan balik seperti dikehendaki ke atas warga asing yang memasuki negara ini, malah tidak dapat menyatakan dengan jelas mengenai penginapannya semasa di Malaysia.

    Syahmi dalam laporan polisnya berkata, berikutan masalah komunikasi, Wang Xue menjawab soalan melalui jurubahasa melalui telefonnya, yang dikenali Syahmi sebagai Emma. 

    Menurut Emma, wanita tersebut datang ke Malaysia untuk menjaga anaknya.

    Namun begitu, Syahmi berkata, Tiong enggan memberi peluang kepada pegawai imigresen terbabit untuk memberi penjelasan, sebaliknya menuduhnya meminta rasuah sebanyak RM3,000.

    “Beliau juga memarahi pegawai kanan serta penyelia yang menolak kemasukan subjek dan mengatakan ‘you are the culprit’ serta membuat tuduhan yang tidak berasas dengan menyatakan pegawai meminta wang sebanyak RM3,000 melalui ejen untuk membebaskan subjek masuk ke Malaysia,” lapor Astro Awani memetik Syahmi sebagai berkata dalam laporan polisnya.

    Syahmi juga memberitahu, Tiong turut mengugut untuk membuang pangkat pegawai itu dan mengeluarkan “pelbagai kata-kata yang menjatuhkan air muka pegawai di hadapan pegawai lain serta orang awam yang berada dalam pejabat pada ketika itu”.

    Syahmi berkata, notis penolakan masuk ke atas wanita itu telah dimansuhkan berikutan campur tangan Tiong, sambil menambah bahawa sebarang arahan untuk membatalkan sekatan kemasukan hanya boleh dibuat oleh ketua pengarah imigresen.

  • 2 maut, 8 hilang dalam tragedi kepala air

    2 maut, 8 hilang dalam tragedi kepala air

    SERAMAI 10 sekeluarga dipercayai lemas dalam dalam tragedi kepala air di Kampung Air Puteh di Kemaman, Terengganu.

    Dua mayat mangsa berjaya ditemui pasukan penyelamat, manakala lapan lagi masih hilang.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata, semua mangsa dipercayai berusia antara empat hingga 40 tahun datang berkelah di kawasan tersebut, kira-kira 5 petang semalam.

    Katanya, polis sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang wanita terapung di sungai Kampung Pasir Gajah dalam jarak kira-kira 24km daripada tempat keluarga itu berkelah.

    “Polis bersama pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk bergegas ke lokasi kejadian.

    “Mayat kedua seorang lelaki dipercayai bakal menantu kepada mangsa wanita terbabit ditemui tersangkut di pokok pada jarak tiga kilometer dari lokasi kejadian,” katanya memetik Harian Metro.

    Hanyan berkata, hujan lebat sejak petang semalam hingga awal pagi hari ini dipercayai menyebabkan berlaku fenomena kepala air.

    Hanyan berkata, polis percaya keluarga besar ini terbabit dalam tragedi itu berdasarkan pakaian dan selipar di tempat kejadian.

    “Polis menemui sebuah kereta Proton Gen2 dan motosikal SYM di tempat kejadian dipercayai milik mangsa terbabit.

    “Berdasarkan keadaan motosikal yang terbalik dan dalaman kereta yang basah kita percaya berlaku kejadian kepala air di situ,” katanya.

    Katanya, operasi ditamatkan kira-kira 6 petang tadi berikutan keadaan cuaca buruk dan operasi akan bersambung 9 pagi esok.

    Sementara itu, Pegawai Bertugas Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Ahmad Syukri Yusoff berkata, dua korban pertama telah ditemukan masing-masing pada pukul 12.45 tengah hari tadi.

    Kedua-duanya dikenal pasti sebagai AAzizah Eiyi, 40, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11.

  • Komen tiada adab, kata Tuan Ibrahim

    Komen tiada adab, kata Tuan Ibrahim

    TINDAKAN seorang pengguna Twitter yang memuat naik doa mengharapkan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dianggap sebagai tidak beradab dan mempunyai akhlak Islam yang baik.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan daripada segi politik namun isu berkaitan sakit dan kematian tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menunjukkan kebencian.

    Tegasnya, individu terbabit perlu mendalami akhlak Islam dan memahami bahawa sakit akan dialami oleh setiap manusia.

    “Perkara ini tidak boleh dibuat bahan, orang bukan Islam pun kutuk tindakan dia kerana tidak mencerminkan akhlak yang baik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Tambah Tuan Ibrahim, jika seseorang tidak mampu mengawal emosi dan tindakan hingga sanggup mendoakan keburukan kepada orang lain maka dia tidak layak untuk menjadi pemimpin politik.

    Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Abdul Hadi dibenarkan keluar hospital, hari ini dan telah pulang ke kediamannya.

    Pada Sabtu, tular ciapan dibuat pengguna Twitter tersebut yang didakwa pembantu kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

  • Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri

    Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki mengelar leher, menikam perut dan menarik ususnya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru pada 10.53 malam Khamis lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, lelaki berusia 32 tahun yang melakukan perbuatan itu dipercayai mengalami masalah mental.

    Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung video kejadian berdurasi 52 saat yang tular dalam media sosial pada pukul 9.02 pagi tadi.

    “Siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu cuba membunuh diri dengan menikam perutnya dan mengelar lehernya menggunakan pisau.

    “Lelaki ini kemudian dirujuk ke doktor psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

    Berdasarkan video yang tular itu, kelihatan lelaki berkenaan menarik keluar ususnya dalam keadaan lemah dan sudah terbaring di dalam sebatang parit di tepi jalan tersebut.

    Mengulas lanjut, Raub berkata, hasil siasatan polis dan pemeriksaan doktor HSA yang merawat lelaki berkenaan mengesyaki kejadian berlaku kerana dia dalam keadaan tidak stabil.

    Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah boleh terus menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan, 07-2182323.

  • Air Terjun Gunung Ledang dibuka semula 8 Julai ini

    Air Terjun Gunung Ledang dibuka semula 8 Julai ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERBADANAN Taman Negara Johor (PTNJ) membuka semula Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak kepada orang ramai mulai 8 Julai ini.

    Menurut Pengarah PTNJ, Taufik Bahar, sempena pembukaan semula itu, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai 2023.

    “Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan sepanjang karnival berlangsung terutama Karnival Tanah Daerah Tangkak.

    “Ini termasuk pameran oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta, ‘Fun Run, Fun Ride’, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, ‘motorbike show’, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

    “Bagi menghargai kesabaran dan penantian semua pihak, PTNJ bersetuju untuk membenarkan orang awam masuk secara percuma dan tiada bayaran masuk serta tiket parkir kenderaan dikenakan sepanjang tempoh tiga hari karnival ini berlangsung.

    “Justeru, orang ramai khususnya rakyat Johor dijemput untuk datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival berkenaan dan mengunjungi Air Terjun Gunung Ledang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak yang terkenal dengan cerita mitos Puteri Gunung Ledang akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 8 Julai ini.

    Jelas beliau, penutupan sementara lokasi tersebut kepada orang awam sejak setahun lalu bagi membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam demi keselesaan pengunjung.

    Katanya, pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang kepada orang ramai juga adalah usaha untuk membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan dan masyarakat sekitar.

    “Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada seramai 2,000 pengunjung pada satu-satu masa,” katanya.

    Para pengunjung turut disarankan membawa beg plastik sampah atau boleh membelinya daripada pihak PTNJ demi menjaga kebersihan persekitaran.

    Resort untuk penginapan masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat) 013-7440953 atau 013-7440961.