Category: Semasa

  • Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    Kerani wanita rugi RM32,000 jadi mangsa Macau Scam

    LAGI penjawat awam menjadi mangsa sindiket Macau Scam.

    Kali ini membabitkan seorang kerani wanita sebuah jabatan kerajaan kerugian RM32,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan berkenaan yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), lapor Berita Harian.

    Wanita berusia 41 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai farmasi kawalan ubat di Petaling Jaya, Selangor yang mendakwa mangsa pernah mengambil ubat di klinik 1Malaysia di Kampung Ampang Baru, Ipoh sebanyak lapan kali.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa menafikan perkara itu, sebelum panggilan disambungkan pula kepada dua individu kononnya anggota polis dikenali Sarjan Kuha dan Inspektor Yong.

    Menurut beliau, kerani wanita berkenaan kemudian diminta memindahkan wang daripada akaunnya ke dalam ke akaun tertentu dengan alasan untuk mengelak aset dibekukan, selain ditahan pihak berkuasa.

    Katanya, individu yang menyamar sebagai Inspektor Yong itu juga meminta maklumat pengenalan dan kata laluan iRakyat milik mangsa di mana wanita itu akhirnya mengikuti arahan saspek.

    “Pada 10 Februari lalu, mangsa memindahkan wang RM28,000 seperti diminta suspek, sebelum menyedari baki wang dalam akaun miliknya juga hilang.

    “Mangsa kemudian menghubungi pihak bank bagi menyekat akaun miliknya,” ujar Mohd Wazir menerusi kenyataan media hari ini.

    Mohd Wazir memberitahu, modus operandi penipuan adalah memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai KKM dan pegawai polis.

    Katanya, mangsa yang kerugian RM32,000 kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

    Sementara itu menurut beliau, dalam kes berasingan, seorang wanita berusia 33 tahun kerugian lebih RM10,000 selepas terpedaya dengan individu yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat penerbangan, dengan modus operandi hampir sama.

    Katanya, kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Dua lelaki maut kereta terperosok bawah treler

    Dua lelaki maut kereta terperosok bawah treler

    DUA lelaki meninggal dunia selepas kereta dinaiki terperosok dalam sebuah treler di Kilometer 362.8 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat Slim River, Tanjung Malim, pukul 5.40 pagi ini.

    Kemalangan tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa berusia 33 dan 27 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Waja tersepit di tempat duduk masing-masing.

    Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati, kereta dinaiki mangsa telah melanggar bahagian belakang treler.

    “Perlanggaran itu mengakibatkan kenderaan yang dipandu terperosok masuk dan melekat di treler.

    “Pemandu serta penumpang hadapan kereta tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu treler berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurut beliau, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Slim River bagi bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • 42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    HUJAN lebat berterusan sejak pagi semalam menyebabkan 42 penduduk di daerah Raub, Pahang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini ekoran kediaman mereka dinaiki air.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir memberitahu, PPS pertama dibuka di Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim pada pukul 1.30 pagi yang menempatkan sebuah keluarga terdiri daripada lapan mangsa.

    Menurut beliau, manakala tujuh keluarga terdiri 17 mangsa dari Kampung Ulu Sungai turut dipindahkan ke balai raya kampung tersebut yang dibuka pada pukul 4 pagi.

    Katanya, PPS ketiga pula dibuka pada pukul 7 pagi ini di Masjid Kampung Jamek yang menempatkan lima keluarga melibatkan 17 mangsa banjir dari Kampung Kuala Semantan.

    “Air mula naik bermula pukul 12 tengah malam dan mengikut maklumat diperoleh, hujan lebat di bahagian ulu Sungai Lipis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurut Shahrul Nizam, keadaan terkini paras air Sungai Lipis merekodkan 115.40 meter (m) melepasi paras bahaya iaitu 114.80m dan limpahan dijangka berlaku di hilir sungai tersebut.

  • Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    Permohonan Shafee padam separuh pernyataan saksi bekas pegawai LHDN ditolak

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman ringkasnya memutuskan bahawa tiada kemungkinan 33 daripada 51 perenggan dalam pernyataan bertulis Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, saksi pendakwaan ketujuh memprejudiskan tertuduh, Muhammad Shafee.

    Hakim itu berkata, seperti yang dinyatakan dalam Mahkamah Persekutuan berhubung kes Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan pendakwa raya, mahkamah itu mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk memadam keterangan yang prejudis.

    “Mahkamah Rayuan dalam kes sama (Anwar lawan pendakwa raya) turut menyatakan bahawa mahkamah ini mempunyai kuasa untuk memadam keterangan yang tidak relevan dalam membuktikan pertuduhan bagi memastikan tertuduh tidak diprejudiskan.

    “Pada pandangan saya, 33 perenggan tersebut dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh adalah relevan untuk membuktikan pertuduhan ketiga dan pertuduhan keempat terhadap tertuduh,” katanya.

    Hakim Muhammad Jamil berkata, keterangan saksi itu adalah tertakluk kepada pemeriksaan balas dan kebenarannya boleh diuji seterusnya dicabar.

    “Sama ada keterangan bertulis saksi pendakwaan ketujuh dalam 33 perenggan tersebut wajar diterima atau sebaliknya adalah isu yang berlainan, dan sama ada keterangan saksi tersebut membuktikan atau tidak kesalahan bagi pertuduhan ketiga dan keempat adalah isu berbeza.

    “Mahkamah akan menilai keterangan saksi berkenaan dan memutuskan ia wajar diterima atau sebaliknya, sama ada keterangan itu adalah keterangan dengar cakap (hearsay) atau apa-apa alasan lain. Oleh itu, permohonan pihak pembelaan untuk memadamkan 33 perenggan dalam pernyataan bertulis saksi pendakwaan ketujuh ditolak dan mengekalkan 33 perenggan tersebut,” katanya.

    Turut hadir pada prosiding hari ini, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz. Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara dengan pihak pembelaan akan menyoal balas Syed Nasrul Fahmi.

    Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. – Bernama

  • Wanita 79 tahun berlatih Unit Khas hadapi serangan Rusia

    Wanita 79 tahun berlatih Unit Khas hadapi serangan Rusia

    DI MARIUPOL, Ukraine, seorang wanita berumur 79 tahun bersedia untuk mempertahankan negaranya daripada pencerobohan Rusia dengan menjalani latihan bersama Unit Khas Ukraine.

    Valentyna Konstantynovska diberikan latihan penggunaan senapang AK-47 oleh pegawal negaranya, Unit Khas Azov.

    Ia merupakan salah satu daripada tujuh latihan yang dijalani untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan Rusia yang dikatakan semakin dekat.

    Rakyat Ukraine berkata, Kostantynovska merupakan seorang ‘hero’ kerana mengambil bahagian dalam latihan-latihan tersebut.

    Wanita 79 tahun tersebut berkata kepada NBCNews, “Ibu kamu pun akan melakukan perkara yang sama.”

    “Saya bersedia untuk menembak jika apa-apa berlaku. Saya akan mempertahankan rumah saya, ibu negara saya, anak-anak saya. Saya melakukan semua ini kerana saya tidak mahu kehilangan negara saya,” katanya.

    Kostantynovska juga berkata, beliau menjalani  latihan tersebut namun mungkin ‘tidak akan menjadi seorang askar yang kuat’ kerana keadaan fizikalnya.

    Beliau tidak keseorangan, penembak hendap Ukraine, Olena Bilozerska, 42 ‘turut bersedia’ menghadapi pencerobohan Rusia.

    Bilozerska telah melakukan  10 pembunuhan sepanjang berkhidmat dalam Kor Marin Ukraine.

    “Jika musuh menyerang saya, adakah mereka terfikir saya ada suami, ibu bapa atau anak-anak? Semestinya tidak,” kata penembak hendap berumur 42 tahun itu.

    Rusia dikatakan mempunyai keinginan untuk mencerobohi Ukraine walaupun menafikan akan berbuat demikian namun, isu ini di pandang serius selepas negara dipimpin Vladimir Putin tersebut menyerang Ukraine pada 2014.

  • Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).

    Berikutan itu sumber SPRM berkata, pihak pengurusan MARA Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.

    “Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.

    Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.

    Dalam pada itu mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.

    “Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat. – BERNAMA

  • Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    Pejabat UMNO Mersing dipecah masuk, data PRN Johor hilang

    PEJABAT UMNO Bahagian Mersing yang terletak di Jalan Ismail di Mersing dipercayai dipecah masuk selepas beberapa kelengkapan berharga premis itu didapati hilang.

    Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing, Rina Farhana Abdullah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 8 pagi tadi, ketika dia dan seorang lagi kakitangan hendak memulakan tugas sebelum mendapati pintu utama premis itu tidak berkunci.

    “Saya lihat pintu pejabat telah dipecah dan mendapati beg berwarna putih yang mengandungi enam unit telefon bimbit jenama Nokia, 10 keping kad sim pelbagai jenis, data Pilihan Raya Negeri Johor, baucar sagu hati petugas dan sebuah fail berisi senarai nama serta laporan sikap petugas telah hilang.

    “Bagaimanapun, beberapa laptop yang terletak berdekatan beg berkenaan tidak dicuri selain keadaan pejabat yang seperti biasa (tidak berselerak),” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyrill Edward Nuing mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian dan berkata kes itu masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • 7 rakyat Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

    7 rakyat Malaysia terkandas dibenar masuk Filipina

    KESEMUA tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino akibat kelayakan vaksin COVID-19 digital mereka tidak diiktiraf pihak berkuasa Filipina sudah dibenarkan memasuki republik itu.

    “Sukacita Wisma Putra memaklumkan bahawa tujuh rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino telah dibenarkan memasuki Filipina, berikutan tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Manila. Kudos team @myembassymanila,” ciap Kementerian Luar (Wisma Putra).

    Terdahulu, laporan menyatakan 13 rakyat Malaysia terkandas di lapangan terbang berkenaan, bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan jumlah sebenar ialah tujuh orang dan bukan seperti dilaporkan.

    Mereka tidak dibenarkan masuk ke republik itu dan dimaklumkan bahawa sijil vaksin digital Malaysia dalam aplikasi MySejahtera bukanlah bukti vaksinasi yang boleh diterima.

    Pengembara berkenaan memaklumkan kepada media Malaysia bahawa pasport mereka turut dirampas dan akan dihantar pulang pada Selasa, selain terpaksa menunggu di lapangan terbang kerana tiada kemudahan hotel disediakan.

    Laporan itu juga menyatakan Duta Malaysia ke Filipina telah bertemu pengembara berkenaan di lapangan terbang dan mengemukakan rayuan timbal balik vaksinasi, namun belum menerima maklum balas daripada pihak berkuasa Filipina. – BERNAMA

  • Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini di New York

    Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini di New York

    PERBICARAAN kes bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), hari ini, selepas ditangguh hampir tiga tahun.

    Memetik laporan New York Times, perbicaraan hari ini akan dimulakan dengan memanggil saksi pertama pihak pendakwaan.

    Perbicaraan ini membuka tirai dengan pemilihan juri bagi mendengar kes terhadap pegawai bank terbabit, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng, yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan urusan mendapatkan perniagaan bagi Goldman Sachs, yang mempunyai pengaruh besar di Wall Street.

    Sebelum ini Roger Ng yang juga bekas ketua pelaburan perbankan bagi Goldman Sachs Malaysia, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

    Pada Oktober 2020, bekas majikannya bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) dan sebuah unit Malaysia mengakui salah laku jenayah, bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Keadilan AS serta pihak lain berhubung skandal dana berbilion dolar daripada 1MDB.

    Roger Ng bersama bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan yang juga pembiaya kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) serta beberapa lagi didakwa bersubahat menyeleweng lebih AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad, oleh pihak berkuasa negara itu.

    Roger Ng turut didakwa bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberi suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berkonspirasi untuk memintasi kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, demikian menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam satu kenyataan pada 2019.

    Pihak pendakwaan di Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB pada 2009 bagi membiaya program pembangunan di Malaysia.

    Jabatan Kehakiman AS menyifatkan isu 1MDB sebagai ‘skandal kleptokrasi terburuk pada era ini.’

    Memetik Reuters, sebelum ini, Leissner pula telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan diperintah dilucut hak sebanyak AS$43.7 juta dan beliau dijadual dijatuhkan hukuman pada bulan depan, kata Reuters.

    Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion kepada kerajaan Malaysia selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

    Jabatan Kehakiman AS berkata Goldman Sachs telah memberi suapan lebih AS$1 bilion kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sebagai balasan, memiliki peranan sebagai penaja jaminan kira-kira AS$6.5 bilion dalam urus niaga tiga bon bagi 1Malaysia Development Berhad.

  • Dua tokan diberkas, 3 kilogram dadah dirampas

    Dua tokan diberkas, 3 kilogram dadah dirampas

    POLIS memberkas dua lelaki yang aktif mengedar dadah sekitar Kamunting, Taiping dalam serbuan di sebuah premis pada Khamis lalu.

    Sinar Harian melaporkan, kedua-duanya ditahan pada pukul 9.30 malam oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 24 dan 29 tahun itu ditahan bersama tiga kilogram dadah jenis heroin dan methamphetamine bernilai RM121,939.85.

    “Suspek pertama berperanan sebagai ‘runner’ didapati mengedar dadah sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan menjumpai dadah jenis heroin seberat 2.75 kilogram dan sebungkus methamphetamine seberat 256.89 gram.

    “Tindakan susulan berjaya menangkap lelaki berusia 29 tahun dipercayai tokan dalam sebuah kereta di hadapan premis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, Taiping hari ini.

    Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC) menerusi ujian saringan air kencing.

    “Polis turut menyita rantai emas, sebuah kereta dan motosikal dan dua telefon bimbit bernilai RM45,434.24. Tindakan itu diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

    “Dadah yang dijual untuk pasaran tempatan itu boleh dibekalkan kepada lebih 10,000 penagih,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.