Category: Semasa

  • Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan

    Lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan

    SEORANG lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan bersama tiga rakannya di Pantai Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson dekat Seremban semalam.

    Ketua Zon 2 Negeri Sembilan Penguasa Kanan Bomba II Jelani Ahad berkata mangsa yang berusia 30-an beralamat di Parit Raja, Johor itu ditemukan di hadapan Waterfront Pulau Arang, iaitu kira-kira satu kilometer dari pantai itu, 8.40 pagi tadi.

    “Mangsa dan tiga rakannya ke pantai itu semalam untuk menjaring ikan ketika air laut surut, namun tidak menyedari berlaku kejadian air pasang sehingga menyebabkan mangsa dibawa arus.

    “Tiga lagi rakannya sempat menyelamatkan diri ke pesisiran pantai. Mereka cuba menyelamatkan mangsa menggunakan kayu namun gagal berikutan ombak yang terlalu kuat,” katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 9.32 pagi.

  • PM perlu minta maaf gagal turun harga minyak – Nazree

    PM perlu minta maaf gagal turun harga minyak – Nazree

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memohon maaf kepada rakyat kerana gagal menurunkan harga minyak seperti mana yang pernah dijanjinya sebelum ini.

    Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia(Bersatu) Negeri Sembilan, Mohd. Nazree Mohd. Yunus berkata, tidak ada alasan lagi untuk Anwar menunaikan janjinya kerana beliau kini sudah menjadi Perdana Menteri yang diidam-idamkan selama ini.

    “Kalau dia (Anwar) bagi tempoh 24 jam nak turun minyak jika berkuasa dan malam ini (Ahad) kita bagi dia tempoh 24 jam mesti mohon maaf kepada rakyat kerana gagal tunai janji.

    “Ia kerana dua alasan diberi. Pertama dia sebut jika menang akan turun harga minyak 24 jam, tapi bila ditanya dulu, dia jawab belum menang lagi.

    “Pada 2018, Pakatan Harapan(PH) menang, dia jawab dia bukan Perdana Menteri dan apabila sudah menang dan jadi Perdana Menteri dan jadi Menteri Kewangan pula, apa lagi alasan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas Pas Port Dickson malam tadi.

    Ujar Mohd. Nazree, meskipun sudah masuk lapan bulan memerintah negara, namun sehingga kini tiada satu pun janji popular yang dilaungkan sebelum ini telah dilaksanakan.

    Beliau turut menuntut Perdana Menteri memaklumkan kepada rakyat tentang formula menurunkan harga minyak dan bila ia boleh dilaksanakan.

  • Tragedi kepala air: 7 lagi mayat ditemukan

    Tragedi kepala air: 7 lagi mayat ditemukan

    TUJUH lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air di Sungai Teladas, Air Putih, Chukai, ditemui hari ini.

    Ini menjadikan keseluruhan mangsa ditemui setakat ini adalah sembilan orang termasuk dua beranak yang ditemui semalam.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, penemuan tujuh mayat itu di sektor A dan B kawasan pencarian.

    Harian Metro semalam melaporkan, dua beranak ditemui mati lemas sementara lapan lagi mangsa hilang dalam kejadian kepala air dipercayai berlaku petang kelmarin.

  • Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    Guru rugi RM30,000 rantai emas diragut

    SEORANG guru kerugian RM30,000 selepas rantai emasnya diragut lelaki bermotosikal dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Mok Hee Kiang, Mentakab.

    Bagaimanapun, mangsa wanita berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan, dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari semalam.

    Timbalan Ketua Polis Temerloh, Superintendan Roslee Omar berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berjalan bersama anaknya menuju ke kereta diletakkan di tepi jalan sebaik selesai membeli barang.

    Katanya, mangsa kemudian dihampiri lelaki tidak dikenali menaiki motosikal jenis Yamaha Y16 sebelum meragut rantai emas dipakainya.

    “Selepas meragut barang kemas mangsa, suspek yang berpakaian jaket hitam dan bertopi keledar kelabu segera melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan, suspek menggunakan motosikal Yamaha Y16 warna perak namun nombor pendaftaran tidak dapat dilihat dengan jelas.

    “Kita masih menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes disiasat bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • SPR mesyuarat Rabu bincang tarikh PRN

    SPR mesyuarat Rabu bincang tarikh PRN

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu ini bagi membincangkan tarikh PRN enam negeri.

    SPR dalam satu kenyataan memberitahu, mesyuarat akan diadakan di Putrajaya itu dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

    Mesyuarat itu turut menyentuh tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

    “Satu sidang media akan diadakan selepas mesyuarat khas tersebut,” menurut kenyataan itu, lapor FMT.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Enam negeri itu masing-masing membubarkan DUN iaitu Kelantan pada 22 Jun, Selangor (23 Jun), Kedah dan Pulau Pinang (28 Jun), Terengganu 30 Jun dan Negeri Sembilan (1 Julai).

  • Kepala air: Hari kedua operasi SAR disambung, kesan lapan lagi mangsa

    Kepala air: Hari kedua operasi SAR disambung, kesan lapan lagi mangsa

    OPERASI hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat Chukai diteruskan pada 9 pagi ini.

    Tujuh daripada mangsa merupakan daripada keluarga yang sama iaitu Karim Abdullah, 39; Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Putri Nor Fatin Karim, 14; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

    Seorang lagi individu yang hilang adalah tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang turut serta dalam perkelahan keluarga kelmarin, yang berakhir dengan tragedi kepala air, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan dilaporkan berkata dua mayat pertama ditemukan orang ramai pada 12.30 tengah hari semalam iaitu Azizah Eiyi, 40, dan anaknya Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

    Mayat Azizah ditemukan terapung sejauh 24 kilometer (km) dari lokasi kejadian, dengan polis mengambil kira kedudukan penemuan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 dinaiki keluarga malang itu sebagai titik awal insiden.

    Mayat Muhammad Zulqarnain Haikal pula ditemukan 2km dari lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok selepas dihanyutkan arus deras, dengan paras air dikatakan naik lima hingga 10 meter akibat fenomena itu.

    Selain kereta tersebut, turut ditemukan ialah sebuah motosikal jenis SYM yang dinaiki Muhammad Fikri dan tunangnya.

    Semalam, operasi SAR dihentikan pada 6 petang ekoran hujan lebat yang menyukarkan pencarian selain berisiko kepada pasukan pencarian yang dijalankan oleh polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain turut dibantu orang awam.

    Hanyan berkata sehingga 10 malam semalam, tiada sebarang petunjuk atau penemuan baharu mengenai kedudukan baki mangsa yang masih hilang berjaya dibuat pasukan pencarian.

    Pada operasi hari ini, pasukan akan memulakan pencarian pada radius 8km dari lokasi kejadian di kiri dan kanan tebing jeram selain percaya mangsa mungkin dihanyutkan arus jauh dari lokasi mengambil kira tempat mayat Azizah ditemukan.

    Unit anjing pengesan K9 milik polis dan JBPM akan digerakkan hari ini bagi membantu memudahkan kerja pencarian dengan penambahan kekuatan pasukan SAR juga bakal dibuat di tiga fasa kawasan pencarian yang ditentukan mengikut kekuatan dan bantuan operasi pasukan SAR.

    Semalam, Bernama melaporkan 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Mawar, di Kuala Terengganu kelmarin sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

  • Kenyataan biadab:Zaki Yamani mohon maaf

    Kenyataan biadab:Zaki Yamani mohon maaf

    INDIVIDU yang tular dengan ciapan biadab mendoakan kematian Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, tampil membuat permohonan maaf.

    Pengguna Twitter, Zaki Yamani menulis permohonan maaf terbuka kepada isteri dan keluarga Abdul Hadi.

    “Mengambil perhatian ciapan PM @anwaribrahim dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini menggores perasaan,” katanya menerusi ciapan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kelmarin, Zaki menulis ciapan biadab terhadap kesihatan Abdul Hadi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, kesal dengan tindakan seorang pengguna media sosial berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi yang merosot dan sedang dirawat di hospital.

    Dalam sebuah ciapan di Twitter, Anwar menggesa pengguna berkenaan, Zaki Yamani memohon maaf atas hantarannya itu.

  • Ahli UMNO akan sokong PN di enam negeri dalam PRN

    Ahli UMNO akan sokong PN di enam negeri dalam PRN

    AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin ahli UMNO akan menyokong kuat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri(PRN) di enam negeri nanti.

    Jelasnya, ini kerana ramai yang masih tidak berpuas hati dengan corak kepimpinan UMNO sekarang.

    “Kedah, Kelantan dan Terengganu, orang UMNO tidak akan menyokong UMNO sendiri, tapi sokong PN. Di situ, kita akan menang cantik.

    “Di Selangor, UMNO akan sokong PN dan Pulau Pinang pun kita sedang bertarung hebat. Tak akan bagi ‘can’ punya. Silap-silap kita memerintah,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas Pas Port Dickson semalam.

    Beliau turut menyatakan keyakinan sama yang senario itu akan berlaku di Negeri Sembilan.

    Jelas Shahidan, ia terbukti berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu apabila beliau menang 31,458 undi yang mana selebihnya diundi oleh ahli UMNO.

    “Di Arau, Perlis ahli Pas 11,000 dan Bersatu 3,000 dan saya dapat 31,458. Siapa yang sokong saya? Di anggar yang menyokong hebat adalah orang UMNO.

    “UMNO sekarang sedang dihina oleh rakyat. Bila bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua kata UMNO parti korup, hampa tak malu ke,” soalnya.

    Beliau turut mempunyai anggapan sama dan mendakwa menerima mesej rintihan daripada rakan-rakannya daripada parti UMNO yang kecewa dengan apa yang berlaku kepada parti itu sekarang.

    Malah katanya, UMNO sebenarnya tahu akan keadaan itu tetapi berada dalam sindrom penafian dan mengeluarkan kenyataan kononnya ahli mereka sudah menerima sekadar untuk menyedapkan hati.

    “Untuk berada dalam Kerajaan Madani ini pun bukan kerelaan mereka, ramai tak setuju. Hati mereka sangat sakit dan saya minta janganlah menipu diri,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Mas Ermieyati saran tukar Menteri MOTAC

    Mas Ermieyati saran tukar Menteri MOTAC

    KERAJAAN disaran supaya menggantikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan pemimpin baharu.

    Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini menunjukkan Datuk Seri Tiong King Sing tidak layak berkhidmat sebagai menteri berkenaan.

    “Kalau nak rehatkan beliau (Tiong King Sing) sehingga proses siasatan selesai tak perlulah, ganti terus dengan yang boleh membantu membangunkan industri pelancongan tempatan.

    “Itu lebih utama, bukannya beri fokus kepada satu perkara, kononnya ada visa pelancongan tetapi berselindung di sebalik visa itu untuk datang bekerja ke negara ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Gelombang Nismilan Kito Ubah di Markas Pas Port Dickson di Seremban semalam.

    Mas Emeryanti yang pernah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pelancongan pada tahun 2015 sehingga 2018 turut memberitahu yang beliau berasa malu dengan insiden itu.

    Seorang menteri katanya, tidak sepatutnya masuk campur soal yang bukan berkaitan dengan kementeriannya.

    Walaupun beliau mempunyai pas VIP pun, beliau berkata, itu bukan urusan untuk mencampuri kementerian lain di KLIA dan jika ada kepincangan ikut saluran yang betul.

    “Beliau bukan saja mencampuri, malah menjatuhkan air muka pegawai Jabatan Imigresen (JIM) dengan perkataan ‘You are the culprit’ dan membuat tuduhan menerima suapan RM3,000 di khalayak ramai,” katanya.

    Tambahnya, seorang menteri juga perlu ada budi bahasa yang baik.

    Ujarnya, berdasarkan pengalamannya di bawah kementerian itu, jika ada maklumat kes-kes tertentu ia akan diselesaikan secara kolaborasi dengan agensi berkaitan.

    “Kita beri maklumat dan biar tindakan dibuat oleh JIM bukannya tindakan melulu dibuat menteri.

    “Kalau penjawat awam pun kita tak hormat, bagaimana rakyat nak hormat kita,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan pihak imigresen.

    Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.

    Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.

    Bagaimanapun King Sing dalam kenyataan medianya kelmarin mengakui terbabit dalam insiden itu malah menyifatkan tindakannya bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan.

    Beliau mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara

  • Dua agensi KDN disiasat, kata Perdana Menteri

    Dua agensi KDN disiasat, kata Perdana Menteri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang disiasat berhubung dengan dakwaan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.

    “Dua agensi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    “Sewaktu lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) semalam mendapati masih ada kelompok kecil pegawai imigresen yang terbiasa dengan amalan dan sistem lama.

    “Saya pergi dan merumuskan untuk mempertahankan integriti imigresen serta masih menekankan supaya tindakan segera dan keras diambil terhadap beberapa kelompok kecil yang selesa dengan cara lama,” katanya menerusi ucapan semasa Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, situasi sama berlaku di JPN apabila terdapat segelintir pegawai yang meminta bayaran untuk mengeluarkan sijil kewarganegaraan.

    “Semalam saya terima maklumat JPN disiasat.

    “Kita memudahkan kepada orang yang layak mendapat kewarganegaraan dan sebagainya.

    “Untuk mendapatkan sijil itu, lagi dikenakan bayaran,” katanya.

    Anwar berkata, meskipun kelompok itu kecil namun tindakan segera dan tegas perlu diambil kerana ia merosakkan imej jabatan, penjawat awam dan pentadbiran.

    “Kalau kita sebut, kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

    “Harus ada tindakan tegas dan keras, kalau tidak, ia akan merosakkan imej pentadbiran yang dikatakan mampu berbicara tetapi tidak mampu mengamalkan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Anwar kesal apabila hanya satu daripada tujuh mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) di Terminal 1 yang berfungsi.

    Ujarnya, masalah itu berlarutan bertahun lamanya dan tidak diatasi.

    “Kebetulan saya Menteri Kewangan dan Kastam di bawah tanggungjawab saya tetapi tak akan hendak tunggu menteri turun baru tahu yang mana rosak,” soalnya.

    Tegas beliau, kelemahan penyampaian maklumat di peringkat bawahan kepada pihak atasan juga perlu diperbaiki.

    “Hal-hal sebegini adakah (perlu) pegawai di situ dipersalah? Mungkin dia lapor tetapi kelemahan ini perlu diperbaiki untuk perkhidmatan yang baik,” katanya.

    Jelas Anwar, kelulusan segera boleh dibuat sekiranya kos mesin pengimbas tersebut sekitar berapa juta ringgit.

    “Saya percaya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat semata-mata kerana saya memberi kelulusan segera.

    “Keadaan itu mendesak. Mesin pengimbas rosak. Bayangkan tujuh buah sudah lama rosak sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

    Terdahulu dalam lawatan mengejut beliau ke Terminal 1, Anwar merumuskan urusan dan pengoperasian imigresen dan kastam adalah terkawal serta menyatakan beberapa permasalahan yang ada akan disusuli dengan siasatan bagi penambahbaikan dan tindakan sewajarnya.