Category: Semasa

  • Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    Guna perisian cetak rompak, 3 syarikat didenda RM26,000

    TIGA buah syarikat masing-masing syarikat kejuruteraan, hiasan dalaman dan membuat komponen elektronik diserbu kerana disyaki menggunakan perisian cetak rompak bagi menjalankan perniagaan mereka.

    Serbuan secara berasingan itu dilakukan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Timur Laut, Pulau Pinang bermula Selasa hingga semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNHEP Daerah Timur Laut, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, serbuan dijalankan bersama pihak pengadu iaitu Business Software Alliance terhadap penggunaan perisian komputer yang dipercayai salinan langgaran.

    Menurut beliau, kesemua salinan langgaran yang digunakan oleh syarikat terbabit didapati mempunyai hak cipta.

    “Dalam operasi ini, kita menyita lima komputer meja dan tiga komputer riba bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan bagi ketiga-tiga serbuan kira-kira RM26,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahmad Ahrazzuddin berkata, antara salinan langgaran yang digunakan itu termasik Windows 10 Pro; Office Home and Business 2016; Solidware Premium 2020, Illustrator 2019 dan AutoCAD 2019.

    “Kes itu disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987, dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak boleh melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    Malaysia catat 26,701 kes baharu COVID-19 semalam

    KES baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah 26,701 menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 3,138,215 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,583 orang atau 99.56 peratus berada dalam kategori satu dan dua manakala 118 kes atau 0.44 peratus kategori tiga, empat dan lima.

    “Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 26,569 adalah kes tempatan manakala 132 lagi kes import,” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini.

    Sebanyak 11,744 kes sembuh direkodkan menjadikan kumulatif kini 2,888,194, selain kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 216 orang dengan 141 memerlukan bantuan pernafasan.

    Dr Noor Hisham berkata, 19 kluster baharu dikenal pasti dan jumlah kluster yang masih aktif adalah 481.

    Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.32 dengan Labuan mencatat nilai tertinggi iaitu 1.96 diikuti Sarawak 1.56 dan Sabah 1.51.

    Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil ICU bagi kes COVID-19 di dua negeri iaitu Johor dan Kelantan masing-masing berada pada tahap 65 peratus dan 50 peratus.

    Beliau berkata, bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), lapan negeri menunjukkan peratusan lebih 50 peratus dengan Perak mencatatkan kadar 74 peratus diikuti Negeri Sembilan 73 peratus.

    Bagi katil bukan ICU pula, sembilan negeri mencatatkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Perak (99 peratus), Kelantan (96), Selangor (93), Perlis (93), Putrajaya (85), Kuala Lumpur (84), Johor (80), Sabah (79) dan Pahang (51).

    “Secara keseluruhannya, kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19, namun setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas segera sekiranya didapati kapasiti fasiliti semakin penuh,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital semalam adalah 1,469 dengan 947 kes (64.5 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 522 kes (35.5 peratus) kategori tiga, empat dan lima.

    Beliau berkata, terdapat kes COVID-19 kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan secara pre-emptive ke PKRC dan hospital antaranya disebabkan medical emergency seperti penyakit kencing manis, darah tinggi yang tidak terkawal serta baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal. – BERNAMA

  • Ebit Lew didakwa di mahkamah Tenom

    Ebit Lew didakwa di mahkamah Tenom

    PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew hari ini dihadapkan ke mahkamah di Tenom dipercayai membabitkan 11 pertuduhan termasuk berkaitan gangguan seksual.

    Ebit, 37, tiba di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, di Tenom, kira-kira jam 9 pagi tadi dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire serta ditemani sekumpulan individu lain, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, perkarangan Pejabat Daerah Tenom turut dikawal polis sejak awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan turut dijadualkan membuat sidang media berhubung kes itu selepas selesai proses pertuduhan terhadap Ebit.

    Difahamkan, Ebit kini berada di Sabah untuk menjalankan kerja amal.

  • Wanita larikan kereta ditahan

    Wanita larikan kereta ditahan

    SEORANG  wanita ditahan kerana disyaki melarikan sebuah kereta milik sepasang suami isteri yang ditinggalkan tanpa mematikan enjin kenderaan di Jalan Genting Klang di Kuala Lumpur, petang semalam.

    Suspek berusia 38 tahun dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah bertindak memandu kereta jenis Honda City secara agresif dan kemudian melanggar beberapa kenderaan seperti dipaparkan menerusi rakaman video yang tular di media sosial hari ini.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 2.30 petang di hadapan Kolej Vokasional Setapak, ketika mangsa lelaki bersama isterinya keluar dari kenderaan tanpa mematikan enjin untuk mengangkat barang.

    “Mangsa kemudian mendapati kenderaannya dibawa lari seorang wanita menghala ke pusat bandar. Mangsa kemudian bertindak meminjam motosikal milik pengawal keselamatan yang berada berdekatan untuk membuat laporan polis.

    “Apabila tiba di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati kenderaannya terbabit dalam kemalangan selain suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Beliau berkata suspek disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam.

    — BERNAMA

  • Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    Cadangan buka sempadan MPN hasil persetujuan bersama – Muhyiddin

    CADANGAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengenai pembukaan semula sempadan dibuat hasil persetujuan bersama dan bukannya keputusan sendiri, kata Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata cadangan tersebut telah dipersetujui secara bersama oleh ahli-ahli majlis berkenaan dalam mesyuarat MPN yang dipengerusikan beliau, baru-baru ini.

    Muhyiddin berkata pembukaan sempadan itu amat penting bagi merancakkan kembali ekonomi negara terutamanya sektor perniagaan dan pelancongan.

    Justeru, beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan majlis itu untuk membuka semula sempadan negara seawal 1 Mac ini.

    “’Please’ (tolong) PM (perdana menteri), MPN sudah cadang dan saya bukan buat keputusan pandai-pandai. Dalam mesyuarat ada Menteri Kesihatan, (ditanya) kena kuarantin wajib, beliau kata tak payah, ada Jabatan Imigresen, (ditanya) bila boleh buka, boleh buka 1 Mac.

    “Maka, kita buat keputusan atas nama MPN supaya kerajaan boleh ambil tindakan segera buka sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis Resepsi Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di sini malam tadi.

    Turut hadir, Presiden Gerakan yang juga Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ketua Penerangan PN.

    Awal Februari lepas, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, namun cadangan itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

    Semalam, Mohamed Azmin berkata Kementerian Kesihatan dijangka mengemukakan cadangan mengenai pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat, sebelum memutuskan tarikh pembukaannya.

    — BERNAMA

  • Gangguan seksual: Pendakwah terkemuka didakwa di mahkamah hari ini

    Gangguan seksual: Pendakwah terkemuka didakwa di mahkamah hari ini

    SEORANG pendakwah terkemuka dipercayai akan dihadapkan ke mahkamah, hari ini susulan kes gangguan seksual yang dihadapinya.

    Difahamkan, pendakwah berkenaan akan menghadapi bacaan kes kali pertama berhubung kes gangguan seksual itu di Mahkamah Tenom, Sabah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

    Menurut Abd. Jalil, kenyataan akhbar akan dikeluarkan selepas pertuduhan terhadap pendakwah terkemuka itu selesai.

    “Ya, saya berada di Tenom untuk selia kes ini. Akan buat kenyataan akhbar selepas pertuduhan,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp, lapor portal UtusanTV.

    Ogos tahun lalu, portal itu melaporkan seorang pendakwah terkenal dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan melibatkan kes gangguan seksual.

    Pendakwah berusia lingkungan 30-an itu dipanggil untuk merakam percakapan.

    Siasatan membabitkan pendakwah terbabit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    3 Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kertas siasata kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal hampir lengkap.

    Abd. Jalil dilaporkan berkata, pihaknya hampir melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk semula kepada pejabat Peguam Negara (AGC).

    “Kita telah hantar ada yang perlu diperbetulkan sebelum dihantar semula ke AGC dalam masa terdekat.

    “Proses itu memang di peringkat akhir dan kita akan selesaikan secepat mungkin,” ujarnya.

  • Cabul kehormatan: Pembantu khas Speaker jalani hukuman penjara 30 bulan

    Cabul kehormatan: Pembantu khas Speaker jalani hukuman penjara 30 bulan

    BEKAS pembantu khas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Khor Khan Khai, terpaksa menjalani hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita hampir empat tahun lepas.

    Ini kerana beliau gagal memperoleh kebenaran merayu daripada Mahkamah Rayuan untuk memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara.

    Khor, 43, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan mengikut Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 kerana kesnya dari Mahkamah Majistret.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hashim Hamzah menolak permohonan kebenaran Khor hari ini.

    Pada 23 Nov 2020, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam mendapati Khor bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita yang ketika itu berumur 31 tahun dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan.

    Khor dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah pejabat di Jalan Sungai Rambai, daerah Seberang Prai Pulau Pinang pada 11.15 malam, 24 Ogos 2018.

    Dia merayu di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman penjara namun Mahkamah Tinggi Butterworth menolaknya pada 21 Dis tahun lepas yang menyebabkan dia memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran untuk meneruskan rayuannya ke Mahkamah Rayuan.

    Dalam permohonan kebenaran merayunya itu, Khor,  turut memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Peguam M. Athimulan yang mewakili Khor memohon mahkamah memberikan kebenaran atas alasan terdapat beberapa persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang mewakili pendakwaan berkata persoalan yang dibangkitkan pihak pembelaan bukan persoalan undang-undang dan kebenaran itu tidak sepatutnya diberikan kepada Khor.

    Seksyen 50 (2) Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa rayuan terhadap mana-mana keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan dengan perkara jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret akan terhad kepada persoalan undang-undang sahaja.

    — BERNAMA

  • Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    Warga emas pitam sebelum kereta terbabas rempuh kubur

    SEORANG wanita warga emas yang memandu Perodua Myvi dan terbabas dalam kejadian di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights dekat Senawang di Seremban, didakwa mengalami kekurangan gula dalam darah dan pitam sehingga gagal mengawal kenderaan dipandunya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, wanita berusia 60 tahun berkenaan dikatakan baru sahaja selesai menziarahi kubur arwah suaminya di tanah perkuburan itu seorang diri.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, warga emas itu secara tiba-tiba pitam di dalam kenderaan sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya telah bergerak ke hadapan.

     “Ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan tersebut, pemandu kenderaan itu berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah sebelum pitam di dalam kenderaannya.

    “Situasi itu menyebabkan kereta yang dipandu bergerak ke hadapan secara tidak sengaja dan melanggar dua tapak perkuburan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, tular beberapa gambar yang memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terbabas di dalam kawasan tanah perkuburan Islam.

    Mengulas lanjut Nanda berkata, insiden itu menyebabkan dua tapak perkuburan mengalami kerosakan manakala wanita warga emas terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kereta dipandu itu juga hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian hadapan dan pemandu wanita telah pun menerima rawatan yang sewajarnya.

    “Anak kepada wanita warga emas itu juga telah hadir membuat laporan dan memaklumkan akan bertanggungjawab untuk membaiki segala kerosakan melibatkan tapak perkuburan terjejas,” katanya.

  • SPRM tahan bekas pengarah kerana terima rasuah

    SPRM tahan bekas pengarah kerana terima rasuah

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah agensi kerajaan kerana disyaki mengambil rasuah bagi meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.

    Sinar Harian hari ini melaporkan, suspek berusia 55 tahun ditahan di Pejabat SPRM Melaka pada pukul 4.55 petang di Melaka, hari ini.

    Suspek yang masih berkhidmat dipercayai menerima wang rasuah ketika berkhidmat sebagai pengarah di sebuah agensi awam di negeri ini antara 2017 hingga 2019 apabila meluluskan tender penyelenggaraan dan pembekalan bernilai RM31,629.

    Difahamkan suspek menerima sebahagian daripada nilai tersebut atas tujuan peribadi.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Tuan Mohd. Shahril Che Saad yang dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

    “Suspek akan dihadapkan di Mahkamah Seksyen Ayer Keroh di Melaka pada Jumaat untuk menjalani pertuduhan,” katanya.

  • 3 pemancing terperangkap bawah Jambatan Pulau Pinang

    3 pemancing terperangkap bawah Jambatan Pulau Pinang

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan tiga pemancing yang terperangkap di bawah Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian awal pagi tadi. 

    Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa kira-kira pukul 2 pagi.

    Katanya, salah seorang mangsa memaklumkan mereka mula memancing di bawah jambatan terbabit pukul 7 malam semalam dan bercadang pulang ke darat pukul 7 pagi ini.

    Bagaimanapun katanya, hujan lebat tengah malam tadi menyebabkan laut bergelora serta air pasang besar dan situasi itu membimbangkan mangsa yang kemudian menghubungi bot yang disewa untuk membawa mereka pulang segera. 

    “Namun, bot tersebut tidak dapat mengambil mereka di bawah jambatan disebabkan cuaca buruk dan membahayakan.

    “Mereka terperangkap di bawah jambatan sebelum menghubungi Maritim Malaysia Pulau Pinang pukul 2 pagi untuk mendapatkan khidmat bantuan dan menyelamat,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambah beliau, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan itu menggerakkan bot Kilat 26 ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa dan kesemua mereka tiba di Jeti PPM Batu Uban kira-kira pukul 4.45 pagi.

    “Mangsa yang berjaya diselamatkan dikenal pasti sebagai Abu Bakar Dollah; Mohd. Khuzairi Azhari dan Siti Nur Fairus Abu Bakar berumur lingkungan 23 hingga 58 tahun serta berasal dari Permatang Pauh,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana individu yang ingin keluar ke laut supaya memastikan langkah keselamatan telah diambil seperti memakai jaket keselamatan, membawa ‘Personal Locator Beacon’, menyediakan bekalan makanan dan minuman secukupnya, memaklumkan kepada ahli keluarga tentang perjalanan dan sebagainya. 

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.