Category: Semasa

  • Polis tahan suspek utama kes pecah gudang

    Polis tahan suspek utama kes pecah gudang

    SUSPEK utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian RM800,000 di Bercham pada 15 Februari lalu ditahan.

    Lelaki berusia 40 tahun itu merupakan dalam kes tersebut ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Baru Tambun sekitar pukul 8 malam pada Sabtu, hasil maklumat awam kepada polis.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek paling dikehendaki itu membantu polis dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

    “Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga Rabu ini bagi siasatan kes di bawah 457 Kanun Keseksaan.

    “Polis kini sedang memburu rakan sejenayah suspek lain yang masih bebas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh sebelum ini.

    “Polis merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat menangani masalah jenayah di daerah ini,” katanya.

    Dalam laporan sebelum ini, polis telah menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

    Kesemua suspek berusia 42 hingga 58 tahun itu dicekup ketika sedang memindahkan barang curi berkenaan dalam kenderaan.

  • 11 daerah di Kedah zon merah

    11 daerah di Kedah zon merah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Semua 11 daerah di Kedah direkodkan berada dalam zon merah COVID-19 melainkan hanya beberapa mukim sahaja berada dalam zon jingga dan kuning.

    Mengikut data pergerakan14 hari taburan kes COVID-19 mengikut mukim yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri bermula 7 hingga 20 Februari 2022 (semalam), Kedah mencatatkan 29,372 kes aktif dan sebanyak 2, 254 adalah kes baharu.

    Daerah Kota Setar mencatatkan kes aktif tertinggi iaitu sebanyak 6,981 kes diikuti Kuala Muda 6,690 kes, Kulim 4,084 kes dan Kubang Pasu 4,016 kes diikuti daerah lain.

    Daripada 132 mukim di Kedah, hanya mukim Lengkuas daerah Kota Setar, mukim Wang Tepus daerah Kubang Pasu, mukim Kuala dan Haji Kudong di Kuala Muda serta mukim Padang Terap Kanan, Belimbing Kiri, Batang Tunggang Kanan dan Batang Tunggang Kiri di daerah Padang Terap saja yang masih berada dalam zon kuning iaitu mempunyai kes positif di bawah 20 kes.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman, kebanyakan daripadanya adalah kes sporadik iaitu yang dikesan dalam komuniti namun tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

    “Kes ini kebanyakkan dikesan melalui saringan kendiri daripada individu yang bergejala dan yang kedua adalah daripada kontak rapat.

    “Apa yang kita dapati sekarang, hampir setiap kampung ada kes positif dan bukan saja di mukim,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Bagaimanapun, Dr. Mohd Hayati, menjelaskan hanya beberapa kes berada dalam keadaan kritikal manakala majoriti adalah kes yang berada pada kategori satu dan dua.

    “Kita harap mereka yang positif dan diminta dikuarantin di rumah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, jangan keluar rumah dan dedahkan diri kepada orang lain.

    “Sekarang bagi sesetengah negara mereka isytiharkan COVID-19 sebagai selsema sahaja dan ada yang sudah memasuki fasa endamik, kita apa pun perlu terus jaga keselamatan kesihatan diri,” katanya.

  • Pusat rawatan kecantikan haram diusahakan warga asing digempur

    Pusat rawatan kecantikan haram diusahakan warga asing digempur

    BEBERAPA pusat kecantikan diusahakan warga asing di sekitar Selangor dan Pulau Pinang menggunakan taktik menawarkan harga yang jauh lebih rendah berbanding biasa untuk menarik pelanggan.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pusat kecantikan haram itu dikesan menjalankan pelbagai rawatan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Sinar Harian melaporkan, operasi yang turut disertai KKM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu melibatkan lapan serbuan berasingan di Selangor dan Pulau Pinang.

    “Seramai 21 individu warga asing terdiri daripada 20 wanita dan seorang lelaki diberkas melibatkan lapan premis di Dengkil, Kepong, Kuchai, Puchong dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media di sebuah pusat kecantikan haram di Dengkil, hari ini.

    Beliau memberitahu, kegiatan pusat rawatan kecantikan haram itu berjaya dikesan menerusi risikan dijalankan pihaknya bersama pegawai KKM.

    “Siasatan awal dijalankan mendapati pusat rawatan kecantikan ini beroperasi tanpa tauliah KKM dan turut dijalankan oleh warga asing yang tidak mempunyai kelayakan atau kemahiran profesional dalam bidang berkenaan dan pas yang sah dari Imigresen,” katanya.

    “Mereka menawarkan pelbagai rawatan kecantikan seperti mencantikkan hidung, rawatan membesarkan anggota badan tertentu, perkhidmatan dan rawatan pemutihan gigi, perkhidmatan suntikan vitamin C dan botox dan perkhidmatan menguruskan badan.

    “Rawatan ini dijalankan warga asing yang tidak mempunyai kemahiran formal tidak diiktiraf oleh KKM dan boleh mendatangkan risiko kematian, kerosakan organ dan tubuh badan,” katanya.

    Tambahnya, siasatan mendapati pelanggan pusat kecantikan haram ini terdiri daripada warganegara Malaysia seperti suri rumah dan pegawai-pegawai eksekutif.

    “Perkhidmatan pusat rawatan kecantikan ini mendapat sambutan yang tinggi kerana mereka menawarkan bayaran lebih rendah berbanding rawatan pusat rawatan berlesen yang dikendalikan oleh profesional bertauliah.

    “Kadar caj yang dikenakan antara RM350 hingga RM8,000 seperti ‘eye filler’ RM350, ‘breast filler’ (RM1,900) dan ‘botox filler’ (punggung) RM3,500 manakala pembedahan plastik mengenakan caj sebanyak RM8,000,” katanya.

    Khairul berkata, kegiatan pusat kecantikan berkesan dikesan mempromosi perkhidmatan mereka melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.

    “Bagaimanapun hasil semakan mendapati pelanggan perlu membuat permintaan untuk memasuki media sosial khususnya Instagram,” katanya.

    Katanya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen. 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

  • Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    Pendaftaran PICKids lepasi angka sejuta

    PENDAFTARAN Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

    Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

    “Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu.

    Beliau turut berkongsi infografik pendaftaran PICKids setakat semalam yang menyaksikan Kuala Lumpur mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Pulau Pinang dan Putrajaya.

    Setakat semalam, sebanyak 513,393 individu atau 14.5 peratus populasi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui program itu yang mula dilaksanakan pada 3 Feb lepas.

    Menerusi satu lagi ciapan, Khairy berkata, lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan dalam menggalakkan lebih ramai penerima yang layak menjalani saringan kesihatan percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) berbuat demikian.

    Beliau berkata, hanya 561,000 daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang layak telah menjalani saringan kesihatan percuma di bawah skim PeKa B40.

    “Lebih banyak kempen ‘outreach’ dan kesedaran diperlukan terutama dalam kalangan komuniti yang terpinggir.

    “Butiran lanjut boleh didapati di @protecthealthco (ProtechHealth Corporation). Marilah kita sama-sama mencegah NCD (penyakit tidak berjangkit),” katanya. – BERNAMA

  • Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    Sekolahku SEJAHTERA terap 14 elemen nilai kehidupan

    KONSEP Sekolahku SEJAHTERA yang menerapkan 14 elemen nilai kehidupan secara semula jadi kepada murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan pada sesi persekolahan akan datang, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, 14 elemen yang terkandung dalam konsep Sekolahku SEJAHTERA itu ialah selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, eksplorasi, rasional dan artikulasi.

    Bercakap kepada media selepas melancarkan Sekolahku SEJAHTERA di Putrajaya hari ini, Radzi berkata, kesemua elemen itu akan diterapkan seawal prasekolah dan diteruskan sehingga ke peringkat sekolah menengah.

    “Konsep ini tidak tambah beban tugas guru. Dalam konteks ini, guru-guru akan menerapkan konsep ini secara semula jadi dalam pengajaran dan pembelajaran.

    “Contohnya guru sedang mengajar mata pelajaran Sejarah, ada perkara-perkara dalam topik yang diajar itu berkait rapat dengan konsep 14 elemen itu, ia boleh digunakan dan dijelaskan kepada anak-anak ini,” katanya.

    Konsep Sekolahku SEJAHTERA dirangka berteraskan prinsip dan hasrat bagi mewujudkan suasana sekolah yang selamat, aman, selesa, menggembirakan, membina dan inklusif ke arah mencapai kesejahteraan masyarakat.

    Radzi berkata, penekanan terhadap 14 elemen nilai itu bukan bermakna elemen lain dalam kehidupan diketepikan.

    “Kita fokus pada konsep-konsep utama, kita yakin sekiranya anak-anak ini betul-betul menjiwai konsep ini, kita mampu melahirkan generasi yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya.

    Mengambil contoh elemen artikulasi iaitu murid dididik dengan keupayaan untuk mengolah, menyampaikan pandangan, hujahan atau huraian tentang sesuatu perkara dengan jelas dan teratur, Radzi berkata, apabila dewasa kelak, murid berkenaan boleh berhujah atau bercakap dengan tertib dan disokong dengan fakta. – BERNAMA

  • Pinda Perlembagaan Persekutuan beri mahkamah syariah kuasa semakan kehakiman – PGSM

    Pinda Perlembagaan Persekutuan beri mahkamah syariah kuasa semakan kehakiman – PGSM

    PERSATUAN Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan jangka panjang untuk meminda Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

    Presidennya, Musa Awang (gambar) berkata langkah itu bagi memberikan kuasa kepada kerajaan negeri mengadakan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada mahkamah syariah negeri untuk menjalankan kuasa semakan kehakiman ke atas apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis agama Islam negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri-negeri, termasuk oleh jawatankuasa fatwa negeri-negeri.

    Gesaan itu dibuat ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa mahkamah syariah tidak mempunyai kuasa untuk membuat semakan kehakiman terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

    “PGSM berpandangan bahawa apa-apa semakan kehakiman terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh majlis agama Islam negeri atau jawatankuasa-jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah undang-undang syariah negeri termasuk jawatankuasa fatwa negeri-negeri sewajarnya dibuat oleh mahkamah syariah memandangkan ia adalah forum yang sesuai dan kompeten kerana ia melibatkan pihak-pihak di kalangan orang beragama Islam dan berpaksikan kepada hukum syarak.

    “Bagi melaksanakan maksud pindaan tersebut, PGSM menggesa kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Hari ini, panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

    Mahkamah Persekutuan juga mengisytiharkan bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu terbatal.

    Seksyen 66A sebelum ini menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, boleh, demi kepentingan keadilan, atas permohonan mana-mana orang, menggunakan bidang kuasanya untuk mendengar dan membenarkan permohonan bagi semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen tersebut.

    Pada 21 Januari 2020, SIS Forum (SIS) memfailkan notis usul antara lainnya memohon deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

  • 4 suspek kes kecoh yang ditahan di hospital positif dadah

    4 suspek kes kecoh yang ditahan di hospital positif dadah

    POLIS menahan empat lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan sekumpulan individu hingga menimbulkan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh.

    Mereka berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Ipoh pada kelmarin dan semalam antara pukul 7.45 malam dan 11.50 malam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menjalankan ujian saringan air kencing ke atas setiap suspek dan mendapati, semua yang ditahan positif ganja.

    “Siasatan mendapati dua daripada mereka adalah rakan manakala dua lagi suspek tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

    Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.

    Kekecohan yang berlaku sekitar pukul 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.

  • Kerajaan telah ambil langkah responsif, proaktif tangani krisis – Tengku Zafrul

    Kerajaan telah ambil langkah responsif, proaktif tangani krisis – Tengku Zafrul

    KERAJAAN telah mengambil langkah responsif dan proaktif melalui pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, serta Bajet 2021 berjumlah RM322.5 bilion, untuk menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kelangsungan perniagaan, dan daya ketahanan ekonomi dalam menangani krisis.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan sentiasa komited dalam membantu seluruh Keluarga Malaysia, daripada rakyat sehingga ke peringkat perniagaan, untuk bangun serta berkembang semula dan ini bukan hanya sekadar retorik.

    Beliau berkata ekonomi negara telah kembali ke landasan pemulihan kukuh menerusi semua usaha tersebut, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), walaupun dalam keadaan mengharungi ancaman varian Delta, serta bencana banjir pada 2021.

    “Pelbagai penanda ekonomi juga terus mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan, ini termasuk aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) yang berjumlah hampir RM55 bilion, jumlah perdagangan luar mencecah lebih RM2 trilion serta aliran masuk bersih pelabur asing ke (dalam) pasaran bon tempatan yang melebihi RM33 bilion,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.

    Tengku Zafrul berkata selain itu pada 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 3.1 peratus, manakala kadar pengangguran bagi Disember terus berkurangan kepada 4.2 peratus.

    “Kesemua data ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum COVID-19 melanda negara, namun, kita perlulah sentiasa berwaspada dengan segala kemungkinan dan cabaran ketidaktentuan bagi tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata merujuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), unjuran pertumbuhan ekonomi dunia 2022 dijangka berkurangan berbanding apa yang dicapai pada 2021.

    “Ini berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi, serta gangguan rantaian bekalan dunia. Unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia,” katanya.

    Beliau berkata Malaysia kini berada di persimpangan jalan yang kritikal.

    Dalam menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), perjalanan seterusnya dipenuhi onak dan duri perubahan iklim, serta peralihan negara kepada populasi yang terus menua, serta isu struktur yang pastinya tidak boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua tahun, katanya.

    Tengku Zafrul berkata oleh yang demikian, strategi dan inisiatif serta langkah Bajet 2022 dirangka rapi untuk meneruskan momentum pemulihan jangka pendek, selain menerapkan dasar-dasar penyusunan semula jangka panjang.

    Beliau berkata dalam melaksanakan kedua-dua agenda tersebut, kerajaan akan mengutamakan dua teras utama iaitu menambah baik pasaran buruh dan memperkasakan sektor perniagaan melalui Bajet 2022.

    “Program Semarak Niaga dirangka agar komuniti usahawan kita mampu bangkit semula dan terus berkembang.

    “Bersama-sama langkah Bajet 2022 yang akan memudah cara perniagaan, serta pelbagai insentif cukai, kesemua ini akan juga membantu negara mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan untuk Keluarga Malaysia tahun ini. Insya-Allah, kesemua usaha ini akan melonjakkan lagi ekonomi negara,” katanya.

    Beliau berkata program bernilai lebih RM40 bilion ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti yang akan memanfaatkan setiap usahawan.

    Selain akses kepada pembiayaan, strategi untuk membina daya tahan sektor perniagaan juga tertumpu kepada inisiatif yang akan memacu pelaburan strategik, memudah cara perniagaan, serta memperkasakan agenda digitalisasi dan kelestarian mereka, katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga kekal komited untuk membantu sektor yang masih terjejas seperti industri pelancongan, kreatif dan peruncitan.

    “Secara keseluruhan, insiatif-inisiatif tersebut serta Program Semarak Niaga akan mengembalikan keupayaan, dan memperkasakan komuniti perniagaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

    “Bagi tahun ini, kerajaan mengujurkan pertumbuhan ekonomi negara di antara 5.5 dan 6.5 peratus, selari dengan unjuran IMF (pada 5.7 peratus) dan Bank Dunia (pada 5.8 peratus),” katanya.

    Beliau berkata dalam melangkah ke hadapan, MOF akan terus komited untuk menjadi kementerian yang responsif, bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal. – Bernama

  • Pakcik durjana dituduh persundalkan anak saudara sendiri

    Pakcik durjana dituduh persundalkan anak saudara sendiri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG lelaki didakwa dengan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Dua, Alor Setar hari ini kerana bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan anak saudara perempuannya kepada dua lelaki, bagi tujuan persundalan pada 2020 dan 2021.

    Lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan sebaik kedua-dua pertuduhan tersebut dicabakan oleh jurubahasa terhadapnya di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Mengikut kertas pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan anak saudara perempuannya yang berusia 16 tahun kepada seorang lelaki yang kini berusia 25 tahun bagi tujuan persundalan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sukamari, Pendang antara Mac hingga April 2020.

    Menerusi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sekali lagi bertindak sebagai orang tengah bagi memperkenalkan remaja perempuan itu dengan lelaki lain yang kini berusia 37 tahun bagi tujuan sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Mei 2021 di lokasi sama.

    Pendakwaan kes tersebut dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun, disebat dan didenda jika disabitkan dengan kesalahan.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dengan tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

  • KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

    KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, KPM sedang meneliti pendekatan yang paling sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.

    “Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA, di Putrajaya hari ini.

    Sebelum ini, tular dalam laman Facebook mengenai hantaran yang didakwa dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Rasmi yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November. Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.

    Radzi dalam pada itu berkata KPM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

    Sebanyak 151 sekolah menengah dijadikan pusat mengundi pada 12 Mac untuk PRN Johor, manakala peperiksaan SPM pula dijadual diadakan dari 2 hingga 29 Mac ini.

    “Sebelum ini pun sudah dibuat perbincangan awal. Kami sedang bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan supaya peperiksaan SPM ini dapat berjalan dengan baik.

    “Jika terpaksa guna, kita ada pendekatan yang akan kita gunakan namun begitu kita cuba elakkan kerana tempoh masa tidak banyak, hari Ahad sahaja yang ada (susun semula meja kerusi).

    “Meja-meja peperiksaan telah disusun atur dengan teliti mengambil masa yang lama dan rombakan kepada susun atur meja tersebut yang kemudiannya disusun balik dalam masa sehari bukan sesuatu yang mudah kerana susunan meja dan kerusi ada cara dan peraturannya,” kata Radzi.

    Mengenai isu beg sekolah berat yang menjadi perbualan hangat, Radzi berkata, KPM sedang memperhalusi perkara itu dan sudah mengenal pasti beberapa punca kepada isu tersebut antaranya jumlah mata pelajaran, buku teks tebal dan murid membawa buku tambahan.

    “Kami di KPM sedang merangka apa pendekatan terbaik (kerana) ia telah berlarutan sekian lama. Apakah pendekatan yang terbaik bagi pastikan isu ini diselesaikan sepenuhnya dengan memperincikan beberapa pendekatan,” katanya. – BERNAMA