Category: Semasa

  • BN mohon Mahkamah Rayuan batalkan kemenangan Hadi di Marang

    BN mohon Mahkamah Rayuan batalkan kemenangan Hadi di Marang

    BARISAN Nasional (BN) memohon Mahkamah Rayuan untuk membatalkan kemenangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kawasan Parlimen Marang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff berkata, calon BN bagi kawasan itu, Jasmira Othman pada 28 Jun lalu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pilihan raya di Kuala Terengganu sehari sebelum itu.

    Pada 27 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Hassan Abdul Ghani telah menolak petisyen pilihan raya daripada Jasmira dan memerintahkan pempetisyen membayar kos RM50,000 kepada Hadi, lapor Malaysiakini.

    Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu melibatkan dakwaan Pas telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

    Bantuan kewangan itu dakwanya melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student antara 15 dan 17 November tahun lepas, menjelang PRU15.

    Semasa PRU15, Hadi mengekalkan kerusinya dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga lagi calon iaitu Jasmira, Azhar Ab. Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

    Selain Marang, BN juga memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu, Kemaman, Gua Musang, Putrajaya, Masjid Tanah dan Segamat.

    BN menang petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan PRU15 di Kuala Terengganu membabitkan ahli parlimennya, Ahmad Amzad Hashim.

    Bagaimanapun, BN tidak berjaya dalam petisyen pilihan raya untuk parlimen Putrajaya.

  • ‘Patut imigresen tangkap menteri, halang tugas penjawat awam’ – Bekas Pengarah SPRM

    ‘Patut imigresen tangkap menteri, halang tugas penjawat awam’ – Bekas Pengarah SPRM

    MENTERI Pelancongan Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing sepatutnya ditahan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas awamnya, menurut seorang pegawai antirasuah bersara.

    Datuk Bahri Mohammad Zin, yang merupakan bekas pengarah bahagian operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Tiong sepatutnya menimbulkan syak wasangka tentang dakwaan rasuah melibatkan pegawai Jabatan Imigresen dengan SPRM dan bukannya mengambil alih perkara itu sendiri.

    “Jika saya jadi pegawai imigresen tu saya akan ‘warning’ menteri tu dua kali agar jangan ganggu kerja saya.

    “Jika kali ketiga dia masih tidak dengar, saya akan tangkap dia atas kesalahan mengganggu tugas penjawat awam,” katanya.

    Bahri mengulas laporan kejadian Tiong melawat pejabat Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Jun itu untuk memeriksa aduan seorang warga China yang dinafikan masuk ke negara ini.

    Tiong mendakwa dokumen pelawat itu teratur dan pelancong berkenaan menjadi mangsa rasuah, yang akan didedahkannya. Warga China itu akhirnya dibenarkan masuk berikutan campur tangan menteri.

    Dakwaan itu telah mendapat perhatian daripada SPRM, yang berkata pihaknya akan menyiasat perkara itu.

    Bahri juga menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan terhadap Tiong, yang menurutnya telah menjadi liabiliti kepada kerajaan.

    “Inisiatif perdana menteri pergi melawat kaunter imigresen boleh di angkat ibu jari.

    “Tapi seelok-eloknya PM panggil menteri tu tanya dia, tang (di) mana pegawai imigresen itu langgar prosedur?

    “Jika kamu nak bebaskan pelancong China tu kerana langgar SOP (prosedur operasi standard), apa jadi dengan pelancong negara lain sebelum ini yang kena balik kerana kesalahan serupa.

    “Jika betul pegawai imigresen tu minta rasuah kenapa kamu tidak pergi senyap-senyap buat laporan SPRM dan bagi kerjasama supaya perasuah diperangkap,” soalnya.

    Bahri berkata perdana menteri juga perlu bertanya kepada Tiong jika beliau telah memikirkan terlebih dahulu implikasi negatif kepada kerajaan sebelum mengambil tindakan itu.

    “Perbuatan menteri tidak ada otak macam inilah memberi liabiliti berat kepada Kerajaan Madani.

    “Anwar Ibrahim wajar ambil tindakan ke atas menteri tersebut supaya rakyat merasai yang Anwar tidak pilih bulu,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Bahri salah seorang pegawai kanan SPRM yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak ketika dia menjadi perdana menteri melibatkan kes rasuah SRC International.

    Bahagian Operasi Khas SPRM yang diterajui Bahri, ditugaskan untuk menyiasat kes khas yang melibatkan lebih RM1 juta dan kes sensitif yang melibatkan kepentingan awam.

    Bahagian itu dikatakan telah menyiasat SRC, yang sebelum ini merupakan anak syarikat 1MDB, khususnya kes RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.

  • Ambil tindakan individu halang tugas penjawat awam -Ronald

    Ambil tindakan individu halang tugas penjawat awam -Ronald

    KERAJAAN perlu mengambil tindakan terhadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menghalang tugas penjawat awam ekoran insiden berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

    Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, tindakan menteri berkenaan melanggar Seksyen 56(1)(g) Akta Imigresen iaitu menghalang sama ada secara aktif atau pasif terhadap mana-mana pegawai imigresen yang sedang menjalankan tugasnya meskipun mempunyai pas khas memasuki Terminal 1 KLIA. 

    “Malah tindakan beliau yang dikatakan mengganggu pegawai imigresen daripada melaksanakan tugas dan amanah menahan pelancong negara asing tersebut secara sah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang seorang penjawat awam melaksanakan tugas. 

    “Saya ingin menegaskan bahawa dalam apa jua keadaan, pegawai awam perlu dibenarkan menjalankan tugas sah mereka tanpa gangguan dan tekanan daripada mana-mana orang, apatah lagi jika membabitkan hal ehwal keselamatan dan kedaulatan negara,” ujar Ahli Parlimen Beluran itu.

    Beliau menegaskan, insiden seperti ini tidak akan berlaku sekiranya kita menghormati tugas penjawat awam.

    “Amaran tegas perlu diberikan kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang dan mengganggu tugas pihak berkuasa. Penjawat awam hanya menjalankan tugas mereka mengikut bidang tugas dan fungsi mereka.

    “Tidak wajar mereka dihalang atau dikasari dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan Malaysia.

    Terdahulu, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi mendesak Jabatan Imigresen membebaskan seorang pelawat dari China sehingga tular dalam media sosial.

    Ia didakwa berlaku petang kelmarin apabila menteri berkenaan dikatakan masuk ke kawasan ketibaan itu tanpa memohon pas.

    Difahamkan, ia bertujuan ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dikatakan dinafikan daripada memasuki negara ini.

    Sebaliknya King Sing menafikan dirinya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang menteri sehingga menimbulkan insiden dan menjelaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk melepaskan pelancong asing yang ditahan Jabatan Imigresen dan sekiranya dirinya bertindak demikian sekalipun, ia hanya merosakkan reputasi sahaja.

    Menurut beliau, pelancong berkenaan ditahan tanpa diberikan alasan oleh pihak imigresen sedangkan wanita tersebut mempunyai dokumentasi lengkap. 

  • Jemaah haji dilarang bawa pulang air zamzam

    Jemaah haji dilarang bawa pulang air zamzam

    JEMAAH haji dari negara ini dinasihatkan agar tidak membawa pulang air zamzam melalui bagasi masing-masing.

    Pengarah Operasi Maktab, Mohd. Sawal Abong berkata, ini kerana perbuatan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

    Jelasnya, peringatan tersebut diberikan supaya tidak berlaku kesulitan ketika proses pergerakan balik jemaah haji ke tanah air.

    “Jangan cuba-cuba bawa balik kerana tidak akan lepas pemeriksaan di lapangan terbang. Kalau mereka jumpa akan dikeluarkan dari beg dengan serta-merta.

    “Sebelum ini ada pelbagai cubaan seperti membalut botol air zamzam dengan plastik aluminium tetap gagal sebab kerajaan Arab Saudi mempunyai alat imbasan yang canggih,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurut Mohd. Sawal, setiap seorang jemaah haji akan menerima lima liter air zamzam yang boleh dituntut semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Dalam pada itu katanya, larangan lain adalah mengikut peraturan penerbangan antarabangsa seperti benda tajam, bahan mudah terbakar, bahan kimia yang berbahaya, senjata api dan sebagainya.

    Beliau berkata demikian ketika meninjau proses daftar masuk bagasi jemaah haji di bangunan penginapan di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Abraj Al Janadriyah, di Makkah, hari ini.

    Perkhidmatan itu disediakan TH dengan kerjasama syarikat penerbangan bagi memudahkan jemaah menguruskan bagasi mereka tanpa perlu membawanya ke lapangan terbang.

    “Ia adalah proses yang amat membantu jemaah kerana tidak perlu bersusah payah di lapangan terbang serta melicinkan urusan untuk pulang ke tanah air.

    “Setiap jemaah dibenarkan membawa pulang bagasi seberat 30 kilogram (kg) dan beg yang boleh dibawa menaiki pesawat yang tidak melebihi 7kg,” katanya.

    Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dengan pesawat MH8261 akan berlepas pada Rabu 7.15 pagi dan sampai di KLIA pada hari sama pukul 9.45 malam.

    Sebanyak 98 penerbangan akan membawa pulang 31,600 jemaah haji dengan penerbangan terakhir pada 31 Julai ini.

  • Bapa mangsa tragedi kepala air reda pemergian anak sekeluarga

    Bapa mangsa tragedi kepala air reda pemergian anak sekeluarga

    WALAUPUN berat ujian yang ditanggung, Eiyi Johari, 60, bapa kepada Allahyarham Azizah Eiyi, 40, yang terkorban dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, reda dengan pemergian anaknya.

    Selain Azizah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, dia turut kehilangan seorang menantu, Karim Abdullah, 39, (suami Azizah) dan tujuh cucu yang turut sama dalam perkelahan di kawasan rekreasi berkenaan.

    Menurut Eiyi dia tidak menyangka akan kehilangan sembilan ahli keluarga tersayang dalam sekelip mata, apatah lagi mereka baru sahaja menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama.

    “Saya reda dengan ujian ini… (Pada hari kejadian) saya keluar bekerja dan dimaklumkan oleh isteri yang mereka sekeluarga berkelah.

    “Mereka tidak tinggal serumah dengan kami, tetapi masih dalam kampung yang sama. Suaminya pula berulang-alik kerja dari Felda Lepar Hilir ke Air Putih setiap hari,“ katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman turut menziarahi keluarga mangsa dan menghulurkan sumbangan peribadi sebagai tanda prihatin.

    Ariffin berkata kejadian tragedi kepala air di kawasan Jeram Mawar itu merupakan kejadian luar jangka kerana berlaku di luar musim tengkujuh.

    Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai yang ingin keluar beriadah terutama di kawasan rekreasi air mendapatkan maklumat ramalan cuaca daripada laman web agensi berkaitan.

    “Jabatan Meteorologi ada keluarkan amaran hujan lebat dan ribut melibatkan negeri-negeri Semenanjung sehingga 5 Julai ini.

    “Saya harap sesiapa yang ingin melakukan aktiviti di air lebih peka dengan amaran berkaitan bagi mengelak sebarang tragedi,“ katanya.

    Setakat hari ini, tujuh mangsa telah ditemukan termasuk penemuan mayat Azizah dan anak lelakinya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, pada tengah hari semalam manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemukan.

    Operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada 6 petang semalam akibat cuaca buruk diteruskan semula kira-kira 9 pagi tadi.

  • Lantang kritik kerajaan, portal Malaysia Today pula disekat

    Lantang kritik kerajaan, portal Malaysia Today pula disekat

    SEORANG pengulas politik terkenal Malaysia membidas menteri yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan internet di negara ini selepas laman sesawangnya disekat akses secara senyap, sama seperti sekatan 48 jam yang dikenakan terhadap portal berita MalaysiaNow baru-baru ini yang mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

    Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan laman Malaysia Today selama lebih sedekad menyifatkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebagai seorang yang hipokrit.

    “Bila jadi pembangkang, menjerit tentang kebebasan bersuara. 

    “Bila jadi kerajaan, sekat Malaysia Today.”

    Ini merupakan siri kritikan terbaru terhadap Fahmi, yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyerang media serta mengancam tindakan ke atas pengkritik kerajaan.

    Raja Petra, yang melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 2009, memberitahu MalaysiaNow beliau menyedari laman sesawangnya tidak boleh diakses oleh sebahagian besar pembaca pada pertengahan bulan lalu. 

    Ujian di laman sesawang Open Observatory of Network Interference (Ooni) mengesahkan bahawa Malaysia Today disekat akses kepada pengguna sekurang-kurangnya dua penyedia perkhidmatan internet (ISP) utama di Malaysia – Maxis dan Celcom. 

    Sejak laman tersebut disekat akses, Raja Petra memaklumkan pembacanya supaya memasang alat atau tetapan yang boleh memintas sekatan itu. 

    Bagaimanapun seperti apa yang berlaku ke atas MalaysiaNow minggu lalu, katanya tiada sebarang maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi pengawal selia di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital yang diberi kuasa untuk menyekat laman sesawang ‘tidak diingini’.

    “Kami tidak dapat memastikan kesahihannya 100%, kerana sekatan itu tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh SKMM,” katanya sambil menambah sekatan tersebut mengurangkan jumlah pembaca sebanyak 70%.

    Minggu lalu, akses portal berita MalaysiaNow disekat beberapa penyedia perkhidmatan internet utama, sebelum ia ditarik balik kira-kira 48 jam kemudian berikutan kecaman daripada aktivis, wartawan dan ahli politik.

    Sekatan terhadap MalaysiaNow dipercayai pertama kali dilakukan sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media dari Jabatan Penerangan.

    Pada Februari 2016, portal berita The Malaysian Insider disekat oleh SKMM beberapa minggu sebelum akhirnya ditutup.

    Fahmi, yang menafikan terlibat dalam mengeluarkan arahan sekatan itu masih belum memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan yang menyebabkan beberapa ISP menyekat akses kepada MalaysiaNow.

    Raja Petra berkata laman sesawang Malaysia Today disekat di bawah pentadbiran beberapa perdana menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Katanya, beliau tidak berdepan sebarang sekatan akses semasa zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sewaktu pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad dari 2018 hingga 2020, walaupun lantang mengkritik pemimpin veteran tersebut.

    “Nampaknya kerajaan sekarang lebih-lebih lagi tidak menghormati kebebasan, terutama sekali kebebasan bersuara. 

    “Dan orang yang bermusuh sangat dengan kebebasan bersuara ialah Fahmi,” katanya, sambil menambah kebebasan media ‘sudah mati di Malaysia’, lapor MalaysiaNow.

  • Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    Tiada diskaun saman sepanjang saya jadi Ketua Polis KL, kata Shuhaily

    PENGGUNA jalan raya yang disaman ekoran melakukan kesalahan lalu lintas di sekitar ibu negara tidak akan diberikan diskaun bayaran saman, itu ketegasan yang disuarakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain.

    Beliau berkata, perkara itu perlu bagi tujuan mendidik pengguna jalan raya di ibu kota.

    “Sepanjang saya menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada sebarang diskaun atau pengurangan.

    “Dalam mendidik, kita harus konsisten dalam apa yang kita nak laksanakan,” katanya selepas mengetuai Operasi Hormat Undang-undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, pagi ini.

    Walau bagaimanapun, Mohd. Shuhaily mengatakan apa jua keputusannya nanti, beliau akur, namun secara perbadi tiada diskaun akan diberikan.

    Polis Kuala Lumpur hari ini menjayakan operasi itu yang bermula sejak Sabtu lalu sehingga 31 Julai ini yang melibatkan 16 kawasan di sekitar Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSJPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh.

    Menurut Mohd. Shuhaily, operasi itu adalah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang trafik.

    “Saya tegaskan operasi ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya supaya kita sama-sama memartabatkan Kuala Lumpur sebagai kota yang patuh undang-undang jalan raya.

    “Jika kita dapat wujudkan satu contoh pemanduan yang baik, saya harap budaya ini dapat dipanjangkan ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

    Tambahnya, antara tiga kesalahan yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya adalah, melanggar lampu isyarat merah, membuat pusingan-U di kawasan tidak sepatutnya, dan memberhentikan kenderaan dalam petak kuning.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Seperti yang berlaku tadi, seorang pengguna menekan hon kepada seorang lagi pengguna untuk terus jalan sedangkan lampu isyarat merah dengan alasan sebelum ini boleh berbuat demikian.

    “Bagi sebilangan pengguna di Kuala Lumpur, lampu isyarat merah ibarat lampu hijau. Jadi itu apa yang kita mahu martabatkan kembali,” katanya lagi.

    Mohd. Shuhaily menegaskan, bahawa operasi yang dijalankan pada waktu puncak pagi tadi bukan untuk menyusahkan pengguna jalan raya yang sedang berpusu ke tempat kerja masing-masing.

    “Ini kali pertama pihak polis trafik Kuala Lumpur menjalankan operasi pada waktu puncak. Namun, pada saya kesalahan yang dilakukan pada waktu puncak adalah begitu kerap sekali.

    Sebahagian daripada motosikal yang ditahan anggota polis selepas melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Kita juga faham dan tidak mahu menyusahkan orang ramai pada masa yang sama. Kita perlu korbankan sedikit demi mengembalikan martabat undang-undang kita,” ujarnya.

    Menurut beliau, bagi memastikan kelancaran lalu lintas ketika operasi dijalankan pada waktu puncak, pihaknya menyediakan dua pasukan iaitu pasukan penguatkuasa dan pasukan mengawal lalu lintas.

    Antara 16 kawasan itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Semarak, Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Persimpangan Dang Wangi, Persimpangan Jalan Raja Laut, dan Persimpangan Jalan P. Ramlee.

    Anggota Polis trafik mengeluarkan saman terhadap pemandu yang melakukan kesalahan dengan berhenti di garisan melintas pejalan kaki dalam operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya di persimpangan lampu isyarat, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Selain itu, Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi, Jalan Tun Tan Cheng Lock, Jalan Hang Tuan, Jalan Pudu , Jalan Yap Kuan Seng dan Jalan Dewan Bahasa.

    Operasi itu berkonsepkan penguatkuasaan yang lebih tegas dan tersusun membabitkan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

  • Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    Wanita cedera dilibas parang lelaki bertopeng

    SEORANG wanita cedera di dagu selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki bertopeng yang memecah masuk kediamannya di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi pukul 12.50 tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semasa kejadian mangsa berusia 50-an sedang tidur di bilik.

    Katanya, anggota Balai Polis Teluk Sengat, Kota Tinggi menerima laporan berkaitan kejadian samun pada pukul 3.31 petang semalam.

    “Seorang suspek bertopeng memasuki kediaman dengan bersenjatakan parang dan cuba menekup mangsa.

    “Mangsa terjatuh ke lantai sebelum berlaku pergelutan hingga suspek bertindak melibas parang dan terkena di bahagian dagu mangsa serta mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di dagu.

    “Ketika kejadian suspek sempat merentap seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

    Hussin berkata, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dikenakan denda atau sebatan, lapor Berita Harian.

    Orang awam yang memiliki sebarang maklumat berkaitan suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek menerusi talian 017-7183778 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, talian 07-8831222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    Hantar video lucah, bekas ahli lembaga pengarah KLSCAH didenda RM6,000

    MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Yeo Kwi Seng kerana mengaibkan kehormatan anak seorang pemimpin veteran MCA dengan menghantar video lucah melalui aplikasi WhatsApp, dua tahun lalu.

    Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas Yeo, 69, menukar pengakuan kepada bersalah semasa sebutan kes pada 28 Jun lalu dan lelaki itu diperintahkan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

    Tertuduh membayar denda tersebut, lapor FMT.

    Yeo didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Wong Pei Huan, 53, di Suite 5.05-5.10, Tingkat 5, Plaza Imbi antara 23 Mei dan 16 Jun 2021, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong.

  • Kumpulan anti tembakau, hak asasi kanak-kanak saman menteri kesihatan

    Kumpulan anti tembakau, hak asasi kanak-kanak saman menteri kesihatan

    BADAN pemikir kesihatan dan hak asasi kanak-kanak memfailkan saman terhadap Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa dan kerajaan kerana menyahsenaraikan cecair nikotin daripada Akta Racun 1952 walaupun mendapat bantahan keras daripada penyokong dasar kesihatan awam. 

    CodeBlue melaporkan Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), yang mewakili lebih 40 pertubuhan, Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA), dan Voice of the Children (VoC) memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun.

    Mereka memohon perintah untuk membatalkan nyahsenarai cecair nikotin sebagai racun berjadual.

    Mereka juga memohon penangguhan prosiding atas perintah itu, sementara menunggu pendengaran. 

    Mereka juga mendakwa bahawa Zaliha melanggar Akta Racun dengan mengenepikan Lembaga Racun berhubung perkara itu, dan menyahsenaraikan cecair nikotin cecair adalah bertentangan dengan objektif dasar Kementerian Kesihatan sendiri, dikenali sebagai Rang Undang-undang ‘generasi penamat’ yang melarang produk tembakau, rokok elektronik dan vape dijual kepada mereka yang lahir bermula 1 Januari 2007.

    Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang dibentangkan Khairy Jamaluddin sebelum ini masih belum diluluskan di Parlimen.

    Menurut MCTC, MGLA, dan VoC dalam pemfailan mahkamah mereka adalah ‘tidak jelas’ bila rang undang-undang itu akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua atau diluluskan, tambah CodeBlue.

    Mendakwa penyahsenaraian cecair nikotin akan ‘menghalalkan’ mana-mana tahap kandungan nikotin dalam vape dan e-rokok memandangkan kekurangan perundangan mengenai perkara itu, mereka juga berkata perintah yang diwartakan oleh Zaliha serta kuasa untuk berbuat demikian tidak mengikut Perlembagaan.

    Mereka juga berkata, penyahkawalseliaan cecair nikotin melanggar komitmen antarabangsa Malaysia, memetik Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Konvensyen Hak Asasi Kanak-kanak.

    Zaliha mengumumkan pengecualian itu pada 30 Mac, sekali gus berdepan bantahan daripada Persatuan Farmasi Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Galen Centre.

    Industri vape dianggarkan bernilai RM2.49 bilion setakat Februari tahun ini, dan dijangka terus berkembang. 

    Pada 13 Jun lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 merekodkan peningkatan dalam vape atau penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, daripada 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022.

    Ia berkata peningkatan ketara itu turut direkodkan dalam kalangan remaja perempuan, daripada 2.8% pada 2017 kepada 6.2% pada 2022 lapor Malaysianow.