Category: Semasa

  • Lelaki maut MPV terbakar langgar pembahagi jalan

    Lelaki maut MPV terbakar langgar pembahagi jalan

    SEORANG lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya hilang kawalan dan kemalangan sebelum terbakar di Kilometer 428 Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Tol Bukit Tagar, hala selatan, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, MPV itu dipercayai terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.

    “Mangsa dikenali sebagai Hong Beng Aun, 46 tahun. Mayatnya berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut ,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 1.08 pagi dan mengerakkan sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa ke lokasi kejadian.

    Bomba melakukan operasi pemadaman dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus.

  • Deretan 15 gerai makan MPK terbakar

    Deretan 15 gerai makan MPK terbakar

    DERETAN 15 gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) di jalan besar Pandamaran, Klang terbakar dalam kejadian awal pada pukul 3.14 pagi tadi.

    Kejadian tersebut yang disedari orang awam dimaklumkan kepada pihak bomba sebelum 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta BBP Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, hampir dua jam masa diambil dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut.

    “Anggota penyelamat bertindak melakukan kerja pemadaman menggunakan tiga aliran hos sehingga api padam sepenuhnya. Api berjaya dikawal pada pukul 3.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi.

    “Struktur gerai jenis terbuka yang setiap satu berkeluasan 100 kaki persegi itu terbakar 80 peratus,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.

  • PN, BN, Muda, Pejuang umum calon PRN Johor hari ini

    PN, BN, Muda, Pejuang umum calon PRN Johor hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMERIAHAN pesta demokrasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila dua gabungan politik terbesar negara akan mengumumkan calon-calon mereka hari ini.

    Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon-calon mereka yang akan masuk ke ‘gelanggang politik’ PRN Johor.

    Selain PN dan BN, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan turut mengumumkan calonnya hari ini.

    BN menjadi gabungan politik pertama yang akan mengumumkan calon-calon mereka di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Jalan Yahya, Johor Bahru pada jam 9 pagi ini.

    Menurut Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, gabungan itu menawarkan 30 peratus muka baharu daripada 56 calonnya dan percaturan BN berbeza dengan PRN Melaka yang menampilkan 80 peratus calon muka baharu.

    Difahamkan hanya 30 peratus calon muka baharu kerana ramai dalam kalangan ketua bahagian dan ahli jawatankuasa terutama UMNO enggan memberi laluan kepada calon muda atau muka baharu untuk bertanding.

    Malah sehingga saat akhir semalam, pembahagian kerusi masih berjalan dalam mesyuarat di kediaman rasmi Menteri Besar di Johor Bahru yang dihadiri Pengerusi BN, Datuk Seri Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin-pemimpin komponen BN.

    BN Johor walaupun mendabik dada dan mengakui selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yakin akan menang dua pertiga majoriti, tetapi situasi politik terkini amat mencabar dan sukar diramal.

    Mereka hanya bergantung kepada peratusan mengundi yang rendah bawah 65 peratus untuk menang selain memikul bebanan ‘dosa’ mencetuskan PRN Johor kononnya untuk mendapatkan kestabilan politik di negeri selatan tanah air itu.

    Apa yang pasti sukar untuk BN terutama UMNO ‘mensuci dan mencuci’ dosa mereka yang menghalalkan PRN Johor ketika berkempen kerana rakyat Johor cerdik dan tidak akan mudah ‘menghadam’ alasan mereka bahawa semua dilakukan untuk kestabilan politik.

    BN sebelum ini diramalkan akan terbungkam di tanah kelahirannya sendiri dalam cubaan matlamat menghalalkan cara mereka dan sukar untuk menyembunyikan sifat ‘keserigalaan’ yang tamak dan gila kuasa daripada pengundi PRN Johor yang sudah tahu niat dan matlamat mereka.

    itik patah kaki
    SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

    Sementara PN pula menjadi gabungan politik kedua yang akan mengumumkan calon mereka di Pulai Springs Resort, Pulai, Johor Bahru pada pukul 3 petang ini namun komposisi calon masih menjadi teka-teki.

    Namun apa yang pasti, PN akan memastikan anak tempatan diberi keutamaan dan mereka akan menampilkan calon yang hampir seimbang merangkumi golongan berpengalaman, orang muda serta wakil wanita.

    Jumlah berapa ramai muka baharu yang akan dinamakan PN hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan apa pasti, calon PN adalah mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat.

    Menariknya juga, calon-calon PN menjalani proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bebas daripada rekod jenayah, kes mahkamah atau mempunyai masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    PN juga memberi jaminan calon-calon mereka terdiri daripada mereka yang bersih, mempunyai integriti yang tinggi dan memiliki kredibiliti.

    Itu adalah kriteria calon-calon PN dan pada masa sama, sumbangan serta rekod bersih Tan Sri Muhyiddin yang pernah menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar akan menjadi faktor tarikan kepada pengundi.

    Menarik perhatian apabila PN akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada PRN itu yang pertama kali diadakan dalam sejarah Johor.

    PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    underdog Muhyiddin Yassin
    Karisma, pengalaman dan rekod bersih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan menjadi tarikan orang Johor untuk memilih gabungan itu GAMBAR: Warta Rakyat

    Pejuang pula mempunyai strategi sendiri apabila mengadakan majlis pengumuman calon yang akan dibuat Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di YS Conezion, Muar, pada pukul 2 petang ini, bukan di ibu negeri seperti dilakukan gabungan dan parti politik.

    Parti itu akan mengumumkan 42 calon mereka dan setakat ini memutuskan untuk bertanding secara solo serta tidak bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) kerana percaya akan menang di kerusi yang mereka tandingi.

    Keputusan dan pemilihan calon itu didakwa adalah berdasarkan kehendak rakyat dan kesesuaian komposisi pengundi.

    Pejuang memutuskan demikian selepas mengambil kira beberapa faktor kerana ada kawasan yang tidak sesuai untuk parti itu memandangkan ia adalah parti Melayu antaranya faktor kaum dan bangsa, usia serta kesetiaan kepada parti lain.

    Sebuah lagi parti baharu yang akan menumumkan calon-calonnya adalah Muda yang memilih kawasan elit iaitu di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru pada pukul 2 hingga 4 petang ini.

    Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengumumkan dua lagi calon iaitu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja dan Machap selepas mengumumkan empat calon di DUN Puteri Wangsa, Bukit Permai, Bukit Kepong dan Tenang.

    Setakat ini calon-calon Muda merupakan anak muda walaupun mendakwa parti tersebut tidak terbatas untuk golongan muda sahaja, mereka mempunyai latar belakang yang berbeza selain merupakan golongan berpendidikan dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.

    Bagi komponen Pakatan Harpan (PH) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, masing-masing sudah mengumumkan calon mereka sebelum ini secara berasingan.

    PKR mengumumkan 20 calon, Amanah 16 calon manakala DAP mengumumkan calon mereka secara berperingkat-peringkat dan sudah memperkenal 11 calon setakat ini yang kebanyakannya kerusi tradisi mereka.

    Bagi Parti Warisan (Warisan) pula yang mahu melebarkan sayap ke Semenanjung, sudah mengumumkan akan meletak calon bagi kerusi DUN Bukit Batu dan Permas selepas membuat penilitian dan yakin mampu merebut kerusi tersebut atas faktor tertentu.

    Warisan buat pertama kali mencuba nasib bertanding di Semenanjung dan ini merupakan pilihan raya pertama mereka bertanding di luar Sabah

    Sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang membuat kejutan pada saat akhir, mereka mengumumkan akan bertanding satu kerusi sahaja iaitu di DUN Kota Iskandar dan juga memutuskan akan bertanding secara solo.

    Parti Bangsa Malaysia (PBM) pula masih menimbang untuk bertanding lebih daripada dua kerusi DUN dan pengumman calon dijangka dilakukan esok dan janji mereka adalah mengenengahkan calon muda, berpengalaman dan pernah berkhidmat.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari manakala tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

  • Warisan tanding di DUN Bukit Batu

    Warisan tanding di DUN Bukit Batu

    PARTI Warisan (Warisan) berkemungkinan meletakkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan 12 Mac depan. 

    Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata calon Warisan yang bertanding bagi DUN itu adalah anak muda dalam kalangan penduduk tempatan dan namanya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

    “Kalau tiada halangan kita bertanding di (DUN) Bukit Batu. Yang bertanding ini bukan orang Sabah, kita akan tentukan yang bertanding (di DUN Bukit Batu) adalah orang muda dan anak tempatan,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina hari ini. 

    Sebelum ini, Warisan mengumumkan untuk meletakkan calon bagi kerusi DUN Permas. 

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Bukit Batu telah dimenangi calon PKR Jimmy Puah Wee Tse selepas memperolehi 17,105 undi menewaskan Teo Lee Ho dari Barisan Nasional (BN) dan Juwahir Amin daripada PAS.

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai tarikh bagi pengundian PRN Johor dan Sabtu ini (26 Feb) ditetapkan untuk tarikh penamaan calon manakala pengundian awal pada 8 Mac.

    — BERNAMA 

  • Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    Manifesto PN realitik, tumpu kos sara hidup, kenaikan harga barang – Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) akan mengetengahkan manifesto yang bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pengerusi gabungan politik itu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

    “Kami kalau dah bentuk kerajaan, kami janji akan laksana dan  tunaikannya… contohnya isu perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda… bila kita diberi peluang mentadbir Johor, antara yang kita akan beri perhatian adalah sediakan peluang perumahan untuk kumpulan ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada ceramah umum bersama warga Felda Sri Ledang dekat sini malam ini. 

    Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin. 

    Penamaan calon PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.

    — BERNAMA

  • Lelaki alami halusinasi cuba terjun dari IPD Kuala Muda

    Lelaki alami halusinasi cuba terjun dari IPD Kuala Muda

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KECEKAPAN pihak bomba bersama polis berjaya memujuk seorang lelaki yang mengalami halusinasi, untuk membatalkan hasratnya terjun dari bumbung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah petang tadi.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman, lelaki berusia 47 tahun itu pada mulanya datang ke IPD tersebut bagi membuat laporan polis kononnya dia diekori seseorang.

    Begitu pun katanya, lelaki itu yang bekerja sebagai pengutip tin, kemudiannya dipercayai menaiki tangga bahagian tengah bangunan untuk ke bumbung bangunan IPD berkenaan di tingkat empat.

    “Pintu besi yang menutupi laluan tangga penghubung bumbung tidak berkunci kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan bumbung yang bocor.

    “Dia kemudiannya disedari berada di bumbung bangunan IPD Kuala Muda kira-kira pukul 4.45 petang dalam keadaan tidak berbaju. Justeru pihak bomba dan ambulans dihubungi bagi tujuan bantuan menyelamat,” katanya.

    Lelaki itu berjaya dipujuk untuk membatalkan hasrat tersebut dan dia terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

    Tambahnya, lelaki itu berjaya dipujuk untuk membatalkan hasrat tersebut dan dia terus dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

    “Setelah diselamatkan, lelaki itu mendakwa dia berada dalam keadaan halusinasi dan tertekan kerana dikejar seseorang menyebabkannya melarikan diri dengan menaiki tangga ke bumbung,” katanya.

    Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri.

    Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba 1, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya turut menggunakan tali keselamatan dalam usaha memujuk mangsa bagi membatalkan hasrat membunuh diri itu.

    “Lelaki itu berjaya diturunkan kira-kira pukul 6.35 petang dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 6.52 petang,” katanya.

  • Bangunan dalam pembinaan terbakar selepas dua tong gas meletup

    Bangunan dalam pembinaan terbakar selepas dua tong gas meletup

    DUA tong gas dieprcayai meletup sehingga mengakibatkan sebuah bangunan dalam pembinaan terbakar di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 2.17 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dibantu BBP Jalan Hang Tuah bergegas ke lokasi kejadian.

    Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memberitahu, hampir 30 minit masa diambil bagi memadamkan kebakaran di bangunan terbabit melibatkan kemusnahan sehingga 70 peratus.

    “Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.30 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.59 petang.

    “Kebakaran tersebut turut melibatkan dua buah tong gas jenis acetylene dan keluasan kebakaran adalah 600 kaki persegi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

    Jelasnya, kejadian tidak melibatkan mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

  • Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah

    Lelaki pakai baju tidur wanita pecah masuk rumah

    PERCUBAAN seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Ria Height Fasa 1B, Jalan Utara Baru, Tawau, hari ini, dengan memakai pakaian wanita gagal apabila berjaya dicekup orang awam.

    Kejadian pada pukul 8 pagi, suspek, 35, yang memakai baju tidur wanita, bertudung dan memakai pelitup muka cuba melarikan diri ketika keluar dari rumah yang dipecah masuknya.

    Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, pengadu seorang remaja perempuan berusia 18 tahun memaklumkan ketika tiba di rumahnya, dia mendapati sepasang selipar diletakkan di hadapan pintu rumahnya.

    “Remaja itu hairan dan mula mengesyaki rumahnya telah dipecah masuk. Dia juga mendapati jeriji dan pintu utama rumahnya ditutup tidak rapat.

    “Dia bertindak masuk semula ke dalam kenderaan dan tiba-tiba ternampak seorang lelaki berpakaian baju tidur wanita, memakai tudung dan pelitup muka keluar dari pintu hadapan rumah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Menurutnya, remaja itu kemudian menghubungi sepupunya yang tinggal di taman yang sama.

    “Dia melihat suspek terus berlari dan masuk ke dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di lorong hadapan rumah dan terus memecut secara mengundur.

    “Selepas kira-kira 30 minit kemudian, dia dimaklumkan oleh sepupunya bahawa suspek berjaya ditangkap di kawasan lorong utama taman berkenaan oleh orang awam,” katanya.

    Peter berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang hiasan wanita di dalam rumah berkenaan hilang disyaki dicuri suspek.

    “Jumlah kerugian kira-kira RM150 dan suspek sudah diserahkan kepada polis.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Hanya jemaah lengkap vaksin, dos penggalak dibenar solat Jumaat di Selangor

    Hanya jemaah lengkap vaksin, dos penggalak dibenar solat Jumaat di Selangor

    HANYA jemaah lengkap dua dos vaksin dan dos penggalak dibenarkan hadir menunai solat Jumaat di masjid seluruh Selangor bermula 25 Februari ini.

    Itu antara ketetapan terkini diedarkan secara dalaman oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada pengurusan masjid, surau dan musolla negeri itu.

    Ketetapan surat edaran bertarikh 21 Februari itu menyatakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, berkenan mengekalkan ketetapan solat Jumaat, solat lima waktu dan program pengimarahan yang dikeluarkan JAIS bertarikh 20 Januari lalu.

    Bagaimanapun, susulan perkembangan terkini penularan Covid-19 dan kebimbangan baginda akan berlaku situasi lebih buruk dan menjejaskan aktiviti di masjid, surau dan musolla semasa dan selepas mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, baginda berkenan agar pentadbir masjid, surau dan musolla di seluruh Selangor mempertingkatkan penguatkuasaan.

    Menurutnya, antara perkara yang ditekankan dalam edaran itu adalah hanya jemaah yang menerima vaksin lengkap dua dos dan vaksin penggalak dibenarkan hadir bagi menunaikan solat Jumaat.

    “Pentadbir hendaklah mengesahkan status vaksinasi jemaah melalui data dari aplikasi MySejahtera.

    “Pihak masjid juga perlu memastikan penandaan kedudukan jemaah dilakukan dengan jelas di ruang dewan solat utama dan ruang limpah masjid, surau dan musolla berdasarkan penjarakan fizikal 1.0 meter.

    “Selain itu, jemaah perlu membawa dan menggunakan sejadah bersaiz standard dan kekal memakai pelitup muka, sepanjang berada di ruang solat,” kata edaran itu lagi.

    Pada masa sama, pihak pentadbir juga perlu memastikan vantilasi ruang solat berhawa dingin dengan membuka sebahagian pintu dewan solat utama masjid, surau dan musolla bagi memastikan tidak berlaku kitaran peredaran udara tepu yang memungkinkan penularan lebih mudah berlaku.

    “Mereka juga perlu memastikan sanitasi dibuat secara berjadual, khususnya sebelum dan selepas solat atau majlis membabitkan penyertaan jemaah yang ramai,” tambahnya.

    Sehingga Ahad lalu, daripada 28,734 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), sejumlah 7,166 kes atau 24.9 peratus membabitkan penularan di Selangor. 

  • ”SOP PRN masih ketat, pertimbangkan semula” – Muhyiddin

    ”SOP PRN masih ketat, pertimbangkan semula” – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih ketat dan mahu ia dilonggarkan lagi.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, SOP yang menetapkan ceramah hanya boleh diadakan di satu tempat iaitu bilik gerakan sebagai tidak praktikal.

    ‘’Tak kan seluruh Johor hendak datang ke satu-satu tempat. Kalau satu awasan yang ada lebih 30,000 pengundi macam macam hendak hubungi pengundi? Kena beri kelonggaran..calon harus dibearkan pergi ke mana-mana untuk memperkenalkan diri.

    ‘’Langkah yang diperkenalkan ada sedikit kelonggaran tetapi tidak memadai kerana tempoh kempen tak panjang kebanyakan calon orang tak kenal, jadi pertimbangkan semula (SOP),’’ katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Felda Taib Andak, di Kulai.

    Mengenai calon PN, beliau berkata, ia akan diumumkan esok di Johor Bharu dan menggabungkan pelbagai latar belakang dari segi usia dan bidang.

    ‘’Memang ada calon muda, saya umumkan nanti, pasti ada calon muda, wanita, calon berpengalaman… komunikasi pengalaman dan muda yang boleh menggambarkan kesediaan PN membentuk kerajaan negeri…kita akan umumkan.

    (Rundingan) dalam kalangan PN dah selesai,’’ katanya.