Category: Semasa

  • Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    Dua beradik melecur dalam kebakaran rumah di Pengerang

    DUA beradik melecur pada bahagian tangan dan badan ketika cuba menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di Taman Bayu Damai, Pengerang di Kota Tinggi, terbakar semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lim Bee Sing, 59, dan Lim Bee Hea, 70, diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Sungai Rengit di Kota Tinggi untuk rawatan lanjut.

    “Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kebakaran dua rumah jenis struktur kekal yang masing-masing musnah 90 peratus dan 30 peratus serta terdapat dua mangsa termasuk seorang warga emas berada di sebuah rumah.

    Dua buah rumah musnah dalam kebakaran dan mengakibatkan dua lelaki melecur di Taman Bayu Damai, Pengerang, Kota Tinggi, semalam. Foto bomba Johor

    “PKO kemudian bertindak membuat pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu aliran 100 kaki dua pancutan sumber pili bomba berhampiran sehingga api padam sepenuhnya,“ katanya menerusi satu kenyataan malam tadi.

    Terdahulu, Ezam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.06 tengah hari sebelum 32 anggota dan jentera digegaskan ke tempat kejadian.

    “Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian dua rumah yang bersebelahan itu masih dalam siasatan, operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira 1.54 tengah hari,“ katanya sambil menambah, kebakaran di sebuah lagi rumah tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

  • Polis rampas dadah, ketum RM286 juta

    Polis rampas dadah, ketum RM286 juta

    POLIS merampas pelbagai jenis dadah dan ketum bernilai RM286 juta bagi tempoh enam bulan setakat Jun tahun ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din,

    “Rampasan dibuat membabitkan 10,016 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 1,604 liter pelbagai jenis cecair dadah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, JSJN juga telah berjaya merampas sebanyak 41,431 kg daun ketum, 27,213 liter air ketum serta 20 batang pokok ganja.

    “Sepanjang tempoh itu juga, JSJN telah menangkap seramai 92,257 orang di bawah pelbagai seksyen kesalahan yang termaktub di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983.

    “Daripada jumlah tersebut seramai 298 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Kamarudin berkata, polis berjaya menumpaskan 185 sindiket dengan 572 orang diberkas selain membongkar lapan buah makmal dadah dengan enam tangkapan ke atas ahli kimia.

    “Bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM55.9 juta telah disita manakala sebanyak RM5.3 juta nilai harta telah dilucut hak,” ujar beliau.

    Selain itu katanya, seramai 4,024 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

    Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 2,318 individu telah disabitkan kesalahan bawah seksyen yang sama.

    Tegas beliau, JSJN tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai 287 orang penjawat awam telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah.

    Jelasnya, empat daripadanya ditahan bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985.

    Katanya lagi, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 38,064 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 35,058 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 92.10 peratus.

    Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222.

  • PRU15 bukti kebangkitan anak muda tegak Islam, kata Hadi Awang

    PRU15 bukti kebangkitan anak muda tegak Islam, kata Hadi Awang

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukti kebangkitan semangat anak muda yang mahu menegakkan Islam tanpa terpengaruh dengan ‘gelombang’ membinasakan, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, semangat tersebut lebih kuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang apabila golongan berkenaan sama sekali tidak tertarik kepada pemimpin terjun padang untuk menari dan menyanyi bagi ‘menggoda’ mereka.

    “Perkara itu mengatasi orang tua sibuk dengan urusan hidup tanpa memahami bahaya kelekaannya, sehingga ditenggelamkan oleh gelombang yang membinasakan.

    “Barangkali yang mabuk dadah dan syabu sahaja boleh bernafsu tanpa mengira tua dan muda,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini.

    Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada perilaku umat akhir zaman kini seperti kaum Nuh AS, sehingga ditenggelamkan oleh taufan dahsyat atau kaum Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang disesatkan selama 40 tahun.

    Bagaimanapun Hadi menjelaskan, seteruk mana pun umat akhir zaman, Allah SWT tidak akan menurunkan dugaan seberat itu, namun cukup sekadar menjadi kalangan pengundi saluran satu yang tidak berubah, sehingga negara ditenggelamkan atau dia ditimbus ke dalam kubur.

    Sehubungan itu, Abdul Hadi memberitahu, ibu bapa dan pendidik memainkan peranan penting dalam perubahan anak muda secara menyeluruh dan sempurna.

    “Mereka (ibu bapa dan pendidik) amat diperlukan untuk membentuk anak yang bertenaga menongkah cabaran bagi melakar kemenangan yang bertenaga.

    “Begitu juga, menjadi pelapis yang tidak mematikan perjuangan kebaikan dan kebahagiaan yang berwawasan dunia serta akhirat,” ujarnya.

    Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa Islam tetap dipelihara Allah SWT seperti dahulu oleh generasi muda atau kaum lain yang menganut atau menukar bangsanya.

    Menurut Abdul Hadi, slogan yang sering disebut sebagai kata-kata Hang Tuah iaitu tidak akan Melayu hilang di dunia merupakan ciptaan penjajah yang dijaja sewaktu di zaman persekolahannya.

    Bagaimanapun, beliau menerangkan hal tersebut tidak boleh melawan amaran Allah SWT menerusi surah al- A’raf ayat ke-34.

    “Dan tiap-tiap umat mempunyai ajal (batas waktu), maka apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).

    “Keadaannya itu terpulang kepada sikap suatu kaum atau bangsa untuk menyelamatkannya dengan melakukan perubahan, sama ada perubahan yang baik atau buruk,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Tragedi kepala air Jeram Putih: Mayat ketujuh dijumpai pagi tadi

    Tragedi kepala air Jeram Putih: Mayat ketujuh dijumpai pagi tadi

    MAYAT seorang lagi mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih di Kemaman, ditemui kira-kira 7.45 pagi tadi.

    Ini menjadikan kesemuanya tujuh mayat telah ditemui setakat ini dan tiga masih hilang, lapor Astro AWANI.

    Mayat dipercayai remaja perempuan itu difahamkan dijumpai di belakang Masjid Dadong.

    Bagaimanapun, identiti mangsa belum disahkan berikutan pengecaman mayat belum dibuat oleh waris dan masih menunggu pengesahan pihak berkuasa.

    Setakat petang semalam, enam mayat telah ditemui dan disahkan waris serta keluarga mangsa.

    Empat mayat ditemukan semalam ialah Karim Abdullah, 39 tahun, Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun, dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10 tahun.

    Kelmarin, media melaporkan 10 mangsa termasuk sembilan sekeluarga dihanyutkan arus deras kepala air sewaktu berkelah di Jeram Air Putih pada Sabtu.

    Dua mayat pertama ditemukan pada Ahad iaitu, Azizah Eiyi, 40 tahun, dan anaknya, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun.

    Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 5 petang atas faktor cuaca berikutan kelihatan tanda-tanda akan berlakunya hujan lebat.

    Memasuki hari ketiga, operasi diteruskan pukul 9 pagi ini dengan pencarian masih tertumpu di pecahan tiga sektor A, B dan C di sepanjang Sungai Air Putih, Sungai Teladas dan Sungai Pinang sejauh 35 kilometer dengan kekuatan 168 anggota daripada pelbagai agensi penyelamat.

    Pasukan SAR juga turut menerima penambahan dua ekor lagi anjing pengesan K9 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

  • DAP kerap ugut Mahathir ketika jadi PM – Razali Idris

    DAP kerap ugut Mahathir ketika jadi PM – Razali Idris

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa DAP bukan saja tidak menghormati Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, bahkan mengugutnya sehingga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris mendedahkan DAP kerap mengancam pentadbiran Mahathir ketika itu dengan pelbagai ugutan, termasuk memaksanya membina lebih banyak sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

    “Contoh paling nyata semasa pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai. Salah satu DUN (Dewan Undangan Negeri) ialah Pekan Nanas, masa ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu daripada DAP dan Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP ketika itu) datang jumpa Tun dan berkata sekiranya tak dirikan SJKC di Pekan Nanas, orang Cina DAP takkan sokong calon PH di Tanjung Piai.

    “Demi menarik undi dan menjaga hati rakan kongsinya, Mahathir terpaksa akur dengan desakan DAP membina SJKC di Tanjung Piai dan akhirnya PH kalah besar dalam PRK itu,” katanya yang ketika itu ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

    Razali memberitahu FMT, Bersatu yang juga sekutu PH ketika itu tidak senang dengan pelbagai ugutan DAP terhadap pentadbiran Mahathir.

    Antara yang tegas membantah ‘permintaan’ DAP ialah Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik yang tidak mahu mendirikan SJKC atau sekolah jenis kebangsaan Tamil baharu.

    Katanya, DAP juga mendesak Mahathir menyalurkan peruntukan sama rata kepada semua rumah ibadat tanpa mengira agama.

    “Peruntukan untuk surau dah ada dalam bajet setiap tahun, tetapi peruntukan untuk rumah ibadat bukan Islam ini adalah ehsan kerajaan kerana rumah ibadat bukan Islam tak banyak seperti masjid dan surau.

    “Tapi Guan Eng buat desakan juga, ugut bermacam-macam minta peruntukan mesti sama rata…jadi Tun agak susah menangani DAP ketika dia jadi PM kali kedua.

    “Sebenarnya, banyak lagi desakan atau ugutan yang DAP buat ketika itu,” katanya mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyangkal dakwaan Mahathir bahawa parti itu tidak pernah mengugut dan menarik sokongan sepanjang 22 bulan PH berkuasa.

    Ia menyusul kenyataan Mahathir mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘terpaksa mengikut manifesto DAP’ akibat pengaruh parti itu ke atas kerajaan.

    Bekas ahli MPT Bersatu, Datuk Zuraida Kamaruddin turut mendedahkan DAP secara terang-terangan mengugut Mahathir di pentas ceramah PRK Sandakan pada Mei 2019, dengan Lim Kit Siang memberi amaran akan melepaskan jawatan penasihat DAP sekiranya Mahathir tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

    “Kenyataan daripada pemimpin DAP paling berpengaruh ketika itu telah menyebabkan banyak pihak dalam PH merasa tidak selesa dan mula mempertikaikan niat sebenar DAP.

    “Oleh itu, saya ingin mengingatkan Loke dan pemimpin DAP lain tidak bersikap ‘lempar batu sembunyi tangan’ berkaitan peletakan jawatan Mahathir setelah 22 bulan memerintah negara.

    “Sikap DAP yang tidak ikhlas dalam menyokong pentadbiran Mahathir ketika itu secara langsung turut menyumbang kepada peletakan jawatan perdana menteri ketujuh ketika itu,” katanya dalam kenyataan.

  • SPRM kesan ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SPRM kesan ejen minta rasuah RM18,000 di KLIA

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang ejen yang meminta rasuah RM18,000 untuk ‘menyelesaikan’ kes seorang pelancong asing tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

    Sumber suruhanjaya itu berkata, pihaknya telah mengenal pasti orang tengah terbabit untuk membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    “Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara ini. Setakat ini tiga keterangan saksi termasuk menteri terlibat dan dua orang saksi utama warga China telah diambil.

    “Beberapa orang pegawai imigresen terlibat akan dipanggil untuk diambil keterangan hari ini,” katanya, lapor FMT.

    Jumaat lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui beliau ialah menteri dikaitkan dengan kejadian kekecohan di balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membantu seorang warga China yang ditahan daripada memasuki Malaysia.

    Beliau mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa ‘kronik’ di pintu masuk negara.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dibuat mengikut seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Beliau menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan.

  • Dakwaan rasuah KLIA: SPRM ambil keterangan Menteri MOTAC, dua warga China

    Dakwaan rasuah KLIA: SPRM ambil keterangan Menteri MOTAC, dua warga China

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan tiga saksi termasuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berhubung dakwaan rasuah melibatkan insiden seorang warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

    Selain Tiong, dua saksi utama warga China turut diambil keterangan bagi membantu siasatan, serta beberapa orang pegawai imigresen terlibat yang akan dipanggil hari ini.

    SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana yang ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia.

    Menurut sumber, pihaknya sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes berkenaan.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

    Astro Awani melaporkan, beliau menggesa semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan berkenaan.

    Terdahulu, Azam mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Tiong dan warga China terbabit semalam, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan salah laku pegawai Imigresen.

    Ia susulan dakwaan menteri itu sebelum ini bahawa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA selepas insiden kekecohan di pintu masuk utama negara itu.

  • Kementerian diterajui Rafizi tiada taring, kuasa sebenar, kata Azmin

    Kementerian diterajui Rafizi tiada taring, kuasa sebenar, kata Azmin

    KEMENTERIAN Ekonomi di bawah Rafizi Ramli tidak mempunyai kuasa dan portfolio yang besar, sekali gus menjadikannya seakan tanpa taring, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Azmin yang pernah memegang jawatan itu berkata, ketika ini kementerian tersebut hanya tertumpu pada isu-isu dasar, manakala agensi dan jabatan yang dahulunya diletakkan di bawah pengawasannya dikeluarkan.

    “Mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu memberi kuasa kepada Rafizi,” kata Azmin dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

    “Kementerian Ekonomi sudah balik kepada keadaan asal iaitu hanya bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan (DOSM), meneliti angka dan data tetapi tidak terlibat secara terus untuk melihat diversifikasi ekonomi.”

    Anwar dan Rafizi dilihat bertembung dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lalu apabila Perdana Menteri menyokong Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Rafizi berjaya menewaskan Saifuddin dan kebanyakan orang-orangnya menguasai Majlis Pimpinan Pusat PKR.

    Kementerian itu pertama kali diwujudkan dengan nama Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

    Azmin dilantik untuk mengetuainya dalam Kabinet yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Di bawah pimpinan Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor, agensi penting seperti Felda, Risda dan Felcra diletakkan di bawah pengawasan beliau.

    Beliau turut menyediakan hujah dan jawapan di Parlimen untuk entiti seperti Khazanah dan Petronas yang secara umumnya diletakkan di bawah kuasa Perdana Menteri.

    Selain itu, Halal Development Corporation (HDC) juga dipantau oleh kementeriannya, bagi membantu perkembangan industri halal yang sebelum ini banyak dikaitkan dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim).

    “Industri halal cukup besar dengan nilai trilion dolar Amerika. Ia membabitkan bahan mentah, kewangan dan bekalan sehinggalah produk akhir. Oleh kerana rantaiannya luas, kita membawa HDC untuk diletakkan di bawah kementerian.

    “Inilah kebijaksanaan Dr. Mahathir yang melihat ekonomi dalam konteks yang lebih besar.”

    Azmin turut membentangkan Kertas Putih Felda di Parlimen semasa mengetuai kementerian itu.

    Rafizi dilantik menjadi Menteri Ekonomi selepas pembentukan kerajaan campuran pada November. 

    Carian dalam laman sesawang kementerian itu menunjukkan ia mempunyai satu jabatan, iaitu DOSM dan lima koridor ekonomi.

    Tujuh syarikat berkaitan kerajaan dan kesemua syarikat perbadanan ekonomi negeri turut diletakkan di bawah kementerian berkenaan.

    Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan memperkenalkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dengan tiga cabang iaitu Intan, Ikhsan dan Ihsan.

    Di bawah Insan, beliau memperkenalkan mesin layan diri atau ‘vending machine’ untuk peniaga kecil meletakkan produk mereka.

    MalaysiaNow sebelum ini melaporkan program itu berdepan masalah teknikal tidak lama selepas diperkenalkan.

    Malah, kaedah bantuan tuaian cili turut dipertikai oleh penjual nasi lemak.

    Beliau juga mengulas beberapa isu seperti harga makanan dan kos sara hidup, meskipun kedua-dua topik itu diletakkan di bawah kementerian yang berbeza.

    Terbaru Rafizi mengumumkan kementerian itu membuka permohonan peruntukan projek-projek kecil secara terus.

    Ketika pentadbiran Pakatan Harapan 1.0 di bawah Mahathir, Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong berkata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ketika itu menjadi lebih berkuasa berbanding Kementerian Kewangan di bawah Lim Guan Eng.

    Bahkan beliau menggelar Lim sebagai “book keeper” kerana tidak memegang kuasa sebenar.

    Menurut Azmin, kementeriannya tidak berkuasa dalam konteks kedudukan, tetapi mengikut portfolio yang diserahkan kepada kementerian tersebut.

    Ia berbeza dengan bidang kuasa yang diberikan kepada kementerian di bawah pentadbiran Anwar.

    “Kementerian Ekonomi sekarang kurang taring, kepimpinan juga kurang taring. Tiada apa yang bergerak. Yang ada ialah formula, tetapi rakyat dalam keadaan krisis tidak memerlukan formula.

    “Rakyat inginkan perlaksanaan dan penyelesaian terhadap isu-isu ekonomi yang berbangkit,” katanya. 

    Sebelum 2018, hal ehwal ekonomi diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri tanpa kementerian khusus.

    Menurut Azmin, keputusan untuk mewujudkan kementerian khusus untuk memantau perihal ekonomi ialah kerana kepelbagaian ekonomi negara yang tidak hanya tertumpu soal perdagangan dan pelaburan. 

    Kementerian itu dimasukkan semula ke dalam Jabatan Perdana Menteri semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melantik Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio berkenaan.

    Azmin pula mengambil alih Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lepas.

  • Tragedi kepala air bukan berpunca akibat pembalakan – Ahmad Samsuri

    Tragedi kepala air bukan berpunca akibat pembalakan – Ahmad Samsuri

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman dipercayai bukan berpunca akibat penerokaan pembalakan baharu di kawasan itu

    Menurut Dr. Ahmad Samsuri, pembalakan yang berlaku di kawasan tersebut adalah aktiviti lama yang dijalankan sebelum ini.

    “insya-Allah, kita akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bukan hanya risiko fenomena kepala air di daerah ini malah melibatkan kawasan lain.

    “Kepala air berlaku apabila hujan lebat berlaku pada waktu singkat dengan tertumpu pada satu kawasan.

    “Kita juga akan melihat kembali keberkesanan notis ditampalkan di sekitar kawasan perkelahan kerana kebiasaan kawasan berkenaan mempunyai papan tanda,” katanya semasa sidang akhbar di Kemaman hari ini.

    Semalam, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang datang berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.

    Susulan itu, operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) lapan lagi mangsa yang masih hilang dalam kejadian kepala air di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih di Kemaman diperluaskan ke tiga zon melibatkan pencarian radius seluas 32 kilometer (KM) persegi.

    Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan menanggung kos penghantaran jenazah mangsa pulang ke kampung halaman.

    “Terima kasih Maidam. Selain itu, kita ada juga bantuan yang akan dibantu sama ada dari segi logistik dan pengangkutan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa esok

    BERMULA esok, Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) akan berkuat kuasa.

    Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

    “Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 1(2) Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), Menteri menetapkan 4 Julai 2023 sebagai tarikh Akta itu mula berkuat kuasa,” menurut warta itu.

    Pada 3 April lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

    Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.