Category: Semasa

  • Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    Gempa bumi kuat melanda Selatan Sumatera

    GEMPA bumi kuat berukuran 6.7 pada skala Richter melanda Selatan Sumatera, Indonesia pada 5.09 pagi tadi.

    Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa itu berlaku pada kedudukan 89 kilometer (km) barat laut dari Siberut, Indonesia dengan kedalaman 10 km.

    “Gegaran dirasai di bahagian barat Semenanjung terutama Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu.

    Bagaimanapun, berdasarkan penilaian awal, gempa berkenaan tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

    Sementara itu menerusi ciapan di Twitter, MetMalaysia memaklumkan gempa bumi sederhana berukuran 5.7 pada skala Richter turut melanda Selatan Sumatera pada 5.38 pagi, 79 km dari Siberut, Indonesia.

    Gempa bumi itu juga tidak membawa ancaman tsunami kepada negara.- Bernama

  • Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    Kes tipu dalam talian akibatkan kerugian lebih RM1.6 bilion

    SEBANYAK 51,631 kes membabitkan jenayah dalam talian direkodkan bagi tempoh 2019 sehingga 2021 dengan kerugian bernilai lebih RM1.6 bilion.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, pembelian dalam talian merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 18,857 kes, diikuti pinjaman tidak wujud dengan 15,546 kes.

    “Pelbagai usaha dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memerangi sindiket penipuan termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang.

    “Pihak berkuasa turut meningkatkan pengoperasian dan tangkapan seterus menjalankan pendakwaan terhadap mereka yang terbabit dalam penipuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperincikan statistik kes penipuan pembelian dalam talian bagi tempoh 2019 hingga 2021.

  • Kekalkan Muhyiddin teraju PN untuk PRU-15

    Kekalkan Muhyiddin teraju PN untuk PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEKALAHAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan satu pengakhiran kepada gabungan tersebut.

    Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri berkata, sebaliknya akan terus membakar semangat dan iltizam gabungan itu untuk meneruskan perjuangan agenda pembaharuan landskap politik, tadbir urus negara berteraskan integriti serta mensejahterakan rakyat.

    “Kepemimpinan PN tidak akan terus membiarkan mana-mana pemimpin yang terpalit dengan jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa daripada terus memimpin sebuah parti Melayu serta menerajui kerajaan di negara ini.

    “Kami khuatir, ahli-ahli parti itu pun akan sama-sama mengamalkan rasuah dan menerima gejala tersebut sebagai satu budaya kerana menteladani perlakuan pemimpi mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PN menang tiga kerusi yang mana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyumbang dua, manakala Pas pula meraih satu kerusi.

    Sementara Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti PN tiga, Parti Keadilan Rakya (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

    Ketiga-tiga kerusi PN itu dimenangi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal di DUN Bukit Kepong (majoriti 710 undi); Alwiyah Talib di DUN Endau (majoriti 3,041 undi) dan Abdul Aziz Talib di DUN Maharani (majoriti 1,037 undi).

    Mohd Solihan pula bertanding di kerusi DUN Gambir tewas dalam pertembungan empat penjuru menentang Sahrihan Jani (Barisan Nasional), Na’im Jusri (Pakatan Harapan) dan Suraya Sulaiman (Parti Pejuang Tanah Air).

    Mengulas lanjut, beliau berkata, PN Johor mahu Muhyiddin perlu dipertahankan sebagai Pengerusi PN dan Pengerusi PN Johor sekali gus kekal menerajui kepemimpinan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Katanya, ini kerana cabaran lebih besar menanti pada PRU15 yang boleh diadakan dalam lingkungan tempoh sehingga pertengahan 2023.

    “Penerangan PN Johor mahu menegaskan, kepemimpinan Muhyiddin juga masih diperlukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui kepemimpinan PN sebagai gagasan yang memperjuangkan sebuah kerajaan berintegriti, cekap mentadbir urus dan prihatin rakyat bersama parti komponen iaitu Pas serta Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

    “Kami tahu, ada pihak menggunakan sentimen kekalahan calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelmarin untuk mengadu domba bahawa punca utamanya konon disebabkan kesilapan pendekatan mahupun strategi Muhyiddin.

    “Namun kami tahu beliau, barisan kepemimpinan PN serta jentera pilihan raya parti telah melakukan yang terbaik untuk memenangi pilihan raya berkenaan tetapi banyak faktor lain menyumbang kepada kekalahan tersebut,” katanya.

    Selepas keputusan PRN Johor dikeluarkan pada malam Sabtu, Muhyiddin Yassin menyatakan kesediannya melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN susulan kekalahan teruk PN pada PRN tersebut.

    Muhyiddin berkata, kekalahan PN pada PRN Johor adalah tanggungjawabnya namun keputusan mahu melepaskan jawatan itu memerlukan persetujuan daripada rakan-rakan dalam gabungan PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

  • Raih undi kedua popular atasi PH, PN mampu jadi pencabar utama BN

    Raih undi kedua popular atasi PH, PN mampu jadi pencabar utama BN

    WALAUPUN memenangi hanya 3 daripada 56 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan bahawa mereka mampu menjadi pencabar utama kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Ke-15 (PRU-15).

    Berdasarkan statistik  perolehan undi popular parti-parti yang bertanding dalam PRN itu seperti mana disiarkan oleh BERNAMA, PN berada di tempat kedua dengan memperolehi undi sebagai 334,457 undi atau 24.04 peratus di belakang  Barisan Nasional (BN) yang meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus.

    Lebih menarik kedudukan PN itu mengatasi Pakatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 284,969 (20.48 peratus) undi. PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala parti MUDA buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46 peratus undi.

    Undi popular merujuk kepada jumlah undi diraih oleh setiap parti atau gabungannya.

    Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, Warisan (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.

    Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.

    Dalam PRN itu BN menguasai majoriti dua pertiga apabila mendapat 40 kerusi dengan UMNO memenangi 33 kerusi DUN, manakala MCA empat, dan MIC tiga. Ia diikuti dengan PH (11), PN (tiga), MUDA (satu) dan PKR (satu).

    Pencapaian BN itu bukanlah sesuatu mengejutkan kerana selain berlaku perpecahan dalam kalangan parti pembangkang melibatkan parti-parti pembangkang, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 54.92 peratus atau 1,426,573 daripada 2,599,797 pengundi berdaftar juga turut membantu kemenangan BN.

    Selain berjaya memenangi 3 kerusi, PN dilaporkan terus mencatat momentum kenaikan sokongan selepas PRN Melaka apabila memberi saingan sengit di 26 DUN di Johor.

    Situasi memungkinkan PN kini dilihat mampu memberi saingan kepada BN khususnya di kawasan majoriti Melayu.

  • TDM bina jambatan sementara ke SJSM

    TDM bina jambatan sementara ke SJSM

    TENTERA Darat Malaysia (TDM) menerusi Projek Jiwa Murni telah membina jambatan sementara berhampiran Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) di Kampung Jenagor dekat Hulu Terengganu bagi menggantikan jambatan asal yang runtuh akibat banjir bulan lepas.

    Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata jambatan ‘Compact Bailey 200’ sepanjang 30 meter itu sangat penting sebagai laluan keluar masuk pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke SJSM yang kini terpaksa menggunakan bot sebagai alternatif.

    “Jambatan ini telah mula dipasang semalam dan dijangka siap sepenuhnya esok (14 Mac). 

    “Tanggungjawab pemasangan jambatan ini diberikan kepada Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (MK RAJD) 2 Div yang melibatkan lima pegawai dan 64 anggota dari 7 SKN RAJD Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dengan dibantu oleh 1 SKN RAJD dan 91 Rejimen Bantuan RAJD,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya TDM sentiasa komited dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat, menepati tonggak kelima perintah ulung Panglima Tentera Darat iaitu meningkatkan hubungan dengan orang awam.

    “Terima kasih kepada kerajaan negeri, semua agensi kerajaan dan TNB yang terlibat secara langsung dalam membantu pemasangan jambatan ini,” katanya. – Bernama

  • Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Tewas dalam PRN Johor, Warisan susun strategi untuk PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PARTI Warisan (Warisan) yang tewas di semua enam kerusi ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan berputus asas sebaliknya menyusun strategi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, parti tersebut perlu melihat ke hadapan dan melakukan persediaan untuk PRU-15.

    “Keputusan PRN Johor tidak seperti apa yang kita harapkan dan masa juga tidak menyebelahi kita, namun ini bukan masanya untuk kita berputus asa.

    “Kini adalah masa untuk kita menyusun semula strategi dan mengorak langkah maju ke depan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

    “Perjuangan kita ke arah Malaysia yang lebih baik mesti diteruskan. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada PRN Johor, Warisan tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Pekan Nanas, Bekok, Johor Jaya, Mahkota dan Bukit Batu.

    Sementara itu, Mohd. Shafie mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas kemenangan mereka dalam PRN Johor.

    Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerja keras dan usaha berterusan ditunjukkan jentera parti itu serta rakyat Johor kerana sudi menerima kedatangan mereka.

    “Paling penting, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang berkempen tanpa mengenal penat lelah dan tanpa jemu untuk Parti Warisan,” ujar Ahli Parlimen Semporna itu.

  • Polis tahan lelaki pukul anak tiri selepas video tular 

    Polis tahan lelaki pukul anak tiri selepas video tular 

    POLIS menahan seorang lelaki selepas video menunjukkan dia mendera seorang kanak-kanak secara fizikal, sementara seorang wanita cuba melindungi kanak-kanak itu tersebar luas dalam media sosial.

    Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki itu adalah bapa tiri kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terbabit.

    “Mangsa ditampar dan tangannya dipegang suspek yang merupakan bapa tiri mangsa.

    “Ibu mangsa baru sebulan berkahwin dengan suspek. Suspek telah ditahan dan direman,” katanya, memetik laporan Malaysiakini.

    Tambahnya, suspek disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Video berdurasi 2 minit 50 saat itu memaparkan suspek memegang kedua-dua tangan mangsa yang sedang menangis dan menamparnya.

    Video itu kelihatan dirakam tanpa pengetahuan lelaki itu menerusi satu sudut dari sisi sofa di tempat kejadian.

    Lelaki itu kelihatan memarahi kanak-kanak sebelum dia secara tiba-tiba menamparnya sehingga rebah.

    Seorang wanita kemudian segera meluru untuk membantu kanak-kanak itu tetapi dia ditolak oleh lelaki itu.

    Dia kemudian merayu lelaki itu supaya berhenti memukul kanak-kanak itu.

    Suspek turut dilihat memulas lengan kanak-kanak dan wanita itu sekali lagi mendekati dan menarik mangsa bagi menjauhkannya dari suspek.

    Dia kemudian berlari ke sebuah bilik dengan membawa kanak-kanak itu sambil diekori suspek.

    Kelibat mereka hilang daripada rakaman tetapi suara wanita itu boleh didengar menjerit ketika budak lelaki itu menangis, disusuli dengan bunyi dentuman.

    Lelaki itu didengari menjerit perkataan sama secara berulang kali kepada kepada wanita berkenaan, namun pergerakan mereka tidak terakam.

    Lelaki itu kemudian dilihat menolak wanita dan kanak-kanak itu ke sofa sebelum dia cuba memukul kanak-kanak itu yang berada dalam dakapan wanita itu.

    Wanita kemudian menjerit ke arahnya dan cuba melindungi kanak-kanak itu.

    Setakat ini, maklumat lokasi kejadian itu tidak didedahkan.

  • Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan Kabinet – PM

    KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam, diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun beliau optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. 

    “Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara…kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti. 

    “Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di sini hari ini. 

    Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman. 

    PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan MUDA. 

    Beliau juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

    Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia. 

    “Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan. 

    “Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,” katanya. 

    Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama Pakatan Harapan bagi meredakan suhu politik selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan ‘masa depan’ MoU itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

    Sama ada MoU itu akan disambung atau tidak, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau ‘tidak mahu membuat spekulasi awal kerana belum masanya’. 

    Mengulas mengenai Perhimpuan Agung UMNO yang dijadual bermula Rabu ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO melihat hala tuju parti, menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan, termasuk tidak menolak kemungkinan isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS. 

    “Saya juga menunggu ucapan presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan juga ucapan pembahas-pembahas. Hala tuju sekarang mungkin berbeza daripada sebelum ini susulan pelbagai perkembangan semasa, termasuk PRN. 

    “Jadi saya tunggu ucapan dan intipati ucapan yang akan dibahaskan setiap negeri serta resolusi yang akan dicapai… ini yang akan jadi hala tuju UMNO selepas ini,” katanya. 

    — BERNAMA 

  • Mayat wanita rentung disahkan mangsa bunuh

    Mayat wanita rentung disahkan mangsa bunuh

    MAYAT yang ditemui rentung dalam kebakaran bengkel di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur semalam, disahkan sebagai mangsa bunuh.

    Mayat wanita itu ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, yang memadamkan kebakaran bengkel pertanian kemahiran hidup itu selepas menerima laporan kejadian pada jam 6.04 petang.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata polis menerima maklumat berkaitan kejadian pada pukul 6.18 petang.

    “Sepasukan anggota dari Balai Polis Salak Selatan ke tempat kejadian dan kebakaran sudah dipadamkan bomba.

    “Pihak bomba turut menemui mayat dalam keadaan rentung seluruh badan yang kemudian dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, pasukan forensik polis turut menjalankan siasatan di lokasi dan dan hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 25 tahun dan bekerja sebagai penyelia di kedai buku sekolah terbabit.

    “Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa bukti yang sahih.

    Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau balai polis berdekatan.

  • Kerajaan tak kan terburu-buru buat PRU-15 – Ismail Sabri

    Kerajaan tak kan terburu-buru buat PRU-15 – Ismail Sabri

    DI sebalik desakan untuk segera mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru melakukannya.

    Sebaliknya, kata Perdana Menteri, PRU15 hanya akan diadakan setelah Barisan Nasional (BN) bersedia sepenuhnya.

    Menurut Ismail Sabri, apa yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan ialah melakukan penelitian yang mendalam selain mengambil kira semua pendapat sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.

     “Setiap keputusan kita akan bincang, kita akan bincang dalam parti… dia (keputusan) tak boleh di (buat) di dalam ada satu kumpulan kecil, nak pilihan raya maka kita buat pilihan raya.

    “Semua keputusan mesti dibincangkan secara serius di dalam parti… ini (pilihan raya) merupakan satu perkara yang besar. Jadi, parti akan bincang dan akan membuat keputusan, selepas itu mungkin beberapa perkara lain juga perlu dilihat… ada prosedur,” kata Ismail Sabri.

    Perdana Menteri berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia di Bera, hari ini, lapor Astro Awani.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan beberapa pihak agar PRU15 segera diadakan susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, keputusan PRN Johor perlu diterima semua masyarakat dan kerajaan yang telah dipilih perlu disokong demi keluarga besar Malaysia bersama-sama bangunkan negara.

    “Saya harap selepas kemenangan ini tidak ada perpecahan sesama masyarakat rakyat di Johor… seperti saya kata kita perlukan kerajaan yang stabil untuk membangunkan negeri Johor. Semua pihak menang atau kalah terutama perlulah menyokong kerajaan negeri Johor ini untuk membangunkan negeri itu sendiri,” ujar beliau lagi.

    Pada PRN Johor yang berlangsung pada Sabtu, BN berjaya membentuk kerajaan negeri apabila meraih kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga.

    Gabungan berkenaan memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN Johor ke-15.

    Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga menyaksikan PH dan Muda memenangi 13 kerusi sementara Perikatan Nasional menang di tiga kerusi.