Category: Semasa

  • Lelaki rugi RM300,000 beli gelaran Datuk Seri palsu

    Lelaki rugi RM300,000 beli gelaran Datuk Seri palsu

    SEORANG lelaki kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya seorang ‘Datuk Seri’ palsu yang mendakwa boleh mendapatkan gelaran itu melalui Istana.

    Mangsa, 33, yang bekerja sebagai seorang pengedar kit perubatan farmasi membuat laporan polis selepas sedari ditipu pada 8 Mac lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa mendakwa ditawarkan Darjah Kebesaran membawa gelaran Datuk Seri oleh suspek pada 1 Mac lalu.

    “Namun diberikan syarat perlu mendermakan wang sebanyak RM300,000 kepada pihak Istana.

    “Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat bayaran tunai sebanyak RM200,000 serta pindahan wang sebanyak RM94,850 ke dalam akaun suspek sejak 14 hingga 31 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Mahidisham berkata, selepas bayaran dibuat, mangsa diberikan dokumen Watikah Penganugerahan Darjah Kebesaran termasuk dua kad Ahli Setia Diraja dan dua unit logo atau emblem kereta Darjah Kebesaran milik sebuah negeri.

    “Bagaimanapun, rakan mangsa yang juga seorang Datuk Seri memaklumkan pelantikan itu meragukan menyebabkan mangsa membuat laporan polis,” katanya.

    Susulan laporan itu, pihaknya menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 29 hingga 39 tahun pada 10 Mac lalu hingga kelmarin selain merampas dokumen Pengurniaan Darjah Kebesaran.

    Katanya, seorang daripada suspek berusia 38 tahun mengaku bergelar ‘Datuk Seri’, namun semakan dilakukan dengan Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis Rasmi mendapati nama suspek tiada dalam senarai rekod.

    “Hasil siasatan dilakukan juga mendapati suspek pernah melakukan perbuatan sama berkait dengan satu kes pada Disember tahun lalu,” katanya.

    Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan serta Seksyen 15(1)(b) Akta Kesalahan Yang Berhubung dengan Anugerah 2017 kerana meminta, menerima memberi dan sebagainya, suapan bagi anugerah.

    “Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan tawaran Darjah Kebesaran, orang ramai boleh membuat semakan penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat secara dalam talian melalui istiadat.gov.my,” katanya.

  • Peniaga sertai ekspedisi  Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    Peniaga sertai ekspedisi Gunung Tahan meninggal dunia ketika turun

    SEORANG peniaga yang menyertai ekspedisi mendaki Gunung Tahan disahkan meninggal dunia hari ini, selepas didakwa tidak sihat dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.  

    Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata Raja Azlan Shah Raja Abdul Aziz, 51, dari Petaling Jaya, Selangor difahamkan meninggal dunia pada 12.30 tengah hari, kira-kira 13 kilometer dari pintu masuk Kuala Juram yang merupakan lokasi permulaan pendakian.

    Mangsa difahamkan menyertai pendakian itu bersama 11 rakan lelaki semuanya dari Selangor pada Sabtu lepas (12 Mac) dengan dipandu arah oleh dua malim gunung dan ekspedisi tersebut sepatutnya tamat hari ini. 

    “Keterangan awal malim gunung mendakwa mangsa mulai lemah selepas mengalami cirit-birit selama dua hari menyebabkan dia tidak mampu untuk makan semasa mereka dalam perjalanan turun. 

    “Keadaan itu menyebabkan mereka menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lipis sekitar pagi tadi bagi meminta bantuan selepas mangsa kehabisan tenaga untuk meneruskan perjalanan,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan hari ini. 

    Azli berkata pihaknya segera membuat permohonan bagi mendapatkan helikopter polis untuk membawa mangsa turun, namun difahamkan mangsa telah meninggal dunia. 

    Helikopter yang membawa jenazah mangsa mendarat di padang awam Kuala Lipis dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi bedah siasat. 

    — BERNAMA 

  • ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    ‘Datuk Seri’ didakwa tipu pelaburan cecah RM2.2 juta

    SEORANG ahli perniagaan yang menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas 12 pertuduhan menipu 12 individu berhubung pelaburan Planetrade yang tidak wujud mencecah RM2.2 juta, tahun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Kyairul Syahirin Ahmad, 46, mengakut tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

    Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa menipu 10 wanita dan dua lelaki, dengan mempercayai bahawa dia akan menjalankan pelaburan melalui Bursa Saham Malaysia.

    Ia mendorong mangsa-mangsa memindahkan sejumlah RM2.2 juta ke akaun bank syarikat milik tertuduh antaranya Planemax Essentials Sdn Bhd, Planetrade Holdings Sdn Bhd, Planeworld Flexi Sdn Bhd, Planetrade Premier Sdn Bhd yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Intisari, Desa Park City antara 2 Februari hingga 28 November 2021.

    Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga 10 tahun, sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan wanita, Rozana Mohamed, 54, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan bersubahat dengan Kyairul Syahirin untuk menipu 12 individu sama, berhubung pelaburan dan nilai sama di lokasi serta tarikh serupa.

    Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 420 kanun sama dengan peruntukan hukuman sama.

    Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi dan Nur Aqilah Ishak.

    Kyairul Syahirin diwakili peguam, Ashok Athimulan manakala Rozana diwakili Arik Zakri Abdul Karim.

    Bagi kesemua pertuduhan, mahkamah membenarkan Kyairul Syahirin diikat jamin sebanyak RM120,000 manakala Rozana RM90,000 dengan seorang penjamin.

    Mereka juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi.

    Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April dan 3 Mei depan.

    Pada dua minggu lalu, media melaporkan sindiket penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta, didalangi lelaki yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu, berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang.

  • Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    Selangor tidak berhasrat bubar DUN jika PRU-15 diadakan – MB

    KERAJAAN Selangor tidak berhasrat untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan dalam masa terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    “Hasil perbincangan saya dengan beberapa rakan Menteri Besar Pakatan Harapan (PH), kami sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini diselesaikan sehingga penggal berakhir iaitu antara April dan Mei tahun hadapan.

    “Bagaimanapun perkara itu masih bergantung kepada perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini. 

    Amirudin yang juga Pengerusi PH Selangor berkata ini kerana selepas dua tahun negeri itu menempuh jangkitan wabak COVID-19, banyak perancangan dan projek kerajaan negeri terpaksa mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

    Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dimenangi PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Semalam Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang turut mengeluarkan kenyataan bahawa DUN ketiga-tiga negeri di bawah pimpinan parti itu tidak akan dibubar sehingga tamat tempohnya.

    — BERNAMA

  • Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    Mekanik mengaku tidak bersalah memandu melulu sebabkan kematian empat sekeluarga

    SEORANG mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga di Lebuhraya Sultan Iskandar, bulan lepas.

    Aliff Asyraf Abu, 27, yang memakai pendakap leher dan bertongkat mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

    Aliff Asyraf didakwa memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dengan melulu atau kelajuan yang berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian kepada pemandu C.Tinisha, 31; dan tiga penumpang iaitu P. Milan Damani, 32; Ishaan Ivaan Damani, 4; dan Rihaan Ivaan Damani, 3; pada 11.20 pagi, 27 Feb lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan selepas kejadian anak guamnya tidak bekerja kerana kudratnya tidak kuat seperti sebelum ini selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan walaupun terlantar di hospital.

    “Ini kesalahan pertama tertuduh dan dia bukan penjenayah tegar yang perlu dikenakan jaminan tinggi,” katanya dan menambah bahawa tertuduh bukan di bawah pengaruh alkohol ketika memandu.

    Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 28 April untuk sebutan kes.

    Pada 27 Feb  lepas, media melaporkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu dari arah Mahameru menghala Jalan Tun Razak, terbabas di selekoh sebelum melanggar pokok yang berada di pembahagi jalan.

    Kenderaan tersebut masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta jenis pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex, yang dinaiki empat sekeluarga dan akibat rempuhan itu pasangan terbabit dan dua anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian.

    — BERNAMA

  • Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    Ketua Balai Bomba Peramu Pekan dipenjara, didenda

    MAHKAMAH Sesyen Kuantan hari ini menjatuhkan hukuman penjara 180 bulan dan denda RM194,062.10 terhadap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu di Pekan selepas didapati bersalah atas 10 pertuduhan memberi kontrak pembekalan makanan bernilai RM36,279.69 kepada syarikat milik isterinya.

    Sinar Harian melaporkan, Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan tersebut.

    Bagaimanapun, semua hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak dan ini bermakna tertuduh, Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 57, akan menjalani hukuman penjara selama 18 bulan bermula tarikh sabitan.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima tahun, jika gagal Sheikh Hassan membayar denda.

    Bapa kepada tiga anak itu didapati bersalah menggunakan kedudukannya mencadangkan syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise, milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan untuk pelbagai program serta operasi melibatkan anggota bomba di balai tempat dia berkhidmat.

    Kesalahan itu dilakukan olehnya antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap satu kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.

    Antara kontrak itu penyediaan makanan untuk anggota bomba yang terlibat dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, operasi memadam kebakaran hutan dan bencana banjir.

    Tertuduh yang beralamat di Jalan Kampung Jawa di Kuantan didapati bersalah mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24 akta sama, iaitu boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Ahmad Zamzani berkata, keputusan sabitan dan hukuman dibuat selepas menilai keterangan 18 saksi pendakwaan dan tiga saksi mewakili pembelaan, bukti-bukti serta hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak.

    Pada prosiding itu, Ahmad Zamzani turut membenarkan permohonan peguam G. Ravishankar yang mewakili Sheikh Hassan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah tinggi.

    “Rayuan ini perlu difailkan dalam tempoh 14 hari oleh tertuduh dan jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” tegasnya.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abiddin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

  • ‘’Ini pengeluaran khas terakhir’’ – KWSP

    ‘’Ini pengeluaran khas terakhir’’ – KWSP

    PENGELUARAN simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diumumkan kerajaan hari ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

    KWSP dalam satu kenyataan berkata, lanjutan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan akibat  pandemik Covid-19.

    Menurut kenyataan tersebut, ia adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020,disusuli i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

    “Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran berkenaan. Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

    “KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya.

    Maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan mekanisme pembayaran akan dibuat oleh KWSP dengan kadar segera.

  • Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan menyemak hukuman kes seorang lelaki yang didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka baru-baru ini.

    Pada Rabu, ditetapkan untuk pendengaran semakan kes itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, namun M Samasiveng, 57, tidak hadir ke mahkamah dan gagal dikesan oleh peguam T P Aravind Raj, yang sebelum ini mewakili lelaki itu pada prosiding kes di Mahkamah Majistret Selayang.

    Semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya.

    Aravind yang hadir pada prosiding berkata, beliau telah cuba menghubungi lelaki itu tetapi panggilannya tidak dijawab malah tidak mendapat arahan sama ada untuk mewakili Samasiveng dalam prosiding semakan ini.

    “Saya baru sahaja mendapat notis berhubung perbicaraan semakan ini dan saya akan cuba menghubungi Samasiveng berhubung perkara ini. Mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Isa Mohamed memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan berhubung kes tersebut difailkan di mahkamah oleh Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor.

    Sequerah kemudian mengarahkan pendakwaan membantu pihak polis bagi mengesan lelaki berkenaan dan menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes.

    Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.

    Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 11 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. – Bernama

  • Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    Permohonan rayuan Najib masukkan bukti baharu ditolak

    RAYUAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir melibatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditolak Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, hari ini.

    Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan memberitahu, Mahkamah Rayuan tidak melakukan sekarang kekhilafan dan tiada sebarang kesalahan yang membolehkan ia dirayu, lapor Astro Awani.

    Pada 8 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.

    Sehari sebelum itu, mahkamah sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana tersebut atas alasan tiada keadaan istimewa yang membolehkan keterangan baharu itu diterima.

    Pada 25 Januari lalu, Najib melalui peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon dibenarkan untuk diwakili seorang Queen’s Counsel (QC).

    Permohonan itu dibuat atas alasan QC mempunyai kepakaran untuk menasihati dan berpengalaman mengendalikan rayuan akhir Najib yang dikatakan sangat kompleks membabitkan isu dan persoalan perundangan baharu bukan sahaja di bidang kuasa negara ini, malah di negara Komanwel.

    Mahkamah Persekutuan dijangka mendengar permohonan Najib untuk menerima masuk QC antara 20 dan 24 Jun ini.

    QC ialah peguam kanan dan berpengalaman dari United Kingdom (UK) yang diberikan tauliah khas oleh Ratu Elizabeth.

    Mahkamah Persekutuan juga sebelum ini menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan berkaitan bukti baharu dalam usahanya untuk mengetepikan sabitan kes melibatkan dana SRC International, pada 15 Mac dan 16 Mac ini .

  • Jurukamera Fox, Wartawan Ukraine maut  terkena serangan Rusia

    Jurukamera Fox, Wartawan Ukraine maut terkena serangan Rusia

    Seorang Jurukamera Fox News dan wartawan berbangsa Ukraine maut selepas kereta mereka terkena serangan tentera Rusia pada Isnin lalu di Horenka, Ukraine.

    Pierre Zakrzewski, 55 yang berasal dari London dan penerbit, Oleksandra Kuvshynova,24 mati di tempat kejadian manakala seorang lagi warga Britain yang turut bersama mereka cedera parah.

    Menurut laporan, ketiga-tiga mangsa tersebut menaiki kenderaan yang sama dengan wartawan Britain, Benjamin Hall yang bekerja dengan Fox News sebelum kenderaan dinaiki mereka terkena tempias serangan terdekat.

    Hall tercedera di bahagian kaki dan kini masih menerima rawatan di unit rawatan rapi.

    Rakan sekerja Zakrewski dan Kuvshynova di Fox, Lucas Tomlinson berkata bahawa mesej terakhir yang diterimanya daripada Zakrewski ialah; “Saya akan berusaha untuk menyiarkan semua ini di TV untuk membantu warga Ukraine. Senyum selalu. Pierre.”

    Kusynova dikatakan oleh rakan-rakannya sebagai seorang wartawan muda yang sentiasa ceria dan bercita-cita tinggi.

    Dia merupakan wartawan Ukraine kedua terbunuh dalam tempoh dua hari selepas bekas wartawan New York Times, Brent Renaud mati pada Ahad lepas selepas tentera Rusia melepaskan tembakan ke arah keretanya.

    Eksekutif Fox News Media, Suzanne Scott berkata keselamatan wartawan-wartawan mereka di Ukraine dan kawasan lain adalah keutamaan mereka.