Category: Semasa

  • Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    Dadah: Kerani wanita tersenyum terlepas hukuman mati

    SEORANG kerani wanita terlepas hukuman mati apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, melepas dan membebaskannya daripada tujuh pertuduhan mengedar 59.98 gram dan memiliki lebih 0.5 kilogram dadah berbahaya, tiga tahun lalu.

    Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Siti Aisah Noordin, 35,.

    Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Azhar berkata, mahkamah mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan berhubung maklumat serbuan kejadian.

    “Bagaimanapun, pihak pendakwaan didapati gagal untuk memanggil suami tertuduh sebagai saksi sedangkan dia ditangkap bersama tertuduh, ini menyebabkan kelompangan dalam kes.

    “Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sejurus keputusan, dia yang memakai baju hitam dalam keadaan bergari, kelihatan tersenyum selepas dibenarkan keluar dari kandang tertuduh.

    Mengikut satu pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 59.98 gram.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati.

    Bagi enam pertuduhan lain, dia didakwa ada dalam milikannya dadah jenis ketamine seberat 407.22 gram, MDMA (0.76 gram), Nimetazepam (1.1 gram), Methamphetamine (16.86 gram) dan Clozapine (90.98 gram).

    Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dia juga boleh dihukum bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat antara tiga hingga sembilan kali.

    Pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Semua kesalahan didakwa dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Ipoh Batu 5 Taman Mastiara di Kuala Lumpur, pada 20 April 2020 lalu.

    Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala tertuduh diwakili peguam, Maanveer Singh.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sejak prosiding perbicaraan bermula 29 Mei lalu.

  • Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    Kes kekecohan di KLIA, 22 saksi diambil keterangan

    SERAMAI 22 saksi dirakam keterangan berkaitan satu insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, baru-baru ini.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada 22 saksi tersebut, empat adalah pengadu manakala yang lain adalah 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), empat pegawai Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta dua pekerja syarikat agensi pelancongan.

    “Setakat ini, sebanyak empat laporan polis yang telah diterima pihak polis Selangor.

    “Kesemua aduan tersebut dibuat oleh orang awam membabitkan kejadian ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Katanya, Kertas Enkuiri Polis (KEP) berhubung kejadian tersebut akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara pada Selasa bagi mendapatkan pandangan perundangan dan keputusan.

    Jelas beliau, berdasarkan KEP, polis mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pihak untuk diambil keterangan.

    Pada Khamis media melaporkan berita tular dalam media sosial mengenai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan pihak JIM.

    Bagaimanapun King Sing menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelawat tersebut.

    Menerusi kenyataan media, beliau mempersoal siapa sebenarnya menyalah guna kuasa dalam kejadian itu, sama ada beliau atau pun pegawai JIM yang bertugas.

    Selain itu, beliau turut mendakwa kehadirannya ke KLIA bertujuan membongkar budaya rasuah dalam kalangan pegawai di pintu masuk negara.

  • Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    Polis nafi anak ahli politik PH ditahan kes dadah di Langkawi

    POLIS menafikan terdapat anak seorang ahli politik kanan ditahan dalam serbuan di pusat hiburan di Langkawi, minggu lepas.

    Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Langkawi Shariman Ashari mengesahkan terdapat serbuan dibuat.

    Bagaimanapun, katanya, hanya dua individu ditahan.

    “Dalam pemeriksaan tersebut dua orang lelaki tempatan ditahan kerana positif dadah dan dua lelaki tempatan ini tiada hubungan keluarga dengan mana-mana ahli politik di Malaysia.

    “Saringan air kencing ke atas lain-lain pengunjung adalah negatif dan mereka tidak ditahan di lokap,” katanya.

    Beliau tidak mengulas soalan sama ada anak menteri turut terlibat.

    Penjelasan itu dibuat selepas media sosial Edisi Siasat memuat naik dakwaan laporan polis mendakwa anak seorang menteri antara yang ditahan.

    Edisi Siasat mendakwa ia adalah platform pembocor maklumat berkaitan hal ehwal pasukan polis.

    Dakwaan itu antaranya menyebut anak lelaki menteri berumur 34 tahun dan tiga individu lagi berada dalam bilik orang kenamaan (VIP), tempat polis menjumpai ganja dan kokain.

    Malaysiakini telah menghubungi ahli politik Pakatan Harapan (PH) itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

  • Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    Kanak-kanak maut jatuh dari tingkat 10 kondominium

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Labuan, awal pagi ini.

    Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mayat kanak-kanak itu ditemukan di tingkat satu oleh penduduk kondominium berkenaan.

    Beliau berkata kanak-kanak itu dipercayai terjatuh kira-kira 5.28 pagi dan kematiannya disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian pada 7.42 pagi.

    Katanya siasatan awal mendapati kejadian tidak melibatkan unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    “Mayat dihantar ke Hospital Labuan untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi.

  • ‘Swing’ PN mula reda, data tunjuk saingan sengit di Kedah dan Kelantan, dakwa Rafizi

    ‘Swing’ PN mula reda, data tunjuk saingan sengit di Kedah dan Kelantan, dakwa Rafizi

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa ‘swing’ yang diterima Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu telah mula mereda pada kadar yang signifikan.

    Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa, corak perubahan itu berdasarkan data kajian setakat Jun lalu, yang mana data tersebut, katanya akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

    “Data ini menunjukkan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.

    “Data setakat bulan Jun menunjukan ia semakin mereda. Jadi kalau berdasarkan angka itu dia (PN) tidak banyak kredibiliti kalau PN ingin mendakwa bahawa mereka semakin hampir ambil alih Kerajaan Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang.

    “Setakat ini, data-data seperti ini tidak berbeza dengan keputusan-keputusan pilihan raya yang lepas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi bersama Warga Kementerian Ekonomi di Putrajaya hari ini.

    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa data tersebut juga menyaksikan keadaan sengit dijangka berlaku di dua negeri pembangkang iaitu Kedah dan Kelantan pada PRN akan datang.

    “Sebab itu saya ingat sebahagian dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh PN ini adalah juga untuk menutup kebimbangan mereka sendiri bahawa keadaan itu sebenarnya yang akan sengit bukan di Selangor, Negeri Sembilan atau Pulau Pinang, tetapi sebenarnya di Kedah dan Kelantan,” tambah Rafizi.

    Sebelum ini, Astro Awani melaporkan Rafizi akan mengemukakan data bagi membuktikan bahawa Pakatan Harapan (PH) lebih mendapat sokongan berbanding PN.

    Katanya, data yang bakal didedahkannya itu sekali gus akan membuktikan bahawa dakwaan yang dibuat oleh PN adalah tidak berasas.

    Daripada enam negeri yang bakal mengadakan PRN, tiga negeri di bawah pentadbiran PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, manakala tiga negeri lagi dikuasai oleh pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri selepas Mesyuarat Khas esok.

  • PH-BN yakin tawan 2 negeri pembangkang- Anwar

    PH-BN yakin tawan 2 negeri pembangkang- Anwar

    DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin kerajaan perpaduan pimpinannya bukan saja dapat mengekalkan tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan lebih besar, malah menawan dua negeri pembangkang.

    “Keyakinan iniu berdasarkan kajian di lapangan dilaksanakan pasukannya, menunjukkan kerjasama PH-BN disenangi rakyat,” ujar Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH.

    Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan dua negeri itu.

    “Kalau daripada segi BN dan PH kita tentunya tumpu keenam-enam (negeri) tetapi mengikut perkembangan yang ada sekarang setelah semua kajian dibuat, saya lihat tiga negeri ini sangat kuat.

    “Sekarang kita menjurus kepada dua negeri (ditadbir Pas) dan (negeri mana) itu saya akan umum nanti,” katanya selepas merasmikan pelancaran ‘Buku Adab Perbezaan Pendapat dalam Pengukuhan Perpaduan Nasional.

    Mengulas pertindihan kerusi antara PH dan BN menjelang PRN, Anwar berkata, ia sudah selesai namun beliau masih memberi ruang kepada kepimpinan negeri untuk menyatakan pandangan.

    “Setakat ini tiada (pertindihan kerusi), saya bincang dengan (pengerusi BN) Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi tidak ada apa dah (selesai) tapi kita bagi ruang lagi kalau ada pandangan yang ingin dikemukakan oleh kepimpinan negeri,” katanya, lapor FMT.

    Pada 1 Julai lalu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding 45% daripada 245 kerusi DUN dalam pilihan raya (PRN) di enam negeri.

    Beliau berkata, ini bermakna BN dijangka bertanding lebih 100 kerusi DUN, manakala baki 55% kerusi akan ditandingi PH.

    Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah, PH dan BN akan merasmikan jentera bersama di Selangor Jumaat ini dalam usaha gabungan itu melancarkan gerak kerja di peringkat akar umbi.

  • Bekas pembantu bergelar ‘Datuk’ didakwa tipu tawaran projek RM8 juta

    Bekas pembantu bergelar ‘Datuk’ didakwa tipu tawaran projek RM8 juta

    SEORANG bekas setiausaha sulit kepada bekas timbalan menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas tuduhan memperdaya seorang lelaki berhubung tawaran tender projek kerajaan RM8 juta.

    Sinar Harian melaporkan Nasarudin Mahamud, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Norma Ismail.

    Tertuduh didakwa menipu lelaki itu untuk mempercayai dia membuat urusan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta dan dengan curang mendorong lelaki terbabit mempercayai tertuduh bertanggungjawab menguruskan projek itu.

    Lelaki berkenaan memindahkan RM382,000 ke akaun tertuduh dan menyerahkan wang tunai RM67,000 yang mana dia tidak berbuat demikian jika tidak diperdaya tertuduh, di sebuah pejabat Mukim Tampin Tengah antara 6 hingga 18 Oktober 2022.

    Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

    Peguam Eddin Syazlee Shith yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan beberapa keadaan, antaranya kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, walaupun tidak boleh dijamin, tetapi penipuan itu dalam kategori terendah.

    “Tertuduh melalui proses sukar, baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN), berpindah ke hospital kerajaan dan menghadapi kesulitan membayar bil IJN. Dia mempunyai masalah jantung kritikal yang memerlukan pembedahan segera.

    “Tertuduh juga mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat. Keadaan ini menyebabkan dia memerlukan kebenaran jamin untuk mendapatkan rawatan susulan bagi membuat persiapan,” kata peguam itu sambil menambah beliau menawarkan diri secara probono tanpa dibayar.

    Seorang lagi peguam tertuduh, Syed Amirul Syed Edros dalam rayuannya berkata, tertuduh memberi kerjasama baik kepada polis dan tiada risiko melarikan diri.

    “Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum.”

    Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Ogos ini.

  • Ahli politik veteran Sabah Ghapur Salleh meninggal dunia

    Ahli politik veteran Sabah Ghapur Salleh meninggal dunia

    AHLI politik veteran Sabah, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh meninggal dunia pada 12.07 pagi tadi.

    Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ahli Parlimen Kalabakan itu berusia 80 tahun.

    Ghapur dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah dari 1995 hingga 1997 dan merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dari 2004 hingga 2018.

    Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah mengesahkan kematian pemimpin UMNO itu kepada Berita Harian.

    Katanya, beliau mendapat tahu mengenai kematian Ghapur melalui WhatsApp daripada anaknya, Salleh.

    Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ghapur menerusi media sosial.

    Bekas ketua Wanita UMNO Kalabakan, Datuk Hamisah Samat menyifatkan Ghapur ‘pemimpin dan patriot yang banyak menyumbang’ kepada negara.

    Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu hari ini.

    Anak sulung Allahyarham, Noraini Ghapur berkata, bapanya menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, sejak dua bulan lalu dan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga tengah malam tadi.

    Beliau berkata, solat jenazah akan diadakan di kediaman mereka di Likas dan akan dibawa ke Masjid Jamek Kampung Likas, sebelum dikebumikan.

    “Mohon doakan semoga roh Allahyarham bapa kami ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya menurut Berita Harian.

  • Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

    Permohonan Rosmah untuk tangguh rayuan kes rasuah pada 7 Julai

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan Jumaat ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor menangguhkan pendengaran rayuannya pada pertengahan Julai bagi membatalkan sabitan rasuah serta hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

    Peguam Akberdin Abdul Kader, yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara, pagi tadi mengesahkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan pada 7 Julai tersebut.

    Peguam itu menambah bahawa pasukan pembelaan Rosmah serta pihak pendakwaan telah bertukar dokumen untuk perbicaraan. Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pendakwaan berhubung perkara itu.

    Rayuan rasuah Rosmah melibatkan projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di Sarawak, pada mulanya ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan (bidang kuasa jenayah) pada 11 Julai.

    Bagaimanapun, bulan lalu, Rosmah dilaporkan berusaha untuk menangguhkan perbicaraan rayuan utama kes rasuah solarnya pada Julai, sementara menunggu penyelesaian satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Rayuan di mahkamah tertinggi itu adalah berhubung permohonannya untuk mendapatkan kelulusan bagi memulakan cabaran di mahkamah sivil untuk membatalkan keseluruhan kes rasuah terhadapnya.

    Pada 1 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mendapati dirinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta ke atasnya.

    Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

    Berhubung cabarannya di mahakamah sivil, Rosmah berhujah bahawa kes rasuah solar terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana pelantikan tidak sah bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam kes itu.

  • Ku Nan masih berhutang RM50,000, kata Radzi

    Ku Nan masih berhutang RM50,000, kata Radzi

    AHLI Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin menafikan dakwaan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa Pusat Khidmat Putrajaya Care yang dikendalikannya menolak orang ramai yang datang bagi mendapatkan bantuan.

    Radzi berkata walaupun beliau tidak menerima sebarang dana persekutuan, pusat khidmatnya beroperasi sepenuhnya.

    “Sokongan jitu dan sumbangan ikhlas sahabat-sahabat seperjuangan serta dokongan kakitangan awam di pelbagai agensi telah banyak membantu dan memudahkan kami memberikan khidmat kepada warga Putrajaya,” katanya dalam Facebook miliknya.

    Radzi juga menggesa Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim supaya memastikan Tengku Adnan membayar RM50,000 yang diperintahkan oleh mahkamah susulan petisyen pilihan raya untuk membatalkan kemenanganya yang tidak berjaya.

    “Mohon Datuk segerakan bayaran RM50,000 kepada saya seperti yang diperintahkan oleh mahkamah. Sepertimana saya sebutkan sebelum ini, setiap sen daripada RM50,000 tersebut akan saya salurkan kepada Putrajaya Care,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Ahmad Faisal Abdul Karim

    Petisyen pilihan raya Ahmad Faisal untuk membatalkan kemenangan Radzi telah ditolak pada Mac, rayuan ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak.

    Keseluruhannya, mahkamah memutuskan bahawa Ahmad Faisal perlu membayar Radzi RM50,000 sebagai kos guaman.

    Semalam, Tengku Adnan yang juga bekas Ahli Parlimen Putrajaya dan juga Bendahari UMNO, mendakwa pengundi di kawasan berkenaan telah mengadu kepadanya bahawa mereka tidak dapat bertemu dengan Radzi.

    Sehubungan itu, dia menggesa pengundi menjelang pilihan raya enam negeri akan datang supaya mengundi dengan bijak.