Category: Semasa

  • Tiada kes culik, bunuh, pengambilan organ di Johor

    Tiada kes culik, bunuh, pengambilan organ di Johor

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    POLIS Johor menafikan berlakunya kejadian penculikan, pembunuhan dan pengambilan organ dalaman kanak- kanak seperti audio yang tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp ketika ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menegaskan, hasil semakan mendapati audio yang ditularkan itu merupakan audio lama yang tidak benar.

    “Audio berkenaan juga telah ditularkan pada tahun 2019 mendakwa berlaku kejadian penculikan, pembunuhan serta pengambilan organ dalaman kanak-kanak Kahang, Mersing, Kluang dan Masai.

    “Polis Johor mengesahkan kejadian tersebut tidak pernah berlaku. Penyebaran audio itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai.

    “Perbuatan menyebar dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarul Zaman berkata, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dakwaan yang diperoleh daripada sumber yang tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

  • Budak lelaki terperangkap dalam kereta terbabas dalam tali air

    Budak lelaki terperangkap dalam kereta terbabas dalam tali air

    SEORANG budak lelaki dikhuatiri terperangkap dalam kereta yang terbabas ke dalam tali air di Kampung Bukit Chawi, Kampung Gajah, Pasir Salak, hari ini.

    Kereta Honda City dinaiki kanak-kanak berusia lima tahun itu bersama-sama ibu dan adik perempuannya berusia empat tahun, terbabas dipercayai ketika mengelak lopak air.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah, Megat Mohd. Dahari Megat Jamaludin, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Gajah menghala ke Seberang Perak.

    Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.19 petang tadi sebelum anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

    “Jentera yang tiba di lokasi mendapati sebuah kereta dinaiki tiga mangsa terbabas ke dalam tali air sedalam 3.65 meter.

    “Dua mangsa berjaya diselamatkan orang awam yang berada di lokasi, manakala seorang kanak-kanak lelaki dipercayai masih berada dalam kereta itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.

    Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa bersama kenderaan itu sedang giat dilakukan ketika ini dengan turut dibantu anggota BBP Teluk Intan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Teluk Intan.

    “Operasi ketika ini agak sukar kerana arus air deras. Kita juga sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menutup laluan air,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

  • Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    Pinjaman RM73,000 untuk ubah suai rumah lesap ditipu sindiket nombor TAC

    SEORANG penjawat awam lelaki kerugian RM73,000 apabila wang pinjaman yang baharu diluluskan untuk ubai suai rumahnya lesap dalam akaun bank selepas ditipu sindiket nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC).

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka, Superintendan E. Sundra Rajan berkata mangsa yang berusia 40 tahun dihubungi suspek lelaki tidak dikenali pada 14 Mac yang memaklumkan isteri suspek telah tersilap mendaftarkan butiran maklumat untuk perbankan dalam talian dengan mendaftarkan nombor telefon mangsa.

    “Mangsa yang bekerja sebagai pemandu jabatan telah diminta oleh suspek untuk memaklum dan menyerahkan kepadanya jika ada menerima mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) nombor TAC daripada pihak bank. Tanpa membuat pengesahan lanjut, mangsa terus memberikan nombor TAC itu kepada suspek.

    “Mangsa telah menerima semula SMS daripada pihak bank yang menyatakan terdapat pindahan wang sejumlah RM50,000 daripada akaunnya sejurus mangsa menyerahkan nombor TAC kepada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sundra Rajan berkata keesokan harinya, mangsa mendapati terdapat pindahan wang untuk kali kedua berjumlah RM23,000 ke akaun yang tidak dikenali dan mangsa kemudian pergi ke bank bagi membuat pengesahan sekali gus dinasihatkan membuat laporan polis.

    Beliau berkata mangsa membuat laporan berkaitan kes itu di Balai Polis Ayer Keroh dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

    Dalam pada itu, Sundra Rajan turut mengingatkan orang awam supaya berhati-hati dengan modus operandi yang baharu dikesan pihaknya dan giat dijalankan oleh ‘scammer’ sehingga mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

    “Sindiket menggunakan laman Facebook untuk mengiklankan penjualan barang atau tawaran perkhidmatan dan tawaran iklan ini akan sentiasa diubah suai bagi menjerat lebih ramai mangsa.

    “Mangsa yang berminat akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp dan diberikan pautan muat turun dalam telefon mangsa. Aplikasi ini menggantikan sistem SMS sedia ada, mangsa diarahkan untuk mendaftar menerusi aplikasi tersebut dengan memasukkan nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit atau kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) serta butiran perbankan dalam talian,” katanya.

    Beliau berkata selepas semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar paparan ‘page error’ akan ditunjukkan kerana aplikasi ini tidak dipautkan kepada sistem perbankan yang sebenar.

    “Hakikatnya pemasangan aplikasi ini adalah dibuat semata-mata untuk sindiket mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang akan digunakan oleh sindiket untuk memindahkan wang daripada akaun mangsa.

    “Pihak JSJK Melaka menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran yang mencurigakan dan dinasihatkan supaya membuat semakan ke atas nombor telefon dan nombor akaun yang meragukan supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.-  Bernama

  • Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    Lepas 3 das tembakan selepas lelaki langgar MPV polis

    POLIS melepaskan tiga das tembakan ke arah kereta dipandu seorang lelaki yang merempuh sebuah kereta peronda polis (MPV) pada kejadian di Kampung Tandop Kedabu, Ayer Hitam, Kubang Pasu, semalam.

    Harian Metro melaporkan, dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, dua anggota MPV Balai Polis Ayer Hitam sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum terserempak dengan Honda Accord dipandu dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, anggota MPV mengekori kereta itu sejauh empat kilometer sebelum suspek berhenti di tepi jalan berdekatan kampung.

    Katanya, bagaimanapun, ketika cuba melakukan pemeriksaan, suspek tiba-tiba mengundurkan kereta dengan laju sehingga hampir melanggar dua anggota polis berkenaan.

    “Pada masa sama, kereta terbabit melanggar MPV berkenaan. Anggota terpaksa menembak tayar kereta suspek untuk memberhentikannya.

    “Suspek memecut dari lokasi manakala anggota MPV terus mendapatkan bantuan daripada unit lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

    Kejadian itu tular dalam media sosial dengan tiga rakaman video menunjukkan MPV polis mengejar sebuah kereta di kawasan sawah di kampung berkenaan.

    Rodzi berkata, hasil risikan, pihaknya menemui Honda Accord terbabit disembunyikan di belakang sebuah rumah di Kampung Tempatan, Air Hitam pukul 7 petang.

    Katanya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui satu paket heroin seberat 0.9 gram, dua paket syabu seberat 95 gram, pisau serta plastik yang banyak dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

    “Bahagian belakang kereta itu turut rosak selain kedua-dua tayar kanannya pancit akibat ditembak anggota MPV berkenaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Kami masih mengesan suspek,” katanya.

    Beliau berkata, pihaknya percaya suspek menyembunyikan kereta itu di rumah terbabit kerana suspek mahir dengan kawasan berkenaan.

    “Kita sudah mengenal pasti pemilik Honda Accord terbabit yang dipercayai milik seorang lelaki berkemungkinan besar adalah penjenayah atau pengedar dadah.

    “Berdasarkan kesan cap jari pada kereta terbabit, kami sudah mengenal pasti identiti suspek yang berusia 44 tahun yang dipercayai penagih dan pengedar dadah,” katanya.

  • Pesara rugi RM40,000 diperdaya Macau Scam

    Pesara rugi RM40,000 diperdaya Macau Scam

    SEORANG pesara kerajaan di Port Dickson, Negeri Sembilan mengalami kerugian sebanyak RM40,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam pada 11 Mac lepas.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata wanita berusia 63 tahun berkenaan mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang individu bernama ‘Muhammad Faizal’ daripada Telekom Malaysia pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

    Beliau berkata lelaki itu memaklumkan mangsa ada membuat pendaftaran talian Unifi pada alamat di Seremban, namun wanita tersebut menafikan perkara itu.

    “Panggilan kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Manisah’ yang memaklumkan terdapat kemasukan wang haram sebanyak RM80,000 ke akaun bank mangsa, sebelum diminta mendaftar perbankan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam talian oleh individu yang kononnya daripada Bank Negara Malaysia.

    “Mangsa yang percaya telah menyerahkan butiran perbankan bagi akaun BSN, Bank Rakyat dan Maybank miliknya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Aidi Sham berkata wanita itu kemudiannya membuat semakan dengan bank dan mendapati dia mengalami kerugian sebanyak RM40,000 daripada tiga akaun tersebut yang dipindahkan kepada akaun individu tidak dikenali.

    Katanya, mangsa membuat laporan polis pada keesokannya dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang mendakwa mereka daripada badan penguat kuasa atau institusi kewangan, selain tidak mendedahkan butiran perbankan kepada individu tidak dikenali.- Bernama

  • Jangan terpedaya taktik scammer menjelang pengeluaran khas KWSP – Timbalan KPN

    Jangan terpedaya taktik scammer menjelang pengeluaran khas KWSP – Timbalan KPN

    RAKYAT diingatkan supaya berwaspada dan tidak terjerat dengan pelbagai taktik digunakan ‘scammer’ bagi memperdaya mangsa.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Hussain berkata, pihaknya sentiasa memantau dan memberi peringatan kepada orang ramai mengenai pelbagai taktik digunakan ‘scammer’ bagi memperdaya mangsa.

    Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial katanya, akan memastikan semua laporan yang diterima disiasat dengan sebaiknya bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.

    Bagaimanapun, beliau mengakui walaupun pelbagai kempen dan usaha membanteras kegiatan penipuan itu dilakukan pelbagai pihak, namun, masih ada yang terpedaya dengan pelbagai janji diberikan sindiket hingga menyebabkan kerugian wang yang besar.

    “Kita mengingatkan rakyat Malaysia tentang penipuan melaui scammer ini tetapi masih ada juga yang percaya… kita pun tak faham macam mana perkara ini boleh berlaku sedangkan ingatan ini kita buka sahaja Facebook sudah bagi, sudah (diberi) nombor-nombor untuk mengetahui sekiranya akaun (bank) itu palsu atau betul.

    “(Walaupun) kita dah bagi tapi masih lagi dalam satu, dua atau tiga orang masih kena tipu juga. Jadi, sekiranya masih berlaku, kita memang memantau dan siasatan memang diteruskan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Razarudin berkata demikan ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara KOP Mantap Berhad bersama rakan strategik di Maktab PDRM di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau mengulas kebimbangan orang ramai mengenai taktik-taktik baharu yang akan digunakan scammmer sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

    Bahkan, di laman-laman media sosial sudah mula tular pelbagawai tawaran kepada mereka yang akan memohon pengeluaran itu bermula 1 April ini.

  • ‘’Jangan ambil alih kuasa Agong’’ – Ismail Sabri ulas desakan bubar Parlimen

    ‘’Jangan ambil alih kuasa Agong’’ – Ismail Sabri ulas desakan bubar Parlimen

    DATUK SERI Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah tidak wajar UMNO dilihat mahu mengambil alih kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mengambil pendirian mendesak agar parlimen dibubarkan segera.

    Kata Naib Presiden UMNO itu pembubaran Parlimen serta pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) merupakan kuasa Agong.

    Pada masa sama Ismail Sabri berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi dibuat oleh badan dalam UMNO mengenai pembubaran parlimen.

    “Ini semua perlu dibincangkan dengan Agong. (Kalau) kita tetapkan tarikh kita sendiri, nanti Agong kata kita ambil alih kuasa dia. Jadi, jangan ambil alih kuasa Agong… kita tunggu. Apa-apa pun, kita akan bincang. Tapi saya dah kata, mula-mula kita bincang dalam parti dahulu.

    “(Setakat ini) Parti pun tak bincang lagi. Tunggu, bincang dalam partilah,” katanya lapor Malaysiakini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menghadiri program minum petang dan ramah mesra bersama Kelab Naib Ketua Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

    Desakan untuk mengadakan PRU awal disuarakan sekumpulan pemimpin UMNO dan semakin kuat sejak akhir-akhir ini, khususnya selepas parti itu menang besar di Johor.

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyentuh isu berkenaan sama ada secara langsung atau tidak semasa merasmikan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO malam tadi.

    Pun begitu ada pihak lain – khususnya kumpulan yang berjawatan dalam kerajaan – berpendapat hal tersebut perlu diperhalusi terlebih dulu.

    Misalnya Ketua Wanita UMNO Datuk Noraini Ahmad yang berpendapat parti perlu mengambil kira perjanjian yang dimeterai dengan pembangkang sebelum ini.

    Seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid juga kelihatan keberatan untuk parti itu membincangkan hal tersebut secara terbuka. Pandangan sama turut dikongsi bekas setiausaha agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

    Ketika disoal lanjut, Ismail Sabri juga berkata beliau belum menerima sebarang cadangan berkenaan hal itu, sama ada secara rasmi mahupun secara peribadi.

    “Malam ini kami ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi. Segala usul sayap akan dibincangkan. Kita tengoklah,” katanya.

  • ‘’Saya ada hal kecemasan, bukan letak jawatan’’ – Tengku Zafrul

    ‘’Saya ada hal kecemasan, bukan letak jawatan’’ – Tengku Zafrul

    MENTERI  Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menafikan dakwaan sebuah akhbar bahawa beliau sudah meletak jawatan susulan tidak hadir di Dewan Rakyat ketika Sesi Pertanyaan Menteri hari ini.

    Sebaliknya, beliau memaklumkan mempunyai hal kecemasan yang perlu diuruskan dan ia sudah dimaklumkan terlebih awal.

    Tengku Zafrul mengulas spekulasi laporan sebuah akhbar hari ini bahawa beliau sudah meletakkan jawatan susulan pengumuman kerajaan semalam membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara “one-off”.

    “Saya ingin merujuk kepada laporan Utusan Malaysia yang bertanya sama ada saya telah letak jawatan. Saya ingin menjelaskan bahawa ada sedikit kecemasan peribadi yang terpaksa diuruskan pada pagi ini dan perkara ini telah dimaklumkan semalam.

    “Tiada niat untuk tidak menunaikan tanggungjawab saya menjawab soalan sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam kenyataan

    Ketika sesi pertanyaan menteri, soalan M Karupaiya (PH-Padang Serai) yang meminta Menteri Kewangan menjelaskan baki hutang 1MDB dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Harun bagi pihak Tengku Zafrul.

    Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Tengku Zafrul didakwa meletakkan jawatan selepas ketidakhadirannya di Dewan Rakyat bagi mengemukakan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2021 (2022).

    Ia dikaitkan dengan kenyataan Tengku Zafrul dalam wawancara bersama media tempatan sebelum ini bahawa beliau rela meletak jawatan daripada berkompromi dengan sebarang keputusan melibatkan kementeriannya yang difikirkan silap, termasuk pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara “one-off”.

    Ketika Timbalan Menteri Kewangan I, Shahar Abdullah tampil di Dewan Rakyat bagi mengemukakan RUU Perbekalan Tambahan (2021) 2022, Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) meminta kepastian sama ada Tengku Zafrul sudah meletakkan jawatan atau belum.

    Dalam kenyataannya,  Tengku Zafrul menegaskan seperti amalan sebelumnya, Timbalan Menteri Kewangan yang akan membentangkan RUU Perbekalan Tambahan.

    Beliau turut menegur Utusan Malaysia supaya berlaku adil ketika membuat liputan.

    “Sebenarnya, ini memang berdasarkan perancangan kita. Tahun lepas pun, Timbalan Menteri Kewangan juga yang bentangkan atau mungkin Utusan Malaysia buat-buat tak tahu, tak ingat atau tak kisah.

    “Saya mohon, kalau boleh, adillah sikit bila buat laporan media – gunakanlah kuasa pena anda untuk menceritakan hal yang betul, bukan menghebahkan khabar angin,” katanya.

    Mengenai Sesi Pertanyaan Menteri, Tengku Zafrul berkata, hanya menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan dan oleh kerana itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diminta membacakan jawapan bagi pihaknya.

    “Mengikut SOP soalan MQT (waktu pertanyaan menteri), hanya menteri sahaja yang boleh memberikan jawapan dan ini bukan pertama kali seorang menteri diminta untuk membacakan jawapan menteri lain,” jelasnya.

  • Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    Penarik kereta dilepas, dibebas daripada tuduhan bunuh kontraktor

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu, Kelantan hari ini melepas dan membebaskan seorang penarik kereta atas pertuduhan membunuh seorang kontraktor, 11 tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan tersebut ke atas Syaiful Afikin Mohd Firus, 46, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan di akhir pembelaan.

    “Mahkamah juga mengambil maklum bahawa pendakwaan mengambil masa tujuh tahun sebelum memutuskan untuk mendakwa tertuduh, malah tiada keterangan forensik baharu diperoleh selepas tertuduh dilepaskan dari reman antara 2011 dan 2018 apabila berlaku pendakwaan ke atas tertuduh,” katanya.

    Sehubungan itu, mahkamah memutuskan Syaiful Afikin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan, katanya.

    Mengikut pertuduhan, Syaiful Afikin didakwa membunuh Saw Yew Siang yang ketika itu berusia 56 tahun bersama seorang lagi yang masih bebas di Kampung Pak Jah, Tumpat lebih kurang  8 hingga 10 malam, 3 Okt 2011.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli manakala Syaiful Afikin diwakili peguam Azura Ghazali.

    Terdahulu, mahkamah turut melepas dan membebaskan tertuduh terhadap pertuduhan memiliki kerambit tanpa kebenaran selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Bagi kes itu, tertuduh didakwa memiliki senjata itu di hadapan kedai runcit, Jalan Rambutan Rendang, Panji, Kota Bharu kira-kira 3.30 pagi pada 11 Jun 2018.

    Syaiful Afikin didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Bernama

  • KDN tidak benar eksport ketum ke Thailand – Hamzah

    KDN tidak benar eksport ketum ke Thailand – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan daun ketum dari negara ini dieksport ke Thailand seperti mana yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana perkara itu bertentangan dengan Akta Racun 1952 yang dikuatkuasakan di negara ini, yang antara lain melarang sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, membekal, menjual atau memiliki serta menggunakan ketum secara haram. 

    “Ini mungkin permintaan peribadi Menteri Besar. (Namun) pada ketika ini memang kita tidak akan benarkan (penjualan daun ketum) untuk apa-apa tujuan pun mengikut akta sedia ada,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kempen ‘Kita Demi Negara’ di Kuala Lumpur pada Khamis.

    Semalam, Sanusi dilapor mencadangkan kerajaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand bagi tujuan perubatan. 

    Beliau berkata, daun ketum khususnya yang ditanam di Kedah, mendapat permintaan tinggi terutama di negara jiran itu, kerana dikatakan gred paling baik untuk tujuan perubatan dan dijadikan pil atau minuman kesihatan. – Bernama