KADAR guru bersara awal adalah hampir menyamai guru yang bersara wajib, kata Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) memdedahkan kadar guru bersara awal adalah hampir menyamai guru yang bersara wajib.
Justeru kata Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, KPM akan memperincikan maklumat termasuk punca bersara awal bagi membolehkan perkara berkenaan dilihat secara menyeluruh.
“Data-data ini kita perincikan satu persatu, bukan hanya melihat dari segi jumlah (permohonan), tetapi perkara lain seperti guru yang bagaimana, berapa lama dalam karier dan sebagainya.
“Guru yang membuat keputusan bersara awal ini sedang diperincikan untuk kita lihat dengan lebih menyeluruh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor di Ipoh, hari ini.
Beliau berkata, pada ketika ini, terdapat pelbagai corak dan trend diperkatakan berhubung guru yang memohon untuk bersara awal.
“Oleh kerana itu, kita sedang susun data ini, apabila semuanya sudah jelas, kita akan kongsikan maklumat lanjut berkaitan hal ini,” katanya.
Pada Februari lalu, media melaporkan kebimbangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengenai laporan berkaitan guru yang memohon bersara awal akibat pandemik Covid-19 di negeri tersebut.
Saarani turut menyeru guru-guru di Perak tidak mengambil keputusan meletak jawatan atau bersara awal disebabkan Covid-19 memandangkan guru merupakan ejen perubahan masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Dr. Mah Hang Soon dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat tahun lepas menyatakan, terdapat beberapa alasan permohonan bersara awal dibuat antaranya tidak berminat meneruskan khidmat, faktor keluarga, kesihatan, beban tugas dan faktor peribadi.
PADAH mempercayai lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Instagram, seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM3.9 juta selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Macau Scam.
Lebih malang, wanita berusia 63 tahun itu menyerahkan wang peninggalan mendiang suaminya yang merupakan ahli perniagaan selepas termakan pujuk rayu suspek yang menyamar sebagai lelaki Korea kononnya mahu menjaganya sehingga ke akhir hayat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, wanita itu juga diperdaya suspek yang dikenali hujung tahun lalu untuk menyertai projek perniagaan pelantar minyak.
Malah ujar beliau, wanita itu turut diyakinkan oleh suspek yang sering menghantar gambar serta video kononnya sedang memandu kereta serta berada di tempat kerja.
“Bagaimanapun, wanita itu akhirnya sedar ditipu selepas gambar wajah lelaki Korea itu didapati disunting daripada gambar milik individu lain.
“Sehubungan itu, wanita berkenaan tampil membuat laporan polis pada 17 Mac lalu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Polis sedang memburu seorang ‘lelaki Korea’ yang memperdaya seorang wanita warga emas di daerah Timur Laut, Pulau Pinang sebanyak RM3.9 juta
Menurut beliau, mangsa yang turut berhubungan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp telah melakukan sebanyak184 kali transaksi pemindahan wang dalam pelbagai jumlah menggunakan 19 akaun bank kepada suspek.
Katanya, wang yang dipindahkan pula berjumlah antara RM9,000 hingga RM50,000 bermula dari Disember tahun lalu hingga bulan ini.
Jelas beliau, suspek meminta wang daripada mangsa secara berperingkat kerana dipercayai mahu mengelak daripada dikesan pihak bank.
Ujarnya, polis kini sedang mengesan suspek dan percaya modus operandi sindiket seperti itu sering digunakan oleh lelaki warga Nigeria untuk memperdayakan wanita di media sosial.
“Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika menggunakan media sosial bagi mengelak terpedaya dan menjadi mangsa sindiket penipuan seperti ini,” katanya.
Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
SEORANG lelaki dipercayai mabuk yang merempuh ruang makan di luar sebuah restoran hingga mengakibatkan lapan individu cedera di Jalan Klang Lama, di sini malam tadi, ditahan polis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata, lelaki berumur 57 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, pagi ini.
Beliau berkata, lelaki itu yang memandu Honda HR-V dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar hilang kawalan ketika sampai di lokasi sebelum melanggar sebuah kenderaan jenis Lexus yang diparkir di bahu kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Lexus bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan restoran dan melanggar pelanggan-pelanggan yang sedang makan serta dua pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarifudin berkata, saringan awal mendapati, kandungan alkohol di dalam badan lelaki itu melebihi had ditetapkan dan kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-2026 0267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA
SESI persekolahan 2022/2023 yang bermula hari ini semestinya dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ibu bapa, malah anak-anak juga teruja untuk memulakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal selain dapat bertemu rakan-rakan sekolah.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan sekolah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) ketat kepada ibu bapa dan murid antaranya penjarakan fizikal dan penggunaan cecair sanitasi untuk membersihkan tangan sebelum memasuki kelas bagi mengekang penularan COVID-19.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Utama Damansara 4, Kuala Lumpur, ibu bapa hanya dibenarkan menghantar anak-anak hingga ke pintu pagar seperti SOP yang ditetapkan pihak sekolah.
Hany Zainal, 35, ketika ditemui selepas menghantar anaknya, Shakur Zeyn Shahrir, 7, berkata beliau berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan di sekolah berkenaan bagi memastikan keselamatan murid.
Di MELAKA, Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin memaklumkan 149,378 murid sekolah rendah dan menengah melibatkan 315 sekolah memulakan sesi persekolahan hari ini.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 84,619 orang adalah murid sekolah rendah manakala 64,759 lagi merupakan pelajar sekolah menengah.
“Pada hari ini, 238 sekolah rendah dan 77 sekolah menengah di Melaka memulakan sesi persekolahan dan sekolah yang mempunyai lebih 600 murid akan melaksanakan sistem penggiliran kehadiran murid ke sekolah.
“Sistem penggiliran ini akan melibatkan murid Tahun Tiga, Empat dan Lima bagi memastikan SOP dilaksanakan secara berkesan,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan SK Paya Rumput.
Di JOHOR BAHRU, tinjauan Bernama di SK (P) Sultan Ibrahim mendapati murid hadir seawal 6.30 pagi dan mereka diberikan pelitup muka percuma serta disambut maskot Mickey Mouse sekali gus menggamit suasana ceria pada hari pertama persekolahan di sekolah itu.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Mohd Hyffny Isa berkata tiada ibu bapa yang memaklumkan kerisauan mereka, malah semua guru di sekolah itu sudah mengambil vaksin dan dos penggalak COVID-19.
Di SELANGOR, seorang ibu turut berkongsi kegembiraan anaknya, Wan Alesha Medina Wan Fathi Amir, murid Tahun Satu SK Bukit Kemuning 2, Shah Alam untuk memulakan sesi persekolahan.
“Dia memang seorang sangat peramah dan suka berkawan, saya tidak risau dan percaya Medina (Wan Alesha Medina) boleh membiasakan dirinya,” kata Nurul Aida Shahrol, 37.
Di PERAK, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin melakukan tinjauan pengoperasian hari pertama di SK Pakatan Jaya, Ipoh bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Radzi turut beramah mesra bersama murid di sekolah itu yang bersemangat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka dengan berpakaian serba baharu.
Beliau kemudian melakukan tinjauan di SK Syed Idrus Kampung Kuang Hilir, Chemor, Ipoh.
Di KELANTAN, Rosmalaili Abdul Rahman, 44, berkata beliau yakin dengan kemampuan pihak sekolah termasuk kawalan daripada guru-guru untuk memantau pelajar berdasarkan SOP yang ditetapkan.
“Tindakan kerajaan mengumumkan pembukaan semula sekolah bagi mereka yang tertangguh sebelum ini satu tindakan wajar, bahkan negara kita juga sedang beralih ke fasa endemik. Jadi, kita kena bersedia dengan situasi ini,” katanya selepas menghantar anaknya, Ahya Deena Asmazawawi, 11, di Sekolah Rendah Agama Tengku Amalin A’Ishah Putri, Kota Bharu.
Di PULAU PINANG, tinjauan di SK Permatang Bertam, Kepala Batas mendapati ibu bapa menghantar anak ke sekolah menggunakan konsep ‘pandu lalu’ yang merupakan SOP sekolah itu.
Murid-murid juga dikehendaki beratur bagi menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan sebelum memasuki kelas masing-masing.
Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahri Mamat berkata seramai 21,287 murid Tahun Satu dan 21,196 pelajar Tingkatan Satu memulakan sesi persekolahan hari ini.
Beliau berkata semua sekolah yang terjejas banjir pada akhir bulan lepas juga sudah dibersihkan dan beroperasi seperti biasa.
Di PAHANG, seramai 255,251 pelajar sekolah rendah dan menengah kembali ke sekolah hari ini merangkumi 150,607 murid sekolah rendah termasuk 23,036 murid Tahun Satu, manakala bakinya pelajar sekolah menengah.
Secara keseluruhan terdapat 542 sekolah rendah dan 198 sekolah menengah di Pahang.
Sementara itu, pekerja swasta, Faizal Ahmad, 39, berkata pengalaman menghantar anak bongsunya Puteri Adzra Firzanisa memasuki Tahun Satu di SK (LKTP) Bukit Goh, Kuantan begitu berbeza dengan pengalaman anak sebelum ini kerana tidak boleh menghantar anaknya ke kelas disebabkan SOP, namun berpuas hati apabila menerima gambar anak yang dihantar oleh guru melalui kumpulan WhatsApp.
Di PERLIS, Pengarah Pendidikan negeri Naharudeen Othman berkata 64 sekolah rendah mencatatkan kehadiran penuh hari ini dengan hanya 10 sekolah melakukan sesi persekolahan penggiliran berikutan bilangan murid melebihi 600 orang.
Di KOTA KINABALU, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Dr Mistirine Radin berkata seramai 505,439 pelajar memulakan sesi persekolahan hari ini membabitkan 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di seluruh Sabah.
Katanya, jumlah itu merangkumi 313,697 murid sekolah rendah dan 191,742 pelajar sekolah menengah, selain 22,950 pelajar turut memulakan sesi persekolahan di 477 sekolah swasta di seluruh Sabah.
Di NEGERI SEMBILAN, sesi persekolahan melibatkan 190,602 pelajar merangkumi 106,139 murid sekolah rendah dan 84,463 pelajar sekolah menengah membabitkan enam Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) termasuk Seremban, Rembau dan Tampin.
Di KEDAH, tinjauan Bernama di beberapa sekolah di sekitar Alor Setar mendapati rata-rata murid bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan terutama murid Tahun Satu.
Mashitah Abu Bakar, 63, berkata beliau menghantar cucunya Aufia Medina Nasir, 7, ke SK Buluh Lima kerana kedua ibu bapa murid itu perlu bekerja hari ini tetapi ia tidak menjadi masalah kerana jarak antara sekolah dan rumah tidak jauh. – BERNAMA
POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux secara berbahaya sehingga hampir menyebabkan kemalangan di Km138.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada 11.30 pagi semalam ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bagi membantu siasatan kejadian.
“Siasatan lanjut mengenai kes itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Shafee dilapor berkata berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit 35 saat yang tular menerusi laman sosial, kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMX3338 tersebut telah melakukan buli jalan raya dengan menghimpit sebuah kenderaan yang tidak pasti nombor pendaftarannya sehingga hampir menyebabkan kemalangan.- Bernama
EMPAT individu maut termasuk seorang daripadanya rentung dalam satu nahas membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 58.2 Lebuhraya Utara Selatan, Pendang, awal pagi ini.
Pihak bomba menerima panggilan melalui sistem MERS 999 pada pukul 2.22 pagi mengenai kebakaran kereta akibat kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, anggota dari balai berhampiran diarahkan segera ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan sebuah kereta Nissan Almera yang terbakar 90 peratus.
“Kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.56 pagi dan terdapat seorang mangsa yang rentung dalam kenderaan terbabit,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, mangsa pertama iaitu pemandu Proton Wira berjaya dikeluarkan pada pukul 4.07 pagi dan disusuli mangsa kedua pada 4.28 pagi.
“Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada 5.43 pagi dan kesemua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, berdasarkan penilaian awal, mangsa yang rentung dipercayai lelaki, namun identitinya belum dapat dikenal pasti setakat ini.
“Tiga mangsa maut dalam Proton Wira terdiri daripada dua lelaki berusia 26 dan 49 tahun, manakala seorang lagi adalah wanita berusia 52 tahun. Operasi tamat sepenuhnya pada 6.05 pagi,” katanya.
SEBANYAK 35 ekor kambing yang diternak dalam sebuah kandang di Taman Temara, Pasir Putih di Ipoh, Perak mati akibat kebakaran tengah malam tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Pegawai Bomba Kanan II, Rozaidee Kamarulzaman berkata pihaknya menerima panggilan kejadian kira-kira 12.30 tengah malam.
“Kebakaran membabitkan kandang kambing kelas C dan tiada individu terlibat.
“Terdapat 57 ekor kambing di dalam kandang itu dengan 35 daripadanya mati manakala bakinya berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran memusnahkan hampir 50 peratus kandang itu dan operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada 1.30 pagi.
Katanya punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.
Sementara itu, penternak kambing berkenaan, Badrishah Zamzuri, 60, yang juga pesara polis berkata beliau menyedari kejadian tersebut pada 11.45 malam selepas dimaklumkan jiran sekitar lalu bergegas ke kandang berkenaan kira-kira 10 meter dari rumahnya.
“Setiba di kandang, saya lihat lebih separuh ternakan saya mati. Kali terakhir saya menguruskan kambing ini adalah petang semalam dengan memberi makan dan kemudian memasang unggun api sekitar 7 malam,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.
Badrishah turut tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada unggun api yang dipasang di kandang terbabit kerana ternakan berkenaan memerlukan haba pada waktu malam.
Anak lelaki Badrishah, Muhammad Irham Badrishah, 21, pula menyifatkan kejadian itu sebagai suratan takdir sejak menternak kambing lapan tahun lepas dengan permulaan 10 ekor kambing. – BERNAMA
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Batu Pahat menahan seorang pengurus syarikat bagi membantu siasatan berkaitan kes memberi rasuah.
Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang wanita berusia 44 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada pukul 6 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.
Difahamkan pada 2021, syarikat suspek yang memiliki lesen kelas G3 disyaki memberikan rasuah bagi mendapatkan kerja di bawah kelas G2.
Namun semakan Sijil Perolehan Kerja Kerajaan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) mendapati lesen syarikat itu di bawah kelas G3.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) ASPRM 2009.
POLIS menjalankan siasatan susulan video tular memaparkan kumpulan konvoi kereta mewah yang berhenti di Kilometer 34, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, berhampiran susur keluar Sedenak, sehingga menghalang lalu lintas, tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow berkata, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 6.10 petang, Jumaat lepas.
Susulan daripada itu, satu laporan telah dibuat di Balai Trafik Iskandar Puteri pada 10.11 malam, hari yang sama, kata Tok.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tok berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Merusuh) yang boleh membawa hukuman dua tahun penjara atau denda dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda maksimum RM15,000, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, video berdurasi 45 saat itu memaparkan aksi pemanduan secara berbahaya oleh sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang cuba memotong kumpulan konvoi kereta mewah berkenaan di lorong kiri sebelum melanggar salah sebuah daripadanya. – BERNAMA
PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah disahkan positif COVID-19.
Perkara tersebut dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil, yang juga anak Abdul Hadi melalui laman Facebook Abdul Hadi Awang.
Muhammad Khalil berkata, bapanya yang juga Ahli Parlimen Marang itu, hanya mengalami gejala ringan dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah serta dalam keadaan baik.
“Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera. Beliau telah disahkan positif COVID-19 dan hanya mengalami gejala ringan. Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik.
“Bersama kita doakan kesihatan Ayahanda Tuan Guru,” katanya. – BERNAMA