Category: Semasa

  • Mahathir dakwa visi ‘negara berbilang kaum’ tiada beza dengan Malayan Union

    Mahathir dakwa visi ‘negara berbilang kaum’ tiada beza dengan Malayan Union

    TUN Dr Mahathir Mohamad menyifatkan konsep kepelbagaian budaya yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) hari ini tidak jauh beza dengan rancangan Malayan Union yang diperkenalkan penjajah British.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata kedua-duanya menjurus ke arah menghapuskan identiti Semenanjung Tanah Melayu dengan menafikan hak orang Melayu sebagai penduduk asal.

    Dr. Mahathir berkata PH mempromosikan konsep yang akan menyaksikan Malaysia terhakis sebagai Tanah Melayu, dengan mengatakan ia adalah falsafah yang sama di sebalik Malayan Union era kolonial dan slogan “Malaysian Malaysia” yang dibawa mendiang bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew ketika republik itu menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.

    Tidak pernah terjadi pendatang asing atau keturunan mereka yang diberi suaka di sesuatu negara menuntut supaya negara yang memberi kerakyatan kepada mereka ditukar supaya dijadikan negara kaum pendatang, iaitu negara berbilang kaum.

    “Itulah maksud ‘Malaysian Malaysia’. Negara Melayu hendaklah ditukar menjadi negara berbilang kaum ‘Malaysian Malaysia’. Tanah Melayu dihapuskan dan diganti dengan negara berbilang kaum ‘Malaysian Malaysia’,”kata Mahathir, dalam kenyataan terbarunya berhubung konsep berbilang kaum sejak melancarkan Proklamasi Melayu, sebuah dokumen bagi memulihkan hak orang Melayu yang merosot sejak beberapa dekad, lapor MalaysiaNow.

    Beliau berkata konsep “Malaysian Malaysia” yang dibawa Lee ditolak pada Pilihan Raya Umum 1964, setahun sebelum Singapura keluar dari Malaysia.

    “Sekarang DAP dengan disokong oleh Parti Keadilan Rakyat dan Amanah sekali lagi memperkenal matlamat yang sama iaitu Malaysia bukan negara yang asalnya tanah Melayu tetapi Malaysia adalah negara berbilang bangsa.”

    Beliau berkata jika perubahan itu berlaku, orang Melayu tidak lagi mengawal jentera pentadbiran, serta polis dan angkatan tentera.

    “Di masa yang sama bidang ekonomi (perniagaan dan perusahaan) akan kekal sebagai bidang yang orang Melayu tidak mendapat tempat,” tambahnya.

    Beliau berkata, Proklamasi Melayu bukan kerana hak orang lain, tetapi hanya mahu mengembalikan bahawa Semenanjung adalah tanah milik orang Melayu, yang menyerap pendatang Arab, India dan Indonesia sehingga mereka dikenali sebagai Melayu. 

    Beliau berkata ini kerana masyarakat ini menganuti budaya dan bahasa Melayu.

    “Bagi pendatang dan keturunan mereka yang ingin kekal identiti mereka dengan negara asal mereka, layanan terhadap mereka tentulah berbeza dengan layanan terhadap penduduk asal serta mereka yang menerima penuh bahasa dan budaya kebangsaan,” kata Mahathir.

    Mahathir berkata ramai orang Melayu beranggapan slogan untuk berbilang kaum hanya dicerminkan dalam pengagihan kaum yang sama rata dalam politik.

    “Mereka tidak terfikir berkenaan perubahan-perubahan lain.

    “Kata Hang Tuah Melayu tak akan hilang di dunia. Tetapi Melayu sudah hilang banyak wilayah. Aliran sekarang menunjuk Melayu tidak akan kekal sebagai satu bangsa.

    “Melayu akan hilang negara mereka dan akan hilang di dunia,” katanya.

  • JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JIM serah siasatan kakitangan terbabit rasuah di KLIA kepada SPRM

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menyerahkan sepenuhnya siasatan dakwaan segelintir kakitangannya terbabit rasuah serta pelanggaran integriti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya merujuk beberapa laporan berita diterbitkan hari ini, yang mengaitkan dakwaan itu.

    Jelasnya, JIM sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

    “Dalam konteks ini, JIM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana pejabat imigresen seluruh negara.

    “Jika terdapat pegawai Imigresen didapati bersalah dengan dakwaan berkenaan, JIM tidak akan melindungi mereka.

    “Malah, kami akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

    “JIM komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pelawat warga asing yang memasuki Malaysia,” katanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, media melaporkan SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden membabitkan seorang warga China di KLIA, baru-baru ini.

    Menurut sumber yang dipetik berkata, satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara itu dengan tiga keterangan saksi termasuk Menteri yang terbabit dan dua orang saksi utama warga China sudah diambil pihak SPRM.

    Katanya, beberapa pegawai Imigresen yang terbabit juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perkara itu.

    Malah, SPRM sudah mengenal pasti seorang individu disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes membabitkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan JIM.

    Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menerusi kenyataan, menyifatkan tindakan beliau ke KLIA bagi membongkar ‘peristiwa’ memalukan selain mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.

    Malah, King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.

  • Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    Wanita ditahan rosakkan dinding balai bomba

    SEORANG wanita tempatan berusia 53 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga esok selepas disyaki memasuki kawasan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, George Town, Pulau Pinang serta memecahkan logo agensi tersebut di balai itu semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.43 pagi tadi oleh seorang pegawai bomba dari sebuah balai bomba di dalam daerah Timur Laut.

    Jelasnya, laporan itu menyatakan pihak bomba menahan seorang wanita tempatan kerana telah memecahkan logo agensi tersebut di dalam kawasan balai bomba.

    “Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian saringan awal polis mendapati dia juga bebas daripada pengambilan sebarang jenis dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, tular klip video di media sosial yang memaparkan seorang wanita merosakkan bahagian dinding di BBP Bagan Jermal menggunakan penukul.

    Menurut Soffian, suspek yang disyaki mengalami masalah mental itu telah dirujuk dan ditahan di Wad Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut.

    Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Pihak polis menasihati orang ramai tidak menularkan sebarang gambar dan rakaman video berkenaan kejadian tersebut untuk mengelakkan sebarang spekulasi,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, wanita tersebut datang ke balai itu pukul 11.45 malam semalam.

    Jelasnya, berdasarkan keterangan pegawai dan anggota bomba yang bertugas di BBP Bagan Jermal, mereka tidak mengenali wanita terbabit dan telah cuba menghalangnya daripada merosakkan sudut ‘wow faktor’ di balai tersebut, namun suspek tidak mengendahkannya.

    “Pegawai bomba yang bertugas terus menghubungi pihak polis sebelum datang dan menahan wanita tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

  • Bekas pegawai PTD dipenjara setahun kerana amang seksual terhadap pelajar lelaki

    Bekas pegawai PTD dipenjara setahun kerana amang seksual terhadap pelajar lelaki

    BEKAS pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik air asrama sebuah sekolah agama.

    Mohd Zarul Afifi Mohd Zaki diperintahkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail supaya menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

    Lelaki berusia 36 tahun itu sebelum ini bebas dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.

    Dia gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitannya tetapi berjaya mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun dan dua sebatan kepada penjara setahun.

    Hakim Hadhariah yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin berkata, terdapat bukti kukuh untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Zarul atas kesalahan itu.

    Hakim itu bagaimanapun berkata, mahkamah bersetuju dengan peguam M M Athimulan yang mewakili Mohd Zarul bahawa hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan adalah keterlaluan kerana tiada sebarang kekerasan atau kecederaan terhadap mangsa.

    Pada 28 April 2021, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Mohd Zarul daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh pergelangan tangan dan perut budak lelaki yang sedang mandi di bilik air asrama sekolah berkenaan di Kuantan, Pahang pada 3.10 petang, 23 Mac 2019.

    Mahkamah Tinggi, pada 18 Januari 2022, membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan Mohd Zarul serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan.

    Mohd Zarul kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.

    Dalam rayuan hari ini, Athimulan memohon mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen kerana beliau berkata mahkamah itu (Mahkamah Sesyen) telah membebaskan anak guamnya memandangkan kejadian itu berlaku secara spontan dan bukan dengan niat.

    Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud, yang dibantu oleh TPR Aida Khairuleen Azli berhujah bahawa keterangan Mohd Zarul bahawa dia tidak menyedari telah memasuki perkarangan sekolah kerana bermain permainan Pokemon Go di telefon bimbitnya, hanyalah penafian semata-mata.

    Beliau berkata, keterangan Mohd Zarul bahawa dia memasuki bilik air untuk mengambil bajunya dan secara tidak sengaja menyentuh perut mangsa juga adalah penafian semata-mata.

  • Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    Mekanik rugi RM200,000 diugut sebar video bogel

    SEORANG mekanik kerugian RM200,000 selepas menerima ugutan penyebaran video bogelnya oleh seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Yaya’ di Kuala Kangsar semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mangsa yang berusia 30 tahun mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook.

    Beliau berkata, suspek meminta mangsa menerima panggilan video dengan alasan ingin menunjukkan sesuatu ‘istimewa’.

    “Setelah menerima panggilan itu, mangsa melihat suspek berada dalam keadaan bogel dan melakukan aksi ghairah.

    “Mangsa yang terpengaruh turut sama berbogel dan melakukan aksi tidak senonoh bersama suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mangsa tidak menyedari perbuatannya itu dirakam hinggalah suspek menghantar rakaman itu sebelum menamatkan panggilan.

    “Mangsa diugut supaya memberikan wang dan sekiranya enggan, suspek akan menyebarkan video rakaman itu di media sosial.

    “Mangsa kemudiannya memindahkan wang sebanyak 38 kali secara perbankan atas talian ke lima akaun berbeza,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu yang baharu dikenali di media sosial dan seterusnya menjadi mangsa jenayah pemerasan.

  • Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    Tuduhan melampau, macam saya bunuh isteri saya-Shuib

    PELAWAK dan penyampai radio Shuib menyifatkan tuduhan mengenai isterinya Allahyarham Siti Sarah yang ditidurkan sebagai salah satu agenda Freemason adalah fitnah melampau sehingga memberi kesan terhadap anak-anak dan keluarganya.

    Shuib atau Shahmira Muhammad, 39, bagaimanapun bertindak memaafkan salah seorang individu yang memfitnah iaitu Zulhairi Othman, 35, yang mencetuskan isu tersebut pada sidang media tergempar di Cheras, hari ini.

    Jelas Shuib, dakwaan yang mengatakan dia memaksa Siti Sarah ‘ditidurkan’ atas arahan dakyah organisasi tertutup Freemason adalah satu tuduhan bersifat dangkal.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya masih boleh terima bila dituduh ahli Freemason walaupun tuduhan itu tak betul 100 peratus.

    “Bila pemfitnah itu libatkan pula arwah isterinya ‘ditidurkan’ atas arahan pertubuhan itu, ia tuduhan sangat bodoh dan melampau.

    “Tuduhan itu akan mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai sedangkan saya yang menghantar arwah ke hospital dan saya jugalah yang menjadi orang terakhir melihat arwah sebelum ditutup dengan pembungkus plastik mayat.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media bersama pengguna media sosial, Zulhairi Abu Osman berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Arwah dia dijaga baik oleh doktor dan jururawat. Jadi macam mana pula boleh timbul isu saya bunuh Sarah?,” katanya lapor Utusan TV.

    Sidang media yang berlangsung hampir sejam itu pada awalnya sedikit tegang dan Shuib dilihat agak beremosi namun mampu dikawal selepas melihat Zulhairi yang menunjukkan kekesalan atas khilaf yang dilakukan.

    Pelakon dan Pelawak terkenal, Shuib mengadakan sidang media berkenaan isu kematian Allahyarhamah Siti Sarah yang dikaitkan dengan agenda Freemason di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tambah Shuib, beliau membuat keputusan untuk menerima permohonan maaf Zulhairi disebabkan sifat ikhlas pemuda itu.

    “Saya maafkan dia kerana dia berani, ‘gentle’ dan ada usaha untuk mencari saya serta mengaku kesalahan dia.

    “Semalam dia pun mahu mencari saya. Lepas saya hubungi dia, saya nampak dia seorang yang naif.

    “Kalau ikutkan memang saya marah tapi saya ada sifat perikemanusiaan. Saya pun fikir dia ada anak-anak dan isteri serta kerjaya.

    “Saya maafkan dia dan beri peluang untuk dia jelaskan apa tujuan di sebalik hantaran yang dia lakukan itu,” katanya.

  • Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    Sangka budak main mercun, rupanya rumah ditembak

    SEORANG wanita terkejut dan tidak menyangka bunyi kuat yang disangkanya daripada budak bermain mercun rupanya beberapa das tembakan yang dilepaskan ke rumahnya di kediamannya di Bagan Serai, awal pagi tadi.

    “Saya sangkakan budak nakal main mercun tapi takkan pada waktu pagi,” kata pemilik rumah berusia 50-an itu yang enggan dikenali.

    Dalam kejadian 2.50 pagi itu, mangsa baru keluar dari bilik air sebelum terdengar bunyi letupan di pekarangan rumah yang sangkanya ada orang bermain mercun.

    Dia berkata, sebaik melihat keluar tingkap, mendapati seorang lelaki bertopeng dan memegang senjata dipercayai pistol melepaskan tembakan rambang.

    “Saya segera mengejutkan suami yang tidur dan menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya ditemui pagi tadi, lapor Harian Metro.

    Menurutnya, suaminya juga berusia 50-an adalah pengusaha kerang dan tidak mempunyai sebarang musuh.

    Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Turut ditemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm. Dalam kejadian itu, mangsa tinggal bersama suami dan empat anak,” katanya.

    Beliau berkata, suspek yang menunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa dan polis masih menyiasat motif kejadian.

    “Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Zulhilmi Dahon di nombor talian 0132604403 atau balai polis berhampiran,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

  • Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    Polis cari lelaki lepaskan tembakan di kawasan perumahan

    POLIS sedang menjejaki seorang lelaki tidak dikenali, yang dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah rumah di kawasan perumahan Kuala Gula, dekat Kerian, awal pagi ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah berkenaan mengenai kejadian tersebut, kira-kira pukul 3 pagi.

    Menurutnya, hasil siasatan di lokasi, mendapati pengadu, seorang peniaga kerang yang berusia 56 tahun, tinggal di rumah itu bersama isteri dan empat anaknya.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa.

    “Mangsa dan keluarga bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di Kerian, Perak, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mohd. Yusri berkata, pemeriksaan yang dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Forensik (D10) Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah mendapati beberapa kesan tembakan dan menjumpai lima kelongsong peluru kaliber 9mm.

    Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal, telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971.

    Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan mendalam mengenai motif kejadian itu dan usaha menjejaki suspek sedang giat dilakukan.

    Justeru itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Kerian, Inspektor Mohd Zulhimi Dohan di talian 013-260 4403 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

  • Koperal didenda RM30,000 terima rasuah

    Koperal didenda RM30,000 terima rasuah

    SEORANG anggota polis berpangkat koperal didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3,600.

    Mohd. Hanif Mohamad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang berjumlah RM3,600 daripada seorang pengurus syarikat pengangkutan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad cawangan Ayer Keroh di Melaka, antara 14 Januari hingga 12 Disember 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua (2) tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam dan perlu menjaga nama baik kerajaan.

    Peguam bela tertuduh, Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman denda dikenakan atas alasan tertuduh perlu menyara isteri, seorang anak berusia 10 tahun, ibu yang uzur dan adik beradik yang masih belajar selain tertuduh hanya bekerja sebagai penjual ikan selepas ditahan.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda tersebut atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda itu, lapor Sinar Harian.

  • ‘Saya bukan boneka sesiapa’- Anwar balas dakwaan Tun M kerajaan akur pada DAP

    ‘Saya bukan boneka sesiapa’- Anwar balas dakwaan Tun M kerajaan akur pada DAP

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membalas semula kenyataan yang membayangkan beliau tunduk kepada mana-mana pihak.

    Ini setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan pimpinan Anwar terikat dengan DAP kerana parti itu memiliki anggota parlimen yang ramai.

    “Ada dibahaskan (kata) kita tunduk kerana dokongan parti berasaskan Cina, DAP yang menguasai (kerajaan).

    “Perdana Menteri adalah saya, saya bukan boneka sesiapa.

    “Alhamdulillah umur (saya) akan cecah 76 tahun. Saya tak boleh dibeli dengan wang ringgit, kalau boleh dibeli saya dah melencong lama dah,” katanya dalam forum di Putrajaya, hari ini, lapor Malaysiakini.