Category: Semasa

  • Rancangan percepat pelaksanaan Borneonisasi antara fokus Dewan Rakyat hari ini

    Rancangan percepat pelaksanaan Borneonisasi antara fokus Dewan Rakyat hari ini

    PERANCANGAN kerajaan Persekutuan dalam mempercepatkan pelaksanaan Borneonisasi selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 antara yang dijangka menarik perhatian pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

    Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, soalan itu akan dikemukakan Jugah Anak Muyang (Bebas-Lubok Antu) kepada Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

    Beliau juga ingin tahu mengenai jumlah pegawai dari Sabah dan Sarawak yang memegang jawatan Ketua Jabatan dan Jabatan Persekutuan di kedua-dua negeri itu.

    Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) kepada Menteri Pengajian Tinggi berkaitan inisiatif pengajian sepanjang hayat melalui kaedah Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

    Shamsul Iskandar juga ingin tahu sejauh mana pengiktirafan diberikan kepada individu yang mengambil jalur itu untuk mendapat ijazah sarjana dan kedoktoran.

    Pada sesi soal jawab pula, Datuk Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu) meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula harga minyak di pam memandangkan harga minyak mentah meningkat ke USD95 setong (harga Brent pada 7 Februari lepas).

    Amiruddin juga bertanyakan jumlah subsidi yang perlu ditanggung jika harga tidak disemak serta pendapatan tambahan kerajaan dengan kenaikan harga minyak mentah itu.

    Selesai sesi tersebut, persidangan bersambung dengan pembentangan bacaan kali pertama melibatkan Rang Undang-undang Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 dan Rang Undang-undang Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang kesemuanya dijangka dikemukakan Menteri Sumber Manusia. 

    Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022.
    Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 berakhir hari ini setelah 16 hari bersidang. – Bernama
     

  • PKR,DAP nafi pembangkang  langgar MoU dengan kerajaan

    PKR,DAP nafi pembangkang langgar MoU dengan kerajaan

    TINDAKAN pembangkang menolak usul dikemukakan kerajaan di Dewan Rakyat, tidak mendatangkan kesan terhadap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini.

    Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi turut menyatakan bahawa usul tersebut bukan sebahagian daripada MoU yang dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

    “Seperti yang dijelaskan beberapa rakan Ahli Parlimen, usul ini bukan sebahagian daripada MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan, dan penolakannya tidak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MoU tersebut.

     “Saya juga mengambil maklum pertemuan pimpinan Pakatan Harapan bersama Perdana Menteri siang tadi, dan komitmen beliau untuk membentang Rang Undang-Undang Antilompat Parti dalam satu sidang khas Parlimen pada April,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.

    Menurut Anwar, beliau telah mengikuti perjalanan sidang Dewan Rakyat hari ini khususnya berkaitan usul yang dibawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

    “Penghargaan saya buat seluruh saf pembangkang kerana telah menyatakan pendirian yang teguh dan utuh, serta berjaya menolak usul tersebut,” ujarnya.

    Media sebelum ini melaporkan, usul Hamzah untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, gagal melepasi undi belah bahagi.

    Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu berkata, ahli Parlimen yang bersetuju dengan usul tersebut ialah seramai 84 orang, manakala tidak bersetuju seramai 86 orang.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menegaskan perkara yang sama.

    Beliau berkata, selepas undian usul tersebut, dia bersama Setiausaha Agung PKR  Datuk Saifuddin Nasution dan Presiden Amanah Mohamad Sabu telah bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menjelaskan bahawa usul tersebut bertentangan dengan pendirian PH.

    Ini kerana menurutnya, PH akan memberikan sokongan penuh kepada dua usul dan rang undang-undang yang diperincikan dalam MoU antara PH dan kerajaan.

    “Dalam usul Sosma ini, tidak ada apa-apa rundingan dengan pihak pembangkang sebelum dibentangkan pada hari ini.

    “Jadi kita bebas mengambil pendirian kita dan itu memang konsisten dengan pendirian kita bahawa Sosma itu perlu bagi dilihat kembali dan dikaji semula. Saya nak bagitahu di sini, ini tidak bermaksud kita telah melanggari MoU kita antara PH dengan kerajaan kerana usul berkenaan Sosma ini ataupun usul-usul lain ini dia tak ada berkaitan dengan MoU,’’ katanya laporan Malaysiakini.

    Beliau menegaskan,  MoU di antara PH dengan kerajaan ialah hanya dua perkara sahaja yang kita akan mengambil pendirian berkecuali ataupun tidak Perdana Menteri.

    “Jadi selain daripada dua perkara ini, yang kita perlu rundingkan bersama sekiranya ada apa-apa usul atau RUU ini, maka untuk semua RUU atau usul-usul yang lain perlulah dirundingkan dengan kita terlebih dahulu,” katanya.

    Menyifatkan kegagalan melanjutkan usul tersebut sebagai satu sejarah yang luar biasa dalam Dewan Rakyat, Loke menekankan bahawa ahli-ahli parlimen pembangkang bertindak sedemikian kerana ia adalah hak mereka sebagai ahli Parlimen.

    “Tetapi MOU kekal. Tapi syaratnya itu adalah apa yang dijanjikan itu mesti dibawa oleh kerajaan dan kita menaruh harapan bahawa Perdana Menteri akan menunaikan janjinya untuk membawa pindaan perlembagaan pada bulan Ramadan ini. Jadi kita harap itu akan berlaku dan kita akan berikan sokongan penuh,” katanya.

    Loke berkata, pembangkang juga akan memberikan komitmen untuk memberikan sokongan terhadap RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengecualikan nama-nama kerabat diraja, sultan-sultan dan juga pewaris-pewaris raja daripada tersenarai di daftar pemilik yang dijangka dibawa esok.

  • Pelatih akademik bolasepak Mokhtar Dahari dikhuatiri lemas di Baling

    Pelatih akademik bolasepak Mokhtar Dahari dikhuatiri lemas di Baling

    SEORANG remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling,petang semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata mangsa Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa, 14, dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tersebut kira-kira 1 tengah hari.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling bergegas ke tempat kejadian. Tindakan awal, bomba ialah melakukan pencarian di permukaan air di sekitar lokasi berkenaan.

     “Berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, rakan-rakan mangsa cuba untuk mencari terlebih dahulu, apabila usaha mencari gagal, rakan mangsa memaklumkan kejadian kepada keluarga mangsa dan selepas itu barulah keluarga mangsa menghubungi bomba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya ketika kejadian cuaca di kawasan tersebut adalah baik namun ketika pasukan bomba tiba hujan mulai turun dengan lebat dan menyebabkan paras air sungai meningkat.

    Mohamadul Ehsan berkata keadaan itu menyebabkan operasi pencarian menjadi sukar dan ketika ini mangsa masih belum ditemui.

    Dalam pada itu, Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) dalam catatan di akaun Facebooknya mengesahkan remaja itu adalah pelatih akademi itu untuk pemain Bawah 14 tahun.

    Menurut AMD, ketika ini Muhammad Saiful Ezzudin dan semua pelatih bawah 14 dan 15 tahun akademi itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman masing-masing dari 19 hingga 27 Mac ini.

    “Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pihak polis dan bomba. Justeru itu, kami memohon doa dari semua agar dipermudahkan operasi pencarian yang sedang dijalankan serta semoga pelatih tersebut dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

    Sementara itu, Mohamadul Ehsan berkata dalam kejadian berasingan seorang lelaki dipercayai lemas selepas terjun ke dalam laut daripada bot di pelantar ikan Kampung Ulu dekat Kuala Kedah, di sini petang tadi.

    Beliau berkata, saksi mendakwa mangsa yang berusia 43 tahun itu telah terjun ke dalam laut daripada bot yang dilabuhkan berhampiran pelantar sebelum dilihat terkapai-kapai dibawa arus deras.

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.21 petang dan anggota dari BBP Jalan Raja telah ke lokasi kejadian. Pencarian di permukaan air telah dijalankan di sekitar kawasan jeti berkenaan dan setakat ini belum menemui mangsa,” katanya.

    — BERNAMA

  • Pengurus bank rugi RM605,000 diperdaya ‘Suraya Sani’

    Pengurus bank rugi RM605,000 diperdaya ‘Suraya Sani’

    SEORANG pengurus bank di Kuala Lumpur membuat laporan polis di sini semalam, selepas mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM605,000 akibat menjadi mangsa Macau Scam.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Aibee Abd Ghani berkata, wanita berusia 53 tahun itu mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama “Suraya Sani” kononnya dari Ibu pejabat Etiqa di Seremban kira-kira 5 petang Jan lalu.

    Beliau berkata, “Suraya” mendakwa ada individu menggunakan nama pengurus bank berkenaan untuk menuntut pampasan dan panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lelaki mengaku sebagai “Sarjan Hairul Mohd Musa” dari Balai Polis Pudu.

    Dalam kenyataan hari ini, Aibee berkata, pengurus bank itu ditunjukkan dokumen kononnya waran tangkap dan bagi menyelesaikan “masalah” itu, wanita berkenaan diminta memindahkan wangnya dari akaun ASNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing berjumlah RM425,000 dan RM180,000 ke akaun Bank Islamnya.

    Menurutnya, wanita itu juga diarahkan tidak memeriksa akaun Bank Islam miliknya itu kononnya untuk tujuan siasatan polis, namun apabila dia mulai curiga, selepas diperiksa wanita itu mendapati wang dalam akaun Bank Islam itu telah lesap, lalu dia terus membuat laporan polis semalam.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – BERNAMA

  • ‘’Gantung MoU! Jom!… Kita buat persiapan,bersedia untuk PRU15’’ – Annuar

    ‘’Gantung MoU! Jom!… Kita buat persiapan,bersedia untuk PRU15’’ – Annuar

    • Dakwa PH langgar MoU Kerajaan,Pembangkang

    PAKATAN Harapan (PH) telah melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, apabila meminta undi belah bahagian dijalankan bagi usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), di Dewan Rakyat hari ini.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pada hemat beliau, tindakan pembangkang itu menyebabkan MoU berkenaan terbatal.

    “Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan. Dan ini satu ‘blessing in disguise’, kerana YAB Perdana Menteri kini bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MoU tersebut,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.

    Beliau berkata Perkara 3.3 (b) MoU itu menyatakan PH bersetuju mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

    Annuar berkata tindakan PH, sekali gus memudahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan mandat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, berhubung pembubaran Parlimen.

    Katanya, ia juga membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disegerakan, selari dengan keputusan PAU 2021.

    “Gantung MoU! Jom!… Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU15,” menurut catatan itu.

    Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

    Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian, yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

    Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

    — BERNAMA

  • Mendiang Ewe bimbang keselamatan selepas dedah kes rasuah Guan Eng

    Mendiang Ewe bimbang keselamatan selepas dedah kes rasuah Guan Eng

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB) Datuk Ewe Swee Kheng, meluahkan rasa kebimbangan akan keselamatannya selepas membuat pendedahan berkaitan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

    Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Nazree Mansor, 32, berkata demikian ketika membacakan rakaman percakapan Ewe yang diambilnya di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 14 Ogos 2021.

    Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Okt 2021.

    Muhammad Nazree, yang juga saksi pendakwaan ke-15, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan berkata, Ewe memaklumkan sekiranya terdapat pihak yang mengetahui beliau membuat pendedahan itu, beliau bimbang ia akan memberikan implikasi yang buruk kepadanya.

    Menurut saksi itu, rakaman percakapan Ewe menyatakan, “Saya berasa sedikit bimbang dengan keselamatan saya selepas membuat pengakuan ini. Tetapi saya akan berjaga-jaga selepas ini.”

    Pegawai perakam itu berkata, mendiang turut menyatakan semasa pihak SPRM memulakan penyiasatan berhubung isu projek pembinaan jalan dan terowong, Parti Pakatan Harapan memegang pemerintahan di negara ini.

    “YB LGE juga terlepas dari kes mahkamah berkaitan dengan skandal banglo yang dihadapinya yang mana saya (Ewe) tahu YB LGE adalah ‘untouchable’ pada masa itu,” kata saksi berkenaan yang membacakan rakaman percakapan mendiang.

    Tambah Muhammad Nazree, mendiang juga menyatakan beliau ada mendengar banyak cerita bahawa Lim ada menerima wang daripada syarikat kontraktor, dan beliau perlu menceritakan perkara sebenar kerana jika dirahsiakan hal itu, tiba masa ianya akan terbongkar dan menjejaskan perniagaannya.

    Menurut saksi itu, Ewe juga menyatakan beliau tidak pernah dipaksa untuk memberi pernyataan itu, dan apa yang diceritakan kepada pihak SPRM adalah perkara yang sebenar, selain memaklumkan pertambahan pernyataan percakapan itu dibuat berkaitan perjumpaan dan pertolongan Lim kepadanya.

    Rakaman percakapan mendiang telah diambil oleh SPRM sebanyak enam kali termasuk rakaman percakapan terakhir pada 14 Ogos 2021.

    Selain itu, Muhammad Nazree berkata, Ewe menerusi rakaman percakapannya menyatakan bahawa Lim ada berjumpa dengannya dan memaklumkan, beliau sudah ada satu projek yang boleh menolongnya iaitu projek terowong di Pulau Pinang, yang mana ia adalah projek kerajaan negeri.

    “Beliau (Lim) juga beritahu saya projek itu akan diberikan kepada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. YB LGE menyuruh saya untuk berjumpa dengan wakil CZBUCG iaitu Datuk Zarul untuk ‘deal’, bagi penjualan tanah kepada syarikat saya (EZCB).

    “YB LGE juga beritahu saya jika ‘deal’ saya dengan Datuk Zarul berjaya, saya boleh ‘control’ duit kerana syarikat itu tidak ‘power’. Saya juga ada meminta bantuan dengan YB LGE dalam penamaan syarikat EZCB sebagai pemilik tanah Lot 702, yang telah diberikan kepada CZBUCG daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

    “Berkaitan dengan projek lebuh raya dan terowong, saya memang berminat untuk memajukan tanah Lot 702 itu. Pada masa itu, saya mengenali Datuk Zarul melalui media yang dikenali sebagai ‘6 Billion Dollar Man’,” menurut rakaman percakapan Ewe itu.

    Sementara itu, Muhammad Nazree tidak bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim bahawa mendiang Ewe tidak memberi keterangan secara sukarela ketika rakaman percakapannya diambil pada 14 Ogos 2021, dan disebabkan itu ia bertentangan dengan keterangan lain.

    Disoal peguam itu berhubung kematian Ewe sebelum saksi itu dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim, Muhammad Nazree berkata beliau hanya mengetahui mengenai kematian Ewe dari laporan media dan tahu siasatan telah dilakukan oleh pihak polis.

    Lim berhadapan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Setiausaha Agung DAP itu, turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Lebih 13,000 guru pengambilan ‘one-off’ berjaya dapat penempatan – Radzi

    Lebih 13,000 guru pengambilan ‘one-off’ berjaya dapat penempatan – Radzi

    SERAMAI 13,225 guru baharu di bawah pengambilan khas secara ‘one-off’ sudah melapor diri atau menerima penempatan masing-masing setakat ini.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata 307 guru telah melapor diri pada 1 Dis tahun lepas, 8,120 melapor diri pada 1 Mac lepas, manakala 4,828 lagi akan melapor diri pada 4 April depan.

    “Alhamdulillah kita sudah selesai lebih 13,000 guru, untuk batch atau kohort terbaharu iaitu lebih 4,000 orang, mereka akan ditempatkan bulan depan dan keputusan penempatan mereka juga sudah pun keluar.

    “Insya-Allah baki lebih 5,000 guru, kita akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) supaya baki itu dapat diisi dan diselesaikan segera,” katanya dalam sidang media di Langkawi hari ini.

    Beliau berkata kementerian berharap kesemua pengambilan guru secara one off seramai 18,702 orang seperti yang telah diumumkan sebelum ini, dapat menyelesaikan isu kekurangan guru di sekolah Kementerian Pendidikan sejak sekian lama.

    Menurutnya apabila semua kekosongan itu dapat diisi sepenuhnya, baharulah kementerian boleh memikirkan untuk pengambilan guru baharu atas sebab lain, antaranya guru bersara dan mengisi keperluan di sekolah baharu.

    “Isu kekurangan guru akan tetap berlaku tetapi tidaklah sampai 18,000 seperti sebelum ini. Kita akan tutup yang ini dahulu, kemudian jika ada kekosongan dari semasa ke semasa kita akan selesaikan berdasarkan keperluan,” katanya.

    Terdahulu Radzi menghadiri program penyampaian peranti digital Yayasan Didik Negara (YDN) dan Yayasan AEON Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang, di sini.

    Mengulas mengenai program itu, Radzi berkata kementeriannya sedang di peringkat akhir untuk menyiapkan rangka dasar pendidikan digital dan sumbangan peranti digital kepada pelajar sekolah dapat mempersiapkan mereka sebelum dasar itu diperkenalkan.

    “Kita berharap dapat bekerjasama menerusi YDN dengan pelbagai pihak untuk memastikan kita dapat melaksanakan dasar pendidikan digital itu nanti, termasuk sumbangan peranti digital oleh pelbagai pihak untuk anak-anak kita,” katanya.

    — BERNAMA

  • Op Benteng:Enam PATI dicekup

    Op Benteng:Enam PATI dicekup

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    ENAM pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di Kampung Punggai, Kota Tinggi, hari ini.

    Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 32 hingga 48 tahun.

    “Pada pukul 7 pagi, Tim Peronda telah mengesan dan melihat pergerakan orang yang mencurigakan di kampung tersebut. Kemudian pada pukul 7.30 pagi tim Tim Quick Reaction Force (QRF) ke lokasi kejadian dan berjaya menahan enam PATI.

    “Kesemua enam PATI berkenaan telah dibawa ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk proses pemeriksaan dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semua PATI berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada pukul 1.30 petang.

    Menurutnya, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada pukul 9.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.

    Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini pada pukul 10.30 pagi.

    Mereka ujarnya, diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada pukul 1.30 petang.

    Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM2,044 melibatkan wang tunai RM235, matawang Rupiah Indonesia IDR 2,424,109 (RM789), enam buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM605, barang kemas bernilai RM400 dan barangan peribadi bernilai RM15.

    “Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.

  • 1,182 individu dikompaun merokok di kawasan larangan di Pulau Pinang

    1,182 individu dikompaun merokok di kawasan larangan di Pulau Pinang

    JABATAN Kesihatan Pulau Pinang mengeuarkan sebanyak 1,182 kompaun menerusi operasi bersepadu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 sepanjang tahun ini setakat semalam.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Datin Dr. Azizah Abd. Manan berkata, daripada jumlah itu kompaun paling tinggi dikeluarkan bagi kesalahan merokok di tempat larangan iaitu sebanyak 996.

    Menurut beliau, kesalahan itu paling banyak didapati dilakukan di tempat makan dan kedai tertutup yang dilengkapi alat pendingin hawa selain pusat beli-belah dan lapangan terbang.

    “Masih ada dalam kalangan rakyat yang tidak patuh dan mungkin tidak faham tentang kepentingan larangan merokok di kawasan awam.

    “Oleh itu orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa selain melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok yang diadakan di sekitar negeri itu bermula kira-kira pukul 10 pagi hingga 3 petang hari ini.

    Dalam pada itu Dr. Azizah berkata, kompaun berkenaan dikenakan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 kerana merokok di tempat larangan dan Peraturan 12 PPKHT 2004 atas kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan.

  • Wanita warga Jepun ditahan buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir 5  lelaki Afrika

    Wanita warga Jepun ditahan buat laporan palsu dirogol bergilir-gilir 5  lelaki Afrika

    SEORANG wanita Jepun ditahan kerana dipercayai membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol bergilir-gilir oleh lima lelaki Afrika di tepi Jalan SP 5/4, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan awal bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan memberitahu, berdasarkan laporan yang diterima 1 Februari lalu, wanita berusia 20 tahun itu mendakwa kumpulan lelaki Afrika itu melarikan barang miliknya selepas merogolnya.

    Katanya, polis kemudian menjalankan siasatan namun mendapati laporan perubatan dikemukakan doktor menunjukkan tiada sebarang kesan rogol pada tubuhnya.

    “Ini menimbulkan rasa curiga terhadap laporan yang dibuatnya. Apabila pengadu dibawa ke lokasi kejadian, dia juga gagal menunjukkan bagaimana dan tempat kejadian sebenar berlaku.

    “Malah dia juga gagal mengecam wajah lima suspek warga Afrika yang dikatakan melakukan samun dan merogolnya,” katanya dalam kenyataan, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut Anbalagan memberitahu, polis kemudian melakukan siasatan lajut dan mendapati dakwaan itu palsu.

    Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan motif wanita itu membuat laporan palsu tersebut.

    Katanya, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu dan jika disabit bersalah wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Suspek katanya, akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis.

    Tegas beliau, polis memandang serius perkara itu dan memberi amaran mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang membuat laporan palsu.