Category: Semasa

  • Edar dadah lebih 413kg, dua lelaki berdepan hukuman mati

    Edar dadah lebih 413kg, dua lelaki berdepan hukuman mati

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah jenis nimetazepam seberat 413.8 kilogram (kg), minggu lalu.

    Tertuduh, Choong Boon Wah dan Seng Chun Leong masing-masing berusia 44 tahun mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

    Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada kedua-dua tertuduh.

    Mengikut semua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan seberat 59.5kg, 64.299kg, 240.43kg dan 49.597kg di sebuah rumah di Jalan Sri Klebang, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor di Ipoh, sekitar pukul 9.15 pagi pada 15 Ogos lalu.

    Kesemua pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum hukuman mati, dihukum tidak kurang 12 sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Asyraaf Abu Bakar Hamzah.

    Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan kes bagi laporan kimia.

    Di Mahkamah Majistret berasingan, kedua-dua lelaki itu didakwa atas pertuduhan memiliki dua laras senjata api tiruan jenis HK416 dan HKMP5 beserta satu kelopak sekitar pukul 9.30 pagi di lokasi dan tarikh yang sama.

    Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin dan tertuduh diwakili peguam Asyraaf.

    Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan kes disebut semula pada 6 Oktober depan untuk serahan dokumen.

    Media melaporkan sindiket memproses dadah jenis erimin 5 yang berselindung di sebuah banglo dua tingkat di Klebang, Chemor dekat Ipoh sejak Mac lalu akhirnya tumpas selepas diserbu polis.

    Kewujudan makmal memproses dadah jenis erimin 5 itu berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang bertindak menyerbu yang disewa suspek dan merampas kesemua dadah berkenaan yang bernilai RM30.6 juta.

  • Ahmad Terrirudin peguam negara seterusnya?

    Ahmad Terrirudin peguam negara seterusnya?

    PEGUAM Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Salleh dikatakan menjadi pilihan utama bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai peguam negara yang kontraknya tamat bulan depan, menurut sumber.

    Perkhidmatan Idrus dilanjutkan selama enam bulan selepas kontrak asalnya tamat Mac lalu, beliau dilantik pada 6 Mac 2020, menggantikan Tommy Thomas.

    Sumber berkata, peguam kanan serta hakim yang sedang berkhidmat dan bersara mungkin keberatan untuk memikul tugas itu kerana ia akan melibatkan menangani beberapa kes berprofil tinggi.

    “Pada masa ini, Terrirudin kelihatan berada dalam kedudukan baik untuk menyandang jawatan itu, yang dianggap sebagai ‘kerusi panas’,” kata sumber itu kepada FMT.

    Jika dilantik, Terrirudin, 54, akan menjadi calon pertama daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sejak Abdul Gani Patail memegang jawatan tertinggi itu antara 2002 dan 2015.

    Sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada Mac tahun lepas, Terrirudin ialah ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan.

    Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Apandi Ali dilantik sebagai peguam negara dari Julai 2015 hingga Mei 2018, tetapi khidmatnya ditamatkan lalu diganti oleh Tommy Thomas, yang dilantik pada Jun 2018.

    Tommy kemudian meletak jawatan pada Februari 2020.

    Idrus, bekas peguam cara negara, ialah hakim Mahkamah Persekutuan sebelum menjadi peguam negara pada 2020.

    Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri.

    Bagaimanapun, satu lagi sumber berkata, Idrus mungkin dikekalkan sehingga penghujung tahun. FMT telah menghubunginya untuk mendapatkan respons.

    “Pada dasarnya, terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memutuskan siapa yang akan menjadi peguam negara merangkap pendakwa raya,” kata peguam A. Srimurugan.

  • Ibu maut selepas pulang jemput anak dari asrama

    Ibu maut selepas pulang jemput anak dari asrama

    SEORANG ibu maut manakala dua anaknya selamat selepas Proton Exora bertembung dengan Perodua Alza di Jalandhar berhampiran simpang Felda Air Tawar 1, Jalan Kota Tinggi-Sungai Rengit di Kota Tinggi, petang semalam.

    Difahamkan mangsa Mariani Omar, 44 yang berasal dari Felda Tenggaroh 2, itu dalam perjalanan selepas mengambil anaknya dari asrama di Bandar Penawar sebelum terbabit dalam nahas jalan raya kira-kira 3.40 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat kemalangan tersebut.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, semasa menerima rawatan. Kemalangan dipercayai berlaku ketika wanita tersebut memandu kereta Proton Exora bersama dengan dua anak berumur antara 18 dan 15 tahun yang dalam perjalanan dari arah Bandar Penawar menghala ke Kota Tinggi.

    “Kereta dipandu telah bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berumur dalam lingkungan 40-an.

    “Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu Alza mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di HKT. Dua anak si mati selamat dalam kejadian itu, ” katanya lapor Sinar Harian.

  • Pembantu peribadi mengaku tak bersalah pecah amanah hampir RM1.6 juta

    Pembantu peribadi mengaku tak bersalah pecah amanah hampir RM1.6 juta

    SEORANG pembantu peribadi kepada pengarah sebuah syarikat perunding pertahanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1.58 juta antara bulan Disember 2021 sehingga Disember 2022.

    Tertuduh, Tan I-Lyn bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, pagi ini.

    Mengikut pertuduhan pertama, wanita berusia 39 tahun itu didakwa sebagai pekerja iaitu pengurus pentadbiran dan pembantu kepada pengarah syarikat Ada Vinci Global Sdn. Bhd. telah diamanahkan untuk menguruskan perihal kewangan syarikat berkenaan.

    I-Lyn didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya mengambil wang milik syarikat itu berjumlah RM58,354 yang mana dia telah menjadikan harta tersebut bagi kegunaan sendiri.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai pemegang jawatan yang sama telah melakukan kesalahan serupa iaitu melakukan pecah amanah terhadap wang milik syarikat yang sama berjumlah RM1,518,422.88 yang juga dijadikan harta untuk kegunaan sendiri tertuduh.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat berkenaan di Menara YNH Kiara di Mont Kiara, dekat Brickfields di Kuala Lumpur antara 3 Disember 2021 sehingga 10 Disember 2022.

    Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih daripada 14 tahun, dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias tidak mencadangkan sebarang jaminan dibenarkan ke atas tertuduh.

    Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan, Noor Shakira mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM120,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

    Noor Shakira juga mencadangkan agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa miliknya untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

    Peguam yang mewakili tertuduh, Azzuan Shah Abd. Razak memohon agar mahkamah menetapkan jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis.

    “Saya juga difahamkan bahawa pasport tertuduh telah dirampas sejak dia ditahan oleh pihak berkuasa. Namun tertuduh tidak membantah sekiranya perlu menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah bagi tujuan merendahkan jumlah jaminan,” kata peguam itu, lapor Utusan TV.

    Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Sabariah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Mahkamah menetapkan 27 September depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

  • Gelombang PN akan turut landa Johor, bawa kemenangan di Pulai serta Simpang Jeram – Sanusi

    Gelombang PN akan turut landa Johor, bawa kemenangan di Pulai serta Simpang Jeram – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    GELOMBANG Perikatan Nasional (PN) yang dibuktikan di beberapa negeri dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini akan turut melanda Johor sekali gus membawa kemenangan kepada gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, tidak lama lagi.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kemaraan gelombang itu tidak lagi boleh disekat dengan beliau turut menyifatkan bahawa Johor sudah tidak lagi menjadi kubu kuat UMNO.

    “Dulu Johor memang kubu kuat UMNO tetapi sekarang tak lagi. Semua perkara boleh berubah dengan parti-parti di luar negara yang bersifat kuku besi macam di Jerman Barat dan Parti Demokratik Liberal (LDP), Jepun pun boleh ‘terbalik’.

    “Dah sampai masanya berubah dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PJ) akan terbalik dengan gelombang PN di Johor nanti. ‘No more’ kubu kuat… Di sana dilahirkan UMNO, di sana juga kuburnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Hari Penyayang Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

    Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, dakwaan gelombang PN bakal melanda negeri Johor susulan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu bagai bermimpi di siang hari.

    Menurut Nur Jazlan, PN yang membabitkan tiada kekuatan di Johor dan gabungan tersebut hanya berkisar di bahagian utara iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Parlimen Mersing.

    Muhammad Sanusi dalam pada itu turut mengulas dakwaan Nur Jazlan yang mendakwa cakap-cakap Menteri Besar Kedah itu tidak laku di Johor kerana penduduknya sederhana dan tidak ekstrem dengan isu agama serta kaum dimainkan PN.

    “Cakap Nur Jazlan pun tak laku kerana UMNO tak boleh nak berlawan di dua kawasan itu. UMNO lawan pun kalah dan kalau dibandingkan antara kami berdua di merata-rata, saya laku lagi,” katanya.

    Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut yakin bahawa DUN Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk serta pencetus kepada gelombang PN bagi bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang.

    “Sambutan luar biasa terhadap PN, gelombang ini tidak boleh disekat lagi dan semua tahu bahawa mana-mana yang ‘berpakat’ dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kalah,” katanya.

  • ‘Mesej Hadi memang pahit, tapi cuma buat yang dipandu nafsu’

    ‘Mesej Hadi memang pahit, tapi cuma buat yang dipandu nafsu’

    SETIAUSAHA politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman mempertahankan mesej-mesej Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui siri tulisannya.

    Menjawab kritikan rakan sejawatnya bagi pihak Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Kamil Abdul Munim, Syahir mengakui mesej-mesej Hadi memang pahit umpama hempedu.

    Bagaimanapun, tanpa menghuraikan lanjut, katanya, ia cuma dirasai ‘golongan tertentu, khususnya yang tenggelam dipandu nafsu’.

    “Namun ada kalanya ‘manis umpama madu’ kepada mereka yang terbuka hatinya untuk terus dipandu wahyu,” katanya.

    Memetik sepotong ayat al-Quran, beliau menegaskan tugas untuk menyampaikan ‘risalah’ (pesan-pesan yang terangkum dalam ajaran Islam).

    “Risalah yang terkandung dalamnya berita gembira, peringatan, mahupun amaran kepada hati-hati yang terbuka, walaupun mungkin ada hati-hati yang terluka,” katanya.

    Muhammad Kamil (kiri) dan Hadi
    Muhammad Kamil hari ini mengkritik siri tulisan ‘Minda Presiden’ Hadi yang menurutnya hanya membawa mesej “benci, benci dan terus membenci”.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas tulisan yang mendakwa bahawa UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah), parti serpihan Pas, menjadi ‘gurkha DAP’.

    Ini bukan kali pertama Hadi mencetuskan kontroversi melalui tulisannya.

    Beberapa hari lepas beliau mengkritik bapa sastera Melayu moden Munshi Abdullah sebagai “khadam penjajah”.

    Hadi juga sebelum ini mencetuskan kemarahan pengkritik dengan mengaitkan orang bukan Islam dengan gejala rasuah.

    Dalam kenyataan hari ini, Syahir mempertahankan tulisan Hadi sebagai membangkitkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan umat Islam.

  • PRK Pulai, Simpang Jeram bermula dengan penamaan calon esok

    PRK Pulai, Simpang Jeram bermula dengan penamaan calon esok

    BAHANG pilihan raya yang baharu sahaja reda di enam negeri kini beralih ke negeri ‘Harimau Selatan’ apabila pertarungan merebut kerusi Parlimen Pulai, di Johor Bahru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Muar, bermula dengan hari penamaan calon esok.

    Proses penamaan calon yang bermula pada 9 hingga 10 pagi itu, bakal diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Johor Bahru bagi Parlimen Pulai, manakala untuk kerusi DUN Simpang Jeram di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar.

    Menurut Pejabat Pilihan Raya Johor, setakat ini 22 set borang pencalonan telah dijual kepada beberapa parti politik termasuk parti Amanah, Pas, Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.

    PRK di dua kawasan itu dijangka akan menyaksikan persaingan sengit apabila Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan dua anak didik Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, penyandang bagi dua kerusi kawasan itu, menentang dua calon Perikatan Nasional (PN).

    PH telah menamakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor yang juga Setiausaha Politik Allahyarham Salahuddin, Suhaizan Kaiat yang bertanding atas tiket Amanah sebagai bakal calon Parlimen Pulai untuk mempertahankan kerusi itu, menentang bakal calon PN Zulkifli Jaafar yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pulai.

    Sementara itu, di DUN Simpang Jeram pula, PH mempertaruhkan Timbalan Ketua Amanah kawasan Bakri Nazri Abdul Rahman yang merupakan seorang jurutera, menentang calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, seorang pakar perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular.

    Selain itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi difahamkan turut akan mencuba nasib untuk menjadi Ahli Parlimen apabila telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan itu atas tiket Bebas.

    PRN ini diadakan susulan kematian penyandang kedua kerusi berkenaan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    Salahuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, merupakan Timbalan Presiden Amanah, penyandang kedua-dua kerusi berkenaan buat kali kedua, yang juga satu-satunya kerusi Amanah di Negeri Johor.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac tahun lepas, Pakatan Harapan (PH) memenangi 13 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) menguasai DUN Johor dengan 40 kerusi, dan Perikatan Nasional tiga kerusi.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lepas, PH memenangi 15 kerusi parlimen dengan Amanah memenangi dua kerusi daripada itu, selain Barisan Nasional (sembilan) dan PN (dua). 

  • Terperangkap di era Muhyiddin, penjawat awam sokong PN dalam PRN – Ilham Centre

    Terperangkap di era Muhyiddin, penjawat awam sokong PN dalam PRN – Ilham Centre

    POLA pengundian pilihan raya negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos lalu menunjukkan penjawat awam lebih menyokong Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kajian yang dilakukan badan penyelidikan Ilham Centre.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar berkata, daripada temu bual yang dilakukan didapati penjawat awam sebenarnya masih terperangkap dalam era pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Katanya, disebabkan itu penjawat awam tidak menterjemahkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir sekarang.

    “Penjawat awam tidak terjemahkan sokongan kepada kerajaan kerana (berlaku episod) perubahan pentadbiran kerajaan. Kalau dilihat (sebelum ini) daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) bertukar kepada PN selepas insiden Langkah Sheraton. Kemudian daripada PN (berubah) kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan.

    “Jadi bagi kelompok penjawat awam ini sebenarnya mereka masih terperangkap ketika pentadbiran di bawah Muhyiddin. Mereka terperangkap di situ dan tidak menukar (sokongan) kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.

    Beliau berkata demikian menerusi sesi soal jawab dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 bertajuk ‘PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi’ yang bersiaran secara langsung dari Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya, di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhamad Hisommudin terdahulu turut membentangkan dapatan kajian berjudul ‘Prediksi Akhir PRN, Prestasi PH Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu’.

    Wacana itu turut menampilkan empat panel lain iaitu Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim yang membentangkan laporan bertajuk ‘Pola Pengundian PRN Membentuk Polarisasi Kaum’ dan Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd. Muis (Merawat Melayu: UMNO Perlu Bagaimana).

    Pensyarah Kanan APM, Dr Abdul Muqit Muhammad pula memperincikan hasil kajian ‘Memahami Pengundi Muda/Pertama Kali’ dan Editor Kanan Astro Awani, Nazri Kahar (Media: Politik Prestasi VS Sentimen).

    Mengulas lanjut, Muhamad Hisommudin menjelaskan, daripada segmen penjawat awam itu dapat dilihat golongan guru kini beralih arah menyokong Pas atau PN.

    “Guru ini dahulunya adalah aset kepada UMNO-BN kerana dulu kebanyakan daripada mereka memang secara terbuka menyokong BN tetapi sekarang ini dah jadi sebaliknya, (mereka dilihat) menyokong Pas atau PN.

    “Dalam temu bual saya dengan guru-guru di sekolah-sekolah mereka mengakui Menteri Pendidikan sekarang lebih baik (daripada menteri sebelumnya) tetapi mereka tetap menyokong PN,” ujarnya.

    Kata Muhamad Hisommudin, situasi berkenaan juga jelas menunjukkan gandingan naratif Melayu dan Islam jika digabungkan ia memberikan kelebihan kepada PN.

    “Kalau dulu (identiti) BN hanya Melayu, Pas hanya Islam tetapi sekarang ini (bila naratif Melayu dan Islam) digabungkan, ia memberikan satu gabungan yang luar biasa,” jelasnya lapor Sinar Harian.

  • Tambun tak selamat jika Anwar gagal sekat gelombang hijau

    Tambun tak selamat jika Anwar gagal sekat gelombang hijau

    MENANG dengan majoriti 3,736 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parlimen Tambun bukan lagi kerusi selamat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim jika trend sokongan pengundi Melayu kekal menjauhi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada PRU16.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kerusi majoriti Melayu itu berpeluang jatuh semula kepada Perikatan Nasional (PN), sekiranya gelombang hijau yang semakin menekan Putrajaya gagal ditangani pakatan PH-BN.

    “Kekal sebegini, PMX (Perdana Menteri Anwar) dan pasukannya sedang menggali kubur sendiri,” katanya kepada FMT merujuk sokongan pengundi Melayu kepada PN semakin kuat berdasarkan keputusan PRN enam negeri 12 Ogos lalu.

    Pada PRU15, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mendapat 49,625 undi menewaskan penyandang kerusi itu Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Faizal Azumu dengan 45,889 undi.

    Hisommudin menambah, Perdana Menteri mungkin hanya boleh mengharapkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta yang mempunyai pengundi India agak ramai, jika mahu kekal bertanding di kerusi itu.

    “DUN Manjoi dulu dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi PRU15 kalah kepada Pas, sekarang bergantung di Hulu Kinta.

    “Tetapi dengan perubahan mutakhir membabitkan masyarakat India yang semakin menjauhi MIC dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya khuatir sokongan kepada PH sudah berbeza dengan aras dokongan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Jika trend (pengundi Melayu beralih kepada PN) ini berterusan, mungkin PMX (Anwar) kena cari kerusi lain…di Port Dickson atau Permatang Pauh (Parlimen pernah diwakili Anwar) pun tidak selamat lagi untuknya kembali.”

    Hisommudin turut menjangkakan pertembungan hebat antara PH-BN dan PN dalam merebut 165 kerusi di Semenanjung yang majoritinya kerusi Melayu, sementara DAP dijangka tidak bermasalah mendominasi kerusi campuran dan majoriti etnik Cina.

    “Daripada 82 kerusi PH (dimenangi pada PRU15), tolak kerusi DAP, sebahagian besar kerusi bercampur yang kini disandang PKR dan Amanah juga terdedah kepada bahaya.

    “Ini berasaskan kiblat sokongan majoriti pengundi Melayu telah berubah daripada BN kepada PN,” katanya.

    Beliau berkata, BN yang kini berdepan sindrom hilang kepercayaan oleh penyokongnya, turut berisiko kehilangan beberapa kerusi pemimpin utamanya.

    “Sudah tentu 30 kerusi BN di segmen pengundi Melayu dalam bahaya termasuk kerusi komponen BN di Ayer Hitam (MCA), Tapah (MIC) dan Tanjung Piai (MCA) yang dikatakan menang kerana sokongan undi Melayu UMNO.

    “Jika diharap kepada pengundi etnik India dan Cina, mustahil MCA dan MIC boleh menang di kawasan tersebut.

    “Saya melihat PN di laluan jelas pada PRU16 untuk merampas kuasa pentadbiran, andai kata Perdana Menteri dan pasukannya gagal mencipta trend baharu bagi menyekat kemaraan gelombang Melayu kepada PN,” katanya lapor FMT.

  • Najib sekali lagi gagal gantung bicara kes 1MDB

    Najib sekali lagi gagal gantung bicara kes 1MDB

    BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi gagal menggantung perbicaraan 1MDB dihadapinya selepas Mahkamah Rayuan menolak permohonan penangguhannya.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Hadhariah Syed Ismail berkata mereka bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar bahawa tidak ada keadaan khas untuk menggantung perbicaraan.

    “Kami juga tidak bersetuju dengan peguam (Tan Sri Shafee Abdullah) bahawa rayuan Najib agar hakim perbicaraan menarik diri akan menjadi batal jika penangguhan tidak dibenarkan,” kata Hadhariah, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah.

    Beliau berkata, tiada sebab kukuh untuk menangguhkan perbicaraan dan oleh itu, permohonan itu tidak mempunyai merit.

    Hadshariah menambah bahawa kepentingan awam menuntut perbicaraan itu perlu diteruskan.

    “Perbicaraan itu di peringkat lanjut kerana terdapat 173 hari prosiding dengan 46 saksi pendakwaan dipanggil setakat ini,” katanya, lapor FMT.

    Perbicaraan yang kini berada di penghujung kes pendakwaan, akan disambung semula pada Isnin.