Category: Semasa

  • Kos PRN di enam negeri RM420 juta – SPR

    Kos PRN di enam negeri RM420 juta – SPR

    PILIHAN raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini dianggarkan menelan kos RM420 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

    “Sebanyak 3,450 pusat mengundi dengan 17,425 saluran dibuka.

    “Sebanyak 173 pusat penamaan calon dan 186 pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada PRN tersebut,” katanya
    dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di Putrajaya hari ini.

    Menurut beliau, seramai 153,760 petugas dilantik mengendalikan proses pengundian manakala 3,190 pusat mengundi biasa mengandungi 17,048 saluran akan digunakan.

    “Sebanyak 260 pusat mengundi awal yang mengandungi 377 saluran juga turut digunakan,” ujar Abdul Ghani lagi, lapor Sinar Harian.

    Terdahulu, beliau mengumumkan SPR menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

    Katanya, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    Menurutnya, seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

    “Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

    “Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

    “Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai; hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” ujar beliau.

  • Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    Pelatih PGA yang baru melapor diri maut akibat strok haba

    SEORANG peserta kursus asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan PGA (PLPGA) Ulu Kinta, meninggal dunia dipercayai akibat strok haba, semalam.

    Muhamad Irfan Irham Badrul Hisam dari Cawangan Kompeni Demo Pusat Latihan PGA dikatakan melapor diri sebagai peserta kursus Ahad lalu.

    Kematian pelatih berusia 21 tahun itu disahkan Ketua Polis Perak, dattuk9Mohd. Yusri Hassan Basri, lapor Berita Harian.

    Bagaimanapun beliau memaklumkan punca sebenar hanya dapat diketahui selepas bedah siasat dijalankan pagi ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

    Komandan PLPGA Ulu Kinta, Mohammad Hafiz Kadir, ketika dihubungi berkata berdasarkan maklumat rakan si mati, pelatih itu pada mulanya mengadu mengalami kekejangan kaki kiri sejak malam kelmarin.

    Katanya, bagaimanapun ketika mengikuti kelas petang semalam pelatih itu tiba-tiba rebah dan diserang sawan serta dalam keadaan meracau.

    “Anggota perubatan memberi bantuan awal dan segera membawanya ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan untuk rawatan lanjut.

    “Ketika di klinik, doktor bertugas beberapa kali melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun pelatih itu disahkan meninggal dunia kira-kira 5 petang.

    “Berdasarkan laporan awal doktor di klinik kesihatan berkenaan, punca kematian pelatih itu dipercayai akibat strok haba,” katanya.

  • Azmin kesal pilih Amirudin sebagai MB di Selangor

    Azmin kesal pilih Amirudin sebagai MB di Selangor

    BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyuarakan penyesalannya atas keputusan menjadikan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai penggantinya pada 2018.

    Azmin antara Menteri Besar pertama yang mengangkat sumpah selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

    Bagaimanapun beliau dilantik menjadi menteri Kabinet 10 hari kemudian dan perlu melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2014.

    Dalam wawancara bersama Malaysia Now yang disiarkan hari ini, Azmin berkata, beliau mencalonkan Amirudin sementara Parti Keadilan Rakyat (PKR) menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad.

    “Mungkin saya tersilap pilih ketika itu, tetapi asasnya saya memikirkan Selangor memerlukan Menteri Besar yang muda dan progresif yang mampu meneruskan dasar-dasar yang telah berjaya sebelum ini.

    “Malangnya andaian saya silap. Kegagalan dia untuk meneruskan agenda kepedulian rakyat. Prestasi ekonomi Selangor semakin buruk,” katanya seperti dipetik.

    Amirudin, 43, dahulu dilihat sebagai protege kepada Azmin.

    Bagaimanapun beliau membuktikan kesetiaannya kepada PKR dengan menewaskan Azmin di kerusi Parlimen Gombak yang dipegang Azmin selama tiga penggal pada PRU lalu.

    Sebagai pengerusi PN Selangor, Azmin akan sekali lagi berdepan dengan Amirudin pada pilihan raya negeri (PRN) kali lini.

    Dalam wawancara itu, Azmin turut mengkritik pencapaian Amirudin sebagai Menteri Besar, dengan mendakwa Selangor menduduki tempat ketiga dalam pelaburan bagi suku pertama tahun ini.

    Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Selangor berada di tempat kedua pada 2022.

    Azmin berkata, jumlah pelaburan di Selangor semasa pentadbiran Amirudin tidak boleh dibandingkan dengan pentadbiran terdahulu ketika Selangor dianggap sebagai ‘negeri pembangkang’.

    Azmin juga menuduh Amirudin cuba meraih nama daripada pelaburan Amazon Web Services (AWS) berjumlah RM25 bilion di Selangor.

    “AWS ketika itu melihat kemungkinan untuk melabur ke Melaka, tetapi saya berikan hujah-hujah dan saya rasa AWS wajar diletakkan di Selangor,” katanya.

    AWS menyatakan komitmen untuk membuka pusat data di Malaysia semasa Azmin menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Azmin bertemu wakil AWS di San Francisco, Amerika Syarikat pada Mei 2022.

    Beliau turut mengkritik keputusan penggantinya itu yang mahu menamatkan subsidi bekalan air untuk 20 meter padu pertama.

    “Hari ini atas nama penjajaran semula, Amirudin kononnya berikan kepada golongan B40. Tetapi dia lupa, akibat pandemik golongan M40 pun sudah jadi B40,” katanya.

    Azmin juga menyangkal hujah penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa rizab Selangor telah meningkat di bawah Amirudin.

    “Apa makna rizab besar yang digembar-gemburkan? Saya guna rizab untuk perbelanjaan pembangunan. Bukan kerja kerajaan untuk simpan rizab,” katanya lagi.

  • Rosmah cabar kes rasuah solar di mahkamah Persekutuan

    Rosmah cabar kes rasuah solar di mahkamah Persekutuan

    DATIN Seri Rosmah Mansor hari ini memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan bagi mencabar kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

    Peguamnya dari firma guaman Akberdin & Co memfailkan permohonan itu di mahkamah persekutuan semalam.

    Menurut salinan kertas kausa, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara itu mengemukakan enam persoalan undang-undang untuk dipertimbangkan oleh mahkamah.

    Antaranya, jika Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun diberi kuasa oleh undang-undang untuk mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 21 Mei 2021 kepada bekas hakim mahkamah persekutuan, mendiang Tan Sri Gopal Sri Ram, sebagai timbalan pendakwa raya kanan kes rasuahnya, yang berkuat kuasa 15 Nov 2018.

    Pasukan peguam Rosmah berhujah bahawa ini adalah isu kerana Idrus hanya dilantik sebagai peguam negara pada 2021, lapor Malaysiakini.

    Pada 22 Jun, Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan kes rasuahnya.

    Asas untuk semakan kehakiman itu adalah bahawa kes rasuah terhadapnya adalah terbatal dari awal kerana dakwaan pelantikan ketua pendakwa kes solar itu, Gopal adalah tidak sah.

    Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas menafikan permohonan kebenaran semakan kehakiman kepada Rosmah.

  • PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai – SPR

    PRN: Hari mengundi 12 Ogos, penamaan calon 29 Julai – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

    “Seramai lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.

    “Sehubungan itu SPR memutuskan satu PRN ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi dewan berikut: 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.

    “Bagi maksud menjalankan PRN, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting seperti yang berikut:

    “Tarikh keluar writ pada 5 Julai; hari penamaan calon 29 Julai; hari mengundi awal 8 Ogos dan hari mengundi pada 12 Ogos,” katanya dalam sidang akhbar PRN di Menara SPR, di Putrajaya hari ini, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, Abdul Ghani mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR untuk menentukan tarikh-tarikh penting PRN selepas suruhjaya itu penerimaan notis pembubaran rasmi DUN keenam-enam negeri itu daripada Speaker DUN masing-masing.

    Sebelum ini, media melaporkan Selangor membubarkan DUN secara rasmi pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada PRN.

    Sementara, Kelantan membubarkan DUN pada 22 Jun; Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah masing-masing pada 28 Jun; sementara Negeri Sembilan pada 1 Julai.

    Sebanyak 245 kerusi DUN melibatkan enam negeri akan dipertanding pada PRN kali ini.

  • Pengarah syarikat didakwa culas selenggara buku stok

    Pengarah syarikat didakwa culas selenggara buku stok

    SEORANG pengarah syarikat pemborong minyak diesel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas dua pertuduhan gagal menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian Mac lalu.

    Tertuduh, Tan Kok Keong, 69, yang merupakan pemilik syarikat membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Mazni Nawi selepas kertas pertuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemborong nombor lesen PB 05000183 gagal untuk menyelenggara buku stok bagi setiap pembelian barang berjadual iaitu minyak diesel yang tidak mengandungi harga jualan, harga belian dan alamat pembeli yang telah melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Kesalahan itu dilakukan pada 27 Mac 2023 pada pukul 10.32 pagi di Kuala Sawah, Rantau.

    Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan sama yang mana ketika kesalahan itu dilakukan tertuduh merupakan pengarah syarikat.

    Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Janawatul Fieza Hamisan dan tertuduh diwakili peguam, Eric Yeow Kok Heng.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes berkenaan pada 9 Ogos ini.

  • Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Pekerja kilang berputih mata rugi RM87,400 diperdaya ‘scammer’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja kilang kerugian RM87,400 selepas tertarik dengan tawaran pulangan pelaburan yang tinggi dalam tempoh masa singkat menerusi skim pelaburan saham yang tidak wujud, bulan lalu.

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya menerima suatu laporan berkaitan kes pelaburan tidak wujud itu berkenaan daripada mangsa berusia 40-an yang merupakan pekerja kilang.

    “Pengadu mendakwa menyertai suatu skim pelaburan saham menerusi kumpulan WhatsApp yang dikenali sebagai Kem Latihan Amali Untung Stabil Pasaran Saham pada 4 Mei lalu.

    “Mangsa mula membuat pelaburan pada 12 Jun lalu. Dalam tempoh sebulan menyertai pelaburan berkenaan, pengadu dimaklum bahawa keuntungan pelaburan dilakukan bertambah sebanyak RM180,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, apabila pengadu mahu mendapatkan keseluruhan keuntungan pelaburan, dia diarahkan untuk membayar cukai sebanyak RM24,000.

    “Selepas membuat bayaran cukai bagi mendapatkan keuntungan dijanjikan, pengadu tidak dapat berhubung dengan suspek menerusi WhatsApp dan pengadu terkilan apabila disingkir daripada kumpulan berkenaan.

    “Pengadu menyedari tertipu semalam dan mendakwa mengalami kerugian sejumlah RM87,400 termasuk nilai pelaburan yang dilakukan.

    Rahmat berkata, setakat ini, itu merupakan laporan kes pertama yang diterima berkaitan skim pelaburan berkenaan.

    Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam membuat pelaburan. Jangan mudah gelap mata dan tamak dengan tawaran dijanjikan dan mengambil mudah dalam meraih keuntungan lumayan. Rujuk ke balai polis berhampiran sekiranya berdepan sebarang kekeliruan atau dapatkan nasihat lanjut dari bank negara berhubung skim pelaburan,” katanya.

  • MASA serah laporan pertama UPR kepada UNHRC

    MASA serah laporan pertama UPR kepada UNHRC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) hari ini menyerahkan laporan pertamanya untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pusingan Ke-4 bagi Malaysia kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Switzerland.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azril Mohd. Amin berkata, langkah itu selepas MASA selaku badan pemikir bebas telah menjalankan kajian bagi mengenal pasti dan mengetengahkan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya (ESCR) berhubung impak projek mega penambakan laut terhadap komuniti pesisir pantai di Pulau Pinang.

    “Walaupun projek tambakan laut membawa naratif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk, natijahnya ia membawa kesan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat, termasuk nyawa, ekonomi dan alam sekitar yang mungkin menghalang aspek ESCR.

    “Seramai 10 penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing dari universiti tempatan, pengamal undang-undang, penganalisis dan aktivis telah berkumpul dan menyumbang idea serta pandangan dalam penyediaan laporan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, laporan itu mengetengahkan tema, memperluaskan ruang demokratik, memperkukuh kedaulatan undang-undang, mempromosi rasa hormat dan melindungi hak-hak asasi manusia di Malaysia.

    Jelasnya, projek mega di Pulau Pinang itu adalah contoh ketidakadilan ruang (spatial injustice) bila mana perspektif ruang kritikal serta dimensi ESCR tidak diambil kira dan mendapat perhatian saksama yang sewajarnya dalam proses perancangan projek berkenaan.

    Dalam hal ini katanya, MASA mengambil tanggungjawab untuk mengetengahkan dimensi ekonomi dan sosial kesan daripada pengambilan ruang awam di bandar, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan laut tersebut.

    Katanya lagi, laporan UPR itu adalah seiring dengan matlamat MASA untuk mempromosikan kemakmuran dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan tidak ada yang ketinggalan seperti termaktub dalam tiga
    teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

    Jelasnya, wawasan itu merangkumi pembangunan untuk semua, mencapai taraf hidup selesa dan agihan saksama ke arah negara yang makmur, bersatu serta bermaruah.

    “Matlamat ini juga bertepatan dengan prinsip dan pendekatan MASA sejak penubuhannya pada 2019 untuk menyediakan penyelidikan berkualiti, cadangan polisi dan analisis isu-isu dasar awam berpandukan data, berpaksikan nilai-nilai kemakmuran bersama.

    “Ini juga selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

    Penyertaan MASA dalam Proses UPR kata Azril, akan memperkukuhkan suara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) membangkitkan isu ESCR dalam rangka kerja yang tepat dan berwibawa.

    MASA akan mempergiatkan usaha untuk mempertahankan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Malaysia berdasarkan acuan sendiri, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024, katanya.

  • Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

    SEKUMPULAN 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung yang mendakwa didera warden, menandatangani petisyen bagi menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

    Memetik laporan FMT hari ini, ini kali kedua petisyen seumpama itu dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan di satu lagi fasiliti itu di negeri sama.

    Banduan terbabit menulis draf petisyen itu lalu menyerahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini.

    Tahun lalu, Husaini pernah membuat laporan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap banduan tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara sampai ke hari ini belum memberi sebarang maklum balas.

    Menurut dua banduan yang dibebaskan, mereka mendakwa didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul kerana berbual serta kononnya ingkar ketika hadir sesi perhimpunan.

    Banduan terbabit turut mendakwa pihak warden bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke fasiliti itu.

    “Jika mereka mendengar Suhakam atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu,” dakwanya.

    Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

    “Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk ‘kopek durian’ (mengepak punggung),” dakwanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.

    Bekas banduan itu turut mendakwa bekalan air terhad dalam penjara menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari, termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.

    Mereka mendakwa makanan dihidangkan atas pinggan berkulat dan diberikan nasi basi dan sepotong kecil ikan kukus.

    Jika ada tahanan yang mengadu, mereka mendakwa akan dihukum oleh warden penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.

    Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.

    Ketika artikel ini disiarkan, FMT telah menghubungi pengarah penjara negeri terbabit termasuk Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad untuk mendapatkan maklum balas.

  • Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    Mayat lelaki dengan tangkal ditemukan terapung

    MAYAT seorang lelaki ditemui orang awam terapung di kawasan Buwan Dive Resort, Kampung Tampi Tampi, Semporna pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.41 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi kejadian.

    “Siasatan awal mendapat lelaki tersebut berketinggian kira-kira 167 sentimeter, manakala wajahnya sudah mereput dan tidak dapat dikenali serta perut mangsa sudah mengembung.

    “Polis juga tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat yang memakai seluar panjang berwarna hitam serta baju memakai baju hitam bercorak biru.

    “Mayat turut tersebut turut memakai gelang getah hitam serta memakai tali berupa tangkal berwarna kuning,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Mayat seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Semporna untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Ketua Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Majid ditalian 010-551 7617 atau 089-782020.