Category: Semasa

  • Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran 4 bot bawa muatan diesel

    Bomba ambil masa 10 jam padam kebakaran 4 bot bawa muatan diesel

    PASUKAN bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira 10 jam bagi memadamkan kebakaran empat bot, termasuk tiga yang sarat muatan diesel di jeti nelayan Sungai Endau, Mersing, tengah malam tadi.

    Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Alias Hussin, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Katanya, terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran bot melalui talian MERS999 pada pukul 12.08 tengah malam.

    Berikutan itu, katanya, tiga jentera LFRT, satu jentera membawa tangki air dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, BBP Mersing, BBP Kuala Rompin dan BBP Endau dengan kekuatan seramai 32 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

    “Setiba Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kami dapati dua bot kelas B dan dua bot kelas C sedang terbakar.

    “Bot pertama berkelas B yang tiada muatan minyak diesel, musnah kira-kira 70 peratus, manakala satu lagi kelas B membawa 5,000 liter diesel musnah 80 peratus.

    “Bot ketiga dan keempat berkelas C yang membawa muatan 8,000 liter diesel musnah kira-kira 85 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, PKO bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hos dan tiga pancutan sumber air terbuka.

    Katanya, operasi ditamatkan pada pukul 10.42 pagi tadi.

  • Pembukaan sempadan: Peniaga jangan ambil kesempatan naik harga barangan

    Pembukaan sempadan: Peniaga jangan ambil kesempatan naik harga barangan

    PENIAGA dinasihatkan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan jualan mereka susulan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lepas.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembukaan sempadan semestinya akan merancakkan sektor ekonomi dengan kedatangan pengunjung dari luar, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan tertentu dalam pasaran.

    “Apabila kita buka sempadan orang asing akan datang melawat dan memang permintaan barangan akan meningkat seperti barang makanan juga barangan lain.

    “Sebab itu kita rayu pada peniaga jangan ambil peluang mengaut keuntungan yang tidak berpatutan kerana ini satu kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops Pantau 2022 di Kuching, Sarawak hari ini.

    Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April dan membuka semula sempadan negara selepas dua tahun hidup dibayangi pandemik COVID-19.

    Sementara itu, Nanta berkata kementeriannya akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini menerusi Ops Pantau 2022.

    Katanya, Ops Pantau bertujuan memastikan pengguna berada dalam keadaan selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang munasabah.

    “Ops Pantau 2022 ini akan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan kedai runcit,” katanya – BERNAMA

  • Kelas Pemulihan Gam bantu kanak-kanak jauhi, kawal ketagihan gam

    Kelas Pemulihan Gam bantu kanak-kanak jauhi, kawal ketagihan gam

    MASALAH kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan seperti di Semporna, Sabah menimbulkan masalah sosial terutamanya apabila terjebak dengan aktiviti menghisap gam, biarpun usia mereka masih setahun jagung.

    Memetik laporan MalaysiaNow, terdapat ribuan kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan di Semporna, yang majoritinya adalah anak-anak yang diabaikan ibu bapa.

    Ekoran status mereka itu, pelbagai masalah dihadapi golongan berkenaan sehingga menyebabkan mereka terjerumus ke dalam pelbagai gejala sosial.

    Susulan itu, bagi membantu golongan kanak-kanak berkenaan mendapatkan keperluan pendidikan, aktivis daripada Borneo Komrad mengambil inisiatif dengan menubuhkan Sekolah Alternatif.

    Ahli Kesatuan Pelajar Sekolah Alternatif Semporna yang dikenali Suhaimah berkata, sekolah alternatif ini menyediakan kelas pemulihan gam kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai kerakyatan, bagi memberi kesedaran supaya tidak terjebak dengan aktiviti itu.

    “Tujuan kami mengadakan kelas pemulihan gam ini adalah kerana kita boleh nampak ramai kanak-kanak di Semporna yang menghisap gam. Jadi kami mahu mencegah lebih ramai anak-anak daripada terus terjebak,” katanya menerusi satu video di Facebook Borneo Komrad.

    Sementara setiausaha kesatuan itu, Shamaikah Abdullatiff berkata, mereka turut menyediakan kelas pemulihan gam untuk membantu mereka yang ketagihan untuk berhenti.

    “Kami dengan perlahan-perlahan mengajar mereka tentang keburukkan menghisap gam.

    “Kami bukan sahaja mengajar kanak-kanak yang sudah terjebak dengan aktiviti itu, kami juga mendidik kanak-kanak jalanan dengan memberi peluang kepada mereka mendapat pendidikan asas yang secukupnya,” ujarnya.

    Dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow katanya, penjual gam menjual gam kepada kanak-kanak ini dengan harga serendah 20 hingga 50 sen sebekas, malah turut menyediakan pondok untuk kanak-kanak ini menghidu gam.

    Katanya, ramai kanak-kanak yang terjerumus dalam tabiat buruk ini berasal daripada keluarga miskin, di mana ibu bapa mereka tidak mampu untuk memberikan nafkah kepada keluarga.

    Lebih menyayat hati, menghidu gam dianggap mereka sebagai satu cara untuk melupakan realiti kehidupan dan kelaparan yang ditanggung untuk beberapa jam.

    Selain mata pelajaran akademik, kanak-kanak itu turut didedahkan terhadap kepentingan kebersihan asas, kelas lakonan dan muzik.

    Bagaimanapun katanya, cabaran terbesar bagi mereka ialah menamatkan tabiat ketagihan kanak-kanak menghidu gam kerana ramai daripada mereka sering mengulangi tabiat itu selepas berhenti.

    Namun bagi guru-guru di Sekolah Pemulihan Gam, usaha mereka akan berbaloi jika ia dapat membantu kanak-kanak selamat di bilik darjah dan jauh daripada sebarang gejala sosial.

  • Guru kerugian RM254,600 diperdaya macau scam 

    Guru kerugian RM254,600 diperdaya macau scam 

    SEORANG guru menengah di Sipitang mengalami kerugian RM254,600 selepas terpedaya dengan penipuan membabitkan Macau Scam pada 14 Mac lalu.

    Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian terbabit berlaku selepas mangsa dihubungi suspek pada jam 2 petang.

    “Mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan.

    “Mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 dari sebuah syarikat yang didaftarkan menggunakan nama mangsa.

    “Mangsa turut dimaklumkan mengenai satu akaun bank berkaitan dana haram berjumlah RM312,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Justeru katanya, mangsa diminta menyerahkan maklumat bank bagi penyiasatan akaun bank dan dana  terbabit.

    Dalam tempoh bermula 14 hingga 26 Mac 2022 katanya, mangsa diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank berbeza melibatkan lapan kali transaksi dengan jumlah yang berbeza.

    “Suspek turut meminta mangsa mengemukakan sebanyak empat kali sehari berserta gambar, resit transaksi, salinan dokumen pinjaman, dan maklumat berkaitan mangsa sebagai guru,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa mula menyedari terpedaya dengan penipuan berkenaan pada 30 Mac lepas sebelum membuat laporan polis kerana khuatir semua dokumen serta identitinya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

    Champin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan tipu.

    Pihaknya meminta semua warga Sipitang supaya tidak terpedaya dan melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali dan menyamar sebagai pegawai LHDN atau polis mahkamah.

    Ujarnya, orang ramai diminta membuat semakan dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian dan butiran lanjut. 

    Sebelum ini terdapat dua kes penipuan Macau Scam yang melibatkan warga pendidik dan kesihatan dilaporkan di Sipitang.

  • Dua maut kereta terbalik selepas langgar pokok

    Dua maut kereta terbalik selepas langgar pokok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbalik di Jalan Kluang, Sri Lalang, Kluang, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pada pukul 11 malam itu, pemandu kereta itu yang merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun dan penumpang wanita berumur 40-an maut di tempat kejadian.

    Menurut Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor, seramai sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    “Tiba di tempat kejadian, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Zaidi Tumiran dan pasukannya mendapati, kedua-dua mangsa tidak tersepit tetapi pintu kereta tidak dapat dibuka terutama bahagian pemandu remuk teruk.

    “Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok di kawasan selekoh tajam di jalan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mangsa yang berketurunan Melayu disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 5.30 pagi ini.

  • 2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    2 wanita warga asing jadi mangsa eksploitasi seks

    POLIS Pulau Pinang menyelamatkan dua wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, wanita berusia 27 dan 28 tahun berkenaan diselamatkan dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Kontijen Pulau Pinang.

    Dalam serbuan sama ujar beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 39 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga serta ejen turut ditahan.

    “Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai telah dieksploitasi untuk memberikan perkhidmatan seks kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di Facebook PDRM Pulau Pinang.

    Menurut Rahimi, kedua-dua mangsa yang diselamatkan bersama suspek yang ditangkap telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya untuk tindakan lanjut.

    Ujar beliau, kedua-dua suspek lelaki pula ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana melakukan kesalahan pemerdagangan orang.

    Jika disabitkan kesalahan ujar beliau, boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan boleh didenda.

    “Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan ke atas orang dewasa atau kanak-kanak adalah satu kesalahan jenayah,” katanya.

  • Kenaikan bahan mentah jejas B40, M40 miliki rumah

    Kenaikan bahan mentah jejas B40, M40 miliki rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSATUAN Pembina Johor (PPJ) dan Malacca Builders Association (MBA) bimbang golongan B40 serta M40 tidak mampu membeli rumah susulan harganya akan naik pada masa depan akibat kenaikan harga bahan mentah ketika ini.

    Pengerusi PPJ, Datuk Kong Weng Keong dan Pengerusi MBA, Datuk Lim Hau Jan dalam satu kenyataan bersama menjelaskan, kenaikan harga rumah sukar dielakkan kerana harga barang binaan seperti simen dan konkrit naik terlampau tinggi sejak dua tahun lalu.

    “Kami menjadi mangsa pertama menanggung beban kerana menjalankan projek swasta. Semua pengeluaran bahan-bahan binaan yang berkaitan sangat bergantung dengan penggunaan simen atau konkrit sebagai bahan pembinaan utama.

    “Kenaikan harga simen terlampau tinggi tanpa sebarang rundingan dengan pihak industri pembinaan. Kami berharap akan ada semakan serius dan bertanya mengapa hanya kami menjadi mangsa menanggung kenaikan harga bahan mentah binaan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau mengemuka empat cadangan sebelum menaikan harga bahan mentah, pertamanya memberi notis pendahuluan kenaikan harga dalam jangka masa enam bulan hingga satu tahun.

    Jelasnya, kenaikan harga bahan mentah itu juga perlu dilakukan secara beransur-ansur dalam tempoh berkenaan dan bukan secara terkejut atau tanpa notis awal.

    “Cadangan kedua adalah menetapkan kadar bekalan untuk semua projek pembinaan semasa.
    Pengeluaran dan pembekal dicadang boleh menyediakan pakej harga asal selain mengekalkan harga yang dipersetujui,” katanya.

    Ketiga katanya, pengilang dan pembekal perlu merumuskan mekanisme peningkatan bagi mengawal julat setiap kenaikan harga bagi memastikan pemaju tidak mengalami kerugian.

    Sementara perkara keempat katanya, kerajaan selain Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) dan Institut Jurutera Malaysia (IEM) dicadangkan boleh mengetuai advokasi dan mengkaji semula klausa variasi harga (VOP) dalam borang kontrak pembinaan semasa.

    “Memahami kedua-dua borang kontrak PAM dan IEM adalah bentuk kontrak yang paling diterima pakai dalam sektor swasta, persatuan kami berusaha untuk mencadangkan semakan semula klausa semasa yang tidak membenarkan pemaju membuat tuntutan ke atas variasi harga bahan dalam amalan.

    “Menyedari bahawa kerajaan Malaysia telah menyediakan elaun perubahan harga atau VOP untuk projek kerajaan berikutan peningkatan ketara dalam kos bahan binaan pada 2021, peranan kedua-dua PAM dan IEM kini menjadi penting dalam mengkaji semula dengan keadilan ” katanya.

  • ‘’Pertemuan dengan Dr. Mahathir diatur pemimpin kanan pejuang’’ – Muhyiddin

    ‘’Pertemuan dengan Dr. Mahathir diatur pemimpin kanan pejuang’’ – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang datang menemui beliau selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi menyuarakan pandangan lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional (BN) merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong BN yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi.

    ‘’Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah. Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.

    ‘’Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

     Oleh itu, kata Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, beliau telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam PRU-15.

    ‘’Ini adalah langkah awal untuk dapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat.

    Pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,’’ katanya.

    Kenyataan itu sekaligus menjawab dakwaan Dr.Mahathir yang menyatakan Muhyiddin menemui beliau bagi meminta sokongan menjadi Perdana Menteri sekali lagi manakala Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin menghubungi beliau selepas rundingan dengan Dr.Mahathir gagal.

  • Umat Islam tunai tarawih malam pertama Ramadan

    Umat Islam tunai tarawih malam pertama Ramadan

    OLEH: Adam Razak

    TARAWIH…Masjid seluruh negara kembali meriah sebaik tibanya bulan Ramadan tahun ini apabila umat Islam dibenarkan menunaikan solat tarawih secara berjemaah dengan saf yang kembali dirapatkan.

    Walaupun negara telah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik, suasana menyambut ketibaan Ramadan tahun ini melaksanakan solat tarawih tetap berpandukan kepada prosedur operasi standard (SOP).

    Sebahagian daripada jemaah hadir untuk menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Tinjauan Warta Rakyat di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur mendapati para jemaah mematuhi SOP ditetapkan seperti membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mendaftar aplikasi MySejahtera terlebih dahulu sebelum ke masuk ke perkarangan masjid.

    Solat tarawih secara berjemaah di masjid tersebut sepanjang 23 rakaat juga berlangsung dalam keadaan harmoni dan tenang dengan imam masjid membaca surah-surah lazim.

    Kelihatan jemaah meluangkan masa dengan membaca Al Quran sebelum menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Umat Islam seluruh negara akan mula berpuasa esok seperti mana pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), semalam.

    Tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Ahad, 1 Ramadan bersamaan 3 April menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

    Sebahagian daripada jemaah menunaikan solat tarawih secara rapat saf di Masjid Kampung Baru, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat
  • Pengundi atas pagar beralih kepada PN – Rafizi

    Pengundi atas pagar beralih kepada PN – Rafizi

    TIBA masa untuk Pakatan Harapan (PH) meneliti tentang peralihan pengundi atas pagar yang kini dilihat cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, terdapat data-data yang dikumpulkan menunjukkan golongan itu kini melihat  Barisan Nasional (BN) dan PN merupakan dua kuasa politik utama di negara ini menyebabkan ada antara mereka beralih kepada gabungan PN.

     “Dalam keadaan begini, kalau PH dan PKR tidak berhati-hati, dia ada kemungkinan di mana kawasan pengundi Melayu lebih tinggi bahawa perebutan itu berlaku antara BN dan PN.

    “Itu akan menyebabkan PH berada di tempat ketiga. Kalau itu berlaku dalam dinamik politik pelbagai parti di negara lain, parti ketiga akan kurang mendapat tempat kerana pengundi atas pagar sebenarnya menentukan siapa yang menang.

    “Pengundi atas pagar hanya memberikan tumpuan kepada dua persaingan, yang ketiga itu tidak beri kesan,” katanya dalam temubual khas SkopMG berjudul Saya Kembali Demi Rakyat malam tadi, lapor portal Malaysia Gazette.

    Justeru, PH kata Rafizi perlu segera bangkit dan memberikan perhatian sepenuhnya mengenai isu ini sekiranya mahu diangkat kembali sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

    “Ada tanda-tanda disebabkan peralihan pengundi PH kepada PN. Itu perlu diambil perhatian dengan teliti sebab itu bagi saya,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Rafizi berkata, undi terhadap BN dan UMNO masih kekal kepada 40 peratus bersandarkan kepada beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

    Katanya, itu hanya merupakan sentimen yang dicanang semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat BN dan UMNO mula diterima rakyat.

    “Daripada beberapa PRN yang lalu, nampak seperti pengundi atas pagar terutamanya pengundi Melayu di mana pada PRU-13 sebenarnya mengundi PH dan tidak ada tanda-tanda  mereka beralih atau kembali ke BN kerana undi UMNO tidak meningkat.

    “Dalam semua PRN undi UMNO BN kekal sekitar 40 peratus, lebih kurang sama ketika PRU-13 cuma dengan kehadiran Bersatu selepas Langkah Sheraton bergabung dengan Pas walaupun jumlah pengundi tegar mereka sebenarnya kecil pada awalnya tetapi atas kelemahan PH dan PKR, segala perebutan politik yang berlaku pada tahun yang lalu, saya nampak ada peralihan pengundi-pengundi atas pagar yang sebelumnya mengundi PH ke arah PN.

    “Ini mewujudkan tiga gabungan yang lebih kurang sama kuat,” katanya lagi.