Category: Semasa

  • Sembilan ejen jual kad ATM dicekup polis

    Sembilan ejen jual kad ATM dicekup polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SINDIKET penjualan kad pengeluaran wang automatik (ATM) bagi kegiatan jenayah tumpas setelah polis melakukan dua serbuan yang dijalankan di sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, pada semalam dan kelmarin.

    Serbuan hasil risikan dan maklumat yang diterima Polis Johor Bahru Selatan itu berjaya menahan sembilan individu berusia antara 32 hingga 40 tahun yang berperanan sebagai ejen penjualan kad ATM tersebut.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mereka dipercayai mendapat bayaran sehingga RM600 untuk penjualan setiap kad ATM yang diperolehi.

    Menurutnya, kad berkenaan akan dijual semula kepada sindiket ‘money game’ atau pelaburan atas talian dengan harga kira-kira RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap keping kad.

    “Siasatan mendapati tujuh daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambah Raub, menerusi serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

    “Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

    “Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak menyerahkan kad ATM kepada individu tidak dikenali.

    “Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang individu menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada pihak lain,” tambahnya.

  • KPDNHEP tahan lori seleweng diesel bersubsidi

    KPDNHEP tahan lori seleweng diesel bersubsidi

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan sebuah lori tangki yang melakukan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di stesen minyak di Pelabuhan Klang, Klang, 11 pagi Rabu lalu.

    Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, menerusi Ops Lipan sepasukan anggota KPDNHEP Selangor bertindak hasil aduan yang diterima pihaknya.

    “Operasi terbabit telah mengesan sebuah lori tangki yang sedang mengisi bahan api jenis diesel ke dalam tangki simpanan lori itu.

    “Anggota operasi kemudian bertindak menahan pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab ke atas lori itu.

    “KPDNHEP telah bertindak menyita lori, diesel, resit belian yang dianggar bernilai RM8,500 untuk tindakan lanjut,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Selain itu katanya, KPDNHEP turut menyiasat premis stesen minyak terbabit dan telah merekod keterangan pengurus stesen terbabit.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sama ada stesen minyak terbabit terlibat bersubahat dengan kegiatan itu,” ujarnya.

    Tegasnya, inisiatif di bawah Ops Lipan ini memfokuskan kepada pemantauan khusus di stesen minyak di sekitar Selangor dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika khususnya melibatkan perlakuan barangan bersubsidi boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi.

  • Polis tumpas Geng Along, tahan 8 lelaki tawar pinjaman wang haram

    Polis tumpas Geng Along, tahan 8 lelaki tawar pinjaman wang haram

    POLIS menumpaskan geng along selepas menahan lapan lelaki kerana menawarkan pinjaman wang tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah premis di Bayan Lepas, Pulau Pinang, Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, hasil risikan dan maklumat awam.

    “Berdasarkan siasatan awal, selain menawarkan pinjaman tanpa lesen dengan faedah yang tinggi, mereka juga mengugut mangsa yang gagal membuat bayaran balik pinjaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya susulan penahanan lapan lelaki itu, polis merampas 19 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 15 keping kad ATM pelbagai bank, tiga buku cek, lapan keping cek atas nama peminjam, senarai nama peminjam, empat kereta dan 14 salinan kad pengenalan peminjam.

    Katanya kesemua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

    Dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 20-an kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Bayan Baru-Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, bermula pukul 11 malam tadi hingga 7 pagi hari ini.

    “Kami menahan dua lelaki berkenaan kerana selain berlumba, mereka juga melakukan aksi menunggang secara berbahaya. Suspek kini direman dan kes disiasat menurut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menambah dua motosikal turut disita selain lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi berkenaan.

    Polis daerah Barat Daya akan menjalankan operasi secara berterusan dan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan terutama pada hujung minggu, katanya.- BERNAMA

  • Tindakan tegas jika jual petrol subsidi kepada kenderaan asing-KPDNHEP

    Tindakan tegas jika jual petrol subsidi kepada kenderaan asing-KPDNHEP

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berkompormi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

    Tegas Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti.

    “Pemilik stesen minyak berdepan penalti berjumlah tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali manakala bagi perbadanan atau syarikat akan didenda tidak melebihi RM2 juta.

    “KPDNHEP mengambil maklum mengenai gambar tular sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran negara sempadan dikatakan mengisi minyak petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di dalam negara.

    “Berdasarkan aduan tular, kenderaan bernombor pendaftaran Singapura itu dikatakan mengisi minyak Petrol RON 95 yang merupakan minyak bersubsidi,” katanya, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Kata beliau, kementerian memandang serius isu itu dan sudah pun mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan serta merta.

    “Saya juga telah mengarahkan pemantauan yang lebih agresif dijalankan di semua stesen minyak, terutama yang berdekatan dengan negeri bersempadan bagi mengelakkan ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing,” katanya.

    Jelas beliau, ativiti penguatkuasaan yang lebih agresif juga akan dilaksanakan dengan pelancaran Ops Pantau 2022.

    Katanya, selain memastikan bekalan barangan mencukupi dan dijual pada harga munasabah, operasi berkenaan juga bagi memastikan pematuhan yang tinggi oleh peniaga berikutan pembukaan sepenuhnya sektor ekonomi dan pintu sempadan negara bermula semalam.

    “KPDNHEP dari semasa ke semasa telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan Petrol RON 95 kepada semua kenderaan termasuklah motosikal yang bernombor pendaftaran asing.

    “Kementerian juga telah mengarahkan semua KPDNHEP negeri yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar akta,” ujarnya.

    Tambah Alexander, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak yang tidak sepatutnya.

    Sementara itu, KPDNHEP Johor dalam satu kenyataan di Johor Bahru memberitahu, 200 anggota penguat kuasanya akan memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar tidak berlaku ketirisan berlaku melibatkan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel.

    Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata stesen-stesen minyak berhampiran sempadan Malaysia- Singapura akan dipantau susulan isu tular melibatkan kenderaan pendaftaran asing membuat pengisian minyak RON95.

  • Video penyanyi seksi tular, JHEAT lancar siasatan

    Video penyanyi seksi tular, JHEAT lancar siasatan

    SATU siasatan terperinci akan dilakukan berhubung majlis bertemakan ‘Arabian Dangdut Night’ yang memaparkan video nyanyian seorang individu dipercayai lelaki menyerupai wanita berpakaian seksi pada majlis itu tular dalam media sosial.

    Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, siasatan itu akan dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

    “Siasatan adalah berhubung perlanggaran Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang mula diperkenalkan pada tahun 2020,” katanya selepas membuat lawatan mahabbah di sebuah hotel di Kuala Terengganu, hari ini.

    Video berdurasi 25 saat yang memaparkan nyanyian individu terbabit pada 25 Mac lalu dikecam netizen yang marah kerana ia berlaku beberapa hari sahaja sebelum umat Islam menyambut Ramadan.

    Mohd Nor berkata, kerajaan negeri sangat sensitif dengan perkara seperti itu yang menyinggung perasaan umat Islam dan berharap ia akan menjadi iktibar untuk semua pihak terutama pengurusan hotel di Terengganu agar lebih berhati-hati pada masa akan datang. – Bernama

  • Maritim berkas tekong, dua kru warga asing

    Maritim berkas tekong, dua kru warga asing

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot penumpang dan memberkas tiga individu termasuk dua warga Indonesia di perairan Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang, pukul 6.15 petang semalam.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata,
    seorang warga tempatan dan dua kru warga Indonesia yang mengendalikan bot itu berumur lingkungan 36 hingga 58 tahun.

    “Tekong juga gagal mengemukakan sebarang dokumen bot yang lengkap manakala kedua-dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, bot dan kesemua suspek kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 474(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

    Beliau mengingatkan pemilik dan tekong bot mematuhi undang-undang di laut dengan memastikan bot memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.

  • Polis nafi rakyat Singapura disamun, dicederakan

    Polis nafi rakyat Singapura disamun, dicederakan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor menafikan rakyat Malaysia melakukan samun dan mencederakan warga Singapura seperti yang tular dalam media sosial ketika ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hasil semakan mendapati video dan gambar yang tular itu adalah video dan gambar lama tetapi ditularkan semula.

    Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pernah mengeluarkan kenyataan media berkaitan berita palsu itu menerusi Facebook rasminya pada 2 November 2021.

    “Perbuatan ini dilihat sebagai satu cubaan menimbulkan ketakutan dan kebimbangan orang ramai khususnya pelancong Singapura untuk datang ke Malaysia melalui negeri Johor.

    “Perbuatan menyebarkan dan membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

    Pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai dakwaan yang diperoleh daripada sumber tidak sah dan menggunakan maklumat palsu.

  • Dua beradik selamat selepas hanyut akibat enjin bot rosak

    Dua beradik selamat selepas hanyut akibat enjin bot rosak

    DUA beradik yang dikuatiri hilang selepas gagal pulang daripada aktiviti memancing di kawasan laut Semarang, Labuan sejak semalam, telah ditemui dengan selamat.

    Muhammad Nuhidayat Jafari, 18, dan abangnya Muhammad Nabil Jafari, 22, telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pagi tadi.

    Kedua mereka dilaporkan telah keluar ke laut pada jam 5 pagi 2 April, namun enjin bot mereka rosak ketika sedang memancing, namun berjaya membuat panggilan kepada ibu mereka hari ini, yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak berkuasa.

    Ketua APMM Zon Labuan, Kapten Nurdin Jusoh berkata bot peronda telah dikerahkan untuk membuat operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pihaknya menerima laporan pada 8.40 pagi tadi.

    SAR tersebut telah turut disertai anggota daripada polis marin, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    “Pemancing adik beradik itu cuba mendapatkan bantuan daripada pemancing lain di kawasan itu namun tidak berjaya, sebelum operasi menemukan mereka dan bot mereka itu dibawa ke pangkalan APMM di sini” katanya.– Bernama

  • Lepas tembakan selepas warga asing cuba langgar polis, larikan diri

    Lepas tembakan selepas warga asing cuba langgar polis, larikan diri

    SEORANG lelaki warga asing yang cuba melanggar polis sebelum melarikan diri berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang, Petaling Jaya, semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila suspek berumur lingkungan 40-an itu didapati memandu sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

    “Anggota polis dari Unit Kereta Peronda IPD Petaling Jaya mengesan kenderaan dipandu suspek berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang di kawasan Kota Damansara.

    “Polis kemudiannya menahan suspek dan ketika melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota polis yang bertugas,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, anggota polis bertugas kemudiannya melepaskan tembakan ke arah tayar suspek.

    “Suspek kemudiannya dikejar oleh anggota unit kereta peronda tersebut, situasi berkenaan turut dihebahkan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

    “Suspek berjaya diberkas di kawasan Bandar Pinggiran Subang dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya dan Unit Kereta Peronda IPD Sungai Buloh,” katanya.

    Katanya, suspek yang ditahan berumur lingkungan 40-an dan merupakan warga asing.

    “Turut dirampas adalah sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback untuk siasatan lanjut.

    “Suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

  • PPM rampas 360 liter petrol cuba diseludup

    PPM rampas 360 liter petrol cuba diseludup

    PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 360 liter minyak petrol di percayai cuba diseludup keluar ke negara jiran di perairan Tampi-Tampi, Semporna, pada pukul 6.30 petang semalam.

    Sebum itu anggota PPM yang menjalankan tugas di sekitar perairan Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

    Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pasukannya mengejar dan berjaya memintas bot berkenaan untuk pemeriksaan.

    “Bagaimanapun, juragan bot berkenaan bertindak memecut laju ke kawasan cetek dan terjun laut melarikan diri ke kawasan paya bakau.

    “Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan suspek menemukan 12 gelen berisi keseluruhan sebanyak 360 liter minyak petrol,” katanya memetik lapiran Utusan Borneo, hari ini.

    Katanya, kesemua minyak petrol itu dipercayai cuba diseludup keluar berdasarkan perjalanan bot tersebut menuju ke sempadan negara.

    “Kesemua minyak petrol berserta bot tersebut dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan selanjutnya.

    “Nilai rampasan minyak petrol termasuk bot dianggarkan berjumlah RM17,838 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.