Category: Semasa

  • SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang

    SPRM siasat isu penjualan tanah lapangan terbang

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

    Pengarah SPRM negeri Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata siasatan itu dilakukan susulan aduan rasmi yang diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Datuk Asmuni Awi semalam.

    “Penyiasatan dimulakan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

    “SPRM akan memanggil beberapa individu yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan individu-individu yang dipanggil untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM Meru Raya bagi membantu siasatan penjualan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) seluas 188 hektar itu kepada sebuah syarikat swasta.

    Semalam, empat bekas Exco Kerajaan Negeri Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk Asmuni meminta SPRM melakukan siasatan terperinci kerana mendakwa ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri atau Lembaga Pengarah PKNP ketika itu.

    Khamis lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tanah itu telah dijual kepada sebuah syarikat swasta semasa pentadbiran kerajaan PH kerana ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN), ia dirizabkan kepada PKNP bagi tujuan pembinaan lapangan terbang antarabangsa.

    Sebelum ini, ADUN Aulong, Nga Kor Ming semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak mendakwa cadangan pembinaan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar telah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri dan berkata perkara itu adalah salah laku serius serta mahu pihak bertanggungjawab menjual tanah tersebut diheret ke muka pengadilan. – Bernama
     

  • Maut selepas tidak sampai sebulan konvokesyen

    Maut selepas tidak sampai sebulan konvokesyen

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 54.5 Jalan Johor Bahru-Pontian, Pontian, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.30 petang semasa mangsa, Muhammad Rafi Abdullah Thani, 23, yang beralamat di Taman Jasa, Pontian datang dari arah Benut ke Parit Jerman.

    “Sementara lori berkenaan pula datang dari arah Pekan Nanas menghala ke Pontian. Hasil siasatan awal mendapati apabila lori sampai di tempat kejadian dipercayai ingin membelok ke kanan untuk meletakkan kenderaan disebelah kanan jalan.

    “Kemudian datang motosikal mangsa dari arah belakang telah melanggar bahagian sebelah kanan lori tersebut. Akibat kemalangan itu mangsa cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian dan dihantar ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, 21, yang beralamat di Kampung Parit Selangor, Benut, tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Kemalangan berlaku semasa mangsa datang dari arah Benut ke Parit Jerman sebelum melanggar lori berkenaan

    Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    Sementara itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II Hasnan Abd Rahman berkata, mangsa yang berketurunan Melayu menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z itu cedera parah dan maut.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 5.58 petang,” katanya dalam kenyataan.

    Sementara itu, Abdullah Thani Bachok, 57, tidak menyangka wajah anak sulungnya yang putih berseri-seri selain kurang bercakap merupakan petanda ajal sebelum terlibat kemalangan tersebut.

    “Wajahnya kelihatan putih berseri-seri dan kurang bercakap berlaku dua hari sebelum kemalangan. Kali terakhir saya melihatnya pagi semalam, seperti biasa dia mencium tangan saya sebelum pergi kerja.

    “Dia bekerja di PTP dan tidak sampai sebulan menghadiri majlis konvokesyen di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang yang berlangsung pada 16 hingga 22 Mac lalu,” katanya ketika dihubungi.

    Abdullah Thani berkata, Muhammad Rafi yang merupakan anak sulung daripada enam beradik sebelum ini melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuteraan Mekanikal di politeknik berkenaan.

    Dia reda dengan kejadian yang menimpa Muhammad Rafi serta menyifatkan ujian amat berat dihadapi keluarganya dalam Ramadan.

  • Isteri anggota tentera tikam suami direman 5 hari

    Isteri anggota tentera tikam suami direman 5 hari

    SEORANG isteri yang merupakan Suspek kes tikam anggota tentera di Kem Penrissen, Kota Sentosa, Kota Samarahan, malam kelmarin, direman lima hari sehingga 10 April ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Sudirman Kram berkata, permohonan reman dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Sataia Kombi di Mahkamah Kota Samarahan pada jam 9 pagi.

    “Mahkamah membenarkan permohonan itu untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Dalam kejadian itu, seorang anggota tentera maut selepas kehilangan banyak darah akibat kecederaan di paha kiri dipercayai ditikam oleh isterinya.

    Kejadian itu berpunca daripada tindakan isterinya menggertak mangsa menggunakan pisau pemotong sayur sehingga tertikam pada anggota badan mangsa.

    Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

    Difahamkan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun yang kini dijaga keluarga suspek.

    Sudirman berkata, ketika kejadian suspek berada dalam keadaan normal.

  • Reka bentuk ‘tropical brutalism’ tarikan Musalla Al Abrar Sg Penchala

    Reka bentuk ‘tropical brutalism’ tarikan Musalla Al Abrar Sg Penchala

    PENGUNJUNG yang melalui Jalan Sungai Penchala di Segambut di sini, pasti tidak akan melepaskan peluang memerhati sebuah bangunan konkrit berwarna putih kelabu yang dipenuhi dengan landskap tumbuhan hijau.

    Sepintas lalu, pemandangan bangunan itu tidak ubah seperti sebuah bangunan pejabat, namun apabila menjengah ke dalam kawasan berkenaan, ia sebenarnya sebuah surau dinamakan Musalla Al Abrar dengan struktur binaannya berbentuk kiub dan keseluruhan dinding menggunakan batu blok angin.

    Hafiz Ismail, 48, arkitek dipertanggungjawabkan membuat pelan surau itu berkata Musalla Al Abrar diinspirasikan daripada struktur bangunan suci, Kaabah yang terletak di Masjidil Haram di Makkah.

    “Saya mengambil ilham daripada struktur Kaabah berbentuk kiub, bagaimana struktur sederhana Kaabah itu, jutaan umat Islam dari seluruh dunia setiap tahun pergi. Jadi mengapa tidak kita fikir (pelan) bentuk Kaabah yang kiub sahaja yang boleh menarik ramai orang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Musalla Al Abrar yang menelan kos RM3 juta itu mempunyai dua aras ruang solat yang boleh memuatkan sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa dan turut menempatkan ruang pejabat, tempat wuduk, tandas dan dapur.

    Surau bertaraf masjid tersebut di bawah pentadbiran Yayasan Tawfiq siap dibina pada 2016 dan sehingga kini ia menjadi tumpuan umat Islam bukan sahaja dari kawasan berdekatan malah juga dari luar Lembah Klang untuk mengikuti majlis ilmu yang diadakan di kawasan berkenaan.

    Bercerita lanjut, lulusan ijazah seni bina dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata dari segi disiplin seni bina, ‘tropical brutalism’ diterapkan pada reka bentuk bangunan surau berkenaan yang mempunyai kelebihan dan setiap daripadanya mempunyai fungsi tertentu.

    Menurutnya, perkataan ‘brutalism’ itu merujuk kepada penggunaan material dinding dan tiang surau yang 100 peratus berasaskan binaan konkrit yang dilepa simen tanpa semburan cat dan hanya bahagian lantai dicat.

    Sementara perkataan ‘tropical’ pula diterapkan melalui aspek landskap tumbuhan yang banyak meliputi sebahagian surau itu bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mendamaikan, katanya.

    Hafiz berkata penggunaan batu blok angin pada keseluruhan dinding surau tersebut pula bertujuan mewujudkan lubang pengudaraan semula jadi sekali gus jemaah yang berada di dalamnya lebih selesa dan tenang walaupun dalam jumlah ramai.

    “Perkakasan digunakan di ruang tandas, wuduk juga tidak mahal dan mudah didapati namun didekorasi sebaiknya supaya ia membentuk nilai estetika dan nampak lebih menarik,” katanya.

    Sementara itu, Pemegang Amanah Yayasan Tawfiq, Syed Hussin Syed Shaikh Al Junid berkata reka bentuk surau itu menerapkan elemen minimalis yang sesuai dengan kontemporari semasa sebagai daya tarikan khususnya kepada golongan muda di bandar bagi mengimarahkan aktiviti keagamaan.

    “Binaan surau ini berbeza dengan binaan surau atau masjid lain, walaupun ia kecil, nampak ekstrem dan kolot dengan binaan batu angin tetapi apabila kita berada di dalam jauh selesa dan hati akan lapang dengan pemandangan landskap di sekeliling,” katanya.

    Syed Hussin berkata mengikut perancangan pada masa akan datang, kemudahan lain seperti dewan, sekolah agama dan kafe turut akan dibina bersebelahan dengan surau berkenaan yang menjadikan keseluruhan kawasan itu sebagai pusat dakwah.

    — BERNAMA

  • Tun Mahathir bidas Najib lagi

    Tun Mahathir bidas Najib lagi

    TUN Dr. Mahathir Mohamad membidas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi berhubung isu beliau sering ‘meratib’ nama Ahli Parlimen Pekan itu.

    Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau, Dr. Mahathir secara sinis berkata, nama Najib tidak boleh disebut secara kerap kerana akan membuatkannya menjadi lebih popular.

    “Jangan sebut nama Najib kerap. Dia akan jadi lebih popular. Lupakan sahaja nama Najib. Lupakan dia curi duit. Lupakan dia dibicara dan didapati salah.

    “Dia dihukum 12 tahun penjara dan denda RM220 juta. Kalau sebut nama Najib dia akan lebih disukai ramai.

    “Orang yang popular dalam negara demokratik akan jadi pemimpin, jadi Perdana Menteri pun,” katanya hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mendakwa, nama Najib tidak boleh disebut kerana dikhuatiri akan menjadi Perdana Menteri dan mencuri duit lagi.

    “Jangan sebut nama dia. Di mahkamah jangan sebut nama dia. Maka keadilan akan berlaku. Kena hukum. Tetapi tak payah jalan hukum. Diam sahaja.

    “Jangan sebut nama dia. Kalau tak sebut nama orang yang salah, nak sebut nama siapa.

    “Sebutlah nama siapa pun. Tak mengapa. Itu keadilan di Malaysia. Boleh tarik balik kes. Ada Peguam Negara (AG) untuk ini. Jika tak ada, tukar AG sahaja.

    “Jangan sebut nama. Akan kena saman kerana menghina. Tidak ada duit nak bayar peguam. Itu masalah awak. Undang-undang tentang tidak sebut nama masih berkuasa.

    “Tak dapat bayar peguam masuk dalam sahaja. Itu undang-undang. Negara utama ‘the Rule of Law’, pemerintahan mengikut undang-undang.

    “Kelentong sedikit dari undang-undang tak mengapa. Jangan tegur. Itu ‘contempt of court’, menghina mahkamah. Itu salah. Lebih baik lari ke negara lain. Jika tidak. Masuk dalam. Itu keadilan,” katanya.

  • JPNP kesan lima kes ceroboh hutan simpan dikesan

    JPNP kesan lima kes ceroboh hutan simpan dikesan

    JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan lima kes pencerobohan hutan simpan melibatkan empat daerah di negeri ini bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

    Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, daripada jumlah itu, dua kes ceroboh hutan dikesan hutan simpan di Temerloh.

    Menurutnya, tiga lagi kes melibatkan kawasan hutan simpan di Rompin, Cameron Highlands dan Jerantut.

    “Kita juga merampas tiga unit jentolak dan sebuah motosikal yang digunakan individu terbabit untuk sampai ke kawasan hutan.

    “Pencerobohan ini diketahui hasil rondaan daripada Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Barat dan Timur dibantu Unit Tindakan Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD),” katanya memetika laporan Sinar Harian, hari ini.

    Jelasnya, sebuah kilang papan yang beroperasi secara haram di Kampung Pulau Santap, Janda Baik, Bentong juga telah disita pada Mac lalu.

    “Kilang terbabit dipercayai menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana berdasarkan penggunaan mesin bersaiz kecil,” katanya.

    Justeru, pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti rondaan di kawasan panas selain turut menggunakan satelit untuk mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di Pahang.

    “Pemantauan kegiatan menceroboh hutan simpan tetap terus dilakukan sepanjang Ramadan.

    “Tidak ada istilah rehat buat anggota penguat kuasa dalam memastikan kesalahan hutan tidak berlaku,” ujarnya.

  • Bazar Ramadan: Masih ada ibu bapa bawa anak-anak tanpa pelitup muka

    Bazar Ramadan: Masih ada ibu bapa bawa anak-anak tanpa pelitup muka

    KERAJAAN Terengganu kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang sanggup merisikokan kesihatan anak mereka dengan membawa bayi dan kanak-kanak ke bazar Ramadan tanpa memakai pelitup muka.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata lebih-lebih lagi Terengganu masih berada pada kedudukan kedua terendah dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

    Setakat semalam, kadar vaksinasi PICKids di Terengganu hanya 12.6 peratus daripada 178,700 populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.

    “Saya nasihatkan ibu bapa kalau sayangkan anak-anak, tinggalkanlah sebentar di rumah atau dalam kereta, bergilir sahaja suami isteri untuk pergi sebentar membeli juadah berbuka puasa.

    “Kita tidak tahu di bazar ini pun mungkin ada individu yang positif COVID-19 namun tidak bergejala. Kita tidak mahu jika dijangkiti, kesihatan mereka akan teruk kerana belum mendapat perlindungan (vaksin),” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini lewat petang semalam.

    Menurutnya pada tahun ini, terdapat 59 lokasi bazar Ramadan di seluruh Terengganu melibatkan 4,938 gerai makanan dan 9,666 pengendali makanan.

    Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar menjaga kebersihan terutama yang berbuka puasa di kawasan lapang dan kawasan tumpuan pelancong. – Bernama

  • Lelaki juling cabul pembantu peribadi di parkir diburu

    Lelaki juling cabul pembantu peribadi di parkir diburu

    SEORANG lelaki yang disyaki terlibat dalam kes cabul seorang pembantu peribadi di kawasan parkir sebuah bangunan di Cyberjaya, Sepang, Selasa lalu kini diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 2 petang semnasa mangsa, 27, mendakwa seorang lelaki telah datang untuk membantunya menyimpan barang dalam kereta.

    “Suspek memberi alasan mahu membantu kerana dia mahukan troli yang ada pada mangsa.

    “Bagaimanapun wanita itu memberitahu, dia tidak perlukan pertolongan, namun lelaki itu tetap mengambil barang dan memasukkan ke dalam kereta mangsa.

    “Tiba-tiba lelaki tersebut telah menyentuh dan meramas punggung mangsa kemudian melarikan diri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata, ketika kejadian lelaki itu berpakaian hitam, menyandang beg silang hitam, memakai pelitup muka, rambut dan kulit warna gelap.

    “Mangsa hanya nampak lelaki itu matanya juling. Wanita itu juga tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan lelaki tersebut sebelum ini,” katanya.

  • Youtuber, tiga rakan ditahan bantu siasatan kes bunuh teman wanita

    Youtuber, tiga rakan ditahan bantu siasatan kes bunuh teman wanita

    POLIS menahan seorang Youtuber dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian teman wanita Youtuber itu, cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia, dalam kejadian di Teluk Kumbar di sini Sabtu lepas.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar dua hari lepas dan semalam bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

    “Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP), di sini pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

    “Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang(HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya mangsa yang juga seorang Youtuber meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan di HPP dan susulan itu polis menahan empat lelaki berkenaan bagi membantu siasatan.

    Kamarul Rizal berkata empat lelaki itu direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

    Terdahulu media melaporkan, wanita itu mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia dan kejadian tersebut berlaku selepas pasangan kekasih tersebut bertengkar disyaki bermotifkan cemburu.

    Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa rakan mereka sejak tiba di negeri ini 27 Mac lepas untuk video laman YouTube mereka. Difahamkan wanita itu berasal dari Melaka.

    Pergaduhan membabitkan pasangan itu dipercayai bermula dengan pertengkaran sebelum teman lelakinya dikatakan memukul mangsa dengan objek tumpul sehingga tidak sedarkan diri dan wanita tersebut dikejarkan ke HBP namun dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut sebelum meninggal dunia.

    — BERNAMA

  • Polis sahkan rangka manusia ditemukan di Australia adalah warga Malaysia

    Polis sahkan rangka manusia ditemukan di Australia adalah warga Malaysia

    RANGKA manusia yang ditemukan dekat Bathurst, New South Wales, Australia pada Ahad lepas disahkan sebagai warga Malaysia yang dipercayai dibunuh lebih daripada setahun lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata hasil semakan mendapati mangsa merupakan lelaki berusia 25 tahun dari Sarawak, yang memasuki Australia pada Nov 2016 menggunakan visa pelancong.

    Beliau berkata lelaki itu dipercayai ditawarkan menjadi pekerja ladang oleh satu sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah.

    “Siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia dan sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    PDRM turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak timbul sebarang kekeliruan kepada masyarakat berhubung kes itu.

    Sebelum ini, media Australia melaporkan mayat seorang lelaki yang dikenali sebagai “Jacky” Kai Wong Chong ditemukan pada pukul 3.30 petang 3 April lepad dan polis negara itu percaya lelaki itu dibunuh antara 25 Dis 2020 dan 8 Jan 2021.

    — BERNAMA