Category: Semasa

  • Insiden MH2664: Penumpang mohon siasatan telus, laporan dikeluarkan

    Insiden MH2664: Penumpang mohon siasatan telus, laporan dikeluarkan

    TIGA penumpang yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH2664 Ahad lalu, meminta Malaysia Airlines Berhad serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia menjalankan siasatan telus berhubung insiden cemas pesawat itu.

    Penumpang terbabit iaitu Abdul Rahim Awang Nong, 48, Halimah Nasoha, 39, dan Chui Ka Wai, 48, yang masing-masing tampil membuat laporan polis semalam, turut mendesak laporan terperinci siasatan didedahkan kepada umum.

    Mereka tidak bersetuju dengan kenyataan Malaysia Airlines disiarkan Selasa lepas (5 April) menyatakan, penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Tawau berpatah balik ke KLIA, disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca yang buruk.

    Abdul Rahim berkata keadaan cuaca pada ketika itu baik dan juruterbang juga memadamkan lampu isyarat tali pinggang, selain pramugari sedang menghidangkan makanan sebelum tiba-tiba pesawat hilang kawalan.

    “Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan,” katanya kepada pemberita di Tawau, hari ini.

    Halimah mendakwa beliau melambung dari tempat duduknya ketika insiden cemas itu berlaku dan sehingga kini masih berasa trauma dengan kejadian kira-kira 10 minit itu.

    “Cuaca sangat baik ketika itu, dan saya ada ambil gambar beberapa minit sebelum kejadian, langit biru, tidak ada hujan, cerah panas.

    “Seharusnya siasatan terperinci perlu dilakukan dengan segera ke atas rakaman kotak hitam, kerana ia membabitkan keselamatan awam,” katanya lagi.

    Dalam pada itu, Chui berkata berikutan insiden itu menyebabkan dirinya mengalami masalah tidur kerana masih terbayang dengan situasi berkenaan.

    “Sehingga kini dada saya masih sakit, pada ketika itu saya lepas minum dan mahu melelapkan mata tiba-tiba pesawat jatuh, saya melambung, saya pun ingat waktu itu mati, sewaktu selamat mendarat dan keluar pesawat pula, saya perhati semua penumpang dalam itu muka pucat,” katanya lagi.

    Menurutnya laporan polis itu dibuat bukan untuk menuntut ganti rugi daripada Malaysia Airlines, tetapi mendesak agar mengeluarkan kenyataan betul kerana keadaan cuaca pada ketika itu adalah baik.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin mengesahkan pihaknya telah menerima laporan itu, dan pihak polis sedang menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut. – Bernama

  • Berpura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas

    Berpura-pura jadi pelanggan sebelum larikan barang kemas

    BERPURA-PURA menjadi pelanggan sebelum larikan barang kemas. Itu taktik digunakan seorang wanita sebelum melarikan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM10,000 di sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah, Kuala Pilah, semalam.

    Kejadian tersebut berlaku pukul 3.45 petang dan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan visual muka suspek tular dalam Facebook.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan, Amran Mohd Ghani berkata, polis menerima maklumat kejadian pukul 8.18 malam daripada jurujual kedai berkenaan.

    “Difahamkan suspek yang berbadan gempal dan mempunyai kulit sawo matang berusia lingkungan usia 30 tahun telah melarikan seutas tangan emas berat 36.76 gram.

    “Berdasarkan rakaman CCTV, suspek telah dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Berdasarkan rakaman CCTV, suspek telah dibantu seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha NVX warna merah tanpa nombor pendaftaran untuk melarikan diri

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang memburu suspek.

    Sehubungan itu katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), menerusi talian 06-4842999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

  • Lelaki maut, anak melecur dalam kebakaran

    Lelaki maut, anak melecur dalam kebakaran

    SEORANG lelaki maut, manakala anaknya melecur dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Perdana, Jalan Sungai Lembing, Kuantan tengah malam tadi.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 11.08 malam.

    Sebaik menerima pangggilan katanya, seramai 24 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan Kuantan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

    Ujarnya, operasi memadam kebakaran rumah teres itu menggunakan tiga jentera dan anggaran kemusnahan rumah 50 peratus.

    “Kejadian ini menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, manakala seorang kanak-kanak lelaki melecur di bahagian tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Ismail, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan dan operasi terkawal pada pukul 11.57 malam.

    Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

    Kejadian kebakaran melibatkan nyawa terkorban adalah yang kedua berlaku di daerah ini semalam.

    Terdahulu, seorang lelaki warga emas maut dalam kebakaran sebuah rumah di tingkat dua pangsapuri Medan Warisan, Jalan Tanah Putih, Kuantan.

    Dalam kebakaran yang dilaporkan pukul 3.15 petang itu, mangsa berusia 64 tahun itu ditemui terperangkap dalam bilik tidur dengan kesan melecur di bahagian muka dan badan.

  • Rokok seludup bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

    Rokok seludup bernilai hampir setengah juta ringgit dirampas

    MARKAS Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) merampas 3,420 karton rokok bernilai hampir setengah juta ringgit yang cuba dibawa masuk menerusi Op Benteng Bersama, di Kampung Sri Aman, Tawau, kelmarin.

    Sebelum itu sepasukan anggota Tim Quick Reaction Force (QRF) yang membuat tinjauan mengesan dua van berwarna putih yang dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan, kira-kira 9 malam.

    Menurut Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, pemeriksaan awal bagaimanapun mendapati kenderaan terbabit yang sarat dengan muatan rokok seludup dipercayai baru ditinggalkan di kawasan itu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    “Kita mengesyaki kedua-dua kenderaan ini digunakan bagi tujuan membawa dan mengangkut rokok seludup dari Indonesia untuk diedar dan dipasarkan di Tawau.

    “Selain itu, kita juga tidak menolak kemungkinan kegiatan ini turut didalangi warga tempatan dan warga asing bagi tujuan perniagaan rokok seludup di pasaran gelap sekitar Tawau,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abdul Karim berkata, selain rokok seludup, pihaknya turut menyita dua van dianggarkan bernilai RM216,000 yang digunakan dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.

    “Semua barang rampas diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Dua lagi penyelam warga Eropah yang hilang ditemukan selamat

    Dua lagi penyelam warga Eropah yang hilang ditemukan selamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lagi penyelam warga Eropah yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Rabu lalu berjaya ditemukan selamat kira-kira pukul 1 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing memberitahu, mangsa terbabit iaitu warga British, Adrian Peter Chesters, 46, dan warga Perancis, Alexia Alexandra Molina, 18, ditemui nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan.

    “Mangsa yang hanyut sejak 6 April lalu itu ditemui di perairan selatan Pengerang, Kota Tinggi berhampiran sempadan Indonesia.

    “Nelayan yang menemukan mereka kemudian menghubungi polis sebelum diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan dihantar ke darat. Mereka sekarang berada di hospital di Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, Mersing, hari ini.

    Rabu lalu, empat penyelam warga Eropah hilang ketika melakukan latihan menyelam di Pulau Tokong Sanggol.

    Kelmarin, jurulatih penyelam dari Norway, Kristine Grodem, 35, adalah mangsa pertama yang ditemukan selamat berhampiran Pulau Tokong Sanggol dalam keadaan terapung, lengkap berpakaian dengan kelengkapan menyelam.

    Dia ditemukan dalam keadaan selamat oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand.

    Usaha kini untuk mencari baki seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah remaja lelaki, Nathen Renze, 14, iaitu anak lelaki Andrian.

    Mengulas lanjut, Cyril Edrward berkata, kedua-dua mangsa yang ditemukan kini dalam keadaan stabil.

    “Satu lagi mangsa Nathen Renze 14, warga Belanda masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan,” katanya.

    Pihaknya juga masih tidak dapat mengesahkan berkenaan keadaan seorang lagi mangsa yang belum ditemui.

    Jelasnya, kawasan pencarian juga telah diubah sebaik maklumat berkenaan penemuan dua mangsa itu diterima.

    “Daripada kawasan semalaman kita ‘move down south’. Pihak Indonesia dan juga Singapura juga telah dimaklumkan berkenaan perubahan grid pencarian ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran ,operasi yang memasuki hari keempat hari ini masih mengekalkan anggota dan aset yang sama.

    “Susulan penemuan dua mangsa ini kita ubah sektor pencarian tumpu Tenggara Johor ke Selatan Pengernag. Kita akan tumpu aset ke sana dan buat hebahan kepada kapal dagang dan bot nelayan jika ada sebarang penemuan agar maklum kepada kami segera,” katanya. 

  • Polis buru ‘orang minyak’ tanpa seurat benang lakukan pecah rumah di Shah Alam

    Polis buru ‘orang minyak’ tanpa seurat benang lakukan pecah rumah di Shah Alam

    SEORANG  lelaki yang berkeliaran bogel bagai ‘orang minyak’ sebelum melakukan jenayah pecah rumah di Shah Alam pada Jumaat giat diburu polis.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu berlaku di sebuah rumah di Seksyen 20 ketika mangsa seorang wanita sedang tidur bersama anak perempuannya di ruang tamu.

    Menurutnya, mangsa tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai mata mangsa yang sedang tidur menyebabkan mangsa terjaga dan sedar akan kehadiran suspek.

      “Jeritan mangsa menyebabkan suspek segera berlari keluar dari rumah tersebut.

    “Suami mangsa yang tersedar bergegas lari keluar dari dalam bilik tidur menuju kepada isterinya, namun mendapati suspek sudah tiada. Mangsa mengalami kerugian apabila kehilangan wang tunai RM1,600 hasil wang perniagaan dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Tambah Mohd Iqbal, pihaknya juga mengesan satu video yang tular memaparkan suspek yang memakai pelitup muka dan berbogel berkeliaran di kawasan perumahan Seksyen 19.

    Katanya, usaha untuk memburu suspek giat dijalankan.

    “Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafarulrazi di talian 010-8889910 atau 03-55202222,” katanya.

    Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

  • Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol remaja di Pulau Pinang 12 tahun lepas

    Polis tahan lelaki bantu siasatan kes rogol remaja di Pulau Pinang 12 tahun lepas

    POLIS menahan seorang lelaki semalam bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan di sebuah bengkel di Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang, yang berlaku 12 tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata suspek berumur 40 tahun itu ditahan pada 3.30 petang di sebuah ladang ternakan kambing di Balik Pulau.

    Beliau berkata berdasarkan data Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diambil di lokasi kes rogol 12 tahun lepas, polis telah mengesan identiti suspek.

    “Sehubungan itu, satu operasi dilancarkan serta-merta untuk mengesan suspek dan suspek berjaya ditahan serta direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, Pulau Pinang selama enam hari hingga Rabu depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

    “Polis tidak pernah berputus asa dalam usaha mendapatkan maklumat perkembangan kes sehingga berjaya mengenal pasti suspek yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Abd Jalil berkata polis sedang melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan.

    — BERNAMA

  • Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    Bekas pegawai Goldman, Roger Ng didapati bersalah di mahkamah AS

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, yang dibicarakan berhubung skandal global 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didapati bersalah di Mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam.

    Ng, 49, disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan dalam kes itu, termasuk bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat untuk melakukan pengubahan wang haram.

    Astro Awani yang memetik Bloomberg melaporkan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun, lapor Bloomberg.

      Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan persekutuan selama lapan minggu di Brooklyn, New York, yang menyaksikan pengakuan mengejutkan Tim Leissner, bekas bos Ng.

    Leissner, yang mengaku bersalah, adalah saksi utama terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Group Inc itu.

    Leissner mengakui berbohong secara peribadi dan profesional dalam rompakan berbilion dolar wang 1MDB yang mana Goldman berperanan mengatur tiga urus niaga bon.

    Ia merupakan kemenangan yang sukar oleh AS membabitkan penipuan dana kekayaan negara yang ditubuhkan untuk membantu rakyat dan ekonomi Malaysia tetapi sebaliknya digunakan untuk kepentingan pegawai kerajaan, jurubank dan pengantara dengan anggaran AS$2.7 bilion.

    Jho Low yang didakwa sebagai dalang utama oleh AS, merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan bagi Goldman, serta AS$1.42bilion untuk dirinya sendiri, bagaimanapun masih bebas.

    Hasil daripada penipuan itu digunakan untuk barangan termasuk kapal layar mewah AS$200 juta dan untuk membiayai filem “The Wolf of Wall Street.”

    Kes itu adalah rekod terburuk Goldman. Pada 2020, sebuah unit Goldman mengakui telah berkomplot untuk melanggar undang-undang antirasuah AS, pengakuan bersalah pertama bagi firma yang ditubuhkan pada 1869 itu.

    Bank itu membayar lebih daripada AS$2.9 bilion, penalti terbesar seumpamanya dalam sejarah AS, dan lebih daripada AS$5 bilion di seluruh dunia untuk peranannya dalam skim penipuan itu.

  • Lapan pengawal keselamatan Filipina dipenjara guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

    Lapan pengawal keselamatan Filipina dipenjara guna kad pengenalan palsu, milik orang lain

    GARA-gara menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain, lapan pengawal keselamatan warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara antara empat hingga 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini.

    Kesemua tertuduh Adzhar Tadjamon, 30; Alim Aunal, 22; Jasim Alano, 27; Asmie Rody, 36; Halid Janul Sallani, 34; Abu Bakar Mausil, 48; Imboy L Insung, 26, dan Abdul Munir Asnan, 30, masing-masing mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di tiga Mahkamah Majistret berasingan.

    Majistret Sabreena Bakar@Bahari memerintahkan Adzhar, Alim dan Jasim masing-masing dipenjara empat bulan manakala Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan masing-masing terhadap Asmie, Halid dan Abu Bakar.

    Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman pula memerintahkan Imboy dan Abdul Munir masing-masing dipenjara 12 bulan.

    Kesemua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu semalam.

    Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh masing-masing didakwa telah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain di pos pengawal di sekitar Shah Alam antara 11 dan 11.50 pagi, semalam.

    Bagi kedua-dua kesalahan tersebut, mereka didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara Zulkarnain Ahmad dan Zulkifli Idris manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

    — BERNAMA

  • Pas sokong pindaan Perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti

    Pas sokong pindaan Perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti

    PAS menegaskan akan menyokong pindaan Perlembagaan dan Akta Anti Lompat Parti, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hasaan dalam satu kenyataan malam ini.

    Berikut kenyataan penuh beliau;

    Pas akan memberikan sepenuh sokongan kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dalam Sidang Khas Parlimen pada Isnin yang  bertujuan meminda  Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 10(3) yang berkaitan dengan Perkara 10(1)(c), iaitu berhubung dengan kebebasan berpersatuan (freedom of association).

    Dalam satu kenyataan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,  Perkara 10(1)(c) adalah seperti berikut:

    10. (1) Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4)—

    (c) semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan.

    Perkara 10(3) adalah seperti berikut:

    (3) Sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) boleh juga dikenakan oleh mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan perburuhan atau pendidikan.

    Berdasarkan kes Dewan Undangan Negeri Kelantan -lawan- Nordin Salleh & Anor., yang diputuskan oleh Mahkamah Agung Malaysia pada 3 April 1992, sesuatu peruntukan Undang-undang ataupun Perlembagaan Negeri berkaitan Sekatan Lompat Parti akan dianggap bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan selagi Perkara 10 tidak dipinda bagi membolehkan suatu Akta Lompat Parti digubal dan diluluskan oleh Parlimen.

    Maka atas dasar inilah, Jemaah Menteri yang bersidang pada 6 April 2022 memutuskan Sidang Khas Parlimen pada 11 April 2022 perlu bersidang untuk meminda Perkara 10 bagi membolehkan suatu Akta berkaitan Lompat Parti dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen dalam suatu sidang yang lain.

    Jemaah Menteri juga secara sebulat suara bersetuju bahawa perkara-perkara berkaitan dengan Lompat Parti dan implikasinya dari segi undang-undang perlu dimasukkan secara lengkap dan terperinci di dalam suatu Akta Parlimen yang khusus.

    Akta Parlimen tersebut perlu merangkumi definisi-definisi yang tepat, misalan-misalan yang terang dan penjelasan yang konkrit bagi mengelakkan kekeliruan (lacuna), penyalahgunaan kuasa (abuse of power) dan kemungkinan berat sebelah (likelihood of biasness) yang turut menyebabkan pihak-pihak yang terkesan mencabarnya di mahkamah.