Category: Semasa

  • Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    Tiket harga kayangan, aktivis pengguna bidas syarikat penerbangan

    KENAIKAN harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Kuching pada tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianggap melampau dibidas oleh aktivis pengguna, Patrick Sindu.

    Memetik laporan FMT, beliau menyifatkan harga yang dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan adalah terlalu tinggi.

    Sehubungan itu, Patrick merayu kepada syarikat penerbangan supaya bersimpati dengan orang ramai yang tidak dapat melakukan perjalanan selama dua tahun kerana pandemik COVID-19.

    “Ini tidak adil kepada orang ramai yang ingin pulang bertemu keluarga di Sabah atau Sarawak. Syarikat penerbangan mesti mempunyai tanggungjawab sosial, terutama dalam mengambil kira kesan COVID-19.

    “Pengguna masih belum pulih daripada pandemik dan oleh itu kuasa beli mereka mungkin tidak ada untuk kebanyakan perkara, apatah lagi tiket penerbangan yang terlalu mahal,” jelasnya.

    Minggu lalu, Bernama melaporkan tiket pergi balik itu meningkat sebanyak 566 peratus bagi tempoh perayaan bermula 29 April hingga 8 Mei.

    November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggesa syarikat penerbangan menyelesaikan isu harga tiket mahal ke Sabah dan Sarawak terutamanya ketika cuti akhir tahun dan musim perayaan.

    Bagaimanapun katanya, kerajaan tidak akan menetapkan harga siling kerana memahami keadaan syarikat penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik.

    Patrick menambah, lonjakan harga itu akan menjejaskan usaha kerajaan untuk merangsang ekonomi kerana ia akan menghalang orang ramai daripada melakukan perjalanan walaupun sempadan negara dibuka semula.

    Beliau menggesa supaya Putrajaya mewujudkan satu sistem untuk mengawal harga, terutamanya untuk rakyat Malaysia.

    “Jika syarikat penerbangan tidak dapat menurunkan harga mereka kepada kadar yang boleh diterima, maka lebih baik untuk membuka ruang udara. Saya pasti ada syarikat penerbangan yang berminat untuk menyediakan laluan ini.” katanya,

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan bersimpati dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang ingin bertemu keluarga selepas sekian lama berjauhan namun kini berdepan ‘satu lagi halangan’.

    “Anda (syarikat penerbangan) boleh menjalankan perniagaan dan menjana keuntungan, tetapi jangan bersikap kejam terhadap pengguna,” katanya.

  • Dua anggota TLDM maut, motosikal rempuh treler

    Dua anggota TLDM maut, motosikal rempuh treler

    DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan di Jalan Sabah Port, Sepanggar, Kota Kinabalu, pukul 9 malam tadi.

    Ahmad Faiz Mohd. Hanif, 39, dan Norasnizam Mohd. Alui, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.14 malam.

    “Dilaporkan kejadian melibatkan dua motosikal merempuh sebuah treler dari arah belakang.

    “Akibat kejadian itu dua penunggang motosikal parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Katanya, pasukan bomba yang tiba bertindak menjalankan operasi sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Pemeriksaan di sekitar lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pukul 10.33 malam,” katanya.

  • Motosikal gagal potong lori muatan batu, pesara KTMB maut

    Motosikal gagal potong lori muatan batu, pesara KTMB maut

    SEORANG pesara syarikat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya gagal memotong sebuah lori di jalan simpang tiga Pak Badol, Bachok, 11.30 pagi semalam.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh, mangsa, Wan Razak Wan Jambul, 65, yang menunggang motosikal jenis Honda EX-5 maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

    “Siasatan awal mendapati semasa kejadian lori yang dipandu lelaki berusia 49 tahun itu dalam perjalanan membawa batu dari kuari di Gunong Bachok menghala ke tapak pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jerus Pasir Puteh.

    “Setiba di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan telah berhenti di persimpangan dan mahu membelok ke kiri jalan.

    “Sebelum membelok pemandu tersebut sudah membuat pemeriksaan bagi memastikan keadaan selamat. Namun semasa membelok ke sebelah kiri, secara tiba-tiba pemandu lori itu telah terdengar bunyi geseran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, pemandu itu kemudian terus memberhentikan lorinya dan mendapati seorang lelaki bersama motosikalnya berada dalam keadaan terbaring sambil berlumuran darah.

    Shuhaimi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Anis.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik HUSM Kubang Kerian untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Kontraktor didakwa cabul tiga wanita

    Kontraktor didakwa cabul tiga wanita

    SEORANG kontraktor pembinaan hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan tiga wanita di kawasan pusat komersial Tamarind Square di Cyberjaya, Disember tahun lalu dan bulan ini.

    Tertuduh Fariz Sollehim Mohamed, 20, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzati Sulaiman di Mahkamah Majistret Sepang.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 21 Dis lalu, 11.46 pagi di tempat letak kereta Tamarind Square terhadap seorang wanita berumur 32 tahun dan dua lagi kes cabul pada 5 April lalu di tempat sama terhadap dua wanita, masing-masing berumur 35 tahun dan 27 tahun.

    Lelaki berasal dari Selangor itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, ibu bapa tertuduh kelihatan sedih ketika mengikuti prosiding tersebut.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala Fariz Sollehim diwakili pelatih dalam kamar Nur Ashiqeen Mohd Sultan dari Tetuan Shah & Hurrie.

    Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, serta tidak mengganggu mangsa dan saksi kejadian.

    Mahkamah menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan – BERNAMA

  • Dua anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan asing

    Dua anggota Maritim Malaysia cedera bergelut dengan nelayan asing

    DUA anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) cedera ketika bergelut dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara, dalam kejadian pada jarak 46 batu nautika dari muara Tok Bali, dekat Pasir Puteh.

    Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, berkata dalam kejadian Isnin lalu, dua anggota APMM terbabit mengalami kecederaan bahagian tapak tangan kiri dan ibu jari kanan.

    “Salah seorang anggota cedera apabila tekong bot cuba menikam dengan pisau ketika anggota mahu mengambil alih kawalan ke atas bot yang ditahan.

    “Seorang anggota lagi pula cedera apabila diserang kru bot, namun mereka berjaya mempertahankan diri dan mengambil masa 45 minit untuk menahan bot berkenaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.

    Syed Nor Adli berkata, seramai 20 orang kru termasuk tekong warga Vietnam berusia 20 hingga 48 tahun ditahan.

    Katanya, semua nelayan itu ditahan ketika rondaan OP Khas Naga Barat, Op Khas Kuda Laut dan Op Damai yang mengesan kehadiran bot yang mencurigakan pada jarak tiga batu nautika.

    “Anggota terpaksa menggunakan ‘force boarding’ bagi memastikan bot berjaya dihentikan dan ambil masa tujuh jam untuk membawa bot dan tahanan ke jeti APMM,” katanya.

    Syed Nor Adli berkata, semua nelayan terbabit didapati tidak mempunyai pengenalan diri dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

    Katanya, mengikut peruntukan seksyen itu, nelayan terbabit boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM6 juta setiap orang dalam hal empunya atau nakhoda, manakala RM600,000 ke atas setiap kru, jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata , pasukan Maritim Malaysia berjaya merampas sebuah bot, peralatan ikan, hasil lalu seberat 500 kilogram dan 500 liter diesel yang semuanya dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

    “Bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia jika didapati bersalah,” katanya.

  • Dua ahli PSM ditahan disyaki ganggu ketenteraman awam

    Dua ahli PSM ditahan disyaki ganggu ketenteraman awam

    POLIS menahan dua lelaki dipercayai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) kerana mengganggu ketenteraman awam dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sebuah lot tanah persendirian di Chepor, Chemor, Ipoh, hari ini.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan bahawa terdapat sekumpulan lelaki menghalang dan mengganggu kerja-kerja pembersihan tanah serta mengancam keselamatan pekerja pemilik tanah berhampiran Taman Chepor Impian itu pada pukul 8.35 pagi.

    “Pasukan polis telah dihantar ke lokasi berkenaan dan kumpulan lelaki itu gagal membuktikan hak pemilikan ke atas tanah tersebut dan pegawai polis bertugas menasihatkan mereka supaya bersurai bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini sedangkan mereka juga telah melakukan kesalahan pencerobohan.

    “Setelah mendengar nasihat pihak polis, kebanyakan orang awam yang berkumpul di sana akur dan bersurai lalu beredar dari tempat kejadian namun dua lelaki tempatan yang memperkenalkan diri sebagai ahli PSM itu enggan bekerjasama dan tidak mahu beredar dari tempat kejadian malah melakukan provokasi kepada pegawai polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan dengan itu, beliau berkata, pihak polis terpaksa menjalankan tangkapan ke atas kedua-dua individu berkenaan di bawah Seksyen 186 dan 447 Kanun Keseksaan setelah memberi amaran sebanyak tiga kali bagi mengelakkan mereka terus menghasut orang ramai mengganggu ketenteraman awam dan pencerobohan.

    Terdahulu, laman Twitter rasmi PSM hari ini memuat naik gambar di lokasi kejadian dan memaklumkan aktivis parti itu ditahan polis apabila sedang mempertahankan tanah pertanian petani di Chepor Impian dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh. – Bernama

  • Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Pengarah syarikat, ketua pegawai pentadbiran ditahan guna butiran palsu tuntut RM176,800

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki menggunakan butiran palsu bagi membuat tuntutan berjumlah RM176,800 pada 2020 dan 2021.

    Sumber memaklumkan, lelaki tersebut yang merupakan pengarah syarikat pertanian berusia 32 tahun ditahan pukul 11.18 pagi di Pejabat SPRM Kedah manakala wanita tersebut yang merupakan Ketua Pegawai Pentadbiran syarikat sama, ditahan kira-kira pukul 11.07 pagi di lokasi sama.

    “Kedua-dua mereka diyaki mengemukakan laporan mengandungi butiran palsu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkaitan senarai peserta Program Mobiliti Tenaga Kerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan tidak menepati syarat dalam perjanjian ditandatangani.

    “Kedua-dua mereka disyaki telah memalsukan butiran peserta program bagi tujuan tuntutan bernilai RM176,800,” katanya.

    Tambahnya, kedua-dua individu tersebut akan dirakam kenyataan mereka sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

    “Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk, kata Syed Saddiq

    Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk, kata Syed Saddiq

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, undang-undang yang mengharamkan perubatan menggunakan kanabis atau ganja sudah lapuk.

    Malah katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah pun mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.

    “Realitinya bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun.

    “Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu tabu dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!” tegasnya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Syed Saddiq dalam masa sama turut memohon maaf kepada penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kerana terlepas pandang hantaran Facebooknya pada 14 Oktober tahun lalu yang menyokong sepenuhnya usaha beliau memperjuangkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

    “Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang hantaran saudara pada Oktober lepas.

    “Ia merupakan rayuan meminta tolong bukan sahaja untuk Yasin tetapi juga untuk orang lain yang turut menderita dan memerlukan perubatan ganja sebagai rawatan.

    Tangkap layar hantaran Facebook Yasin pada Oktober tahun lalu

    “Tidak ada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk “kesihatan anak-anak. Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin,” katanya.

    Sebelum ini, penyanyi lagu Mimpi Laila itu memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan.

    Yasin berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau juga ada berjumpa dengan ibu bapa yang terpaksa mendapatkan CBD atau ‘cannabidiol’ dari luar negara untuk tujuan perubatan anak-anak mereka.

    “Saya ada jumpa mak ayah yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.

    “Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul,” katanya.

  • Lelaki samun bank, hadapi pertuduhan bunuh anggota polis

    Lelaki samun bank, hadapi pertuduhan bunuh anggota polis

    SEORANG lelaki yang terbabit kes rompakan dan menembak mati pengawal van keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya bulan lepas, kini turut menghadapi pertuduhan membunuh seorang anggota polis.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata tangkapan lelaki berusia 38 tahun itu berjaya merungkaikan kes pembunuhan anggota polis yang sedang bertugas di balai polis Pinggiran USJ, Subang Jaya pada 2017.

    “Kehilangan pistol milik anggota itu juga terjawab dengan rampasan sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99 daripada tertuduh dan siasatan mendedahkan pistol yang sama digunakan dalam kes rompakan bank yang melibatkan tertuduh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata lelaki itu berdepan tujuh pertuduhan iaitu menembak mati pengawal keselamatan, cubaan membunuh, dua pertuduhan memiliki senjata api dan tiga pertuduhan samun bank bersenjata api sekitar Subang Jaya dan Shah Alam, Selangor.

    “Pertuduhan dibuat di Mahkamah Shah Alam hari ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, selain Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

    Katanya, bagi pertuduhan memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol semiautomatik jenama Walther P99, lelaki tersebut didakwa mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan.

    Bagi pertuduhan kedua memiliki senjata api, Abd Jalil berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. 

    Pada 11 Mac lepas, lelaki itu ditahan selepas disyaki terlibat dalam kejadian merompak dan menembak mati pengawal van keselamatan.

    — BERNAMA

  • Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah rahsiakan sumber 100 keping emas, wang tunai RM3.4 juta

    Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah rahsiakan sumber 100 keping emas, wang tunai RM3.4 juta

    SEORANG pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram, antaranya merahsiakan sumber 100 keping emas dianggarkan seberat 100 kg (kilogram) dan wang tunai berjumlah RM3.4 juta, tahun lepas.

    Choo Hin Voon, 44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Choo didakwa merahsiakan sumber 100 kepingan emas seberat 100 kg (kilogram), wang tunai RM3.4 juta dan wang tunai US$1.2 juta yang dirampas oleh dua pegawai polis di sebuah rumah di Jalan Batu Nilam 25, Bandar Bukit Tinggi Klang, Klang, Selangor pada 14 dan 19 April 2021, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Kesemua perbuatan didakwa dilakukan antara 23 Jun 2021 dan 7 April lepas mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

    Subseksyen itu membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan keempat, Choo didakwa dengan niat memperdaya telah menggunakan suatu catatan palsu melalui dokumen pernyataan bertulis dengan bersumpah di bawah Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, berhubung harta hasil daripada aktiviti haram iaitu kepingan emas dan wang tunai seperti dalam pertuduhan pertama hingga ketiga.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama subseksyen 49(4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya telah menetap di Klang, Selangor bersama isteri dan dua anaknya selama 17 tahun selain tiada risiko untuk melarikan diri.

    Mahkamah membenarkan Choo diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap awal bulan selain menetapkan 30 Mei ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA