Category: Semasa

  • CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan kerana pendapatan semasa mereka tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Presidennya, Datuk Adnan Mat.

    “Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam. Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan (penjawat awam) sebegitu rupa.

    “Kami telah buat cadangan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800. Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS di Kuala Lumpur hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan GLC.

    Sementara itu, Adnan berkata, apabila berlakunya perubahan gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam.

    Selain itu, Adnan berkata, sistem saraan baharu hendaklah dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.

    “Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu diganti,” katanya. – BERNAMA

  • Imigresen nafi tahan jurutera China lapan jam

    Imigresen nafi tahan jurutera China lapan jam

    JABATAN Imigresen Malaysia menafikan menahan seorang ketua jurutera warga China selama lapan jam seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

    Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sebaliknya urusan untuk memberikan Pas Khas kepada lelaki tersebut tidak dapat diteruskan kerana dia gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengemukakan dokumen yang diperlukan.

    Beliau berkata, lelaki tersebut juga gagal mengemukakan tiket penerbangan pulang dalam masa 30 hari dan tidak memuat naik keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen COVID-19 dalam MySejahtera.

    “Pas Khas tidak dapat dikeluarkan kerana menunggu syarikat majikan lelaki tersebut membeli tiket penerbangan pulang dan keputusan saringan dimuat naik ke dalam MySejahtera,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi jabatan berkenaan.

    Beliau menjelaskan bagaimanapun setelah tiket penerbangan pulang yang sah dalam tempoh 30 hari telah dikemukakan dan keputusan saringan itu dimuat naik dalam MySejahtera, pihaknya telah mengeluarkan Pas Khas dan Memo Periksa Keluar selaras dengan peraturan dan undang-undang yang diperuntukkan.

    Khairul Dzaimee berkata demikian ketika mengulas laporan kenyataan pemain industri perkapalan (Maritim Network) yang menganggap tindakan jabatan berkenaan menahan ketua jurutera warga China selama tempoh lapan jam itu tidak profesional.

    “Orang ramai sama ada warga asing atau warga tempatan diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta menyediakan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan sebelum hadir berurusan di kaunter atau mana-mana pejabat Imigresen,” katanya. – BERNAMA

  • Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    Anggota polis maut motosikal berlanggar dengan jip

    SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kenderaan jenis jip di Jalan Kampong Sri Cheeding, Jenjarom, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata ketika kejadian pada 4.45 petang itu,  Koperal Muhamad Nazri Mohd Nor, 31, yang bertugas di Balai Polis Bukit Puchong, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam perjalanan pulang selepas siap bertugas pada 4 petang.

    “Akibat perlanggaran itu, Muhamad Nazri dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Banting untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata Allahyarham yang telah berkhidmat selama sembilan tahun itu meninggalkan seorang isteri dan belum dikurniakan cahaya mata.

    Abd Khalid berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Cawangan Trafik dan ketika ini pemandu jip tersebut masih belum membuat laporan polis.

    Beliau meminta saksi kemalangan tersebut untuk tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Langat Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran.

    Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed mewakili seluruh warga kerja polis kontinjen Selangor mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa.

    — BERNAMA

  • 11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    11 pelajar madrasah cedera, van terbabas di Seremban

    SEBELAS daripada 18 pelajar tahfiz dari sebuah madrasah di Rembau dekat sini, cedera selepas van dinaiki terbabas gara-gara cuba mengelak seekor musang yang melintas di Kilometer 16 Jalan Seremban-Tampin, Seremban awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Rembau DSP Hazri Mohamad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu, seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun patah tangan kanan dan seorang lagi berusia 16 tahun cedera pada mulut, manakala sembilan yang lain cedera ringan.

    Beliau berkata kedua-dua pelajar itu dirawat di zon kuning di Hospital Rembau dan selebihnya dirawat sebagai pesakit luar.

    “Pemandu van Muhammad Tamimi Md Suhot, 26, cedera ringan di jari kiri, manakala baki tujuh lagi pelajar tidak mengalami sebarang kecederaan. 

    “Kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Tampin dan setibanya di lokasi kejadian, van dipandu Muhammad Tamimi dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hazri berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

  • Kes Bella: Rina sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

    Kes Bella: Rina sedia menghadap Tunku Mahkota Johor

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun bersedia menghadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam bagi mempersembahkan status perbicaraan kes penderaan Bella.

    Rina menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini memaklumkan kementerian berkenaan akan mempersembahkan tindakan yang telah disusuli pihak kementerian dalam membantu perbicaraan kes itu.

    “Titah DYAM Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella.

    “Kementerian menyambut baik pelawaan ini dan akan bekerjasama rapat dengan pihak peguam yang dititahkan oleh DYAM Tuanku. Menjunjung kasih DYAM Tuanku,” menurut hantaran itu.

    Rina berkata beliau terharu atas keprihatinan dizahirkan oleh baginda berdua yang sama-sama mengikuti perkembangan kes perbicaraan berkenaan.

    Rina turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk berdoa agar urusan perbicaraan kes penderaan Bella dipermudahkan dan kebenaran dapat dibuktikan pada akhir perbicaraan.

    Kes Bella tular di media sosial tahun lepas selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

    Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021.

    Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Beliau tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

    — BERNAMA

  • Ulsan Hyundai tidak ambil mudah pertemuan dengan JDT malam ini

    Ulsan Hyundai tidak ambil mudah pertemuan dengan JDT malam ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KELAB gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC tidak mengambil mudah cabaran menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), pada malam ini.

    Pengendali Ulsan Hyundai FC, Hong Myung Bo berkata, pihaknya tidak akan mengabaikan gandingan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva yang mewakili JDT dan akan mencari jalan bagi merantai kelibat penyerang import itu.

    Beliau akan memikirkan cara terbaik bagi mematikan gerakan gandingan penyerang import Harimau Selatan itu bagi membolehkan anak buahnya bermain dengan lebih baik seterusnya meneruskan misi memburu kemenangan pertama.

    Bekas jurulatih Korea Selatan itu berkata, tumpuan lebih akan diberikan kepada penyerang kelahiran Brazil itu setelah Bergson pernah mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Korea ketika bersama pasukan Suwon Bluewings dan Busan IPark sebelum ini.

    “Apa yang kami dapati, kedua-dua penyerang import ini mempunyai kombinasi yang baik antara satu sama lain selain bijak melakukan gerakan yang boleh mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

    “Jadi, kami perlu ada perancangan yang rapi untuk mengekang kemaraan mereka berdua dan berhati-hati ketika merantai pergerakan mereka, kita tidak mahu pasukan terjerat dengan muslihat tipu helah mereka.

    “Untuk perlawanan menentang JDT ini, kami perlu memberi konsentrasi sepenuhnya kerana mungkin mereka akan tampil dengan corak permainan yang berbeza ketika menentang Guangzhou FC sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar Stadium Sultan Ibrahim, hari ini.

    Myung Bo turut bertekad untuk menjadikan Harimau Selatan sebagai mangsa pertama mereka setelah kempunan mengutip tiga mata ketika hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 ketika menentang kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pembukaan Kumpulan I.

    Katanya, kecuaian di akhir minit permainan menyebabkan pasukan lawan berjaya memperoleh gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat untuk mencuri satu mata dari tangan mereka.

    “Tidak dinafikan kami sedikit kecewa gagal meraih tiga mata pada perlawanan pertama, bagaimanapun keputusan tersebut tidak menjejaskan moral dan persediaan pemain untuk mengutip tiga mata ketika berdepan JDT,” ujarnya.

    Tambahnya, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Kawasaki Frontale atau melakukan pertukaran untuk memastikan pemain yang diturunkan adalah cergas sepenuhnya.

    Dalam pada itu, pemain pertahanan Ulsan Hyundai, Lim Jong-eun berkata, pemain perlu memberikan tumpuan penuh sepanjang 90 minit perlawanan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali sekali gus merencatkan peluang mereka untuk layak ke pusingan seterusnya.

    “Kami sepasukan akui JDT adalah sebuah pasukan yang berkualiti, jadi kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka sebaliknya melakukan yang terbaik bagi memastikan pasukan berjaya meraih kemenangan,” ujarnya.

  • JDT akui berdepan cabaran getir berdepan Ulsan Hyundai FC

    JDT akui berdepan cabaran getir berdepan Ulsan Hyundai FC

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mengakui akan berdepan cabaran getir menentang kelab gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai FC pada aksi kedua Kumpulan I Piala Juara-juara Asia (ACL), pada malam ini.

    Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, anak buahnya sudah bersiap sedia daripada semua aspek meskipun sedar pertemuan itu bukan tugas mudah buat skuada Harimau Selatan.

    Jelasnya, ini kerana lawan mereka kali ini adalah pasukan yang bermain pada tahap tinggi selain diperkuatkan beberapa pemain import yang berkualiti mampu mengubah keputusan perlawanan.

    Walaupun begitu katanya, mereka sudah bersedia dengan corak permainan fizikal yang akan ditunjukkan lawan serta cuba menyaingi kekuatan kelab tersebut selain mengintai peluang untuk mencipta kejutan.

    “Ulsan Hyundai adalah pasukan yang bagus, kuat dan bertenaga, mereka akan mampu mempamerkan aksi terbaik apabila bermain di gelanggang terbaik seperti Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan pertama, mereka bermain pada waktu petang, mungkin faktor cuaca mengekang mereka pamer aksi sebenar mereka.

    “Bagaimanapun, kami sudah bersedia pada setiap aspek malah akan menunjukkan kepada mereka kemampuan JDT mengekang kemaraan serta menyaingi mereka. Sudah tentu ini menjadi perlawanan sukar buat kami, tetapi itulah alasan kami berada di kejohanan ini, mencabar kemampuan pasukan.

    “Kami sukar untuk menempa rekod baharu dan mencabar keupayaan diri, jika sebelum ini kita tidak pernah menewaskan pasukan dari Jepun dan Korea Selatan, rekod itu sudah dicipta setelah menewaskan Kashima Antlers dan Suwon Bluewings sebelum ini, kami perlu tahu untuk mencabar diri kami,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, hari ini.

    Katanya, gandingan penyerang import, Bergson Da Silva dan Fernando Forrestieri akan terus menjadi sandaran mengintai peluang merobek kubu lawan bagi meneruskan rentak kemenangan setelah menewaskan Guangzhou FC 5-0 pada aksi pembukaan Jumaat lalu.

    Bergson yang kembali menemui sentuhan jaringan pada kejohanan itu katanya, dilihat mampu menggalas tanggungjawab sebagai mesin gol pada perlawanan penting seperti ini kerana mempunyai kualiti yang ada pada seorang penyerang berbisa.

    “Bergson dilihat mampu membentuk gandingan yang baik dengan Forrestieri, jadi apabila keadaan berjalan lancar dan berkesan, saya cuba untuk tidak masuk campur. Saya cuma hanya akan memberi sokongan serta memberikan keyakinan kepadanya kerana dia sudah cukup terbaik.

    “Bergson merupakan seorang pemain yang berskil tinggi, berkualiti dan bijak mencari ruang serta bermain secara berpasukan. Beliau juga mampu bermain pada tahap tinggi dan mampu mencipta gol di saat kami memerlukan,” katanya.

    Ditanya mengenai barisan pertahanannya, beliau masih belum dapat memberi kata putus sama Shahrul Saad dan Matthew Davies sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

  • Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Dua lelaki cuba langgar polis, tembakan dilepaskan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS Kedah kini giat memburu dua lelaki yang melarikan diri daripada dikejar, dalam kejadian yang turut menyaksikan beberapa das tembakan dilepaskan di Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi semalam ketika tiga anggota dari Balai Polis Tikam Batu melaksanakan penugasan pemeriksaan mengejut di kawasan Permatang Merbau.

    Menurutnya, ketiga-tiga anggota itu kemudiannya mengarahkan sebuah kereta jenis Proton Wira dinaiki empat lelaki untuk berhenti.

    “Arahan tersebut bagaimanapun langsung tidak diendahkan dengan kenderaan terbabit hampir melanggar anggota polis terlibat.

    “Polis kemudiannya mengejar kenderaan tersebut yang dipandu secara merbahaya, hingga melanggar beberapa kenderaan awam di situ,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dalam kejadian itu bagi mengarahkan kenderaan tersebut berhenti demi keselamatan awam.

    “Mereka bagaimanapun dapat meloloskan diri dan seorang anggota polis cedera dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambahnya, polis kemudiannya berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 41 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Dalam masa sama, kami kini giat memburu dua lagi lelaki iaitu Muhammad Hakim Hakimi Abd Rahim, 19, atau lebih dikenali sebagai ‘Bob’ dan Muhammad Fakrul Aize Rofizan, 23, berhubung kejadian itu.

    “Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah diisytiharkan penjawat awam,” katanya.

  • Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    Kemalangan: Pegawai kanan bomba Perak cedera, isteri parah

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak cedera apabila kereta yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori sampah di Taman Chepor Impian di Ipoh hari ini.

    Jurucakap JBPM Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya menerima panggilan kecemasan pada 1.33 tengah hari tadi.

    “Mangsa, Taufik Asyarun Zainuddin berusia lingkungan 30-an merupakan pegawai kanan bomba daripada bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak dan dua anak lelakinya cedera pada bahagian kaki manakala isterinya cedera parah pada bahagian kepala.

    “Kereta yang dipandu mangsa jenis Proton Persona telah berlanggar dengan bahagian belakang sebuah lori sampah yang diparkir di tepi jalan,” katanya.

    Jurucakap itu berkata, anggota bomba bertindak mengeluarkan kesemua mangsa dan menyerahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat sepenuhnya pada 2.29 petang. – BERNAMA

  • RMK-12: Projek pembangunan di Kelantan alami kelewatan

    RMK-12: Projek pembangunan di Kelantan alami kelewatan

    PROJEK pembangunan di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengalami kelewatan apabila hanya mencapai 14 peratus pelaksanaan dengan nilai perbelanjaan sebanyak RM334 juta setakat Mac lepas.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peratus pembangunan itu masih rendah kerana projek yang dirancang mengalami sedikit kelewatan berbanding sasaran awal yang sepatutnya telah mencapai 25 peratus.

    Beliau berkata, antara isu yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan tersebut adalah kekurangan tenaga kerja, isu penyelarasan di peringkat agensi kerajaan dan masalah tapak projek yang rumit.

    “Bagi pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), terdapat empat seksyen berada pada peringkat pembinaan.

    “Bagaimanapun, tiga seksyen pula mengalami sedikit kelewatan iaitu bagi pakej 2C di Bukit Sejuk ke Gua Musang, pakej 3B dan 3C membabitkan bulatan Gua Musang dan pakej 3D di Bulatan Gua Musang ke Mentara,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat status projek pembangunan Rancangan Malaysia RMK12 di Bilik Gerakan Kompleks Kota Darulnaim, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK) membabitkan tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion telah diluluskan dan ia dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

    “Sehingga Mac lalu, dua pakej telah siap sepenuhnya manakala lima pakej lagi masih dalam peringkat pembinaan,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, pihaknya telah meluluskan peruntukan tambahan membabitkan nilai RM200 juta menerusi projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

    Beliau berkata, secara umumnya projek berkenaan berjalan dengan baik dan dijangka siap pada Julai depan namun terdapat beberapa isu termasuk permohonan tambahan untuk menyelesaikan masalah banjir khususnya di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Gual Periok dan DUN Meranti.

    “Menerusi projek ini pada awalnya kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM465 juta, namun terdapat peruntukan tambahan daripada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di dua DUN berkenaan dan kami meluluskan sebanyak RM200 juta menjadikan nilai keseluruhan RM665 juta,” katanya. – BERNAMA