Category: Semasa

  • 398 daripada 528 Rohingya lari dari depot ditahan semula

    398 daripada 528 Rohingya lari dari depot ditahan semula

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 398 daripada 528 etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen di Relau, Bandar Baharu semalam, sudah pun ditahan semula setakat pukul 5 pagi tadi.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 192 lelaki, 75 wanita, 63 kanak-kanak lelaki serta 60 kanak-kanak perempuan.

    “Setakat ini, dua individu disahkan cedera melibatkan seorang lelaki yang dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan seorang perempuan yang dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

    “Manakala baki mereka yang belum ditemui adalah seramai 130 orang terdiri daripada 99 lelaki dewasa, 21 perempuan dewasa, lima kanak-kanak perempuan dan lima kanak-kanak lelaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Sementara itu katanya, kesemua yang ditahan tersebut kini dipindahkan ke beberapa depot lain dalam tempoh 24 jam bagi tujuan keselamatan.

    “Seramai 144 individu dipindahkan ke Depot Semenyih di Selangor, 100 ke depot Langkap di Perak dan 104 ke Depot Machap Umboo di Melaka.

    “Selain itu, seramai 100 lagi individu dipindahkan ke Depot Bukit Jalil dan jumlah keseluruhan yang dipindahkan adalah seramai 448 orang,” katanya.

  • Bekas KSN, Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia

    Bekas KSN, Tan Sri Ali Hamsa meninggal dunia

    BEKAS Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland hari ini.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkara tersebut dalam kenyataan media serta mewakili seluruh warga perkhidmatan awam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

    Beliau menyifatkan Ali sebagai tokoh besar dalam perkhidmatan awam negara.

    “Beliau merupakan anak jati Johor serta dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-13, menyertai Perkhidmatan Tadbir dan
    Diplomatik pada tahun 1981.

    “Menelusuri sejarah gemilang perkhidmatannya, beliau telah menabur bakti di pelbagai kementerian dan jabatan antaranya di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

    “Sesungguhnya, pemergian beliau di bulan Ramadan yang mulia ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara dan perkhidmatan awam.

    “Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan beliau dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

    Ali meninggalkan isteri iaitu Puan Sri Rohani Abdullah dan empat orang anak.

    Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara selama enam tahun mulai dari 2012 juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PPA1M), ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan Pengerusi Institut Integriti Malaysia.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek menyifatkan Ali sebagai seorang mentor dan pendengar yang baik.

    “Saya mengenali arwah agak lama, banyak pengalaman saya bersama beliau iaitu sejak saya memasuki kursus kadet pegawai tadbir diplomatik, beliau adalah fasilitator saya. Ia adalah kehilangan besar kepada negara,” katanya yang mewakili warga K-KOMM mengucapkan takziah kepada keluarga Ali.

    “Semoga dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi cabaran ini, sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” kata Mohammad selepas merasmikan Program ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ peringkat kementerian di sini hari ini.

    Mengimbau pengalaman bekerja dengan Ali, Mohammad berkata beliau terharu apabila diberi kepercayaan menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai ketua pengarah sebelum ini.

    “Tan Sri (Ali) adalah seorang yang senang didekati, beliau pendengar yang baik. Beliau juga amat berjasa kepada penjawat awam dari segi urusan kebajikan, kenaikan pangkat dan juga aspek perumahan,” kata Mohammad.

  • Dua depot imigresen aktifkan sistem amaran elak kes tahanan lolos berulang

    Dua depot imigresen aktifkan sistem amaran elak kes tahanan lolos berulang

    DEPOT Tahanan Imigresen di Bidor, Perak dan Beranang, Selangor telah diaktifkan sistem amaran bagi memastikan kejadian tahanan meloloskan diri seperti yang berlaku di Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, berulang.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata aspek keselamatan di kedua-dua depot berkenaan telah dipertingkatkan memandangkan pusat tahanan sementara itu asalnya merupakan kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

    “Semua komandan telah berhubung dengan balai polis berdekatan dan telah mengaktifkan sistem amaran kerana tidak mahu kejadian itu memberi inspirasi kepada (tahanan di) depot yang lain,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Pulau Pinang dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berhampiran kawasan Jawi, Nibong Tebal.

    Khairul Dzaimee bagaimanapun menjelaskan bahawa depot tahanan Sungai Bakap itu digunakan jabatan berkenaan untuk menempatkan pelarian yang didapati positif COVID-19. 

    “(Seramai) 528 orang tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap asalnya ditahan di perairan Langkawi pada 2019 yang kemudian ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi. Namun kem itu ditutup pada 2021 dan pelarian tersebut kemudian dipindahkan ke beberapa depot antaranya di Sungai Bakap,” katanya.

    Mengulas dakwaan kononnya berlaku kematian di depot tersebut sehingga memberi tekanan kepada tahanan, Khairul Dzaimee berkata hanya satu kes kematian kerana sakit biasa direkodkan namun, ia tiada kaitan dengan kejadian meloloskan diri berkenaan.

    Beliau berkata punca kejadian pada awal pagi itu, masih dalam siasatan.

    Dalam pada itu, beliau berkata usaha mengesan saki-baki warga asing yang meloloskan diri masih giat dijalankan pasukan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam.

    Di IPOH, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata tiada sebarang tangkapan terhadap saki-baki tahanan etnik Rohingya yang telah melarikan diri itu di Perak, meskipun sebanyak 243 sekatan jalan raya (SJR) dijalankan di 54 lokasi berdekatan sempadan utara negeri ini.

    Ini termasuk di daerah Kerian, Selama dan Taiping iaitu kawasan yang berhampiran dengan Pulau Pinang dan Kedah.

    “Kita telah melaksanakan Ops Tutup sejak awal pagi tadi selepas kita menerima maklumat daripada kontinjen Pulau Pinang dan Kedah tentang pembolosan yang berlaku di depoh berkenaan.

    “Sehingga kini kita belum dapat mengesan apa-apa tetapi kita akan meneruskan Ops Tutup bagi membantu kontinjen berkenaan (Pulau Pinang dan Kedah) dalam mengesan pelarian Rohingya,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemakaian dan Penyematan Pangkat kepada 303 Pegawai dan Anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Kontinjen Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh, hari ini.

    Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan meminta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) sekiranya perlu untuk membantu mengesan tahanan yang masih lagi bebas.

    “Tidak dinafikan pelarian Rohingya ini akan masuk ke kawasan perkampungan. Saya menyeru kepada pemimpin dan orang kampung jika nampak mereka, sila hubungi balai polis yang berhampiran untuk kita tahan mereka semula,” katanya – Bernama

  • Sedih tengok mayat PATI bergelimpangan atas lebuh raya

    Sedih tengok mayat PATI bergelimpangan atas lebuh raya

    “SEDIH melihat mayat termasuk dua kanak-kanak bergelimpangan atas lebuh raya,” kata seorang penduduk Kampung Sungai Kechil yang juga saksi kemalangan membabitkan tahanan Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap di Relau, Bandar Baharu itu.

    Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Atan, 36, itu berkata, dia menyaksikan kejadian berkenaan ketika mahu menghantar anaknya ke sekolah pagi hari ini.

    Ketika itu terdapat enam mayat termasuk dua kanak-kanak bergelimpangan di lebuh raya itu.

    “Sedih sangat melihat kejadian itu terutamanya kanak-kanak tidak berdosa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, seorang daripada penduduk kampung kemudiannya menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian terbabit.

    Dalam kejadian pada 4.30 pagi hari ini, seramai 528 daripada 663 tahanan di depot itu bertindak melarikan diri.

    Kemalangan itu dikatakan berlaku pada 6.50 pagi di Kilometer (KM) 165 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Nibong Tebal, apabila kumpulan terbabit dikatakan mahu menyeberangi lebuh raya terbabit.

    Mangsa membabitkan dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak maut di tempat kejadian.

    Ekoran insiden itu, tahanan lain yang menyaksikan kemalangan berkenaan tidak berani melintas, sebaliknya melarikan diri di tepi lebuh raya sebelum sekumpulan pemuda membantu menahan kesemua mereka di KM168.2 sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Atan berkata, penduduk kampung ketika ini turut berasa takut dan bimbang atas faktor keselamatan selepas mengetahui mengenai insiden pendatang asing tanpa izin (Pati) melarikan diri dari depot yang terletak dalam jarak kira-kira lima kilometer (km) dari kampung mereka.

    Menurutnya, beberapa tahanan yang melarikan diri itu didapati berlari masuk ke dalam kampung itu sebelum menuju ke lebuh raya berhampiran.

    “Sebelum itu, mereka (tahanan) ada yang meminta air kepada beberapa orang penduduk kampung ini kerana sangat dahaga.

    “Oleh itu, saya tidak fikir mereka yang masih bebas boleh pergi jauh dan mereka mungkin bersembunyi berhampiran kampung ini yang saya berharap mereka dapat ditahan segera supaya kampung ini kembali aman,” katanya.

  • Najib tak pernah kata ‘okey’ pada KPGM untuk tandatangan penyata tunai 1MDB 2013 – Saksi

    Najib tak pernah kata ‘okey’ pada KPGM untuk tandatangan penyata tunai 1MDB 2013 – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berkata ‘okey’ kepada KPMG Malaysia untuk menandatangani penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 2013 selepas pertemuan firma audit itu dengan 1MDB diadakan di kediaman bekas perdana menteri di Langgak Duta pada 15 Disember 2013.

    Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, 48, yang bersetuju dengan soalan yang dikemukakan oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed juga berkata perkataan ‘okey’ tidak pernah disebut oleh Najib.

    Azmi menjelaskan bahawa mesyuarat itu diadakan atas permintaan KPMG kerana firma audit itu bertegas untuk bertemu Najib kerana tidak berpuas hati dengan maklumat dan dokumentasi yang disediakan oleh pengurusan 1MDB bagi tujuan mengaudit pelaburan dana kekayaan Malaysia berjumlah US$2.3 bilion di luar negara.

    Saksi itu berkata bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada rakan kongsi KPMG Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ketika itulah permintaan tersebut dibuat, selepas juruaudit tidak berpuas hati dengan maklumat yang diberikan syarikat itu, setakat ini.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Wan Aizuddin dalam perbicaraan Najib berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

    Wan Aizuddin: Apakah reaksi anda apabila mendengar permintaan KPMG?

    Azmi: Saya terkejut. Saya tanya kenapa mereka nak berjumpa dengan perdana menteri? Mereka berkata mereka mahu mendengar daripada pemegang saham bahawa semuanya okey. Mereka berkata jika Najib berkata okey, maka mereka akan menandatangani (pada penyata kewangan 1MDB).

    Wan Aizuddin: Anda berkata mereka (KPMG) kata, ‘Jika PM kata okey, mereka akan tandatangan’. Jadi, anda akan bersetuju bahawa selepas pertemuan dengan Najib, dia tidak pernah berkata, “okey anda boleh tandatangan”? Azmi menjawab: “Kata-kata itu bukan dari dia”.

    Azmi juga berkata dia telah menyampaikan mesej itu (permintaan KPMG) kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa perbualannya dengan Ahmad Nasri.

    Azmi: Jho Low berkata, kenapa, kenapa jumpa PM? Jadi saya cakap, mereka (KPMG) berkata jika mereka jumpa dan puas hati serta PM mengetahui dan ia okey, maka mereka akan tandatangan. Saya telah diberi tekanan oleh Jho Low, ‘Semestinya, mereka akan tandatangan”.

    Peguam itu kemudiannya mempersoalkan mengapa Jho Low adalah orang pertama yang dihubungi Azmi berhubung permintaan KPMG untuk bertemu Najib, dan saksi itu berkata tiada seorang pun daripada mereka berurusan secara langsung dengan PMO (Pejabat Perdana Menteri) dan dalam hal ini, mereka percaya dia (Jho Low) adalah wakil (PM).

    Ketika ditanya mengapa saksi memilih Jho Low berbanding Datuk Azlin Alias sebagai Setiausaha Sulit utama Najib ketika itu, saksi itu berkata walaupun dia berurusan dengan Azlin, namun Jho Low memainkan peranan utama kerana dia (Jho Low) mengendalikan urusan audit dan 1MDB.

    Mahkamah juga mendengar hujah bahawa, walaupun selepas pertemuan pada 15 Disember itu, tiada laporan akhir audit dikeluarkan oleh KPMG.

    Menjawab soalan lain, saksi berkata Najib tidak menelefon dan meminta beliau untuk menggantikan KPMG dengan Deloitte.

    Dilaporkan bahawa selepas pertemuan dengan Najib, KPMG digugurkan sebagai juruaudit 1MDB dan digantikan oleh firma audit Deloitte untuk mengaudit penyata kewangan 2013 dana itu.

    Sebelum ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman memberi keterangan bahawa KPMG disingkirkan sebagai juruaudit 1MDB berikutan tekanan daripada Najib.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.- Bernama

  • Suspek kes tetak 4 ahli keluarga diberkas

    Suspek kes tetak 4 ahli keluarga diberkas

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SELEPAS hampir seminggu melarikam diri, suspek kes menetak empat ahli keluarganya dengan sebilah parang ketika menunggu untuk berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Khamis lalu berjaya diberkas polis hari ini.

    Sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulai menahan
    suspek pada pukul 11.50 pagi di Kulai.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata,
    suspek merupakan seorang lelaki Melayu berumur 38 tahun itu berjaya dikesan di Jalan Persiaran Indahpura 4, Kulai sebelum ditangkap.

    “Suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 April di Mahkamah Majistret di sini.

    Menurutnya, reman itu ntuk membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga dikenakan denda atau sebat.

    Kejadian pada jam 7.11 malam Khamis itu berlaku ketika empat beranak tersebut menunggu waktu berbuka puasa sebelum suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan menetak menggunakan parang.

    Suspek yang berasal dari Felda Air Tawar 3 menetak isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an.

    Semua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

    Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian itu, motif serangan masih dalam siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta denda atau sebat.

  • Pesawah petik kes Najib, berjaya tangguh hukuman penjara sementara tunggu rayuan

    Pesawah petik kes Najib, berjaya tangguh hukuman penjara sementara tunggu rayuan

    SEORANG pesawah berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara tujuh tahun kerana menyebabkan kecederaan teruk kepada rakan sekampung sementara menunggu keputusan rayuan terakhirnya dengan memetik kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohamad yang mewakili Mohamad Faiz Mohd Ruseli telah memetik kes Najib yang disabitkan dengan tujuh pertuduhan rasuah membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tetapi diberi penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuannya selesai.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Hashim Hamzah bersetuju membenarkan permohonan Mohamad Faiz untuk penangguhan pelaksanaan hukuman. 

    “Kami bersetuju hukuman ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan terhadap sabitan dan hukuman,” kata Kamaludin.

    Mohamad Faiz dibenarkan diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di balai polis Binjai di Kota Baru, Kelantan, dua minggu sekali sehingga rayuannya didengar.

    Pada 28 Julai 2020, Mohamad Faiz, 25, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Nus Hassan, 42, di Kg Tambak Banggu, Kota Bharu, Kelantan pada 7 malam pada 26 Jun 2019.

    Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan memerintahkan dia dikenakan dua sebatan tetapi membenarkan permohonan Mohamad Faiz untuk penangguhan pelaksanaan hukumannya sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

    Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, pada 14 Dis 2020, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan menolak penangguhan pelaksanaan hukuman penjara Mohamad Faiz sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman ke Mahkamah Rayuan.

    Secara kebetulan, Mohamad Faiz dan Najib dijatuhkan hukuman oleh mahkamah berbeza atas pertuduhan berbeza pada hari yang sama pada 28 Julai 2020.

    Dalam kes Najib, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan juga membenarkannya dibebaskan dengan jaminan RM2 juta.

    Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, juga membenarkan Najib menangguhkan pelaksanaan hukumannya dan denda sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. – Bernama

  • Tiket bas balik raya laris bak pisang goreng panas

    Tiket bas balik raya laris bak pisang goreng panas

    KURANG dua minggu lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam Fasa Peralihan ke Endemik, jualan tiket bas ekspres ke semua destinasi di semenanjung negara dilihat laris dijual ‘bak pisang goreng panas’. 

    Tinjauan Bernama di Terminal 17, di Seksyen 17, di Shah Alam mendapati sebagaimana kelaziman tiket bas ekspres ke Pantai Timur terlebih dahulu habis terjual berbanding ke negeri lain, terutamanya tiket ke Kelantan yang laris dijual sejak minggu pertama penjualannya, bermula pada 1 April lepas.

    Suasana di stesen itu juga dilihat agak lengang dengan hanya beberapa pengunjung datang untuk membeli tiket. 

    Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shahrin Ahmad berkata setakat hari ini 11,392 keping tiket terjual, dan majoriti pelanggan dilihat tidak menunggu saat akhir untuk membeli tiket.

    “Mereka membeli tiket sejak hari pertama tiket itu mula dijual. Tahun ini penjualan tiket sangat menggalakkan berbanding tahun lepas kerana hanya beberapa pergerakan penting sahaja dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Shahrin berkata, pada tahun ini 45 peratus tiket dibeli secara dalam talian dan beliau menjangka penjualan tiket itu akan terus meningkat pada minggu ini. 

    Sementara itu seorang pekerja penghantar makanan, Zulazham Mohd Rayes, 36, ketika ditemui berkata beliau yang membeli tiket ke Alor Star, Kedah pada 30 April depan bagi pihak rakannya mendapati tiket ke utara masih ada, namun hanya pada tarikh tertentu sahaja. 

    “Rakan saya pilih naik pengangkutan awam sebab mahu jimat, jika memandu sendiri kos untuk balik (ke kampung) akan lebih besar. Lagipun tahun ini ramai yang akan pulang beraya di kampung, jalan pasti sesak,” katanya.

    Kerani, Norasmat Ahmad, 28, pula berkata beliau telah membeli tiket untuk pulang ke Jerantut, Pahang sejak hari pertama tiket itu mula dijual, dan dijadual kembali ke kampung halamannya pada 28 April depan.

    “Saya beli awal kerana khuatir tiket bas habis, apabila kerajaan umum tiada sekatan perjalanan akan dikenakan pada Hari Raya Aidilfitri, saya terus rancang tarikh untuk pulang ke kampung,” katanya.– Bernama

  • Saksi kes Bella nafi dibayar beri keterangan palsu

    Saksi kes Bella nafi dibayar beri keterangan palsu

    SAKSI kelima pihak pendakwaan dalam kes pengabaian dan penganiayaan seorang remaja perempuan syndrome down dikenali Bella menafikan dibayar untuk memberi keterangan palsu kepada mahkamah, hari ini.

    Memetik laporan Berita Harian, peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd. Razali mencadangkan kepada Yasmin Nahar Mahmood, 19, bersama bapanya dibayar di luar mahkamah yang mendesak keadilan untuk Bella yang dikenali ‘Justice For Bella’.

    Bagaimanapun, saksi tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu dalam prosiding perbicaraan hari ini.

    Sementara itu, Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Bella perlu berdiri setiap hari atas arahan Siti Bainun.

    Susulan itu, satu klip video ditayangkan di mana peguam bertanyakan soalan apakah yang dilakukan oleh Bella.

    Yasmin menjawab Bella sedang mengutip nasi serta tidak berdiri dan tidak duduk.

    Nur A’minatul kemudian mencadangkan bahawa ia boleh memnyebabkan Bella mengalami ‘inflammation’ atau keradangan di lutut dan kaki tidak boleh bergerak.

    Saksi bagaimanapun tidak berpuas hati dengan soalan peguam itu dan hanya menjawab ‘tidak pasti’.

    Dalam prosiding sama, mahkamah turut menayangkan satu klip video yang memaparkan Bella ketika pertama kali ditemui oleh pengadu kes iaitu saksi pertama pendakwaan, Zurianty Sudin, di mana wartawan dan orang awam tidak dibenarkan berada dalam mahkamah.

    Nur A’minahtul Mardiah memohon mahkamah hanya hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan dibenarkan menontonnya kerana Bella adalah remaja bawah umur dan dilindungi, dan permohonan itu dibenarkan oleh Hakim Izralizam Sanusi.

    Selepas tayangan video itu, peguam bertanyakan kepada saksi sama ada Bella ada menyebut nama Siti Bainun, dalam klip video berkenaan, yang dijawab saksi, ‘tidak’.

    Susulan itu Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa ketika wanita yang dipanggil ‘mommy’ (saksi pendakwaan pertama) bertanyakan kepada Bella siapa mengikatnya, mangsa menjawab ‘Shomin’.

    Ketika menjawab soalan peguam bela sebelum ini, Yasmin mengesahkan bahawa Bella memanggilnya dengan gelaran ‘Shomin’.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan berkenaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Bekas MB, Exco Perak beri keterangan kes jual tanah di Perak, esok

    Bekas MB, Exco Perak beri keterangan kes jual tanah di Perak, esok

    BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dijangka hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan isu penjualan tanah bagi tapak cadangan pembinaan lapangan terbang di Seri Iskandar, esok.

    Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berkata, sepatutnya rakaman percakapannya sebagai saksi dibuat pada 15 April lalu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu bagaimanapun berkata, tidak dapat hadir kerana ketika itu berada di luar Perak.

    “Memang saya ada dipanggil untuk memberikan keterangan tetapi ketika itu saya ada urusan di Selayang. InsyaAllah, mungkin esok saya akan hadir ke Pejabat SPRM Perak untuk memberikan keterangan,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Media hari ini melaporkan, bekas Exco Kerajaan Perak ketika pentadbiran PH, Datuk Asmuni Awi mengesahkan beliau sudah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung isu berkenaan pada 15 April lalu.

    Untuk rekod, Mohammad Nizar dan Asmuni adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

    Sebelum ini media melaporkan, seramai 13 saksi sudah dipanggil oleh SPRM bagi membantu siasatan kes itu, namun tiada individu ditahan berkaitan penjualan tanah berkenaan setakat ini.

    Isu penjualan tanah berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

    Bagaimanapun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.