Category: Semasa

  • 96 tahanan Rohingya lolos dari depot belum ditemukan

    96 tahanan Rohingya lolos dari depot belum ditemukan

    POLIS sedang giat menjalankan operasi mengesan baki 96 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap, Rabu lalu.

    Ketua Polis Kedah, CP Wan Hassan Wan Ahmad berkata, setakat 6 pagi ini, seramai 76 lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, tujuh kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki belum ditemukan.

    “Setakat ini, seramai 432 tahanan etnik Rohingya telah ditemukan terdiri daripada 218 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Hassan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi pihak polis di balai-balai berdekatan supaya tindakan selanjutnya boleh diambil.

    Selain itu, Wan Hassan berkata, setakat ini seramai 23 orang masih ditempatkan di depot tahanan tersebut.

    Dalam kejadian awal pagi Rabu, 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri, bagaimanapun enam daripada mereka maut dirempuh kereta ketika cubaan melarikan diri di lebuh raya. – BERNAMA

  • Lelaki lemas selepas terjatuh dalam sungai

    Lelaki lemas selepas terjatuh dalam sungai

    SEORANG lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dalam sungai berhampiran Taman Areca Pinang Park di Georgetown, malam tadi.

    Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 8.14 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, seramai 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Bagan Jermal terlibat dalam operasi terbabit.

    Sinar Harian melaporkan, beliau berkata, anggota berkenaan dibantu oleh komuniti nelayan yang menggunakan bot persendirian.

    “Selepas lebih dua jam melakukan pencarian di sekitar kawasan yang dilaporkan terjatuh akhirnya mayat lelaki terbabit berjaya ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pukul 10.37 malam.

    “Mangsa dikenali sebagai Muhammad Amiruddin Biddin, 21, dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, mayat lelaki berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 11.13 malam.

  • Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram

    Guru rugi RM45,000 diperdaya pelaburan menerusi Telegram

    SEORANG guru dari Jempol, Negeri Sembilan mendakwa kerugian RM45,500 selepas terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram, Ahad lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia 52 tahun itu telah dimasukkan ke sebuah kumpulan Telegram dan ditawarkan pakej pelaburan dalam tempoh perdagangan tiga hingga enam jam yang akan mendapat keuntungan sebanyak RM15,000 setelah selesai tempoh masa perdagangan tersebut.

    “Mangsa memilih pakej 1 iaitu membayar sebanyak RM1,000 dengan pulangan RM16,000 dalam tempoh masa perdagangan tiga hingga enam jam.

    “Tertarik dengan tawaran tersebut, lelaki berkenaan melakukan bayaran sebanyak RM1,000 ke akaun bank tempatan milik seorang individu pada hari sama.

    “Pada 18 hingga 19 April, mangsa telah membuat empat kali transaksi berjumlah RM44,500 ke beberapa akaun bank tempatan milik syarikat dan individu lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa yang sudah membuat transaksi itu, sekali lagi diminta membuat bayaran sebanyak RM27,500 sebelum RM82,500 didakwa akan dimasukkan ke akaunnya.

    Hoo berkata, mangsa yang berasa telah ditipu membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam perkembangan lain, Hoo berkata seorang jurujual lelaki berusia 30 tahun dari Bahau kerugian RM20,000 selepas terpedaya dalam sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram dan kegiatan dadah.

    “Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki pada 16 April lepas dan panggilan itu didakwa disambungkan kepada pegawai polis bagi menjalankan siasatan terhadap mangsa,” katanya.

    Beliau berkata lelaki itu yang mengikut arahan suspek telah mendedahkan semua butiran akaun bank kepada individu tidak dikenali tersebut serta mangsa yang berasa curiga lalu membuat semakan ke dalam akaun banknya dan mendapati wang telah berkurangan sebanyak RM20,000.

    Hoo berkata mangsa yang menyedari telah ditipu membuat laporan polis pada Selasa lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

  • SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SPRM siasat dakwaan pegawai bertindak kasar

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan kononnya seorang pegawainya bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

    SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan lanjut berhubung dakwaan itu sedang dijalankan dan jika terdapat salah laku, tindakan sewajarnya akan diambil.

    Hari ini, tular video berdurasi 22 saat yang mendakwa seorang pegawai SPRM bertindak kasar dan menghalau ahli sebuah parti politik daripada membuat aduan, selain hanya dua individu dibenarkan masuk ke ibu pejabat suruhanjaya itu.

    Menurut kenyataan itu, berdasarkan peraturan Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL) diwarta, Bahagian Keselamatan SPRM hanya membenarkan tiga orang wakil pihak luar untuk masuk ke pekarangan dan dalam bangunan suruhanjaya itu, bagi bertemu pegawai bertugas untuk membuat aduan.

    Rakaman video dan kamera juga tidak dibolehkan dalam KLTL tersebut, tanpa kebenaran pihak Pengurusan Tertinggi SPRM, menurut suruhanjaya itu.

    “Bagaimanapun, dalam kejadian pada pukul 11 pagi tadi kira-kira tujuh daripada 25 individu dalam kumpulan tersebut, telah masuk secara berdua-dua ke pekarangan SPRM sehingga ke pintu utama bangunan.

    “Individu tersebut juga tidak mematuhi peraturan KLTL kerana merekod video ketika berada di pekarangan dan dalam bangunan SPRM,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, SPRM mengesahkan telah menerima maklumat daripada ahli Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj, membabitkan dakwaan isu penyelewengan dalam urusan tanah kerajaan di Perak.

    “SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu maklumat tersebut, sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan,” menurut SPRM yang mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk tampil di mana-mana pejabat SPRM bagi membuat aduan berkaitan rasuah. – BERNAMA

  • Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan

    Kes Bella: Rina nafi KPWKM tidak ambil tindakan

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini menafikan bahawa, kementerian itu tidak mengambil sebarang tindakan berkaitan kes pengabaian dan penganiayaan remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, antara tindakan yang diambil adalah melucutkan hak penjagaan anak angkat, kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, tahun lepas.

    Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut telah menyita rumah jagaan berkenaan serta mengeluarkan kompaun pada Julai tahun lepas.

    “Kita telah memberi bimbingan emosi kerana dia (Bella) agak trauma, kita perlu pastikan dia lebih sihat dari segi keadaan fizikal dan emosi.

    “Kita juga telah memperketatkan undang-undang untuk orang yang layak dan sesuai (dalam hak penjagaan kanak-kanak) ini. Beberapa pindaan telah dilaksanakan supaya perkara seperti ini tak berlaku lagi,” katanya hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Khemah dan Bantuan Aktiviti Syawal bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Titiwangsa, di Dewan Komuniti Desa Pandan di Kuala Lumpur.

    Menjawab pertanyaan wartawan mengapa beliau mengambil sikap berdiam diri dalam isu Bella, Rina berkata tindakan itu adalah demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan remaja berkenaan.

    “Ada perkara yang (dibuat) sebelum ini tidak dimaklumkan, tetapi (ia) tidak bermakna kita tak buat apa-apa atau ambil apa-apa tindakan.

    “Adik Bella perlu kita selamatkan dan kesejahteraan dia yang penting, di samping kita mahu pelaku dikenakan tindakan yang setimpal,” katanya.

    Menyentuh mengenai pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini, Rina berkata, pertemuan berkenaan telah membangkitkan beberapa cadangan untuk ditambah baik undang-undang hak penjagaan serta membincangkan pelaksanaan program yang boleh dijalankan bersama. – BERNAMA

  • 104 tahanan etnik Rohingya masih diburu – Hamzah

    104 tahanan etnik Rohingya masih diburu – Hamzah

    SERAMAI 104 tahanan etnik Rohingya masih diburu selepas melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap semalam.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, setakat 7 malam tadi, 424 daripada 528 tahanan yang melarikan diri, sudah ditahan semula.

    Hamzah berkata, mereka merupakan tahanan tempoh yang lama iaitu lebih dua tahun kerana proses penghantaran tidak dapat dilakukan berikutan kerajaan Myanmar tidak menerima dan mengiktiraf status kerakyatan mereka.

    “Kalau nak menghantar balik, nak hantar balik mana? Ini jadi masalah kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerapan nilai-nilai murni di sini hari ini.

    Dalam kejadian awal pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dan enam daripada mereka maut dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Jawi, Nibong Tebal.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) menafikan gabungan itu mengadakan perbincangan untuk menjatuhkan beberapa pemimpin politik.

    Hamzah berkata pertemuan antara pemimpin politik dalam PN adalah perkara biasa.

    “Dia (Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) datang jumpa saya betul ada sebab, dalam PN pun sudah tentu kita jumpa rakan-rakan kita terutama nak bincang post-mortem pilihan raya dan sebagainya.

    “Jadi, saya sebenarnya kalau orang tanya saya betul ke PN mesyuarat nak jatuhkan sesiapa? Betul lah (Ahmad Samsuri) kata itu (dokumen) ‘sampah’ kerana tidak ada langsung perbincangan,” katanya.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebelum ini menegaskan dokumen yang tular menerusi media sosial baru-baru ini sebagai palsu dan ‘sampah’ serta ia direka pihak tertentu bagi mencemarkan imej PAS.

    Media melaporkan antara kandungan dalam dokumen itu menyebut beberapa pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. – BERNAMA

  • Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    Tuduhan konspirasi politik libatkan Ketua Hakim Negara tidak benar

    PEJABAT Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) telah membuat laporan polis berhubung tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara untuk mempercepatkan kes dan jatuh hukum Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    PKPMP dalam kenyataan hari ini menyatakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, tidak pernah berkomunikasi dengan atau dihubungi oleh mana-mana pemimpin politik berhubung dengan kes-kes mahkamah yang melibatkan bekas perdana menteri (Najib) dan presiden UMNO (Ahmad Zahid).

    “Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pejabat ini, menafikan tuduhan-tuduhan wujudnya konspirasi, pakatan sulit atau pakatan haram, antara pemimpin politik dan Ketua Hakim Negara,” menurut kenyataan itu.

    Pejabat itu merujuk kepada satu hantaran di laman Facebook Shahir Samad-Tok Uban bertarikh 20 April lepas, yang di antaranya menuduh Ketua Hakim Negara telah bersetuju membantu mempercepatkan kes dan jatuh hukum Najib dan Ahmad Zahid.

    Kenyataan itu menyebut kes-kes yang belum selesai di mahkamah, perlu berjalan dan diteruskan mengikut undang-undang tanpa sebarang campur tangan oleh Ketua Hakim Negara atau orang lain.

    “Pejabat ini menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan tuduhan-tuduhan tersebut, adalah bertujuan untuk memburukkan imej dan menyebabkan orang awam hilang kepercayaan terhadap badan kehakiman.

    Selain itu, tuduhan-tuduhan ini bertujuan untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan dari segi perbicaraan kes yang belum selesai, terhadap Najib dan Ahmad Zahid.

    Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Kes itu kini di peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan setelah Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib.

    Manakala, Ahmad Zahid telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 24 Jan lepas untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

    Ahmad Zahid telah memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan telah mengemukakan keterangannya pada 13 April lepas.

    Kes Ahmad Zahid bersambung 23 Mei. – BERNAMA

  • Berang tak dapat gaji RM1,700, lelaki tetak bekas majikan

    Berang tak dapat gaji RM1,700, lelaki tetak bekas majikan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AKIBAT berang selepas tidak dibayar gaji berjumlah RM1,700, seorang lelaki berusia 48 tahun bertindak menetak bekas majikannya menggunakan kapak dan pisau lipat dalam kejadian di Jalan Penang, Pulau Pinang pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun yang juga pemilik kedai foto mengalami kecederaan di tangan kanan, kiri dan bahagian belakang badan akibat ditetak di hadapan kedai foto miliknya.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata,
    mangsa dibuang kerja pada 12 April lalu dan sejak itu berulang kali meminta bayaran gajinya daripada mangsa.

    “Bekas majikannya itu juga berjanji akan memberikan wang berkenaan tetapi disebabkan masih belum diterima, suspek yang berang bertindak menetak mangsa.

    “Mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian amanat Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian dan kini sedang menunggu arahan untuk ditahan reman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Najib ‘arah’ saya tandatangan laporan audit 1MDB 2013 – Saksi

    Najib ‘arah’ saya tandatangan laporan audit 1MDB 2013 – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah ‘mengarahkan’ Tetuan KPMG Malaysia untuk menandatangani Laporan Audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2013, ketika pertemuan firma itu dengan 1MDB yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 15 Dis 2013.

    Rakan Kongsi Pengurusan tetuan itu, Datuk Johari Idris, 56, berkata, pertemuan itu diadakan bagi memaklumkan Najib mengenai isu dihadapi KPMG, yang menyebabkan laporan audit syarikat itu tidak dapat dikeluarkan, selain pihak KPMG juga ingin mendengar sendiri daripada Menteri Kewangan itu, sama ada beliau tahu atau tidak berkenaan pelaburan berjumlah AS$2.3 billion di Cayman Island Brazen Sky di Cayman Island.

    “Sebelum perjumpaan berakhir, Najib menyatakan ingin melihat akaun 1MDB ditandatangan oleh KPMG sebelum atau pada 31 Dis 2013, namun saya tidak memberikan sebarang respons kepada beliau,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu.

    Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya T. Deepa Nair apakah reaksi saksi kepada (keinginan Najib untuk melihat akaun 1MDB ditandatangan KPMG), saksi menjawab “seolah-olah ia adalah arahan kepada saya”.

    Johari berkata dalam mesyuarat berkenaan, Najib juga menyatakan bahawa beliau (Najib) sedia maklum mengenai pelaburan 1MDB di Brazen Sky, namun beliau memaklumkan bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan berkenaan kerana ia adalah sulit.

    “Najib juga mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ tersebut. Beliau juga bertanyakan kepada saya, sama ada saya boleh menerima penjelasan tersebut dan sama ada penjelasan ini mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan laporan audit (yang tidak bersyarat).

    “Namun saya menyatakan bahawa saya memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan, seperti mana tertera dalam ‘International Standard of Auditing (ISA)’ dan ‘Financial Reporting Standard (FRS)’, di mana peraturan FRS juga termaktub di dalam Akta Syarikat 1965.

    “Saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB, maka kami akan mengeluarkan laporan bertegur ‘Disclaimer of opinion’ terhadap akaun 1MDB,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Johari berkata, Najib juga menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB, selain menanyakannya mengapa pihak KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh pihak BSI Bank, yang merupakan ‘custodian’ bagi pelaburan di Brazen Sky iaitu subsidiari kepada 1MDB.

    “Saya telah menyatakan bahawa pihak BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit ‘underlying assets’. Tanpa maklumat tersebut, pihak KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian tersebut adalah betul,” katanya.

    Johari juga mengesahkan bahawa Najib menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Bridge Partners (syarikat dana swasta), tidak dapat menyediakan maklumat yang diperlukan kerana peruntukan undang-undang dan ‘trade secret’ dana tersebut.

    “Najib kemudiannya bertanya kepada saya, bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat tersebut. Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengarah 1MDB) telah meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan.

    “Saya sekali lagi telah menyatakan bahawa akaun 1MDB perlu disediakan berdasarkan prinsip FRS dan Akta Syarikat.

    “Sekiranya 1MDB tidak patuh kepada ‘accounting standard’ tersebut, ia bermakna bahawa 1MDB tidak patuh kepada undang-undang. Memandangkan maklumat dana tersebut adalah mustahak bagi pengauditan 1MDB, tanpa maklumat tersebut akan menyebabkan skop yang terhad bagi pihak KPMG, ia akan menyebabkan KPMG mengeluarkan laporan audit bersyarat dalam bentuk ‘Disclaimer of Opinion’,” katanya.

    Beliau berkata, Najib kemudiannya meminta pengurusan 1MDB untuk berurus dengan pihak Bridge Partners untuk memberikan maklumat diperlukan oleh KPMG, bagi membantu di dalam proses pengauditan.

    Johari berkata, Najib juga meminta pihak KPMG untuk pergi ke Hong Kong bagi melengkapkan proses audit, dan mahu audit dibuat dengan profesional dan konsisten dengan ‘good governance’.

    Menurut saksi di dalam perjumpaan tersebut juga, Najib memberitahu bahawa beberapa orang telah maklum mengenai pertemuan yang dibuat, dan meminta Tetuan KPMG untuk bertindak dengan penuh profesional dan mengekalkan kerahsiaan klien.

    “Saya menyatakan bahawa KPMG telah dan akan menjalankan tugas dengan profesional. Sebarang urusan atau perbincangan mengenai 1MDB, hanya diketahui ‘engagement team’ yang ketika itu diketuai wakil KPMG iaitu Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ‘chain of command’ sahaja, dan tiada pihak lain yang akan mempunyai pengetahuan mengenai 1MDB,” katanya.

    Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Mei. – BERNAMA

  • Polis Pulau Pinang tangkap semula 30 tahanan Rohingya

    Polis Pulau Pinang tangkap semula 30 tahanan Rohingya

    POLIS Pulau Pinang berjaya menahan semula seramai 30 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Kedah setakat ini.

    Kesemua tahanan lelaki itu ditahan di sekitar Sungai Kerian dan Nibong Tebal melalui Ops Tutup yang diaktifkan sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut kira-kira pukul 4 pagi semalam.

    Sehubungan itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yakin baki seramai 111 lagi tahanan yang masih bebas berada di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di negeri tersebut.

    Beliau berkata, menerusi Ops Tutup semalam dan hari ini polis Pulau Pinang berjaya menahan semula 30 orang etnik Rohingya yang kesemuanya lelaki di kawasan Sungai Kerian dan Nibong Tebal.

    Ujar beliau, baki tahanan itu diburu dalam konteks pencarian yang dilakukan polis Pulau Pinang dan jumlah sebenar mungkin berbeza sekiranya polis Kontinjen Kedah, Kontinjen Perak atau Jabatan Imigresen ada membuat tangkapan semula.

    “Kita percaya 111 orang ini masih berada di sekitar lokaliti kita berdasarkan keadaan mereka yang tidak pasti arah tujuan selepas meloloskan diri semalam.

    “Jika mereka telah melepasi sempadan negeri Perak, maka polis di sana sudah bersedia untuk mengesan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, seramai 528 daripada 664 tahanan etnik Rohingya di depoh tahanan sementara tersebut melarikan diri selepas difahamkan berlaku rusuhan kecil.

    Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, seramai 120 pegawai dan anggota polis Pulau Pinang terlibat dalam usaha mengesan semula tahanan yang meloloskan diri itu selain turut dibantu oleh Unit Udara PDRM.

    Mengulas mengenai enam mangsa yang maut dilanggar sebuah kereta selepas melarikan diri, beliau berkata, polis telah mengambil keterangan pemandu kereta jenis Toyota Vios berusia 53 tahun bagi membantu siasatan.

    ”Kita juga sedang mengesan saksi kemalangan itu, namun setakat ini tidak ada mana-mana pihak yang tampil,” katanya.

    Tambah beliau, identiti keenam-enam mangsa yang maut itu juga sudah dikenal pasti iaitu dua lelaki dewasa berusia 20 dan 36 tahun; dua remaja perempuan berusia 14 dan 18 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun.

    “Kita masih menyiasat hubungan kesemua mangsa dan sedang menunggu laporan mengenainya daripada Jabatan Imigresen,” katanya.