Category: Semasa

  • Murid Tahun Tiga dicekik, dihempas ke tanah oleh bapa rakan sekelas

    Murid Tahun Tiga dicekik, dihempas ke tanah oleh bapa rakan sekelas

    PERSELISIHAN faham seorang murid tahun tiga dengan rakan sekelasnya menyebabkan dia cedera dipercayai dibelasah oleh bapa rakannya itu.

    Kejadian dikatakan berlaku di luar pagar sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Terengganu pada Ahad lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, kejadian pada pukul 1 petang itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan rakannya.

    Menurut beliau, sebelum kejadian, mangsa dikatakan bermain sebelum bergaduh dengan rakan sekelasnya di luar pagar sekolah.

    Katanya, mangsa dikatakan telah menampar rakan sekelasnya itu dan ketika bapa rakannya datang, dia telah mengadu kepada bapanya mengatakan dia ditampar oleh mangsa.

    “Lelaki berkenaan kemudian dikatakan bertindak mencekik dan mengangkat mangsa lalu dihempas ke bawah menyebabkan kepala mangsa mengalami luka kecil dipercayai terkena batu,” ujarnya ketika dihubungi hari ini seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut Abdul Rahim, pihak sekolah telah menghubungi bapa mangsa bagi memaklumkan kejadian itu dan bapa murid berkenaan datang mengambil anaknya di sekolah sebelum membuat laporan polis.

    Beliau berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

    Ujarnya, kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

  • Pekerja balak bakar kereta polis direman tujuh hari

    Pekerja balak bakar kereta polis direman tujuh hari

    SEORANG pekerja balak warga Indonesia yang dipercayai membakar kereta peronda polis ketika mengamuk di Kampung Selengkong Nenasi, Pekan, pada Sabtu direman tujuh hari.

    Ketua Polis Daerah Pekan Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi berkata, lelaki berusia 30-an itu direman bermula hari ini sehingga 1 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

    Semalam, media melaporkan sebuah kereta peronda polis jenis Proton Waja terbakar angkara tindakan seorang pekerja balak yang mengamuk dalam kejadian sekitar 11 malam pada 23 April. 

    Polis sebelum itu menerima panggilan daripada penjaga tanah matau balak berhubung seorang lelaki sedang mengamuk di kawasan rumah kongsi, sebelum tiga anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian.

    Suspek juga telah bertindak agresif terhadap anggota polis tersebut dengan memukul dan mencederakan dua anggota sebelum bertindak masuk ke rumah kongsi serta mengambil satu objek menyala seperti api dan membalingnya ke dalam kenderaan polis.

    Susulan itu, polis melaksanakan Op Kesan bagi menjejaki suspek sehingga berjaya diberkas sekitar 4.20 petang semalam berhampiran lokasi kejadian. – Bernama

  • Kes SRC: Najib fail petisyen rayuan hari ini

    Kes SRC: Najib fail petisyen rayuan hari ini

    BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan petisyen rayuan untuk mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

    Ini susulan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang membenarkan permohonan Najib untuk lanjutan masa selewat-lewatnya hari ini untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

    Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

    Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas permohonan itu didengar secara dalam talian .

    “Bagi permohonan (oleh Najib) untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan hari ini, keputusan sebulat suara (diberi) oleh Mahkamah Persekutuan untuk memberikan lanjutan itu mulai 11 April.

    “Pemohon (Najib) akan memfailkan petisyen rayuan untuk rayuan utama kes (sabitan) SRC selewat-lewatnya hari ini,” kata Mohd Ashrof kepada pemberita selepas pendengaran permohonan tersebut.

    Pada 11 April lepas, Ahli Parlimen Pekan itu melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya pada 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

    Berdasarkan afidavit sokongannya, Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.

    “Adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti semua rekod rayuan dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang telah dibangkitkan oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

    “Alasan penghakiman itu perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata Najib.

    Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

    Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

    Sementara itu, Najib hari ini mengemukakan 94 alasan dalam petisyen rayuannya berhubung mengapa beliau harus dibebaskan daripada tuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

    Antara alasan yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap perayu (Najib) atas kesemua tujuh pertuduhan dan memanggilnya untuk membela diri.

    Dalam petisyen rayuan yang difailkan melalui Tetuan Shafee & Co hari ini, Najib, 68, mendakwa beliau terkilan dengan kesilapan serius dalam fakta dan undang-undang yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah dalam alasan penghakiman masing-masing secara keseluruhan, dan kecuali yang dinyatakan dengan jelas, perayu berpendirian bahawa penemuan dalam keseluruhan alasan penghakiman oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi) menunjukkan kesilapan yang serius.

    “Mahkamah Rayuan telah tersilap dalam fakta atau undang-undang dalam mengesahkan dapatan fakta atau inferens Mahkamah Tinggi yang tidak dibuktikan sepenuhnya, dan tidak menggambarkan keterangan secara menyeluruh.

    “Kedua-dua mahkamah tersilap dalam fakta dan/atau undang-undang dengan gagal menilai bukti dengan betul dan gagal mengiktiraf perbezaan antara fakta terbukti dan tidak terbukti, dan antara inferens yang dibenarkan dibuat, dan tekaan semata-mata berdasarkan cadangan, dakwaan tidak berasas, sangkaan, syak wasangka, dan khabar angin,” katanya.

    Najib seterusnya mendakwa bahawa kedua-dua mahkamah tersilap fakta dan/atau undang-undang dalam setiap penemuan fakta yang tidak memihak kepadanya, selain telah tersilap fakta atau undang-undang dalam membuat penemuan mengenai unsur-unsur semua pertuduhan dengan menggunakan logik mereka sendiri atau rasional yang bertentangan dengan keterangan lisan atau dokumentari.

    Justeru Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau akan membentangkan kesilapan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan tindakan pihak pendakwaan yang telah menafikan hak perayu di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mengakibatkan ketidakadilan serius terhadapnya apabila gagal mendapatkan perbicaraan yang adil dan saksama. – BERNAMA

  • Mahathir gesa kerajaan simpan ‘hadiah’ disita dari Najib hingga sumber dibuktikan 

    Mahathir gesa kerajaan simpan ‘hadiah’ disita dari Najib hingga sumber dibuktikan 

    TUN Dr. Mahathir Mohamad hari ini menegaskan Putrajaya harus menyimpan wang tunai dan barangan mewah yang dirampas dalam serbuan ke atas pangsapuri yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak pada 2018, jika bekas perdana menteri itu tidak dapat membuktikan ia sebenarnya adalah hadiah dan tidak dibeli dengan dana 1MDB.

    Dalam satu siri ciapan Twitter yang memperincikan apa yang digambarkan sebagai pergerakan dana yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara itu, Mahathir berkata tiada bukti siasatan menyeluruh sudah dijalankan.

    “Jadi dakwaan mengatakan ia adalah hadiah diterima,” katanya, merujuk kepada berbilion wang yang Najib dakwa diterima daripada keluarga diraja Saudi.

    “Kemudian ada wang dan barangan mahal yang ditemui di Pavilion. Pada mulanya, polis mendakwa wang dan barangan itu dibeli dengan wang 1MDB. Kemudian kerajaan mendakwa ia tidak dapat membuktikan wang tunai dan pembelian barang mewah itu adalah hasil wang yang dicuri daripada kerajaan – terutamanya dari 1MDB.

    “Maka diputuskan wang dan hadiah itu dikembalikan kepada Najib kerana ia adalah hadiah. Seperti yang dinyatakan di atas, pengesanan jejak sumber wang itu tidak menyeluruh. Kemungkinan besar ia bukan hadiah,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.

    Pada 8 November tahun lalu, kerajaan gagal dalam usaha pelucutan barangan yang dirampas tersebut, di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, Putrajaya tidak dapat membuktikan hubungan langsung antara barangan tersebut dan dana yang diperolehi secara haram.

    Gambar fail rampasan barangan mewah milik Najib Razak dan keluarga.

    Sebelumnya, pada Mei, kerajaan turut gagal dalam dalam membuktikan sejumlah RM114 juta yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Najib adalah sebahagian daripada dana yang dicuri dari 1MDB.

    Najib berkata beliau menyimpan wang itu bagi pihak UMNO.

    Pada Ogos tahun lalu, MalaysiaNow melaporkan RM114 juta sudah dipulangkan kepada Najib walaupun tidak dapat disahkan pada masa itu sama ada ahli Parlimen Pekan tersebut sudah memulangkan wang tersebut kepada UMNO.

    “Jika Najib tidak dapat membuktikan bahawa barangan itu adalah hadiah, mereka tidak sepatutnya memulangkan wang dan hadiah itu kepada Najib,” kata Mahathir.

    Kerajaan harus kekal simpan wang dan hadiah tersebut sehingga sumbernya dibuktikan.”

    Beliau turut menambah bahawa tiada siapa tahu ke mana baki wang itu dibelanjakan dan ada yang berkata ia diambil oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

    “Saya syak (mengapa) letakkan kesalahan kepada Jho Low adalah kerana dia tidak dapat dihubungi. Kerana itu mustahil untuk siasatan dijalankan ke atasnya,” katanya.

  • Lebih 73,000 peserta Felcra terima keuntungan boleh agih RM136.4 juta

    Lebih 73,000 peserta Felcra terima keuntungan boleh agih RM136.4 juta

    LEBIH 73,000 peserta Felcra Bhd di seluruh negara menerima Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 bagi Fasa 2 Projek-projek Peserta Felcra Malaysia 2021 berjumlah RM136.4 juta yang telah dibayar bermula Jumaat lepas.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agihan keuntungan pada kadar purata RM2,755 per hektar itu dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran pada pertengahan minggu ini.

    “Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan agihan ini adalah pengurusan perladangan yang efektif dan sistematik oleh Felcra dengan usaha-usaha penambahbaikan proses aliran kerja, peningkatan penggunaan jentera-jentera dan alatan mekanisasi di ladang-ladang yang diurus Felcra.

    “Pengenalan aspek automasi seperti penggunaan dron pemantauan pertanian serta turut dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit iaitu harga buah tandan segar RM844.14 per metrik tan dan RM5.74 per kilogram bagi getah,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya ke Sandakan hari ini.

    Di Sabah, seramai 1,367 peserta menerima keuntungan boleh agih tersebut.

    Mahdzir berkata, dalam usaha menjadikan aspirasi membandarkan luar bandar sebagai realiti, kementeriannya memberi fokus kepada kesejahteraan masyarakat dan ekosistem luar bandar.

    Menurutnya, dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12), Felcra telah menerima peruntukan geran berjumlah RM161.6 juta untuk melaksanakan aktiviti pelengkapan kampung iaitu ameniti sosial, premis perniagaan, pelancongan desa, penglibatan komuniti, program tanam semula dan penambahbaikan infrastruktur ladang di seluruh negara.

    “Impak pembangunan ini akan dinikmati oleh melebihi 107,000 peserta Felcra… sudah pasti warga Felcra Wilayah Sabah juga diberikan keutamaan untuk menerima kesan pembangunan ini dan sebagai sebuah agensi pelaksana yang dekat di hati rakyat, kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sejumlah RM11.17 juta bagi aktiviti pembangunan kerajaan di sini,” katanya. – BERNAMA

  • IPD Batu Pahat siasat dakwaan tiga pegawai bersikap kasar

    IPD Batu Pahat siasat dakwaan tiga pegawai bersikap kasar

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat sedang menyiasat berhubung kesahihan satu hantaran di Facebook mendakwa tiga pegawainya bersikap kasar terhadap orang awam.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung dakwaan itu.

    “Pada Rabu lalu, satu hantaran dibuat oleh seorang pemilik akaun di Facebook menyatakan tiga pegawai di IPD Batu Pahat bersikap kasar terhadap orang awam.

    “Pada hari sama juga, polis menerima dua laporan daripada pihak yang terkesan akibat hantaran dimuat naik berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

    Justeru Ismail berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua pihak bagi mengenal pasti kesahihan dakwaan orang awam tersebut.

    “Malah, tindakan oleh jabatan sedia diambil sekiranya mendapati terdapatnya salah laku daripada pegawai-pegawai berkenaan,” katanya.

    Dalam hantaran tersebut, seorang pemilik akaun Facebook menulis ‘Balai Polis IPD Batu Pahat ada tiga orang polis yang bermasalah. Seorang Inspektor polis Melayu suka berbahasa kasar ‘bodoh’ terhadap orang awam.

    “Polis Cina atasan dia pula suka-suka marah orang awam ‘keyboard warrior’ tanpa menyiasat apa sebenarnya berlaku,” katanya melalui hantaran itu.

    Malah, pengguna itu mendakwa, seorang lagi pegawai berketurunan India berpangkat inspektor pula sentiasa enggan menerima panggilan orang awam sehingga menimbulkan kesusahan.

    Justeru, dalam hantaran sama, lelaki itu meminta Ketua Polis Balai Batu Pahat sentiasa memantau polis di bawahnya agar tidak melepasi batas terhadap orang awam.

  • Peras ugut guna video lucah – Polis Terengganu tahan 3 individu

    Peras ugut guna video lucah – Polis Terengganu tahan 3 individu

    POLIS Terengganu menahan dua lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit dengan beberapa kes pemerasan menggunakan panggilan video (VC) lucah di negeri ini.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata tangkapan pertama menerusi Op Cantas VC itu membabitkan pasangan suami isteri masing-masing berumur 27 tahun dan 23 tahun di Sungai Petani, Kedah pada 10.15 pagi, Sabtu lepas. 

    “Susulan tangkapan itu, seorang lagi lelaki berumur 39 tahun ditahan di Baling, Kedah dan polis merampas beberapa telefon bimbit, iPad dan juga beberapa keping kad bank dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah itu.

    “Modus operandi suspek adalah berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi seperti Mi Chat dan mengajak mangsa membuat VC lucah dan sebaik panggilan ditamatkan, suspek terus mengugut mangsa dan menunjukkan video yang telah dirakam semasa VC,” katanya pada sidang media di Terengganu, hari ini.

    Beliau berkata di Terengganu, pihaknya menerima tiga laporan mangsa terbabit dan setiap mereka dikatakan diugut untuk melakukan beberapa transaksi wang tunai ke akaun bank suspek bagi memastikan video lucah mereka tidak disebarkan di laman sosial.

    “Jumlah transaksi tak sama, ada yang sekali masukkan hanya RM30, esoknya suspek minta lagi dan ada yang sudah lakukan transaksi hingga RM2,000,” katanya yang memaklumkan semua mangsa adalah lelaki termasuk ada yang bekerja dalam sektor awam.

    Rohaimi berkata, sindiket pemerasan itu dipercayai baru beroperasi pada tahun ini dan semua laporan yang diterima di negeri ini melibatkan kejadian sepanjang April sahaja, serta beliau percaya masih ramai mangsa terlibat enggan membuat laporan kerana ia melibatkan maruah pengadu.

    “Siasatan lanjut kita mendapati ada empat lagi kes berkaitan dengan kes ini di luar Terengganu dan kita sudah menghubungi kontinjen terbabit untuk bekerjasama,” katanya.

    Sementara itu, Rohaimi turut memaklumkan bahawa jumlah kes jenayah komersial bagi empat bulan pertama tahun ini di Terengganu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara.

    “Dalam tempoh sama tahun lepas kerugian direkodkan adalah lebih RM500,000, tapi bagi tahun ini sudah mencecah hampir RM4.5 juta. 

    “Kita dah cukup bagi pendedahan tentang Macau scam dan love scam ini tapi masih ramai yang terjebak dan ia banyak melibatkan pesara, kakitangan awam dan golongan profesional…ada pesara guru yang kerugian sehingga RM736,000 dan ada pesara kena tipu RM532,000,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menyarankan agar orang ramai ‘berkawan’ dengan polis dan merujuk kepada pihak berkuasa jika mendapat panggilan yang mencurigakan bagi mengelakkan daripada ditipu.- Bernama

  • Pegawai polis wanita disiasat buat live TikTok ketika serbuan

    Pegawai polis wanita disiasat buat live TikTok ketika serbuan

    JABATAN Integriti Pematuhan Standard (JIPS) akan menyiasat seorang pegawai polis wanita yang didakwa buat live TikTok sewaktu serbuan di sebuah pusat hiburan sehingga video berkenaan tular dalam media sosial.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya kini meneliti bila dan di mana siaran langsung itu dilakukan.

    “Saya sudah arahkan JIPS untuk ambil tindakan terhadap pegawai terbabit termasuk memanggilnya bagi mendapatkan kenyataan berhubung tindakannya membuat siaran secara langsung semasa operasi itu.

    “Kita juga ingin mengetahui motif dan tujuan sebenarnya membuat rakaman menerusi akaun TikTok itu,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Terdahulu, seorang pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa melakukan serbuan.

    Video berdurasi seminit 38 saat itu dipercayai sewaktu menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat hiburan bersama beberapa pegawai dan anggota lain.

    Razarudin berkata, satu arahan berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutama membabitkan aplikasi TikTok akan dikeluarkan JIPS hari ini.

    “JIPS tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya benar pegawai terbabit mempunyai motif merakam video berkenaan semata-mata mengumpulkan pengikut laman sosial akaun TikTok miliknya,” katanya.

    Pada Ogos 2020, PDRM pernah mengeluarkan arahan melarang pegawai kanan dan pegawai rendahnya memuat naik perkongsian peribadi semasa berpakaian seragam di platform media sosial.

    Dalam larangan berkenaan, Bukit Aman memandang serius tindakan pegawai dan anggotanya merakam, memuat naik video tarian dan lain-lain aksi semasa berpakaian seragam menerusi platform media sosial seperti Youtube, Whatsapp, TikTok dan aplikasi lain bagi tujuan untuk menarik perhatian dan mendapat tontonan yang tinggi oleh masyarakat dan netizen.

    Dalam perkara sama, tujuan larangan itu dikeluarkan bagi mengelak isu persepsi negatif dan mengundang pelbagai kritikan yang boleh menjatuhkan imej PDRM.

    Tabiat atau aktiviti memuat naik video tidak wajar dilakukan pegawai atau anggota polis semasa berpakaian seragam dalam waktu bertugas atau selepas bertugas kerana pakaian berkenaan adalah kebanggaan pasukan dan haruslah digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan.

  • Dua lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup, rampasan RM782,921

    Dua lelaki ditahan semasa punggah rokok seludup, rampasan RM782,921

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki yang sedang memunggah rokok seludup terkejut dan tidak sempat melarikan diri apabila berkas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dalam satu satu operasi di sebuah premis Taman Sri Permai, Kluang, semalam.

    Serbuan pada pukul 2 petang itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam selepas mendapat maklumat dan hasil risikan.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, semasa diserbu kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah bungkusan besar yang mengandungi rokok seludup.

    “Kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 tahun memunggah bungkusan itu dari kenderaan jenis Toyota Harrier dan Lexus ke dalam premis yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai.

    “Hasil siasatan awal ke atas suspek mengaku baru sahaja beroperasi selama tempoh tiga bulan dan bekalan rokok juga dipercayai didapati melalui negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 32 tahun ditahan dan mereka mengakui mendapat bekalan rokok seludup dari Indonesia dan menjadikan premis tersebut sebagai tempat penyimpanan sebelum diagihkan sekitar Kluang

    Katanya, mereka mengakui bekalan rokok itu diperoleh menerusi jalan laut dari Indonesia sebelum diagihkan di sekitar daerah Kluang.

    Beliau memberitahu, rampasa dadah membabitkan RM216,480 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM782,921.

    Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

    “Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai disekitar daerah kluang,” katanya.

    Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA.

  • Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    AHLI Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

    Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu selepas mendapati artikel yang diterbitkan oleh Maria Chin selaku responden pada 5 Sept 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi, jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.

    “Tajuk yang digunakan oleh responden (Maria Chin) dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi Mahkamah Syariah di mata awam. Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.

    “Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 Sept 2019.

    “Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria Chin). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria Chin Abdullah dihukum penjara tujuh hari mulai hari ini,” kata hakim itu.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah.

    Pada 10 Sept 2019, SM Faisal, yang merupakan pengarah Naza World Group dan ibunya Datin Seri Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Okt 2019.

    Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syarie Mohamed Fouzi berkata kenyataan responden bukan tergolong dalam komen yang adil, bahkan seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes yang tersasar dan tidak berkaitan.

    “Kenyataan yang dibuat ini tidak berdasarkan fakta sebenar yang berlaku di dalam penghakiman mahkamah itu sendiri dan menjerumuskan responden kepada salahnyataan dan penghinaan kepada mahkamah ini.

    “Sudah tentu, dengan kenyataan yang bersifat memburukkan, skandal, bersifat negatif, menuduh dengan menggunakan fakta yang tidak tepat boleh menyebabkan kepercayaan awam kepada Mahkamah Syariah semakin terjejas teruk akibat tindakan responden,” katanya.

    Hakim syarie itu berkata responden sengaja menghina mahkamah itu dengan menyatakan bahawa mahkamah melakukan diskriminasi kepada Emilia bahkan kepada wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan keadilan di mahkamah.

    “Fakta sebenarnya adalah semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang mana responden sebagai Ahli Yang Berhormat turut berada di dalamnya dan dikuatkuasakan dengan kelulusan dan persetujuan ahli yang berhormat.

    “Mahkamah ini hanya melaksanakan keadilan yang dibenarkan oleh undang-undang yang telah diluluskan oleh Ahli Yang Berhormat dan menguatkuasakan keadilan tanpa mengira jantina berdasarkan tuntutan pihak-pihak tersebut,” kata hakim itu.

    Katanya, sebagai seorang Ahli Yang Berhormat, responden seharusnya lebih mengetahui bahawa mahkamah itu hanya akan memutuskan kes setelah semua prosedur ditetapkan telah dipenuhi dan hanya berdasarkan wujud bukti yang jelas.

    Hakim Syarie itu berkata sebagai Ahli Parlimen yang berperanan meluluskan sesuatu undang-undang, adalah tidak wajar bagi responden mempertikai dan merendahkan serta menghina undang-undang dan mana-mana mahkamah semasa mahkamah itu menjalankan tugasnya.

    “Bahkan sebagai Ahli Yang Berhormat, responden mempunyai cukup ruang dan tempat yang luas untuk mendapatkan maklumat yang tepat selain memberi pandangan dan cadangan yang baik dan adil untuk kebaikan mahkamah ini,” katanya.

    Prosiding itu dihadiri peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal manakala peguam syarie Rosli Dahlan mewakili Maria Chin yang tidak hadir hari ini kerana sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat menghidap gejala COVID-19.

    Pada 4 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka (Faisal). 

    Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

    Hukuman yang dijatuhkan terhadap Emilia menyebabkan Maria Chin mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia, yang disiarkan sebuah portal.

    Susulan itu, SM Faisal dan Zaleha memfailkan permohonan komital terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

    Maria Chin, 65, kemudian memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, pada 3 Mac tahun lepas bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya dan pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 25 Mei ini. – BERNAMA