Category: Semasa

  • Buat hantaran sentuh sensitiviti kaum, pemilik Crackhouse didenda RM8,000

    Buat hantaran sentuh sensitiviti kaum, pemilik Crackhouse didenda RM8,000

    PEMILIK elab komedi Crackhouse Mohamad Rizal Johan Van Geyzel didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook, tahun lalu.

    Hakim N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Rizal, 40, selaku orang kena saman (OKS) selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul’Ain Abu Bakar memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi ketiga difailkan Mohamad Rizal, pada 7 Jun lalu.

    “Hari ini ditetapkan untuk sebutan bagi keputusan representasi dan pihak pendakwaan bersetuju menerima representasi untuk OKS mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya.

    “Bagaimanapun, dua lagi pertuduhan dihadapi Mohamad Rizal sebelum ini dipertimbangkan sebagai ‘take into consideration’ (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah,” kata Nurul’Ain.

    Rizal, berkemeja putih kemudian menukar pengakuan kepada bersalah bagi pertuduhan pertama dihadapinya dan mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda berkenaan.

    Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Rizal van Geyzel”, pada 4 Julai 2022.

    Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di Kuala LUmpur, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

    Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan penghantaran komunikasi jelik di laman media sosial iaitu Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ pada 5 dan 6 Julai 2022 dan hantaran itu dibaca pada tempat, masa, dan tarikh sama, mengikut seksyen serupa.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memohon hukuman denda berat dan bersifat literal, mengambil kira kesalahan dilakukan OKS serius sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat yang mengganggu keharmonian negara.

    “Pengakuan salah OKS bukan bersifat automatik untuk dia mendapatkan hukuman rendah kerana hukuman yang dijatuhi mahkamah ini akan memberi pengajaran bukan sahaja kepada OKS tetapi kepada masyarakat umum supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

    Peguam M. Pravin yang mewakili Rizal pula, memohon hukuman denda yang rendah atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak termasuk seorang anak kurang upaya (OKU).

    “OKS mempunyai bapa berusia 74 tahun menghidap penyakit jantung kronik selain perlu menanggung kos rawatan bapanya. Selepas kejadian ini, OKS telah hilang sumber pendapatan utamanya sebagai ‘stand up comedy’ (komediri) kerana banyak penganjur telah membatalkan penglibatan OKS dalam program mereka.

    “OKS kini telah bercerai dengan isterinya dan menjaga tiga anak masing-masing berusia lingkungan tiga tahun hingga 11 tahun. Dia telah menyesal dan bertaubat dengan kesalahan yang dilakukannya selain tiada niat menyakitkan hati orang lain,” kata peguam itu.

  • Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    Campak 2 anak dari tingkat atas rumah dalam kebakaran

    SEORANG bapa bertindak mencampak dua anak lelakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong, Pagoh, Muar pukul 4.30 pagi tadi.

    Zamirul Suahimi, 30, mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, empat tahun, dari tingkat atas premis sebelum dua beradik itu berjaya disambut dua pekerja kilang yang kebetulan berada di lokasi.

    Bagaimanapun, Zamirul yang terjun selepas itu tercedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut selain bengkak di tengkuk.

    Isteri Zamirul, S’biha Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia menghubungi suaminya beberapa kali namun tiada jawapan.

    “Tidak lama kemudian dua pekerja kilang terbabit menjawab telefon suami dan memaklumkan kedai makan milik kami terbakar.

    “Menjadi kebiasaan bagi suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan.

    “Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai,” katanya, lapor Harian Metro.

    Menurutnya lagi, suaminya itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

    Dalam kejadian itu, 10 buah rumah kedai terbakar antaranya kedai runcit, kedai motosikal, kedai perkakas rumah, kedai motosikal dan sebuah rumah.

  • Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    Selepas bidas kerajaan Selangor, pusat khidmat ADUN Bersatu cuba dirobohkan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham mendakwa kerajaan Selangor cuba meroboh pusat khidmatnya selepas gagal melaksanakan perintah pengusiran.

    Beliau mendakwa, kerajaan negeri kini menyedari alasan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak munasabah untuk memaksanya mengosongkan premis itu.

    “Maka, mereka ingin mengambil tindakan meroboh serta memusnahkan premis Pusat Khidmat DUN Gombak Setia yang dibangunkan sejak 2008,” katanya di Facebook.

    Hilman berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerahkan notis pendudukan tidak sah atas tanah kerajaan mengikut Seksyen 425 dan 426A(1)(c) Kanun Tanah Negara semalam.

    Seksyen 426A(1)(c) memberi kuasa kepada pihak berkuasa berkaitan merobohkan mana-mana bangunan didirikan atas tanah negeri akibat pendudukan haram.

    Hilman berkata, beliau tidak akan tunduk kepada tekanan sedemikian dan akan terus menyalurkan bantuan kepada pengundinya sehingga hari pengundian.

    Pada 28 Jun lalu, Hilman membidas kerajaan Selangor kerana mengeluarkan perintah pengusiran ke atas pusat khidmatnya yang menuntut premis itu dikosongkan ‘segera’.

    ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, penguat kuasa dari Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta MPS ke premis tersebut untuk mengusirnya, tetapi gagal berbuat demikian kerana tiada perintah mahkamah.

    Beliau menegaskan alasan pengusiran bahawa tiada kelulusan kerajaan negeri diberikan untuk penggunaan tanah itu sebagai pusat khidmat ‘benar-benar mengarut dan bodoh’.

    Hilman mendakwa pusat khidmat itu beroperasi di tanah itu lebih lima tahun, dengan pengetahuan penuh kerajaan Selangor.

    Katanya, perintah pengusiran itu tidak mematuhi prosedur undang-undang sewajarnya, termasuk tidak ditandatangani pentadbir daerah dan tanah Gombak, sebaliknya oleh timbalannya yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan.

    “Tindakan desperado ini bermotifkan salah guna kuasa, ugutan dan ‘vendetta’ politik oleh kepimpinan kerajaan Selangor yang jelas takut akan kebangkitan rakyat menjelang PRN Selangor,” katanya lapor FMT.

  • ‘MCA tak tanding PRN untuk kendurkan ketegangan kaum’

    ‘MCA tak tanding PRN untuk kendurkan ketegangan kaum’

    NAIB Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan bagi mengendurkan ketegangan kaum.

    Beliau juga membangkitkan rasa tidak senang dengan dakwaan serangan politik dengan memomokkan dan menakutkan pengundi menggunakan isu perkauman.

    Serangan itu, katanya, sama seperti propaganda DAP sebelum ini bahawa UMNO parti perkauman yang menyebabkan masyarakat Cina membenci UMNO.

    “MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian semata-mata untuk mengaut undi dalam PRN enam negeri nanti,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Jsuteru katanya, MCA berkorban demi untuk kembali menjadi jambatan perhubungan etnik walaupun dibenci oleh ‘penyokong Malaysian Malaysia’.

    “Keputusan MCA untuk tidak terlibat dalam persengketaan yang menjadikan sentimen perkauman dan keagamaan sebagai senjata adalah untuk merenggangkan ketegangan perkauman dan keagamaan yang semakin ketara dan mengancam ketenteraman negara,” katanya.

    MCA dan MIC, kelmarin memutuskan tidak menyertai pilihan raya negeri tetapi akan terus memainkan peranan sebagai parti komponen BN, yang kini bersekutu dengan Pakatan Harapan (PN).

    Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan tindakan itu sebagai boikot kerana jentera parti-parti itu turut digerakkan membantu calon BN di kesemua enam negeri.

    Perikatan Nasional (PN) mengaitkan tindakan itu dengan pembahagian kerusi pilihan raya dan menasihatkan parti Cina dan India itu meninggalkan BN.

    Sementara itu, Ti berkata, MCA tidak setuju dengan penggunaan ‘perpaduan’ semata-mata untuk mendapatkan undi dan dalam masa yang sama menganiayai mana-mana pihak sebagai musuh dan perlu dibenci.

    “MCA menyarankan bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia dan polemik agama dan etnik haruslah dihentikan dengan serta-merta.

    “Tumpuan sepatutnya diberi pada pembinaan negara dan bukannya pembinasaan negara. Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggu.

    “Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah!

    “Lebih-lebih pagi penyokong Pas dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya,” katanya.

  • Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    Belasah anak kekasih usia 3 tahun sampai pecah tengkorak, maut

    SEORANG wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kematian anak lelakinya yang berusia tiga tahun, semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita berusia 24 tahun dan lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan pada 8 malam tadi di Hospital Melaka.

    Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa oleh wanita berkenaan dan teman lelakinya ke hospital tersebut kira-kira 6.50 pagi semalam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

    “Sebaik tiba di hospital, kanak-kanak itu diberikan bantuan pernafasan selama satu jam 10 minit, namun mangsa tidak memberi sebarang respons sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.15 pagi semalam.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 10.30 pagi dan pemeriksaan awal doktor mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala serta badan mangsa. Punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan bahagian perut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, ibu mangsa telah membawa kanak-kanak berkenaan yang mengalami muntah-muntah untuk berubat di rumah teman lelakinya di Cheng, di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.

    Katanya, bagaimanapun tidak sampai satu jam kemudian, ibu mangsa telah dihubungi teman lelakinya memaklumkan kanak-kanak tersebut telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum pasangan itu membawa mangsa ke Hospital Melaka.

    Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

    Christopher turut menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar supaya tidak mengganggu siasatan selain dikhuatiri menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.

  • Mahkamah Tinggi diarah dengar semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie

    Mahkamah Tinggi diarah dengar semakan kes rasuah Bung Moktar, Zizie

    MAHKAMAH Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri atas tuduhan rasuah.

    Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, membuat keputusan itu secara sebulat suara hari ini.

    Hadhariah berkata, permohonan pasangan berkenaan tidak didengar oleh Mahkamah Tinggi tahun lalu, kerana semakan itu ditolak atas alasan teknikal.

    “Dalam permohonan untuk semakan, mahkamah bertanggungjawab untuk mempertimbangkan meritnya.

    “Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan dalam kes ini apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu atas alasan peguam (pasangan terbabit) memfailkan permohonan menggunakan kaedah salah.

    “Pengurusan kes untuk permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Tinggi pada 14 Julai ini,” katanya lapor Berita Harian.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, manakala Bung Moktar dan Zizie Izette masing-masing diwakili peguam, M Athimulan and Datuk K. Kumaraendran.

    Pada 9 Disember tahun lalu, pasangan terbabit gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tuduhan rasuah.

    Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Azhar Abdul Hamid, membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan terbabit.

    Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

    Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    Bung Moktar, 66, yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah sama, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 46, pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

  • Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    Tragedi kepala air: Mayat kesembilan ditemukan

    SATU lagi mayat ditemukan dipercayai mangsa lemas yang dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Air Putih, Kampung Air Putih, Kemaman pada Sabtu lalu.

    Menurut Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azman Alias, penemuan mayat itu menjadikan seorang lagi baki mangsa yang masih hilang.

    Jelasnya, mayat dipercayai lelaki tersebut dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sekitar pukul 9.20 pagi.

    “Mayat tersebut dijumpai dengan cukup sifat terdampar di atas beting pasir di sektor A.

    “Mayat dibawa naik dari sungai itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Bagaimanapun, identiti masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa kerana pengecaman mayat belum dibuat waris.

    Setakat ini, lapan jasad sekeluarga mangsa tragedi itu telah ditemukan sejak lima hari operasi pencarian dijalankan bermula Ahad lalu.

    Jasad Allahyarham Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4, ditemukan pada Ahad dan Isnin manakala Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa.

  • Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Bekas pemain bola sepak Liga Super ditahan terlibat kes samun

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas terbabit kes pecah rumah dalam kejadian di Benut, Pontian Isnin lalu.

    Suspek, 33, diberkas selepas melakukan jenayah pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

    Menurut sumber, lelaki terbabit diberkas polis selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terbabit dengan kejadian pecah rumah.

    “Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.

    “Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” katanya.

    Menurutnya, bekas pemain bola sepak itu bersama rakannya di tahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes terbabit masih dalam siasatan.

    Mengikut rekod, bekas pemain bola sepak terbabit pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi Liga Super di selatan dan utara tanah air.

    Malah juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

    Kali terakhir dia beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air sebelum bekas pemain itu dikatakan menukar haluan dengan bermain bersama skuad Liga M3.

  • Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    Pasangan suami isteri cedera disimbah asid

    SEPASANG suami isteri cedera manakala anak lelaki mereka terselamat apabila disimbah asid oleh seorang wanita semasa memasuki lif di sebuah pangsapuri di Batu Caves, Gombak, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan pukul 3.10 pagi, selepas insiden itu berlaku pada pukul 1.27 pagi.

    Katanya, mangsa adalah seorang wanita tempatan berusia 60 tahun dan suaminya warganegara asing berusia 37 tahun dan anak lelaki mereka berusia 14 tahun.

    Menurutnya, suspek wanita bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari luar lif sebelum melarikan diri.

    “Mangsa telah meminta bantuan orang awam untuk menghantar ke Hospital Selayang bagi menerima rawatan selepas cedera di beberapa bahagian badan dan telah dibenarkan pulang manakala anaknya tidak mengalami kecederaan,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) turut tular selepas dikongsi di media sosial.

    Noor Ariffin berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mengesan suspek berkenaan.

    Beliau turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Mohd Nizar Adnan di talian 013-9661892 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03- 61262222.

  • Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji – Tun M

    Anwar pembohong, gagal kemuka bukti seperti dijanji – Tun M

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pembohong demi kepentingan peribadi dan sejak 25 tahun lalu tidak pernah memberikan bukti kukuh menunjukkan bekas Perdana Menteri itu pernah menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan.

    Dalam sanggahan 60 halaman terhadap pernyataan pembelaan Anwar terhadap saman fitnahnya, Mahathir menegaskan, bahawa defendan merujuk kepada apa yang dipanggil dokumen sebagai bukti tetapi akan memberi alasan apabila enggan mendedahkan bukti tersebut.

    Ahli politik veteran berusia 97 tahun itu menegaskan pembelaan Anwar tidak mengandungi sebarang bukti walaupun pengerusi PH itu pada 7 April lalu dilaporkan media sebagai berkata, sedia untuk mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya terhadap plaintif.

    Mahathir mendakwa ia bertentangan dengan pendapat Anwar tentang kerajaan menyelamatkan KPB (kini dikenali sebagai Pos Logistics Bhd), sebuah syarikat yang anak plaintif, Mirzan, adalah pemegang saham majoriti dan pengarah.

    Defendan sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu (Mac 1998) memberitahu media bahawa ia bukan langkah penyelamatan tetapi sekadar ‘keputusan perniagaan’.

    Mahathir berkata Anwar yang merupakan sebahagian daripada jemaah menteri pada awal dan pertengahan 1990-an berada di Parlimen pada 1997 untuk memberitahu Ahli Parlimen Lim Guan Eng bahawa penjualan saham Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam MISC Bhd kepada Petronas bukanlah satu tindakan ‘bailout’.

    Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan Anwar ketika itu memberitahu Dewan Rakyat perjanjian tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran ketika itu yang tidak dipengaruhi oleh mana-mana perniagaan milik keluarga yang meminta bantuan kerajaan.

    “Ini jelas menunjukkan defendan mempunyai ciri-ciri pembohong. Ini kerana defendan mempunyai pendirian yang berbeza (pada 1990-an) daripada apa yang dinyatakan dalam pembelaannya hari ini.

    “Begitu juga dengan keengganan defendan sehingga hari ini untuk mengemukakan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya.

    “Ini menunjukkan defendan akan berkata sesuatu dan kemudian mengubah pendiriannya sambil memfitnah asalkan ia memenuhi faedah peribadi defendan,” kata Mahathir, lapor Malaysiakini.