Category: Semasa

  • 8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    8 unit rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran

    LAPAN unit rumah kedai dua tingkat yang menempatkan bengkel kereta, bengkel kimpalan, unit kediaman serta ruang ternakan burung walit, musnah dalam kebakaran di Jalan Industri di Sarikei semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, tindakan pantas pihak bomba membolehkan empat unit rumah kedai yang terletak bersebelahan berjaya diselamatkan dalam insiden pada kira-kira pukul 7 malam itu.

    Beliau berkata, api marak dengan pantas berikutan dinding pemisah ruang dan lantai bangunan rumah kedai itu diperbuat daripada kayu, selain terdapat pelbagai bahan mudah terbakar disimpan di bengkel kereta berkenaan.

    “Satu pasukan dari BBP Sarikei dan satu dari BBP Bintangor telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja pihak kami menerima panggilan pada pukul 7.31 malam. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.33 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 2.48 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, sebuah lori skylift milik seorang pengusaha bengkel berdekatan turut sama membantu dalam usaha pemadaman api bagi menghalang kebakaran itu merebak.

    Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Video buli tular, pelajar sekolah bangga dengan gengsterisme?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah mengharapkan kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tidak berlaku lagi kes-kes buli seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

    Ketua Wira Perkasa Kedah, Mohd. Alif Sani berkata, jalinan kerjasama itu juga turut perlu dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pihak yang menularkan video-video buli yang tular tersebut.

    Menurutnya, penularan video sedemikian menimbulkan persoalan sama ada pelajar-pelajar terlibat bangga dengan sikap dan sifat gengsterisme ditonjolkan.

    “Kami dengan penuh harapan menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan dan kebijaksanaan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam menyelesaikan masalah tersebut.

    “Dalam masa sama, kami juga mengajak kalangan pelajar agar berfikir panjang sebelum mengambil tindakan yang akan memalukan bangsa, selain berusaha menjaga hati serta perasaan keluarga yang menaruh harapan tinggi kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    MOHD ALIF SANI

    Beliau mengulas kejadian melibatkan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra, Langkawi yang dibelasah beramai-ramai hingga tular di media sosial semalam.

    Berikutan laporan polis dibuat mangsa, seramai 13 pelajar tingkatan empat sekolah tersebut telah ditahan dan diambil keterangan.

    Sementara itu katanya, kejadian buli yang tidak berkesudahan selama ini turut menimbulkan persoalan sama ada pendidikan moral dan sivik perlu diberi perhatian di sekolah-sekolah dalam negara ini.

    “Dalam masa sama, kita memahami kegusaran ibu bapa mengenai kemungkinan pihak sekolah lepas tangan atau cuba menyembunyikan kes seumpama ini bagi mengelakkan rekod sekolah tercalar,” katanya.

  • ‘’Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel’’…P.Pinang akan haramkan inap desa

    ‘’Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel’’…P.Pinang akan haramkan inap desa

    PULAU  Pinang akan mengharamkan rumah sewa jangka pendek atau inap desa di hartanah bertanah dan bertingkat “tidak lama lagi” sejajar ikrar kerajaan negeri untuk memerangi gangguan berpunca daripada pelancong di pangsapuri, kondominium dan kawasan perumahan.

    Exco Kerajaan Negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun tempoh pengharaman itu belum diputuskan, kerajaan negeri sudah bersetuju dengan rancangan itu, berdasarkan pelbagai aduan daripada kumpulan penduduk.

    “Sama ada rakyat suka atau tidak, kami akan berpendirian tegas dalam perkara ini. Kawasan perumahan untuk penduduk. Jika anda sedang bercuti, pergi ke hotel,” katanya kepada portal FMT.

    Jagdeep, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri, berkata larangan dalam bentuk “garis panduan” itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dilaksanakan.

    Katanya, garis panduan itu, antara lain, akan memberi kuasa kepada badan pengurusan pangsapuri, kondominium atau sebarang hartanah berstrata mengambil tindakan terhadap pemilik rumah ingkar yang membenarkan penyewaan jangka pendek.

    “Kami mungkin negeri pertama yang berbuat demikian. Satu lagi garis panduan akan diperkenalkan untuk hartanah bertanah, sementara menunggu isu perundangan yang perlu kami selesaikan,’’ kata beliau.

    Jagdeep berkata, disebabkan jumlah harta berstrata di Pulau Pinang adalah ketiga tertinggi dalam negara, garis panduan itu akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan dan keselamatan sosial untuk penduduk.

    Di bawah undang-undang persekutuan, katanya, badan pengurusan bersama (JMB) atau jawatankuasa pengurusan (MC) hartanah berstrata (biasanya pangsapuri dan kondominium) boleh memperkenalkan larangan inap desa.

    Jagdeep berkata, ini boleh dilaksanakan melalui peraturan dalaman hartanah seperti yang dibenarkan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013. Di bawah akta itu, JMB atau MC boleh mengenakan denda sehingga RM200 kepada individu melanggar peraturan itu.

    Katanya, walaupun memahami pemilik hartanah mahu menjana pendapatan tambahan melalui inap desa, tidak adil untuk berbuat demikian tanpa persetujuan penduduk lain di hartanah atau kawasan perumahan sama.

    Beliau berkata, jika pemilik berminat menyewakan unit mereka, mereka perlu mendapatkan persetujuan daripada sekurang-kurangnya 75% penduduk dan ini mesti direkodkan JMB atau MC dalam mesyuarat agung tahunan.

  • ‘’Dia nak buat apa dia punya pasal’’ reaksi Sanusi terhadap tuntutan Isham

    ‘’Dia nak buat apa dia punya pasal’’ reaksi Sanusi terhadap tuntutan Isham

    MENTERI Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md.Nor ternyata tidak gentar dengan tuntutan Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang memberi tempoh 48 jam kepada beliau untuk memohon maaf berikutan kenyataan berkaitan ‘PasLeaks’.

    Sebaliknya, Muhammad Sanusi yang secara tegas enggan melayan tuntutan Isham menyifatkan Isham sebagai ‘anak seluang’ – seorang ‘kecil’ untuk diberi perhatian.

    Malah bercakap kepada portal FMT,  Muhammad Sanusi menegaskan, beliau tidak akan melantik peguam untuk mempertahankan dirinya kerana mendakwa tidak mempunyai kaitan dengan apa diperkatakan Isham.

    “Saya tak layan ‘anak seluang’ yang bergayut pada fake document (dokumen palsu)/ rubbish (sampah) dalam usaha menjadi baung. Tak perlu… saya tak ada lantik lawyer (peguam) ka tukang salak ka… saya tak ada kaitan dengan dakwaan dia,” katanya.

    Sanusi juga menegaskan, beliau tidak mahu mengambil tahu tindakan susulan akan dibuat Isham ke atas dirinya termasuk kemungkinan tindakan saman.

    “…dia nak buat apa dia punya pasal,” katanya.

    Pertelingkahan antara Muhammad Sanusia dan Isham tercetus apabila Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas

    tidak menolak kemungkinan dokumen “PASLeaks” dilakukan BN menerusi laskar sibernya.

    Beliau berkata, ada pegawai dalam BN yang kuat mendesak Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas untuk bersumpah laknat susulan penularan dokumen itu.

    “Dia mungkin ada kepentingan pada dokumen itu dan sedang guna dokumen itu. Orang macam ini ada potensi untuk buat dokumen,” katanya.

    Sanusi berkata, pendedahan dokumen itu yang mendakwa wujud perancangan sulit bagi menjatuhkan pimpinan Umno sebagai perkara tidak benar.

    “Saya tak tahu siapa tulis minit itu, mungkin ‘jebon’ yang tulis minit mesyuarat itu,” katanya merujuk haiwan jenis musang dipanggil cerpelai atau ‘mongoose’ yang digambarkan sangat lincah dan licik.

  • Polis jejak tahanan Rohingya lari dari Depot Imigresen di Pasar Borong Selayang

    Polis jejak tahanan Rohingya lari dari Depot Imigresen di Pasar Borong Selayang

    POLIS Kuala Lumpur akan melakukan pemantauan di Pasar Borong Selayang dan lokasi sekitarnya susulan terdapat dakwaan berhubung tahanan Rohingya yang lari dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada 20 April lepas kini berada di kawasan itu.

    Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya sedia membantu Jabatan Imigresen mengesan saki-baki tahanan Rohingya yang masih bebas.

    “Kita akan cuba sedaya upaya kesan mereka yang masih belum ditangkap atau menyerah diri… itu antara tindakan diambil, sama ada kita pergi ke Pasar Borong Selayang atau tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 18/2022 peringkat kontinjen Kuala Lumpur di Balai Trafik Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang tidak menolak kemungkinan tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap kini berada di Selayang.

    Khairul Dzaimee berkata demikian selepas menjalankan operasi di Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam kejadian pada 20 April lepas, sejumlah 528 tahanan di depot itu merusuh sebelum melarikan diri dan enam daripada mereka maut akibat dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Setakat semalam, seramai 61 tahanan masih bebas dan usaha mengesan mereka masih diteruskan.

    — BERNAMA

  • Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    Gambar YDP Majlis Perbandaran Klang pun jadi mangsa ‘scammer’

    MAJLIS Perbandaran Klang (MPK) hari ini membuat laporan polis susulan gambar Yang Dipertua (YDP) badan itu, Noraini Roslan, disalah guna oleh ‘scammer’ sebagai profil aplikasi WhatsApp untuk meminjam wang daripada kenalannya.

    Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Klang Selatan selepas Noraini menerima beberapa panggilan daripada kenalan beliau termasuk Ahli MPK yang mahukan pengesahan mengenai perkara tersebut.

    Beliau berkata ‘scammer’ meminta kenalan YDP memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun RHB (26403000018474) atas nama Collection Enterprise.

    “Laporan polis yang dilakukan ini adalah untuk memaklumkan kepada umum bahawa YDP MPK tidak pernah meminta wang seperti yang tular dalam media sosial sejak semalam. 

    “Orang ramai terutama warga Klang diminta berhati-hati dengan penyamaran ini kerana ia boleh menyebabkan kerugian pada mereka yang tertipu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. – Bernama

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan

    POLIS menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Shariman Ashari berkata seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari tadi manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

    “Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Terdahulu, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian yang berlaku pada 9 pagi semalam itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi tadi. –Bernama

  • Salahuddin gesa siasat komplot cemar badan kehakiman negara

    Salahuddin gesa siasat komplot cemar badan kehakiman negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS digesa menyiasat dakwaan terdapat satu komplot yang mahu menghina dan mencemarkan badan kehakiman negara menerusi tuduhan dilemparkan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha tersebut dilakukan pihak tertentu dan jelas terdapat satu perancangan besar di sebalik dakwaan terhadap Mohd. Nazlan.

    “Adalah ironis bahawa seorang hakim yang berintegriti dan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik telah dikaitkan dengan dakwaan melakukan salah laku dan menimbulkan keresahan orang ramai.

    “Ini amat berbahaya dan sebab itu wakil parti Amanah membuat laporan polis di semua negeri supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Baru Utara, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, polis juga digesa menyiasat pihak yang bertanggungjawab membangkitkan kebencian terhadap Mohd. Nazlan dan memburuk-burukkan badan kehakiman negara.

    Parti Amanah katanya, akan membuat susulan dengan pihak berkuasa mengenai langkah seterusnya selepas siasatan selesai.

    “Apa yang penting ialah kita perlu membuka mata orang ramai tentang usaha pihak berkenaan untuk mengganggu kehakiman negara,” katanya.

    Pada 20 April lalu, Blogger Raja Petra Kamarudin mendakwa Mohd. Nazlan disiasat berhubung terpalit konflik kepentingan dalam kes rayuan SRC International yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Menurut Raja Petra dalam portalnya Malaysia Today, Mohd. Nazlan disiasat berhubung wang RM1 juta yang tidak diisytihar dalam akaunnya.

    Pada 21 April, Mohd. Nazlan membuat laporan polis berhubung satu artikel mendakwa beliau sedang disiasat kerana wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

    Mohd. Nazlan adalah hakim perbicaraan yang mensabitkan kesalahan terhadap Najib berhubung kes SRC International, pada 28 Julai 2020.

  • Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Sindiket dadah berselindung di sebalik perniagaan bundle edar syabu, ganja hampir RM1 juta

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik perniagaan pakaian terpakai (bundle) apabila merampas syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, sindiket itu berjaya ditumpaskan dalam beberapa serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) pada 25 dan 27 April lalu.

    Jelas beliau, turut ditahan dalam serbuan sekitar pukul 3 dan 4 pagi itu ialah enam ahli sindiket itu termasuk seorang wanita Indonesia berusia antara 22 hingga 55 tahun.

    Ujarnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah SPT yang mana polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun yang bekerja sebagai mekanik dan merampas satu bungkusan syabu seberat kira-kira satu kilogram (kg) bernilai RM37,980.

    “Penahanan suspek pertama itu membawa kepada dua lagi serbuan di premis perniagaan di SPT yang mana dua lelaki tempatan berusia 22 dan 23 tahun serta seorang wanita Indonesia berusia 24 tahun ditahan.

    “Turut dirampas bersama mereka adalah satu bungkusan syabu seberat 666.6 gram bernilai RM23,997.50; 14 bungkusan syabu seberat 14.37 kg bernilai RM517,140 dan lima bungkusan ganja seberat 4.9 kg bernilai RM12,160,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, serbuan keempat di sebuah lagi premis di SPT pula berjaya menahan dua lagi ahli sindiket itu iaitu lelaki tempatan berusia 53 dan 55 tahun dan satu bungkusan syabu seberat 621 gram bernilai RM22,356 serta dua peket plastik ganja seberat 41 gram (RM10.50) berjaya dirampas.

    Katanya, hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek kemudiannya membongkar premis perniagaan pakaian terpakai (bundle) yang turut dijadikan stor penyimpanan dadah yang mana sebanyak 144 bungkusan ketulan mampat ganja seberat 146.25 kg bernilai RM365,625 berjaya dirampas.

    Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak Januari lalu dan polis turut menyita tiga buah kenderaan bernilai RM45,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan sebanyak RM1.024 juta.

    Tambah beliau, hasil saringan air kencing ke atas kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methampethamine; morfin dan THC manakala lima daripada mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

    “Kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 April lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Wajib pakai pakaian seragam sekolah bermula penggal kedua persekolahan – KPM

    Wajib pakai pakaian seragam sekolah bermula penggal kedua persekolahan – KPM

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mewajibkan semua murid untuk memakai pakaian seragam sekolah bermuka penggal kedua sesi persekolahan pada 12 Jun 2022.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, peraturan berkenaan akan dilaksanakan sepertimana ketika sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

    “Jika sebelum ini Kementerian Pendidikan (KPM) menggalak murid-murid untuk pakai pakaian seragam, tetapi bermula 12 Jun 2022, murid-murid diwajibkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhar yang berlangsung, hari ini.

    Dalam pada itu katanya, kewajipan itu termasuk peraturan yang memperuntukkan murid untuk memastikan potongan rambut mengikut ketetapan pihak sekolah.

    “Kalau sebelum ini ramai datang ke sekolah dengan rambut panjang kerana dilonggarkan untuk tidak gunting rambut. Namun, bermula 12 Jun ini, peraturan ini adalah sepertimana sebelum pandemik,” ujarnya lagi.