Category: Semasa

  • KPLB kaji elaun pelajar tajaan MARA di luar negara

    KPLB kaji elaun pelajar tajaan MARA di luar negara

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengkaji kadar elaun tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), yang bersesuaian untuk pelajar di luar negara khususnya di United Kingdom (UK) dan Ireland, apabila menyedari kos sara hidup di negara itu meningkat pada masa ini.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dapatan kajian itu termasuk maklumat terperinci mengenai peningkatan kos berkenaan, akan diperoleh dalam tempoh terdekat yang kemudian akan dibawa ke peringkat kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan.

    “Ya, kita sedar pada waktu ini ada peningkatan kos kehidupan, terutamanya pelajar kita yang berada di United Kingdom dan Ireland. Jadi, kita tengah membuat kajian dengan penaja-penaja (Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Bank Negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas) lain.

    “…sekarang ini kalau Ijazah Sarjana Muda, dia (pelajar) lebih kurang baki yang tinggal kat dia 800 pound sebulan. Kalau buat Master Degree dia ada lebih kurang dalam 1,000 pound. Jadi, dalam 800 pound dia menguruskan diri dia, rumah, bil-bil, makan, duit transport…kita tengok kos utiliti di UK dah naik. Jadi, ini kita kena kaji,” katanya pada program bubur lambuk KPLB bersamanya di Kuala Nerang hari ini.

    Semalam, media melaporkan yang Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) menggesa, supaya penstrukturan semula elaun sara hidup pelajar tajaan JPA dan MARA dilaksanakan segera.

    BPN UKE dalam kenyataan itu dipetik sebagai berkata kos sara hidup di UK dan Ireland sedang melambung tinggi, dan kesannya dirasai seluruh masyarakat terutama pelajar tajaan JPA-MARA yang elaun mereka tidak berubah sejak tahun 2012.

    Untuk rekod, semalam media juga melaporkan yang MARA meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihak MARA juga sedang mengumpul maklumat berkaitan jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di UK dan Ireland. – BERNAMA

  • 2 lelaki dituduh bunuh lelaki Indonesia yang maut dengan kaki terikat besi

    2 lelaki dituduh bunuh lelaki Indonesia yang maut dengan kaki terikat besi

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Indonesia yang mayatnya dijumpai dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada kerusi di Jelutong, pada Jumaat lalu.

    Kedua-dua tertuduh, Dino Antonio Felix, 52, dan Ng Tse How, 45, didakwa membunuh Arsan Eka Putra, 33, di Pangsapuri Eastern Court di Jelutong kira-kira pukul 5.39 petang pada 22 April lalu.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Majistret R. Manomani.

    Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Inspektor Cyril Jatius manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Tertuduh juga tidak ditawarkan ikat jamin memandangkan Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa untuk menawarkan jaminan terhadap kes bunuh.

    Manomani kemudian menangguhkan kes kepada 30 Jun ini untuk menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat.

    Media pada 22 April lalu melaporkan penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong.

    Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh di berikutan unsur yang mencurigakan khususnya penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

  • Lelaki mengaku salah setubuhi, amang seksual anak tiri

    Lelaki mengaku salah setubuhi, amang seksual anak tiri

    SEORANG lelaki berusia 35 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya antara Januari 2020 hingga minggu lalu.

    Mengikut tiga pertuduhan di hadapan Hakim Norhayati Mohd. Yunus, tertuduh yang bekerja sebagai tukang rumah didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak perempuan iaitu anak tirinya berusia 11 tahun 8 bulan.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya di sini antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jik sabit kesalahan.

    Sementara itu menerusi tiga lagi pertuduhan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof, dia turut didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama dengan cara menghisap buah dada dan menjilat kemaluannya.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

    Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Kes akan disebut semula pada 30 Mei ini sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).

    Dalam pada itu, di hadapan Hakim Noorhayati, isteri tertuduh berusia 40 tahun turut mengaku bersalah mengabaikan mangsa sama yang merupakan anak kandungnya sehingga menyebabkan kecederaan emosi.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh dan tempat yang sama.

    Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali.

    Kes terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Kes akan disebut semula pada 31 Mei depan sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.

    Kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

  • Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    Malaysia rancang keluar kad perakuan pelarian sendiri

    KERAJAAN sedang merancang untuk mengeluarkan sendiri kad perakuan pelarian melalui agensi yang bertanggungjawab dalam perihal tersebut, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Beliau berkata, Malaysia yang sepatutnya menentukan sama ada pelarian itu boleh tinggal di negara ini dan diberikan kad dikeluarkan oleh agensi kerajaan Malaysia bertanggungjawab.

    “Sepatutnya Malaysia yang tentukan sama ada seseorang itu boleh tinggal di negara ini atau tidak… dengan kad yang dikeluarkan agensi kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Tiba-tiba ada pula agensi lain yang buat pendaftaran (keluarkan kad) di negara kita,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini.

    Pada April 2020, Hamzah dilaporkan sebagai berkata, kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

    Menurutnya, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

    Hamzah dalam pada itu berkata, ketika ini hanya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang layak untuk mendaftarkan mana-mana individu untuk tinggal secara sah di Malaysia.

    Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata pihak berkuasa masih memburu baki 61 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang.

    Beliau berkata ketika ini pihak berkuasa sedang mengenal pasti lokasi sebenar mereka yang dipercayai berada di Selayang, Selangor.

    Pada 20 April lepas, seramai 528 tahanan merusuh dan melarikan diri daripada depot tahanan namun lebih 460 pelarian tersebut berjaya ditahan semula manakala tujuh daripada mereka maut akibat kemalangan dalam cubaan melintas di kawasan Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Sementara itu, Hamzah berkata, penerima taraf kewarganegaraan Malaysia diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada lima prinsip Rukun Negara, menyokong inisiatif kerajaan dan menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan jenayah.

    Beliau memberi peringatan itu pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan di sini hari ini kepada 34 penerima dengan mengingatkan mereka agar menjaga nama baik Malaysia dan menjadi sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang bertanggungjawab.

    “Jadikan penganugerahan ini sebagai permulaan masa depan yang cerah untuk anda,” katanya pada majlis penyerahan keputusan kewarganegaraan kepada kesemua penerima berusia antara lima dan 24 tahun itu.

    Beliau berkata pemberian taraf kewarganegaraan itu merupakan satu anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada mana-mana individu yang berkelayakan berpandukan kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan.

    Perkara tersebut memperuntukkan kuasa kepada kerajaan Persekutuan dalam sesuatu keadaan khas untuk mendaftarkan seseorang yang berumur kurang daripada 21 tahun sebagai warganegara.

    Hamzah berkata sepanjang tempoh beliau mengemudi Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihaknya telah meluluskan kira-kira 20,000 permohonan taraf kewarganegaraan.

    “Kelulusan bukan mudah, KDN perlu selidik latar belakang pemohon berdasarkan dokumen yang diserahkan,” katanya.

    Sementara itu, seorang penerima taraf kewarganegaraan, Ngan Chun Kai, 14, berkata dia amat menghargai taraf kerakyatan yang diterima.

    “Syukur sangat. Saya akan jadi warganegara yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – BERNAMA

  • 9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    9 anggota sindiket tipu tawaran kerja Australia ditahan

    SEMBILAN individu termasuk dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Australia, dalam dua serbuan berasingan sekitar Lembah Klang pada Rabu lepas.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 31 tahun dipercayai bekerja di pusat panggilan sindiket yang beroperasi sejak Mac 2020.

    Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan kemudahan jalur lebar dan media sosial seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram menerusi dua nama iaitu https:///www.facebook.com/ecotravelmalaysia dan https://www.facebook.com/malaysiaecotravel bagi mengiklankan tawaran bekerja di Australia.

    Selain itu, Kamarudin berkata, sindiket turut menggunakan laman web https:www.malaysia-ecotravel.com/. untuk mengajar mangsa cara membuat permohonan visa bekerja di luar negara.

    “Mangsa akan dikenakan bayaran AUD420 (RM1,400) untuk kos proses (permohonan visa) dan sindiket memasukkan maklumat mangsa dalam immiaccount online application sebelum menghantar tangkap layar yang menunjukkan dokumen permohonan serta salinan dokumen palsu yang menggunakan kepala surat Australian Government-Department Home Affairs kepada mangsa.

    “Mengikut rekod dalam immiaccount online application, sebanyak 658 permohonan yang menggunakan kata kunci alamat e-mel sindiket masih dalam proses dengan melibatkan warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamarudin berkata sehingga hari ini sebanyak 1,023 individu telah membuat laporan kepada pihak Kedutaan Australia manakala polis menerima 28 laporan dengan nilai kerugian RM155,472.

    Katanya, sindiket tersebut beberapa kali menukar nama syarikat perniagaan, akaun Facebook dan alamat laman web, antaranya menggunakan nama Top Speed Agency Visa dan Eco Travel Malaysia, namun reka bentuk, templat dalam e-mel, invois serta media sosial masih mengekalkan format sama.

    “Individu yang menjadi mangsa atau mungkin ditipu sindiket ini diminta tampil membuat laporan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

    “Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum memohon tawaran kerja yang mencurigakan atau menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03- 26101559 atau 03-26101599,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – BERNAMA

  • Tahanan lelaki lolos lokap ditahan semula

    Tahanan lelaki lolos lokap ditahan semula

    TAHANAN lelaki yang meloloskan diri dari Lokap Berpusat Balai Polis Bayan Baru Selasa lepas, berjaya ditahan semula di Batu Kurau, Perak, semalam.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki itu, Azizi Mohammad Hassan, 33, ditahan kira-kira 6 petang di dalam sebuah chalet di kawasan Batu Kurau.

    “Penahanan lelaki itu adalah hasil maklumat orang ramai, risikan serta intipan pihak polis. Kami sedang menjalankan siasatan bagaimana lelaki itu boleh sampai ke sana (chalet) dan dengan bantuan siapa.

    “Seluruh badan lelaki itu bengkak akibat alahan kulit yang teruk dan kami terus membawanya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut,” katanya pada sidang media di George Town hari ini.

    Dalam kejadian 12 tengah malam itu, lelaki terbabit yang ditahan di Jelutong di sini atas kesalahan dadah pada 20 April lepas disedari telah meloloskan diri dari lokap tersebut dan berikutan itu polis melancarkan operasi mengesannya.

    Mohd Shuhaily berkata, semasa ditahan pada 20 April lepas, lelaki itu sememangnya sudah mengalami bengkak namun tidak seteruk semalam.

    Beliau berkata, lelaki itu yang stabil selepas dirawat, kini direman empat hari bermula hari ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 223 serta 224 Kanun Keseksaan selain memudahkan dia menerima rawatan di HPP jika kesihatannya kembali teruk.

    “Berdasarkan siasatan, lelaki itu melarikan diri dari lokap tersebut tanpa bantuan sesiapa termasuk polis yang bertugas di situ, dia juga dipercayai lari dari situ kerana isterinya hendak bersalin,” katanya.

    Menurutnya siasatan mendapati wujud elemen kecuaian dalam kejadian lolos tersebut dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu membabitkan enam anggota berpangkat Lans Koperal serta Koperal berusia 20-an hingga 30-an.

    “Dalam kertas siasatan itu, kami usulkan tindakan yang sesuai (terhadap enam anggota) kepada Timbalan Pendakwa Raya. Enam anggota tersebut telah dibebaskan daripada reman hari ini dan mereka dipindahkan ke bahagian lain untuk penugasan sehingga siasatan selesai,” katanya. – BERNAMA

  • Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    Kes pukul di sekolah: 13 pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

    SEBANYAK 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi yang ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata semua rakaman percakapan telahpun diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

    “Kesemua yang ditangkap diberi jaminan polis,” katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis mengesahkan menerima laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun dipercayai dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

    Kejadian pada 9 pagi kelmarin itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Kemudian, polis menahan 13 pelajar tingkatan empat terbabit dengan masing-masing 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari manakala seorang lagi ditahan 3 petang semalam.

    — BERNAMA

  • Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    Jangan bangga dengan buli, itu budaya samseng – Tun Mahathir

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pelajar bahawa buli bukanlah kegiatan yang boleh dibanggakan.

    Sedih dengan kes buli di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi, Kedah yang tular di media sosial semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan itu hanya membawa kepada budaya samseng.

    “Kini ia menjadi kes polis. Saya harap semua pelajar terlibat sedar dan ambil peringatan buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” kata Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi menerusi catatan di akaun Twitter rasminya.

    Semalam, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

    Kejadian pada 9 pagi Rabu itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain dengan mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata 13 pelajar tingkatan empat sekolah terlibat ditahan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    Polis tahan ibu, bapa tiri dua beradik mangsa dera

    POLIS menahan satu pasangan suami isteri yang disyaki terlibat mendera dua beradik di Jalan Sungai Petani, dekat Alor Setar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Jalan Sungai Petani, manakala ibu kandung mereka yang berumur 31 tahun, ditahan kira-kira dua jam kemudian di sekitar Jalan Kolam Air, dekat sini.

    “Polis masih sedang menyiasat sama ada ibu dua beradik itu terlibat sama dalam kes berkenaan. Ibu dan bapa tiri dua kanak-kanak itu ditahan reman selama tujuh hari,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki berumur 33 tahun yang disyaki mencederakan dua anak tirinya, masing-masing merupakan murid darjah satu dan tiga sebuah sekolah rendah di sini, dan hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif terhadap jenis methamphetamine.

    Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak berkenaan mengesahkan bahawa mereka mengalami kecederaan akibat dipukul, dan mereka kini ditempatkan di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan lanjut. – BERNAMA

  • Salahuddin cadang Bersatu, Pas bincang di peringkat negeri soal ‘khemah besar’

    Salahuddin cadang Bersatu, Pas bincang di peringkat negeri soal ‘khemah besar’

    TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mencadangkan perbincangan boleh diadakan melibatkan Parti Bersatu dan Pas yang kini menjadi pembangkang di Johor dan Melaka untuk menyertai khemah besar.

    Kata beliau,  perbincangan itu atas kapasiti Bersatu dan Pas sebagai parti pembangkang di negeri terbabit dan ia berbeza dengan kedudukan mereka di peringkat Pusat yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

    “Mesti faham mengapa saya seru kepada perbincangan dengan kesemua pihak (termasuk Bersatu dan Pas) adalah kerana ada senario baharu yang kita saksikan ketika ini. Bersatu dan Pas ini, mereka adalah kerajaan di peringkat ‘federal’, tetapi setelah berlaku beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN), mereka dah jadi pembangkang, jadi saya melihat isu ini perlu kepada suatu perbincangan.

    “Konsep khemah besar itu seperti yang telah kita putuskan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu sesiapa nak masuk selain daripada barisan pembangkang di peringkat ‘federal’, ia perlukan keputusan Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita dalam Program Jelajah Singgah Sahur anjuran Pejabat Parlimen Pulai dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bharu hari ini.

    Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pihaknya sedia untuk mengadakan perbincangan menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik, Salahuddin berkata, tawaran tersebut dibuat kemungkinan kerana bekas Perdana Menteri itu melihat ada keperluan bagi perkara berkenaan.

    “Saya rasa itu dia (Muhyiddin) bercakap mungkin kerana melihat kepada keperluan dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, tetapi apa pun pandangan dia, kita boleh dengar dahulu, namun keputusan tetap di peringkat atasan (PH).

    “Ketika ini kita belum memulakan sebarang perbincangan secara rasmi, jadi ‘why not’ kita duduk, cakap-cakap dahulu apa salahnya, di peringkat negeri mereka sudah jadi pembangkang,” katanya.

    Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Bersatu sebelum ini menyatakan kesediaan pihaknya untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik pada PRU15.