Category: Semasa

  • Pas tak buat rayuan, sedia hadapi PRK Kuala Terengganu

    Pas tak buat rayuan, sedia hadapi PRK Kuala Terengganu

    PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Terengganu baru-baru ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meski pun keputusan mahkamah tersebut tidak menyebelahi Pas, namun pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

    Katanya Perikatan Nasional (PN) tidak akan membuat petisyen bagi mempertikaikan keputusan pilihan raya walaupun jumlah undi membabitkan parti yang mewakili kerajaan tidak begitu besar.

    “Kes Kuala Terengganu kita tidak akan merayu, kita sedia menghadapi pilihan raya sekali lagi. Kita kalau nak pertikaian keputusan boleh sangat, Presiden UMNO pun menang 300 undi kita tidak buat petisyen pun, sedangkan di Kuala Terengganu kita menang lebih 30,000 mereka masih tidak puas hati lagi,” katanya, lapor HarakahDaily.

    Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Isu Semasa anjuran Pas Kota Bharu di Kota Bharu Trade Center (KTC) malam tadi.

    Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyatakan bahawa Kerajaan Madani menggunakan jentera kerajaan untuk memberi gambaran kononnya pimpinan tertinggi PN melakukan salah guna kuasa.

    Beliau berkata, petisyen yang dikemukakan pihak lawan membabitkan beberapa kawasan parlimen di Kelantan, Terengganu dan Melaka sebenarnya cuba mengambarkan penyelewengan dilakukan PN.

    Begitu juga kes membabitkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin cuba digambarkan mereka menyalahguna kuasa semasa pemerintahan PN.

    “Bila PN gunakan slogan PN Best, mereka cuba bawa Tan Sri Muhyidin ke mahkamah, begitu juga Dato Seri Hamzah sebagai strategik untuk memburukkan PN,” katanya.

    Baru-baru ini Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim dengan alasan berlaku kes sogokan.

    Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril pada keputusannya memberitahu pihak pempetisyen, calon BN Datuk Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku bagi mempengaruhi pengundi pada PRU15.

  • ‘’Doa UMNO bertanding solo termakbul’’ – Shahidan

    ‘’Doa UMNO bertanding solo termakbul’’ – Shahidan

    KEPUTUSAN  MCA dan MIC tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini disifatkan doa untuk UMNO berjuang solo, sudah termakbul.

    Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata walaupun MCA dan MIC tidak banyak kerusi, ia adalah komponen yang hebat.

    “Sekarang UMNO bertanding solo. Sebab dia (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) berdoa untuk solo, Allah makbulkan. Orang MIC dan MCA tak akan sokong UMNO. Jadi saya menyeru kepada mereka untuk sokong PN (Perikatan Nasional). Kita akan menegakkan keadilan tanpa was-was,” katanya pada sidang media di sini selepas hadir dalam program Pentas Alternatif Rakyat Parlimen Pengkalan Chepa di Dataran Kijang, Pasar Kedai Buloh di KOTA BHARU, lapor Berita Harian.

    Kelmarin, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan setiausaha agungnya, Datuk Chong Sin Woon memaklumkan, parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri, 12 Ogos ini.

    Sebaliknya, MCA akan menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

    Selang beberapa jam selepas itu, MIC menerusi setiausaha agungnya, RT Rajasekaran turut mengumumkan tidak akan bertanding dalam enam PRN berkenaan selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

    Dalam perkembangan sama, Shahidan berkata, keputusan UMNO untuk bertanding di tiga negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah dianggap sebagai tamparan memandangkan semua negeri itu adalah lubuk PN.

    Katanya lagi, walau pelbagai formula dibuat, kebarangkalian UMNO untuk kalah adalah tinggi kerana pengikut parti itu sendiri sudah beralih arah.

    “Kedah, Terengganu dan Kelantan adalah lubuk PN, UMNO nak bertanding buat apa? Bertanding pun kalah, buat malu saja, nanti hilang benih.

    “Walaupun dia buat formula, UMNO campur PH (Pakatan Harapan), maka jumlahnya dia menang tapi dia lupa orang UMNO bagi (undi) masa tu, masa dia kata ‘No Anwar No DAP tapi sekarang dia duduk dengan DAP dan orang UMNO tak setuju,” katanya.

    Ditanya mengenai bantuan yang akan diberikan kepada enam negeri yang bakal mengadakan PRN pada Ogos ini, Shahidan berkata, sudah menyediakan jentera sendiri untuk membantu dalam gerak kerja.

    Menurutnya lagi, sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan akan hadir di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang difikirkan perlu menjelang serta pada hari pengundian.

    “Saya guna jentera sendiri iaitu sekurang-kurangnya 1,000 sukarelawan dan penyokong PN yang selama ini kita sudah terbabit dengan hampir 60 Pilihan Raya Kecil (PRK),” katanya.

  • Bekas ketua risik ESSCom didakwa subahat bunuh pemandu e-hailing

    Bekas ketua risik ESSCom didakwa subahat bunuh pemandu e-hailing

    MAHKAMAH Majistret di Tawau memindahkan kes bekas ketua perisikan ESSCom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) Mat Zaki Md Zain dan tujuh lain, yang didakwa membunuh seorang pemandu e-hailing, ke Mahkamah Tinggi di Tawau.

    Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Suhaila Selag memindahkan kes Mat Zaki, 58, bersama enam pegawai serta anggota polis dan seorang orang awam itu, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

    Terdahulu, pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu ke atas Mat Zaki.

    Dia didakwa bersubahat dengan John Kennedy untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Baru 5, Tawau antara 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Jan lalu.

    Pertuduhan ke atas Mat Zaki dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minima 30 tahun dan maksimum 40 tahun jika tidak dihukum mati serta hendaklah juga sebat tidak kurang dua belas sebatan, jika sabit kesalahan.

    Enam pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Denis Ak Anit, 44, Fabian Ak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, John Kennedy Sanggah, 44, dan orang awam Vivien Fabian, 34, pula, didakwa atas pertuduhan membunuh Nurman mengikut Seksyen 302.

    Pada 8 Feb lalu, Rosdi, Denis, Fabian, Khairul Azman, Azlan serta Vivien, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman, manakala Mat Zaki didakwa bersubahat dengan enam tertuduh itu membunuh Nurman.

    John Kennedy pula, pada awalnya merupakan saksi kes pendakwaan, namun pada 11 April lepas lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Tawau bagi pertuduhan membunuh bersama enam lelaki itu.

    Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah, berkata kes bunuh itu lebih bersifat peribadi, serta tidak melibatkan isu keselamatan di Sabah.

    Pada 30 Jan lalu, penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret di Tawau atas pertuduhan membunuh bekas suaminya Nurman.

  • Bolehkah sesiapa menekan KJ, soal Tengku Zafrul berkait isu nikotin

    Bolehkah sesiapa menekan KJ, soal Tengku Zafrul berkait isu nikotin

    BEKAS Menteri Kewangan, Datuk Sri Tengku Zafrul Aziz berkata, beliau tidak mengetahui dakwaan Khairy Jamaluddin bahawa kementeriannya diketuainya dahulu itu mendesak supaya nikotin dikeluarkan daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Saya tidak tahu mengenainya. Bolehkah sesiapa menekannya (KJ)? Adakah beliau boleh ditekan,” soal Tengku Zafrul yang kini Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri kepada pemberita selepas satu majlis, lapor FMT.

    Khairy dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap Selasa lalu mendedahkan ketika menjadi Menteri Kesihatan, beliau pernah ditekan oleh Kementerian Kewangan supaya mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal bawah Akta Racun 1952.

    “Langkah itu bertujuan membolehkan kerajaan mengutip cukai,” katanya.

    Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya mengutamakan keselamatan dan kesihatan awam berbanding mengutip sedikit cukai.

  • Tiada menteri langgar tata kelola, tadbir urus, kata PM

    Tiada menteri langgar tata kelola, tadbir urus, kata PM

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sehingga kini tiada menteri dalam kerajaan perpaduan pimpinannya terlibat dalam amalan yang menyalahi tadbir urus dan tata kelola.

    “Dalam tujuh bulan ini, belum ada kes menteri yang amalkan gelojoh nafsu serakah yang lama untuk menyakau mana-mana kontrak (kerajaan) kerana kita tegas jaga tata kelola ini, elak dari rasuah dan ketirisan,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga peneroka Felda sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2023.

    “Kita hadapi masalah ekonomi yang berat, hutang begitu banyak, masalah tak selesai tapi saya yakin sekiranya kita di landasan betul, elak ketirisan, elak tamak haloba, elak nafsu serakah, (elak) ambil kekayaan bukan hak kita, saya yakin Malaysia akan bangkit sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini,” katanya.

    Anwar berkata walaupun kerajaan perpaduan dianggotai pelbagai parti seperti PKR, DAP, Umno, Amanah dan Gabungan Parti Sarawak, namun tiada unsur-unsur sabotaj berlaku seperti didakwa sesetengah pihak.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan warga peneroka Felda ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Serdang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya dalam PH (Pakatan Harapan), Zahid Hamidi (daripada) Umno, tapi kita ambil keputusan demi Felda, demi kehidupan orang Melayu, dan rakyat Malaysia kita ambil bersama angkat martabat negara ini untuk hebat semula.

    “Bila saya bentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri untuk tolong Felda, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, disokong Zahid, disokong Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook. Inilah perpaduan yang membawa kebaikan untuk rakyat,” katanya lagi.

    Anwar pada majlis itu menyatakan komitmen kerajaan untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Beliau turut mengingatkan pengurusan Felda supaya lebih cekap mengurus, tidak mengizinkan sebarang ketirisan, tidak boros dan tidak mengizinkan pelaburan yang merugikan Felda.

    “Jika tidak diurus dengan baik, izinkan pemborosan, amalan melabur ikut suka hati… inilah jadinya sehingga kerajaan terpaksa tanggung hutang sehingga RM8.3 bilion,” katanya.

  • Pesuruhjaya kehakiman kes Tun M saman Anwar tarik diri

    Pesuruhjaya kehakiman kes Tun M saman Anwar tarik diri

    PESURUHJAYA Kehakiman, Jamhirah Ali menarik diri daripada membicarakan kes saman fitnah RM150 juta difailkan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri.

    Jamhirah mendedahkan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Alliff Benjamin Aliff Suhaimi.

    “Demi kepentingan keadilan saya menarik diri bagi mengelak sebarang konflik,” katanya pada pengurusan kes dalam talian, lapor FMT.

    Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali berkata permohonan untuk Jamhirah mengundur diri dibuat peguam Anwar.

    “Kami tidak membantah pengunduran itu,” kata Rafique, yang turut bersama Akif Rusli.

    Peguam, Matthew Thomas Phillip dan Phoebe Looi mewakili Anwar hadir pada prosiding itu.

    Rafique berkata, satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 21 Julai sementara menunggu pelantikan hakim baharu.

    Mahathir memfailkan saman pada Mei berhubung kenyataan presiden PKR itu yang mendakwa beliau seorang rasis dan menyatakan bekas perdana menteri tersebut mengayakan keluarga ketika berkuasa.

    Beliau berkata, dakwaan itu menghakis statusnya sebagai negarawan dan bekas Perdana Menteri.

    Mahathir menuntut Anwar menarik semua kenyataan fitnah terhadapnya dan mengemukakan perkara itu dalam media arus perdana dan media sosial.

    Mahathir berkata, kenyataan Anwar yang didakwa itu bertujuan memburukkan imejnya dalam kalangan orang awam kerana ia dilihat dan didengar pelbagai lapisan masyarakat.

    Anwar, dalam pembelaannya berkata, Mahathir berdepan masalah reputasi dan kredibiliti.

    Beliau juga berkata, saman Mahathir merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana ia difailkan atas tujuan dan motif tersembunyi.

  • Mayat lelaki warga Indonesia dalam but kereta, tujuh lagi ditahan

    Mayat lelaki warga Indonesia dalam but kereta, tujuh lagi ditahan

    POLIS menahan tujuh lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia, dalam keadaan berbungkus dengan plastik hitam dan terikat dalam but sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Taman Sri Orkid, Seksyen 30, di Shah Alam pada Selasa.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ramsay Anak Embol berkata kesemua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga Indonesia, dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.

    Sebelum ini Bernama melaporkan, polis menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut.

    Kesemua suspek direman sehingga 10 Julai itu, disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain motif kejadian dipercayai berpunca daripada rasa cemburu.

    Polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu, selepas orang awam yang melalui kawasan berkenaan tercium bau busuk daripada sebuah kereta Honda City berwarna hitam, yang dikatakan berada di lokasi itu selama beberapa hari. 

  • Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    Lelaki ketuk kepala isteri bekas ADUN ditahan

    SEORANG lelaki yang disyaki menyerang dan mengetuk kepala pemilik kedai runcit di Jalan Datuk Ismail Hashim, Sungai Ara di Bayan Lepas, semalam sudah ditahan.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan polis di rumahnya di Bayan Lepas pada pukul 11.30 malam tadi.

    “Semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod lampau berkait jenayah atau dadah.

    “Suspek yang bekerja sebagai operator kilang itu diperintah reman selama tiga hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 kanun yang sama.

    Semalam akhbar Kosmo! melaporkan, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz itu diserang seorang lelaki di sebuah kedai runcit di Bayan Lepas, Balik Pulau petang semalam.

    Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu berlaku apabila wanita tersebut berada di dalam premis berkenaan lalu didatangi seorang lelaki berbaju-t dan berseluar pendek.

    Azrul berkata, kejadian berlaku selepas isterinya menegur seorang pelajar sekolah yang disyaki mencuri barangan makanan di dalam premis berkenaan.

    “Isteri pada mulanya curiga lihat seorang budak sekolah memasukan barang di dalam beg. Ketika sedang beri nasihat, budak perempuan tersebut sudah melarikan diri.

    “Dalam tempoh 10 minit, seorang lelaki disyaki bapa kepada budak berkenaan masuk ke kedai lalu menyerang isteri.

    “Isteri saya mengadu yang lelaki itu ada mengetuk kepalanya dan perbuatan itu dapat dilihat menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedai,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

  • Azmin nafi tanding kerusi DUN Hulu Kelang

    Azmin nafi tanding kerusi DUN Hulu Kelang

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menafikan akan bertanding di Hulu Kelang pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

    Azmin yang juga Ketua Penerangan PN berkata, beliau ada ditawarkan beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) kerusi untuk bertanding, namun keputusan muktamad diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi.

    “Hulu Kelang merupakan kampung halaman sejak saya berusia empat tahun, sejak 1968. Ya, saya ada menerima permintaan bertanding di sana (Hulu Kelang), tetapi saya juga ada terima tawaran daripada beberapa kawasan lain.

    “Saya ditawarkan kerusi di Hulu Kelang, Morib, Batu Tiga, dan beberapa kawasan lain. Saya tidak bertanding di Hulu Kelang semata-mata ia ‘kampung’ saya,” katanya menurut The Star.

    Terdahulu, FMT memetik sumber sebagai berkata Azmin hampir pasti bertanding di Hulu Kelang pada PRN Selangor.

    Sumber itu berkata, Azmin mempunyai hubungan rapat dengan kawasan berkenaan kerana buat kali pertama dipilih menjadi wakil rakyat dalam PRU10 pada 1999.

    Sumber berkata, Azmin, yang juga bekas Menteri Besar Selangor bermula 2014 hingga 2018, sudah melakukan persiapan bertanding di kawasan Hulu Kelang dengan membuka pusat khidmatnya di sana.

    Dalam maklum balasnya, Azmin berkata, naif untuk mendakwa beliau bertanding di Hulu Kelang memandangkan pembukaan pusat khidmat dalam kawasan itu, sambil merujuk ia juga boleh digunakan sebagai bilik operasi.

    “Janganlah beranggapan banyak sangat berkenaan pusat khidmat menjadi bilik operasi kerana ia berlaku di seluruh Selangor sejak 23 Jun, selepas Dewan Undangan Negeri bubar.

    “Kita sudah menukar semua pusat khidmat kepada bilik operasi sebagai persediaan berdepan pilihan raya. Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan berterusan mengganggu kita dengan merampas bendera dan khemah,” katanya.

  • Reman Ketua Polis Daerah: Mahkamah Tinggi tolak semakan SPRM

    Reman Ketua Polis Daerah: Mahkamah Tinggi tolak semakan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret di Kuantan yang menolak permohonannya mendapatkan perintah reman terhadap seorang Ketua Polis Daerah (KPD) bagi membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM1 juta.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz yang menolak permohonan semakan SPRM itu berkata tiada keperluan untuknya mengganggu keputusan tersebut kerana Majistret tidak terkhilaf, membuat keputusan yang betul dan wajar.

    Beliau berkata keputusan Majistret yang bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh yang memutuskan bahawa Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) tidak terpakai untuk permohonan reman bagi kesalahan yang disiasat di bawah Akta SPRM 2009 juga adalah betul kerana ia merupakan ‘keputusan terkini’.

    Pada 11 Mei lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Temerloh Roslan Mat Nor memutuskan SPRM perlu menggunakan aktanya sendiri dan tidak bergantung kepada KTJ kerana Seksyen 49 Akta SPRM 2009 memberi kuasa kepada SPRM untuk membenarkan jaminan ditunda supaya penyiasatan dapat diteruskan selepas 24 jam pertama penahanan.

    “Keputusan mahkamah atas adalah mengikat mahkamah bawahan, seperti jika Mahkamah Persekutuan membuat keputusan, ia perlu diikut oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dan begitu juga keputusan Mahkamah Tinggi perlu diikut oleh mahkamah di bawahnya.

    “Bagi saya ia akan salah jika ada satu kes diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan sebaliknya Majistret memutuskan untuk menggunakan kes di Temerloh kerana jika terdapat dua keputusan berbeza, keputusan Mahkamah Tinggi di Kuantan adalah lebih mengikat tetapi dalam kes ini, tiada (keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan),“ kata Zainal Azman pada penghakiman ringkasnya hari ini.

    Pada 7 Jun lepas, Mahkamah Majistret menolak permohonan SPRM bagi mendapatkan perintah reman terhadap KPD berusia 53 tahun itu yang ditahan sehari sebelumnya, bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang dikatakan berlaku dalam tempoh lima tahun bermula 2017.

    Suapan itu didakwa diterima secara bulanan antara RM20,000 hingga RM50,000 daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi dalam daerah dia bertugas sebagai balasan untuk melindungi kegiatan perniagaan mereka daripada gangguan pihak polis.

    Keputusan itu menyebabkan SPRM memfailkan permohonan semakan pada 21 Jun lepas dengan menamakan KPD itu sebagai responden.

    SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala peguam Datuk Bob S Arumugam mewakili KPD itu.