Category: Semasa

  • Kestabilan tergugat jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat – Nazri

    Kestabilan tergugat jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat – Nazri

    DESAKAN supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat boleh menggugat kestabilan yang sedang dikecapi sekarang .

    Ketika menegaskan perkara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan ketika ini, rakyat akan menghukum parti yang mengkucar-kacirkan kestabilan yang sedang dinikmati.

    Beliau turut menegaskan, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah bahawa Seri Paduka mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil.

     “Jangan setakat bila untung kita sebut titah raja tetapi bila tidak menguntungkan, kita akan buat-buat lupa, tak boleh. Jadi kita kena ingat, apapun, titah daripada Yang di-Pertuan Agong itu memang ada, mahukan kerajaan yang stabil, mahu negara stabil.

    “Kalau kita langgar titah ini maka betullah anggapan orang, kita nak mengkucar-kacirkan keadaan yang sedang stabil sekarang, kenapa perlu kucar-kacir di waktu aman dan stabil, sekarang tidak ada apa-apa masalah.

    “Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mentadbir dengan baik, tidak ada masalah. Saya lihat alasan yang diberikan itu spekulasi sahaja atau pun diada-adakan sahaja,” katanya kepada Astro AWANI.

    Isu berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mula diperkatakan selepas Barisan Nasional (BN) menang selesa dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Beberapa pemimpin UMNO mahu ia diadakan pada tahun ini juga dengan alasan kedudukan parti-parti lawan berada dalam keadaan lemah.

    Mereka berpendapat, parti-parti tersebut tidak harus dibiarkan mengumpulkan kekuatan selepas tewas dalam dua PRN berkenaan. Bagaimanapun terdapat pertentangan dalam UMNO sendiri yang menegaskan, Ismail Sabri harus diberi peluang memimpin negara sehingga tempoh penggal berakhir.

    Mengulas lanjut, Mohamed Nazri menjelaskan, rakyat juga akan melihat UMNO cuba menjatuhkan Perdana Menteri daripada parti sendiri.

    “Pemulihan ekonomi negara kita belum lagi selesai, baru nak steady. Jadi pada waktu ini kita mendesak supaya diadakan PRU nampaklah kita yang mengkucar-kacirkan.

    “Lebih teruk lagi ialah kalau kita desak PRU15 dan jatuhkan kerajaan yang ada ini, kita menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang datang daripada kalangan kita,” katanya.

    Bagi Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Hamidin Abd Hamid, hasrat mahu mengadakan pilihan raya awal digerakkan oleh sesetengah pemimpin UMNO yang mahu kekal pada kedudukan yang dimahukan.

    Jelas beliau, sekiranya UMNO mampu mencapai kestabilan dalaman parti mereka, ia mampu menjadikan pentadbiran negara juga stabil.

    “Saya sering mengatakan UMNO perlu menyelesaikan perkara ini dengan baik untuk memastikan apa yang berlaku dalaman parti itu tidak tidak tumpah dan memberi kesan kepada politik nasional.

    “Setakat ini kita lihat UMNO gagal untuk menyelesaikan masalah dalaman parti mereka sendiri hingga ia dilihat menggugat kestabilan pentadbiran negara.

    “Apa yang berlaku ketika ini, boleh saya katakan, desakan untuk bubar Parlimen dilakukan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam UMNO ini adalah usaha mereka menjadikan isu pilihan raya ini untuk memastikan mereka kekal pada kedudukan yang mereka mahukan.

    “Saya kira UMNO sebagai sebuah parti tidak seharusnya diguna pakai dalam konteks peras ugut sedemikian oleh pemimpin mereka sendiri,” katanya.

  • Bomba Johor tangkap buaya di tengah jalan di Pengerang

    Bomba Johor tangkap buaya di tengah jalan di Pengerang

    JABATAN Bomba dan Penyelamat (JBPM) Johor menangkap seekor buaya dengan ukuran panjang 4.6 meter yang berada di tengah jalan di Jalan Tiong Nam, Jalan Bypass Rapid Pengerang, tengah malam tadi.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam.

    Beliau berkata, dua jentera dari BBP Sebana Cove dan Sungai Rengit dengan 16 anggota dihantar ke tempat kejadian.

    “Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seekor buaya berukuran panjang 15 kaki (4.6m) di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya buaya itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

    Operasi berkenaan ditamatkan kira-kira jam 1.40 pagi. – Bernama

  • Jangan buat spekulasi, henti sebar maklumat tidak sahih kejadian doktor pelatih HPP maut jatuh bangunan

    Jangan buat spekulasi, henti sebar maklumat tidak sahih kejadian doktor pelatih HPP maut jatuh bangunan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian seorang doktor pelatih yang dijumpai maut akibat terjatuh dari kediamannya pada 17 April lalu.

    Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, kes itu kini adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat ke atas mayat mayat dijalankan di Jabatan Forensik HPP.

    Ujar beliau, laporan lengkap siasatan juga masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal

    “Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka dan pihak HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM dalam siasatan selanjutnya.

    “Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan berkenaan kes kematian seorang doktor pelatih HPP yang dijumpai maut akibat terjatuh dari bangunan kediamannya di Jalan Datuk Keramat, Georgetown pada 17 April lalu.

    Mangsa merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke Pulau Pinang dan ditempatkan di HPP pada 4 April 2022.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong turut mengesahkan mengenai kejadian itu dan berkata, kes itu disiasat sebagai mati mengejut.

  • Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    Kes tembak di Bukit Bintang: Polis kesan dua lelaki bantu siasatan

    POLIS  sedang giat mengesan dua lelaki warga tempatan yang sudah dikenal pasti identiti mereka bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kedua-dua suspek terbabit berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an, manakala seorang lagi lelaki tempatan ditahan di lokasi kejadian semalam.

    “Lelaki yang ditahan semalam direman enam hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata motif dan hubungan antara mangsa dan kesemua suspek masih dalam siasatan.

    Semalam, media melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji  berkata seorang lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang, sejam selepas mangsa mendaftar masuk.

    Katanya perkara itu disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis kira-kira 7 malam dan hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di hotel berkenaan menemukan mayat mangsa berusia 49 tahun.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    — BERNAMA

  • Kementerian Pendidikan akan selesai segera isu guru kontrak perkhidmatan

    Kementerian Pendidikan akan selesai segera isu guru kontrak perkhidmatan

    MENTERI  Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin telah mengarahkan supaya isu guru kontrak perkhidmatan (COS) ambilan Jun 2020 yang akan tamat kontrak mereka pada Jun depan, diberi perhatian dan diselesaikan segera.

    Radzi menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter hari ini berkata perkara berkaitan kegusaran guru yang akan tamat kontrak COS itu dibangkitkan menerusi ruangan komen di laman media sosial beliau baru-baru ini, dan ia sememangnya berada dalam perhatiannya.

    “Saya telah arahkan supaya perkara ini diberi perhatian dan diselesaikan segera. KPM (Kementerian Pendidikan) dan SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya.

    Beliau berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas proses berkenaan selesai.

    Katanya KPM prihatin mengenai perkara yang dibangkitkan masyarakat tentang pendidikan dan komited untuk melakukan yang terbaik demi kesejahteraan pendidikan generasi pewaris negara.

    — BERNAMA

  • Dua keluarga mangsa banjir dipindahkan ke PPS

    Dua keluarga mangsa banjir dipindahkan ke PPS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 11 mangsa banjir daripada dua keluarga di Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas, Pontian dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi.

    Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Pontian dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa berkenaan dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya kira-kira pada pukul 9.30 pagi.

    “Hujan lebat selama lebih dua jam pada 3.30 pagi tadi mengakibatkan rumah mangsa dinaiki air. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Pemantauan masih dilakukan lima Anggota Pertahanan Awam (APM).

    “APM turut dibantu masing-masing dua anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain dua penghulu serta seorang ketua kampung,” menurut kenyataan itu hari ini.

  • Warga emas maut, lapan cedera nahas tiga kenderaan

    Warga emas maut, lapan cedera nahas tiga kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga emas maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta di Felcra Melikai, Jalan Nitar, Mersing pada malam tadi.

    Kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta Honda City dan dua Proton Persona yang membabitkan sembilan mangsa.

    Komander Operasi dari Balai Bonba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Pegawai Bomba Kanan II Yusof Mat Yar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 8.09 malam.

    “Lapan anggota dengan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa dalam kereta Honda City, Mat Yusof Deris, 66, tersepit manakala seorang lagi iaitu
    wanita dewasa cedera.

    “Pihak bomba kemudian mengeluarkan mangsa lelaki yang tersepit itu dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir mengesahkan warga emas berkenaan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Sementara mangsa wanita berkenaan telah keluar dengan sendiri dari kereta tersebut dan orang awam yang berada di tempat kejadian menghantarnya ke hospital berdekatan,” katanya.

    Selain itu katanya, seorang wanita berusia 30-an serta seorang remaja lelaki berusia 17 dalam kereta Proton Persona turut cedera dan mereka keluar dengan sendiri kenderaan tersebut.

    Katanya, kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS dan ambulan dari klinik kesihatan berhampiran sebelum dihantar ke hospital.

    Menurutnya, lima mangsa dalam sebuah lagi Proton Persona turut cedera dan orang awam membantu menghantar mereka ke hospital sebelum pihak bomba tiba.

    “Operasi tersebut tamat pada pukul 9.22 malam ” katanya.

  • Kanak-kanak maut, 7 ahli keluarga dalam kemalangan di Setiau ketika beraya

    Kanak-kanak maut, 7 ahli keluarga dalam kemalangan di Setiau ketika beraya

    SEORANG  kanak-kanak lelaki maut, manakala tujuh ahli keluarganya cedera selepas terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 85, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bahru berhampiran Kampung Alor Serdang di Setiu, semalam, ketika mereka dalam perjalanan pulang beraya ke kampung halaman.

    Kemalangan maut membabitkan Muhammad Aidil Fitri Osman, 5, itu berlaku selepas van Toyota Hiace dipandu ibunya, Asmah Zakaria, 45, yang hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di lokasi kejadian, sekitar jam 6.30 pagi, lapor Berita Harian.

    Bapa mangsa, Osman Intan, 51, yang juga peniaga pakaian serta dua kakak dan seorang abangnya parah, manakala Asmah bersama dua lagi abang mangsa pula cedera ringan di kepala.

    Adik-beradik Muhammad Aidil Fitri yang terbabit dalam kemalangan itu berusia dalam lingkungan 14 hingga 20 tahun.

    Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, sewaktu kejadian, mangsa bersama tujuh ahli keluarganya itu dipercayai dalam perjalanan untuk beraya di Kuala Nerus dari rumah mereka di Kangar, Perlis.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, van Toyota Hiace Asmah dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

    “Van dinaiki mereka kemudiannya terjatuh ke dalam parit sehingga menyebabkannya remuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Afandi berkata, Muhammad Aidil Fitri disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Setiu di sini, pada 8.30 pagi.

    “Kesemua tujuh mangsa yang cedera menerima rawatan di wad hospital sama.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    Lelaki ditemukan mati di bilik hotel, dengan kesan tembakan di dahi

    SEORANG lelaki tempatan ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi, dalam kejadian di bilik hotel di Bukit Bintang petang tadi sejam selepas mendaftar masuk.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Habibi Majinji, berkata perkara itu disedari seorang pekerja hotel yang memasuki bilik tersebut. Polis dihubungi pada kira-kira 7 malam.

    “Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun berasal dari Johor mendaftar masuk ke hotel berkenaan pada 6 petang tadi. Polis telah menahan rakan sebilik mangsa bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

    Habibi berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan senjata api yang digunakan belum dijumpai.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

  • Lelaki maut dilibas pisau mesin pemotong rumput anak saudara

    Lelaki maut dilibas pisau mesin pemotong rumput anak saudara

    SEORANG  lelaki dilaporkan maut selepas dilibas dengan pisau mesin pemotong rumput dalam pergaduhan di sebuah rumah, di Sitiawan, Perak pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 4 pagi oleh seorang wanita berusia 26 tahun.

    Katanya, siasatan polis mendapati mangsa berusia 51 tahun yang berada dalam keadaan mabuk, bergaduh dengan anak saudaranya berusia 34 tahun di perkarangan rumah gara-gara berlaku perselisihan faham.

    “Suspek didakwa mengambil mesin pemotong rumput lalu melibas ke arah kaki mangsa dan menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan serius di kaki kiri.

    “Mangsa dibawa ke hospital dan ketika dalam perjalanan lelaki itu tidak sedarkan diri sebelum doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataannya, malam semalam, menurut Harian Metro.

    Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca akibat suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa memburukkan namanya pada penduduk kampung.

    Katanya, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Nor Omar berkata, suspek yang bekerja sebagai mekanik motosikal dikesan mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

    “Mangsa yang tidak bekerja pula mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya.