Category: Semasa

  • KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KKM tidak pernah peraku produk ganti ubat rawat diabetes

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak pernah memperakukan mana-mana produk atau makanan yang boleh menggantikan ubatan termasuk insulin untuk merawat diabetes dan mengawal gula dalam darah.

    Perkara itu dimaklumkan KKM dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini bagi menjelaskan tindakan laman Facebook Ainalienshop-TW yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menggunakan gambar yang telah diubah suai, memaparkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berserta kapsyen ‘blood sugar returns to normal’ (paras gula dalam darah kembali normal).

    “KKM menyeru agar masyarakat tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kenyataan yang tidak diketahui kesahihannya.

    “KKM juga sekali lagi ingin menegaskan kepada para pengusaha atau pemilik produk untuk lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan serta mengelirukan orang ramai,” menurut hantaran itu.

    Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter beliau malam ini berkata, perkara itu adalah satu lagi berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab untuk kepentingan perniagaan. – BERNAMA

  • Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    Lebih lapan jam bomba padam kebakaran gudang simpan bahan kimia

    PASUKAN bomba mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran di sebuah gudang menyimpan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Valdor di Sungai Bakap, di Nibong Tebal hari ini.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Tarmizi Abdul Salam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.45 pagi dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Ketika bomba tiba, api sedang marak dan peratusan kebakaran pada masa itu (ketika sampai ke lokasi) dianggar lebih 70 peratus iaitu membabitkan tiga bahagian struktur tempat penyimpanan di situ.

    “Gudang itu berkeluasan 3,716 meter persegi yang menyimpan pelbagai bahan kimia dan cecair mudah terbakar sekali gus menyebabkan api cepat merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata lebih 100 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 10 jentera terlibat dalam operasi pemadaman.

    Mohamad Tarmizi berkata setakat 5 petang tadi, operasi pemadaman sudah di peringkat akhir dan pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan api serta bara padam sepenuhnya.

    Beliau berkata kejadian tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kecederaan manakala punca serta jumlah kerugian sedang disiasat.

    “Cuma sebuah jentera bomba PBS yang terlibat dalam operasi itu nyaris terbakar akibat terkena serpihan letupan daripada api yang sedang marak,” katanya.

    — BERNAMA

  • Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    Hati-hati… jangan beli durian guna aplikasi D4 Durian

    POLIS menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan urusan jual beli durian secara dalam talian terutama menjelang musim raja buah itu di Pulau Pinang berikutan terdapat kes penipuan membabitkan kes tersebut.

    Polis Daerah Timur Laut dalam satu kenyataan menerusi Facebook memaklumkan pihaknya mengesan peningkatan kes penipuan pembelian durian secara dalam talian di daerah itu yang dipercayai didalangi sindiket penipuan.

    “Modus operandi sindiket itu ialah mereka akan mengiklankan penjualan durian dengan harga yang murah di media sosial antaranya Facebook dan Instagram.

    “Mangsa yang tertarik dengan iklan tersebut akan berurusan dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp berdasarkan nombor telefon yang tertera pada iklan itu dan mangsa kemudiannya diarahkan klik pada pautan yang diberikan dan memuat turun aplikasi ‘D4 Durian’ untuk membuat bayaran,” menurut kenyataan itu hari ini.

    Menurut kenyataan itu, apabila mangsa klik pada pautan yang diberikan, ia akan membawa halaman yang menyerupai ‘FPX Transaction’ dan sebaik sahaja mangsa memasukkan ‘username’ dan kata laluan, sistem pembayaran tersebut akan tergendala.

    Kenyataan itu memberitahu, mangsa akan menerima mesej daripada pihak bank bahawa berlaku pemindahan wang daripada akaun mangsa ke akaun pihak ketiga dalam jumlah yang tinggi daripada harga pembelian tersebut.

    “Orang ramai dinasihatkan agar jangan sesekali memuat turun sebarang aplikasi yang tidak pasti ketulenannya dan jangan mendedahkan username, kata laluan atau apa-apa maklumat perbankan kepada pihak ketiga,” katanya.

    Sementara itu, dalam kes berasingan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki kerana disyaki menyamar polis dan memeras ugut sepasang kekasih di kawasan pemandangan pendaratan pesawat di landasan kapal terbang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas dekat sini hari ini.

    Beliau berkata, lelaki berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 pagi tadi di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas dan polis merampas sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian tersebut.

    “Dalam kejadian 3 Mei lepas, pasangan terbabit yang berada di kawasan pemandangan tersebut didatangi seorang lelaki menunggang sebuah motosikal yang mendakwa sebagai anggota polis Balai Bayan Lepas, suspek kemudiannya memeras ugut mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada lelaki yang tidak bekerja itu turut terlibat dalam kejadian menyamar polis sebelum memeras ugut atau menyamun mangsa-mangsa lain.

    Menurutnya, lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Kadar tambang ECRL tidak bebankan pengguna

    Kadar tambang ECRL tidak bebankan pengguna

    KERAJAAN memberi jaminan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan ditetapkan kelak tidak akan membebankan pengguna.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, dakwaan Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail bahawa tambang ECRL sehingga enam kali ganda lebih tinggi berbanding harga tiket penerbangan adalah bersifat spekulatif dan tidak berasas.

    Beliau berkata, perbincangan berhubung perkara itu masih berjalan di peringkat kerajaan bagi menetapkan kadar tambang penumpang ECRL untuk setara berbanding kadar tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Pantai Barat Semenanjung.

    “Sepertimana yang diketahui, kadar tambang ETS adalah amat berpatutan dan lebih rendah berbanding kadar tiket pesawat bagi laluan dan destinasi di Pantai Barat Semenanjung. Penetapan kadar tambang ECRL adalah berdasarkan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Secara dasarnya, kadar tambang yang ditetapkan kelak akan memastikan ECRL terus berdaya saing dengan harga berpatutan dan dalam masa sama berupaya menanggung kos pengoperasian serta penyelenggaraan. Apa yang paling penting, ia tidak akan membebankan para pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Semalam, media melaporkan Azan dipetik sebagai berkata, tambang ECRL dijangka mahal ekoran kos pembinaannya yang tinggi dan menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat untuk membayar tambang perkhidmatan projek prasarana pengangkutan itu yang dijangka siap pada penghujung 2026.

    Kos Projek ECRL sepanjang 665 kilometer melibatkan 59 terowong dianggarkan mencecah RM50.27 bilion itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

    Mengulas lanjut, Wee berkata, kerajaan juga tidak berhasrat mengenakan tambang tinggi bagi perkhidmatan penumpang untuk memperoleh semua kos pembinaan ECRL memandangkan ia adalah projek untuk rakyat yang sudah pasti tidak membebankan.

    Malah katanya, menerusi perkhidmatan pengangkutan kargo bagi kegunaan industri, perkilangan dan pembuatan dijangka menjana lebih 70 peratus daripada sumber pendapatan ECRL apabila ia bakal beroperasi pada tahun 2027 kelak.

    Beliau berkata, struktur tambang ECRL perlu mendapatkan kelulusan kerajaan sebelum ia beroperasi selaras dengan keperluan APAD dan Lesen Operator Keretapi di bawah bidang kuasa APAD sebagai pengawal selia. – BERNAMA

  • Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    Remaja dikhuatiri lemas, tiga selamat dihanyut arus

    SEORANG remaja lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas mereka dihanyutkan arus semasa mandi di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing di Kuantan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mangsa Amirun Mohamad, 14, dari Jabor, Terengganu difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah. 

    “Mangsa didakwa turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam kira-kira pukul 2.30 petang.

    Orang awam yang berada di lokasi cuba untuk membantu, namun hanya dapat menyelamatkan tiga remaja manakala Amirun terus dihanyutkan ke bahagian hilir sungai dan gagal dilihat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

    Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16, kedua-duanya dari daerah ini.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai Kuantan dan Pekan yang menggunakan teknik selaman bagi mencari mangsa.

    — BERNAMA

  • [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    [VIDEO] Kancil dipandu warga emas rempuh restoran tom yam

    ENAM pelanggan termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang sedang menikmati hidangan di sebuah restoran tom yam di Jalan Hang Li Po, Bukit Baru di Melaka berdepan detik cemas apabila sebuah kereta merempuh masuk restoran tersebut semalam.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian 7.15 malam itu berpunca apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu warga emas lelaki berusia 66 tahun, tertekan pedal minyak lalu merempuh masuk ke dalam restoran tom yam tersebut.

    “Siasatan mendapati pemandu tersebut baru selesai makan di restoran itu dan hendak menghidupkan kenderaan yang diletakkan di ruang parkir di hadapan restoran berkenaan.

    “Bagaimanapun pemandu tersebut tertekan pedal minyak dan menyebabkan keretanya terus merempuh masuk ke dalam restoran lalu melanggar tembok dinding dan beberapa meja makan batu di dalam restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, insiden itu menyebabkan enam pelanggan berusia setahun hingga 56 tahun yang berasal dari Melaka, Johor dan Pulau Pinang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Melaka manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

    https://youtu.be/kimLoE2xoP4
    Kredit video: Saluran YouTube Viral Online Channel

    Jelasnya, ketika kejadian cuaca baik dan terdapat rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta saksi bebas yang tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Rule 10LN 166/58. – BERNAMA

  • Polis Kelantan buru tiga lelaki samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

    Polis Kelantan buru tiga lelaki samun kedai emas, larikan wang RM1 juta

    POLIS Kelantan memburu tiga lelaki dipercayai menyamun sebuah kedai pajak gadai emas dekat Jalan Besar di Pasir Mas, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, semalam.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian tersebut daripada mangsa pada 4.45 petang yang memaklumkan tiga lelaki bertopeng telah menggunakan senjata menyerupai pistol dan pisau menyamun kedainya.

    “Mangsa bersama lima pekerjanya telah diikat serta dipaksa berada di bawah meja sebelum penyamun itu mengarahkan mangsa membuka laci di dalam peti besi.

    “Suspek turut meminta mangsa mengisi wang tunai dianggarkan berjumlah RM1,000,000 dan pelbagai barangan kemas di dalam beg yang telah disediakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini, yang turut menambah suspek juga telah melarikan kereta Jenis Perodua Alza berwarna putih milik mangsa.

    Muhamad Zaki berkata bertindak atas laporan dan maklumat yang diterima, pihaknya telah mengadakan Op Tutup dan Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh Kelantan serta mengatur gerak pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA) ke pintu-pintu sempadan dengan Thailand dan juga pangkalan haram bagi mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan.

    “Susulan daripada itu, lebih kurang pukul 12.30 tengah malam, sepasukan pegawai dan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 PGA yang membuat rondaan di kawasan Kuala Jambu, Pengkalan Kubor telah ternampak kenderaan milik mangsa ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan yang mencurigakan.

    “Kenderaan tidak berkunci dan kunci kenderaan tersebut berada di atas kerusi penumpang hadapan. Hasil semakan mendapati kenderaan itu berkait dengan kes rompakan kedai pajak gadai emas di Pasir Mas sebelum itu,” katanya yang telah memanggil mangsa serta beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut.

    Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil ke Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    — BERNAMA

  • Rakyat masih letih, biar PRU-15 lepas habis penggal – Hadi

    Rakyat masih letih, biar PRU-15 lepas habis penggal – Hadi

    PAS mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan sehingga tempoh penggal pemerintahan berakhir.

    Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti  itu bersetuju proses demokrasi pilihan raya ditangguhkan sehingga tiba masanya bagi memberi peluang kepada kerajaan sedia ada menunaikan tugas dan tanggungjawabnya dalam tempoh baki penggal.

    “Kita sudah buat kenyataan tiga negeri habiskan penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih dengan politik dan wabak (Covid-19) yang belum selesai. Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada laksanakan tugas dalam tempoh secukupnya. Oleh itu kita setuju PRU ditangguhkan,” katanya lapor Sinar Harian.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dengan menggerakkan semua jentera di seluruh negara dan menambah cawangan serta ahli.

    Abdul Hadi turut menegaskan, Pas akan meneruskan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan parti Melayu terbesar, iaitu Bersatu dan UMNO, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

    “Kerjasama ini kita akan lihat perkembangan, sehingga kini kita teruskan kerjasama yang ada biar kukuh dan kuat,” katanya.

  • JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JAIS larang pungut wang, sumbangan di masjid tanpa kebenaran

    JABATAN Agama Islam Selangor (JAlS) mengingatkan semua pihak sama ada individu atau kumpulan termasuk pemilik sekolah swasta Islam dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau parti politik untuk tidak memungut wang atau sumbangan lain di masjid, surau dan musolla bagi tujuan kepentingan Islam atau manfaat dan faedah bagi umat Islam.

    Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan selepas mendapatkan kebenaran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di bawah Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

    Mohd Shahzihan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

    “Baginda bimbang terdapat pihak yang mengambil kesempatan untuk menggunakan wang sumbangan tersebut bagi kepentingan peribadi atau kekuasaan dan pengaruh selain untuk menguatkan lagi kumpulan-kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tindakan mana-mana individu membuat atau mengambil bahagian dalam apa-apa pungutan wang bagi maksud khairat dan manfaat agama Islam tanpa surat kebenaran MAIS adalah merupakan suatu kesalahan di bawah subseksyen 106 (4) Enakmen yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

    Mohd Shahzihan berkata, oleh itu pihak pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam kutipan khairat bagi apa-apa tujuan oleh mana-mana pihak selain untuk tujuan dan manfaat kepada masjid, surau dan musolla di bawah pentadbiran masing-masing.

    Dalam masa yang sama katanya, penerimaan dan perbelanjaan wang atau sumbangan yang sah hendaklah diaudit dan laporkan kepada JAIS.

    Beliau berkata justeru, orang awam dinasihatkan sentiasa berhati-hati sebelum membuat apa-apa sumbangan untuk memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak lagi berlaku di Selangor dan boleh juga menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) yang diuruskan oleh JAIS. – BERNAMA

  • Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tepi Sungai Golok

    Mayat lelaki tanpa pakaian ditemukan di tepi Sungai Golok

    SEORANG lelaki tanpa pakaian ditemukan mati di tepi Sungai Golok berdekatan Kampung Simpangan di Tumpat, awal pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Tumpat Supt Tan Seng Lee berkata mayat yang tidak dikenal pasti bangsa itu ditemukan pada 7.25 pagi oleh orang awam di tepi sungai terbabit.

    “Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) yang melakukan siasatan itu mendapati mayat ditemukan berada dalam keadaan telangkup dengan kedua-dua tangan dan kaki diikat serta muka ditutup dengan ikatan kain.

    “Identiti mayat yang masih belum dikenal pasti itu dijumpai dalam keadaan bogel dengan tiada kesan suntikan BCG dan dipercayai berada dalam air itu melebihi 24 jam,” katanya dalam kenyataan sambil menambah umur mayat mangsa dalam lingkungan 30 hingga 40-an.

    Mengulas lanjut, Tan berkata pihaknya juga telah bertemu dengan penduduk Thailand dan ketua kampung yang tinggal di seberang Sungai Golok untuk mendapatkan maklumat mengenai mayat berkenaan.

    “Mayat dihantar ke Forensik Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menjelaskan polis Kelantan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Selatan Thailand untuk siasatan lanjut.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau ahli keluarga hilang boleh berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Md Sani  Md Saleh ditalian 012-9216944.

    — BERNAMA