Category: Semasa

  • Sejak bila Paul Yong dilantik sebagai Pengerusi FPDSB?

    Sejak bila Paul Yong dilantik sebagai Pengerusi FPDSB?

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong kini menyandang jawatan Pengerusi Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB).

    Maklumat itu tertera dalam laman sesawang syarikat khas (SPV) milik kerajaan yang ditubuhkan dengan matlamat untuk melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan dari 2006 hingga 2020.

    Program selama 15 tahun itu disokong oleh peruntukan kewangan berjumlah RM1.045 bilion daripada Kementerian Kewangan sebagai insentif menggalakkan penyertaan swasta melalui mekanisme pinjaman fleksibel.

    Paul dalam ucapan aluan yang disiarkan dalam laman sesawang FPDSB berkata, sebagai Pengerusi yang kelapan, beliau akan melakukan yang terbaik bagi merealisasikan visi dan misi organisasi itu supaya ia menjadi rujukan yang berguna untuk mendapatkan maklumat terkini dan menyeluruh bagi industri balak di Malaysia.

    Walau bagaimanapun, tiada maklumat tentang tarikh lantikan Paul sebagai Pengerusi FPDSB mula berkuat kuasa.

    Paul FPDSB
    Ahli-ahli Lembaga Pengarah FPDSB yang dipengerusikan oleh Paul Yong Choo Kiong. (Gambar: Tangkap layar laman sesawang FPDSB)

    Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh memerintahkan Paul membela diri atas tuduhan merogol pembantu rumahnya, pada tahun 2019.

    Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Sehubungan itu mahkamah menetapkan perbicaraan selama dua hari pada 15 dan 16 Februari 2022.

    Yong, 51 tahun, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

    Beliau disiasat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

    Ucapan aluan Paul Yong Choo Kiong selaku Pengerusi FPDSB. (Gambar: Tangkap layar laman sesawang FPDSB)

    Paul yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh atas tiket DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah meninggalkan parti itu pada 2020.

    Beliau kemudian menjadi ADUN Bebas sebelum menyertai Bersatu pada 2021 dan kini Paul menganggotai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baru sahaja ditubuhkan tahun ini.

  • Salah guna lorong kecemasan, tipu kononnya ibu sakit

    Salah guna lorong kecemasan, tipu kononnya ibu sakit

    TINDAKAN seorang lelaki cuba menipu pihak polis bagi melepaskan diri selepas ditahan menyalahgunakan lorong kecemasan di Kilometer 434 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan tidak berhasil.

    Pegawai Turus Lebuhraya Tengah Zon A, Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Nasyrul Ridzuan Abd. Razak berkata, semasa ditahan lelaki itu menggunakan helah ibu sakit dan sedang dirawat Hospital Sungai Buloh sebagai alasan untuk menggunakan lorong kecemasan.

    Namun katanya, helah itu terbongkar apabila pemeriksaan lanjut dengan pihak hospital mendapati ibu suspek tidak sakit dan ini disahkan oleh doktor bertugas.

    “Lelaki itu ditahan ketika melarikan diri apabila diarahkan berhenti oleh polis yang menjalankan rondaan Op Selamat semalam.

    “Kita mengesannya memandu di lorong kecemasan sebelum dia cuba melarikan diri ketika polis mengarahkannya berhenti pada 6.25 petang.

    “Semasa anggota polis cuba memberhentikan kenderaannya, lelaki berusia 35 tahun itu terus memecut ke lorong kanan untuk melarikan diri,” katanya menurut Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Berita Harian.

    Beliau berkata, polis yang mengejarnya mengarahkan suspek berhenti tetapi dia berdegil dan memandu dalam keadaan melulu dengan membuat zig zag yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

    Katanya, suspek akhirnya ditahan di KM22.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor.

    Selain menipu katanya, hasil siasatan turut mendapati cukai jalan kenderaan yang dipandu suspek sudah tamat tempoh.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati suspek bersama tiga wanita. Cukai jalan kenderaan terbabit sudah tamat tempoh pada 6 Mei 2020,” katanya dengan menambah bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Juruterbang ambil pesanan ‘nasi ganja’ guna helikopter didakwa

    Juruterbang ambil pesanan ‘nasi ganja’ guna helikopter didakwa

    SEORANG juruterbang yang menerbangkan helikopter untuk mengambil pesanan nasi ganja di Padang Ipoh Julai tahun lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas tuduhan tidak mematuhi pelan penerbangan.

    Pengakuan itu dibuat tertuduh, Datuk Mohamed Raffe K. Chekku, 53, yang juga pengarah sebuah syarikat, selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis, lapor Astro Awani.

    Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa tidak mematuhi pelan penerbangan yang dikemukakan apabila telah membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505, nombor pendaftaran 9M-RCI di lokasi selain dari Aerodrome yang dinyatakan dalam pelan penerbangan.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Padang Ipoh, Jalan Tun Sambanthan, pukul 9.50 hingga 10 pagi, 23 Julai tahun lalu.

    Dia didakwa di bawah Peraturan 77(2) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) peraturan yang sama.

    Peraturan tersebut memperuntukkan, bagi seorang individu, hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jean Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili Peguam Datuk Dr. Banjit Singh Sidhu.

    Pada 23 Julai lalu, media melaporkan sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 bungkus nasi kandar popular di bandar raya Ipoh yang lebih dikenali sebagai ‘nasi ganja’.

    Kejadian tersebut menjadi isu apabila pelbagai pihak, termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tertanya-tanya apa yang berlaku terhadap kes berkenaan.

  • Tahan sakit lebih satu jam cincin melekat pada kemaluan

    Tahan sakit lebih satu jam cincin melekat pada kemaluan

    SEORANG lelaki warga Rohingya terpaksa dikejarkan ke Hospital Ampang pada malam tadi selepas sebentuk cincin melekat pada kemaluannya.

    Lelaki berkenaan menahan sakit lebih satu jam ketika anggota bomba menjalankan kerja mengeluarkan cincin tersebut.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 9.20 malam.

    “Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.23 malam.

    “Kejadian melibatkan seorang lelaki Rohingya berumur 26 tahun yang mana cincin melekat pada alat sulit mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan cincin tersebut.

    “Anggota bomba kemudian berjaya memotong cincin tersebut dan mengeluarkannya menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa yang dalam keadaan stabil diserahkan kepada pihak Hospital Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Warga emas rentung, dua ahli keluarga melecur

    Warga emas rentung, dua ahli keluarga melecur

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEBAKARAN melibatkan sebuah rumah di Jalan Parit Abas, Benut di Pontian awal pagi ini mengorbankan seorang warga emas lelaki yang ditemukan rentung di dalam bilik di kediaman tersebut.

    Pasukan Bomba dan Penyelamat yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40 pagi segera ke lokasi kejadian, namun rumah separuh kekal tersebut didapati sudah terbakar hampir keseluruhan.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Penolong Penguasa Bomba Azhar Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut melalui Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor.

    “Mayat warga emas yang telah rentung ditemukan di dalam bilik rumah tersebut, manakala dua mangsa lagi berjaya menyelamatkan diri.

    “Kedua-dua mereka mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan daripada Klinik Kesihatan Benut,” katanya di sini, hari ini.

    Tambah Azhar, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 4.50 pagi setelah keadaan didapati terkawal.

    Operasi tersebut diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Othman Baher selaku Komander Operasi dengan dibantu oleh 27 orang anggota.

    Sebanyak tiga jentera FRT, masing-masing sebuah jentera FRV dan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian oleh BBP Pontian dengan dibantu oleh anggota dari BBP Pontian Baru, BBP Rengit dan Fire Post Benut.

  • Pemuda menyamar polis, peras ugut sepasang remaja

    Pemuda menyamar polis, peras ugut sepasang remaja

    TINDAKAN seorang pemuda dikesan menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut sepasang remaja supaya diberikan wang membawa padah apabila ditahan polis Jumaat lalu.

    Suspek ditahan susulan laporan yang dibuat mangsa yang berusia 16 dan 17 tahun.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa membuat laporan telah diperas ugut ketika berada di kawasan pemandangan pendaratan pesawat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Selasa.

    “Hasil laporan kita mengesan suspek berusia 26 tahun dan dia diberkas di Jalan Kampung Perlis, Bayan Lepas,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pihaknya merampas sebuah motosikal yang digunakan pada hari kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

    Beliau meminta orang ramai yang mengetahui sebarang kesalahan jenayah untuk melaporkan ke Bilik Gerakan Polis Barat Daya di talian 04-8664122, 0192238169 (WhatsApp) atau aplikasi Messenger FB Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

  • Disangka sedang menyelam rupanya sudah tidak bernyawa

    Disangka sedang menyelam rupanya sudah tidak bernyawa

    SEORANG pendawai elektrik yang keluar memancing bersama-sama rakannya ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri di Sungai Sempit, Kampung Orang Asli Batu 16, Gombak, semalam.

    Mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan ke kawasan tersebut untuk memancing sekitar pukul 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, ketika kejadian, rakan mangsa memancing di bahagian atas sungai tersebut manakala mangsa ke bahagian bawah Sungai Sempit berhampiran Lubuk Jepun.

    “Mangsa kemudian sebelum didapati hilang sekitar pukul 9 pagi sebelum rakan mangsa turun ke bahagian bawah sungai dan memanggil nama mangsa namun tiada maklum balas.

    “Rakan mangsa berusaha mencarinya namun menjadi panik apabila menemui rakannya itu dalam keadaan terapung.

    “Pada awalnya rakan mangsa beranggapan sahabatnya itu sedang menyelam berikutan keadaan mukanya berada di dalam air.

    “Setelah menyedari sesuatu yang buruk berlaku, rakan mangsa bertindak terjun ke dalam sungai dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau berkata, rakan mangsa menghubungi talian kecemasan MERS 999 sekitar pikil 10.10 pagi untuk meminta bantuan.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan dijalankan.

    “Hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kiri namun tiada kecederaan lain.

    “Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222,” ujarnya.

  • [VIDEO] Pandu bahaya, hayun kayu, apa masalah pemandu Myvi ini?

    [VIDEO] Pandu bahaya, hayun kayu, apa masalah pemandu Myvi ini?

    ENTAH apa masalah seorang pemandu Perodua Myvi berwarna putih yang memandu secara berbahaya serta menghayun sebatang kayu di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) Kuala Lumpur.

    Memetik laporan FMT, dia secara tiba-tiba menekan brek kenderaannya sedikit demi sedikit di hadapan kereta lain sehingga hampir menyebabkan berlaku perlanggaran.

    Kejadian dikatakan berlaku berhampiran Taman Layang-layang, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, polis telah menerima laporan tentang kejadian daripada seorang lelaki pada pukul 9 malam semalam.

    “Suspek mengeluarkan sebatang kayu panjang melalui tingkap keretanya sambil menjerit-jerit, namun mangsa tidak pasti apa yang dituturkan lelaki itu.

    “Mangsa mengabaikan perkara itu dan meneruskan pemanduan seperti biasa, namun kejadian yang dialami mendatangkan kegusaran kepadanya,” katanya dalam kenyataan.

    @utusantvofficial

    Reply to @wancarlos . Ye betul Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik KL sahkan nombor palsu. #beritaditiktok #fyp #TrendingNewsMalaysia

    ♬ original sound – UtusanTV – UtusanTV

    Eng Lai berkata, polis kini sedang mengesan suspek dalam video dirakam mangsa untuk membantu siasatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Ahmad Syukor di talian 012-76774731 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya.

  • Pemandu kedua bas ekspres raba penumpang wanita sedang tidur

    Pemandu kedua bas ekspres raba penumpang wanita sedang tidur

    POLIS menahan pemandu kedua sebuah bas ekspres yang disyaki mencabul seorang penumpang wanita berusia 21 tahun yang sedang tidur ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Kelantan ke Melaka.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Melaka, ACP Lim Meng Seah berkata, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sejurus selepas bas ekspres berkenaan tiba di Terminal Melaka Sentral, kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

    “Mangsa yang juga penuntut maktab perguruan di Melaka mendakwa diraba oleh suspek semasa bas ekspres itu berhenti rehat di Ajil, Hulu Terengganu kira-kira pukul 4 pagi.

    “Berdasarkan maklumat itu, pihak polis terus menahan pemandu kedua yang berasal dari Kota Tinggi, Johor itu, sebaik sahaja bas tiba di Melaka Sentral,” katanya kepada media hari ini.

    Beliau berkata, wanita itu telah membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari tadi, dan kes akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

    Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh dalam hantaran di Facebook rasminya, menggesa golongan wanita agar tidak berdiam diri apabila menjadi mangsa cabul, terutama ketika menggunakan pengangkutan awam.

    Beliau membuat kenyataan itu menerusi satu video berdurasi tiga minit 41 saat di Facebook, selepas menerima pesanan di akaun media sosial berkenaan bagi meminta bantuan berkaitan kejadian itu.

    “Pagi tadi ketika bangun Subuh saya terima pesanan mesej daripada sahabat di Facebook berhubung kejadian yang menimpa rakannya yang ingin pulang semula ke Melaka.

    “Adik (mangsa) ini terlalu baik sehingga dia hendak menjerit pun takut, dan dia hanya mampu menangis teresak-esak. Saya bersama beberapa rakan yang tunggu di Melaka untuk bantu selamatkan gadis ini,” katanya. – BERNAMA

  • Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    Hukuman berat menanti pemandu, pemilik MPV rempuh pemotong rumput

    HUKUMAN berat mengikut Akta Pengangkutan Jalan boleh dikenakan kepada sesiapa yang membenarkan anak atau remaja tidak cukup umur memandu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

    “Bukan sahaja terhadap pemandu bahkan pemilik kenderaan juga akan dikenakan tindakan paling berat kerana kecuaian dan menyebabkan kecederaan mana-mana pihak.

    “Sesiapa yang disabit kesalahan ini boleh diambil tindakan keras, sebab remaja itu tiada lesen memandu dan perlindungan insurans,” katanya ditemui media pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Seri Perdana di Putrajaya, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden remaja berumur 16 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pemotong rumput hingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani, Kedah, semalam.

    Terdahulu media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, remaja itu tidak memiliki lesen memandu dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Sementara itu Wee berkata, krisis Ukraine-Rusia yang telah memacu harga minyak mentah dunia, menjadi antara sebab harga tiket penerbangan domestik dan antarabangsa naik mendadak, selain permintaan yang tinggi.

    Bagaimanapun, katanya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah diminta untuk memantau peningkatan harga tiket berkenaan.

    Wee turut mengulangi bahawa harga tiket penerbangan yang dibeli pada saat akhir boleh menjadi mahal kerana penggunaan mekanisme penetapan harga dinamik, dengan memberikan contoh pembelian tiket pada musim Tahun Baru Cina dibuka pada harga antara RM300 hingga RM400, tetapi pembelian tiket beberapa hari sebelum penerbangan pula menyaksikan harga yang jauh lebih tinggi. – BERNAMA