Category: Semasa

  • Annuar tidak berhasrat tanding PRN – Hadi

    Annuar tidak berhasrat tanding PRN – Hadi

    TAN Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tidak germinate dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Sehubungan itu Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Annuar  berkemungkinan tidak bertanding mewakili Pas pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos nanti.

    Katanya, Annuar akan diberi peranan membantu Perikatan Nasional (PN) di peringkat nasional.

    “Beliau (Annuar) memberitahu tidak berhasrat untuk bertanding dalam PRN Kelantan. Kita juga mahu beliau memainkan peranan di peringkat nasional,” katanya lapor Kosmo!.

    Beliau berkata demikian ketika diziarahi Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin di Rusila.

    Terdahulu, Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh dikatakan antara calon disenaraikan Pas untuk bertanding, manakala anaknya, Afiq Amani yang juga ketua Pemuda UMNO Ketereh juga tersenarai calon berpotensi bertanding di satu kerusi dalam kawasan Parlimen tersebut.

    Sementara itu, Abdul Hadi memaklumkan semua cadangan calon yang akan ditampilkan Pas pada PRN enam negeri telah melepasi tapisan Majlis Ulama, yang bermesyuarat semalam.

    Ahli Parlimen Marang itu berharap momentum “Gelombang Hijau” pada PRU15 dapat dikekalkan.

    “Harap momentum PRU15 dapat diteruskan dan kita beroleh kemenangan lebih besar lagi. Saya juga berharap pertandingan (kerusi setiap DUN) hanyalah dua penjuru, senang rakyat hendak buat pilihan,” katanya.

  • Penat woo..kalau lepas PM cakap saya kena betulkan fakta – Radzi

    Penat woo..kalau lepas PM cakap saya kena betulkan fakta – Radzi

    Oleh RADZI JIDIN

    *Isu hutang peneroka

    SAYA  pantang kalau orang bercakap dengan fakta yang tidak betul. 

    Terkejut saya dengar petikan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri kerajaan PH-BN, semasa Hari Peneroka semalam. Kata beliau, 

    “Dan baru-baru ini, 3 tahun berdegar-degar, mereka bicara nak jaga orang Melayu, nak jaga Islam. Tetapi, hutang pun tak dilupuskan sehingga kita ambil alih baru-baru ini. 

    Ya, memang diumumkan. Saya tengok fail, berapa keperluan, 8.3 bilion ringgit. Mana kelulusan? Tidak ada. Tapi dah umum, saya check fail, kebetulan saya Menteri Kewangan, bila nak luluskan? Belum!” 

    Adoiiii…Perdana Menteri kena semak fakta sebelum bercakap. 

    Semasa sambutan Hari Peneroka FELDA pada 7 Julai 2020, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan penubuhan sebuah Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu FELDA. Pasukan ini diketuai oleh Tan Sri Wahid Omar. 

    Laporan pasukan ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Oktober 2020. Laporan antara lain menyentuh perancangan pemulihan FELDA termasuk pembelian saham FGV dan pengukuhan kewangan FELDA. Penghapusan hutang peneroka turut disentuh. 

    Cadangan peruntukan RM9.9 billion melalui penerbitan sukuk untuk pemulihan FELDA telah diluluskan oleh Jemaah Menteri. Penerbitan sukuk dibuat secara berperingkat antara tahun 2021 hingga 2026. Rentetan itu, urusan berkaitan pemulihan dan penghapusan hutang peneroka telah dimulakan. 

    Pada Hari Peneroka FELDA 7 Julai 2021, Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan secara rasminya bahawa sejumlah RM8.3 billion hutang peneroka akan dihapuskan. 

    Kemudiannya pada 24 Februari 2023,  Pengerusi FELDA, Tan Sri Idris Jusoh, dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 billion “telah pun selesai dilaksanakan pada tahun 2021”. 

    Kalau tanya peneroka pun, mereka sendiri tahu bahawa penghapusan hutang ini telah pun dibuat di bawah Projek Wajar. Jumlah bayaran balik yang perlu dibuat mereka adalah jauh lebih rendah selepas penghapusan hutang berbanding sebelumnya. 

    Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum bercakap, semaklah fakta. Perkara ini bukan berstatus ‘Sulit’ atau ‘Rahsia’ lagi, telah beberapa kali dijawab di Parlimen dan berita berkenaan juga disiarkan kepada umum.

    Tak larat juga saya kalau  lepas Perdana Menteri cakap saya nak kena betulkan fakta. Penat woooo….

    *Datuk Dr. Radzi Jidin adalah Ahli Parlimen Putrajaya dan bekas Menteri Pendidikan

  • Pas kecam kenyataan Guan Eng, gesa polis ambil tindakan

    Pas kecam kenyataan Guan Eng, gesa polis ambil tindakan

    PAS mengecam tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang didakwa membuat ucapan menyatakan Perikatan Nasional akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, Pas meminta Kementerian Komunikasi dan Multi mengambil tindakan undoing-undang ke atas pemimpin utama DAP itu.

    Berikutan kenyataan penuh beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut:

    Pas melahirkan rasa kecewa atas ucapan Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Lim Guan Eng yang mendakwa Perikatan Nasional akan memusnahkan tokong jika berjaya memerintah Pulau Pinang.

    Fitnah dan kenyataan yang bersifat ekstrem ini adalah bukti kepada wajah sebenar pemimpin utama DAP yang sentiasa meniupkan api sentimen perkauman dan agama secara ekstrem sehingga mewujudkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat Malaysia.

    Kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini menunjukkan bahawa DAP yang terpaksa bekerjasama dengan UMNO dalam keadaan sangat terdesak dan ketandusan idea untuk berkempen dalam PRU Dewan Undangan Negeri akan datang.

    Pas mengutuk sekeras – kerasnya naratif Islamofobia yang dibawa oleh pemimpin utama DAP ini. Kenyataan ini ternyata membenarkan dakwaan pelbagai pihak bahawa selama ini DAP adalah penyambung lidah rasmi kepada gerakan Islamofobia yang memusuhi Islam di seluruh dunia.

    Insiden ini jelas memberi indikasi bahawa ideologi serta agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa oleh DAP adalah tidak bersesuaian dengan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

    Pas memohon agar pihak Kementerian Komunikasi dan Digital mengambil tindakan undang-undang tegas dan segera ke atas pemimpin utama DAP yang secara jelas memainkan sentimen 3R secara ekstrem ini.

    Pas menyeru kepada umat Islam di seluruh negara untuk tampil membuat laporan polis ke atas ucapan pemimpin utama DAP yang secara jelas menghina keadilan Islam secara terbuka demi kepentingan politik DAP. Pas yakin pihak PDRM dan kementerian yang berwajib akan bersikap adil “without fear and favour” lebih-lebih lagi dalam isu yang melibatkan 3R ekstrem seperti ini.

  • Pelupusan hutang peneroka : Siapa betul Anwar atau Muhyiddin?

    Pelupusan hutang peneroka : Siapa betul Anwar atau Muhyiddin?

    PERDANA Menteri, Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya yang mendakwa bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah melaksanakan langkah untuk melupuskan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

    Anwar berkata memang terdapat persetujuan untuk memansuhkan hutang peneroka Felda, tetapi peruntukan itu tidak dibentangkan dalam Belanjawan negara pada 2021 dan 2022.

    Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Facebook bekas Perdana Menteri itu  menyifatkan Anwar berbohong apabila menuduh beliau  tidak melaksanakan  pelupusan hutang peneroka Felda.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

    ‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka FELDA telah dilaksanakan pada tahun 2021.

    ‘’Susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda  telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021,’’ katanya.

    Berikutan disiarkan semula berita kenyataan Idris pada 24 Februari 2023:

    KUALA LUMPUR : FELDA menjelaskan pelupusan hutang peneroka untuk kali kedua tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri akan memberi kesan besar kepada aliran tunai.

    Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh, berkata ini berikutan FELDA sebelum ini, sudah melaksanakan  sebahagian hutang peneroka FELDA bernilai RM8.3 bilion, berbanding jumlah keseluruhan RM12.1 bilion, pada 2021.

    Beliau berkata, keputusan pelupusan sebahagian hutang peneroka itu tidak pernah dibatalkan mana-mana kerajaan, termasuk Kerajaan Perpaduan.

    Rentetan itu, katanya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang itu sudah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar. Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang terbabit, demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan FELDA terus menjaga kebajikan warga peneroka.

    “Kerajaan melalui FELDA, komited membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif, bagi meningkatkan pendapatan peneroka serta memastikan hutang mereka tidak terus meningkat. Komitmen ini terbukti apabila purata produktiviti ladang peneroka meningkat hingga 19.43 tan perhektar setahun pada 2022, berbanding 17.29 tan perhektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus, sekali gus mampu memberi pulangan pendapatan lebih tinggi kepada warga peneroka FELDA,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

    Beliau mengulas laporan pelupusan hutang FELDA berpandukan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, bagi soalan Ahli Parlimen Kuala Krau, Kamal Ashaari di Dewan Rakyat, baru-baru ini. (Berita Harian 24 Februari 2023).

  • PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    PRN: DAP pertahan kesemua kerusi DUN disandang

    DAP akan mempertahankan kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata Setiausaha Agung parti Anthony Loke.

    Loke  yang juga Menteri Pengangkutan berkata secara umumnya jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi DAP tidak berubah.

    “Jumlah kerusi (DAP bertanding) memang tidak berubah (besar), kita hanya bertanding di kerusi yang kita telah menang. DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang dalam PRN nanti. Mengenai jumlah kerusi keseluruhannya, saya belum kira lagi, tetapi di Pulau Pinang ada 19 kerusi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau hari ini, lapor Bernama.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DAP menang 48 kerusi DUN dengan 19 kerusi di Pulau Pinang, Selangor (16), Kedah (2) dan Negeri Sembilan (11).

    Sementara itu, Loke berkata ketika ini DAP Pusat masih belum menerima senarai calon daripada pimpinan negeri. 

    Katanya, kesemua isu berkaitan PRN seperti nama calon dan juga soal agihan kerusi akan diumumkan sebelum hari penamaan calon iaitu 29 Julai.

    ”Soal calon akan diumumkan kelak, senarai calon belum ada dan kami belum terima (nama calon) dari peringkat negeri lagi, mungkin mereka akan serahkan dalam masa terdekat atau sebelum penamaan calon,” katanya.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu, telah menetapkan PRN di Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijalankan serentak pada 12 Ogos manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

  • Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Kanak-kanak terlepas dari pegangan bapa maut dibawa arus sungai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut setelah dibawa arus Sungai Pedati, di Baling, Kedah akibat terlepas dari pegangan bapanya yang tergelincir.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, mayat mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq ditemukan di Kampung Sungai Limau kira-kira sejam selepas kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.50 pagi tadi.

    Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipegang bapanya, Mohamad Afiq Kasim, 30, ketika mereka sekeluarga berkelah di lokasi berkenaan bersama beberapa kenalan lain.

    “Bapa mangsa dikatakan tergelincir menyebabkan kanak-kanak tersebut terlepas dari pegangannya. Disebabkan itu, mangsa terus dibawa arus sungai berkenaan. Jasad mangsa kemudiannya ditemukan kira-kira pukul 12.45 petang di Kampung Sungai Limau. Dia bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

    Difahamkan mangsa merupakan anak sulung kepada sebuah keluarga yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dan jenazahnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

  • Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    Dakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong: Ketua Pemuda UMNO mahu Guan Eng disiasat

    PERGERAKAN Pemuda UMNO hari ini meminta polis menyiasat kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa ‘gelombang hijau’ akan musnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

    Ketuanya , Dr Akmal Saleh berkata, tindakan itu sebagai amaran keras kepada semua tanpa mengira parti supaya tidak sesekali mempermainkan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.

    “Bila kita minta jangan mainkan isu 3R, bukan hanya kepada pembangkang, tetapi juga kepada pihak kerajaan. Maka tuduhan seperti ini (kenyataan Guan Eng) sangat-sangat tidak diperlukan oleh rakyat Malaysia. Saya mohon kenyataan ini disiasat oleh pihak polis,” katanya dalam hantaran di Facebook

    Sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

    Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

    Dr.Muhammad Akmal menegaskan, rakyat negara ini mahukan politik yang progresif dan matang serta berbahas dengan idea, bukan sentimen yang memecahkan.

    ” Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain dan itu adalah fakta,” katanya.

  • Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    Hutang peneroka : Anwar suka berbohong tak layak jadi PM – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menuduh beliau  tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda sebagai satu pembohongan besar.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri. 

    ‘’Hal ini disahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Februari 2023 di mana pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada tahun 2021. Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felduhyia,   kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

    Semalam, ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

    Sebaliknya, kata Anwar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

    Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, susulan itu, Tan Sri Idris Jusoh yang ketika itu Pengerusi Felda  telah membuat kenyataan pada 24 Februari 2023 bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

    ‘’Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar Ibrahim. Dengan pembohongan yang terbaharu ini, semakin jelas Anwar Ibrahim bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi Perdana Menteri,’’ katanya.

  • PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PRN : Calon Pas tetap kena bai’ah tetapi bukan sumpah taklik cerai – Hashim

    PAS akan meneruskan amalan bai’ah dalam kalangan calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan , tetapi kali ini mungkin tidak serumit seperti sumpah taklik cerai talak tiga yang pernah berlaku di Kelantan sebelum ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata bai’ah wajib bagi setiap calon Pas sebelum bertanding namun kemungkinan kepimpinan akan mengubah dan menambah kandungan tertentu.

    “Jika dilihat situasi semasa juga sudah agak berbeza berbanding dulu yang mana ahli sangat setia dan walak kepada parti. Pada satu situasi, semasa di Kelantan dulu (Pilihan Raya Umum pada 2004) kita hanya ada kelebihan satu kerusi yang memerlukan bai’ah seperti sumpah taklik cerai talak tiga itu, namun situasi sekarang sudah berbeza,” katanya lapor Berita Harian.

    Katanya, berkemungkinan bai’ah bagi calon Pas pada PRN kali ini adalah selaras di setiap negeri.

    Menjadi amalan bagi setiap calon Pas yang dipilih bertanding akan berbai’ah yang mana sekiranya calon meninggalkan atau lompat ke parti lain dengan keredaan sendiri selepas menang atau dilantik senator maka dia akan dilaknat oleh Allah, rasul serta orang beriman serta segala perbelanjaan menggunakan wang elaun dewan adalah haram.

    Selain itu, calon juga bersumpah meletak jawatan apabila keluar atau dipecat oleh parti.

    Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah memaklumkan bahawa bai’ah itu adalah sebagai janji setia terhadap parti dan bersumpah dengan nama Allah SWT untuk tidak menyeleweng dan mengkhianati amanah apabila menjadi pemimpin.

    Bai’ah cerai talak tiga pernah dilaksanakan di Kelantan apabila Pas berada dalam keadaan genting sehingga memaksa Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat memasukkan kandungan sumpah boleh gugur talak tiga ke atas isteri calon PAS bagi memastikan mereka yang menang tidak mengkhianati parti.

    Menjelang PRU tahun lalu, Abdul Hadi pernah menyatakan bahawa amalan bai’ah hanya diamalkan dalam Pas dan tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

  • Tiada elemen rasuah dalam kes kekecohan di KLIA 

    Tiada elemen rasuah dalam kes kekecohan di KLIA 

    TIADA elemen rasuah ditemui dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung insiden membabitkan seorang menteri di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 29 Jun lalu.

     Sumber berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.

    Sumber itu memberitahu, kekecohan berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong dengan “orang tengah” atau “ejen” yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

    Mereka yang terkandas dihubungi ejen menggunakan WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi.

    “Semakan di WeChat ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

    “Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen) telah menimbulkan salah faham konon berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini,” kata sumber itu, lapor Utusan Malaysia.

    Minggu lalu sebuah portal berita melaporkan kekecohan di KLIA melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, didakwa cuba “menyelamatkan” seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukannya ke negara ini sejurus tiba.

    Kejadian itu turut tular di media sosial apabila Tiong didakwa masuk ke ruang balai ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

    Tiong kemudian mendakwa wujud budaya rasuah membabitkan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa “kronik” di pintu masuk negara.

    Katanya, wanita itu memaklumkan ada pegawai bertanya “bila wang mahu dibayar” merujuk kepada sogokan.

    Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu turut mendakwa ada pegawai meminta sekurang-kurangnya RM3,000 untuk dikeluarkan daripada tahanan, RM3,000 lagi jika ingin masuk semula, selain RM12,000 bagi kos memproses visa.

    Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata individu diambil keterangan termasuk seorang menteri, lapan kakitangan imigresen serta wanita warga China bersama rakannya.

    Azam turut memaklumkan wanita China dikaitkan dalam kekecohan itu bersama seorang rakannya sudah pulang ke negara asal pada 5 Julai.