Category: Semasa

  • Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    SEORANG murid perempuan Tahun Lima lebam lengan kiri serta bengkak pipi selepas dipukul guru wanita ketika sesi pembelajaran dalam kelas di sebuah sekolah rendah, Kulim, semalam.

    Murid berkenaan dipukul kerana menghilangkan buku matematik sebelum kejadian itu ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 5 petang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

    Harian Metro melaporkan, menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu mengetahui perkara berkenaan daripada nenek mangsa yang menghubungi dan memaklumkan kejadian menimpa murid terbabit.

    “Mendengarkan anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul guru, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Kulim.

    “Setakat ini, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipukul gurunya kerana dia menghilangkan buku matematik,” katanya.

    Sehingga kini katanya, siasatan menyeluruh sedang serta masih dijalankan termasuk akan mengambil keterangan daripada guru wanita berusia 40-an yang didakwa memukul mangsa itu.

    “Selain itu, kita juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada pegawai perhubungan serta pihak sekolah itu sendiri bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Negara minoriti Islam perlu contohi Malaysia – Idris

    Negara minoriti Islam perlu contohi Malaysia – Idris

    AMALAN toleransi dan muhibah yang telah dipraktikkan dan dilaksanakan di Malaysia mampu menjadi panduan kepada dunia Islam ketika ini dalam proses menyatupadukan ummah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, sudah tiba masanya untuk negara dengan penduduk minoriti beragama Islam mencontohi Malaysia untuk hidup aman damai bersama kaum muhibah dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

    Menurut beliau, hal ini kerana lazimnya, negara yang mempunyai penduduk dengan majoriti beragama Islam mampu bertoleransi dengan kaum lain dengan perkara sebaliknya berlaku dalam negara yang mempunyai penduduk yang minoritinya beragama Islam.

    “Asas yang telah kita bina di Malaysia, diharapkan negara lain juga boleh ikut termasuklah dalam kalangan negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam supaya mereka juga boleh meniru bagaimana sikap toleransi dan harmoni yang wujud.

    “Malahan, apabila kita telah meletakkan konsep Keluarga Malaysia, keluarga sejahtera yang menggambarkan realiti yang kita ada di negara kita sekarang,” kata Idris selepas berakhirnya persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 hingga 9 Mei lalu, lapor Satu Berita, hari ini.

    Tambah beliau, konsep yang telah lama diamalkan di Malaysia, iaitu melaksanakan dan menterjemahkan fiqh al-Ta’ayush dengan meletakkan tiga prinsip utama dalam membina hubungan persaudaraan yang baik terhadap semua lapisan masyarakat.

    Idris juga melihat persidangan julung kali diadakan itu berjaya dengan menghimpunkan idea melalui perbincangan yang dijalankan bersama 105 buah negara, melibatkan 500 perwakilan dalam mendepani cabaran dalam menyatukan ummah.

    Katanya, Emiriah Arab Bersatu juga menzahirkan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai hos untuk penganjuran edisi berikutnya namun, perkara itu masih di peringkat awal perbincangan.

    “Setakat hari ini, kita akan bincang dulu kerana perkara itu membabitkan soal polisi dan sebagainya. Munkin perkara itu boleh dibawa… kita boleh bincang dengan negara penganjur ini untuk kemungkinan mengadakan kerjasama dan sebagainya,” katanya.

    Sempena penutupan persidangan itu, lima resolusi berjaya dicapai antaranya adalah kepentingan penggunaan media tradisional dan baharu dalam membentuk kesedaran kolektif umat Islam bagi dalam semua komuniti dan bahasa bagi membolehkan mereka memahami topik utama yang membimbangkan umat Islam hari ini.

    Bertemakan Perpaduan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran, persidangan itu menghimpunkan tokoh Islam sedunia yang dirasmikan Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan.

  • Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    SEORANG lelaki yang dijumpai terbaring di tepi jalan di Taman Tenaga, Cheras dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan klip video keadaannya itu tular di media sosial hari ini, dipercayai dipukul dan disamun.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, isteri lelaki itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian, dan lelaki itu kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur.

    “Berdasarkan siasatan awal kita percaya lelaki itu dipukul dan disamun oleh dua lelaki warganegara tempatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata polis percaya dua lelaki dilihat menaiki motosikal, yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular itu, adalah suspek utama kejadian.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan. Sekiranya terdapat sebarang maklumat, sila hubungi Hotline Polis Cheras dengan menelefon 03-9284 5050/ 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

  • Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas meninggalkan kereta jenis Perodua Kancil di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan terjatuh ke laut dalam kejadian awal pagi tadi.

    Mangsa disyaki lelaki, Lau Choon Chye, berusia 66 tahun itu dipercayai berasal dari Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung kejadian individu dipercayai terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala ke pulau pukul 7.07 pagi tadi.

    Jelasnya, maklumat kejadian disalurkan terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

    Dalam masa sama ujar beliau, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

    Maritim mengarahkan bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian

    “Operasi CARILAMAT yang diaktifkan pukul 8 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.

    Tambahnya, kes individu terjun dari jambatan itu adalah yang keempat direkodkan untuk awal bulan Mei ini sahaja dan yang kelapan secara keseluruhan dari awal Januari lalu.

    “Dalam pada itu, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. 

  • 8,207 karton rokok seludup dirampas

    8,207 karton rokok seludup dirampas

    KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah rumah di Kepong Baru, Kuala Lumpur sebagai tempat menyimpan rokok seludup terbongkar apabila diserbu pukul 11 pagi semalam.

    Menerusi serbuan itu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 8,207 karton rokok pelbagai jenama disyaki tanpa cukai.

    Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 55 tahun.

    “Kita merampas sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai.

    “Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Zulkifli berkata, sindiket pengedaran rokok tidak bercukai itu menyewa kediaman untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Dua laporan kes buli doktor pelatih diterima

    Dua laporan kes buli doktor pelatih diterima

    PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan memaklumkan, terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih (HO) dibuli di dua buah hospital di Negeri Sembilan.

    “Kedua-dua kes tersebut dilaporkan berlaku pada Mac dan April lalu. Seorang HO memberitahu telah terima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana alami tekanan emosi.

    “Seorang lagi HO mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka,” kata Veerapan memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah diminta melakukan siasatan lanjut dan jika benar wujud elemen buli terhadap kedua-dua HO terbabit tindakan boleh diambil.

    Beliau tidak menolak kemungkinan ada lagi kes terbabit yang tidak dilaporkan.

    “Sehubungan itu mana-mana doktor pelatih yang merasakan mereka menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada pihak sepatutnya supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.

    “Tidak sepatutnya budaya buli wujud dalam bidang perubatan kita dan mengajar atau melatih bukan lesen untuk membuli, mereka sepatutnya bersikap lebih profesional,” katanya.

    Sehubungan itu beliau mencadangkan satu badan bebas diwujudkan di setiap hospital khusus bagi membuat penilaian terhadap HO sekali gus dapat mengelakkan konflik.

    Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan berkenaan juga akan menyiasat dakwaan berlakunya budaya buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di dalam hospital.

  • 80,000 terjejas ban MADA pecah

    80,000 terjejas ban MADA pecah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 80,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di Kedah mengalami masalah gangguan bekalan air berikutan insiden runtuhan ban kanan Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pokok Sena, semalam.

    SADA menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu memaksa pihaknya menghentikan tugas empat loji rawatan air (LRA) di kawasan berhampiran iaitu LRA Bukit Pinang, Pokok Sena, Jenun Lama dan Jenun Baru.

    Katanya, gangguan bekalan itu bermula kira-kira pukul 4.15 petang semalam.

    “Henti tugas empat LRA ini akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah tersebut.

    “MADA kini sedang giat mengambil langkah proakti bagi mengatasi isu ini dengan segera,” katanya.

    Tambah kenyataan itu lagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat telah diaktifkan serta merta dengan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain selain platform sedia ada iaitu pusat informasi SADA (SIC) di talian ‘hotline’ 1300 88 0017.

    “SADA memahami kesukaran dihadapi pengguna akibat gangguan bekalan air itu dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

    “Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook SADA dan laman sesawang www.sada.com.my,” katanya.

  • ‘’Tuduhan liar untuk pecah belahkan UMNO Melaka’’ – Ab.Rauf

    ‘’Tuduhan liar untuk pecah belahkan UMNO Melaka’’ – Ab.Rauf

    KETUA UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan tiada dalam pengetahuan beliau sama ada secara langsung atau tidak yang memaksa Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangani dokumen untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Sehubungan itu beliau menyifatkan, dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara itu sebagai tuduhan liar yang bertujuan memecahbelahkan UMNO Melaka yang  sedang bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Beliau yang juga Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Negeri menegaskan, tidak wajar  untuk beliau serta pemimpin UMNO lain tidak menghormati keputusan pucuk kepimpinan parti sejajar janji dalam manifesto dibuat pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, tahun lalu.

    Ab Rauf menasihatkan semua pemimpin UMNO negeri yang pernah membangkitkan isu berkenaan tanpa bukti dan asas kukuh supaya menghentikannya bagi memberi fokus kepada usaha membangunkan Melaka.

    “Selaku Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, tidak berada dalam satu keadaan untuk memaksa Ketua Menteri meletakkan jawatan, untuk apa memaksa beliau (Sulaiman) kerana tiada arahan atau keputusan daripada pucuk kepimpinan parti untuk melakukannya./

    “Saya bersama Sulaiman dan semua jentera negeri berada dalam keadaan harmoni dalam menjalankan tugas membangunkan negeri, selaras dengan misi manifesto yang sudah kita buat,” katanya lapor Berita Harian.

    ADUN Tanjung Bidara itu turut mengingatkan semua pihak tidak membuat tuduhan liar yang boleh mengeruhkan suasana untuk menghadapi PRU15 kelak.

    Semalam, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Rospandi Leman, dilapor tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Sulaiman menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

    Kenyataan itu susulan dakwaan dimuat naik di sebuah akaun Facebook kononnya Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

    Kelmarin, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Mohamad Ali Mohamad, menafikan khabar angin mendakwa Sulaiman dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai ketua menteri serta menganggap ia sebagai fitnah dan tidak berasas.

    Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka ke-13 pada 21 Nov tahun lalu selepas Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka.

  • Remaja lelaki ditahan tipu sewa tapak bazar Ramadan, Festival Aidilfitri

    Remaja lelaki ditahan tipu sewa tapak bazar Ramadan, Festival Aidilfitri

    POLIS menahan seorang remaja lelaki yang disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil, di Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras selepas keluarganya menyerahkan remaja berkenaan kepada polis di Balai Polis Gemas, Negeri Sembilan.

    Beliau berkata suspek dipercayai telah memperdayakan lima mangsa setakat ini melalui pengiklanan sewaan tapak itu di media sosial sehingga melibatkan kerugian berjumlah RM11,300.

    “Pada 30 Mac hingga 14 April lepas, JSJK menerima enam laporan polis berkenaan penipuan dalam urusan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil. Dalam kes ini, mangsa dijanji akan memperolehi tapak dengan bayaran pendahuluan RM1,500 hingga RM2,700.

    “Kesemua mereka menyedari ditipu selepas penganjur bazar itu mengesahkan bahawa Program Bazar Ramadan serta Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan, dan mereka tidak menerima wang pendahuluan oleh mangsa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mohd Mahidisham berkata pemuda yang ditahan merupakan suspek utama dan pemilik akaun bank yang menerima transaksi pemindahan wang pendahuluan dalam kes ini.

    “Suspek direman hingga 10 Mei untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

    Beliau seterusnya menasihati orang ramai yang ditipu berkaitan sewaan Tapak Bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil supaya tampil membuat laporan atau menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Cheras ASP G. Janarthanan Nair dengan menelefon 012-5734374.

    — BERNAMA

  • Pencemaran Sungai Skudai tidak jejas kualiti LRA

    Pencemaran Sungai Skudai tidak jejas kualiti LRA

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEADAAN pencemaran Sungai Skudai, Johor Bahru yang tular sejak beberapa hari lalu akibat kewujudan buih putih tidak menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail dan kini dilaporkan berada pada paras normal.

    Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor segera melakukan pemantauan di sekitar kawasan sungai yang didakwa mengalami pencemaran itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, siasatan sudah dilakukan susulan aduan pencemaran sungai berkenaan yang berbuih berwarna putih.

    “Saya selaku Exco bertanggungjawab telah turun sendiri bersama pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk menjalankan siasatan.

    “Hasil siasatan yang dilakukan mendapati tiada lagi tompokan buih yang dikesan di lokasi berkenaan iaitu di kawasan Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu, beliau berkata, persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail turut mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH adalah 7.

    Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan permukaan sungai berkenaan dipenuhi buih putih mulai tular dalam Facebook sejak semalam.

    Raven Kumar meninjau keadaan sungai Skudai yang dicemari dengan tompok putih sebelum ini dan keadaan itu tular dalam media sosial

    Sementara itu, Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menerusi JAS Johor akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca pencemaran yang berlaku.

    “Usaha itu melibatkan pemantauan terutamanya di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran sungai berbuih berlaku,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihak JAS sudah melakukan pemantauan dan anggota penguat kuasa jabatan itu berada di kawasan terbabit bagi mencari punca.

    “Saya juga telah menyelusuri kawasan sungai berkenaan namun buih putih sudah tidak sebanyak seperti di dalam video yang tular,” katanya.

    Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa pula berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.