Category: Semasa

  • Kes polis iringi anak MP: Hasil siasatan diumum dalam masa terdekat – Hamzah

    Kes polis iringi anak MP: Hasil siasatan diumum dalam masa terdekat – Hamzah

    HASIL siasatan dalaman terhadap polis pengiring yang terlibat dalam klip video yang mengiringi anak kepada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim akan diumumkan dalam masa terdekat.

    Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, anggota polis yang terlibat akan diambil tindakan sekiranya didapati melakukan kesalahan.

    “Sebenarnya kita tak akan membenarkan sesiapa yang tidak ada dalam senarai itu mendapat facilities (kemudahan) yang sebegitu rupa, ianya perlu mendapat persetujuan daripada ketua polis negara sendiri.

    “Waktu ini, kita telahpun jalankan siasatan dalaman dan kita akan umumkan dalam sehari, dua kesalahan yang telah mereka lakukan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur hari ini, lapor MalaysiaKini.

  • Tentera Israel bunuh wartawan Al-Jazeera

    Tentera Israel bunuh wartawan Al-Jazeera

    SEORANG wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh mati ditembak tentera Israel, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

    Shireen dilaporkan terkena peluru hidup pada Rabu ketika sedang membuat liputan serangan Israel di bandar Jenin dan dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, menurut kementerian dan laporan Al Jazeera.

    Dia disahkan meninggal dunia di hospital.

     Video kejadian menunjukkan Shireen ditembak di kepala, kata Nida Ibrahim dari Al Jazeera.

    “Apa yang kita tahu buat masa ini ialah Kementerian Kesihatan Palestin telah mengumumkan kematiannya. Shireen Abu Akleh sedang membuat liputan serangan yang berlaku di Jenin, yang terletak di utara Tebing Barat, apabila dia terkena tembakan di kepala,” kata Ibrahim, bercakap dari bandar Ramallah, Palestin.

     Ibrahim menggambarkan Shireen sebagai seorang wartawan yang sangat dihormati dan telah bekerja dengan Al Jazeera sejak permulaan perjuangan Intifada Palestin sekitar tahun 2000.

    Shireen juga dilaporkan memakai press vest ketika ditembak.

    Turut menjadi mangsa ialah seorang lagi wartawan Palestin, kata jurucakap Kementerian Kesihatan.

    Ali Samoudi, yang bekerja untuk akhbar Quds yang berpangkalan di Baitulmaqdis, dilaporkan dalam keadaan stabil.

  • Polis berkas pekerja syarikat kurier buli lelaki OKU

    Polis berkas pekerja syarikat kurier buli lelaki OKU

    POLIS menahan seorang pekerja syarikat perkhidmatan kurier semalam kerana membuli Orang Kurang Upaya (OKU) susulan video kejadian itu tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang berusia 24 tahun diberkasn selepas laporan dibuat terhadapnya selepas video berkenaan tersebar.

    “Dalam video tersebut, suspek dilihat menakutkan mangsa lelaki berusia 40 tahun terbabit menggunakan mercun dan objek tumpul.

    “Suspek berjaya ditangkap dan kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Sekyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ke atas mangsa dengan menggunakan objek.

    “Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda,” katanya dalam sidang media berhubung tangkapan tersebut, hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Tambahnya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana membabitkan bahan letupan iaitu mercun.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda.

    “Suspek juga telah diarahkan menjalankan saringan awal air kencing dan hasil ujian mendapati dia negatif dadah,” katanya.

    Selain itu, polis juga telah mengenal pasti individu yang merakamkan kejadian tersebut.

    “Si perakam juga sudah dikenal pasti dan dia akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

    Bercakap mengenal motif kejadian, Ahsmon memberitahu siasatan awal polis mendapati kes adalah lebih kepada suspek yang bertindak membuli mangsa dan tiada unsur dendam atau lain-lain.

    “Justeru kita mohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kes ini adalah kes terpencil,” katanya lagi.

  • Remaja 13 tahun maut, seorang lagi parah dalam kemalangan

    Remaja 13 tahun maut, seorang lagi parah dalam kemalangan

    SEORANG pelajar lelaki berusia 13 tahun maut manakala seorang lagi yang berusia 14 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, awal pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa yang maut merupakan pelajar Tingkatan Satu dan seorang lagi mangsa patah kaki kanan serta cedera di bahagian badan.

    Beliau memberitahu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

    “Polis menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah malam. Siasatan mendapati kemalangan berlaku membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi pelajar berusia 13 dan 14 tahun.

    “Ketika kejadian, pelajar berusia 13 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM warna biru sedang dalam perjalanan dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas.

    “Apabila sampai di lokasi kejadian motosikal terbabit telah memotong sebuah kereta di hadapannya lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi pelajar berusia 14 tahun dari arah bertentangan” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, kedua-dua motosikal yang ditunggangi pelajar berkenaan adalah milik bapa mereka.

    Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Polis lepas tembakan, dua pengedar dadah dicekup

    Polis lepas tembakan, dua pengedar dadah dicekup

    DUA pengedar dadah yang cuba merempuh kereta polis semasa cuba melarikan diri berjaya diberkas dalam kejadian di Kampung Limbawang, Beaufort.

    Kedua-dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun itu berjaya ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

    Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki berkata, kejadian itu berlaku semasa pemerhatian dijalankan di sebuah rumah tanpa nombor oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

    “Hasil pemerhatian, sebuah kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan rumah berkenaan.

    “Pasukan serbuan mendekati kereta itu dan mengarahkan pemandu (suspek) berhenti namun suspek bertindak agresif dan terus memandu laju ke arah pasukan serbuan sehingga hampir melanggar anggota polis.

    “Polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar bagi tujuan keselamatan diri dan untuk menghalang kereta berkenaan. Namun, kereta itu terus memecut laju menghala ke Jalan Melulugus,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, pasukan serbuan kemudian mengejar kereta berkenaan sehingga di Jalan Melulugus berhampiran sebuah kolej dan kereta berkenaan terbabas di tepi jalan yang sedang dinaiki air banjir.

    Tambahnya, kedua-dua suspek bertindak untuk melarikan diri namun berjaya diberkas.

    “Hasil pemeriksaan di dalam kereta dinaiki suspek menemukan satu paket plastik lutsinar sederhana besar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 6.11 gram di atas tempat duduk sebelah pemandu.

    “Kedua-dua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut dan suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Malaysia dijangka tarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS – Azmin

    Malaysia dijangka tarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari AS – Azmin

    MALAYSIA dijangka menarik pelaburan baharu bernilai RM14.62 bilion dari Amerika Syarikat (AS) dengan Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) yang diketuai Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Mohamed Azmin berkata banyak syarikat yang berpangkalan di AS menyatakan komitmen untuk mengembangkan operasi dan kehadiran mereka di Malaysia semasa TIM AS selama 10 hari yang bermula 8 Mei lepas.

    “Kita akan membuat beberapa pengumuman besar dalam beberapa hari akan datang dari segi jumlah pelaburan baharu yang datang daripada komitmen syarikat-syarikat ini,” katanya kepada pemberita di Washington DC, semalam.

    Setakat ini, beliau telah bertemu dengan beberapa syarikat teknologi tinggi seperti syarikat semikonduktor global, Texas Instruments Inc. dan pembekal bahan global untuk industri pemasangan elektronik dan pembungkusan semikonduktor, Indium Corporation.

    Selain itu, beliau juga dijadualkan untuk menghadiri pertemuan dengan lebih banyak peserta industri teknologi tinggi dalam rangka lawatan ke San Francisco, Seattle dan Los Angeles.

    Beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meneruskan misi perdagangan untuk menarik lebih banyak pelaburan, dan yakin pelaburan berkualiti tinggi akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk bakat Malaysia.

    Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Duta Perwakilan Perdagangan AS, Katherine Tai telah menyambut baik cadangan Malaysia bagi menggerakkan semula Perjanjian Rangka Kerja Pelaburan (TIFA).

    Kedua-dua negara diharap dapat memuktamadkan bagi pengaktifan perjanjian itu dalam tempoh terdekat, katanya.

    Beliau berkata Malaysia pada dasarnya terbuka untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu dengan AS, memandangkan perbincangan terakhir mengenai TIFA antara kedua-dua negara diadakan pada 2005, dan tiada perkembangan lanjut dicatatkan sejak itu walaupun kedua-dua negara cuba untuk meneliti dan menggerakkannya kembali pada 2017 namun tidak berjaya.

    “Tetapi sudah tentu, kita perlu melihat bagaimana TIFA boleh membantu kita dan mengurangkan cabaran global yang kita hadapi sekarang, seperti (untuk memastikan) daya tahan rantaian bekalan,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Tai semalam.

    Mengenai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang dicadangkan Presiden AS Joe Biden, yang dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala berasingan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo pada Selasa, Mohamed Azmin berkata Malaysia terbuka bagi perbincangan lanjut mengenai perkara itu.

    “Sebagai sebuah ekonomi kecil seperti Malaysia, kita terbuka untuk lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu, dan kita mahu memastikan semangat kepusatan ASEAN dihormati, dan memastikan semua negara anggota ASEAN membincangkan perkara itu secara menyeluruh,” katanya.

    Memorandum Kerjasama (MoC) bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan ditandatangani antara Mohamed Azmin dan Raimondo selepas mesyuarat dua hala itu.

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu juga berkata Tai and Raimondo telah bersetuju untuk meningkatkan perbincangan libat urus dan perundingan antara AS dan Malaysia bagi menangani isu berkaitan amalan perburuhan, tadbir urus selari dengan rangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dan piawaian antarabangsa yang pasti memberi kebaikan dan kelebihan kepada syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran global.

    Selepas mesyuarat dua hala itu, beliau dan Raimondo turut menjadi penganjur bersama sesi meja bulat dengan peserta industri semikonduktor terkemuka AS.

    Kedua-dua pemimpin itu akan memastikan daya tahan rantaian bekalan walaupun berlaku peningkatan permintaan bagi semikonduktor dalam sektor automotif, aeroangkasa dan peranti perubatan.

    “Syarikat-syarikat tersebut juga memberi jaminan kepada saya bahawa mereka akan terus bantu membangunkan ekosistem dengan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan vendor tempatan di Malaysia,” katanya. – Bernama

  • Sindiket PATI tunggu tengah malam masuk ke negara ini

    Sindiket PATI tunggu tengah malam masuk ke negara ini

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mengesan modus operandi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa masuk mereka masuk secara haram pada waktu tengah malam hingga awal pagi.

    Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, mereka menunggu untuk menceroboh perairan negara bermula pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi bagi mengaburi kegiatan itu daripada mudah dikesan pihak berkuasa.

    “Modus operandi sindiket itu dikesan hasil risikan, maklumat dan tangkapan yang dijalankan pihak maritim.

    “Mereka (sindiket) menggunakan bot pom-pom, bot pancung, bot nelayan tempatan atau bot barter trade.

    “Bot nelayan tempatan ini berperanan untuk melakukan pemindahan PATI di sempadan perairan negara sebelum dibawa masuk ke dalam negara,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, PATI yang mendarat kemudian akan menggunakan khidmat kenderaan e-hailing bagi urusan pengangkutan ke rumah penampungan atau ke lokasi tertentu.

    Katanya, Maritim Selangor mengenal pasti terdapat enam hotspot pendaratan PATI iaitu persisiran pantai Sabak Bernam, Sekinchan, Jeram, Pulau Carey, Morib dan Tanjung Rhu.

    “Ini berikutan hasil tangkapan 88 PATI bagi tempoh empat bulan pada tahun ini sehingga April.

    “PATI terdiri daripada 82 warga Indonesia dan enam Myanmar itu termasuk penahanan dua kanak-kanak,” ujarnya.

    Tegasnya, pihak Maritim mengingatkan agar jenayah ini dihentikan termasuklah kepada pemandu e-hailing agar tidak bersekongkol dengan sindiket kerana mengejar upah lumayan hingga sanggup menjadi pengkhianat negara.

    “Kita sentiasa pertingkat risikan dan sekiranya tertangkap, individu terlibat akan dikenakan hukuman berat.

    “Orang ramai juga disaran untuk salur maklumat dalam membantu penguat kuasa dalam usaha membenteras jenayah ini.

    “Jika terlihat atau pun mengetahui apa-apa aktiviti yang mencurigakan sila lapor kepada agensi penguat kuasa,” katanya.

  • PUSPAKOM Kota Bharu kecoh ular sawa dalam bahagian enjin kereta

    PUSPAKOM Kota Bharu kecoh ular sawa dalam bahagian enjin kereta

    SUASANA di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), di Kota Bharu sini gempar semalam apabila seekor ular sawa sepanjang kira-kira 2.5 meter dijumpai bersembunyi dalam bahagian enjin sebuah kereta yang mahu diperiksa di situ.

    Memetikan laporan Berita Harian, ular seberat hampir 70 kilogram (kg) itu ditemui melengkar di bahagian enjin kereta  ketika pemiliknya membuka bonet sebelum keadaan menjadi kecoh kerana orang ramai terkejut.

    Seorang ejen pemeriksaan kenderaan, Yuzaini Mohd Yusof, 48, berkata ular itu ditemui dalam enjin sebuah Proton Wira kira-kira jam 10 pagi.

    Katanya, beliau ketika itu berada di bahagian lain bagi menjalankan pemeriksaan sebuah lori yang dibawanya sebelum terdengar bunyi kecoh orang ramai di bahagian pemeriksaan kereta.

    “Saya dapat mengagak bahawa ada berkaitan dengan penemuan ular ketika pemeriksaan kenderaan kerana sepanjang 10 tahun menjadi ejen, sudah kerap berlaku kejadian itu di sini.

    “Semua yang ada di situ, tidak berani untuk mendekati kereta Proton Wira itu apalagi untuk cuba mengeluarkannya dan berbekalkan sedikit keberanian serta pengalaman, saya cuba menarik reptilia itu keluar,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.

    Yuzaini berkata, proses mengeluarkan ular sawa itu bukan mudah kerana ia enggan keluar dan bertindak balas agresif termasuk cuba mengeluarkan kepala dan cuba menggigit tangannya.

    Kata Yuzainiapabila usaha menarik keluar ular sawa itu gagal, dia cuba menolak haiwan itu dengan kayu agar keluar menerusi bawah kereta dan ia berjaya.

    Selepas 20 minit, ular sawa itu berjaya dikeluarkan dan dengan bantuan kakitangan PUSPAKOM, haiwan itu dialihkan ke tempat lain dan dilepaskan semula ke hutan oleh orang ramai.

  • Tarikh peperiksaan STPM dipinda-MPM

    Tarikh peperiksaan STPM dipinda-MPM

    MAJLIS Peperiksaan Malaysia (MPM) memaklumkan, tarikh peperiksaan Semester Tiga dan ulangan Semester Dua Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021 masing-masing dipinda kepada tarikh baharu.

    MPM memberitahu, tarikh asal Semester Tiga STPM iaitu 18, 19, 24, 25, 26 Mei dipinda kepada 25, 26 Mei dan 13, 14, 15 Jun 2022.

    Bagi peperiksaan ulangan Semester Dua STPM, tarikh asal adalah 13, 14, 15, 16 Jun dipinda kepada 16, 20, 21, 22 Jun 2022.

    Menurut MPM, kalendar Peperiksaan STPM Kohort 2021, Jadual Waktu Peperiksaan Semester Tiga STPM 2021 dan Jadual Waktu Peperiksaan ulangan Semester Dua

    STPM 2021 telah dikemas kini pada 9 Mei dan boleh dimuat turun melalui portal MPM di www.mpm.edu.my.

    “Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan ke Bahagian Pengendalian STPM dan MUET, MPM melalui e-mel [email protected] atau melalui telefon di talian 03-61261600 sambungan 1661/1662/1663/1664/1665,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

  • Mayat remaja ditemukan 100 km dari lokasi dilaporkan lemas

    Mayat remaja ditemukan 100 km dari lokasi dilaporkan lemas

    SEORANG remaja lelaki yang dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Kampung Durok Baru, Keningau pada Sabtu lalu ditemui terapung di Sungai Padas Kampung Labi Gadong, Beaufort, semalam.

    Mayat Al Sharil, 16, ditemui oleh orang awam kira-kira sejauh lebih 100 kilometer dari lokasi dia dilaporkan lemas.

    Pihak bomba menerima panggilan berhubung penemuan tersebut pada pukul 5 petang.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, susulan itu seramai empat anggota BBP Beaufort dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 15 kilometer dari balai.

    “Anggota bomba kemudian membantu mengangkat mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

    “Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Beaufort untuk tujuan pengecaman dan operasi ditamatkan pada jam 8.55 malam,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum itu, media melaporkan mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Pagalan bersama keluarganya di Kampung Baru Durok, Keningau.