Category: Semasa

  • Rumah dipecah masuk, ejen insurans rugi RM100,000

    Rumah dipecah masuk, ejen insurans rugi RM100,000

    SEORANG ejen insurans mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya di Bandar Baru Tambun di Ipoh dipecah masuk.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang daripada bercuti petang semalam.

    “Mangsa bersama ibu serta adik perempuan dan anaknya meninggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira 12.30 tengah hari Selasa lepas.

    “Bagaimanapun, semasa mangsa pulang ke rumahnya kira-kira 5 petang semalam mendapati pintu gelangsar dan jeriji dalam keadaan terbuka dan mempunyai kesan umpil serta kunci mangga juga telah dirosakkan di pintu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Anuar berkata, antara barangan yang hilang ialah cincin berlian, anting-anting berlian, jam tangan berjenama Rolex, wang tunai mata wang asing serta pasport antarabangsa milik pengadu dan anaknya dianggarkan kerugian bernilai RM100,500.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik polis menemukan sembilan kesan cap jari dan rumah ejen insurans tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.

    “Cap jari yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk tujuan perbandingan dan asid deoksiribonukleik (DNA),” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – BERNAMA

  • [VIDEO] 5 rentung dalam nahas kereta, treler di Lebuhraya Utara Selatan

    [VIDEO] 5 rentung dalam nahas kereta, treler di Lebuhraya Utara Selatan

    LIMA orang rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas terlibat dalam nahas dengan dua buah treler di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, selepas susur keluar Kuala Kangsar, awal pagi ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai nahas itu pada jam 12.52 pagi.

    Keadaan lori dan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi ini – GAMBAR Jabatan Bomba dan Penyelamat.

    Menurutnya, nahas melibatkan sebuah kereta dan dua treler yang membawa muatan besi dan mozek sehingga mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar 90 peratus.

    Memetik Astro Awani, jurucakap tersebut memberitahu, terdapat lima mangsa di dalam kereta dan disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital.

    Dua pemandu treler dan seorang kelindan tidak mengalami kecederaan.

    https://youtu.be/kXc3zcTnAJM

    Setakat ini identiti kesemua mangsa masih belum dikenal pasti.

  • Murid 7 tahun diculik lelaki pesakit psikiatri

    Murid 7 tahun diculik lelaki pesakit psikiatri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG murid Tahun Satu berdepan detik cemas apabila diculik seorang lelaki dengan menunggang motosikal di Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang, pagi tadi.

    Semasa kejadian tersebut, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu sedang berjalan kaki sebelum suspek datang dan mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum bertindak melarikannya.

    Difahamkan suspek kemudian berhenti di sebuah stesen minyak bersebelahan sebuah restoran makanan segera sebelum kanak-kanak itu menjerit meminta tolong orang ramai.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang lelaki membuat panggilan di Balai Polis Taman Scientex pada pukul 11.30 pagi memaklumkan suspek sudah ditahan orang awam di restoran makanan segera tersebut.

    “Sepasukan anggota cegah jenayah dari Balai Polis Taman Scientex bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek. Turut dirampas sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati suspek merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) pesakit mental dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methaphetamine.

    Menurutnya, suspek yang berusia 20-an juga masih dikehendaki polis di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh penjara sehingga tujuh tahun atau denda.

    Polis Johor menasihatkan ibu bapa, penjaga dan pelajar agar lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling supaya perkara sama tidak berulang pada masa depan.

    Hari ini penduduk Pasir Gudang digemparkan dengan kejadian tersebut selepas tular rakaman video dan gambar seorang lelaki yang memakai kemeja-T lengan panjang dan berseluar panjang berjalan sambil mendukung kanak-kanak berkenaan.

  • ‘Kenyataan saya benar, bukan fitnah Zahid’ – Muhyiddin

    ‘Kenyataan saya benar, bukan fitnah Zahid’ – Muhyiddin

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan beliau bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memintanya untuk campur tangan dalam kes jenayah bekas Timbalan Perdana Menteri itu di mahkamah adalah benar dan bukan memfitnah.

    Muhyiddin, 74, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 9 Mei, mendakwa kenyataan yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di Mersing di pekarangan Pusat Pembelajaran Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 pada 16 Februari lepas sebahagian besarnya dijustifikasikan sebagai benar dan merupakan komen adil serta berkepentingan awam.

    Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak mempunyai kawalan dan tidak bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan itu yang dibuat oleh Astro Awani di akaun YouTube serta KiniTV, Malaysiakini, Utusan Malaysia atau mana-mana portal berita dalam talian lain.

    “Saya menyatakan bahawa tiada sebarang niat jahat daripada pihak saya dalam menerbitkan pernyataan tersebut. Secara khususnya saya menafikan bahawa penerbitan tersebut telah dibuat bertujuan untuk merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum,” katanya.

    Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte supaya Muhyiddin selaku defendan, atau wakilnya, menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadap beliau.

    Ahmad Zahid, 69, juga memohon perintah injunksi sementara bagi menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluar, menerbit, mengedar atau menyebarkan kenyataan fitnah itu atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

    Turut diminta perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan agar memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang didakwa mengandungi fitnah di portal berita dalam talian serta media sosial antaranya di Facebook profil ‘Perikatan Nasional,’ YouTube Astro Awani dan KiniTV.

    Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan fitnah berkenaan.

    Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

    Beliau berkata, kenyataan fitnah itu adalah palsu serta bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya. Ahmad Zahid juga mendakwa kenyataan fitnah itu dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya berkaitan PRN Johor.

    Sementara itu, peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman, yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi berkata, pengurusan kes saman tersebut ditetapkan pada 25 Mei ini. – Bernama

  • Lelaki tertiarap tepi jalan sebenarnya sudah meninggal dunia

    Lelaki tertiarap tepi jalan sebenarnya sudah meninggal dunia

    SEORANG lelaki ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan di tepi jalan masuk ke kuari di Batu 11, Labu, Nilai tengah hari tadi.

    Lelaki berkenaan yang ditemukan tanpa baju pada mulanya disangka masih hidup.

    Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pihaknya menemui dokumen identiti milik lelaki berkenaan dan dipercayai warga Bangladesh.

    “Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan menemui mayat di tepi jalan dekat Batu 11.

    “Maklumat diterima mayat berkenaan tidak diketahui identiti sebelum sepasukan polis termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai bersama ambulans bergegas ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas mayat menemukan satu salinan dokumen warga Bangladesh yang disyaki milik si mati.

    “Tempat kejadian ialah jalan menuju ke kuari Batu 11 dan kawasan dikelilingi kebun kelapa sawit.

    “Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan di lokasi.

    “Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.

    Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di balai berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed di talian 013-6262415.

  • Lelaki Kemboja diperintah bela diri atas pertuduhan bunuh kanak-kanak, dua wanita

    Lelaki Kemboja diperintah bela diri atas pertuduhan bunuh kanak-kanak, dua wanita

    MAHKAMAH Rayuan hari ini memerintahkan seorang lelaki warga Kemboja membela diri atas tuduhan membunuh dua wanita dan seorang kanak-kanak, juga warga Kemboja, di ladang kelapa sawit di Selangor pada 2015.

    Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Usuf Matli, seorang penjaja atas pertuduhan membunuh.

    Dalam keputusan sebulat suara, Vazeer Alam berkata, hakim Mahkamah Tinggi tersilap apabila melepaskan dan membebaskan Usuf atas tuduhan membunuh Salamah Yusof, Fatimas Aly dan anak Fatimas, Asnawi Ahmad.

    Umur mereka tidak dapat ditentukan kerana mereka pemegang pasport Kemboja.

    Hakim itu berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Usuf, 37, selepas mempertimbangkan keterangan seorang kanak-kanak, bersama-sama saksi lain, kelakuan Usuf dan keterangan mengikut keadaan lain.

    Beliau berkata, bukti menunjukkan Usuf adalah orang terakhir yang dilihat bersama mangsa dan dia (Usuf) telah membawa polis ke tempat mayat mangsa ditemui.

    Beliau berkata, rayuan pihak pendakwaan mempunyai merit.

    Mahkamah memerintahkan Usuf membela diri di hadapan hakim perbicaraan yang sama dan menetapkan 18 Mei untuk pengurusan kes.

    Sementara itu, mahkamah turut menangguhkan rayuan Usuf terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh seorang lagi kanak-kanak, Rahimi Yusuf di tempat dan masa serta tarikh yang sama.

    Usuf didakwa membunuh keempat-empat individu itu di ladang kelapa sawit Felcra di Batu 7, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor pada 3 pagi, 6 September 2015 dan 7.25 malam pada 7 September 2015.

    Pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron merayu terhadap pembebasan Usuf pada akhir kes pendakwaan atas pembunuhan wanita dan kanak-kanak itu manakala Usuf merayu terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh Rahimi.

    Usuf diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Najiah Zaimah Aris dan Nabil Ashraff Ridzuan.

  • 1MDB mahu dapat semula wang dilaburkan di Bridge Global – Saksi

    1MDB mahu dapat semula wang dilaburkan di Bridge Global – Saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu mendapatkan semula US$2.3 (RM10.06) bilion yang dilaburkan di syarikat pelaburan Bridge Global Absolute Return Fund SPC.

    Bekas setiausaha syarikat 1MDB Goh Gaik Kim, 54, berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menghadiri mesyuarat pada 11 November 2013.

    Saksi pendakwaan ke-17 yang dirujuk dengan minit mesyuarat itu berkata, antara agenda yang dibincangkan adalah berkenaan arahan Ahli Lembaga Pengarah 1MDB supaya pelaburan di Bridge Global Absolute Return Fund SPC ditebus semula untuk dibawa balik ke Malaysia.

    “Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman telah berkata, pada masa ini tiada rancangan untuk melepaskan pegangan portfolio pelaburan. Beliau menambah dividen setengah tahun pertama kira-kira tiga peratus baru sahaja diterima.

    “KPMG Malaysia, firma audit 1MDB, juga telah meminta beberapa dokumen supaya dapat memastikan bahawa pelaburan Kumpulan 1MDB di dalam Bridge Global Absolute Return Fund SPC telah direkod pada nilai saksama,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

    Dalam prosiding sebelum ini, rakan kongsi urusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris berkata pihaknya tidak dapat menandatangani laporan audit penyata kewangan 1MDB bagi 2013 kerana 1MDB gagal memberi maklumat terperinci berkaitan pelaburan itu.

    Terdahulu, prosiding perbicaraan pada sebelah pagi ditangguhkan ke petang kerana bekas perdana menteri itu menghadiri upacara pengebumian bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Tan Sri Ab Aziz Kassim.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed supaya Najib dikecualikan daripada hadir pada prosiding sebelah pagi.

    Wan Aizuddin berkata, Najib dimaklumkan Ab Aziz meninggal dunia awal pagi tadi dan oleh kerana hubungan yang rapat antara kedua-dua mereka serta tempoh perkhidmatan yang lama, bekas perdana menteri itu memohon dikecualikan hadir pada perbicaraan pagi ini untuk menghadiri upacara pengebumian.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah berhubung permohonan itu.

    Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • Malaysia sapu bersih emas terjun

    Malaysia sapu bersih emas terjun

    MALAYSIA mengesahkan penguasaan dalam sukan terjun bagi temasya Sukan SEA Hanoi kali ini selepas menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan. 

    Ini selepas gandingan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg dan Nur Dhabitah Sabri mengungguli acara 10 meter platform wanita di Pusat Akuatik My Dinh, sebentar tadi. 

    Pandelela dan Nur Dhabitah menampilkan aksi mengagumkan apabila jauh meninggalkan peserta lain. 

    Pasangan terjun itu berjaya memperoleh 292.14 mata meninggalkan gandingan Singapura, Ong Rei En-Ong Sze En di tangga kedua dengan 225.42 mata selepas lima terjunan, lapor Satu Berita. 

    Pingat gangsa pula dimenangi penerjun Vietnam, Bui Thi Hong Giang-Mai Hong Hanh yang mencatatkan 185.25 mata. 

    Hanya tiga pasangan menyertai acara 10 meter platform wanita itu. 

    Kemenangan itu juga merupakan emas kedua peribadi Nur Dhabitah dalam Sukan SEA Hanoi kali ini. 

    Sebelum itu, kem terjun negara dihadiahkan dengan emas ketujuh yang juga kutipan kelapan keseluruhan buat kontinjen Malaysia menerusi Muhammad Syafiq Puteh dalam acara tiga meter papan anjal individu lelaki. 

    Muhammad Syafiq, 27, meraih pingat emas selepas mengumpul 381.35 mata menewaskan rakan senegara, Gabriel Gilbert Daim yang memperoleh perak dengan 357.30 mata. 

    Penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon pula terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi kutipan 340.35 mata. 

    Sebagai rekod, Malaysia menyapu bersih pingat emas acara terjun sejak edisi di Myanmar pada 2013 diikuti Singapura 2015 dan Filipina pada tahun 2019. 

    Skuad terjun hanya terlepas satu pingat emas semasa temasya Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017. 

  • Maritim tahan dua bot, 10 nelayan Vietnam di perairan Kemaman

    Maritim tahan dua bot, 10 nelayan Vietnam di perairan Kemaman

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kemaman menahan dua bot nelayan tempatan dan 10 nelayan Vietnam di kedudukan kira-kira 26 batu nautika timur laut perairan Kuala Kemaman, semalam.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, kedua-dua bot itu ditahan dalam rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Iman dan OP Naga Barat pada 1.50 tengah hari dan 2.35 petang semalam.

    Menurut beliau, kesemua 10 nelayan Vietnam termasuk tekong yang ditahan berumur 25 hingga 47 tahun.

    “Semasa diperiksa, tiga kru bersembunyi di bilik enjin, disyaki tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

    “Bot tersebut juga didapati tidak mempunyai alat pengesan vesel penangkapan ikan iaitu Mobile Transceiver Unit (MTU) Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Rashidilhadi selain bot, turut dirampas ialah diesel kira-kira 4,000 liter dan peralatan menangkap ikan.

    “Kesemua bot serta hasil rampasan bersama tekong dan kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk proses saringan Covid-19, sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” katanya.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

    Dalam pada itu, katanya Maritim akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan negara sentiasa terjaga. – Bernama

  • Pastikan kebajikan penumpang tidak terjejas menjelang cuti Wesak, Gawai – Nanta

    Pastikan kebajikan penumpang tidak terjejas menjelang cuti Wesak, Gawai – Nanta

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu kebajikan penumpang syarikat penerbangan AirAsia tidak lagi terjejas menjelang beberapa cuti umum tidak lama lagi seperti Hari Wesak yang disambut Ahad ini dan Hari Gawai bulan depan.

    Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau telah membangkitkan perkara itu semasa pasca libat urus KPDNHEP-AirAsia baru-baru ini.

    “Dalam isu tersebut KPDNHEP akan terus menjaga hak pengguna manakala selebihnya membabitkan operasi akan diselia mengikut bidang kuasa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Kementerian Pengangkutan. 

    “Langkah penyelesaian diambil AirAsia untuk mengurangkan gangguan operasi adalah melaksanakan penerbangan menyelamat (rescue flights) bagi penumpang yang terkandas contohnya KCH-KL (Kuching-Kuala Lumpur) atau MYY-KL (Miri-Kuala Lumpur),” katanya dalam hantaran di akaun Twitter hari ini.

    Menurut Nanta, jika Rapid Rail boleh memberikan kupon perjalanan sehala kepada penumpang terjejas ekoran satu insiden semalam, beliau percaya AirAsia juga perlu memikirkan kuantum yang sesuai untuk penumpang mereka. 

    Beliau berkata pengguna yang berhadapan dengan jadual penerbangan terjejas berhak membuat aduan rasmi kerana tanpa aduan gambaran sebenar kepuasan pelanggan tidak akan diperoleh. 

    Katanya sekiranya aduan dibuat dan mempunyai asas dan selari garis panduan Mavcom, AirAsia memaklumkan bahawa bentuk pampasan yang layak diperoleh pengguna adalah pertukaran penerbangan  (percuma), kredit untuk diguna kemudian, pulangan wang, penginapan hotel serta makanan dan minuman. 

    Nanta berkata setakat 9 Mei, jumlah aduan penumpang yang dihantar terus ke AirAsia dilihat hampir konsisten dan sekitar 60-80 aduan setiap bulan. 

    Sementara jumlah aduan penumpang AirAsia yang diterima menerusi Mavcom merekodkan trend penurunan bagi tempoh Januari-April, kata beliau.

    “Menurut AirAsia lebih 90 peratus aduan yang dikemukakan menerusi kedua-dua saluran (Mavcom dan terus ke AirAsia) sudah diselesaikan. Empat punca utama dikenal pasti oleh AirAsia yang menyumbang kepada kelewatan, penangguhan dan penjadualan semula penerbangan membabitkan pelbagai destinasi,” katanya. 

    Nanta berkata empat punca kelewatan penerbangan AirAsia adalah jumlah pesawat yang terhad, kekangan operasi dan kawal selia, isu teknikal yang turut terkait dengan ‘pintasan burung’ pada enjin pesawat serta panahan kilat terhadap pesawat dan keadaan cuaca. –Bernama