SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah flat di Taman Pantai Bersih di Butterworth, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.29 pagi sebelum pasukan BBP Butterworth dikejarkan ke tempat kejadian.
Jelasnya, kebakaran itu melibatkan bilik di sebuah rumah flat di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 20 peratus.
“Kebakaran sudah dipadamkan sebelum pasukan bomba tiba dan terdapat seorang mangsa yang berada di dalam bilik berkenaan telah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, proses ‘overhaul’ masih berlangsung sehingga pagi ini bagi memastikan tiada lagi risiko api menyala semula dan merebak ke tempat lain.
MANGSA yang didakwa dirogol namun tidak diberi bantuan segera di hospital awam di Sarawak menolak penilaian lanjut, menurut Jabatan Kesihatan Negeri.
Ini susulan dakwaan pengguna Twitter @serensespagetthi, seorang mangsa rogol tidak dibenarkan masuk ke pusat khidmat krisis sehenti (OSCC) sebuah hospital awam dan diberitahu untuk membuat laporan polis terlebih dahulu.
Selepas bertengkar dengan kakitangan hospital dan akhirnya dapat memasukkan mangsa ke OSCC, beliau mendakwa wanita itu tidak diperiksa, sebaliknya hanya diberi ubat perancang kecemasan dan antibiotik untuk penyakit kelamin yang mungkin terjangkit
Menurut The Borneo Post, Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr. Ooi Choo Huck, mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah hospital awam di Sarawak sekitar 10.30 malam Rabu lalu.
Bagaimanapun, Ooi berkata, kakitangan hospital memberikan mangsa perhatian dan rawatan sewajarnya di jabatan kecemasan, dan dia diperiksa secara menyeluruh.
“Wanita itu mula-mula disaring oleh kakitangan kesihatan yang bertugas dan diminta membuat laporan polis di pondok polis bersebelahan Jabatan Kecemasan. Bagaimanapun, selepas berbincang dengan doktor kecemasan yang bertugas, dia dihantar ke OSCC,” katanya.
Selepas diperiksa pegawai perubatan, beliau berkata, prosedur bagi kes sebegini dijelaskan kepada mangsa, termasuk kepentingan membuat laporan polis dan memberikan kebenaran bertulis untuk penilaian lanjut.
Ooi mendakwa, mangsa bagaimanapun enggan membuat laporan atau memberikan kebenaran untuk sebarang penilaian lanjut dijalankan ke atasnya, walaupun selepas dinasihati pegawai perubatan.
“Oleh sebab tiada kebenaran bertulis daripada pesakit terbabit, pemeriksaan lanjut tidak dapat dijalankan. Dia dinasihatkan agar kembali ke hospital untuk pemeriksaan jika berubah fikiran dalam tempoh 72 jam.”
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan Malaysia akan terlepas peluang memiliki pusat kargo terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak direalisasikan.
Muhammad Sanusi berkata, ini kerana pembangunan pusat penyedia perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) yang hampir sama kini dirancang untuk diwujudkan di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.
“Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa, jika ia tidak berlaku di Malaysia pada tahun-tahun ke depan ini, (maka) ia sedang bergerak ke Sumatera.
“Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera, kalau tak direbut (untuk) dibawa ke Kedah saya yakin satu pusat kargo terbesar di rantau Asia Pasifik akan berada di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah di Kedah Royal Club di Alor Setar, hari ini.
Program tersebut turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Muhammad Sanusi sebelum itu mengambil kesempatan menjelaskan sekali lagi tentang kepentingan pembinaan KXP kepada penduduk Kedah khususnya.
“Kerajaan negeri turut berharap agar pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan KXP yang merupakan komponen utama bagi pembangunan tersebut.
“KXP adalah dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang. Saya sudah jelaskan perkara ini kira-kira 100 kali dah,” katanya.
Kata beliau, tanggapan bahawa KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga adalah tidak berasas kerana kewujudan KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada fasiliti di negeri jiran itu.
“Pembangunan KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara. Rakan-rakan pelabur antarabangsa yang menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan,” katanya.
Justeru, Muhammad Sanusi tetap berharap kerajaan negeri diberi peluang untuk menjelaskan secara terperinci kepentingan projek itu kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
BAYI perempuan berusia setahun lima bulan maut dilanggar pacuan empat roda dipandu sepupunya di Kampung Darat Kolam, Kerteh, malam tadi.
Mangsa Syaza Syazwina Zahra Mohd. Sazali yang parah di kepala disahkan meninggal di tempat kejadian.
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.30 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dilanggar kenderaan dipandu sepupunya iaitu wanita berusia 19 tahun.
“Sebelum kejadian, kenderaan itu diparkir di hadapan sebuah rumah dan pemandu kemudian memasuki kenderaan untuk bergerak ke rumah bapa mentua di Rasau, Dungun.
“Mangsa pula yang tinggal di rumah bersebelahan keluar tanpa pengetahuan ibunya dan berada di belakang kenderaan itu ketika ia sedang mengundur.
“Pemandu dikatakan terlanggar mangsa yang menyebabkan dia parah dan meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, mangsa terkena tayar sebelah kiri kenderaan dan mayat dihantar ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
PAS Terengganu menawarkan kemudahan pinjaman motosikal tanpa faedah bagi individu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran pembelian motosikal tanpa faedah itu antara 10 janji manifesto Pas sekiranya parti itu berjaya mengekalkan pentadbiran pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
“Tawaran ini antara janji kerajaan Pas yang akan ditunaikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk memerintah.
“Pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu, Pas Terengganu telah menunaikan kesemua 20 manifesto yang dijanjikan sepanjang pemerintahan malah ada lagi yang sedang berjalan,” katanya.
Menteri Besar Terengganu itu berkata demikian ketika berucap sempena Program Jelajah Mega PNBEST Peringkat Negeri Terengganu di dataran jambatan angkat, di Kuala Terengganu malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha PN, Datuk Hamzah Zainuddin, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa.
Turut serta pada program itu ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, parti itu sebelum telah mengemukakan lapan manifesto dalam beberapa siri program bertemu rakyat dan akan menambah dua lagi manifesto baharu sekali gus melengkapkan 10 janji yang ditawarkan kepada rakyat.
“Dua tawaran baharu ialah meningkatkan peluang pekerjaan menerusi insentif pengembangan perniagaan kepada peniaga yang membuka cawangan perniagaan di Terengganu.
“Tawaran seterusnya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.
Tujuh lagi tawaran manifesto Pas Terengganu ialah menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan tabung geran usahawan belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut dan menaja caruman skim keselamatan Perkeso untuk suri rumah.
Selain itu, parti itu turut berjanji untuk menyediakan tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM5juta, mewujudkan pusat tafaqquh fiddin di setiap daerah dan menjadikan Terengganu nege inri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM 100 juta.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di enam negeri melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos manakala 29 Julai hari penamaan calon dan 8 Ogos sebagai hari pengundian awal.
SEORANG pemandu lori ditahan polis setelah klip video memaparkan beliau memaki hamun sambil memegang parang di sebuah stesen minyak, tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.40 petang, 1 Julai lalu.
Katanya, pemandu lori itu yang berusia 35 tahun bagaimanapun hanya membuat laporan polis mengenai kejadian itu semalam iaitu pukul 5.14 petang.
“Siasatan mendapati kejadian itu bermula apabila lori tersebut keluar dari hentian Bukit Kobah di Pendang. Ketika itu, berlaku perselisihan faham antara pemandu lori tersebut dengan seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.
“Akibat dari kejadian itu, pemandu Ford Ranger tersebut telah membunyikan hon kepada pemandu lori tersebut. Perselisihan faham itu bagaimanapun berpanjangan hingga kedua-dua mereka berhenti di sebuah stesen minyak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah Selatan,” katanya.
Zaidy berkata, pemandu lori tersebut mendakwa telah diugut oleh pemandu Ford Ranger menyebabkan dia mengeluarkan senjata tersebut yang disimpan dalam kenderaanya.
“Kejadian itu kemudiannya tular semalam dan pemandu lori tersebut membuat laporan kira-kira pukul 5.14 semalam. Dia yang beralamat di Bandar Utama, Sungai Petani kemudiannya ditahan dan akan direman pagi ini.
“Dalam masa sama kami sedang mengesan pemandu Ford Ranger serta pemilik akaun Tik Tok yang menularkan video tersebut untuk membantu siasatan. Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” katanya.
Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
TAN Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penghapusan hutang dan penerbitan sukuk adalah dua perkara yang berbeza.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjawab berhubung dakwaan kononnya kerajaan terdahulu tidak melaksanakan penghapusan hutang peneroka Felda dengan menjelaskan kelulusan yang ditandatangani Anwar baru-baru ini adalah sukuk, bukan penghapusan hutang.
“Dia (Anwar) kata baru-baru ini dia sudah sain satu cek berjumlah 900 juta untuk dibagikan kepada Felda. Dia tak faham. Ini saya nak sebutkan kepada Perdana Menteri ni tak tahu ke tak reti.
Ribuan rakyat hadir dalam Jelajah Mega PN Best di Kuala Terengganu malam tadi
“Yang itu ialah soal sebahagian daripada apa yang dikatakan iaitu bon, Islamik sukuk bon yang dikeluarkan berdasarkan laporan yang saya sebut tadi untuk membantu memulihkan Felda.
“Antara lain mengambil alih FGV yang kita tahu dulu telah pun agak hilang pegangan majoritinya dibeli balik dengan wang yang telah pun diserahkan tadi dan bagai-bagai lagi usaha dan inisiatif yang dibuat untuk membaiki keadaan dan situasi Felda yang ada.
“Sebab itu adalah Bon, Anwar Ibrahim itu adalah bon. Yang ini penghapusan hutang peneroka Felda… lain… Takkan saya nak mengajar Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada sesi ucapan Jelajah Mega PN Best di Kuala Terengganu malam tadi.
Menurut Muhyiddin ketika kerajaan PN memerintah, langkah pelupusan hutang peneroka Felda dibuat menerusi pelaksanaan terbitan bon jaminan kerajaan.
Beliau berkata, penghapusan hutang tersebut membabitkan 98,000 peneroka FELDA seluruh negara dengan nilai pelupusan berjumlah RM8.3 bilion.
“Keputusan sudah dibuat dan bukan cakap kosong,” katanya lagi, lapor Agenda Daily.
Muhyiddin berkata, ketika itu beliau sebagai ketua pemimpin negara membuat keputusan dengan mengambil kira kebajikan peneroka Felda yang berhadapan masalah kemerosotan pendapatan.
Malah, dakwaan Anwar juga disangkal Muhyiddin menerusi jawapan yang sudah diberikan di Parlimen sebelum ini apabila Menteri bertanggungjawab, Datuk Seri Azalina Othman menjawab, Felda sudah melaksanakan penghupusan hutang berkenaan berjumlah RM8.3 bilion.
Pada jawapan di Parlimen itu juga, Azalina jelas berkata, kerajaan hari ini tidak berhasrat untuk meneruskan melupuskan hutang berkenaan.
“Di sini siapa yang bercakap bohong. Ternyata Anwar Ibrahim sudah melakukan pembohongan, menuduh kerajaan terdahulu tidak melaksanakan pelupusan hutan berkenaan,” katanya lagi.
Muhyiddin juga memberitahu kenyataan daripada mantan Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh juga menjelaskan bahawa pelupusan hutang itu sudah selesai dilaksanakan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
BEKAS Pengerusi AirAsia Berhad, Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK), malam tadi.
Berita duka itu dikongsi menantunya, pelakon, Azhar Sulaiman melalui hantaran Instagram (IG), awal pagi tadi.
Azhar berkata, Pahamin, 77, dalam perjalanan menghadiri majlis graduasi anaknya di London.
“Dukacita saya hendak maklumkan bapa mentua saya, Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.
“Beliau baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan. Sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya, Rees ada di London,” katanya dalam video yang dimuat naik.
Azhar berkata, beliau dan ahli keluarga yang lain akan berangkat ke London, esok, lapor Sinar Harian.
Allahyarham Pahamin yang juga Pengasas Bersama AirAsia pernah berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan di Malaysia dalam tempoh lebih 30 tahun.
Allahyarham Pahamin pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bermula 1998 hingga 2001 dan dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1974 hingga 1998.
Allahyarham Pahamin juga memegang jawatan penting dalam beberapa syarikat termasuk LNG Resources Bhd, Forlife Research Sdn. Bhd. dan Mediscreen Sdn. Bhd.
Saya terpinga-pinga sekejap apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata Tan Sri Muhyiddin tak pernah melupuskan hutang peneroka FELDA. Dia kata yang melupuskan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion adalah dia. Kononnya dia baru saja tandatangan satu dokumen untuk melupuskan hutang peneroka pada bulan Jun 2023. Eh, apa hal ni?
Saya diberitahu ramai pegawai FELDA dan peneroka yang hadir dalam majlis itu pun terpinga-pinga tak percaya. Sebab hutang mereka dah lama dilupuskan semasa Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri.
Saya pun tertanya-tanya juga. Betul ke? Manalah tahu takut ada silap di mana-mana.
Saya semak balik jawapan-jawapan Parlimen oleh Menteri-Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal FELDA. Semua kata hutang peneroka telah dilupuskan pada tahun 2021. Takkan Menteri berbohong di Parlimen. Di mana silapnya?
Kemudian ada kawan forward kepada saya satu lagi video Perdana Menteri. Dia kata kalau betul kerajaan PN dah lupus hutang peneroka FELDA, kenapa dalam Bajet 2021 dan 2022 tidak ada peruntukan untuk melupuskan hutang FELDA. Oohhh, serta merta saya faham sebenarnya ada masalah dalam kenyataan Perdana Menteri.
Pelupusan hutang peneroka FELDA tidak memerlukan peruntukan dana kerajaan ketika ia dilupuskan kerana itulah ia tidak ada di dalam Bajet. Hutang-hutang itu ibarat ‘bad debt’ atau hutang lapuk yang tak boleh dikutip oleh FELDA. Bila hutang-hutang itu dihapus kira, ia tidak lagi dikira sebagai sebahagian daripada aset FELDA. Itu saja. Jadi apa pula nak dikaitkan dengan Bajet pada masa itu? Takkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tak faham perkara ini?
Pada masa yang sama, pada tahun 2021, kerajaan PN juga telah bersetuju FELDA menerbitkan sukuk berjaminan kerajaan bernilai RM9.9 bilion untuk membiayai pembelian saham FGV berjumlah RM3.9 bilion dan mengurangkan hutang FELDA kepada Maybank dan KWSP berjumlah RM6 bilion.
Sukuk ini boleh diterbitkan secara berperingkat. Maka pada 24 Mac 2021, ketika Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri, FELDA telah melaksanakan penerbitan pertama sukuk jaminan kerajaan berjumlah RM2.005 bilion bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank.
Seterusnya pada 16 dan 18 November 2021, iaitu ketika Dato’ Sri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, FELDA telah melaksanakan penerbitan kedua dan ketiga sukuk sebanyak RM365 juta dan RM350 juta bagi melaksanakan penyelesaian pinjaman dengan Maybank. Keseluruhan sukuk yang diterbitkan sehingga bulan November 2021 berjumlah RM2.72 bilion. Jadi ada lagi lah baki sukuk yang diterbitkan oleh FELDA selepas itu. Ini sukuk. Sebahagiannya bertujuan untuk menyelesaikan hutang FELDA kepada bank, bukan hutang peneroka FELDA kepada FELDA.
Jadi dokumen apa yang PM tandatangan? Tak mungkin ia dokumen berkaitan dengan pelupusan hutang peneroka FELDA kerana jawapan-jawapan Parlimen, dan juga kenyataan mantan Pengerusi FELDA, mengesahkan bahawa pelupusan hutang peneroka FELDA telah selesai pada tahun 2021.
Jawapan Parlimen ini tak boleh main-main. Kalau salah Menteri yang bertanggungjawab boleh dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat. Saya tak fikir Menteri tersilap kerana jawapan Parlimen yang disediakan oleh pegawai telah melalui beberapa tahap semakan dan tapisan di jabatan dan Kementerian yang berkaitan sebelum sampai ke Parlimen. Kerana tuduhan ke atas Tan Sri Muhyiddin adalah berat, eloklah Perdana Menteri tunjuk dokumen apa yang dia tandatangan?
*Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalh bekas Ketua Setiausaha Sulit PM-8
Pas malam ini mengecam keras kenyataan Lim Guan Eng yang mengaitkan parti itu dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyudin Hassan berkata, Pas amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar brasa dibuat Pengerusi DAP tersebut.
Berikut kenyataan penuh beliau:
PASmerakamkan rasa amat terkejut dan mengecam keras provokasi melampau dan hasutan kebencian luar biasa yang dibuat oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng ketika menghadiri satu acara di sebuah tokong di Jelutong, Pulau Pinang, semalam.
Setelah bertahun-tahun cuba memburukkan Pas dengan mengaitkannya dengan kumpulan Taliban di Afghanistan dan ideologi keganasan serta ekstremisme tanpa apa-apa kejayaan, kali ini beliau melangkah lebih jauh lagi dengan mengaitkan Pas dan gabungan politik yang dianggotainya dengan insiden sejarah pencerobohan tentera Mongol ke atas negara China pula.
Mengulangi terma jijik “gelombang hijau” yang dimulakan bapanya Lim Kit Siang ekoran keputusan PRU15 yang memihak kepada Pas dan gabungan politiknya, Perikatan Nasional (PN), bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilaporkan berkata bahawa “akan berlaku kemusnahan ke atas tokong-tokong Buddha dan pengharaman terhadap cara hidup orang bukan Islam di Pulau Pinang jika ia (gelombang hijau) tiba di negeri itu”.
Menurut akhbar China Press, Lim seterusnya dilaporkan berkata bahawa “jika gelombang hijau tidak menyukai tokong yang mereka lihat, maka mereka akan memusnahkannya”.
Kenyataan ini jelas merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan bulan depan di enam buah negeri di Semenanjung, termasuk Pulau Pinang dan Lim berkempen untuk memastikan pentadbiran negeri itu kekal di tangan Pakatan Harapan (PH).
Pas percaya rakyat Malaysia yang berfikiran waras, peka sejarah dan berpijak di bumi nyata tidak sesekali akan tergamak untuk membuat kenyataan yang sedangkal dan seburuk ini dengan tujuan untuk menimbulkan kebencian dan jahat sangka terhadap mana-mana orang atau pihak lain.
Malangnya bekas Menteri Kerajaan PH itu berasa layak dan berhak untuk bertindak melampau seperti itu tanpa sebarang bukti yang sah dan konkrit, selain tidak mengambil kira akan kesannya ke atas pemikiran rakyat dan kesejahteraan hidup bersama yang sudah terjalin baik sejak sekian lama.
Barangkali Lim perlu menyenaraikan tokong-tokong dan tempat ibadat orang bukan Islam yang telah dimusnahkan oleh orang Islam di Malaysia ini, khasnya di negeri-negeri yang dipimpin oleh parti-parti yang dikaitkan dengan “gelombang hijau” yang dimaksudkannya itu.
Pas percaya ucapan menghasut dan tidak bertanggungjawab seperti inilah yang akan mengeruhkan, malah memburukkan hubungan kaum dan agama dalam masyarakat. Malah tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa ucapan dan sentimen penuh kebencian dan sangka jahat seperti inilah yang menyumbang kepada Tragedi 13 Mei lebih 50 tahun lepas.
Juga tidak keterlaluan untuk diperingatkan bahawa tragedi malang itu sangat berkait dengan kehadiran DAP sebagai sebuah parti politik di negara ini. Ucapan dan sikap kebencian seburuk ini hanya lahir daripada individu dan pihak-pihak yang terdesak, tandus idea, bankrap moral dan tidak bertanggungjawab sama sekali dan mesti ditolak sepenuhnya.
Justeru Pas menggesa seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kesejahteraan hidup bersama supaya menolak jauh individu, kumpulan, parti atau mana-mana orang yang mendukung dan memanjangkan idea dan sentimen sedemikian kerana kesan buruknya yang sudah boleh dijangka.
Dalam pada itu, Pas menggesa pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya supaya bertindak tegas dan proaktif terhadap pihak- pihak terbabit yang dengan sengaja menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam masyarakat baik di pihak pembangkang, orang awam maupun kerajaan atas asas komitmen kita kepada keamanan serta kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.