Category: Semasa

  • PRK:Calon Bebas tidak serik bertanding lagi, mahu bawa suara NGO

    PRK:Calon Bebas tidak serik bertanding lagi, mahu bawa suara NGO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Bebas bagi kerusi Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi, 47, sedar peluangnya untuk menang amat tipis pada 9 September ini tetapi tetap mahu meneruskan hajatnya untuk bertanding.

    Ini kerana Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu mahu suara yang dibawakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut didengari.

    Beliau akui tidak ‘serik’ bertanding lagi dalam pilihan raya walaupun pernah tewas semasa menjadi calon di kerusi Parlimen Putrayaja pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Beliau sudah nekad pada kali ini apabila menjadi calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai yang akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) iaitu
    Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat dan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifli Jaafar.

    “Saya pernah bertanding di Parlimen Putrayaja pada PRU15 dan tidak serik untuk bertanding lagi walaupun berkemungkinan tinggi akan hilang deposit.

    “Hasrat untuk bertanding kerana saya melihat lebih banyak perebutan kedudukan berlaku berbanding perjuangan isu rakyat selepas berakhirnya PRU15.

    “Saya rasa sudah sampai masanya kita perlu wujudkan blok ketiga dalam Parlimen untuk membawa suara rakyat sebab saya pun sudah jemu dengan permainan isu politik.

    “Ini kerana banyak melibatkan isu perebutan kerusi dan isu rakyat sekarang semakin ke belakang, saya rasa perlu ada blok ketiga iaitu daripada pihak NGO ke dalam Parlimen,” katanya.

    Samsudin yang menggunakan logo kunci itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru, hari ini

    Samsudin berkata, setiap calon ada kelebihan masing-masing tetapi beliau bertanding kerana mahu membawa isu antaranya membabitkan pemotongan gaji kakitangan awam oleh syarikat peminjam wang tidak berlesen.

    “Saya telah melawan kes tersebut sejak 2017 sehingga sekarang di mahkamah dan isu-isu pemberi pinjaman tidak terkawal sehingga membebankan rakyat dan juga isu harga barang semakin naik.

    “Walaupun kami telah beritahu kerajaan banyak kali tetapi suara NGO tidak berapa didengari, kita juga akan fokus pada isu rakyat,” katanya yang mempunyai kekuatan jentera seramai 10 orang.

  • PRK:Calon PN Pulai dekati seramai mungkin pengundi, cari penyelesaian masalah rakyat

    PRK:Calon PN Pulai dekati seramai mungkin pengundi, cari penyelesaian masalah rakyat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar akan menggunakan kelebihan sebagai anak kelahiran Tampoi, Johor Bahru untuk berdamping dan mendekati pengundi.

    “Saya akan memanfaatkan tempoh kempen sepanjang 14 hari untuk fokus masalah rakyat.”

    Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pulai itu berkata, beliau akan bergerak bersama jentera mengikut jadual yang sudah disusun dan berharap mampu berkempen ke seluruh pelusuk Pulai.

    “Saya akan lihat pelbagai masalah seperti banjir kilat serta isu rakyat yang lain.

    “Kelebihan sebab saya lebih mengenali mereka (pengundi) dan sebelum ini saya juga banyak bertemu dengan masyarakat khususnya semasa pendemik Covid-18, insya-Allah saya akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru hari ini.

    Ini adalah kali pertama Zulkifli yang merupakan seorang usahawan dan aktif sebagai Timbalan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia Parlimen Pulai bertanding dalam pilihan raya.

    Terdahulu lebih 1,000 penyokong PN hadir memberikan sokongan dengan berarak mengiringi Zulkifli dengan paluan gendang, sorakan dan kibaran bendera parti di samping selawat.

    Antara pemimpin parti yang hadir Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Turut hadiri Naib Presiden Bersatu serta Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin.

  • PRK: PN bertemu PH dan calon Bebas di DUN Simpang Jeram

    PRK: PN bertemu PH dan calon Bebas di DUN Simpang Jeram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas pada 9 September ini.

    Pengumuman tersebut dibuat sebaik sesi penamaan calon selesai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar, hari ini.

    PN meletakkan pakar bedah, Dr. Mazri Yahya manakala PH mempertaruhkan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ir. Nazri Abd. Rahman manakala S. Jegananthan mewakili Bebas.

    Pegawai Pengurus PRK DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah mengumumkan kedua-dua calon sebaik tempoh proses penamaan calon ditutup tepat pada 10 pagi selepas dibuka 9 pagi tadi.

    Terdahulu, Dr. Mazri tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.40 pagi manakala Nazri 8.50 pagi dan Jegananthan pula tiba pada pukul 8.55 pagi.

    Kedua-dua calon itu diiringi penyokong masing-masing dengan turut kedengaran laungan ‘Allahuakbar’ dan reformasi yang menunggu di luar dewan terbabit.

    PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak.

  • PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

    PRK: Saingan tiga penjuru di Parlimen Pulai

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru dalam yang akan berlangsung 9 September nanti.

    Perikatan Nasional (PN) menampilkan Zulkifli Jaafar manakala Pakatan Harapan (PH) meletakkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat.

    Selain itu, calon Bebas pula adalah Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi.

    Nama-nama calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.

    Terdahulu, Miswan mengumumkan SPR menerima kertas pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tiada pencalonan yang ditolak di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

    PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram bermula hari ini.

    Pusat penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram dibuka 9 pagi ini.

  • Hamzah nafi PN syok sendiri, sebaliknya UMNO yang syok sendiri

    Hamzah nafi PN syok sendiri, sebaliknya UMNO yang syok sendiri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan gabungan politik itu syok sendiri berkenaan dakwaan UMNO bahawa gelombang rakyat menyokong PN akan berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    Beliau berkata, itu hanya
    satu bentuk sindrom penafian UMNO yang sekadar cuba menafikan hakikat sebenar seperti yang mereka lakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

    “Pada PRN sebelum ni pun dia cakap sama juga, jadi ayat syok sendiri adalah perbualan daripada mulut mereka, jadi kita tak ambil kisah tentang apa yang mereka cakap sebab rakyat pun tau apa mereka cakap rakyat tak lupa pun.

    “Jadi pada saya biarlah sindrom penafian yang ada dengan mereka itu sesuatu yang mereka boleh bawa untuk masa depan mereka syok sendiri, sindrom penafian itu adalah syok sendiri mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, hari ini.

    Terdahulu beliau mengetuai perarakan mengiringi calon PN, Zulkifli Jaafar untuk penamaan calon kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH) dan BN, Suhaizan Kaiat serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

    Turut hadir Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Radzi Md. Jidin.

    Berkenaan calon PN yang merupakan muka baharu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, pemilihan Zulkifli kerana parti yakin beliau akan mampu berkhidmat selain tahu tanggungjawab serta memahami kepentingan rakyat.

    Jelasnya, kelebihan Zulkifli sebagai aktivitis masyarakat sebelum ini akan turut membantu dalam usaha merampas kerusi Parlimen Pulai daripada PH.

    Dalam pada itu, beliau berpuas hati dengan persediaan dan momentum jentera PN yang dilihat berjalan lancar serta licin semasa berkempen nanti.

    “Ini bagi memastikan rakyat dapat memahami apa tanggungjawab dan apa yang kita perjuangkan,” ujar Ahli Parlimen Larut itu.

    Hamzah berharap, rakyat terutama pengundi akan membuat pilihan yang tepat dalam PRK itu nanti dan boleh merujuk kejayaan PN semasa menjadi kerajaan Persekutuan sebelum ini.

    Menurutnya, semasa menjadi kerajaan, PN tidak mencari kesalahan pihak lawan sebaliknya mencari penyelesaian masalah rakyat sekali gus membantu mereka dan ini boleh dibuktikan semasa pandemik Covid-19.

    Katanya, pemerintahan PN amat cemerlang namun apabila diambil alih kerajaan pada hari ini, ekonomi menurun malah analisis berpendapat pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan lima peratus pada tahun ini tidak akan berlaku.

    Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan kehadiran penyokong PN dianggarkan lebih 1,000 yang menunjukkan sokongan sekali gus menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan hari ini.

  • Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

    Hampir 1,000 penyokong iringi calon PN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH 1,000 penyokong Perikatan Nasional (PN) mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar diketuai Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin tiba untuk penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru pada pukul 8.45 pagi.

    Turut mengiringi Zulkifli ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Radzi Md. Jidin.

    Zulkifli yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai menjadi calon untuk kerusi Parlimen Pulai menentang calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

    Kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kosong susulan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada 26 Ogos, pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian pada 9 September.

  • Rafizi perlu berjiwa besar, kata MB Terengganu

    Rafizi perlu berjiwa besar, kata MB Terengganu

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya berjiwa besar dalam menguruskan hubungan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

    Katanya, walaupun mempunyai pandangan yang hebat, Rafizi juga perlu terbuka mendengar pandangan orang lain.

    “Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar. Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata.

    “Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah,” katanya menerusi Facebook miliknya.

    Samsuri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi mengenai kurangnya pelan ekonomi di empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

    Menurut Rafizi, walaupun Putrajaya memberi tumpuan kepada kepada Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis daripada segi peruntukan pembangunan, tetapi negeri itu tidak ada sebarang pelan untuk ekonomi dan meminta lebih peruntukan lagi.

    Samsuri berkata, isu yang dibangkitkan oleh Rafizi, adalah umpama ‘mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri’.

    “Hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri.

    “Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri ini,” kata Samsuri yang juga Naib Presiden Pas.

    Samsuri berkata, perlu ada hubungan harmoni antara Putrajaya dan kerajaan negeri dengan semangat federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

    Katanya, sekiranya Rafizi marahkan penduduk Terengganu kerana memilih Pas, beliau sanggup menjadi sasaran kemarahan itu bukannya rakyat negeri itu.

    “Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka,” katanya memetik laporan FMT.

  • Bukan salah Muhyiddin gagal tawan NS, pemimpin Bersatu jawab Chegubard

    Bukan salah Muhyiddin gagal tawan NS, pemimpin Bersatu jawab Chegubard

    SEORANG pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didesak ahli parti itu supaya bertanggungjawab ke atas kegagalan menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

    Desakan dibuat Ahli Jawatankuasa (AJK) Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin selepas Perikatan Nasional (PN) hanya menang lima daripada 36 DUN iaitu Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang, dan Labu.

    Dakwa Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan itu, tindakan Muhyiddin melantik Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PN negeri menjadikannya daripada kawasan berpotensi dimenangi bertukar kepada ‘mudah kalah’.

    Mengulas desakan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, prestasi PN di Negeri Sembilan sebenarnya harus dibanggakan kerana menang lima berbanding jangkaan ramai ia bakal tewas di semua kerusi.

    “Setiap perancangan bukan dibuat semberono, sebaliknya bincang di peringkat majlis tertinggi…Ahmad Faizal dilantik bukan keputusan Muhyiddin tetapi parti.

    “Kita buat kerja seolah-olah boleh menang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun tak berjaya lagi bentuk kerajaan tetapi dapat keputusan baik,” katanya kepada FMT.

    Bagaimanapun, Razali berkata, Bersatu meraikan setiap kritikan termasuk dibuat Badrul atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard.

    “Kritikan ahli parti kita tak boleh halang dan tak boleh marah mereka sebab itu perasaannya, Chegubard bukan pimpinan top 5.

    “Beliau boleh bercakap tetapi kena lihat juga kedudukannya (jawatan parti),” katanya.

  • Pahang tak lantik EXCO baharu ganti Allahyarham Johari, setuju agih tugas

    Pahang tak lantik EXCO baharu ganti Allahyarham Johari, setuju agih tugas

    KERAJAAN Pahang tidak akan melantik Exco baharu dalam masa terdekat untuk mengisi kekosongan portfolio disandang Allahyarham Datuk Seri Johari Harun susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai itu akibat nahas pesawat di Elmina, Selangor, minggu lalu.

    Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keseluruhan barisan Exco kerajaan negeri ini telah sebulat suara bersetuju untuk portfolio itu diagihkan kepada mereka yang sudah dipilih.

    “Barisan kepimpinan kerajaan negeri bersetuju mengagihkan portfolio yang digalas Allahyarham sebelum ini, iaitu kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau.

    “Kita telah mengagihkannya kepada beberapa Ecxo yang berkenaan. Bagi portfolio kerajaan tempatan dan perumahan, saya minta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob untuk jaga sekejap,” katanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Pahang 2023 di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, di Temerloh, malam tadi.

    Mengulas lanjut, Wan Rosdy memaklumkan portfolio alam sekitar diserahkan kepada ADUN Bebar, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd. Ariff, manakala ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib, bertanggungjawab terhadap teknologi hijau.

    Sementara itu ditanya mengenai pemilihan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pula, Wan Rosdy berkata, beliau belum menerima senarai nama berkenaan daripada UMNO Bahagian Bentong.

    “Saya masih menunggu senarai nama itu daripada UMNO Bahagian Bentong. UMNO bahagian itu akan bincang tetapi setakat hari ini (semalam), saya belum dapat lagi senarai nama berkenaan,” katanya.

  • Peruntukan DUN sama rata: Bersih puji Kelantan

    Peruntukan DUN sama rata: Bersih puji Kelantan

    NGO reformasi pilihan raya, Bersih mengucapkan tahniah atas “kematangan politik Kerajaan Kelantan” susulan pengumuman Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud bahawa pentadbirannya akan menyediakan dana pembangunan kawasan yang sama rata untuk semua Adun negeri itu.

    Ini termasuk dua kerusi DUN pembangkang Kelantan yang diwakili BN dan PH.

    “Pemberian peruntukan pembangunan kawasan (CDF) yang sama rata tanpa melihat kepada keberpihakan politik seperti yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan Saarani Mohamad sejak 2020 dan kini diikuti oleh Kerajaan Negeri Kelantan perlu diteladani dan diikuti oleh negeri-negeri lain.

    “Kematangan politik seperti yang dilakukan di Perak dan Kelantan adalah jalan ke hadapan untuk negara bergerak ke arah politik yang lebih profesional dan tidak menghukum hanya kerana berbeza ideologi politik,” kata Bersih pada satu kenyataan hari ini.

    Badan pemantau pilihan raya itu juga menyarankan supaya kerajaan Kelantan dan Perak melakar sejarah dengan menggubal undang-undang bagi memperuntukkan dana pembangunan kawasan sama rata untuk semua wakil rakyat negeri.

    “Bersih turut menggesa agar Kerajaan Persekutuan serta semua 9 Negeri dan Wilayah Sabah dan Sarawak untuk segera mengkanunkan dan memberikan peruntukan CDF yang sama rata kepada semua Adun mereka tanpa mengira keberpihakan politik,” katanya lagi.

    Bersih seterusnya mengingatkan PH dan BN, blok terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan sekarang, bahawa gabungan itu telah berjanji pada manifesto pilihan raya mereka yang lalu, untuk memperuntukkan dana yang sama rata kepada semua wakil rakyat.

    “Rakyat sudah lama menunggu janji ini dikotakan.

    “Tidak cukup untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan persediaan kerajaan persekutuan untuk memberikan peruntukan kepada ahli parlimen Pembangkang tetapi mahukan ketua pembangkang parlimen daripada gabungan PN untuk datang berunding dengan kerajaan persekutuan.

    “PH dan BN bertanggungjawab bukan sahaja untuk melaksanakan manifesto ini diperingkat Persekutuan dan di semua negeri yang diperintah mereka, tetapi juga merundingkan satu pakej undang-undang CDF sama rata di Persekutuan dan di semua 13 negeri termasuk yang diperintah oleh PN, GPS, dan GRS,” jelas NGO itu.

    Bersih berkata penafian dana pembangunan sama rata di kawasan yang dimenangi wakil rakyat pembangkang merupakan satu bentuk hukuman kepada rakyat.

    “Sekalipun jika peruntukan itu diturunkan pula melalui penyelaras kawasan parti pemerintah yang sering kali bakal calon, ia tetap penyalahgunaan sumber kerajaan untuk tujuan kepartian secara keji.

    “Bukan saja penganaktirian wakil rakyat pembangkang – dalam kes paling ekstrem di Sarawak, Adun kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM8 juta minimum setahun sedangkan Adun pembangkang diberi RM0 (tiada dana) – tidak boleh diterima langsung.

    “Malah penganaktirian separa seperti yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang, Johor, Pahang – di mana Adun kerajaan diberi lebih peruntukan daripada Adun pembangkang – juga amalan lapuk yang tidak selaris dengan nilai (kerajaan) Madani,” katanya lapor Malaysiakini.

    Menurut Bersih, pihaknya dengan kerjasama kumpulan pemikir Ideas, telah menjalankan penyelidikan mendalam mengenai penyediaan dana pembangunan kawasan yang sama rata dan merangka draf rang undang-undang untuk digunakan oleh kerajaan persekutuan dan negeri.